Friday, March 27, 2009

Earth Hour: Kita dan Nabi

Kita pelik, bila orang kata kita bereya benar menyambut Earth Hour. Kita hairan orang label kita taksub pada benda yang tiada strategik dari segi penghayatan agama, budaya dan negara.
Aduh, geli kita tau.

Jadi lebih hairan kita, orang kata kita ini lebih hebat gaya berbahasa ala-ala urban dari mereka yang terdidik secara langsung dalam program pembelajaran PPSMI (kawan, kita ini memang berasal dari urban tau). Tapi tegar menentang PPSMI tanpa asbab dan musabab yang kukuh. Pada masa yang sama tidak fasih juga berbahasa Melayu penuh. Bila minta berbahasa Inggeris tunggang langgang juga. Alahai. Salah apa kita?
Dan lagi terkejut kita, kawan kita kata kita suka berkain pink dan merah. Hati kita pink. Jiwa kita merah jambu. Sukma kita warna merah hati. Hanya kerana kita kata, kita tetap menyimpan harapan besar untuk mereka yang suka warna merah akan berubah. Untuk lakukan transformasi besar-besaran, agar mereka akan kembali pada jati diri yang menyebabkan mereka ditaksonomi sebagai seorang Melayu. Kerana mereka seorang Islam. Kerana kita patut diberi peluang untuk berubah. Peluang yang tidak dihadkan sampai kedua, tetapi ketiga, keempat, kelima. Kerana Tuhan, memberi peluang taubat seluas-luasnya selagi kita tidak melakukan dosa tidak terampunkan iaitu syirik kepadaNya.

Biarlah, kita lupa dulu apa yang orang tuduh kita penentang dan tuduh kita sayang benar dengan warna merah.

Tapi kita hendak kongsi, bila kita bereya promosi Earth Hour, itu bukan keputusan taksub. Itu bukan keputusan tanpa penghayatan agama. Kita ikut Nabi sebenarnya.
Opss, nanti dulu. Janganlah kata kita bidaah pula. Kuasa tau. Kita ini orang tahu hukum juga (sikit-sikit).
Sebelum orang kenal Al Gore dan VCD The Inconvenient Truth beliau, sebelum orang kenal Prince Charles, Mikhail Gorbachev, David King, Tim Flannery, D.P Dobhal, Abul Hussam, Karam Singh Walia, aktivis pencinta alam sekitar di seluruh dunia, dengan jargon alam sekitar seperti ekologi, kesedaran alam sekitar (environmental awareness) dan pembangunan mapan (sustainability), lama dulu Nabi kita telah ajarkan semua ini.

Betul, betul, betul. Orang kata Nabi kita dalam bahasa Perancis sebagai Environmentalist Avant La Lattre. The Pioneer of the Environmentalist. Pelopor gerakan cintakan alam sekitar di dunia.
Tidak percaya? Tak percaya, sudey.
Kita ada baca tahu, dari penulis hebat dalam dokumentari beliau dalam jurnal berimpak maksima ‘Benih Sakral’ tentang ini. Kata penulis hebat yang menang anugerah Tokoh Penulis Harapan tahun lalu, dan dijangka akan menjadi Tokoh Penulis tahun depan, seperti ini.
‘Baginda adalah orang pertama yang memperkenalkan konsep holistik untuk penjagaan alam iaitu wujud perkaitan secara mutlak dan saling bergantung antara semua elemen dalam alam semulajadi, termasuk manusia. Jika manusia menganiaya dan memeras hanya satu elemen dari alam semulajadi, dunia akan menerima kesannya secara langsung. Ini telah Allah peringatkan secara mutlak dalam surah 30 ayat 41, ‘telah timbul pebagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)’.
“Rasulullah memperkenalkan konsep hubungan manusia dengan alam dalam tiga kerangka utama, tauhid, khalifah dan amanah”, “Tauhid merujuk kepada Allah sebagai Tuhan Tunggal yang menunjukkan hanya Dia sebagai Pencipta mutlak dan manusia bertanggungjawab untuk semua tindakan. Dalam surah 4 ayat 126, ‘Kepada Allah untuk segala apa yang ada di langit dan di bumi, dan kepunyaan Allah atas segalanya”.
“Dengan makna, Rasulullah menerangkan bahawa setiap penciptaan baik makhluk bernyawa atau sumber alam, mempunyai hak. Melanggari hak adalah satu perbuatan dosa”.
“Dan ciptaan yang dimaksudkan bukan sahaja haiwan, tetapi juga tanah, hutan dan sumber air. Kesemuanya punya hak”.
“Khalifah dan amanah pula adalah bertitik tolak dari kerangka tauhid. Di dalam Quran menyebut manusia sebagai khalifah, vicegerent atau vice-regent, wakil Allah, pemegang amanah kepada penciptaan Allah di muka bumi. Dan kerana itu manusia diberi amaran di dalam surah 6 ayat 38, ‘Tiada satu makhluk pun di atas bumi, bahkan burung biring yang terbang dengan sayapnya, adalah satu bangsa seperti kamu’.

Itu sikit sahaja yang ditulis. Belum masuk lagi tentang apa yang Nabi ajarkan mengenai pemeliharaan dan pemuliharaan. Mengenai hima, mengenai haram. Mengenai adab terhadap binatang dan sebagainya. Tentang alam ciptaan yang berzikir memuji kebesaranNya. Bernafas dan berdendang alunan pujian pada Tuhan. Mengenai Allah sebagai Al Sani. Huh, banyak lagi.
Tidak daya kita hendak menulis satu-satu. Tulisan beliau yang kita baca itu ada 167 muka surat. Tapi kalau ada yang bertanya, tidak pula kita lokek hendak berkongsi.
Kita bukan main-main. Kita serius. Kita banyak sudah buat kerosakan. Bagi kita, bumi kita tidak mungkin dapat diperbaiki lagi. Semalam di tempat kita, sedang kita beri ceramah ada gegar kuat di tingkat 3. Tapi kita tidak sedar sebab kita di tingkat satu. Kata orang yang beri laporan, ada gempa yang berpunca di Bentong pada 3 skala richter. Cerita apa di Malaysia ada gempa? Tapi itulah yang berlaku. Kita tidak main-main. Sudah ada gempa dikesan di Malaysia. Epicenter dari Acheh sudah beralih agaknya masuk ke Semenanjung Malaysia. Minggu lepas, gunung berapi bawah laut pun sudah meletus. Mengepul-kepul asap ditengah lautan. Berbuih air laut. Air laut mendidih! Pernah lihat? Hai, menggigil kita tahu.
Walau orang kata hentah apa-apa tutup lampu. Sejam sahaja pula itu. Tidak rugi apa pun kita tutup segalanya pada 28 Mac selama sejam. Kalau hendak tengok berita di TV, uish, usoh ler. Berita ke yang dema laporkan tu?
Kata orang apa yang boleh buat pun semasa sejam itu. Bumi tidak akan pulih juga. Memang, kita setuju. Tapi ia tetap satu simbol kasih. Kasih pada bumi, yang tidak pernah mengeluh menempatkan kamu dan kita, selama hidup ini. Jika Bumi telah berkhidmat berjuta tahun, tak kan kita, tidak boleh tunjuk rasa kasih, mengurang beban Bumi setahun hanya sekali ini, hanya selama 60 minit.
Kawan, 60 puluh minit, kita boleh bersolawat atas Nabi Muhammad dan keluarganya selang berselang.
Rugi apa kita?

Thursday, March 26, 2009

Selak

Dalam melepas lelah, perlahan-lahan menyelak dalam hangat-hangat berhimpun, terbaca:

Prophet Muhammad sawa prophesied of the Last Age that:

'People would follow a way of life other than mine, and give guidance other than mine'
'I fear for my people only the leaders who lead men astray'
'Before the Last Hour there will be great liars, so beware of them'

'When the most wicked member of a tribe becomes its ruler, and the most worthless member of a community becomes its leader, and a man is respected through fear of the evil he may do, and leadership is given to people who are unworthy of it, expect the Last Hour'.
Ermmmm.....................
dipetik dari Hossein, I.N. (2007). Signs of the Last Day in the Modern Age. Masjid Jami'ah, City of San Fernando. Trinidad and Tobago.

Wednesday, March 25, 2009

Info Satu Jam untuk Bumi

60 - Earth Hour
Pada : 28 Mac 2009 , Jam 8.30 malam

Kenapa plak nak tutup lampu ?? - Sebab..sudah tiba masanya untuk kita bertindak dan sedar. Tentang pengunaan dan pembaziran tenaga yang berlebihan selama ini. Secara tidak langsung telah memberi kesan terhadap kenaikan suhu dunia. Satu jam (60 minit) tanpa lampu, diharapkan dapat memberi impak. Tentang bagaimana kita menilai sumber tenaga yang sedia ada.

Siapa yang startkan benda nieh weii ?? - Ianya bermula sebagai sebuah kempen di Kotaraya Sydney, pada tahun 2007. Kempen ini mendapat sokongan dan amat berjaya , apabila hampir 2.2 milion rumah dan kedai perniagaan bersama-sama menutup lampu. Setahun kemudian acara ini telah menjadi sebutan di seluruh pelusuk bumi - dengan penyertaan hampir 50 million orang dan merangkumi sejumlah 35 buah negara. Acara ini diraikan , sebagai satu simbol harapan kepada satu perubahan.

Cuma tutup lampu lah ?? - Ya , hanya tutup lampu selama 1 jam (60 minit) pada 28 Mac ini , bermula jam 8.30 malam. Itu sahaja tanda sokongan yang perlu lakukan. Dan dalam kegelapan ini , mungkin kita boleh berfikir betapa sumber tengan itu seharusnya diguna dengan baik, dan bukan untuk dibazirkan.

Boleh ke saya buat benda ini ?? - Sudah tentu boleh . Hanya memerlukan hujung jari ,[Untuk menutup suis lampu] kita akan mampu mengubah nasib Bumi ini. Mari kita semua beramai-ramai menyahut seruan 60 MINUTES-Earth Hour 2009 .Yang akan berlangsung pada 28 Mac 2009 [Sabtu] , bermula jam 8.30 malam. Dengan hanya menutup semua lampu selama 60 minit , kita telah membawa harapan baru terhadap masa depan Bumi.

Apa matlamat untuk tahun ini ?? - Tahun ini, diharapkan sebanyak 1 billion umat manusia yang bertaburan di lebih 1000 buah kotaraya. Akan bersama-sama berganding bahu dalam projek global ini. Ini akan menjadi pemangkin yang kita boleh sama-sama mengambil tindakan bersama, dalam menangani isu pemanasan suhu dunia yang berlaku sekarang ini.

Siapa lagi yang saya nak ajak ?? - SEMUA!!! - Tindakan ini menuntut kerjasama semua pihak. Dari orang perseorangan, Industri Perniagaan dan komuniti setempat. Kita boleh bersama-sama keluarga , teman rakan dan ahli komuniti tempat kita tinggal untuk merayakan 1 jam tanpa cahaya ini. Begitu juga dengan Pihak berwajib , dan dari situ baru kita akan dapat melihat setiap bangunan. Yang melatari kaki langit setiap ibu kota dunia, bermula dari asia, eropah, africa dan amerika akan bergelap untuk menyahut seruan kempen ini.

Jadi apa saya nak buat sekarang ?? - Mari , kita war-warkan kempen ini kepada semua. Bersama-sama, kita akan membuat satu perubahan yang amat besar. Kepada alam yang menjadi tempat tinggal kita selama ini. Sehingga kini sudah hampir 538 kota di 75 negara, sudah menyertai Earth Hour 2009. Jumlah ini semakin meningkat dari hari ke hari, menunjukan bahawa semua pihak sudah mula memberi sokongan. Lihat, mudah bukan..kita cuma perlu percaya. Dengan hanya berkerjasama diantara satu induvidu kepada induvidu yang lain, kita akan melihat SATU KUASA besar yang akan membawa perubahan.
dipetik dari email - terima kasih Neny

Thursday, March 19, 2009

Tuesday, March 17, 2009

Kampung Parang Punting

Adik ini, sungguh luarbiasa. Dia telah menjadi ikon pada perbualan. Dia telah membuka media dan lensa kamera untuk berkampung di teratak usang yang tidak layak menjadi tempat tinggal di Kampung Parang Punting. Dan dia anak Melayu, ibu bapa Melayu, yang lahir di Negeri Kelantan. Daerah Pengkalan Chepa menjadi mahsyur tiba-tiba. Kerana menerima anugerah sebuah permata, Nik Nur Madihah seorang anak nelayan yang telah menjadikan anak-anak orang berada harus malu, kerana pencapaian par atau di bawah garis cukup-cukup makan dalam SPM 2008. Madihah, seorang pelajar polos Maahad Muhammadi (Lil Banaat).

Ya, saya lambat dalam memerikan hal ini.

Tapi, itu tidak membuat saya tertinggal untuk turut rasa bangga dan kagum pada Adik ini. Terlalu kagum. Dan Madihah telah menjadi ikon. Model untuk motivasi segera, adik-adik yang kelelahan menyempurnakan 6-7 subjek untuk satu semester. Supaya mereka jangan kalah dengan seorang anak nelayan, yang tidak punya apa-apa, tetapi sekarang dunia mengejarnya dan mahu memberikan segalanya.
Nik Nur Madihah istimewa. Dalam kekurangan dia menunjukkan jalan kelebihan.
Penuh yakin dengan keberkatan guru, dia menadah ilmu tanpa ragu-ragu.
Media tidak mengiktirafnya (atau belum lagi?) sebagai pelajar terbaik SPM 2008, tetapi rakyat Malaysia telah tahu. Nik Nur Madihah orangnya. Yang menunjukkan keputusan lampau cemerlang ketika Ayah membetulkan jala.
Geografi selalu membingungkan orang. Di tempat terpencil tetap ada kemilau permata. Seperti mutiara, di dasar laut gelap di dalam tiram tertutup rapat. Nik Nur Madihah seperti itu.
Dan adik-adik, alasan apa yang mahu kamu berikan lagi?
Saya mendoakan, Adik ini agar istiqamah, untuk mengamalkan ilmu dari sekolah yang telah mendidiknya baik, cemerlang dalam hasilan dunia, lebih-lebih lagi saya mendoakan dia sungguh-sungguh untuk menjadi muslimah yang tunduk pada Tuhan dan kasih pada NabiNya. InsyaAllah.
Moga doa ketika susah didengar dan dikenal langit, begitulah suaranya dikenali ketika tuah menyambutnya gembira.
Dan kalian marilah kita sama berdoa!

Wednesday, March 11, 2009

Salah siapa?

PPSMI, satu isu yang sangat hangat, panas, berbusa, berasap, pedih, berair, berFRU sekarang ini. Seperti perang. Saya bukan pakar yang boleh mengulas. Namun saya pernah melihat thesis dalam bidang kejuruteraan ditulis dengan menggunakan Bahasa Malaysia. Ia ditulis kemas dan indah. Juga penyampaian maksud yang tepat, tiada cacat cela.

Saya tidak juga boleh memberi komen.

Kadang-kadang yang salah itu kita-kita sendiri. Tidak sayang, juga tidak kasih. Sehingga kita kehilangan sesuatu yang menjadi bahagian diri waktu itu, seperti kata rakan, tiada gunanya.

Satu cerita benar. Sebuah keluarga. Melayu. Keturunan dan susur galur Melayu. Isteri dan suami adalah Melayu yang tidak boleh dicuci-cuci. Tetapi dia tidak pernah menggalakkan anak-anak berbicara dalam Bahasa Malaysia. Komunikasi di rumah perlu dengan menggunakan Bahasa Inggeris (rupanya cerita filem dari seorang Pengarah terkenal di Malaysia itu benar belaka). Sedang mereka (baca: ibu bapa kanak-kanak tersebut) tidak pula pernah belajar di British atau di England atau di US. Mereka kekal di Malaysia, belajar di Malaysia, bersekolah di Malaysia, beranak pinak di Malaysia. Tetapi, anak-anak tidak fasih berbahasa Malaysia. Meski anak-anak juga Melayu yang tidak boleh dicuci-cuci. Ketika orang lain mengkagumi kepetahan anak-anak kecil yang sangat lancar bercakap Bahasa Inggeris, mereka (baca: anak-anak itu) terpaksa dimasukkan ke kelas pemulihan kerana tidak fasih berbahasa Malaysia, di sekolah di dalam Malaysia, di Negara Malaysia.

Jadinya, salah siapa?

Tuesday, March 10, 2009

Simpai Keramat - Rindu Kamu

Masjid Nabawi - diambil dari arah Baqi'
(disuatu petang yang syahdu)

Tahu apa Simpai Keramat? Simpai Keramat bukan khusus mereka yang tinggal di Keramat ya, diulang suara, bukan penduduk Keramat.

Juga bukan merujuk kepada dawai untuk menggantung atau dalam Bahasa Inggeris, braces. Seperti yang didialogkan kawan saya untuk contoh membuat ayat dari perkataan simpai, “Dah buka simpai ekau dah yo”.

Simpai Keramat merujuk kepada satu-satunya waris yang tertinggal dalam sesebuah keluarga. Maksudnya hanya dia seorang, ibu bapa tiada, datuk nenek pun sudah tiada, adik beradik pun tiada. Pendek kata, seluruh keluarganya dihabisi dalam samada kemalangan, musibah, malapetaka, perang, dan sebagainya.

Tahukah kamu perasaan seorang Simpai Keramat? Jangan sesekali kamu mengakui faham perasaan mereka, kecuali, kamu sendiri adalah seorang Simpai Keramat. Saya cuma dapat membayangkan, ia pastinya adalah hidup yang sangat sunyi. Tanpa harapan, tanpa jaminan adanya kasih sayang, tiada tempat bergantung, tiada tempat untuk keluhan didengar dan diadukan. Sungguh, senyum pun boleh hilang. Suara juga boleh hilang. Keinginan untuk hidup juga tidak dapat dijelmakan.

Bagaimana mereka di hari pertama mereka menyedari menjadi Simpai Keramat? Ia satu perasaan yang ngilu, menggigit hingga nubari paling dalam. Mereka menunggu sekiranya ada harapan yang menjemput dalam ruang dan waktu yang sepi. Berfikir, adakah ada orang yang akan meminjamkan bahu untuk melepaskan esak tangis. Jeritan batin yang tidak tertahan, sudikah orang mendengarkan. Air mata yang tumpah, akan dibelakah?

Simpai Keramat garis dari legasi tunggal. Kerana tunggal mereka istimewa. Kerana tunggal mereka dibela oleh Yang Tunggal. Hidup mereka magis, jika mereka hidup. Hidup mereka Rahmatan Lil Alamin, jika mereka membangun tamaddun.

Mereka ini sekarang ramai di Ghazzah. Di Palestina. Di Afghanistan. Di Acheh. Di Sudan.

Nabi Muhammad adalah seorang Simpai Keramat. Terulung dalam dunia. Terunggul. Sejarah menyimpan khazanah tentang Rasulullah yang yatim ketika masih dalam kandungan ibu. Rasulullah ditinggal seorang tanpa ada adik beradik yang lain. Kemudian ketika umurnya masih kecil, Bonda Aminah pergi juga tanpa meninggal pesan. Rasulullah kemudian dititip kepada Datuk yang selepas 2 tahun meninggalkan dunia. Kemudian diasuh oleh bapa saudara yang miskin, Abu Talib. Disaat genting ketika Rasulullah butuh perlindungan, Abu Talib juga pergi. Tinggalkan Nabi sendiri.
Rasulullah, Sang Simpai Keramat, betul-betul simpai keramat yang magis. Baginda dipelihara. Meski dalam sepi tanpa tempat bergantung. Rasulullah membesar dewasa sebagai Wahdah Khaira Ummah. Sebaik-baik manusia. Semulia-mulia akhlak. Nama Baginda disebut dalam Quran, sebagai ‘abdu, yang ditinggikan maqam dengan perjalanan malam dari Makkah ke Bait Al Quds.

Simpai Keramat. Perjalanan waktu rebung yang menggigit. Teman setia, sepi dan pilu.

Jangan hairan jika antara mereka yang teranugerah dengan dalam golongan ini, kekal pergantungan mereka pada Allah. Kerana Allah dengan mereka dekat, terlalu dekat.

Kerana seorang, tempat bergantung (simpai) mereka transendental sifatnya, magis dari segi maknawi, kerana kasih sayang diutus terus dari naungan langit!

Dunia menyaksi, Sang Simpai Keramat, mengubah landskap dunia. Ketika lahir, terpancar cahaya putih di Kaabah hingga menggentarkan abid yang sedang beruzlah. Meniup padam api Majusi. Meruntuh istana Kisra Parsi. Menjungkar balik peradaban Romawi.

Putera zam-zam dan Shafa. Putera Makkah dan Mina. Putera pembawa rukun Kaabah dari segala sudutnya. Yang dihantar Jibrail ke Sidratul Muntaha.

Membawa bendera kalimah La Ilaha Illallah. Tiada Tuhan Melainkan Allah. Hanya Hu, yang Satu. Ahad. Alpha dan Omega.

Yang membawa wahyu pertama. Bacalah! Bacalah dengan nama TuhanMu yang Pemurah. Bacalah dengan nama TuhanMu yang Penyayang. Bacalah dengan nama TuhanMu yang Menciptakan. Yang menciptakan manusia dari segumpal darah. Yang mengajar insan dari kalam.

Muhammad Mustafa. Sang Simpai Keramat. Wahdah Khaira Ummah.
Di akhir, kamilah yang merayu-rayu, mengantung padamu memohon dikurnia syafaat.
Allahumma solli a'la Muhammad, wa a'la ali Muhammad.