Tuesday, September 30, 2008

Selamat EidulFitri semua

Susah juga nak raya kena beratur dulu

Pakcik-pakcik yang bersabar membeli santan (santan dah naik harga!)

Pergi ke market bersama bro dengan van ayah

Berhempas pulas mengendali stering Nissan C20

Selamat Hari Raya, Maaf Lahir Batin. Nak datang umah khabo sementara masih berada di KL :)

Jari melecur kerana dodol
Dodol dimasak beramai-ramai
Apalah dihitung salah betul
Bermaafan kita mari berdamai

Saturday, September 27, 2008

Duit raya saya ke mana?

Saya perlu berurusan dengan bank, sebaik habis saya melalui jalan yang lain. Ia langkah yang silap, kerana jalan itu membawa saya ke tempat yang menyebabkan saya kehilangan duit raya. Jalan itu memang sunyi, tidak ramai orang. Ia bukan tempat tumpuan, juga ada kelibat orang yang mencurigakan. Tapi saya memilih juga jalan itu, kerana lebih dekat dengan kenderaan yang telah saya letakkan...dah agak dah, duit saya melayang punya.

Hossein Nasr

Malik Bennabi

M Fethullah Gullen

Toshihiko Izutsu


p/s: duit saya lesap di kedai buku sebenarnya :)

Wednesday, September 24, 2008

Langit 21 Ramadhan

Langit 21 Ramadhan yang lalu, redup memayungi. Seluruh buana melantun sayu, berkabung, menyanyi hanya satu lagu, kesedihan.
Langit 21 Ramadhan yang lalu, aku sedang alpa, meladeni tuntutan kemanusian. Bertamu dalam diaspora insani, berhimpun dalam keramaian.
Hari satu jasad yang terpenjara meraikan kemenangan dalam dunia yang tidak menyantuninya baik, sedang dia berbuat seluruhnya untuk kesejahteraan dunia.
Dan dia menjerit gembira, "Faztu wa rabal Ka'abah" (aku telah menang, Wahai Tuhan Ka'abah) dan kami kehilangan. Sesungguhnya berlian yang berkilau sehingga menerangi timur dan barat, telah malap cahaya kerana kehilangannya.
Tuhan.
Langit 21 Ramadhan yang lalu, kelam berkabung.
Aku, tenggelam dalam dunia sendiri.
...maafkanlah!

Thursday, September 18, 2008

Patriotik

Dia hanyalah seorang ahli akademik. Yang namanya tersohor seantero dunia atas kebolehannya membuat penyelidikan. Namanya tersenarai dalam 30 orang terhebat dalam penyelidikan dunia. Geran yang diperolehi bukan calang-calang. Nilainya juta-juta dan syarikat swasta yang menaja adalah syarikat multi nasional dan syarikat-syarikat antarabangsa. Meski bidang kepakarannya fokus kepada satu cabang, tetapi relevannya supra disiplin.
Dia bukan graduan tempatan. Meski pendidikan awalnya tetap pendidikan nasional. Jika mengikut umur, memang dia belajar sains dan matematik dalam bahasa Melayu. Ijazah pertamanya di United Kingom. Ijazah keduanya juga di United Kingdom. Ijazah tertinggi sahaja disempurnakan di universiti tempatan. Meski, dia tetap tahu bahawa dia seorang Melayu. Di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung. Meski bertahun-tahun di rantau, tidak sepincing suara dilenggokkan mengikut budaya Barat.
Dia berkhidmat di universiti tempatan. Bila ditanya, kenapa tidak pergi ke universiti yang dapat menawarkan dia lebih, katanya, “Universiti ini telah banyak menyumbang untuk saya. Ijazah kedua dan tertinggi juga ditaja oleh universiti. Universiti telah menyumbang saya banyak, inilah masanya saya membayar semula apa yang telah diberi”.
Jika dia berceramah, dia akan memerhatikan audien. Jika dia rasa tidak ada audien warga asing, dia lebih gemar menyampai dalam bahasa Melayu. Bagi dia, bahasa adalah sebagai pengantar. Pengantar seharusnya dalam bahasa paling mudah difahami. Jika tidak faham, apa-apa yang disampai juga tidak berguna. Bagi dia, bukan satu proses yang mudah untuk memahami. Kerana selepas faham, orang perlu pula untuk menilai. Setelah menilai baru boleh melaksana, selepas melaksana barulah dapat diperolehi hasil. Kata dia lagi, "Satu ilmu yang baik, perlu orang baik untuk mentafsir, setelah mentafsir perlu orang baik yang melaksana. Jika ada satu dalam rantai ini pincang, pincanglah seluruhnya".
Kerana bakat, kebolehan dan daya intelektual yang tinggi, telah banyak kali syarikat luar menyuntingnya. Suntingan bukan calang-calang. Nilainya puluh-puluh ribu. Kontraknya juta-juta. Tapi dia menolak. Sungguh dia orang yang aneh. Kata syarikat swasta, “kami akan menawarkan gaji apa yang saudara mahu. Kami akan sediakan prasarana apa yang saudara minta. Kami akan sediakan penolong seberapa banyak yang saudara kehendaki. Meski apa, belanjanya tidak perlu saudara bimbang, kerana apa sahaja kami akan sediakan”. Kata dia, dia menolak. Hairan. Kemudian dia memberi tawaran lain. Barangkali dia sudah berubah, sudah dikaburi kesenangan material. Dia mahu meminta lebih? Kata dia, “Saya tidak akan menerima tawaran anda, kecuali begini, segala perbelanjaan yang anda mahu laburkan untuk saya, apa kata anda bawa ke universiti ini. Anda bangunkan fasiliti dengan jumlah perbelanjaan anda di universiti saya. Segala prasarana yang anda janjikan, bina di universiti saya. Dengan bayaran yang anda tawarkan, anda boleh menaja 10 orang pelajar di peringkat ijazah kedua dan tertinggi. Dan sekiranya anda boleh lakukan semua dan anda bersetuju dengan syarat ini, saya akan bekerja untuk anda, secara percuma”.
Dia hanyalah seorang ahli akademik. Dalam dirinya Melayu. Meski berbondong-bondong orang kulit putih menyembah memohon kepakarannya, meski melimpah ruah penghargaan orang terhadap dirinya, dia tetap tahu, dia masih seorang Melayu yang tidak dapat dicuci-cuci. Itu hakikat, dan hakikat tersimpan dalam ruang kosmos, dan ia akan bergema di ruang keabadian.
Universiti mahu memberinya jawatan tinggi. Sebagai penghargaan kepada jasa-jasanya. Kata dia, perlukah jawatan untuk menyumbang. Perlukah kuasa untuk membantu apa yang perlu. Perlukan kerusi untuk membangun bangsa dan Negara. Di mana-mana, tidak kira dalam ruang apa, jika anda mahu, anda tetap boleh juga menyumbang.
Tapi dia bukan sihat sangat. Tapi akal, jiwa dan hatinya sangat sihat. Dalam kepayahan menyedut nafas akibat serangan kanser, dia masih lagi mahu masuk ke hutan. Bersama dia seorang pembantu yang menolong membawa tong gas. Jika ada apa-apa, senang, tong gas dapat mengurangkan beban sakitnya. Orang lain sudah gusar, dia seorang ahli akademik yang fizikal tidak sihat. Jika terjadi apa-apa, mereka yang disekeliling akan menyalahkan pasukan yang membawa dia ke hutan. Bukan mereka tidak melarang, dia sendiri yang mahu sertai. Dia kata, selagi hayat, pelajar-pelajar ini tetap perlukan bimbingan.
Selepas masuk hutan, dia masih tidak berehat. Dia masih mengumpulkan pelajar-pelajar yang minta nasihat. Masih lagi meneliti thesis akhir pelajar. Masih lagi betulkan itu ini. Wajahnya sudah pucat lesu. Nafasnya sudah perlahan-lahan ditarik. Pelajar bimbang menyuruhnya berehat. Rehat yang perlu, esokkan masih ada. Dia memandang, “saya tidak perlukan simpati. Sakit ini cuma sebahagian dari bahagian ujian. Ujian pula adalah sesuatu yang sunnah, sesuatu yang pasti diberi Tuhan. Tiada seorang pun akan terkecuali. Mengapa perlu simpati pada sesuatu yang pasti?”
Dia berkata lagi, “Kalau kamu jadi saya, adakah kamu ingin berakhir di atas katil, atau berakhir ketika menyemak thesis pelajar?”
Dia hanyalah seorang ahli akademik. Dia kata universiti telah memberinya banyak, inilah masa untuk membayarnya kembali. Sebenarnya dia telah membayar lebih, mengapa perlu dia membayar lagi?

Tuesday, September 16, 2008

Saya melihat Khalid Hosseini meregangkan tali, perlahan-lahan menjulang layang-layang ke awan.
Saya memerhati Ernest Hemmingway menolak perahu usang ke gigi air lautan dan mula mengayuh ke tengah dengan santun.
Saya nampak Pramoedya meletakkan biola di bahu, kepala disengetkan dan tangan kanan mula untuk menggesek melagukan Ave Maria.
Saya gembira memandang Amin Maalouf memunggah barangan ke kenderaan untuk memulakan perjalanan Mencari Tuhan Ke Seratus.

Saya memandang ke hadapan dan melihat Ayah, yang sedang tersenyum.

Mula!

Sunday, September 07, 2008

Membantu orang lain mendapat pahala

Ya cerita bulan Ramadhan.

Apa yang anda lakukan, selepas solat Tarawikh, kemudian dihidangkan dengan moreh atas sedekah orang lain.

A. duduk bersama-sama memeriahkan ruangan makan masjid dan memakan moreh dengan gembira.
B. memandang moreh sambil berlalu dan berkata dalam hati "Hek eleh, bubur kacang je?'

Jika anda menjawab A, anda telah membantu orang lain berbuat baik dan mendapat pahala.
Jika anda jawab B (sambil geleng kepala) tidak tahu hendak kata apa.

Ada orang mencela tabiat orang lain yang suka mencari masjid untuk berbuka puasa. Kata mereka, tak malu ke cari makan yang free aje. Kata saya, tujuan mereka baik, agar orang yang berniat untuk bersedekah sampai tujuannya, supaya makanan berkat dan dihabiskan, supaya tidak ada pembaziran berlaku.

Apa rasanya, jika membuat kenduri, tumbang seekor kambing, buat kari, buat roti jala, masak rendang lagi, masak sampai 200 orang boleh makan, alih-alih yang datang tidak sampai 20. Padahal jemputan sudah diedar lebih seminggu atau dua minggu yang lalu?

Hampa, sia-sia, mengabehkan boreh yo.

Itulah juga bagi mereka yang sudah berniat untuk memberi sedekah di bulan puasa. Jika tiada jemaah yang sudi menyampaikan hajat mereka, tentu mereka juga berperasaan yang sama.

Jika kita membantu orang lain berbuat baik, ia satu rantaian kesan baik yang tidak putus. Yang bersedekah gembira, yang makan selain kenyang juga gembira, dan jika orang lain melihat respon yang baik ini juga akan mendorong mereka bersedekah sama. Dan begitulah kitarannya. Satu rantaian kesan baik yang tidak putus. Secara tidak langsung memupuk semangat kebersamaan dan mengukuh silaturrahim.

Mungkin anda ada fikiran yang lain?

Tapi walau apa pun, saya suka menerima penerimaan dari orang lain, terutama di bulan berkah ini, sama gembira seperti saya lihat muka mereka bercahaya bila mendapat sebekas balasan, meski itu hanyalah sekadar bubur kacang!

Selamat berbuka semua.

kredit to zueika

Thursday, September 04, 2008

rindu

Ramadhan ini datang dan menjemput rindu

ada wajah yang ku lihat sekali, kemudian kekal dalam ingatan agam dan sering datang menghimpit ruang
ada wajah yang ku lihat sekali, kemudian mengajari, menjadikanku manusia cerdik yang selalu ingin tepati janji
wajah ini, kadangkala ku rasa kiriman dari langit, membantuku mengenal dunia dan paling penting bagaimana harus menjadi manusia
wajah ini yang selalu menjemput rindu, berharap agar sentiasa dapat mendampingi, moga-moga haruman akan melekat pada pakaian dan mengajar menjadi manusia redha

hairan, datang mereka ini dari mana?
jika malaikat, tidak ku lihat sayap
tapi rasa dinaungi
redup, nyaman dan tenang

mengapa ya?
mereka singgah dalam sela waktu yang cemburu
menjadikan aku bertambah hairan
hadir kekal dalam kalbu
dan di malam gelap yang sunyi
bibir melantun doa
menyanyi
mendodoikan mereka...

15 Ogos 2008