Monday, January 22, 2007

SIRI: ASYURA YANG TIDAK DIKENAL 1

1 Muharam - Khalifah Umar Al-Khattab mula membuat penetapan kiraan bulan dalam Hijrah.
10 Muharam - Dinamakan juga hari 'Asyura'. Pada 10 Muharam juga telah berlaku:
Nabi Adam bertaubat kepada Allah, Nabi Idris diangkat oleh Allah ke langit, Nabi Nuh diselamatkan Allah keluar dari perahunya sesudah bumi ditenggelamkan selama enam bulan, Nabi Ibrahim diselamatkan Allah dari pembakaran Raja Namrud, Allah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa, Nabi Yusuf dibebaskan dari penjara, Penglihatan Nabi Yaakob yang kabur dipulihkkan Allah, Nabi Ayub dipulihkan Allah dari penyakit kulit yang dideritainya, Nabi Yunus selamat keluar dari perut ikan paus setelah berada di dalamnya selama 40 hari 40 malam, Laut Merah terbelah dua untuk menyelamatkan Nabi Musa dan pengikutnya dari tentera Firaun, Kesalahan Nabi Daud diampuni Allah, Nabi Sulaiman dikurniakan Allah kerajaan yang besar, Hari pertama Allah menciptakan alam, Hari Pertama Allah menurunkan rahmat, Hari pertama Allah menurunkan hujan, Allah menjadikan 'Arasy, Allah menjadikan Luh Mahfuz, Allah menjadikan alam, Allah menjadikan Malaikat Jibril, Nabi Isa diangkat ke langit".


Kata As-Syura yang tidak dikenal, tapi kenapa macam biasa dengar je. Kenal yang biasa, baru dapat membeza yang kurang biasa. As-Syura di belah dunia Islam yang lain (Iraq, Pakistan, Iran), ianya tidak disambut dengan memasak bubur kekacang, dan bertukar-tukar juadah untuk puasa sunat 10 Muharram. Di dunia yang gharabah (asing) itu, mereka memulakan tradisi sambutan di saat hari pertama Muharram menjenguk diri, berlanjutan hingga ke sepuluh Muharram. Dan mereka memulakan Muharram dengan berkabung dan mengucap takziah.


Sejarah As-Syura mana yang tidak dikenal orang? Rentetan senarainya seperti berikut:

1 - Permulaan tahun Hijrah 1428 A.H.

2 - Ketibaan Imam Hussain(a.s.) di Karbala - (61 A.H.)

7 - kehabisan air di khemah Imam Hussain(a.s.) (61 A.H.)

10 - Hari Ashura -Kesyahidan Penghulu Pemuda Syurga Imam Hussain(a.s.), kerabat dan sahabat - (61 A.H.)

13 - Perpindahan Qiblah dari Baitul Maqaddis ke Kaabah - (2 A.H.)

25 – kesyahidan Imam Zain-ul-Abideen(a.s.) – (95 A.H.)



Tinggal dulu rentetan peristiwa, tahukah anda, di beberapa daerah di Indonesia misalnya, hari itu dirayakan dengan membuat bubur merah-putih. Putih mencerminkan Hasan dan merah melambangkan Husein. Seperti dalam sejarah, Saidina Hasan pernah melakukan perdamaian dengan penguasa demi kebaikan umat. Tetapi malangnya, perdamaian itu dikhianati oleh elit-penguasa itu sendiri. Putih adalah lambang perdamaian. Sementara Saidina Husein melihat pengkhianatan itu segera bangkit melawan pemerintah lalu terjadilah peristiwa tragis iaitu Tragedi Karbala. Padang pasir Karbala memerah dengan darah syuhada. Merah adalah lambang kesyahidan. (sumber: Persatuan Ulama Malaysia)


Keberangkatan Husin ke Karbala (Iraq), meski mendapat respon pelbagai mengenai rasional tindakannya, di masa sekarang sudah termenifestasi sebagai satu tindakan untuk melestari agama. Penunjuk yang jelas garis pemisah antara 2 ekstrim, antara hak dan batil. Antara Husin dan Yazid. Supaya umat tidak akan keliru bila dihadapkan di antara 2 pilihan ini.


Tapi sungguh, sebelum mengenal laman web dan aplikasi jalur lebar, cerita matyrdom (kesyahidan) heroik cucuanda Rasulullah adalah cerita yang terpencil. As-Syura hanya dikenal dengan puasa sunat dan sambutan secara besar-besaran membuat bubur sempena mengenang kisah bahtera Nabi Nuh. Tidak kurang dan tidak lebih.


Seperti mana-mana kisah sejarah, umat diberi enlighten (kesedaran) pada perkara-perkara yang terpilih-pilih. Antara pembunuhan Uthman bin Affan r.a dan tragedi Karbala, umat lebih mengenali yang pertama. Jadi ada apa dengan kisah tragik ini? Ia ada segala-galanya dan marilah menyelongkar 'As-Syura yang tidak dikenal', moga-moga aspirasi yang diminta YDP Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin, 'Tingkat Daya Intelek: Umat islam mesti mampu beri pendapat, berdaya juang' (Berita Minggu, 21 Januari 2007) dapat kita hayati bersama. InsyaAllah.



Sunday, January 07, 2007

SIRI: MENCARI MAKNA DIRI 2

(Awaluddin makrifatullah. Kenali dirimu agar kamu mengenal Tuhanmu. Jangan lupa Tuhanmu agar kamu tidak lupa akan dirimu. “Dan janganlah kamu seperti orang-orang yang lupa akan Allah, lalu Allah menjadikan mereka lupa akan diri mereka sendiri. Mereka itulah orang-orang yang fasik (Al-Hasyr: 19)”

Dari Asal Sulaiman ke Asal Turabiy, satu kembara keniskalaan ego, mencari diri. Dua-dua nama pena. Satu yang telah lama sebati, satu transformasi diri. Bukankah Ramli Sarip pernah berpesan, aku menulis bukan kerana nama? Ada apa dengan nama? Bukankah Nabi Adam dan Malaikat muqarrab ilallah dibezakan kemuliaan hanya kerana kemampuan Adam menamakan benda-benda? Bukankah alter ego Mike Shinoda dari Linkin Park ialah Fort Minor. Alter ego Clark Kent adalah Superman, Bruce Wayne adalah Batman, dan adakah alter ego Asal Sulaiman adalah Asal Turabiy?

Nama mendifinisikan. Difahami melalui isi kartu identitas diri (MyCard), seperti nama diri, nama kedua orang tua, nama tempat kelahiran, nama tempat tinggal, sedar biologi bahawa diri lebih mulia ketimbang beruk yang dikasihi Darwin atau kuda. Tapi semuanya tidak riil, kerana meski identiti atas kartu tidak mungkin berubah, tapi identiti biologi terus berubah sehingga satu waktu yang ditentukan. Siapa Asal Turabiy sewakti berumur 10 tahun, siapa dia ketika berumur 20 tahun dan seterusnya. Dia sendiri tidak dapat memberi jawapan eksplisit. Jadi, apa yang dicari oleh Asal Turabiy ini?

Dia mencari awaluddin. Moga dia berjumpa. Dia juga mengajak anda bersama, menolongi dia. Asal Turabiy bukan alter ego. Asal Turabiy adalah sedar diri. Meletak diri pada asal kejadian. Segumpal tanah, senyawa materi, dari mani dan ovum yang jika dinilai pandangan fizik adalah kejadian ditempat paling kotor lagi hina, tapi kerana Tuhan itu Maha, manusia mampu menjadi lebih mulia dari Malaikat.

Katanya, dia tidak mampu memakai nama Asal Sulaiman lagi. Mungkin sekali sekala. Dia tidak tahu. Itu nama yang sangat istimewa. Yang disandar kepada kemuliaan manusia pilihan Tuhan yang masih terlalu jauh untuk diggapai. Juga kerana Asal Sulaiman sudah mencapai tujuan kenapa ia diciptakan, dan kerana itu suatu masa dahulu Asal Sulaiman pernah berhenti menjadi Asal Sulaiman.

Tapi kenapa tidak nama sendiri? Oh! Itu barulah sebenar-benar keniskalaan ego yang entah bila dia mahu belajar sedar diri!
(p/s: moga-moga nama ini boleh berkekalan dan ingat tanggungjawab)

I HAVE A DREAM


I have a dream, a fantasy
To help me through, reality
And my destination makes it worth a while
Pushing to the darkness still another mile
(ABBA : I have a dream)



Saya mengajak beberapa rakan baik lawan bicara mengenai hakikat mimpi. Dua soalan, adakah ia permainan tidur, atau memang berlaku di kerajaan langit yang tidak diketahui lapis ke berapa dan jika kita berpapasan dengan orang yang kita kenal, adakah kita menemuinya secara nyata?. Salah seorang kawan saya menjawab, ianya bergantung. Tapi tidaklah diterangkan lebih lanjut. Seorang lagi tidak pasti.

Sama seperti lirik lagu Abba, yang selamanya hijau (evergreen), akhir-akhir ini entah mengapa saya mahu menganggap mimpi itu sangat penting. Baik mimpi dalam difinisinya yang sebenar iaitu mimpi yang dialami ketika tidur, atau mimpi yang sering juga difahami sebagai impian.

Untuk menjelaskan yang pertama, amati ayat Quran ini, “Allah memegang jiwa ketika matinya dan jiwa yang belum mati di waktu tidurnya. Maka Dia tahanlah jiwa yang telah dia tetapkan kematiannya dan Dia melepaskan jiwa yang lain sampai waktu yang ditentukan. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda kekuasaan Allah bagi kaum yang berfikir”. (Az-Zumar:42).
Saya percaya kita tidak mampu untuk mengingat semua mimpi yang berlaku dalam tidur saban malam. Berapa kali kita mimpi pun kita tidak mampu untuk menentukannya. Sebab itu hakikat mimpi ini masih lagi menjadi misteri dan tidak hairan manusia berhasrat untuk dapat merakam mimpi seperti yang digambarkan dalam filem Final Fantasy: The Spirit Within dan juga Star Wars: Revenge of the Sith. Kenapa saya mahu menganggapnya penting? Lebih-lebih lagi jika mimpi yang menggembirakan. Kerana saya percaya ianya bertujuan. Dan mengetahui ayat Quran yang hebat ini, membuatkan hati saya lebih gembira. Kerana waktu tidur, fizik saya di atas katil tapi jiwa saya bersama Tuhan. Mengetahui sahaja membuat saya merasa terlalu kerdil dan hina, tapi pada masa yang sama sangat gembira. Walau saya tidak pasti mengenai hakikat sebenar, tapi sudut spiritual saya selalu mahu percaya bahawa tidur adalah peralihan ke kerajaan langit. Mungkin sahaja ketika berpapas-papasan di alam mimpi, sebenarnya kita bertemu secara hakikat. Bukankah seronok seperti itu? Mungkin terjawab misteri mengapa kita rasa terlalu penat jika bermimpi berlari atau melakukan kerja-kerja berat. Begitu juga jatuh, sesungguhnya kita benar-benar percaya bahawa kita telah terjatuh. Dalam sekian banyak impian, saya selalu mahu terbang. Rupa-rupanya dalam tidak sedar saya sudah pun terbang. Mimpi-mimpi saya yang menggembirakan, telah menjadi azimat tidak terbanding.

Untuk menjelaskan yang kedua, dengan impian sahaja manusia punya rasa hidup terpandu dan bertujuan. Memberi makna pada hari-harinya. Sama seperti ritual yang dibuat setiap awal tahun Masihi, tahun Hijrah, menanam impian dan azam. Dengan hasrat, agar segalanya terpenuhi sebelum tahun baru menjengah lagi. Mungkin ada benarnya juga lirik lagu Abba.
Tapi sekarang, cukup sahaja dengan hakikat mimpi yang diceritakan Quran, saya menunggu malam dengan mimpi yang indah-indah.

Rindukan saya, tapi kita berjauhan? Saya menunggu kamu di kerajaan langit. Eh,bukan! Tunggu sahaja di situ, saya akan terbang menemanimu, kerana, saya juga rindu.

SIRI: MENCARI MAKNA DIRI 1

(Awaluddin makrifatullah. Kenali dirimu agar kamu mengenal Tuhanmu. Jangan lupa Tuhanmu agar kamu tidak lupa akan dirimu. “Dan janganlah kamu seperti orang-orang yang lupa akan Allah, lalu Allah menjadikan mereka lupa akan diri mereka sendiri. Mereka itulah orang-orang yang fasik (Al-Hasyr: 19)”
“What we do in life, echoes in eternity”
Itu adalah ucapan Jeneral Maximus yang sangat mengesankan sebelum menyerang puak barbar di sempadan Rom melalui filem Gladiator. Sebagai terjemahan bebas, frasa itu boleh dimaksudkan dengan “apa yang dilakukan dalam hidup, akan bergema di dalam keabadian”. Bukan mudah untuk memahami konteks frasa yang bersifat transendental melalui kacamata Islamiah dan berfaedah dalam nilai kehidupan kerana ianya datang dari Hollywood yang membawa latar kehidupan di era Rom. Rom yang dikenali sebagai tamadun senyawa materi dan kegilaan pada nafsu rendah meski, kehebatan infrastuktur (aqueduct, pozzolan and cementing material, water works and waste water system) dan monumen (Colleseum) masih menjadi keajaiban dunia kejuruteraan. Sebuah filem epik hebat dari Ridley Scott (Black Hawk Down, Kingdom of Heaven) dan selalu mengagumkan dari sudut estetika bentuk. Beberapa momen juga berjaya mencetus ghazwul fikri (pertempuran intelektual) untuk menilainya dari kerangka Islam. Salah satunya frasa di atas.
Keabadian adalah hakikat eksistensi manusia. Tidak mengetahui, memahami kemudian berada di dalam kesedaran total, menyebabkan kebanyakkan manusia bertindak seolah-olah menyimpang dari hakikat ini. Bagaimana manusia boleh abadi sedangkan manusia terikat dalam satu transisi kehidupan yang dibatasi masa, ruang dan dimensi yang terhad di dalam dunia? Jasad manusia juga melalui perkembangan dan akhirnya luput hingga satu-satu masa yang telah ditentukan?
Maximus menggunakan perkataan echoes iaitu gema, yang mengambil sifat gelombang. Dan apakah pula gelombang itu? Gelombang hakikatnya wujud, tapi sifatnya tidak terzahir secara fizikal dan tidak dapat di ukur melalui indera terhad manusia. Di sinilah keabadian manusia boleh difahamkan melalui apa yang dituturkan Maximus iaitu echoes. Sebenarnya perbahasan mengenai keabadian manusia lebih meluas, mendalam dan niskala, tapi dalam konteks perbincangan ini hanya dihadkan dari sudut perbuatan manusia (what we do in life).
Tiga ayat Quran yang jelas dan menyakinkan bahawa amal perbuatan itu benar akan dibawa di hari kebangkitan dalam bentuk pakej bersama individu manusia di hadapan Rabbul Jalil.
“Pada hari ketika tiap-tiap diri mendapati segala kebaikan dihadapkan, begitu kejahatan yang telah dikerjakannya. Ia ingin kalau sekiranya antara ia dan hari itu ada masa yang jauh”. (Ali ‘Imran: 30)
“Mereka akan mendapati di hadapan mereka apa pun yang mereka perbuat di dunia ini”. (Al-Kahfi: 49)
“Pada hari itu manusia keluar dari kuburnya dalam keadaaan yang bermacam-macam, supaya diperlihatkan kepadanya pekerjaannya. Barangsiapa mengerjakan kebaikan seberat atom pun, niscaya dia akan melihatnya. Dan barangsiapa mengerjakan kejahatan seberat atom pun, niscaya dia akan melihatnya pula”. (Zalzalah: 6-8)
Apakah akibat dari kata-kata Maximus? Seluruh anggota tentera dari pelbagai lapis dalam batalion, baik dari division infrantri, pasukan pemanah, juga pasukan berkuda percaya dan sanggup mati syahid.
Apakah yang dapat diambil tindakan dari kalam Tuhan dalam Quran yang mulia, yang disampaikan kepada Rasulullah Khatimul Anbiya melalui Jibrail Ruh-ul-Qudus? Umat Islam masih sahaja berbunuhan, pemimpin tetap sahaja korup, tidak adil, memeras, menggunakan kuasa untuk kepentingan diri, pemegang amanah selalu sahaja khianat, boleh lagi bom mengebom manusia, bangunan, binatang, hakim masih juga menghukum zalim, anak-anak terus sahaja menderhaka ibu bapa, terus berbicara dusta, menindas, mengumpat, menzalimi, rasuah, zina, malah juga ada sampai menafi kewujudan Tuhan. Nauzubillahi min zalik.
“What we do in life, echoes in eternity”
Astaghfirullahal azim, al ladzi la ilaha illa huwa al hayyu qayyum, wa atubu ilaih. Tubna ilallah, wa raja’na ilallah, wa nadimna a’la ma faalna. Astaghfirullah, Astaghfirullah. Astagfirullah. Wa atubu ilaih. Wa atubu ilaih. Wa atubu ilaih.