Monday, April 27, 2009

10 Wasiat Hassan Al Banna

kongsi-kongsi dengan kawan-kawan
1. Wahai kawanku, segeralah tunaikan solat di awal waktu, di kala mendengar azan, usahakanlah semampu terdaya. Ini membuktikan kesungguhan anda. Di situ ada sumber kejayaan, di situ ada pertolongan, di situ ada sumber taufiq. Perhatikanlah, Tuhan mensyariatkan solat meski di medan perang disaat paling genting dan cemas.
2. Wahai kawanku, bacalah Al Quran dan cuba perhatikan mesejnya. Selalulah zikir dan cari ilmu walaupun sikit, kurangilah dengan masa yang tidak bertujuan, sesungguhnya Al Quran adalah sumber asli lautan ilmu, sumber hidayah. Bacalah Al Quran, kelak ia memberi syafaat. Sentiasalah membaca, menghafal dan hayati mesej arahannya. Selalu berzikir, berzikir dan terus berzikir. Di sini ada ketenteraman di sini ada kedamaian, di sini ada kesalaman, jadilah hamba yang sejahtera.
2 dulu, kita kaji dulu dan amalkan dulu. Selamat beramal.

Monday, April 20, 2009

Singapura Tanah Seberang

Jika Merlion (baca: merlayon-patung berkepala Singa dan berbadan ikan) adalah penyambut tetamu, ia bukan penyambut tetamu yang mesra. Dengan mulut yang terbuka dan sepanjang masa mengeluarkan air, ia ikon yang mengerikan sebenarnya. Jika difikir lebih panjang dari mana air itu datang, mungkin kita akan jadi ragu-ragu. Tetapi perjanjian antara Malaysia-Singapura untuk bekalan air termurah kan masih lama, jadi simpan dulu ragu-ragu. InsyaAllah, air yang keluar dari Singa ngeri yang tidak reti tutup mulut itu masih lagi suci. Meski pada saya Merlion ngeri, nilai komersial tetap mengamit pelancong dari seluruh dunia tidak pernah pun pernah berkurang. Apa ada di Kota Singa?



Tiga tahun dulu saya dibekalkan dengan phampalet Singapura untuk satu tugasan. Saya cuma melihat makalah itu seadanya, tidak sangka pula akhirnya saya benar-benar berada di Singapura untuk tugasan yang lain pula.

Barangkali pedih kehilangan Pulau Batu Putih masih terasa, tetapi tidak salah bukan untuk pergi melawat, melihat tempat orang. Ya, Singapura tempat orang meski dari Johor ke Singapura hanya sekadar beberapa kilometer sahaja. Tugasannya mudah, lihat tempat orang, lihat apa yang membuat mereka hebat, apa yang menyebab kita terlalu tertinggal, cari apa yang boleh dipelajari akhirnya meminjam jika sesuai.

Balik dari sana saya berbicara dengan adik, "Singapura adalah sebuah negara kota".

Adik saya memberi respon, "Oh, ia sama seperti negara kota yang wujud sewaktu zaman Greece dan Rom". Saya menggaru kepala, untuk hal-hal sejarah saya angkat tangan tidak reti untuk berlawan hujah.

"Di Greece, setiap satu kota yang wujud adalah satu negara".

"Yolah. Ia sebuah negara kota yang sangat bersih. Sepanjang jalan kita akan diiringi oleh pokok-pokok hijau yang menjulang tinggi. Dirapikan sempurna, seolah-olah pokok-pokok itu dicuci dan dibersihkan setiap hari. Ia pengalaman yang sama kalau kita berjalan masuk ke UPM atau menghala ke lebuhraya Mahameru. Cuma di Malaysia penjagaan landskap tidak begitu kritikal seperti di Singapura".

"Mmm, kalau kita bergerak ke arah Pantai Timur lagi hijau. Semulajadi lagi. Di Karak, di kilometer 39.5, di km 44.4 dan banyak tempat lagi, kan hijau-hijau semuanya".

"Dik, ini saya bercakap tentang kota. Sebuah kota dengan landskap hijau. Ada kat KL?. Kamu hendak kerja di Singapura. Tukang sapu sampah boleh sahaja menjana pendapatan 1800 Sing Dollar sebulan. Mahal tu. Cuba darabkan dengan 2.4 untuk ditukar nilainya kepada RM".

Adik saya bersikap tidak endah. "Tahu tidak Singapura tidak pernah pun jadi milik Malaysia?"

Saya menjegil mata tidak faham. Sejarah lagi. Saya memang tidak reti.

"Sewaktu Malaysia diisytiharkan merdeka, British tidak mahu menyerahkan Singapura kepada Persekutuan Tanah Melayu. Sebab itu Lee Kuan Yew masuk Malaysia untuk membolehkan Singapura di bawah pentadbiran Tanah Melayu. Kemudian selepas itu baru Lee Kuan Yew mohon keluar dari persekutuan untuk merdeka dan mendapat kebebasan penuh."

"Jadi, Singapura memang tidak pernah menjadi milik Malaysia".

Adik saya pakar sejarah tidak rasmi itu mengangguk.

"Yup, Singapura memang tanah seberang".

"Tapi lama dulu, sebelum ada orang luar, Singapura adalah sebahagian dari Kepulauan Melayu. Kita satu pulau yang serumpun. Masih ramai lagi orang Melayu di sana".

"Seperti mana mereka itu?"

Saya diam. Tidak mahu beri respon. Kami di bawa melawat di kawasan Melayu di Kampung Gelam. Di sana ada istana, yang dulu menjadi tempat kediaman keluarga di raja. Tetapi seluruh dunia telah tahu, golongan di raja Melayu ini diberi penempatan lain (atau kita patut baca dihalau dari tanah sendiri). Kawasan Kampung Gelam dan Istana diberi nama lain. The Malay Heritage. Ada masjid, ada gerai-gerai kecil menjual cenderahati, ada kedai-kedai menjual makanan halal, ada Istana yang dijadikan tarikan pelancong. Dalam hati, saya mengandaikan, orang Melayu di Singapura telah menjadi sebagai bahan muzium, mereka dilihat pelancong luar sebagai bahan tarikan. Sebagai produk pelancongan. Itu sebenarnya yang saya rasa dan tidak mahu diceritakan pada adik.

Ah, kebetulan mungkin, saya kemudian membeli novel Rawa yang ditulis oleh Isa Kamari. Seorang Melayu yang tinggal di Singapura. Kita boleh merasai sendiri, rasa pedih kehilangan sesuatu yang kita sayang, yang membuluh dalam darah diambil orang. Kerana silap sendiri, kerana serakah penguasa.

Saya memberi adik. Sebuah globe. Globe itu kecil, dan diruang disebelah Laut China Selatan mereka cop gambar Merlion besar, mungkin 1/4 dari globe kecil itu.

Adik saya merenung globe macam ada yang salah (selain dari sejarah, dia juga pakar geografi) "Padahal, mereka (Singapura) di dalam peta tidak kelihatan langsung. Halus seperti debu. Kenapa di globe ini seolah-oleh dunia ini mereka yang punya".

Khali. Dalam hati, saya ingin berpesan, "Saya bagi kamu globe kecil muat dalam gengaman, agar kamu dapat menyimpan cita. Satu hari nanti, nanti, kamu benar-benar akan menggengam dunia".

Saya berjalan-jalan di KL kemudian dari minggu saya pulang dari Singapura. Siapa kata di KL tiada pohon hijau yang cantik?

Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri. Lebih baik hujan batu di negeri sendiri.

Ya benar.








Friday, April 10, 2009

Musibah

Kawan saya, seorang Abang terlibat dalam kemalangan. Serius.
Akhi saya itu, berjalan malam untuk menghantar anak tiga orang ke stesen keretapi kerana bersekolah di Kelantan.
Pada malam yang malang itu, Akhi sekeluarga menaiki kereta bersama isteri dan enam orang anak.
Akhi saya, bukan orang yang minat pada kereta. Juga bukan berani memandu kereta dengan laju. Paling maksima 80 km/j. Di tengah jalan, ada kerbau merentangi. Demi untuk keselamatan haiwan, Akhi saya mengilas stereng untuk mengelak. Kerana kilasan tersebut tidak disangka mengenai punggung kerbau lalu membuat kereta akhi saya terbabas ke gaung. Akhi saya bersama isteri dan anak-anaknya terbang 5 meter dari permukaan tanah. Terhempas masuk ke dalam gaung. Kereta mengiring ke kiri menyebabkan isteri tersepit. Anak kecil yang belum umur 2 tahun terpelanting ke belakang. Anak perempuan yang paling kecil juga terselamat.
Akhi saya cedera tulang belakang. Tulang belakangnya termampat disebabkan hentakan kuat.
Isterinya terhantuk di dahi menyebabkan benjol besar dan darah beku mengalir turun ke wajah dan menjadikan matanya seperti mata beruang panda.
Anak yang seorang patah tiga di tangan.
Anak yang lain patah tulang di rahang.
Yang satu lagi patah tulang peha.
Akhi saya, ketika kami mengunjungi beliau terlantar di perbaringan tidak mampu untuk duduk lama.
Isteri akhi saya masih benjol besar di dahi.
Tetapi, ada rakan saya yang lain berkomentar. Akhi ditimpa musibah kerana akhi tidak berjujur dalam pekerjaannya. Rakan saya itu kata, akhi curi tulang. Kerana itu rezekinya tidak berkat. Kerana itu rezeki yang diperolehi perlu dibayar lain. Bayarannya kepada kemalangan yang menimpa mereka sekeluarga. Bayaran kepada kerosakan yang berlaku pada kereta. Duit dari rezeki yang kata kawan saya itu tidak berkat, perlu dibayar kepada pembedahan anak-anak yang patah riuk.
Saya hilang kata. Tidak tahu berkomentar apa.
Akhi saya, orangnya zuhud. Dirumahnya tidak ada perabot, melainkan rak-rak buku yang disusun kemas untuk menyimpan khazanah keilmuan. Sama seperti koleksi buku, begitulah Akhi yang menyanjung tinggi ilmu.
Akhi saya, orangnya paling pendiam. Dia tidak akan bercakap melainkan perkara-perkara yang mengingati Allah dan Akhi akan menjauhi dari perbuatan yang lagha.
Akhi saya, orang yang solat tepat waktu. Tiada yang akan menghalangi Akhi dari solat berjemaah bila bilal melaungkan azan.
Akhi saya, orang yang istiqamah berpuasa sunat Isnin dan Khamis. Yang tidak pernah putus zikir. Yang tidak meninggalkan kopiah.
Akhi saya, seorang haji. Yang saya percaya, telah putih sukma dan batinnya suci.
Rakan saya masih meneruskan kata celanya. Mencela orang yang mempamerkan identiti putih, tetapi di dalam dada penuh cerita lain.
Saya hilang kata. Masih tidak tahu berkomentar apa.
Saya mengenang Akhi. Dalam keadaannya yang parah berbaring, dia masih menasihati. Ikhlas dari hati seorang Abang. Menasihati saya agar jangan memandu terlalu laju. Tetapi di mulutnya masih senyum. Tiada sedikitpun keluhan dan menyesali apa yang terjadi. Tidak pernah sekali menyalahi haiwan yang merentangi jalannya malam itu. Tidak pernah mengeluh kerisauan terhadap anak-anak, meski di hatinya kami tahu sedang rusuh. Di wajahnya tetap tenang, meski berbaring, seperti wajahnya ketika sihat. Putih, tenang dan tunduk.
Anaknya masih di hospital. Menunggu giliran untuk pembedahan.
Saya hilang kata. Masih tidak tahu berkomentar apa.
Dalam cepu, saya tahu "Tidaklah seorang muslim tertimpa suatu penyakit, keletihan, kepedihan, kesedihan hingga kecemasan yang di rasakan-nya, melainkan dengan-nya Allah akan menghapuskan kesalahan-kesalahan-nya." (Muslim , no. 5573)
Seperti Nabi, yang sering diuji kerana syarat untuk dekat dengan Tuhan, hamba mengikhlaskan diri meski dalam apa bentuk keadaan dirinya diuji.
Ya Allah, sembuhkan Akhi dan keluarganya, kerana Engkau Maha Penyembuh.

Thursday, April 02, 2009

Pilih pemimpin

“Selamat tinggal. Selamat membuat Su Doku”.
“Tidak. Malam ini saya tidak mahu buat Su Doku, mahu menulis”.
Teman kita meninggalkan kita seorang. Kita mengeluarkan cermin mata. Memakai sambil meneliti nasihat yang disampaikan Imran Hossein dipetik dari hadith.
'When the most wicked member of a tribe becomes its ruler, and the most worthless member of a community becomes its leader, and a man is respected through fear of the evil he may do, and leadership is given to people who are unworthy of it, expect the Last Hour'.
Kita melihat seseorang dalam talian. Kita buzz dan bertanya soalan.
“Kalau awak diberi pilihan, pemimpin macamana yang mahu?”
Senyap. Tiada respon. Tetapi isyarat di yahoo messenger menunjukkan dia sedang menulis sesuatu.
“Oh, saya tidak akan minta banyak. Saya akan minta 6 perkara sahaja”.
“Enam? Sikit nye. Apa dia?”.
“Satu, pemimpin harus memikul tugas intelektual”.
“Itu yang pertama?”
“Ya! Seharusnya begitu. Kerana ketua juga dilihat sebagai tempat rujukan. Katanya selalu ditafsir sebagai perkara wajib buat. Jika sekiranya ketua cetek ilmu, maka penilaian dan kemampuannya mengemudi sangat diragui. Dan dia juga perlu menanamkan pada orang lain cinta ilmu”.
“OK, kedua?”


“Perlu memberi bimbingan keagamaan. Dia perlu jelas garis pemisah itu. Dosa dan pahala. Supaya dia dapat beri bimbangan tepat pada orang. Juga, bila dia bertindak, dia juga berada dalam kefahaman tentang dosa dan pahala yang jelas”.

“Kalau begitu, semua pemimpin perlu ada kelulusan agama lah?”

“Tidak semestinya. Orang agama pun, meski tahu dosa pahala, tetapi buat seolah macam dia tidak tahu apa. Lagi teruk yang suka label bidaah sana sini”.

“Tiga?”

“Perlu dekat dengan rakyat. Perlu memikul tugas komunikasi dengan rakyat. Dia tidak boleh lihat terpisah dengan rakyat dengan membentuk kelas elit. Rakyat patut boleh berjumpa terus tanpa karenah birokrasi yang bukan-bukan. Dan dia perlu melantik tok wakil di daerah terpencil yang memegang aspirasi yang sama. Telus. Terbuka. Tanpa ada tirai pemisah”.

“Macam susah nak jumpa je perkara macam tu. Sedang hendak jumpa boss di pejabat pun mesti buat temujanji dua tiga hari. Empat?”

“Mesti ada dalam hati pemimpin rasa tanggungjawab untuk tegakkan syi’ar Islam yang sebenar. Bukan make up. Bukan temple menempel. Bukan sekadar retorik. Islam yang sebenar, melalui jalan Nabi”.

“Uish, garang nampaknya yang ini”.

“Mesti, soal syariah kena tegas”.

“Yolah. Seterusnya?”

“Mesti dan mesti, pemimpin perlu paling ke hadapan untuk mempertahankan hak-hak rakyat! Bila hak mereka dirampas, mereka yang berjuang untuk mengembalikan ke tempatnya yang hak. Kalau mereka menderita, pemimpin harus rasa sama dan melepaskan belenggu yang memasung kebebasan mereka”.

“Uiks, lagi garang kriteria yang ke 5 ini. Akhir sekali?”.

“Pemimpin, harus bukan, WAJIB berjuang melawan musuh-musuh Islam dalam dan luar!”

Kita diam. Enam perkara sahaja yang dituntut. Macam sedikit, tetapi macam tidak ada di negara kita ini. Air kopi tadi sudah sejuk. Kita teguk juga sampai habis. Erkk, tidak berapa sedap rupanya kopi sejuk. Dalam pening mencerna, rasanya kita setuju juga dengan kriteria yang enam itu. Soalnya, ada ke pemimpin seperti itu?

Awak, pemimpin macamana yang awak inginkan?

Wednesday, April 01, 2009

Kenapa tutup lampu?

28 Mac 2009

Anak : Ibu, kenapa kita mesti tutup lampu.
Ibu : Bumi kita sedang sakit, jadi kita kena tolong Bumi untuk ubatkan dia.

29 Mac 2009

Anak : Ibu, kenapa hari ini kita tidak tutup lampu? Bumi kita sudah sihat ya?
Ibu : ......