Sunday, December 28, 2008

Masih berlangsung - Jualan Buku Dawama DBP


Masih berlangsung. Khabarnya sehingga 11 Januari 2009. Cuma jangan datang 29 November dan I Januari sebab mereka juga bercuti. Tetapi selepas waktu-waktu itu datanglah! Benar, diskaun sehingga 70%. Meski buku-buku lama, tapi percayalah ia khazanah tidak ternilai.
Saya kembali lagi semalam. Memborong kali kedua. Entah akan ada kali ke 3? Al maklum, dapat rebet tunai minyak dari kerajaan. Hahaha, pertama kali pergi pejabat pos, pejabat pos yang bagi duit kepada kita. Sangat hairan, tetapi lumayan. Jadi, niat pertama ke Dawama untuk membeli buku lagi.
Alhamdulillah cuma RM116 ringgit saya dapat hampir 20 judul buku. Buku Abdul Moeis 'Salah Asuhan' salah satu antaranya. Dan koleksi cerpen Dr Anwar Ridhwan dan banyak lagi. Buku paling mahal adalah buku kulit tebal bertajuk 'Pelayaran'. Mahal-mahal pun baru RM20. Dan saya mengumpul koleksi ensiklopedia berkulit tebal dengan harga yang murah-murah. Jadi modal untuk membaca (bila itu?)
Dan saya dikejutkan dengan berjumpa rakan-rakan sekelas. Ya, mana lagi kalau tidak berjumpa pada ulat buku jika tidak di jualan murah buku. (Ermm, kenapa saya tidak boleh jadi rajin macam mereka, rajin baca buku).
Ok, mereka disekitar Lembah Kelang, jangan tak serang. Buku untuk pelajar sekolah juga ada. Memang sedang promosi dan murah-murah pula (jika anda tidak kisah membeli buku lama - tapi khazanah di dalamnya sangat mahal).

Alamatnya:

Ibu Pejabat
Kompleks Dawama
Lot 1037, Jalan AU3/1
54200 Ampang

Thursday, December 25, 2008

Bumi Lang Lagi?

Ya di Langkawi hampir seminggu, tidak, bukan untuk bersuka ria. Tetapi sebagai seorang trainer. Ada banyak cerita, walau yang paling tidak mampu saya menanggung adalah demam flu yang terpaksa ditempuh sehingga akhir woksyop. Rupanya, menaiki pesawat terbang ketika cecair penuh di hidung adalah tindakan yang tidak bijak. Anda akan rasa seperti disedut vakum besar, sehingga menyebabkan telinga jadi pekak, cecair dalam hidung disedut ke atas, mata seperti mahu tersembul keluar. Begitulah.
Tetapi, saya diberikan satu tag line dari seorang Haji yang seperti seorang ayah.
"Jika kita berniat baik untuk menolong, maka Allah akan menolong kita dengan caranya yang tidak pernah disangka".
Bercuti di Langkawi, di musim super peak seperti musim cuti sekolah hujung tahun adalah langkah paling tidak bijak. Anda perlu menempah tempat tidur beberapa minggu lebih awal. Oleh kerana saya diberikan masa untuk menjadi salah seorang trainer terlalu lewat, jadi tiada tempat untuk saya. Itu pun setelah berbincang dengan ejen, kami mendapat juga bilik tempat teduh. Malangnya, tiba di meja receptionist, wajah si manis berubah. Dia tanya pukul berapa ejen menjual kami bilik itu. Kami menjawab 2.30 petang. Dan si manis berubah wajah lagi dan bergerak ke dalam untuk berjumpa pengurus. Alamak? Tiada bilik untuk kami bermalam malam ini? Sudah, mahu di mana kami mahu mengalas kepala. Sedang esok waktu masih panjang, dan kami perlu menjadi trainer (dengan slaid yang belum siap) dan saya sedang menderita demam flu.
Si manis kemudian keluar, sedikit berbisik, "Ini hari bertuah, pihak pengurus membenarkan anda bermalam di bilik duluxe dengan harga bilik biasa".
Subhanallah.
Bilik duluxe di musim super peak cuti sekolah adalah berharga RM590 semalam! Kami mendapatnya dengan harga biasa.
Kata Haji, "Jika kita berniat ikhlas untuk menolong, Allah akan menolong dengan cara yang paling tidak terduga".
Bilik duluxe saya di Langkawi, menghadap laut, di hujung laut adalah banjaran gunung, di depan saya sebuah kapal layar sedang berlabuh, pagi saya disambut bunyi bot nelayan yang berpapasan ke laut untuk mencari tangkapan hari, angin bertiup menyapa pipi saya dengan hembusan bayu yang damai dan dingin. Di kepala saya, langit tinggi yang jernih. Dan helang menyapa saya dengan teriakan selamat datangnya dengan gembira.
Kata Haji, "Jika kita berniat ikhlas untuk menolong, Allah akan menolong dengan cara yang paling tidak terduga".
Segala kepenatan, kesakitan dan lelah, hampir seminggu di bumi Lang, terbalas, dengan lukisan alam Tuhan yang dianugerahiNya hanya dalam tempoh beberapa jam. Bukankah, Dia yang Maha Suci?

Wednesday, December 17, 2008

Masa untuk menanam azam

Menanam azam baru menjadi ritual yang menarik setiap awal tahun. Dulu tidak pernah buat, tetapi mungkin ada sedikit perubahan sejak 1-2 tahun kebelakangan ini. Guess what? It's work!
Tahun ini, peralihan Hijrah dan Masihi datang hampir serentak. Bertambah menarik.
Tapi, tak tahu nak tanam azam apa? Boleh tolong bagi idea? :)

Sunday, December 14, 2008

Hebahan

Salam pemburu buku!
Jika anda peminat buku dan mencari buku terbitan DBP - Dawama, jualan gudangnya sedang berlangsung. Buku-buku terbitan lama memang murah. Tetapi sudah tentu buku lama, kualitinya lama la juga, tetapi apa dipandang pada luaran, dalam yang penting bukan.
Saya membeli 17 judul kebanyakkannya novel pada harga RM 70 sahaja! Cuma satu buku sahaja yang saya beli RM10.00 ke atas, buku Epigrafi Islam Terawal di Nusantara sebab itu buku baru dan berkulit tebal. Dan saya sudah mendapatkan Tunas Cipta Disember 2008. Ada sahabat saya dalamnya. Buku-buku yang dibeli RM10.00 ke bawah:
1. Anak Titiwangsa
2. Cerpen-cerpen dari Negeri Thai
3. Di Hujung Perjalanan
4. Empanagan (buku ini ada satu sahaja masa saya pergi, saya rasa memang sudah ditentukan untuk saya, :)
5. Kalbu
6. Mevrouw Toga
7. Panrita
8. Puisi-puisi Rendra
9. Pura Bujangga
10. Sakura Mengorak Kelopak
11. Sudara
12. Sukma Angin
13. ... banyak lagi
ya, kali ini saya mengumpul Arenawati. Mahu membeli lagi tapi bakul sudah sangat berat. Jangan risau ada banyak lagi judul buku, untuk anak-anak sekolah juga banyak, bukan novel sahaja.
Kamus dewan edisi mutakhir (edisi ke 6 kot) dari RM60 dijual dengan RM45. Nasib saya sudah beli, kalau tidak tentu saya beli satu.
Kawan-kawan cepat datang. Murah, rugi tak beli. Nak tunggu tahun depan, akhir tahun baru ada jualan gudang. Jualan gudang Dawama-DBP di Hulu Kelang.

Tuesday, December 09, 2008

Aqiqah Askari

Abang saya yang aneh-aneh, tetapi tetap guru saya antara yang paling saya hormati.

Abang: Aqiqah Askari, seekor kambing.
Saya: Seekor? Bukankah untuk baby lelaki 2 ekor kambing.
Abang: 2 ekor itu sunnah. Seekor pun RM750.
Saya: RM750? Kambing apa tu mahalnya, baik beli je kambing dari Pilah, RM400 dapat kot.
Abang: Kambing baka baik tu. Tah-tah Boer, Jamapuri, kambing besar. Sunnah Nabi 2 ekor untuk baby lelaki, kalau mampu. Kalau tidak mampu, beli je apa yang mampu. Aku mampu beli seekor je, OKlah tu, itupun dah RM750.

(Entah bagaimana Aqiqah Askari?)

Setelah 7 jam, Abang balik.

Abang: Huh, ada 14 ekor, seekor je untuk Aqiqah. Itupun, Aqiqah kambing Askari.
Saya: Kambing ke?
Abang: Biri-biri. Lambat sampai tadi. Pukul 1 baru kambing-kambing sampai. Sebab itu lambat proses untuk korban dan buat aqiqah tadi.

Abang balik dari tempat Korban dan Aqiqah. Abang menyerahkan kamera. Menunjukkan gambar biri-biri Askari.

Saya: Huh, patut pun RM750. Comel dan sihatnya.
Abang: Itulah sunnahnya kalau kita mahu berkorban kena cari yang paling baik. Tadi pun ada orang offer nak tukar kambing, sanggup bagi RM250 cash lagi.
Saya: Nape?
Abang: Dia tengok kambing dia, dia kata Ana lupa pula nak tengok macamana rupa kambing ni. Apa kata anta tukar dengan ana, Ana bagi Anta RM250 tunai.
Saya: Lepas tu?
Abang: Dah la aku down grade dari 2 ekor jadi seekor, takkan nak down grade lagi. Aku kata tak mahu. Tu, sup dari tempat korban tadi. Tapi semuanya kambing, lembu tidak ada.
Saya: Sedap juga sup kambing ni. Bukan calang-calang orang boleh masak.
Abang: Masa aqiqah tadi, detail betul dia orang buat. Betul-betul diaorang jaga, jangan sampai ada yang mengopak dan menyiat bukan dari sendi. Kau tahu kan, untuk aqiqah dan korban, kita tidak boleh mematah-matahkan tulang, nak potong pun mesti dari sendi dan kena buat penuh hormat.
Saya: Kenapa gitu?
Abang: Takkan kau tidak tahu, aqiqah dan korban kan falsafahnya adalah ganti nyawa. Dzibhin Azim dari zaman Nabi Ibrahim dan Ismail. Kibasy Nabi Ismail itu disebut Dzibhin Azim. Kibasy Nabi Ismail itu ganti nyawa. Kerana itu untuk semua sembelihan sempena korban dan aqiqah, haiwan itu perlu dilayan penuh hormat dan maruah. Kedudukan haiwan-haiwan itu adalah sebagai ganti nyawa. Tahu?
Saya: (angguk ajo)

Saya lihat biri-biri Askari dari dalam gambar. Comel. Besar. Sihat. Setelah kepalanya dipisahkan dari badan, biri-biri Askari tetap comel, besar, sihat. Biri-biri Askari tersenyum, dan senyum biri-biri Askari comel. Secomel Askari yang suka berbual dan mencebik ketika disergah Adik. Moga Askari menjadi anak yang soleh, berjuang demi Tuhan, di hari depan. Biri-biri ganti nyawa Askari, masih senyum setelah terpisah kepala dari badan.

Moga bila leherku digoyok, saya juga mampu senyum seperti itu.

Allahu Rahman, Allahu Rahim, Allahu Ya Ghafar, Ya Nurul Qalbi
Setiap makhluk bergantung padaMu
dan bersujud semesta padaMu
setiap wajah mendamba CintaMu CahayaMu

Sunday, December 07, 2008

Jalan Ibrahim

Bapa kita, Ibrahim, ditelusuri langkah perjuangannya hari-hari. Bukankah kita membaca tasyahud akhir dengan mengulang-ulang nama Ibrahim?

Allahumma solli ala Muhammad wa a'la ali Muhammad
Kama solaita ala Ibrahim wa ala ali Ibrahim.
Wabarik a'la Muhammad wa a'la ali Muhammad
Kama barakta a'la Ibrahim wa ala ali Ibrahim

Doa kita hari-hari, kesejahteraan dan keberkatanlah pada Muhammad dan keluarga Muhammad, kesejahteraan dan keberkatanlah pada Ibrahim dan keluarga Ibrahim.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar. Esok Eid Adha. Mereka di Makkah sudahpun berwukuf.

Ya, ini hari kemenangan, hari kebesaran, yang sunnah perbuatan kita ikuti dari Ibrahim dan keluarganya. Kita meneruskan legasi yang sama. Bertawaf, bersaei, berwukuf, melontar, berkorban. Kita perolehinya dari Ibrahim.

Bukankah Ibrahim dianugerahi cahaya matanya lewat? Sudah tua, namun Ibrahim mengajari kita untuk jangan berputus harap.
Bukankah Hajar diganjari Zam-zam, di lembah padang pasir paling tandus, setelah berulang 7 kali dengan sepenuh pengharapan, lalu di kaki Ismail terpancar air paling ajaib di dunia yang tidak pernah berhenti mengalir?
Bukankah Ibrahim, setelah digembirakan hatinya dengan cahaya mata, dikehendaki pula mengorbankan anak yang disayangi dengan tangan sendiri. Ismail rela dengan ketundukan. Hajar rela dengan ketundukan. Dan Ibrahim, mengajari kita, berkorban itu hanya Sa, pada Yang Esa.

Subhanallah, pengorbanan apakah? Demi apakah?

Ibrahim, harapan dan berkorban itu pusatnya harus satu. Jika Yang Memberi menganugerahi, padaNya tidak akan ada sekelumit sesal dalam pengorbanan.

Ibrahim menunjuk kita jalan menyambut hari kemenangan ini, Eid Adha, dengan kemenangan mutlak, menafikan segala ketundukkan lain, samada kehendak diri, rasa, kasih sayang, anak, harta, isteri, kedudukan dan pangkat, hasutan syaitan, hasutan duniawi, dengan hanya satu ketundukkan.

Tunduk pada Allah.

Hati putih Ibrahim.

Mampukah kita mengikut sunnah kejernihan hatinya?

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar.

Doa dan pengharapan untuk mereka dianugerahi, Haji yang Mabrur.