Saturday, May 31, 2008

Hati Putih Ibrahim

Solat kita 5 kali sehari semalam hanya sah, jika nama Nabi Ibrahim dan keluarganya diucapkan dalam tahiyyat. Diiringkan dengan Rasulullah dan keluarganya. Begitulah Nabi Ibrahim dan Rasulullah sawa dimuliakan.
Kenapa?
Kerana hati Ibrahim putih. Bulatnya trasparent. Cintanya satu. Hidupnya demi Satu. Ibrahim menunjukkan jalan untuk hidup dan mati demiNya. Tiada satu tujuan hidup lebih mulia dari itu. Hati putih Ibrahim menafikan tujuan hidup selainNya. Dan ini tujuan yang terulung.
Ibrahim sanggup dimasukkan ke dalam api demiNya.
Ibrahim kembara meninggalkan keluarga demiNya.
Ibrahim meninggalkan Hajar dan Ismail di lembah Mekah yang gersang, tanpa orang, tanpa air, tanpa makanan, tanpa ada kepastian yang harapan akan menjemput demiNya.
Ibrahim sabar dan redha tidak dikurniakan anak sehingga renta demiNya.
Ibrahim rela leher anak yang dianugerahkan lewat usia 80 tahun dikorbankan demiNya.
Hati putih Ibrahim. Dalam Quran, Ibrahim dikurniakan tingkatan Imam.
Imam dalam bahasa Melayu ialah di hadapan. Ketua.
Ibrahimlah yang memegang bendera, itu, dihadapan sana. Anda nampak dia?




Wednesday, May 28, 2008

mahu terbang

memandang sayup luar jendela
dalam sunyi senja
langit biru mulus
ku depangkan tangan
luas-luas
dan terbang
seperti helang!

Sunday, May 25, 2008

Moga juang sentiasa ada di hati kita. Fi sabilillah.
sumber gambar klik.

Friday, May 23, 2008

Batu Putih di tangan orang lain

Hujan lebat tadi. Sangat. Hingga kami adik-beradik terpaksa berhempas pulas memikirkan untuk menyelamatkan harta benda dari dirosakkan terus hujan yang menggila. Benar. Rumah kami atapnya telah bocor. Meski berkali-kali orang datang membaiki. Betul kami telah memanggil kontraktor yang berpengalaman yang tahu membaiki atap yang bocor. Agaknya kami tidak bersungguh mempertahan. Kerana itu atap rumah bocor lagi.
Dalam hujan lebat, dalam menyelamatkan Quran gemulah ayah, Batu Putih di tangan orang lain.

Mengembara ke daerah Blog

Dalam membaca pesan-pesan ketika mengembara ke daerah blog, saya terserempak dengan kata-kata yang indah.
Dinukilkan di sini, peringatan untuk saya, untuk kembali menilai dan merenung diri.
Ya, sehingga kini saya masih tertanya-tanya, dunia ini seperti apakah?
'Nursi mempertegaskan, wanita adalah hulubalang atau perwira kepada tajalli sifat Jamal Allah. Wanita adalah hero kepada sifat rahmah, ra'fah, hanan dan syafaqah. Sifat-sifat ini guna untuk mendidik keluarga, suami dan anak-anak. Bukan guna buat merosak lelaki. Bukan pula memburu persamaan hak. Lelaki dan perempuan punya tanggungjawab yang berbeza, sebab itu dikurnia fisiology dan psychology yang juga berbeza. Lelaki dan perempuan tidak pernah ada persaingan atau perlumbaan dalam dunia ini, kerana tidak akan ada sesiapa yang menang. Dua makhluk ini tidak perlu bersaing sama sekali, malah perlu lengkap melengkapkan. Allah menjadikan lelaki dan perempuan adalah untuk saling menyempurnakan. Masing-masing punya tugas dan tanggungjawab. Masing-masing punya taklif'. sumber asal, klik.

Monday, May 19, 2008

Korban

















ini sumpah khalil
dari bapa Ibrahim
yang diserah tenggorok
rela digoyok
meski nubari jeda
dalam pasrah yang agam
yang tinggal Sa, Tunggal
yang lain hilang, fana
gempita
bukankah katamu
cinta perlu korban
dan demi keagungan
rela-redha-serah
sungguh tidak berhimpun
dua kutub
tetap kekal
dalam aturan keabadian
khali nanti
yang menjemput
malaikat syurga
senyum cahaya mentari
akan binasa
kecuali Sa
legasi korban agung
juang jangan lelah!

Mencuri Masa Sebentar - Zawan Baba

Dia, sosok hampir tidak disedari kehadirannya dalam ruang 3 matra empat persegi di Hotel Radius Ampang (sewaktu bengkel penulisan Penulis Muda DBP).
Tapi saya yakin pasti dia lapis lazuli yang tersimpan jauh dalam mantel bumi sebelum di keluarkan oleh letus gunung berapi.
Saya mungkin hampir tidak mengenalinya terus, jika bukan kerana adik yang selalu mempromosi dia sebaik mungkin. Dan saya bertemu dia dalam beberapa kesempatan dalam lif dan di lobi hotel selepas selesai program.
Zawan Baba, tidak adil untuk saya setakat memperkenalkan dia di sini dalam ruang masa yang kecil. Bacalah buah tangan di Mingguan Malaysia yang telah membuat saya tercengang dalam ruang dimensi yang tidak bersempadan. Kenali sosok Zawan Baba di sini dan blog di sini.
Saya bersyukur, kerana antara lain, saya telah menilai cerpennya yang dibacakan di Hotel Radius sebagai karya yang mempunyai elemen humor sangat natural (untuk penulis baru, ini sangat mengkagumkan).
Saya sangat ingin untuk review 'Cahaya Dari Batu'. Nampaknya saya perlu ketemu cahaya ruang masa saya dulu (arghhhhhhhhh, bila itu).

Thursday, May 15, 2008

Jadilah Guru yang Terbaik

Sempena Hari Guru, Selamat Hari Guru. Paling utama Guru kepada sekalian Guru, Nabi Muhammad sawa.
Imam-imam yang mewarisi ilmu dari Rasulullah.
Untuk semua Guru-guru, Ustaz Ustazah, Teachers, Pensyarah-penyarah, Profesor-profesor, Guru teknikal, Guru non-teknikal, Guru rujukan agama, Guru falsafah dunia dan akhirat, Guru yang menulis buku yang membolehkan ilmu dibaca walau merentas benua, Guru yang mengajari menulis, Guru yang membuat saya menulis semula, bakal Guru-guru saya.
Untuk Guru-guru Adik saya, dan Guru-guru Adik-adik saya yang lain.
Salam dan sejahtera untuk kalian di dunia dan akhirat. Perhargaan di blog ini tahun-tahun yang lalu di sini dan di sini. Kupanjatkan doa untuk kalian, sentiasa.
Untuk semua Guru-guru dan bakal guru (ya! anda), jadilah Guru yang terbaik. Nilailah pelajar-pelajar dengan apa yang patut mereka dinilai, supaya mereka boleh menjadi manusia yang sempurna dan tidak bersandar dengan harapan palsu. Moga Hang Nadim akan lahir lagi di Malaysia, dan lebih ramai Ibn Sina di dunia.
Guru, andalah harapan itu!

Mahu tersenyum

Dedikasi untuk sahabat. Kamu adalah lapis lazulli, moga satu hari akan bersinar terang sehingga menyilau mata orang yang memandang. Gambate! Juang ajo, jangan lelah!
Kawan-kawan saya, mereka yang dihimpit rusuh. Tiada satu dalam kamus harian mereka tanpa ujian, kadangkala terlalu mencabar, kadangkala kecil tapi disebabkan amarah, hati dan bibir selalu saja merungut. Merungut untuk melepaskan tekanan, bukan untuk mencipta polemik.
Akhirnya saya melihat mereka dengan tersenyum. Saya bertuah sebenarnya dianugerahi dengan rakan-rakan jenis ini. Dalam tidak sedar saya berada di sekeliling mereka yang sedang dan bakal mencipta kehebatan, mungkin juga sejarah. Benar! Saya percaya ini dengan sungguh-sungguh.
Mengapa? Kerana fitrah duniawi sejak dunia tercipta seperti ini; mereka yang dibeban tekanan dan ujian adalah mereka yang terpilih.
Sama seperti batuan bumi yang paling diiktiraf dunia: berlian atau dalam Bahasa Inggerisnya: Diamond (pada rakan-rakan saya yang tidak berapa fasih Bahasa Melayu, berlian = diamond). Jika mengintimi maklumat geologi, anda akan segera tahu bumi adalah seperti ini. Lapis pertama di bawah kaki anda sehingga sejauh 100 ke 120 km ke bawah, apa yang kita panggil kerak bumi atau dalam terminologi litosfera. Bawah dari litosfera akan ada lapis mantel setebal lebih kurang 2900 km. Kemudian barulah kita akan bertemu dengan teras bumi. Jika masih lagi tidak berapa pasti mungkin gambar-gambar akan membantu.
Perjalanan vertikal jauh ke teras bumi bukanlah perjalanan yang mudah, mungkin hampir mustahil. Seperti ketika menyelam dalam air laut yang dalam, seperti itulah kesan yang akan dialami jika mahu mencabar bumi. Selain dari tekanan dari semua arah, suhu juga akan meningkat. Peningkatan suhu ini juga bukan calang-calang, bayangkan suhu yang mampu mencairkan batu; itulah suhu perjalanan ke dalam bumi. Lalu apakah kaitannya dengan berlian dan rakan-rakan saya yang dihimpit rusuh?
Berlian cuma akan terbentuk seperti ini; kebanyakkan berlian terbentuk hasil daripada kerak bumi yang mencair dan bergerak menuju ke lapis mantel. Di mana, di sini adalah tempat karbon boleh berubah menjadi cecair. Diberitakan tekanan di sini sangat tinggi antara 45 hingga 60 kilo bar, juga dengan suhu yang mencapai 1300 darjah selsius. Kerana itu tidak hairan apabila meneliti kata asal berlian (diamond) dari perkataan Greek, adamas yang bermaksud tidak boleh dimusnahkan.
Rakan-rakan saya yang dikirim perhatian khusus dari langit, sama seperti berlian. Seperti struktur belian yang dikenali sebagai struktur batuan paling sempurna di dunia (flawless), seperti itulah mereka. Sama seperti berlian, pembentukannya di dalam mantel bumi dengan suhu dan tekanan yang hebat, seperti itulah ujian dan musibah yang ditimpakan kepada mereka. Seperti mana berlian yang akan keluar ke permukaan bumi selepas berlaku kejadian perubahan geologi bumi (gempa bumi, gunung berapi), seperti itulah mereka akan menwarnai bumi dengan ilmu, hikmah, kebijaksanaan, kasih sayang dan cinta!
Rakan-rakan saya yang dipertemukan kerana cinta, dan saya mencintai mereka. Saya mahu tersenyum, kerana ujian yang ditimpakan pada anda tidak lain hanya akan merubah anda. Perubahan itu saya yakin sungguh-sungguh bersifat kimiawi. Dari satu logam ke menjadi satu logam yang lain (logam yang lebih baik tentunya). Perubahan itu saya yakin akan juga bersifat membangun. Ia akan dapat membangun suatu wujud menjadi wujud yang lain. Ia juga menjadi agen perubahan; iaitu merubah sesuatu yang lemah menjadi kuat, yang rendah menjadi tinggi, dan yang mentah menjadi matang.
Paling penting, ia punya karakter menjernihkan. Sungai yang hidup dan jernih sudah pasti dapat menghilangkan pelbagai kotoran dan kekeruhan.
Kerana segalanya, ia akan mempunyai sifat menggerakkan, menciptakan kewaspadaan dan kesensitifan, juga menghilangkan kelemahan.
Rakan-rakan saya, yang dipertemukan kerana cinta dan saya mencintai mereka. Saya akan terus tersenyum, sehingga satu hari anda akan kembang mekar, seperti kuntum bunga silver sword yang hidup antara celah rekahan aliran gunung berapi, dan anda akan pasti, menceriakan dunia dengan hak, dengan sumpah janji setia anda dengan Tuhan!

Sehingga saat itu, saya akan terus tersenyum.

Friday, May 09, 2008

Persoalan Mimpi

Persoalan tentang mimpi, mmm, misteri. Saya menganggapnya begitu, masih begitu. Lebih-lebih sekarang, ia punya elemen mistik (ada orang tersenyum tika ini). Persoalan ini pernah disentuh dulu, di sini. Bagaimana kaitannya dengan penemuan sains sebagai metodologi saintifik yang digunakan oleh Ibn Sina, di sini (juga ada orang tersenyum melihat nama ini diulang berkali-kali, sukahatilah dik).
Dan soal mimpi bukan soal remeh. Bukan soal tidak ada nilai. Bukan soal melayan yang aneh-aneh (ada tak orang tersenyum di sini?)
Begini, mengapa kita menganggap soal mimpi soal berunsur khayal yang tidak punya nilai? Sebab secara ringkasnya, epistemologi tentang pengalaman beragama telah dipesongkan oleh praktis zaman moden ini. Dimana kita telah diajar, hakikat, adalah segala-gala yang boleh dicerap dan dibuktikan secara saintifik. Perlu cerapan, perlu alat, perlu model matematik, dibuktikan mempunyai bentuk yang berulang-ulang dan konsisten, dsb. Terima kasih kita kepada Frued kerana membuatkan kita percaya ini sebagai ultimat realiti.
Percaya tidak, mimpi juga adalah salah satu dari pengalaman beragama yang punya keistimewaannya tersendiri.
Mengapa mimpi? Titik tolaknya dari Nabi. Saya percaya setiap apa yang telah dilalui oleh Nabi adalah pengajaran khusus untuk ditunjukkan kepada insan, individu, manusia. Pengalaman yang dialami Nabi, boleh jadi juga dialami oleh manusia biasa tanpa pangkat kenabian sebagai ibrah. Bukankah Nabi juga manusia.
Mimpi perlu ada hikmah tersendiri. Mustahil Allah menjadi sesuatu dengan sia-sia. Dan mimpi adalah benda yang tercipta dalam alam kasualiti. Mau atau tidak, ia tetap punya erti.
Yusuf 4-6. '4. Ingatlah ketika Yusuf berkata kepada ayahnya: Wahai ayahku, sesungguhnya aku bermimpi melihat sebelas buah bintang, matahari dan bulan, kulihat semuanya sujud kepadaku. 5. Ayahnya berkata: Hai anakku, janganlah kamu ceritakan mimpimu itu kepada saudara-saudaramu, maka mereka membuat makar. Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi manusia. 6. Dan demikianlah Tuhanmu memilih kamu dan diajarkannya kepadamu sebahagian dari ta'bir mimpi-mimpi dan disempurnakannya nikmatNya kepadamu dan kepada keluarga Ya'qub, sebagaimana Dia telah menyempurnakan nikmatNya kepada dua orang bapakmu, Ibrahim dan Ishaq. Sesungguhnya Tuhanmu Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana'.
Mimpi Nabi Yusuf adalah petunjuk kepada sesuatu yang berlaku pada masa hadapan. Kerana konsekwensi mimpi itu boleh memudaratkan, maka Nabi Ya'qub meminta Nabi Yusuf merahsiakannya dari pengetahuan adik-beradik yang lain. Antara lain, dalam ayat juga menunjukkan bahawa Nabi Yusuf diberi kelebihan menta'bir mimpi. Dan ini adalah cerita yang sangat besar. Dimana mimpi sang raja yang dita'bir Nabi Yusuf telah memberi petunjuk kepada kesan ekonomi kepada sebuah negara (ingat lagi bagaimana Mesir mengalami musim subur selama 7 tahun dan kemarau 7 tahun berikutnya. Atas nasihat Nabi Yusuf, Mesir dapat menyediakan persediaan yang cukup untuk zaman kemarau: macam apa yang kita alami sekarang ini, bekalan beras yang sangat kritikal di pasaran global). My economist friends, what will you say about this?
Dalam ayat Yusuf 4-6, dua iktibar yang boleh diambil secara terus. 1. Mimpi sebagai petunjuk kepada masa depan yang gilang gemilang. 2. Mimpi sebagai amaran untuk keadaan malapetaka (buruk) yang akan berlaku. Kedua-duanya tetap signifikan kepada kehidupan individu (jika mahu mengambil kira soal individu sahaja).
Imran Nazar Hosein, mensyaratkan seseorang itu boleh dianugerahkan dengan mimpi yang benar (mimpi yang lambat laun dizahirkan secara realiti), hanya apabila kalbu sihat, 'lurus' (naif / innocent) dan tepu dengan kesedaran beragama (Iman) kepada Allah swt.
Kita mungkin sudah melupakan kaedah-kaedah meditasi, dan bagaimana intuisi yang benar dapat menunjukkan jalan kepada soal-soal perjalanan vertikal dan pengalaman spritual. Dalam keadaan semasa, kita sangat terikat dengan kaedah saintifik yang dipaksakan Barat, hanya yang dapat dibuktikan secara saintifik sahaja dapat dikira sebagai kebenaran mutlak. Bagaimana Barat menolak kaedah non-saintifik kerana mereka tidak mampu untuk mentafsir kesahihan cerapan pengalaman transendental sebagai satu sumber saintifik. Sehingga sekarang mereka sendiri tidak tahu bagaimana mimpi boleh berlaku dan untuk apa ia berlaku meski banyak kajian saintifik dijalankan oleh pakar-pakar psikologi.
Ibn Sina dan Koestler menerima kaedah non-fizik sebagai metod ilmiah.
Nabi Yusuf bukti kebenaran mutlak mengenai mimpi seperti yang diceritakan dalam Al Quran.
Dr Muhammad Iqbal mencabar untuk ada kajian mengenai metafizik mengenai mimpi yang benar.
Saya sangat-sangat mahu berkongsi kata-kata Iqbal yang indah, tetapi tidak berapa fasih untuk mentafsir secara bebas (sesiapa yang boleh tolong untuk menterjemah).
"...nor is there any reason to suppose that thought and intuition are essentially opposed to each other. They spring up from the same root and complement each other. The one grasps Reality piecemeal, the other grasps it in its wholeness. The one fixes its gaze on the eternal, the other on the temporal aspect of reality. The one is present enjoyment of the whole of Reality; the other aims at traversing the whole by slowly specifying and closing up the carious regions of the whole for exclusive observation. Both are in need of each other for mutual rejuvenation. Both seek visions of the same Reality which reveals itself to them in accordance with their function in life. In fact, intuition, as Bergson rightly says, is only a higher kind of intellect"(1).
Saya teringat mimpi berlanggar dengan seorang yang naik basikal (wajah seperti pemain bola, Ali Karimi) dan bagaimana kawan-kawan saya menta'birnya, sungguh kelakar. Opss, sebagai sisipan kecil sahaja disini.
Apa-apa pun, ia masih perbincangan yang sangat mendasar. Tentang mimpi, mungkin banyak lagi peristiwa-peristiwa transendental yang boleh disingkap melaluinya. Mungkin pengalaman-pengalaman mistik mahu memberi kita tahu sesuatu tentangnya. Mungkin juga, untuk memberi bahagia walau untuk kadar yang sementara.
Owh, saya bukan penta'bir mimpi. Saya cuma menulis sahaja disini. Dah malam, mimpi apa pula ya malam ni?
Selamat bermimpi, moga petunjuk dari langit, diturunkan dari perjalanan vertikal memberi bekal perjalanan esok hari. Selamat Malam.
1. Hosein, I.M. (2007). Surah Al Kahf and the Modern Age. Masjid Jami'ah, City of San Fernando. Trinidad and Tobago.


Sunday, May 04, 2008

Lagi tentang doa

Sekejap sahaja, sebelum terlupa (maaf jika masih belum dapat menulis dengan kandungan yang sepatutnya)

Bacaan pagi tadi.
Dalam kaedah saintifik, untuk mencari jawapan kepada persoalan falsafah tabii atau cabang sains yang kita fahami hari ini, ada sarjana Barat mengusulkan bahawa metod untuk mencari jawapan kepada sains tidak semata terhad kepada kaedah pemerhatian (observation) dan cerapan secara teratur. Koestler (1984) juga mengusulkan kaedah ilham, mimpi dan amalan mistik. Jadi kaedah non saintifik ini juga dianggap kaedah saintifik. Pendek kata, ilham dan mimpi dapat diguna pakai sebagai kaedah untuk mendapat jawapan kepada persoalan ilmu (juga dalam persoalan kehidupan).
Ini lama dulu diusulkan oleh sarjana terunggul dunia Islam, Avecenna (Ibn Sina). Dalam banyak keadaan, Ibn Sina memecahkan persoalan rumit dengan bertafakur (saya percaya dalam disiplin ibadah ruhaniah yang praktikal dan istiqamah). Bagi Ibn Sina sendiri, kaedah cerapan dan pemerhatian secara saintifik tidaklah lebih tinggi dari kaedah berdoa untuk memohon memecahkan persoalan ilmu dengan bantuan yang bersifat transendental. Ibn Sina sendiri menggunakan kaedah doa, tafakur, ilham, mimpi dalam memecahkan soal sains. Cendiakawan ini juga bergantung kepada kaedah gnostik atau kashf dan termasuk dalam metodologi saintifik.
Apa yang telah dihasilkan oleh Ibn Sina? Canon fi Al Tibb, adalah teks perubatan Ibn Sina yang tahan diuji zaman. Sebagai teks asas untuk ilmu perubatan, founder kepada ilmu perubatan moden hari ini. Canon fi Al Tibb adalah teks yang bertahan selama 500 tahun sebagai teks terunggul ilmu perubatan.
Doa adalah kaedah saintifik. Doa adalah kaedah lebih tinggi tarafnya dari kaedah cerapan dan penelitian secara saintifik (meski se'kompleks' dan tepat manapun kaedah saintifik itu). Doa memecahkan persoalan dalam falsafah tabii sebelum manusia dapat mengeja falsafah tabii itu sendiri. Dan doa adalah senjata orang mukmin.
Doa dan juang. Jangan lelah!
Life is just a simple mathematic with variety of predicted outcomes ~asal turabiy~

1. Koestler, Arthur. (1984). The Sleepwalkers: A History of Man's Changing Vision of the Universe. London.

Thursday, May 01, 2008

Hari Pekerja dan maknanya pada anda

1 Mei adalah hari pekerja yang disambut secara global di seluruh dunia. Lebih dikenal sebagai Hari Buruh. Ia hari mengenang pergerakkan persatuan buruh sewaktu Revolusi Industri lama dulu. Hari kemenangan golongan yang dikerah keringat habis-habisan ke atas kapitalis yang tidak berperikemanusiaan dan menindas.
Bayangkan, bekerja dalam tempoh masa 10 hingga ke 16 jam sehari. 6 hari seminggu tanpa sungguh dipedulikan tentang kesan fatigue kepada mental dan moral, kerja yang tidak digilirkan, kesihatan dan kebajikan yang tidak diendah. Juga eksploitasi ke atas pekerja kanak-kanak kerana pada waktu itu kilang yang ada semakin besar, operasi berskala besar, sehingga majikan (kapitalis) tidak pernah rasa bersalah mengerah sehingga ke titisan peluh yang terakhir.
Hari buruh bertitik tolak pergerakkan yang mereka panggil sebagai eight hour day. Pembahagian dalam satu hari kepada 3 segment 8 jam. 8 jam untuk bekerja, 8 jam untuk berekreasi dan 8 jam untuk berehat. Dan usaha golongan kiri menuntut pembelaan ini berjaya di banyak tempat di seluruh dunia.
1856 di Australia pekerja Stonemasons dan pekerja binaan di sekitar Melbourne berarak dari Universiti Melbourne ke Parliament House. Mogok ini berjaya mendapatkan tuntutan 8 hour day.
1840 bermula praktis waktu bekerja yang sama di New Zealand di waktu pendudukan British.
Namun kejayaan ini dimulakan lama dulu di Britain, di Amerika, di Perancis. Negara-negara ini memohon dikurangkan waktu bekerja kepada 12 dan 10 jam sehari bermula dari tahun 1817 lagi. Sehingga tuntutan itu menjadi apa yang diamalkan sekarang pada hari ini. Purata bekerja 8 jam sehari, 40 jam seminggu.
Hakikatnya, 1 Mei diasaskan slogan penuh kebencian kepada modal, kemewahan, kemakmuran, kebebasan dan hak individu, dan apa-apa yang tidak memihak kepada imej buruh. Juga apa yang dikenal sebagai propaganda asas sosialisme. Kerana itu wujud faham sosialis yang berideologikan anti-kebebasan dan anti-kemakmuran (yang dinilai dari lapis pertama kefahaman tentang sosialis). Deretan tokoh yang memperjuang boleh jadi terlalu panjang, dan rentetan sejarah sehingga kepada kewujudan negara-negara komunis yang memperjuangkan sosialis. Sejak zaman Karl Marx, Mao Zedung kepada Che Guevara dan tidak tinggal Adolf Hitler. Yang mereka percaya ialah manusia boleh dicipta melalui ideologi, sedang kefahaman tentang manusia itu sendiri telah salah tafsir.
Dulu, sambutan Hari Buruh dilihat sebagai hari pertentangan antara kelas. Golongan yang dikerah darah dan keringat dengan golongan pemodal. Apa-apa perlambangan tentang kemewahan dan kemakmuran sering dikaitkan dengan kapitalisme - hodoh dan najis bagi mereka yang ke depan mempertahankan nasib pekerja. Sekarang, pejuang tentang nasib pekerja kini meski telah jauh berubah, tapi masih berpaksi dari fahaman yang sama iaitu mencari kelemahan yang timbul kesan dari perlaksanaan amalan pasaran bebas.
Apa-apa pun sejarahnya, Hari Pekerja memberi makna apa pada anda? Selain dari satu hari cuti yang dianugerahkan (hari yang ditunggu untuk rehat yang panjang), memohon agar tuntutan yang dimohon dari Persatuan Pekerja diambil peduli oleh pemerintah (termasuk pemansuhan PTK), harap-harap kerajaan sudi memberi imbuhan tambahan (meski di waktu-waktu krisis beras yang memuncak ini) atau tuntutan lain oleh pekerja-pekerja di sektor industri lain, kerajaan mahupun swasta, selain itu apa lagi?
Saya pengkagum kepada Prof. Muhammad al Mahdi pengasas metod Khalifah, kaedah pendidikan seperti yang dijelaskan dalam al-Quran. Meski disahkan mengidap barah baru-baru peringkat terminal dan dijangkakan dapat bertahan hidup tiga bulan setelah disahkan, dalam keadaan tidak sihat dan berusia lanjut, beliau malah sangat bangga dapat bekerja sehingga 14 jam sehari, 7 hari seminggu. Prof. sudahpun arwah tahun 2006 lalu. Namun kata-kata Prof. yang berbekas di hati dalam melayan hari kerehatan saya di 1 Mei (dipetik dari majalah I),
"Di peringkat ini saya sentiasa dalam kesakitan. Tapi apa yang penting bagi saya, saya masih hidup untuk meneruskan kerja-kerja ini. Walau. Adalah lebih baik saya meninggal dunia ketika sedang bekerja daripada terlantar di atas katil. Saya akan terus bekerja sehingga hari kematian saya".
Saya juga pengkagum Ammar bin Yassir, meski telah renta, diwaktu umurnya 92 tahun, masih lagi mengangkat senjata bekerja membela kebenaran.
14 jam sehari, 7 hari seminggu, dalam sihat atau sakit, dan pencen di waktu sakaratul maut menjemput, mampukah saya?
Tapi hari ini hari cuti, walau rasa nak berehat, lebih baik saya menghitung untuk melangsaikan janji sebelum dituntut. Owh, kena kerja la nampaknya ya.

Selamat Hari Pekerja kawan-kawan. Enjoy your holiday.