Monday, March 17, 2008

Bukankah kamu rakanku?


Bukankah kamu rakanku? Yang tahu tentang mimpi-mimpi. Yang berlari bersama. Dalam hujan, tika kemarau, dalam rintik, dalam nyaman. Waktu dilanda badai, ketika lara. Bukankah kamu yang sudi meminjam telinga, ketika semua orang jadi tuli. Menjadi mataku ketika buta. Bukankah kamu yang melonjakku tinggi, sewaktu aku jatuh. Dan melihat aku terbang, tika gembira.
Kawan, mimpi-mimpiku pecah berserakan. Masih ada, tapi aku telah lupa bagaimana mahu menyusunnya semula. Dalam tidur, aku membawa suluh. Harap-harap keping-keping yang hilang dapat kucari. Kemudian akan ku kumpul. Bangun nanti, aku pasti menyusunnya semula.
Mengapa engkau tiada? Disisiku, seperti selalunya. Menjadi telinga, menjadi mata. Melonjak tinggi, melihatku terbang. Menolongku menyusun mimpi-mimpi. Menasihati agar aku selalu menjadi yang terbaik.
Mimpi-mimpiku masih ada. Disini, disemat dalam dada. Disimpan kukuh dalam kotak mindaku yang kecil, tapi besar harapannya. Dan kawan, aku masih tetap berdoa. Tapi aku mahu bermimpi yang lain. Lebih besar. Sebesar-besarnya. Seluas galaksi. Dan akanku tinggalkan tidur. Akan ku tinggalkan lampu suluh. Aku tidak mahu lagi mengutip keping-keping yang hilang, kumpul dan susun semula.
Lewat kehilangan mimpi, aku ketemu mimpi yang lain. Lebih besar. Sebesar-besarnya. Lebih besar dari galaksi. Ini destinasiku. Bagaimana mahu sampai, aku belum punya cara. Bukankah kau rakanku? Yang meminjamkan telinga, yang menjadi mata, yang melonjak tinggi, melihatku terbang. Tidak bolehkah kau nasihatkanku sekarang? Arah mana harus ditempuh, jalan mana perlu dirintis, di mana cerita perlu bermula.
Mimpi-mimpiku jadi sunyi. Aku tidak dapat mendengar. Mata jadi buta. Aku jatuh tidak mampu bangun. Aku mahu terbang, tapi angin tidak mahu mengapung. Tiada yang sudi memberiku suluh.
Aku ketemu mimpi yang lain. Ini mimpi yang sunyi. Yang ramai tidak mahu faham. Engkau juga tidak pasti akan sanggup berkongsi. Jalan ini sunyi benar, meski dalam ramai. Jalan ini sunyi, tapi belum tentu selamat. Tapi aku aman. Aku hidup. Aku rusuh. Rindu dan cinta. Bukankah kau rakanku?
Satu hari kau lihatku dalam wajah yang lain, percayalah aku masih itu, itu juga. Rakanmu. Yang berkongsi mimpi. Yang berlari dalam hujan, kemarau, rintik, nyaman. Dalam badai, ketika lara. Tapi aku memilih mimpi ini. Yang bagiku bukan mimpi. Ia telah menjadi hakikat dalam diri, dalam hati, dalam rasa. Tenggelam dalam zuuq. Benar jalan ini terlalu sunyi, meski ramai. Aku mahu kejap kakiku bertunjang dalam. Menjadi akar, menjadi pohon tempat berlindung, menjadi taufan yang menerpa. Dalam aman, hidup, rusuh, rindu dan cinta.
Bukankah kau rakanku? Aku harap aku boleh berjanji, dalam mimpi ini aku tidak tuli, tidak juga buta. Kau akan melihatku melonjak tinggi dan terbang laju di awan.

Friday, March 14, 2008

Mac yang aneh

Ini Mac yang aneh. Hari-harinya dibasahi. Air dari langit datang mencurah. Kadang-kadang bertanda, selalu turun tiba-tiba. Bukankah sepatutnya langit cerah dengan ketibaan Mac. Bukankah tanah-tanah merekah gersang pada bulan ini. Ini cerita tragis bagi pemilik kebun-kebun getah. Getah tidak dapat ditoreh. Harga getah bukan main. Sudah RM4. Tapi apalah erti jika tidak dapat ditoreh dan diniagakan.
Mac ini Mac yang aneh. Hujan turun mencurah. Sepatutnya langit cerah. Matahari memancar gagah. Terik, seteriknya. Sehingga Mei menjemput ruang. Sehinggalah Jun tidak sabar menjelang. Tapi dua tiga tempat telah dinaiki air. Tanda apa yang datang dari langit?
Mac kali ini berbicara seperti Disember. Hujan hari-hari. Matahari segan menampakkan diri. Air naik hingga buku lali. Air naik hingga ke lutut. Beberapa daerah sudah digenangi. Mac, anehnya kau ini?

Sunday, March 09, 2008

Spaghetti Pagi PRU12

Semalam kebanyakkan kami tidak tidur. Tidur pun berhimpit-himpit di ruang tamu yang sedia kecil dengan sebuah komputer di hadapan TiVi untuk menganalisa sendiri keputusan PRU12. Sedang kami lelah berjalan dari satu kawasan ke kawasan yang lain setelah masing-masing selesai menunaikan tanggungjawab mengundi. Setelah selesai mengusung ibu ke tempat pembuangan undi. Kami adik-beradik kecuali 2 orang mengundi di tempat yang sama. Jadi PRU12 sama seperti hari raya. Hari untuk berkumpul dan makan-makan.
PRU sangat penting pada kami. Pada PRU11 dulu Ayahanda kami pulang ke kampung halaman (rahmatullah) betul-betul pada hari penamaan calon. Seminggu selepas itu, dengan hati yang separuh-separuh kami pergi mengundi sendiri. Selalu, pada pagi mengundi, ayah akan siap berpakaian segera. Sebelum buka sekolah tempat buang undi, dia pasti sudah ada di perkarangan sekolah. Berbaju kemas dan bertongkat. Meski Ayah sudah warga emas dan pasti dapat mengundi awal, dia tetap patriotik, mengajar anak-anaknya supaya menghargai hak. Menunai hak. Menggunakan hak. Demi negara, agama dan bangsa. Tapi itu PRU10, PRU 11 kami pergi sendiri-sendiri. PRU12 kami mengambil semangat Ayah, pergi bersama-sama sebagai satu keluarga.
Sewaktu meninjau pemandangan PRU12, banyak peristiwa yang menarik, tapi belum dapat dicatat lagi di sini. Tapi, kami pergi bertiga dalam kereta yang baru di basuh. Setiap tempat yang kami jelajahi, pada pukul 4.30am berita yang mengejutkan keluar. Semua tempat yang dilalui, menyaksikan rakyat bersuara dan memilih untuk berubah.
Itu cerita awal subuh menunggu keputusan undi. Kami tewas selepas pukul 4.00 am. Pagi ini anak-anak buah menuntut untuk makan spaghetti. Spaghetti PRU12. Saya dah berjanji sebelum hari piliharaya lagi untuk masak spaghetti. Saya masih mengantuk. Tapi saya tidak akan mengalah. Ini suara rakyat. Rakyat rumah saya mahu makan spaghetti, dan saya sebagai kerajaan yang baik akan memasaknya sebentar lagi.

Mahu makan spaghetti, datanglah rumah :)

Selamat Pagi Malaysia!

Thursday, March 06, 2008

Patriotik - Selamat Mengundi!

Saya patriotik, InsyaAllah saya akan mengundi. Hanya gempa bumi yang menyebabkan jalan raya depan rumah roboh sahaja akan menghalang kaki saya ke sekolah yang ditetapkan untuk saya membuang undi.
Pilihanraya ini saya membayangkan jari akan dicat, sebagai bukti saya mengundi. Jadi saya boleh menayang pada rakan-rakan saya yang tak daftar undi, daftar tapi tak undi, undi tapi buat undi rosak, dan yang sealiran dengannya. Tapi nampaknya, tidak juga. Tidak dapatlah saya menayang.

Saya patriotik, jadi saya akan laksanakan tanggungjawab saya pada negara. Pada anak watan yang meletakkan kepercayaan di bahu saya untuk pimpinan 4 tahun lagi. Untuk Negara Malaysia yang bebas, aman, makmur dan sejahtera. Supaya rakyat Malaysia matang dan menjadi masyarakat sosial yang sempurna sudut spritual, fizikal, rohaniah dan intelektual.
Selamat Mengundi Malaysia!

Monday, March 03, 2008

Kawan

Saya kawan, setia pada janji, pada ideal yang dikongsi. Saya kawan yang menyayangi untuk hati putih, untuk membersih. Saya kawan semua pejuang, menghayun pedang. Saya kawan ikhlas, untuk usaha tidak pernah culas. Saya kawan cinta, membara, untuk Cinta. Saya kawan tangis, untuk peristiwa tragis. Saya benar kawan, bagi kawan, yang gembira menghirup kopi bersama. Sekali kawan, tetap kawan. Dalam aturan kosmos, tidak mungkin akan dapat dipadam, meski untuk seribu billion tahun lagi.
Mahukah, berkawan dengan saya?

Sunday, March 02, 2008

Aku mahu jadi?


Aku mahu belajar tinggi-tinggi, sampai pandai. Sampai tidak ada kelayakan lain yang lebih tinggi lebih dari sijil yang bakal ku gapai. Kemudian aku mahu jadi calon. Bertanding di bawah bendera di negara yang mengamalkan demokrasi. Yang mengadakan pilihanraya. Untuk itu aku tidak perlu berkira-kira, apakah signifikasinya jika aku adalah seorang polos dari Bangsa Hazara yang mendiami perkampungan sunyi di daerah Bamian. Aku kira mereka tidak akan peduli jika aku bukan kaum Uzbek, Tajiks atau Pashtun. Adakah mereka akan menggali susur galurku dari keturunan Genghis Khan? Mungkin tidak, pada waktu itu aku adalah calon dari parti bekas pemerintah. Jadi undi akan mudah berpihak padaku. Yang pandai itu aku. Kerana mereka tidak mahu ambil tahu selain apa-apa yang ada di media utama. Yang dicetak ikut kemahuan golongan pemodal yang dibayar apa-apa. Apa-apa saja, yang disenangi. Kemudian aku akan janjikan pembangunan. Fizikal yang wajib, jiwa tidak perlu, roh tidak penting, bahasa lebih-lebihlah lagi. Sastera, tidak payahlah. Nanti, bila sudah jadi cerdik pandai aku akan jadi calon. Sebelum itu, tidak kisah kalau aku tidak mendaftar untuk mengundi. Bukan apa-apa pun mengundi. Siapa yang peduli? Nasib akan berubahkah? Esok waktu mengundi aku akan pulang juga, bukan untuk mengundi, tapi untuk bercuti. Nasib akan berubahkah?