Tableau

Kuantan, ia sebuah bandar yang banyak meninggalkan peristiwa. Jika diberi pilihan, saya tidak mahu kembali ke sana. Tetapi hidup bukan semuanya atas pilihan bukan? Kerana saya berada di sana minggu lalu, atas takdirNya saya belajar satu perkataan penting, iaitu Tableau (dibunyikan sebagai tablo). Ia adalah satu perkataan yang digunakan dalam kesusasteraan Inggeris, tetapi sampai sekarang saya tidak tahu andai ada perkataan Bahasa Malaysia yang boleh menggantikan perkataan tableau.
Untuk ringkasan, tableau ialah satu peristiwa yang belaku dan imejnya kekal berada di dalam fikiran sampai bila-bila. Untuk contoh, imej Tunku Abdul Rahman ketika menjulang tangan dan melaungkan kemerdekaan adalah satu tableau bagi ramai orang di Malaysia. Imej itu sangat penting, sehingga tercatat dalam banyak buku-buku sejarah.

Nanti dulu, kita cuba satu untuk memahamkan kata tableau ini. Sekarang tutup mata dan bayangkan tentang kemerdekaan. Jika awak melihat Tunku sedang menjulang tangan kanan di angkasa, ia sudah menjadi tableau bagi awak. Dan tak salah lagi, ia sudah lama menjadi tableau bagi saya.

Tableau untuk saya mengenang peristiwa yang belaku dalam dan luar negara ada banyak. Mata Anwar lebam. Wajah SN Samad Said dibedil gas pemedih mata dengan sapu tangan kuning ketika membantah PPSMI. Ketika Tun menangis diminta untuk tidak meletak jawatan. Sorakan kemenangan Piala Thomas 1992. Maradona yang menggunakan tangan untuk menjaringkan gol. Zinadine Zidane yang menanduk pemain Itali pada perlawanan akhir piala dunia.

Untuk mutakhir ini, kapal Mavi Marmara dan MV Rachel Correy. Dan jika mengenang Palestin, saya akan segera terkenang peristiwa pembantaian Masirah anak Ad Durrah. Juga Rachel Correy yang digilis jentolak Israel. Wajah Syeikh Ahmad Yasin syahid dan badannya berkecai, Juga wajah Hasan Nasrallah sebagai wira Lubnan pada tahun 2006 mengusir keluar Israel.

Tableau.

Ia sebuah perkataan yang besar. Saya beruntung dapat mempelajarinya meski masih belum menjumpai perkataan yang sesuai dalam Bahasa Malaysia. Boleh tolong saya?

Tableau.

Ia cuma imej. Yang ada dalam kepala. Tidak dapat dikikis-kikis. Yang pasti tableau tidak datang suka-suka. Kita tidak melihat sesuatu yang biasa kemudian akan menjadikan ia tableau sepanjang hidup kita. Tableau datang bersyarat. Ia mesti datang dengan peristiwa. Sekurang-kurangnya peristiwa yang penting bagi kita jika ia bukan menandakan sesuatu yang penting untuk negara atau masyarakat global (seperti penahanan Flotilla Kemerdekaan Mavi Marmara).

Saya ada banyak tableau di Kuantan. Kerana itu saya dapat mempelajarinya. Cerita? Errrmmm......


Comments

Popular posts from this blog

さくら満開

Bulan Mengambang

17 Ramadan 1435 Hijrah