Wednesday, April 30, 2008

Lemau

E : Eh, apo ko lomau bona biskut ni.
(Selepas merasa sedikit terus mencampak biskut ke lantai).

(Menggaru-garu kepala relax tanpa rasa bersalah)
A : Sebenarnya biskut ni masa beli tu tak lemau.
E : Abih tu?

A : Sebelum kau makan tu, biskut tu dah terdedah seminggu. Lepas buka tu aku lupa nak tutup. Lupa juga nak masuk dalam bekas. Biskut yang sama juga aku masuk dalam beg. Dalam beg tu banyak pula buku cover keras. So dah bertimpa-timpa dengan buku-buku tu. Pulaknya, masa pergi bercuti di Teluk Cempedak, tak sempat aku nak tukar baju dia orang pakat ramai-ramai campak aku masuk dalam laut. Dengan beg-beg aku masuk dalam laut. Dengan biskut-biskut tu masuk dalam laut. Tapi aku bijak la sikit, lepas tu aku jemur la biskut tu bagi kering. Ambil 5 hari jugak la nak kering. Lepas kering lupa lagi nak masuk dalam bekas. Tapi masa jemur tu, aku biar je tak tengok-tengok pun. Tapi heran juga, dalam pada menjemur tu banyak la dengar bunyi burung, bunyi ayam, bunyi kucing, bunyi-bunyi haiwan yang tidak dapat dikenal pasti jenisnya banyak juga. Lalat-lalat pun banyak juga terbang-terbang sana sini. Katak pun buat orkestra hari-hari kat rumah aku. (Patutlah objek berbau banyak berselepat atas lantai). Lepas tu aku angkut lagi pergi sana sini. Serupa juga, lupa lagi nak masuk dalam bekas. Alih-alih kau makan pulak.

E : Cis, apsal ekau tak posan kat den jangan makan? Cam ni ko kawan.

A : Eh, apsal kau makan benda yang terdedah. Salah sendiri la kawan...

E : (macam ni punyo kawan pun ado)


Monday, April 28, 2008

Massugu Itte Migi 3

Saat itu juga wajah Sarah berubah. Mendung, terkesima, kelam. Ruang tamu rumah Mak dilatari dengan suara Sarah yang mendayu. Mak cepat-cepat meletakkan teko di atas meja makan dan kemudian mencempung Sarah segera ke sinki. Mulut Sarah berselepat putih di cuci bersih-bersih. Hati Sarah masih lara. Menghamburkan tangis tidak henti. Mendayu, merayu, mengadu, merintih. Ada kesal di hati Iskandar Ichiro. Tangan Ichiro pantas membersih lantai yang dikotori Sarah.

Ichiro merapati Mak yang sedang mendukung Sarah. Sarah memandang Ichiro tepat-tepat ke dalam mata. Mohon simpati. Tidak pernah Sarah menangis begitu.

“Perlukah kau tambah luka hati Sarah. Tanah Mama dan Papa Sarah masih lagi merah”.

Hati Iskandar Ichiro agam dalam rasa bersalah yang mendalam. Ichiro meminta Sarah dari Mak. Sarah didakapan Ichiro masih memandang. Sarah mengelipkan mata sekali. Dua butir air matanya jatuh perlahan, di kiri dan kanan. Ichiro menyeka dengan ibu jari, esak Sarah berhenti. Sarah melentokkan kepalanya di bahu Ichiro yang bidang. Sarah tenang di situ.

Thursday, April 24, 2008

Tentang Doa

pagi yang menginsafkan dan artikel dimensi doa penuh erti
Allah berfirman:
'Berdoalah nescaya aku akan penuhi'
'Hanya sanya kepadaMu kami menyembah dan hanya kepadamu kami memohon sebarang bantuan'.
Kini Aku melihat doa itu dalam dua sudut satu sudut jasad sebuah doa, satu lagi ruhnya. Doa perlu ada adab ada seni ada langkahnya. Tetapi itu bukan hakikatnya. Ruh sebuah doa itu yang lebih besar.

seni berdoa dari Umaq di sini

Massugu Itte Migi 2

“Kau jangan main-main Ichiro, ini bukan pilihan yang dibuat atas kau rasa kau boleh buat. Ini soal komitmen, soal tanggungjawab dan…”

Iskandar Ichiro mendengar penjelasan Mak dengan sabar.

“…dan ini soal bersedia untuk berkorban”.

Aroma kopi Kapal Api mengapung. Mak mengacau air dalam teko laju, gula melarut lebih cepat. Wap air marak menghias udara seperti tiris awan di angkasa.

“Kau jangan ingat kali ini kau memilih sama seperti waktu hendak masuk universiti dulu”.

Ah, Mak masih menganggap Iskandar Ichiro anak kecil. Hal dulu jadi begitu besar pada Mak. Masih kekal dalam benak Mak mungkin.

Iskandar Ichiro terkenang Datuk. Hanya Datuk dapat menukar pandangannya. Masa itu seluruh keluarga kecoh. Masing-masing tidak terdaya untuk menasihati lagi. Antara masuk USM dan ITM, Iskandar Ichiro memilih mahu masuk USM. Sedang seluruh ahli keluarga, Ayah, Mak, pakcik-pakcik dan makcik-makcik berkeyakinan penuh ITM telah lama punya rekod yang diyakini industri. ITM telah lama punya graduan yang berprofil tinggi. Makcik-makcik menjelaskan panjang lebar 20 kelebihan ITM. Pakcik-pakcik menjadi nasi tambah dengan bercerita lagi 30 kelebihan ITM. Tapi Iskandar Ichiro hanya mahu masuk USM. Tiada seorang pun tahu apa alasan Iskandar Ichiro mahu ke situ. Ichiro hanya mahu masuk USM. Bukan Iskandar Ichiro mahu jadi doktor pun. Ichiro akan jadi jurutera juga akhirnya. Apa salahnya belajar di ITM? Itulah yang menjadi butir bicara seluruh keluarga.

“Ichiro, ekau mari sini. Atuk nak cakap”, Datuk yang sudah susut daya penglihatan bersuara lunak. Nama yang disebut Datuk kerap kali mengundang rasa tidak enak. Selalu Ichiro rasa meluat dengan namanya sendiri. Lebih Jepun dari orang Jepun.

“Apo sobab eh ekau nak sangat masuk USM tu?” Iskandar Ichiro hilang kata.

Cicak tiba-tiba bersuara nakal, seolah mentertawa. Cicak juga tidak memihak. Mak Ayen, Abang, Abob, kucing-kucing Along tiba-tiba menggesel manja di sisi.

“Masa inilah pula banyak betul binatang hendak bermanja-manja”, keluhan yang hanya bergema dalam minda.

“Ichiro, donga sini. Ekau fikir baik-baik, I tu apo?”

Ichiro jadi dungu.

“I tu ese, ado jugak orang sobut den. U tu apo?" Ichiro mahu menjawab, Datuk lebih cepat memintas. "U tu ekau”.

Datuk teruskan hujah. “I tu maknonyo den, kek sini”, Datuk menunjuk ke dalam hati.
“I, diri ekau sendiri, jadi, I dokek. U tu ekau, ekau tu boleh jadi orang lain, jauh. Jadi eh, ekau pilih yolah masuk ITM, dokek kek hati”, Datuk menepuk-nepuk bahu Iskandar Ichiro. Seluruh ahli keluarga memandang Ichiro. Pelajaran pertama tentang membuat pilihan adalah dari subjek ganti nama dalam Bahasa Inggeris.

Jawab Ichiro ringkas, “Yolah Tuk, den masuk ITM”.

Ruang tamu rumah warisan Datuk jadi kecoh. Makcik-makcik tersenyum sampai ke telinga. Pakcik-pakcik bersorak seperti menang pilihanraya. Iskandar juga nampak Mak Ayen, Abang dan Abob, kucing-kucing Along berpeluk girang.

Bau masam menusuk hidung. Ketul-ketul putih melekit tersisa di mulut Sarah. Lantai di penuhi ketul putih yang sama. Lebih banyak dari yang tersisa di mulut Sarah. Iskandar Ichiro kembali di ruang tamu rumah Mak.

“Sarah!” Ichiro hilang sabar.

Monday, April 21, 2008

Massugu Itte Migi 1



"Tiada siapa yang memaksa kamu Iskandar Ichiro, kamu tahu itu bukan?" Mak menyentap leka Iskandar Ichiro.

Ada gerun yang menyeluruhi segenap indera dan nadi bila nama dipanggil penuh-penuh begitu. Selalu panggilan seperti ini akan menangkap perhatian Iskandar Ichiro segera. Terutama apabila Iskandar Ichiro membuat salah, atau orang mahu dia memusatkan perhatian segera. Tapi ucapan kali ini aneh. Gerunnya lebih menggugah. Lebih menggigit sehingga masuk ke lubb. Akal sedar dan roh sekaligus.

Sarah masih senyum. Senyum yang putih.

Itu panggilan nama yang menjemput dua rasa, tanggungjawab dan amanah. Adakah Sarah faham? Sarah mahu dia menjawab apa kepada Mak? Iskandar Ichiro masih belum pasti dapatkah dia menerima Sarah sepenuhnya. Sarah yang tidak bercakap. Sarah yang tidak berjalan. Sarah yang tidak dapat mengurus diri. Sarah yang membiarkan air liur jatuh berjejeran di lantai. Sarah yang malang.

"Saya tidak dipaksa Mak".

Khali.

Senyum Sarah masih putih.

Sunday, April 20, 2008

Massugu Itte Migi


Hati Iskandar Ichiro lama ada rusuh, ada rahsia, ada cerita. Tapi Iskandar Ichiro tidak mahu sesiapa membuat dia lupa. Boleh jadi Iskandar Ichiro akan bermula. Atau Iskandar Ichiro memilih menjadi penyimpan, dalam kotak minda sunyi sendiri. Tapi Iskandar Ichiro doa sungguh-sungguh, moga Tuhan menyayangi. Agar Iskandar Ichiro tidak dibebani dengan apa yang tidak mampu ditanggung. Bukankah itu juga edik yang ditinta dalam Quran? Itulah juga doa Ichiro bulat yang diminta dalam lirih sepertiga malam. Iskandar Ichiro meminta, mustahil Tuhan tidak memakbuli. Tiba-tiba Sarah memandang. Dalam senyum Sarah yang putih, Iskandar Ichiro telah jatuh kasih.

Wednesday, April 16, 2008

CIVIL HUNT

Asal Turabiy's PPE

The hunt begin

The journey back
and the winner is?

Monday, April 14, 2008

Tunggu teduh dulu, Awan dan Ibn Battutah

Kata kawan 'Saya percaya, untuk setiap yang ditakdirkan Tuhan, biar apa bentuk dan rupa, itu adalah yang terbaik untuk diri saya'.

Kata saya 'Saya percaya, untuk ruang dan dimensi keterbatasan manusiawi, dalam lingkungan kasualiti dan ex nihilo, meski apa rintangan yang dirasakan mustahil dalam logik manusia akan terjadi sesuatu, jika Tuhan berkehendak, kun maka fayakun'.

Ini kali kedua kami berjanji, untuk bertemu di KLIBF08. Banyak rintangan. Kali terakhir pertemuan pada tahun lepas, tidak ingat bila. Sepatutnya kami berjumpa pada FCR fasa 3, masih rintangan yang merentang tidak mengizinkan pertemuan. Jadinya saya tekalkan diri memberi mesej dalam penat pada jam 6.30am dengan mengulang apa yang saya percaya, jika Allah berkehendak, kun maka fayakun. Saya sudah mengulang KLBIF08 sebanyak 3 kali, 2 kali atas tugasan, kali ke 3 atas meladeni anak buah yang sudah kehilangan payung, dan kali ke 4 untuk memenuhi janji seorang sahabat. Saya sungguh lurus bukan? Tapi tidak mengapa, saya memang suka buku dan suka melihat-lihat buku, pencarian terakhir saya untuk bulan yang dompet begitu pantas menipis ialah buku fiqh yang sukar didapati di KLIBF. Tapi tidak mengapa, saya sudah ada Kitab Al Umm langka warisan gemulah Ayah (6 Jilid), juga yang baru dibeli dari pejabat Mufti Negeri Sembilan (4 jilid). Cukup dulu, jika perlu saya lari dulu ke rumah Alang sebelum saya punya buku fiqh sendiri.

Sehingga tengahari belum ada kata putus yang disepakati. Pukul 1, pukul 2, sehingga 2.30pm telefon berbunyi dan itulah janjinya. Tapi KL menyambut saya dengan cemburu. 3.30 di KL, hujan mencurah garang. Natijah, trafik jam di Ampang membawa hampir ke pukul 4.oopm baru tiba di Setiawangsa. Awan kelabu, langit cemburu. Saya menunggu di stesen LRT. Orang lain menunggu bas transit, saya menunggu bunyi telefon bimbit. Kata kawan tunggu setengah jam lagi sehingga hujan teduh. Usai menambah nilai di kad Tounch & Go, hujan masih lebat. Baju sudah begitu basah lenjun selepas menambah nilai meski berpayung. Saya menunggu di bawah teduh stesen Setiawangsa, dalam dada ada Ayah, ada Kak Ngah, ada Syafiq dan Alif Luqman. Dalam awan kelabu juga ada Ayah, ada Kak Ngah, ada Syafiq dan Alif Luqman. Mereka tempat teduhan hati saya yang sudah pergi. Tapi saya di sini menungguh teduh hujan di atap stesen perhentian LRT.
Tapi bukankah jika Tuhan berkehendak, Kun! Fayakun. Langit cemburu juga tidak dapat menghalang. Pukul 5.00pm hujan teduh juga. Hujan lebat yang cemburu teduh juga. Meski awan masih mahu terus kelabu. Jika Kun! Fayakun. Begitulah.
Tapi KLIBF08 kunjungan kali ke 4 membawa cerita lain. Saya diusik nakal penjual buku Mesir. Saya ditegur dan diserkap jarang sebagai DJ Radio IKIM.fm (?). Saya sendiri terkejut dengan terjahan itu. Rehlah Ibnu Battutah dijual dengan harga diskaun paling murah, sedang kami sendiri meminta kurang hanya RM5 sahaja untuk hari terakhir. Mungkin penjaga gerai juga menyangka saya adalah DJ radio IKIM juga sehingga memberikan rakan saya harga sangat istimewa itu? (LOL). Saya mencari borang sayembara untuk kawan-kawan di sana (ingat lagi, RM saya sudah begitu kecil di dalam dompet). Juga mencari Malik Bennabi di gerai SABA (mana-mana buku Bennabi dalam Bahasa Inggeris). Tapi ini hari kawan saya mencari buku. Buku fiqh dan Malik Bennabi begitu sukar dijumpai rupanya.
Perhentian terakhir dalam senarai buku yang panjang rakan saya di Ameen. Untuk mencukupkan koleksi peribadinya setakat KLIBF08 berakhir, adalah Detektif Indigo yang terbaru. Penulis Detektif Indigo juga ada. Dan rasa saya, saya berbual dengan bos Ameen (?) di sana yang memujuk membeli buku 'Tunggu Teduh Dulu' Faisal Tehrani edisi pertama yang sudah defect sedikit di makan anai-anai. Kata bos Ameen (?) buku ini tidak dijaga dengan teliti oleh penerbitnya. Dalam hati saya gelak besar melihat kesan anai-anai. Banyak cerita lucu antara anai-anai dan saya. Dan saya tidak begitu kisah sebenarnya. Owh, memang saya beli, tapi seperti biasa lambat lagi akan dibaca.

Awan jadi gelap diluar. Usai solat, kami di dada Secret Recipe bercerita tentang awan dan Rihlah Ibn Battutah. Saya makan Japanese Soba. Segar sayurannya, tapi saya sudah begitu penuh dengan Ice Blended Cappucino. Mengindahkan petang kami, Pak Samad dan isteri juga makan di permis yang sama. Saya sudah tidak punya buku untuk meminta tandatangan Pak Samad sedang Pak Samad duduk betul-betul dibelakang saya. Pak Samad di usia 73, mengingatkan saya pada ayah.

Akhirnya saya sudah dapat tema. Terima kasih untuk kawan yang mengilhami. Seterusnya, bukankah saya perlu bermula?

Dalam lingkungan keterbatasan manusiawi, apa yang ditakdirkan itulah yang terbaik. Dan jika Allah mengkehendaki, Kun! Fayakun. Mungkin lambat sedikit, atau mungkin, kita hanya perlu 'tunggu teduh dulu' sebelum segalanya bermula indah penuh cerita.

Tunggu teduh dulu, Awan dan Ibn Battutah (teaser)


Eika : Hujan lebat la, kita tunggu setengah jam.
As : Ooo, kita tunggu hujan teduh. Ok.
Eika : Yup, tunggu teduh dulu.
As : Uiks, lain macam bunyinya..

Wednesday, April 09, 2008

bukan kamu seorang yang derita
bukan kamu seorang kisahnya tidak dicerita
bukankah As Sajjad tidak pernah ketawa
dengan nubari penuh derita
bukankah kamu sahabat Sakinah
lantas apa yang mahu kamu cerita sebagai musibah?
ini jalan rintis Dzibhin Azim
dalam sejarah dunia yang berpusing
dalam dada bukankah ada Tuhan?
maka berpeganglah pada janjiNya
kerana Dia dekat
memegangmu dengan erat!

Tuesday, April 08, 2008

Buku-buku KLIBF08

Ini keadaan almari buku semasa (novel Hujan Pagi paling tebal, belum baca lagi)

Ini buku-buku yang dibeli semasa KLBF2008 (buku Karbala itu orang lain yang punya, saya punya orang lain 'pau' dulu untuk dibaca) Soalan: Dimana lagi perlu disimpan buku-buku ini?

Buku-buku dalam bidang, 3 daripadanya berkenaan 'soil', satu tentang 'RC design'. Kata kawan saya beli je buku design, bila nak design?

Buku ringan untuk diselak dan dibaca. Saya suka Khoja Nasruddin yang kelakar selamba. Mountain Lions saya beli sebab suka Lions. Yang gambar Pak Arab bawa pedang tu NGEO pasal Arab Saudi. Dua-dua NGEO buku tahun 60an dan 70an.

Buku-buku untuk generate cell brain aka damage cell brain juge...arghhhh (apsal beli? heran)