Kawan saya menyogok karya-karya L.M Montgomery, rasionalnya supaya saya dapat melihat melalui kanta yang lain. Bila dia mengatakan Montgomery adalah "she" mata saya jadi bulat dan teruja untuk menekuni. Terus terbayang Anne dari Green Gable yang berambut merah dan kekasihnya yang kacak yang ah, saya telah lupa namanya. Ironi, saya menguliti Panrita. Bukan apa, saya kasihan pada Panrita yang kesunyian setelah lama saya merampasnya (secara sopan tentunya) dari kediaman tetapnya di rak buku Perpustakaan Al Bukhari. Tapi sebenarnya saya telah membacanya selang hari dan tertunda-tunda masa. Fenomena biasa sahaja, bila memilih karya Sasterawan Negara (SN) sebagai bahan bacaan, sebagai marhaen yang masih belum dapat menyeluruhi keindahan bahasa dan keindahan karya SN.
Ada satu perkara yang saya telah sentuh dalam enti "Beri makan pada...." (http://wadikita.blogspot.com/2006_04_01_archive.html) mengenai bagaimana manusia memberi respon apabila satu-satu elemen mengalami kekurangan dari segi esensinya. Rupanya apa yang saya perkatakan cuma separuh masak. Mencantikkannya, khazanahnya, ada di dalam Panrita. Yang saya sebutkan elemen, Pak Arenawati (Panrita) menamakannya Raja. Pak Arenawati menggariskan 7 Raja. 5 Raja untuk tahap pertama. 1 Raja untuk tahap kedua. 1 Raja lagi dalam tahap kedua (Raja dalam Raja).
5 Raja tahap pertama: Mata, Telinga, Hidung, Lidah, Kulit Peraba (antena sebagai penyampai maklumat ke tahap kedua)
1 Raja tahap kedua: Akal (otak) yang menerima maklumat dari antena.
1 Raja dalam Raja tahap kedua: Kalbu / Nurani
Jadi rahsianya telah terbongkar. Namun, untuk menyimpulkannya dalam bahasa mudah, masih lagi tidak saya ketemui jalan keluarnya.
Hendak sahaja mengesyorkan Panrita sebagai teks wajib bagi mereka yang mahu belajar menjadi manusia, tapi, sebagaimana karya-karya SN yang lain, bacalah jika anda benar-benar telah bersedia.
Jika berkesempatan berjumpa Pak Arenawati 4 mata di alam lahut, saya akan terus terang yang saya juga tidak berjujur membaca Panrita, juga yang terdahulu Sandera. Pantas sahaja saya melangkah baris ayat dalam novelnya yang panjang untuk mengetahui cerita akhirnya.
Membaca Panrita, seperti kembara. Lama kelamaan aksara di atas kertas hilang, dan tidak tahu bila waktunya kita mula membaca diri. Seperti Omba, Tamara, Witri mereka selalu merindui Panrita Tua. Saya mengimpikan menemui manusia ajaib yang berperibadi sewanggi setanggi syurga, seperti Panrita Tua, supaya hari-hari dihidangkan ilmu dan hikmah, kemudian berpapasan berjumpa sosok agung seperti Hamzah Fansuri, moga nantinya saya menjadi manusia berpaksi dan mengenal makrifat, dengan haqqul yakin. Entah bila, saya juga telah merindui Panrita Tua.
(hari ini, Saddam Hussien pulang ke kampung halaman yang telah dijanjikan, kesudahannya tragis di tali gantung. Jika mengikuti Al Jazeera, dalam visual yang terang, Saddam diiringi beberapa orang algojo yang sedia tersarung muka, yang nampak cuma mata dan mulut. Saddam berpakaian kemas, wajahnya juga kemas, dalam banyak masa dia kelihatan tenang walau gelojak jiwanya seakan menembusi kanta televisyen. Dia kemudiaannya diikat dengan tali gantung, tanpa diselindungkan mukanya.
Saya pernah bermimpi, mimpi di tali gantung. Meski dalam mimpi, ianya sangat menggerunkan. Meski dalam mimpi, saya juga tidak mahu mengulangi. Tiba-tiba, saya terfikir, mungkinkah dapat Saddam dikurniai ikhsan berjumpa Panrita Tua?
Wallahu a'lam. Inna lillahi wa inna ilaihi rajioon).
Esok Eid Adha. Esok Eid Korban. Moga-moga dikurniakan semangat pengorbanan Ismail dan Ibrahim dalam jiwa selamanya. Selamat Eid Adha.

Comments

Popular posts from this blog

さくら満開

Bulan Mengambang

17 Ramadan 1435 Hijrah