Wednesday, May 27, 2009

yang paling Besar
tidak boleh terlihat
masakan!

selagi ada cahaya
jika tidak nampak
kamu...
telah buta

Monday, May 25, 2009

Siapa yang pertama?

Johannes Eugenius (3 November 1841 – 2 April 1924) diberi gelar sebagai pelopor kepada disiplin keilmuan ekologi. Beliau merupakan seorang botani Denmark dan ikon utama sebagai pelopor bidang ekologi secara saintifik. Beliau pertama yang menulis buku teks berkenaan dengan ekologi tumbuhan, orang pertama yang mengajar kursus ekologi dan yang pertama menyusun konsep dan kandungan silibus. Antara buku teks yang telah ditulis oleh beliau berkenaan dengan botani, geografi tumbuhan dan ekologi yang telah diguna pakai seluruh dunia.
Betul ke Eugenius pelopor bidang ekologi?
Sebelum itu ekologi itu apa? Dalam Kamus Dewan edisi keempat, ekologi ialah kajian tentang hubungan antara organisma hidup dan persekitarannya, atau juga ditafsir sebagai hubungan antara tumbuhan, binatang dan manusia dengan persekitaran.
Jadi, betul ke Eugenius pelopor bidang ekologi? Ya, jika kita mengiyakan apa saja yang disuap media dan tidak mengenal Nabi. Yang pertama guru kita tentang ekologi tentulah Nabi, bukan orang lain.
Saya terlalu mengada-adakan cerita?
Perkataan ekologi belum tentu ada zaman Nabi.
Owh, sudah tentu, itu saya juga setuju. Tetapi jika lihat pada definisi ekologi yang diberi oleh Kamus Dewan, saya sedikit pun tidak akan ragu bahawa yang pertama tetaplah Rasulullah sawa. Bukan orang lain.
Antara hadis yang dinukilkan:
“There is none amongst the believers who plants a tree, or sows a seed, and then a bird, or a person, or an animal eats thereof, but it is regarded as having given a charitable gift [for which there is great recompense].” [Al-Bukhari, III:513].
Yang ditulis kekal dalam Quran:
“No creature is there on earth nor a bird flying with its wings but they are nations like you [6:38]”;
Dalam surah 30 ayat 41, ‘telah timbul pebagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)’.
Satu aspek ekologi, spesifik dalam pengurusan tanah yang jarang-jarang sekali dibincangkan oleh Ustaz dan Ustazah. Nabi Muhammad telah mengajar kita, tanah sebagai tempat kita bersujud, juga sebagai alat untuk menyucikan diri (tayammum) sekiranya tiada air.
“The earth has been created for me as a mosque and as a means of purification.” [Al-Bukhari I:331]
Dah tahu dah.
OK.
Tapi tahu tidak bahawa ada aspek lain mengenai pengurusan tanah yang diajari Nabi, tetapi tidak diketahui umum tentang ini.
Dalam konteks moden, kita menyaksikan penggunaan tanah secara berleluasa. Tanah, walau apa-apa pun akan tetap tunduk pada penguasaan manusia. Buatlah apa sahaja kerana tanah tidak punya suara. Sedikit pun tidak akan mengeluh kerana ‘ia’ tunduk pada ayat:
“Dan dia menundukkan untukmu apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi semuanya daripadaNya. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda kekuasaan Allah bagi kaum yang berfikir”. Al Quran surah Al Ja’siah ayat 13.
Meskipun begitu Nabi mengajari, tanah tidak boleh sama sekali disalah guna kerana ia juga ada hak. Hak ke atas ‘diri’nya sendiri, dan juga makhluk lain yang hidup di atas tanah (pokok dan hidupan liar) dan dikongsi bersama-sama dengan manusia.
Jadi?
Jadi Nabi memperkenalkan satu konsep yang dikenali sebagai hima’ dan haraam.
Apa hima’ dan haraam?
Hima dan haraam ialah kawasan dipelihara. Kawasan ini adalah kawasan sumber yang perlu dibiar dengan keadaan semulajadinya tanpa perlu pencerobohan manusia. Mungkin istilah yang kita faham hari ini ialah sebagai hutan simpan. Di Malaysia kita ada hutan Belum dan juga taman negara. Juga kita punya beberapa kawasan paya bakau yang dikekalkan. Jika tidak ingat, tsunami pada 2004 kita bernasib baik kerana tidak terjejas teruk meski epicenter dekat sahaja di Acheh. Ini adalah kerana paya bakau menjadi zon penghadang dari kerosakan yang lebih besar.
Secara ringkas;
Haraam adalah kawasan yang diwujudkan di sekitar perimeter telaga dan sumber air bawah tanah. Haraam diwujudkan untuk menghalang manusia supaya tidak mengambil air secara berlebihan. Memastikan air yang diambil untuk kegunaan manusia, kekal dikitar semula melalui air hujan. Kawasan tanah di perimeter telaga ini berfungsi sebagai kawasan serapan air hujan untuk dikembalikan semula ke bawah tanah.
Hima pula dikelaskan sebagai kawasan untuk melindungi haiwan liar dan hutan. Kawasan hima ialah kawasan yang dikhaskan sebagai tanah yang dilindungi. Pemugaran dan penebangan pokok adalah dilarang sama sekali. Haiwan yang hidup di dalamnya dilindungi sepenuhnya. Boleh kita katakan sebagai rezab untuk menjamin hak hidupan liar dan memeliharaa hidupan liar dan hutan keseluruhannya.
Secara praktis?
Owh, secara praktis Rasulullah pernah mengisytiharkan sekitar Madinah sebagai hima’. Hima’ diletakkan di bawah tadbir urus pemerintahan negara. Pengganti Rasulullah seperti Saidina Umar dan Uthman juga mengamalkan hima’. Di Asia Barat di zaman ini juga mewujudkan beberapa buah hima’ dan kemudian diiktiraf oleh Pertubuhan Pemakanan Sedunia sebagai contoh pengurusan bijak terhadap ekologi.
Dan bagaimana pula Nabi mengajari kita terhadap pengurusan tanah terbiar?
Rasulullah saw yang bijak telah menunjukkan untuk manusia mengusahakan mana-mana tanah terbiar yang subur. Mereka-mereka yang mengusahakan tanah terbiar secara produktif seperti menanam tumbuh-tumbuhan, menyemai benih dan mengairi tanah yang gersang. Pada mereka sebagai perbuatan baik yang diganjari pahala.
“Whoever brings dead land to life, that is, cultivates wasteland, for him is a reward therein.”
Mereka yang mengusahakan tanah-tanah terbiar ini berhak untuk memilikinya. Mudah bukan menyelesaikan masalah tanah terbiar?
Itu baru hal pengurusan tanah. Belum lagi pengurusan air dan haiwan, dan banyak lagi yang mencerminkan ajaran Nabi terhadap pengurusan alam sekitar dan ekologi.
Eugenius sebagai pelopor ekologi dunia?
Saya undi tidak.Kerana Rasulullah lama sudah mengajari, kita melupai.

Friday, May 22, 2009

Bunga dalam Pantun

Lelah memerhati senario politik, mari kita melenggok dengan pantun Melayu. Rupanya, khazanah kesenian dalam pantun, cantik dihiasi bunga-bungaan yang tumbuh dan fauna melata di tanah ini, tanah Melayu. Seperti ini:

Terbang burung dari selatan
Dipuput angin sangga bayu
Bukalah surat dari lipatan
Lihatlah pantun bahasa Melayu

Bunga tanjung kembang semalam
Pohon tinggi tidak berduri
Gelombang besar di laut dalam
Kerana tuan saya ke mari

Anak punai hutan
Di pokok ara tinggi
Kunyah-kunyah telan
Datuk tak ada gigi

Tuesday, May 19, 2009

Selsema Babi: Jom makan tanah

Selsema babi, sudah sampai di Malaysia. Jika ia tersebar, apa yang boleh dilakukan? Kalau ikut artikel di wikipedia, asal usul genetik influenza A1 adalah dari babi (swine maklumat di ambil di sini). Setakat ini, sudah lebih 70 kematian seluruh dunia. Malaysia mencatat pesakit pertama di Hospital Sungai Buloh. Menyeramkan, selsema babi sudah ada!

Dan tentu, hal berkenaan dengan haiwan ini sangat sensitif. Terutama bagi muslim kerana orang Islam mempunyai prosedur pembersihan yang ketat meski hanya tersentuh dengan haiwan ini. Kalau tersentuh sahaja dengan babi, kita diwajibkan untuk membersihkan sekali dengan air bercampur tanah, dan enam kali lagi dengan air bersih yang biasa.

Kenapa tanah ya?

Dulu ketika lihat pelajar melakukan kerja makmal dengan menggunakan tanah, ramai pelajar yang kerut-kerut muka. Kata mereka "Tanah ini kotor, tidak tahu datang dari mana. Mana tahu kalau bercampur najis". Tetapi jawapan yang mereka dapat dari instructor, "Tanah ini saya yakin lebih bersih lagi menyucikan dari kamu semua". Betul, tanah boleh jadi lebih suci dan bersih dari manusia sendiri.

Jika tersentuh babi atau anjing (dalam keadaan basah) samada sengaja atau tidak, sejumlah organisma akan melekat di bahagian yang tersentuh. Organisma ini pula sukar untuk dibersihkan melalui proses pembersihan yang biasa, iaitu dengan air dan sabun. Untuk itu pembersihan perlu dilakukan sekali dengan air bercampur tanah. Wajib guna air bercampur tanah, tidak boleh tidak.

Tanah sebenarnya secara semulajadi mempunyai cas-seperti cas elektrik mungkin. Ini yang ramai tidak tahu dan saya juga baru tahu. Cas inilah antara faktor utama yang menjadi penentu kesuburan tanah, selain dari kandungan bahan organik dan juga pH. Disebabkan kehadiran cas inilah, tanah berkeupayaan untuk menarik organisma yang melekat berasal dari babi dan anjing. Kerana itu tanah mempunyai elemen membersih semulajadi, kerana itu ia suci lagi menyucikan.

Mmmm.

Siapa tahu, mungkin tanah juga boleh dijadikan penawar bagi influenza A1?

Mmmm.


Thursday, May 14, 2009

aku mahu
diterbangkan helang
ke awan
menumpangi
bahtera Nuh

bintang di syurga
sambutlah!

Monday, May 04, 2009

Masih di Singapura

Saya tidak berpeluang pun menaiki bot bergentian kaca seperti gambar semasa ke Singapura. Tetapi saya membayangkan dalam cerpen Jerap Agung seperti berikut:
"Dalam perhimpunan agung H2O terbesar pernah diadakan, tempatnya di Kota Singa, betul-betul di bawah Read Bridge. Kalau dari udara, Read Bridge menghubung aliran Sungai Singapura seperti huruf V. Dalam kesibukan pelancong menikmati keindahan panorama dengan menaiki bot berbumbung kaca, bot tradisional mahupun menaiki kapal persiaran, tidak ada seorang manusia pun tahu bangsa H2O telah berkumpul untuk misi yang boleh mengubah peta dunia secara drastik". (cerita untuk mengebom kuasa besar dunia, :) )
Saya tidak akan bercerita mengenai Read Bridge, tetapi saya akan bercerita mengenai Geylang Serai.
(klik pada gambar untuk lihat lambang apa di bangunan tersebut. Untuk yang biasa membaca mengenai Freemason, itu bukan lambang yang asing).
Ada satu aktiviti menarik sebelum kami pulang semula ke Johor Bharu. Di malam terakhir di Singapura, kami di bawa melawat Geylang Serai. Bukan malam sangat pun, jam di tangan menunjuk pukul 8 - 8.15 pm. Saya sendiri tidak pernah tahu apakah Geylang Serai. Sangka saya satu lagi tempat untuk bershopping. Tetapi memang betul, ia tempat bershopping untuk 'ayam hidup' yang original juga yang tidak original. Jadi, penjualan 'ayam hidup' amat terbuka di sini. Ini pengalaman pertama saya, untuk melihat sisi gelap di Singapura. Singapura yang sekitarnya amat bersih di siang hari, rupanya diselubungi cerita lain bila waktu malam.
Jangan salah sangka, kami tidak turun pun dari bas. Seolah-olah sedang menikmati 'night safari' tetapi tiada haiwan liar, yang ada cuma 'ayam' yang berkeliaran sahaja. :) (tetapi suasana di dalam bas sudah jadi liar juga, :) )
Ia satu jalan yang agak panjang. Pemandu bas kami juga membawa bas perlahan mungkin. Kata pemandu pelancong kami, ia adalah satu senario yang perlu ditunjuk. Ini realiti di Singapura. Terbuka. Sangat terbuka. Tiada sensorship. Datang sahaja ke Geylang Serai. Majoriti yang membuka perniagaan malam ini adalah imigran yang berkerja kontrak di Singapura.
Komentar pemandu pelancong kami, "Kesian mereka ini. Keluarga jauh, kampung jauh. Jadi kenalah bantu". Bas sudah pecah dengan tawa. Saya cuma melihat kiri dan kanan jalan. Jumlah mereka tidak terkira.
Satu fakta menarik. Sepanjang-panjang jalan kami sedang melihat paparan yang sangat asing tetapi begitu terbuka. Tiada penguat kuasa. Berpakaian semenarik mungkin (seksi), mereka sedang melakukan bargain untuk transaksi yang akan berlangsung nanti.
Komentar pemandu pelancong kami lagi, "Ini adalah aktiviti yang tidak dibenarkan pemerintah, tetapi mereka biarkan sahaja. Jadi memang tiada penguatkuasa untuk menghalang. Tetapi pemerintah menetapkan satu syarat sahaja, jangan buat kacau. Kalau ada masalah selesai sendiri".
Saya memerhati lagi. Jumlah mereka bertambah ramai, kiri dan kanan jalan. Dan ia mengumpulkan sejumlah orang dari pelbagai raut wajah yang berbeza. Raut wajah dari seluruh dunia. Yang seperti Cina ada, Bangladesh ada, Filipina, Indonesia, wajah-wajah Melayu, India, dan ramai lagi. Orang Putih ada. Boleh dikatakan hub "perniagaan malam" taraf internasional.
Sepanjang-panjang jalan penuh mereka. Cuma yang ajaib, bila berada di hadapan perkarangan masjid, keadaan jadi lengang. Baik di masjid sebelah kiri jalan, atau di sebelah kanan jalan. Lengang, memang lengang. Kosong, tiada orang. Tetapi jauh sedikit dari sempadan masjid, ia akan jadi lagi. Bersusun-susun orang. Seperti di pasar malam. Ramai seperti itu.
Kemudian tourist guide kami menokok "At the place of worship, ia akan jadi kawasan aman. Mereka tidak akan membuat bargain di situ".
Kawan saya kata, mereka sudah mencapai tahap kesedaran tinggi kerana tahu menghormati masjid dan tempat ibadah.
Saya? Saya masih cari ayat yang sesuai. Tidak tahu hendak kata apa.
Jalan itu memang agak panjang. Saya menunggu saat akhirnya. Pemandangan ini sangat asing. Tetapi mereka-mereka yang nakal tetap mengambil peluang mencuci mata (saya? sampah saya tidak nakal). Akhirnya bas menjadi riuh rendah bila melihat di hadapan sebuah restoren, di satu meja bulat, sekumpulan 'ayam hidup' tidak ori, dengan berpakaian perempuan dan make up ala-ala malatop gitu sedang menunggu pelanggan.
Saya senyum. Entah untuk apa.
Jika kemajuan perlu harga, adakah ini harganya? Dan soalan lain, adakah kita mahu membayarnya?