Sunday, January 31, 2010

Cerita Ikhlas

1. Coach memanah

Kata coach yang banyak jasa ini, 'Sebahagian dr tanda syukur itu ialah jujur, taat, redha & ikhlas. Tanpa tanda2 tersebut, jelaslah ia kufur & kufur itu lebih hina dari kafir.' (boleh klik di sini).







2. Kata sahabat saya
Dipetik dari cerita Kiamat Sudah Dekat. Seorang lelaki ingin meminang anak kiyai. Lelaki tersebut sudah diuji dengan pelbagai ujian sehinggalah akhir sekali Pak Kiyai meminta lelaki belajar ilmu ikhlas. Pada masa yang sama, Pak Kiyai ada menantu pilihan, lulusan agama dari Universiti Azhar. Lelaki yang tidak kenal putus asa mahu kekal bersaing belajar ilmu ikhlas dari pelbagai buku. Makin dibaca makin tidak faham. Akhirnya dia menyerah diri pada Pak Kiyai, menyatakan hasrat hatinya (rasa cintanya pada si gadis) dan ketidakmampuan dia untuk memahami ilmu ikhlas. Tindakan lelaki itu lah tindakan ikhlas. Dan Pak Kiyai menikahkan anak perempuannya dengan lelaki ini. Kata Pak Kiyai, "ikhlas itu bukan di dalam buku, tapi ia pelajaran yang terbit dari dalam hati dan dibuktikan dengan perbuatan." (boleh baca buah fikirannya yang lain di sini)

3. Kata kenalan saya
"Asal, dalam dunia ini semua orang berpolitik. Tiada siapa yang benar-benar ikhlas."
Saya menjawab, "Ikhlas itu pokok pangkalnya samada kau nak atau kau tak nak. Bukan soal lain. Ianya atas kau, kaulah yang akan buat bukan dipaksa atau terpaksa."
Dia kemudian menyambung, "Asal, dalam dunia ini yang paling ikhlas kau buat ialah apa yang kau buat di dalam bilik air."

Saya menjawab debatnya dengan senyum. Saya ada hujah, tetapi saya tidak mahu teruskan.

5. Prolog
Entah. Dalam berkecamuk fikiran tentang soal ikhlas ini saya terkenang Nabi. Saya membayangkan Nabi mengajar saya takbir raya. Kata Nabi, ini zinaat (perhiasan) Hari Raya. Hari Raya adalah hari kemenangan, hari demonstrasi. Demonstrasi bahawa yang akan menang itu Allah, yang Sa, yang tunggal. Kerana itu kita bertakbir beramai-ramai, dengan suara yang dikuatkan. Yang diulang-ulang, tanpa takut dan ragu. Dalam gambaran saya, Nabi mengajar takbir raya dengan bahasa yang saya faham, beginilah maksudnya:
Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar segala puji hanya untuk Allah, Allah Maha Besar dan Maha Agong, segala puji sebanyak-banyaknya untuk Allah, Maha Suci Allah untuk pagi dan petang, Tiada Tuhan Melainkan Allah, Tiada yang kami sembah melainkan Allah, Kami mengikhlaskan diri untukNya agamaNya, Walau orang-orang kafir membenci, Tiada Tuhan melainkan Allah yang Satu, Yang benar janjiNya, Dan mengurniakan kemenangan kepada hambaNya, Dan mengusir tentera musuhNya dan hazam al ahzab , Tiada Tuhan melainkan Allah Maha Besar, Segala Puji hanya untuk Allah.
Saya mahu menang.
Saya mahu menjadi tentera yang mengusir tentera musuh dan hazam Al Ahzab.
Saya mahu sekali bertemu Nabi. Nabi yang mengajari saya takbir raya. Supaya nanti, kami boleh melantunkan takbir bersama-sama, dengan suara yang kuat dan lantang dan diulang-ulang.

Saturday, January 30, 2010

They are what they hate most: Nazi vs Israel 2



if they used Holacaust as the reason, why not we use the same reason to defend our brothers and sisters?


Thursday, January 28, 2010

They are what they hate most: Nazi vs Israel 1

The Wall

Satu Peringatan

Saya ada seorang kawan. Dia ada dua nama Matahari dan Kebaikan. Sewaktu kami sekolah dahulu kami memanggil dia matahari.

Takdir Tuhan telah menemukan kami kembali dia alam pekerjaan. Dan orang memanggil dengan nama Kebaikkan. Malang, orang yang memanggil dia dengan nama itu telah meninggalkan tanda sabdu yang penting (sebutan betul) bila menyebut namanya, dan ia telah menyebabkan orang memanggilnya setiap hari dan masa dengan makna baru, Kejahatan.

Saya telah pesan padanya, kenapa tidak mengekalkan panggilan Matahari. Bukankah ia nama yang elok.

Kata dia, dia tidak mempunyai kawalan pada apa yang orang mahu panggil dia.

Saya kata, tidak mengapalah. Saya nasihatkan agar dia menegur orang memanggil namanya dengan sebutan yang betul. Jangan dari makna kebaikkan terus jadi kejahatan. Panggilan nama ialah satu doa pada kita.

Dia mengangguk. Dan selepas itu saya jarang-jarang berbual dengan dia.

Baru-baru ini saya mendengar umpatan orang pada dia. Dia seorang oppurtunis, pengeras tenaga orang dengan cara tidak hak, penipu dan mementingkan diri sendiri. Dalam senarai kemenangan yang diperoleh dia, ada cerita-cerita menikam belakang, pembohongan, penindasan dan segala.

Sebagai kawan saya tidak tegar mendengar, tetapi sebagai kawan saya juga pernah menegur. Dan saya tahu cakap-cakap orang itu setiap satunya kebenaran. Kerana saya tahu asal usul umpatan orang padanya. Segalanya memang benar.

Adakah nama panggilan telah bertukar menjadi doa?

Akhirnya saya tahu, untuk menjadi orang jahat dan penindas, ia bukanlah sebab panggilan orang pada kita. Orang itu jahat, pemeras dan penindas kerana dalam hati mereka begitu. Hitam, kotor dan berbau. Hanya kerana jiwa mereka begitu baru boleh diterjemah dengan amal dan perbuatan. Selagi iman dan cahaya masih kekal dalam nubari, mereka tidak akan jadi begitu zalim dan kejam.

Saya istighfar. Berdoa agar penyakit ini tidak berjangkit. Saya berlepas tangan dengan segala perbuatan kejam dan zalimnya kerana saya pernah menegur pada masa yang lain, tentang segala sifat buruk ini. Tetapi dia tetap tegar mengamalkan.
Saya terfikir, dengan rezeki apa yang dia mahu suapkan dalam mulut anak-anak dan isteri dia?

Saya istighfar. Menginsafi. Orang yang saya kenal dulu sebagai pejuang dan mempunyai sifat kebaikkan telah bertukar sama sekali. Dia telah mempunyai wajah lain yang saya tidak kenal, yang setiap kali saya lihat wajahnya saya berdoa agar Allah memelihara saya dari menjadi penzalim.

Saya sudah lama tidak berkawan rapat dengannya.

Kata orang like attracts like.

Saya harap orang yang tarik dan tertarik untuk berkawan dengan saya, ialah orang yang cerah jiwanya dan penuh keadilan.
Saya berdoa begitu. Setiap hari.

Saya berdoa agar awak juga tidak terjerumus dalam perangkap yang sama.

Supaya bila tiba waktu kita viva di hadapanNya nanti, kita tidak akan kesal dan sesal selamanya. Bila tiba kita diminta mempertahankan segala pekerjaan, amal dan perbuatan, kita dapat menyebut satu persatu di hadapan Tuhan kuat, jelas terang dan nyata dan di saksikan malaikat dan seluruh penduduk dunia.

Astagfirullah, subhanallah. Jauhkan kami dari merendahkan diri kami sendiri.
Astaghrifullah, subhanallah.

Wednesday, January 27, 2010

Pesan

Berburu ke padang datar
Dapat rusa berbelang kaki
Berguru kepalang ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi


“Wahai para pembawa ilmu, apakah kalian membawanya? Sesungguhnya ilmu hanyalah bagi yang mengetahuinya. Kemudian dia mengamalkannya dan perbuatannya sesuai dengan ilmunya. Akan datang suatu masa, di mana sekelompok orang yang membawa ilmu, namun ilmunya tidak melampaui tulang rusuknya. Batiniah mereka berlawanan dengan lahiriah mereka. Dan perbuatan mereka berlawanan dengan ilmu mereka.”

Saturday, January 23, 2010

Allah itu baik sangat pada kamu


Ada orang meneka bahawa saya sangat suka bulan kerana tajuk cerpen yang diangkat mempunyai perkataan bulan. Tidak, saya bukan suka bulan sahaja tetapi segala pergerakkan kosmik yang berlaku di langit. Termasuk juga cuaca. Peredaran malam dan siang. Secara peribadi, saya selalu melihat perubahan yang berlaku sebagai petanda. Ada orang kata saya romantik kerana selalu rasa terkesan dengan alam. Bukan, saya tidak romantik, tetapi percaya apa yang berlaku ialah sebenarnya adalah tanda kebesaran. Tuhan redha dan meredhai boleh dikesan dengan tanda-tandanya yang berlaku di langit (cloud (dalam awan): nampak sangat romantik).

Dunia untuk saya ceritanya begini, semenjak sekolah ke universiti hingga bekerja selalu sahaja menunjukkan bahawa dunia ini menyebelahi orang yang tidak adil, tempat pengampu dan pengambil kesempatan. Di sekolah kita selalu dibuli oleh mereka yang lebih besar dan kaya. Kadang-kadang kita disuruh menggantikan tempat mereka sewaktu membersihkan kelas dan meniru kerja rumah. Di universiti begitu juga. Ramai pengambil kesempatan selalu mahu meniru assignment yang kita buat dengan susah payah. Hasilnya, si peniru-peniru ini mendapat markah lebih. Kalau kita tidak membenarkan mereka kata kita ini pengkhianat, suka melihat kawan jatuh dan sebagainya. Sama sahaja ketika ujian dan peperiksaan, mereka memaksa kita supaya menulis besar-besar dan meletakkan di sudut yang boleh dilihat mereka. Percayalah, sewaktu awak ke tempat kerja nanti begitulah juga akan jadi nanti. Laporan yang dibuat akan diletakkan nama si penindas dan pengampu. Kita seolah-olah sebagai pencacai yang tiada harga diri. Itu semua buat kita terfikir, dunia ini adalah untuk orang yang tidak adilkah?

Saya juga berfikir begitu. Kerana selalu sahaja kami mengalami keadaan tertindas dan penganiayaan. Sehinggalah saya berjumpa dengan kata-kata ini,

'Dunia adalah negeri kebenaran bagi yang membenarkannya. Negeri keselamatan yang mengetahui tentangnya. Negeri kekayaan yang mengambil bekal darinya. Tempat turunnya wahyu Allah swt. Tempat solat para malaikatNya. Masjid para Nabi Nya. Dan tempat jual beli para wali Nya. Mereka beruntung dengan mendapatkan rahmat darinya dan di dalam mereka mengharapkan syurga'
Ali Ahmad Maleya - dalam buku Al Quran Rahsia Terunggul

Dengan maksud bahawa dunia dan kekayaan tidak pernah diciptakan Allah untuk orang-orang kafir dan zalim. Pewaris yang sebenar adalah pada mereka yang menciptakan kemakmuran di alam dunia ini hanya untuk hamba-hambaNya yang beriman. Apa yang kita lihat dan alami hari ini adalah pemindahan status, sehingga kaum-kaum kafir, zalim dan penindas ini yang mengecapi kekayaan dan keamanan dunia. Kenapa? Kerana kaum beriman, pencinta adil, pejuang kebenaran telah merelakan terjadinya ketidak adilan ini. Kita telah tunduk di hadapan orang-orang kafir dan zalim serta menurut kehendak mereka.

Hakikatnya, pewaris kekal adalah pejuang keadilan. Kerana kita selalu melupakan, bahawa di bumi inilah juga diturunkan Al Quran. Bukankah Al Quran itu Al Furqan, pemisah antara hak dan batil. Bukankah Al Quran itu diturunkan untuk memenangkan Nabi? Memenangkan sewaktu pertabalan Kenabian dan Kerasulan, juga untuk memenangkan Nabi sepanjang zaman dan waktu? Janji Al Quran, yang hak akan memenangkan batil. Saya percaya. Awak?


Kerana itu saya selalu melihat tanda-tanda keredhaan Allah di langitNya.

Masih ingat lagi cerita saya tentang satu majlis menjemput Sultan datang merasmikan satu majlis forum di tempat kami? Hari itu Allah Yang Maha Baik itu telah menunjukkan tandaNya. Forum itu berlangsung pada sebelah petang. Namun pada pagi sehingga ke tengahari, Allah memerintahkan awan melindungi langit. Telah diberiNya cuaca yang redup dan aman. Sehingga kami tidak merasa lelah pun bekerja. Sehinggalah Sultan datang dan berlangsungnya forum. Meski di tengah-tengah forum hujan lebat mencurah, tetapi sekali lagi Allah membicarakan tentang redha. Sebaik sahaja selesai forum dan Sultan perkenan berangkat untuk santapan, hujan telah berhenti.

Bukankah langit juga meninggalkan tanda sewaktu kelahiran Nabi? Buruj Leo dan Libra pada masa itu tersusun dalam kedudukannya sejajar. Tanda bahawa Nabi itu adalah Nabi yang amat berani dan menebarkan keadilan hak maghrib wa masrik (timur dan barat).

Saya sebagai pemain kecil dalam majlis ini tersenyum. Langit juga berbicara dan mahu memberi tanda dalam majlis ini. Dalam hati saya kembang. Mahu sahaja saya mengucapkan terus pada sang rafiq yang berusaha 'Lihat, Allah itu amat baik pada kamu." Tetapi saya simpan, bukan semua suka untuk berkongsi perasaan romantik saya yang mengada-ngada ini :)
Langit, bulan, bintang, kosmik, cuaca segala adalah tandaNya bagi orang yang mahu melihat. Pada orang yang mahu membaca. Kerana tanda itu perlu dibaca, baharu ia boleh memberi makna. Seperti kita membaca tanda ketika memandu di jalan. Tanda itu tidak bermakna apa-apa jika kita tidak melihat dan memahamkan maknanya, kan.

Saya suka bersahabat dengan alam, kerana saya percaya Iqra' ayat yang diturunkan bukan sahaja penegasan untuk membaca teks. Ia adalah penegasan untuk kita membaca alam dan juga sejarah. Di situ ada tanda, di situ tempat refleksi untuk melihat dan merasa...kebesaranNya.

Saya teringat, ketika usai menyelesaikan program OBE lama dulu, sewaktu menghantar pulang guru lewat petang dan ketika dia menghadiahi saya senyum, saya memandang langit. Saat itu hujan renyai dan langit...dihiasi pelangi.

Ah, benar Allah itu Maha Baik.

Bumi ini diwarisi pada para pejuang keadilan.

saya mahu menjadi pewaris. Awak?


Sultan Johor - 1932 - 2010

Takziah khusus kepada rakyat Johor dan Malaysia secara amnya.
Sultan Iskandar ibni al Marhum Sultan Ismail
jam 7.15 malam
di Hospital Pakar Puteri
Al - Fatihah.

Thursday, January 21, 2010

Doa untuk Rafiq

Pagi ini, pagi paling cemas. Sejak semalam, rafiq (sang hikmah) telah menyatakan kebimbangan. Takut-takut ada yang tidak kena. Kami akan menyambut Sultan, hari ini. Dan sebagai sebuah negeri beraja, ia lebih dari sebuah majlis keraian. (saya akan cerita lagi insyaAllah tentang majlis ini).
Saya memberi rafiq pesan Abang, untuk berdoa dan terus-terusan berselawat atas Nabi. Meski, saya sendiri gentar tidak terkawal. Dalam mengelolakan majlis, ini adalah sesuatu yang terlalu besar dari segi cabaran dan melayan karenah orang. Dan rafik ini istimewa kerana dialah pengerusi majlis dengan makna orang pertama, dengan kata lain pemilik majlis. Bayangan gentar yang melanda di jiwanya. Tapi dalam perjalanan umur saya, sukar untuk melihat orang yang bekerja tanpa mengharapkan ganjaran material tetapi saya lihat lain dari rafik ini. InsyaAllah dan saya selalu berdoa, dia adalah orang yang ikhlas. Yang jernih. Dan seperti pesan dia yang selalu disampaikan ketika saya sedang bersedih 'Allah itu penolong orang yang ikhlas'.
Subuh ini saya bangun lebih awal. Dalam sukma ada getar. Saya kenal getar ini. Ia adalah getar keramat, getar cinta. Lalu saya berdoa untuk getar ini ditebus dengan doa kesempurnaan dan kelancaran majlis rafik. Agar dia dikurniakan tenang dan aman, kerana saya sangat percaya Allah itu penolong mereka yang ikhlas. InsyaAllah.
Doakan!

Tuesday, January 19, 2010

HSPM XIIX - Membawa Pulang Ayah Merentasi Dua Dunia

Saya berada di Grand Ballroom, Hotel Legend semalam. Memeriahkan majlis Hadiah Sastera Perdana Malaysia untuk tahun penilaian 2004/2005 dan 2006/2007. Sejujurnya, saya tidak bersedia, dan saya tidak tahu apa yang patut saya rasa. Namun, ketika melangkah di hadapan pintu masuk hati saya berdebar bagai hendak pecah.

Saya pernah berada di dewan yang sama untuk satu seminar kejuruteraan untuk tanah dan geoteknik. Waktu itu guru saya Prof Bujang B.K. Huat sebagai pembentang ucaptama yang menemukan saya dengan rakan-rakan jurutera yang lain.

Tetapi kali ini kedatangan saya lain. Saya diminta menghadiri untuk acara meraikan pemenang anugerah sastera tertinggi kerajaan Malaysia. Dan saya, sebagai salah seorang pemenang. Susah hendak percaya, tetapi perancangan Allah siapalah kita untuk menidakkannya.

Ia adalah satu pengalaman yang asing. Ya, saya menulis, tetapi untuk diiktiraf ke peringkat tertinggi kerajaan Malaysia adalah di luar apa yang pernah saya fikirkan. Subhanallah, ia satu keberuntungan yang tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata.


Mereka yang mengenal saya yang mendapat tahu tentang hal gembira ini secara spontan memberi komen, "Jika Ayah masih ada, dia tentu sangat berbangga." Saya hanya boleh menjawab dengan mata yang berkaca.

Saya berada di dalam dewan serba mewah dan megah dengan perasaan bercampur-campur. Kebanyakkan masa saya sibuk memikirkan bagaimana mereka membina dewan yang besar tanpa ada tiang di tengah-tengah. Tetapi bukankah sepatutnya saya menghayati malam ini?

Ya, saya rasa macam-macam. Ada debar, ada gentar, kekok, tidak percaya, rindu, cinta, segalanya yang perlu dirangkum dalam satu rasa.

Tetapi saya tahu, saya telah membawa pulang Ayah. Saya membawa pulang Ayah dalam dunia yang dicintai, jiwanya, sukma dan kalbu. Kejayaan ini amat besar tidak boleh diungkap, namun ia jadi lebih besar kerana saya membawa pulang Ayah merentasi dua dunia. Ini kejayaan Ayah yang tertangguh lama dulu. Saya cuma sebagai wakil kerana apa yang terhasil dalam cerpen Bila Bulan Muncul adalah hasil kasih dan cinta yang tertumpah, melalui darah Ayah.


Saya mencurah dan membawa segala dalam cerpen Bila Bulan Muncul. Ia kisah derita dua beradik yang menongkah kesengsaraan dunia dan akhirnya berjaya dengan kecemerlangan yang luar biasa. Kisah ini adalah dedikasi kasih sayang saya untuk adik yang selalu ada.

Perbincangan ilmiah yang dibawa adalah hasil pertembungan intelek bersama Abang yang sentiasa memberi dan mendedahkan. Yang selalu menasihat jalan mudah untuk tahu adalah melalui wacana ilmu dan proses membaca yang konsisten.

Rakan-rakan saya yang selalu mencabar. Yang mendesak dan percaya bahawa saya mampu untuk memecahkan kelaziman. Yang menyokong, mendorong, yang sudi membaca draf pertama dan memberi kritik yang membina. Meski dunia kreatif adalah dunia yang terlalu asing buat mereka. Yang sudi berdiskusi 4 ke 5 jam hanya dengan secawan dua air kopi, untuk memantapkan pandangan dan menajamkan fikiran.

...dan Bonda yang terlalu menyayangi dan melihat bayangan Ayah dari saya.

Dan sudah tentu, saham terbesar ialah kerana bimbingan guru kami yang bersabar melayani kekurangan ilmu, kejahilan kami. Menanamkan pada kami tentang aspirasi dan tujuan berada dalam lapangan. Yang memberi kata putus ia adalah medan perang, tiada toleh belakang. Membetuli niat dan memberi faham pada apa yang kami lakukan ini punya makna. Di sini dan di sana.

Saya bukan siapa-siapa jika bukan kerana mereka. Meski, saya masih lagi bukan siapa-siapa.

Saya hanya mahu berkongsi kerana kegembiraan ini bukan milik saya. Ia adalah milik mereka yang percaya dan meredhai. Yang mengasihi saya sepenuhnya.

Kerana itu ia adalah dedikasi untuk semua, ya sudah tentu untuk awak, yang selalu menghadirkan saya dalam doa. Usai solat, di haramain, di Ka'abah, di Multazam, di Hijr Ismail, dalam Raudhah, di pancur emas, di maqam Ibrahim, ketika mengulang saie di Safa dan Marwah, dalam bulatan 7 di depan Ka'abah. Di dua dunia, roh dan jasad.

Jazakallahu khairan, saya akan berusaha lagi. Limpahan doa dari awak yang saya dambakan. Moga kita akan dinaugi, dengan rezeki dariNya melalui arah yang tidak disangka-sangka, kerana kita redha, dan Dia meredhai.

Alhamdulillah, segala puji hanyalah untuk Allah. Allahumma solli a'la Muhammad wa ali Muhammad.

Jazakallah, moga awak sudi mensedekahkan Al Fatihah untuk Ayah, yang saya bawa pulang merentasi dua dunia.

Untuk Ayah, terima kasih!










Sunday, January 17, 2010

Jernih


Saya baharu tahu, saya menyintai kejernihan. Ia adalah satu keadaan paling sempurna. Jika saya jadikan jernih satu perlambangan, saya akan melambangkan ia sebagai pejuang syahid.

A martyr. Seorang yang hidup untuk berkorban.

Saya kenal satu dua orang yang mempunyai hati yang jernih. Jika saya berada dekat dengan mereka, dengan mudah saja saya jatuh hati. Malah, mencintai mereka sepenuh hati hingga sanggup mati, demi.


Kenapa?

Orang yang mempunyai hati jernih, ialah orang yang hatinya penuh cinta. Dia mencintai segalanya kecuali diri sendiri. Kerana itu dia tidak pernah kisah untuk berkorban dan terkorban.

Dalam dunia ini, orang seperti itu tidak ramai. Kerana itu, jika awak pernah berjumpa awak sebenarnya telah mendapat kegembiraan separuh dunia.

Saya menyaksi, dunia fana telah menukar banyak wajah orang. Yang paling penting bagi mereka ialah diri sendiri, tembolok, lingkungan, nafsu nafsi sehingga tidak kisah menindas, memijak bahu dan kepala, malah membunuh. Mereka tidak kisah tangan mereka belumuran darah dan keringat orang, air mata tumpah kerana dianiayai, dicabuli dan diperbodohkan.

Kerana itu, bila saya berpapasan dengan mereka yang jernih ini sebelah kaki saya sudah berada dalam syurga. Mereka telah memperlihatkan saya keindahan dan membawa saya terbang ke daerah keabadian. Dan saya telah belajar erti kegembiraan dan bahagia yang hakiki.

Berjumpa mereka sahaja ada satu keberuntungan yang hebat. Apatah lagi berpeluang mengenali dan bersahabat.

Saya berdoa, agar Allah mengembirakan mereka setiap hari meski mereka dikhianati setiap masa dan waktu.

Saya berdoa agar setiap air mata mereka yang tertumpah, ditukar menjadi perisai mempertahankan di hari muka kelak.

Saya berdoa agar saya sentiasa berdoa untuk kegembiraan mereka. InsyaAllah.

Saya, mahu jadi seperti mereka. Yang jernih. Yang tiada cacat cela. Yang sempurna.

Seperti seorang syahid. Mahukah awak doakan untuk saya?



Friday, January 15, 2010

Manisnya kemenangan...

"Dapat gangsa je?" Begitulah sinis teguran seorang kawan kepada A. Saya yakin A mendengar. Kawan tadi bukan memberi komen sekadar untuk didengar sendiri-sendiri, ia bertujuan supaya A sedar bahawa A sudah dikalahkan. A bukan cukup bagus. A bagus cuma dalam lingkungan bukan pada medan pertandingan sebenar. Dan semua orang pun tahu kawan tadi adalah saingan A paling sengit. Sementelah kawan itu memenangi pingat emas.

Tetapi saya hairan, A masih senyum sampai ke telinga. Sekilas pandang mungkin orang lain beranggapan A sudah menang pingat emas.

A mengajak saya minum. Saya memilih kuih kasui. A memilih pulut panggang. Saya bertanya A tidak kecil hatikah dengan pandangan sinis orang. A akhirnya menjawab,

"Apa yang kau nampak dalam pingat ini? Jawab sejujurnya."

"Pingat gangsa, bimakna (dengan makna) tempat ketiga. Dengan maksud, kau kalah dengan dia."

"Bahkan aku sedang mengecapi kemenangan, kemenangan paling manis."

Saya mengangkat kening. Saya yang dungu ini selalu sahaja mohon A menjelaskan keadaan.

"Benar ini pingat gangsa tetapi aku lihat lain dari kilauannya. Aku lihat wajah kesungguhan rafik yang bersekang mata setiap hari hanya semata untuk menyiapkan projek ini. Aku nampak keringat yang mengalir dari dahi mereka diseka dalam keadaan tidak sedar namun mereka terus senyum dan menyempurnakan tugas dengan gelak ketawa. Aku rasai kesungguhan yang mendalam datang dari sukma untuk satu tujuan, agar harapan dan cita melihat projek ini dijelmakan depan mata direalisasikan juga."

A menelan cebis pulut panggang yang akhir. Tangan yang berminyak dibersihkan dengan tisu di atas meja.

"Kau tahu, tim aku yang bersungguh-sungguh berpesan untuk kami mencuba lagi tahun depan. Dan mereka akan berusaha sehabis daya, moga pintu rezeki menyebelahi kami nanti." A senyum, saya nampak kepuasan dalam matanya. Saya rasa dada A cukup kembang saat ini kerana A sudah membuktikan sesuatu pada orang yang meragui. Meskipun A hanya menang pingat gangsa.

"Kejayaan itu bukan kejayaan kalau ada yang tidak redha. Jika ada hati-hati yang jauh kerananya. Juga bukan sekiranya kita memeras tenaga hasil dari kerja orang tetapi tidak menghargai mereka dengan hak. Atau kita menggunakan helah hanya semata untuk memuaskan kepentingan diri."

"Kiranya kau tidak marah?" Saya dengan niat memprovokasi. Saya tahu A sebenarnya memaksudkan tentang seseorang, boleh jadi tentang kawan tadi. Yang pernah mengkhianati dan berhelah untuk kepentingan diri. A senyum dan menjawab, "Hendak marahkan siapa? Keputusan hakim kan muktamad."

"Marahkan dialah, siapa lagi."

A gelak menghilangkan matanya yang kecil. "Tidak, aku rasa manis dari kata-katanya."

"Manis?"

"Ya manis, sangat manis. Kerana dia telah membuat aku sedar, aku dapat lebih besar dari sebuah kemenangan."

"Apa dia?"

"Bahawa kemenangan sebenarnya ialah, bila kita berjuang bersama-sama dengan mereka yang disayang. Pahit manisnya dikongsi, kegembiraannya dirasai. Walau apa pun keputusan akhirnya, tiada secebis pun kesalan kerana kita telah mencuba sehabis baik. Dan lebih hebat kami telah menjadi dewasa dengan kenangan ini."

Saya cuba memahami. Dalam. Kata-kata A selalu mendalam. Senyum A masih belum bersisa. Nyata, A sangat gembira. Saya mengingat kembali satu persatu wajah teman-teman yang berjuang di sisi A. Mereka juga gembira, sangat. Saat mereka mengucapkan tahniah, mereka berjabat tangan dengan erat. Kejap. Saya masih ingat ada aura sedang mengapung di langit waktu itu. Aura keikhlasan dan betul kata A, ia adalah aura yang manis. Sangat manis.

A mencuit saya, "Jom!"

"Kemana?"

"Sujud syukur dan solat sunat gerhana."

Saya mengikut. Dalam hati saya juga mahu bagaimana rasa, manisnya sebuah kemenangan.

Saturday, January 09, 2010

Baca

Katakan! (wahai Muhammad, awak, saya, mereka), "Dialah ALLAH, Yang Maha Esa (Tunggal, Satu).
ALLAH tempat mereka meminta segala sesuatu.
ALLAH tidak beranak dan tidak pula diperanakkan
dan tidak ada sesuatu yang setara dengan DIA.

Thursday, January 07, 2010

Surat untuk Kamu

Malam tadi saya beremosi berat. Ada banyak hal. Soal hati, soal cinta, soal rahsia, soal pengorbanan, soal fitnah, soal juang, soal memujuk hati jangan rajuk & jangan pergi, soal kesetiaan, soal mempertahan apa yang kita percaya benar dan baik. Dalam melayan rasa dan mata yang tidak segan-segan mahu mengalir laju, email rakan masuk. Bertanya apakah pandangan saya mengenai isu hangat sekarang. Ya, masih lagi tentang Allah. Dan emosi saya jadi makin menekan dan parah. Lalu saya menulis surat panjang lebar untuk dia. Rupa-rupanya surat ini dialamatkan juga untuk saya, lebih-lebih lagi untuk kamu.

Salam Sis

Bismillahirrahmanirrahim
Allahumma solli ala Muhammad wa ala ali Muhammad

Sis

Ini bukan soal kecil. Ini soal Maha. Dan ia menyangkut prinsip. Saya tidak faham kalau ada yang menyokong keputusan mahkamah tinggi.

Ini hal menyangkut sejarah. Saya tidak pernah menafi, Allah difahami sebagai Tuhan sebelum kedatangan Rasulullah lagi. Masyarakat Arab Jahilliyah mengetahui adanya supreme being beyond everythings which cannot be equal to anything anyone anywhatever, they called upon His name Allah. But this unique name among Arabs is to refer to Allah, The Ultimate Sovereign, The Supreme. Yang tidak boleh diumpamakan, Yang Tunggal, Yang Hak, Yang Sa. Ia kekal begitu dalam mendefinisi terma Allah.

Sis,

Ia bukan hanya unik di tanah Arab. Dalam buku Ahmad Deedat, di Afrika kaum yang menggunakan bahasa Zulu juga mempunyai konsep Supreme Being meski tidak dipanggil Allah, tapi disebut sebagai uMVELINQANQI. Jika diulang sebut dalam loghat Zulu bunyinya seakan-akan Allahu Ghani.

Dua-dua kaum yang sejarah mengenal mereka sebagai kaum jahiliyyah dan tidak mempunyai budaya ilmu mengekalkan maksud Supreme Being sebagai The Supreme. Ia adalah terma yang didefininisikan sendiri dalam Bahasa Quran, dengan apa yang diperjelaskan dalam surah Al Ikhlas. SAY: HE is ALLAH. The One and Only. ALLAH, The Eternal, Absolute, HE Begetteth not nor is HE begotten, and there is NONE like unto HIM.

ALLAH bukan sekadar nama, Ia adalah terma. Dalam bahasa ia dalam disiplin semantik. Dalam kisah sejarah saya percaya ia adalah permulaan kemulian Adam. Adam dihormati kerana Adam boleh menamakan benda-benda. Ia adalah disiplin taksonomi. Memberi nama bukan satu hal yang boleh diberi saja-saja. Terutama dalam bahasa Arab. Ia penuh pengertian, pemberat dan mesej. Pilihan nama dalam bahasa Arab lebih hebat, super hebat. Apatah lagi pilihan nama yang diletakkan dalam Al Quran. Al Quran itu sendiri dipilih secara sempurna waktu ia diturunkan. Waktu malam, bulan Ramadhan, di malam lailatul Qadar. Waktu diturunkan Quran malah dipilih secara teliti, apatah lagi isinya. Apatah lagi ayat-ayat yang terkadung dalamnya. Apatah lagi nama Allah yang dipilih untuk mewakilkanNya. Supaya The Supreme dikenal dengan nama yang super cocok, yang tiada duanya, apatah lagi tiga.

Sis,

Hujahnya lengkap dalam surah Al Ikhlas. Allah sendiri yang telah menjawab 1400 tahun yang lalu tanpa mahkamah tinggi, tanpa mahkamah rayuan. Yang dijaja-jaja Kristian yang penuh dengki memohon perkongsian ini, saya tanya sis, kongsi apa kita? Kongsi apa? Yang mahu dirayu KDN di mahkamah rayuan, jika sis bertanya saya, saya sejujurnya menjawab, kita sedang melakukan blasphemy. Allah dimasukkan dalam mahkamah? Allah dibela dan dibicara? Allah di hakimi? Dengan jelas kita telah merelakan blasphemy berlaku depan mata kita sis, depan mata kita.

Arab Jahiliyyah dan kaum Zulu Afrika, yang dikenal tidak berpendidikan. Mereka dikenal dengan kebolehan untuk craft. Mereka craft apa sahaja. Untuk dijual beli. Arab Jahiliyyah craft malah berhala-berhala mereka. Tetapi kaum yang kita sebut sebagai tidak punya ilmu ini, suruhlah mereka craft Allah atau uMVELINQANQI? Mungkin kita akan dikutuk, 'bodoh ke mamat/minah ni?' Mereka akan menjawab 'How can you craft Allah?' Dan mereka akan menjawab, 'Or Sir, there is NONE like unto HIM, how can we craft Him? Sendiri mau fikirlah dey!'

Kerana itu berhala-hala di Arab Jahiliyyah mereka namakan sebagai Al Lats, Al Uzza, Al Manats dan seumpama yang lain. Kerana mereka sendiri tahu, Allah itu tidak pernah boleh tercapaikan dengan indera. Allah itu Zahir, Allah itu Batin. Allah tidak disekutu dengan namaNya. Allah malah tidak boleh disekutu dalam maknaNya. Tidak boleh. Nihil. Haram. Syirik. Dan membenarkan Allah dikongsi? MasyaAllah. Hamba seperti apa kita ini sis, hamba seperti apa kita ini sis?

Sis,

Sory kalau saya emosi. Jika saya tidak, dengan suara apa akan saya pertahankan diri saya dihadapan Allah swt di sana kelak? Saya konsisten yakin, Allah itu dimaksudkan dalam surah Al Ikhlas. Mutlak, hakikat, tidak akan berubah. Itulah yang diajarkan oleh Bro Shah Kirit dalam kelas FCR bukan?

Sis,

Tegarkah kita membenar terjemahan Bible menggunakan nama Allah? Kita sendiri tahu apa yang ada dalam Bible tu. Bukankah kita menghafal ayat-ayat Bible. Kita sendiri jijik membaca antara ayat-ayatnya. Dan tegarkah kita membenarkan mereka menterjemah Lord God, God, Jesus, Father, son of god, semuanya dengan Allah. Nauzubillah (Ya Allah ampunilah aku Ya Allah, tidak sepincing pun niat dalam mempersekutukanMu. Tubna Illallah, waraja'na illallah, wa nadimna ala ma faalna).

Sis,

Saya mungkin tidak akan terlalu emosi jika tiada alternatif lain. Apa yang mereka mahu tuntut untuk terjemahan dalam Bahasa Malaysia ada satu perkataan yang lebih sesuai iaitu Tuhan. Gunalah perkataan Tuhan. Ia memberi maksud yang sama dengan perkataan God dalam Bible. Mengapa mereka tidak mahu gunakan?
Sis,
Itulah pendapat saya. Saya bukan banyak ilmu, tetapi saya harap Allah memberikan saya hati. Untuk merasa kewujudanNya, KeEsaanNya, KeTunggalanNya, asma ul husnaNya. Jika saya tidak bereaksi dengan segala hal ini, tidak bertindak, malah lebih buruk jika tidak rasa terusik langsung dengan polemik dan fitnah besar paling jahat ini, saya tahu saya berada dimana. Maka Demi Allah, saya memohon padaNya hati, Dia memakbuli. Dan saya mengucapkan Alhamdulillah syukur padaNya kerana saya merasa Sis, saya merasa.

Sekian dulu, salam sayang.


Salam.

Tuesday, January 05, 2010

“Entah bagaimana isu nama Allah sekarang ini?” Saya memancing bual.

Wajah kakak yang saya hormati itu tidak bereaksi. Untuk berapa ketika dia senyap. Mungkin terkejut dalam sebanyak isu fesyen baju, kasut, kereta hybrid, World Cup 2010, Tiger Wood, resipi lauk pauk, kek mekek, saya memilih untuk membicarakan hal ini.

“Emm, dia orang tengah tunggu kan untuk dibawa kes ke mahkamah rayuan.”

Hati saya menangis parah. “Dia orang?” Apa maksudnya? Kakak yang dihormati itu adakah dia tidak peduli. Dia orang? Mata saya membantah untuk menzahirkan rasa. Takut ada mata-mata lain memandang.

Istighfar.

Kakak yang saya hormati itu meletakkan seluruhnya ke atas justifikasi mahkamah.

Astagfirullah. Saya mahu menjerit kita sebenarnya sedang melakukan ‘blasphemy’. Terang-terang kita membiarkan Allah diputuskan oleh badan kehakiman. Bukankah kita telah berjanji dan bersaksi Allah The Sovereign?
demi Demi
bila tiba waktunya nanti
dengan suara apa
yang kau akan jawab
sedang hati palsu
dalam mencintai!
Allah, Allah. Ampuni kami.

Saturday, January 02, 2010

Allah - bagaimana kita?

Kita dikejutkan dengan keputusan membenarkan The Herald menggunakan perkataan Allah dalam versi akhbar mingguan pada 1 Januari 2010 yang lalu. Satu khabar tahun baru yang paling tidak mahu didengar. Selanjutnya keputusan itu turut membenarkan penerbitan lain menggunakan Allah untuk terjemahan bagi perkataan Tuhan dalam versi Bahasa Melayu. Suhu sentimen telah meningkat di mana-mana. Tun Mahathir juga sudah mengulas. Ada pihak sedang mengemukan kes di mahkamah rayuan.

Kita bagaimana?

Soal bahasa dan nama khas adalah soal semantik. Yang lebih arif dan pakar mengenai bahasa harus mengulas. Tetapi saya tidak dapat tahan dari memikirkan, moga kita mendapat panduan dalam soal yang satu ini. Kemudian saya dikejutkan satu soalan dari adik,

'Bukankah sebelum kedatangan Islam di tanah Arab perkataan Allah telah digunakan?'

Saya diam. Dalam hati jawapannya 'Ya'. Adik saya meminta pertimbangan sejarah. Benar dia tidak salah. Dan sudut sejarahlah yang paling wajar untuk menjawab.

"Meski Allah telah dikenal sebelum Rasulullah menyampaikan risalah di Madinah dan Makkah, namun masyarakat Arab masih mengekalkan maksud asalnya. Ia tidak diertikan dengan sebagai tuhan, dengan maksud 'tuhan' secara umum. Allah bukanlah boleh diterjemah dengan perkataan tuhan kerana perkataan Allah itu sendiri unik yang tidak boleh disekutukan dengan apa pun. Dengan makna, sekiranya dalam mana-mana penerbitan diberi kebenaran ini, kita akan menyaksikan perkataan Allah dizalimi dengan mereka yang tidak ahli."

Saya tidak tahu samada adik saya boleh faham atau tidak penerangan itu. Saya harap mampu beri penjelasan semudah mungkin. Lalu saya panjangkan dengan artikel ini.

Dalam masyarakat Arab Quraisy, perkataan Allah lama telah dikenal. Kerana mereka juga mengenal risalah yang dibawa oleh Nabi Ibrahim. Allah ialah nama yang Maha Suci, Maha Tulen, Tunggal. Pendek kata tiada yang lain dapat diumpamakan denganNya.

Allah adalah satu nama melambangkan kesempurnaan tanpa sebarang sekutu. Kerana itu masyarakat Quraisy tahu tiada satu bentuk pun boleh mewakili Allah. Tetapi dalam sejarah mencatatkan bahawa kota Makkah adalah sebagai pusat ibadat dan secara tidak langsung sebagai hub ekonomi. Antara lain yang diniagakan ialah berhala-berhala. Sedarkah kita, berhala-hala ini dinamakan dengan Al Lats, Al Uzza, Al Manat dan lain-lain lagi. Mereka tidak menamakan idol dengan Allah. Orang Quraisy sendiri tahu mereka tidak boleh melampau garis sempadan. Yang Suci tetap suci tidak boleh dicemarkan.

Nah, siapakah bangsa Arab? Kita kenali Arab sebagai kaum paling mundur sebelum diutuskan Nabi. Pada ketika itu dua kuasa besar sedang mendominasi dunia, Rom dan Parsi. Masing-masing sibuk meluaskan empayar tetapi tiada satu pun memandang semenanjung Arab. Kerana bagi mereka, Arab ialah kaum tidak bertamadun dan juga tidak mempunyai sumber (sebahagian besar tanah Arab ialah padang pasir). Meski mundur, tidak mempunyai budaya ilmu dan intelektual tetapi mereka konsisten dalam memahami makna Allah dari sudut semantiknya. Meski mereka jahil, mereka tidak sanggup menyekutukanNya meski dalam namaNya.

Lalu saya menyoal kembali bolehkah The Herald memahami hal ini? Bolehkah kita yakin mereka tidak akan melanggar garis sempadan? Atau nanti mereka menterjemahkan semua perkataan tuhan dengan nama Allah (Yang Maha Suci?)

Bahasa Arab bukan seperti Bahasa Inggeris (BI). Dalam BI, semua perkataan singular (tunggal) boleh diubah menjadi plural (jamak). Contoh mudah, God untuk menjadikannya jamak, kita tulis sebagai Gods. Untuk memperihalkan sifat feminin God boleh ditulis sebagai Goddess. Malah mereka menulis perkataan God di semua tempat. Contoh ayat, Jupiter the god of Heaven, Pluto the god of Hell, Mars the god of War, Zeus the god-father of them all.

Nama Allah adalah bebas dari sebarang bentuk penyelewengan. Perkataan ini langsung tidak boleh diubah dalam Bahasa Arab. Dari segi lughah, Allah tidak boleh dimanipulasi dari mana-mana sudut sekalipun.

Tanyalah mereka yang mempelajari lughah Arab. Cubalah tukar perkataaan Allah kepada dhamir musanna atau jamak. Dan kalau boleh hendak mencabar lagi jadikan kata Allah sebagai fi'il. Tukarkan dalam bentuk musanna dan jamak (dalam mana-mana fiil madi atau mudariq).

Jawapannya nihil. Mustahil hingga ke hari kiamat.

Kenalilah Allah. Dia yang kita kenal dengan Asma', Ama-ul-husna, Nama-namaNya yang Indah, the Most Beautiful Names (Quran 59:22-24).


He is Allah, besides whom there is no other gods,
Who knows (all things) both secret and open,
He is Most Gracious, Most Merciful
He is Allah, besides whom there is no other god,
The Sovereign,
The Holy One,
The source of peace (and perfection)
The Guardian of faith,
The Preserver of safety
The Exalted in might,
The Irresistibke,
The Supreme,
Glory to Allah (high is He),
Above the partners they ascribe to Him.
He is Allah,
The Creator,
The Evolver,
The Bestower of forms (or colours),
to Him belong the Most Beautiful names,
All that is in the heavens and the earth, both declare His praises and glory,
and He is The Exalted in might,
The Wise.

Moga saya, awak juga, berdoa. Agar Allah tidak diseketukan dalam namaNya.
Ya Allah.
p/s: artikel ditulis dengan inspirasi dari buku The Choice, Syeikh Ahmad Deedat.
Artikel lain yang berkaitan disini

Friday, January 01, 2010

Entri tahun Baru Masihi

4 tahun, jika dikira tahun saya mula berblog, 2006. Tidak sangka sudah begitu lama saya berada dalam arena siber dengan begitu konsisten dan istiqamah. Laman sesawang yang lain seperti di Friendster sudah bersawang dan berhabuk agaknya. Saya juga belum membuka akaun Facebook takut terjadi perkara yang sama. Nanti-nantilah dulu, bila tiba masanya.
Namun berblog dalam blogspot ini lain. Ia sentimen lain. Mulanya sebagai satu penanda, dan seterusnya adalah langkah orang berjuang (insyaAllah). Satu peluang untuk orang yang selalu bercita-cita menulis dan menerbitkan karya seperti saya. Dan tulisan ini untuk tahun baru adalah dedikasi untuk seorang sahabat.
Setiap cerita ada mulanya. Saya terhutang budi kepada rakan Eika yang pertama sekali menunjukkan jalan berblog dan cara-cara menggunakannya. Saya bertemu dengan Eika adalah aturan semesta yang wajib berlaku. Kami bukanlah rakan sekuliah atau teman sekolah lama. Kami berjumpa di kelas malam Comparative Religion (FCR) kelolaan Saba Islamic Media di Setiawangsa. Seterusnya, persahabatan kami terus berlangsung dan saya meletakkan ia satu perlambangan magis. Persahabatan ini buat saya percaya untuk setiap sesuatu, semuanya adalah atas aturan dan perencanaan. Tiada istilah kebetulan.
Iaitu untuk setiap orang yang kita jumpa, untuk setiap peristiwa yang kita tempuhi, lebih dahulu termaktub dalam design Allah. Kerana itu saya selalu rasa istimewa, terutama bila berjumpa dengan kamu. Kerana dalam perencanaan Allah mencipta kosmos, bintang, cakerawala dan planet-planet, salah satu perencanaanNya ialah bertemu dengan kamu. Indah bukan?
Blog bagi saya banyak sasarannya. Terutama dalam mengasah kemahiran menulis dan berfikir. Juga tempat mengumpul kenalan dan sahabat. Saya mendapat kenangan yang indah-indah melalui blog, yang sedih juga melalui blog. Dan itu telah menjadikan saya dewasa bersama blog.

Saya suka tahun baru. Bila ia dimulakan dengan berita baik yang menggembirakan. Saya tahu insyaAllah, segalanya akan baik juga.
Tahun baru masihi tidak jauh berselang dengan tahun baru hijrah. Malam tadi KLCC dilimpahi bunga api meriah. Kebanyakkan kami di sini hanya melihat di jalan sahaja. Tapi saya melihat lebih jauh dari langit di KLCC. Nun jauh di atas sana, melepasi awan hitam berat yang berpapasan. Saya melihat tepat ke bulan. Bulan penuh yang terang.
Tapi bulan malam tahun baru sedang gerhana. Entah cerita apa yang dibawa bersama fenomena galaksi ini.
Yang manis, masjid kami mengelolakan solat sunat dan juga kuliah ringkas pada jam 4 pagi. Ia sambutan penuh kerohanian.
Tapi kata rakan saya, tunggulah 9 bulan lagi, dan dengarlah berita pembuangan bayi di mana-mana.
Dalam hati saya hanya beristighfar. Moga, janganlah begitu rapuh iman di malam tahun baru.
Moga-moga kita dijauhkan dari bala dan marabahaya, meski di sana-sini kita mendengar alam sudah melempiaskan murkanya.
Tahun baru, azam baru, ayuh kita langkah. Dan melangkah dengan langkah orang berjuang. Kejap, berani tanpa ragu-ragu!
Gambate ni