Sunday, February 28, 2010

Refleksi

Ada seorang adik. Biasa sahaja orangnya tetapi kata-kata selalu membuat saya terdiam dan berpanjangan berfikir. Satu hari dia bercerita,

"Katalah ada dua orang rakan baik. Pergi berperang. Ketika berperang mereka terpisah. Dalam perang biasalah, wajah masing-masing akan hitam terpalit debu dan kotoran. Entah macamana wajah salah seorang dari mereka kekal bersih dan putih. Kemudian selepas beberapa ketika mereka bertemu semula. Soalan saya, siapakah antara kedua mereka yang akan mencuci muka dahulu?"

Saya diam. Berfikir, tetapi sebenarnya tidak mahu kalah dengan teka-tekinya.

"Tentulah yang mukanya hitam dan kotor."

"Ye ke?"

Saya diam tetapi menggesa meminta dia memberi jawapan. Dia ketawa manja. hendak sahaja saya mencubitnya agar bersegera menjawab. Saya sebetulnya bukanlah insan penyabar sangat.

"Salah, sebenarnya rakan yang berwajah putih itulah yang dulu akan membasuh mukanya."

"Kenapa?"

"Mana ada cermin. Takkan pergi perang bawak cermin. Kawan tadilah yang jadi cermin pada yang lain."

"Betul juga."

Khali.

Kemudian adik melanjutkan bicara.

"Itulah yang saya takut. Katalah hari ini kita berpisah dan satu hari nanti kita bertemu semula. Saya takut awak akan mencuci muka bila melihat saya, kerana kotor dan jeliknya kelakuan dan peribadi saya." Dalam kolam mata ada air bergenang.

Saya tersentak. Tidak sangka begitu jauh fikirannya. Malah, saya jadi lebih takut mendengar. Hati kecil saya bergetar kerisauan. Bagaimana nanti dalam pertemuan semula, adik yang membasuh muka lebih dahulu dari saya. Astagfirullah.

"Apa kata kalau kita mula berdoa."
"Doa apa?" Adik bertanya polos.

"Agar pertemuan semula nanti, wajah kita sama-sama putih dan bersih."

Ada senyum di wajah. Riak itulah yang saya paling suka. Dia mengangguk dan kembali bercerita dengan riang gembira.

Dalam tenggelam riuhnya dia bercerita, fikiran saya terbang ke tempat lain. Bagaimana nanti dalam pertemuan itu, wajah kedua-dua hitam. Sekiranya masing-masing terkejut dan bersegera membersihkan tidak mengapa. Apa jadinya wajah hitam dan kelam itu, menjadi bahan ketawa dan kami, sama-sama menghitamkannya lagi?


Saturday, February 27, 2010

2 Bencana

1. Gempa Bumi Berskala 8.8 Richter


Gempa bumi melanda lagi dengan skala besar, 8.8 Richter di Chile. Selepas di Haiti, satu gegaran pula membelah benua Amerika Selatan. Meski tiada amaran tsunami, namun kematian sudah meningkat mencecah lebih ke 82 orang (setakat entri ditulis). Walaubagaimanapun, tsunami masih boleh melanda selepas 24 jam kejadian gempa. Pada masa ini Hawaii sedang berjaga-jaga untuk bersedia samada fenomena tsunami sampai ke kepulauan itu atau pun tidak. Belum pun reda kejadian tanah runtuh yang berlaku di Indonesia, bumi menunjuk perasaan lagi. Belum sempat membincangkan kejadian banjir lumpur yang berlaku di Portugal dan Indonesia dan panas ekstrim yang belaku di Semenanjung Malaysia, perhatian harus beralih ke benua Amerika. Bumi, apa yang sedang bergolak sebenarnya?

2. Syafia Humairah Sahari, 3
Ini lebih buruk. Nampaknya bencana kemanusiaan di Malaysia makin membarah. Mungkin sudah membusung dan bernanah. Busuknya masih bersisa meski kita menutup hidung dengan kain. Syafia Humairah, kanak-kanak yang baru berusia 3 tahun. Jika boleh bercakap pun, mungkin sebutan dan ayatnya masih belum jelas dan lengkap. Jika dia anak yang manja, barangkali dia masih perlu menyusu. Malah wajahnya sungguh comel dan sempurna. Dan manusiakah yang tegar menendang seperti menyepak bola, sehingga tubuhnya melambung. Kalau dia ada suara untuk mengadu, apakah rayuannya.
Gila! Absurd! Barangkali sudah takdirnya Syafia pergi, untuk menunjuk bahawa manusia yang berjiwa binatang dan syaitan itu ada. Berlegar-legar di luar sana. Mungkin Syafia perlu pergi, untuk menunjukkan bahawa bukan sahaja si pendera itu sakit jiwa dan otaknya, masyarakat juga. Kerana kita tidak lagi berperanan untuk menyeru yang ma'aruf dan menegah kemungkaran. Dan Syafia pergi, untuk membongkar tentang bejatnya pemegang amanah, ibu dan bapa, yang telah curang, membuka cerita kepada seluruh dunia. Malu? Huh, ada malu lagikah masyarakat kita hari ini!

Nauzubillahi min zalik.
Benarlah, doa kita memohon kesejahteran tertahan kerana kita tidak lagi menyeru kepada kebaikan dan melarang orang dari terang-terangan membuat kemungkaran.
Ya Allah, lindungi kami.

Thursday, February 25, 2010

The Teacher come First, then The Book


Kalau boleh saya tidak mahu sayang kamu terlalu. Lalu, saya akan katakan "Lu fikirlah sendiri".
Tapi dalam nubari terlalu banyak rasa, dan kamu terlalu banyak kehilangan. Seperti hari ini, kita menyambut tahun kedua kehilangan kekanda kita bukan? Lalu, kalau boleh saya gantikan setiap kehilangan, maka saya akan gantikan. Tapi saya tidak boleh. Saya hanya punya tulisan, lalu saya tuliskan ini, kerana bila tiba masa saya pulang pula nanti, kamu, tidak akan kekurangan apa-apa.
Kamu Adik, pesan dari saya, kamu perlu cinta guru sepenuhnya. Sepenuhnya. Dengan penuh rasa kasih. Dengan penuh rasa percaya. Dengan hati mahu berbakti. Dengan hati yang sedia untuk mati.
Dan kerana itu pertama, kenali dulu siapa guru kamu.
Guru kita, adalah Teacher of Teachers, Muallim, Wahdah Khairah Ummah - Rasulullah Muhammad sawa. Wujudnya bukti ihsan Tuhan kepada seluruh umat manusia.
Mustaffa Imamal Mursalin.
Mustaffa Shafiaal Alamin.
Abal Qasim. Khairul Khalqillahi. Ishqqu Qalb.
Guru yang muncul dari padang pasir yang tiada punya harapan dan sejarah yang dikenal sebelum wujud dia, yang mengubah dunia kepada yang terbaik, dan menjadikan kita ummah yang terbaik.
Dia, bersolat munajjat pada Tuhan pada ketika semua sedang nyenyak tidur di peraduan.
Dia, menahan lapar dan dahaga ketika lain enak menjamah rasa.
Dia, yang menangis sehingga bercucuran air mata ketika yang lain ketawa sehinggalah di akhir nafasnya.
Dia, yang hanya mengharap, agar ummah sejahtera dunia dan akhirat.
Dia, yang mengajar untuk berlaku adil dan istiqamah dalam kebaikan.
Dia, yang mendidik untuk memberi makan pada yang miskin dan kelaparan.
Dia, yang menebarkan belas ikhsan dan kebaikkan, derita dan pengorbanan, kasih sayang dan cinta. Yang mengajar cinta demi Cinta.
Adik, yang datang dulu itu Guru, kemudian baru kita mengenal mukjizat besar itu, Al Quran. Tanpa guru, kita tidak akan dapat mengenal Allah, juga tidak akan dapat memahami petunjuk dari Al Furqan. Penunjuk kepada orang-orang bertakwa.
Adik, cintailah dia sungguh-sungguh dari jalurnya. Jangan sesekali kamu lepas dari berpaut dari tali penghubung. Moga Adik, kita berjumpa di telaga Kautsar bersama-sama dengan kekanda, sambil minum dari piala Nabi, kerana Nabi telah redha!
Allahumma solli a'la Muhammad, wa a'la ali Muhammad.
(Adik, masihkah kamu ingat kekanda pergi ketika ulangtahun Nabi? Tika kamu mengalirkan air mata sayu, sedekahkan Al Fatihah. Tunjukkan juga iba hati kerana kehilangan Guru, Nabi, Rasul, Imam dan perpanjangkanlah solawat ulang-berulang).
dipetik dan diolah dari Out Loud

Wednesday, February 17, 2010

Si yatim yang memberikan saya bekal

Entri ini dan seterus-seterusnya adalah untuk persiapan menyambut harijadi seorang yatim piatu paling miskin, yang telah dengan susah payah berjuang hanya semata untuk memberikan saya bekal.

Allahumma solli a'la Muhammad, wa a'la ali Muhammad.

Subhanallah, tidak pernah saya rindu sebegini hebat. Dan menyebut namanya sahaja telah mengundang rasa sebak yang menebal. Di musim kepanasan begini, saya mengenang dia yang berpanasan terik mentari sejak kecil mengembala kambing untuk menyara hidupnya yang ditinggalkan ayah dan ibu. Dia yang berpindah penjaga dari tahun ke tahun. Sejak kematian ayah dalam kandungan, kemudian dipelihara bonda. Tetapi ibunya juga meninggal awal, sehinggalah Datuk yang renta mengambil alih memelihara. Tetapi Datuk pergi juga sehingga terpaksa diserahkan kepada pakcik yang punya anak ramai.

Kenangkan.

Saya cabar awak untuk berada di terik mentari selama setengah jam guna untuk mencari rezeki. Saya harap awak dapat rasa pedih dicucuk panas yang berdiri di waktu tengahari merembang, dengan kudrat dan tenaga mengangkat barang seperti pekerja kontraktor binaan. Moga-moga kita belajar menginsafi. Saya pernah dan sering berada di tapak bina. Tetapi awak percayalah, sungguh Allah itu Maha Suci, berada di tempat pembinaan selama 15 minit sahaja boleh menguji kesabaran. Meski dilengkapi segala macam peralatan menahan panas dengan topi dan cermin mata gelap, panas di luar sana memang menggila.

Bayangkan si yatim itu awak. Bayangkan dia yang sudah tidak punya sesiapa, malah terpaksa berusaha sendiri sejak kecil guna untuk menggalas perutnya yang kosong. Bayangkan dia ditengah panas. Kita di iklim tropika, yang suhunya kadang-kadang dilembutkan dengan hujan dan angin permai, bayangkan si yatim itu yang duduk di iklim padang pasir. Yang angin menyapa bersama perit mentari. Datang angin bukan aman, malah azab yang mencucuk pedih kulit.

MasyaAllah, si yatim itu sungguh malang. Tetapi ketika saya mencari-cari dalam kesusahan, dialah yang menghulurkan tangan dan memberikan saya bekal. Dialah yang memberi khabar gembira ketika harapan pun sudah tidak tinggal untuk saya.

Mengapa? Mengapa si yatim itu yang menyuguhkan bekal, bukan orang lain?

Allahumma solli a'la Muhammad, wa a'la ali Muhammad.



Tuesday, February 16, 2010

Panas ini bukan biasa!


Laporan akhbar menyiarkan keretapi tergelincir kerana cuaca panas. Sangat panas sehingga menyebabkan besi landasan mengembang. Dan laporan berita di TV dan akhbar mengatakan, fenomena cuaca panas ini adalah biasa lebih-lebih lagi pada awal tahun seperti yang dikeluarkan oleh Jabatan Mateorologi.

[Peringatan, entri ini bukan untuk membuat rusuh tetapi untuk saya dan awak berfikir.]

Panas ini bukan biasa. Adakah kita perlu menyalahkan Farah dan Faizal di radio Hot.fm kerana selalu mempromosi tagline 'Lebih hangat dari biasa?'. Fafau dan FBI perlu jawab ni.

Panas memang biasa, tetapi panas sehingga mengembangkan besi itu luar biasa. Hingga menyebabkan gerabak tergelincir itu, lagi luar dari segala yang biasa. Jika ia sesuatu yang biasa, ketika kerja-kerja membina landasan keretapi, pihak jurutera bahan akan menggunakan material yang boleh tahan kepada cuaca yang biasa dialami oleh negara ini. Sewaktu merekabentuk landasan, mereka (jurutera dan jurutera bahan) sudah mengambil kira itu semua. Ternyata kita tidak mempunyai masalah pun selama ini. Tidak pernah menerima berita pelik-pelik seperti gerabak terbalik kerana masalah landasan mengembang. Tidak pernah.

Tetapi ia terjadi minggu ini.


Di Cuping suhu mencatat sehingga 36.6 darjah Celcius. Juga yang terjadi di Kedah. Di Selangor dan sekitarnya sehingga 33-34 darjah celcius. Di Bandaraya Melaka, 37 darjah. Banyak tempat lagi. Banyak empangan surut sehingga bekalan air terpaksa dicatu. Agihan air terpaksa dibuat penjadualan semula seperti yang berlaku di Johor oleh Syarikat Air Johor (SAJ) Berhad. Sebuah bukit di Petaling Jaya terbakar. Sebuah belukar di Petaling Jaya juga terbakar. Yang bahayanya kerana kebakaran berlaku di bawah pencawang elektrik. Di Seri Menanti dan seluruh jajahan Negeri Sembilan pun begitu juga.

Kami menyaksikan sendiri belukar terbakar di sebelah Tesco Extra Ipoh semalam (Isnin). Asap berkepul-kepul keluar. Sangka kami Tesco yang terbakar, kerana asap terlalu tebal sehingga mengurangkan kebolehupaya melihat (visibility) hanya 1 meter sahaja jarak antara kereta dan kereta. Kami sempat merakam api yang marak menghabisi rumput yang telah kering menguning. Kereta bomba berada di tempat kejadian, tetapi tidak sempat pula kami melihat operasi memadam api. Rumput-rumput di bahu jalan di rumah kami di Keramat juga telah kering dan menguning. Jika matahari masih lagi mahu menunjukkan kuasanya, tidak mustahil ia juga boleh tiba-tiba menghidupkan api dan membakar.

video

Video kebakaran padang rumput di Ipoh


Ia fenomena cuaca yang telah saya cerap lama. Selalunya cuaca ekstrim seperti ini berlaku pada bulan April dan Mei di tempat kami di Pahang. Tetapi ia telah dianjakkan beberapa bulan lebih awal. Cuaca panas bukan biasa ini telah bermula sudah lebih dua minggu. Ia telah menyebabkan beberapa kejadian yang bukan normal dialami penduduk, seperti mengantuk, keletihan dan penat melampau, dehidrasi, pening kepala yang melampau dan sakit mata (tidak boleh dibuka sebab mengantuk sangat :). Dan ini menjadikan kami berdoa setiap hari agar Allah menurunkan rahmat kepada bumi dengan mengurniakan hujan sebagai khabar berita. Awan hitam dan tebal banyak di langit, tetapi ia enggan berhenti dan menurunkan air.

Pernah sekali hujan, dan ia menyebabkan kami gembira sehingga mahu mengalirkan air mata.

Panas seperti ini, biasa lagikah?

nota: untuk mengelakkan strok panas (heat strok) pastikan anda minum lebih air kosong di musim begini. Sekiranya berada di luar (di tempat yang sukar mendapatkan air), adalah lebih bagus melembabkan baju supaya tidak dihidrasi dengan kadar cepat. Penurunan dan peningkatan suhu badan secara mendadak boleh membahayakan.

Falsafah CINTA Asal

Kawan saya kata, cinta, ada jenis yang membunuh.


Seperti manifestasinya di malam tahun baharu atau hari Valentine, untuk pasangan yang sedang mabuk bercinta. Mereka berjanji setia, ungkap mengungkapi, bukti membukti akhirnya sembilan bulan atau kurang dari itu bertukar menjadi pembunuh. Membunuh janin dan bayi. Membunuh harapan dan kasih sayang. Membunuh 2 orang, menukar mereka menjadi haiwan bertubuh manusia, atau lebih teruk dari itu menjadi syaitan (i.e: kes membakar bayi dan dibuang dalam tong sampah di sini).


Cinta tidak seharusnya menukar manusia yang penuh kasih sayang, menjadikan tangan dan jiwa berlumuran dengan darah dan dosa. Itu, absurd!



Cinta itu bagaimana?



Cinta seharusnya seperti letupan Big Bang.



Letupan?



Ya, satu letupan. Panas, hangat, bingit, menyilaukan mata, mendebarkan, mengkagumkan, berasap, membakar, menggegar, segalalah yang boleh kita fikirkan mengenai letupan. Dan... harus diingat selepas letupan besar itu, ia memberikan kehidupan, terus menerus, berlangsungan, khabar gembira dan keasyikan.







Terbakar tetapi tidak memudaratkan. Meski panas, ia panas yang menghangatkan. Meski bingit, ia adalah suara yang menebarkan khabar gembira. Meletup tetapi tidak memusnah. Meletup malah mencipta. Dan ia seharusnya hidup, terus hidup hingga mencapai kesempurnaan dan akhirnya menjadi sebuah manisfestasi. Kepada cinta itu sendiri.



Tetapi kenapa Big Bang?




Kerana itulah satu-satunya letupan yang memulakan kehidupan. Meski telah berlaku 13.9 bilion tahun yang lampau, kesannya masih lagi boleh dirasai hingga kini. Galaksi masih terus berkembang. Kehidupan masih terus berlangsung.



Dari Big Bang juga, masa, tempat, ruang tercipta. Begitulah seharusnya cinta. Jika benar cinta, maka kita akan sediakan masa. Jika benar sayang, kita akan memberikan dia tempat. Terutama dalam hati. Duduk dan tinggal di situ dengan aman. Jika benar kasih, kita akan menyediakan untuknya ruang.





Kamu tahu, sampai sekarang saintis tidak menjumpai lagi sempadan hasil dari letupan Big Bang ini. Kerana itu, cinta juga tidak seharusnya ada sempadan.



Lebih dari itu, Big Bang yang membolehkan cahaya (nur) di manefestasi. Dengan cahaya sahaja kita dapat melihat. Segalanya.

Saya sudah dapat melihat.


Saya melihat awak,


dan tahu...


CINTA itu ada.



Glossari


Big Bang - dikenali sebagai Letupan Besar atau Letupan Akhbar. Satu teori model permulaan universe (matahari, bumi, planet, bintang dan galaksi-galaksi lain di luar sana). Dicadangkan oleh George Lemaitre (1927) yang mengatakan universe bermula dari atom primeval (atom paling seni). Letupan Besar atau Big Bang belaku dan penciptaan bermula. Hanya selepas Big Bang manusia mengenali masa, ruang, tempat, kehidupan dan segala yang boleh dicapai indera, fizik atau non fizik.


Big Bang dalam Quran - Teori ini menyerupai apa yang disebut dalam Al Quran, Surah Al Anbiya' ayat 30, Do those who are disbelievers not see that the heavens and the earth were sewn together and then We unstitched them and that We made from water every living thing? So will they not have faith?



(caution: Hakcipta diaktifkan)


Sunday, February 14, 2010

3 Kingdom

1.
3 Kingdom adalah epik besar sejarah cina yang paling mahsyur sebelum Negara China disatukan dibawah Dinasti Jin. Cerita ini ditayangkan di TV3 di malam tahun baharu. Saya memang menunggu cerita ini kerana ia membawa kenangan kepada game epik yang dimainkan di konsol Sony PS2 (sekarang konsol sudah bertukar kepada XBox). Dan melihat watak game dijelmakan kepada panglima dan pahlawan sebenar, ia cukup mengujakan.

Meski bukan kerana itu, 3 Kingdom cukup hebat kerana memaparkan perlawanan zaman Dinasti yang memperlihatkan kepentingan taktik, skil, kesetiaan, patuh kepada ketua, pengkhianatan, dendam dan banyak lagi.
Secara ringkas sebelum ada satu China, ia terbahagi kepada tiga dearah besar iaitu:
Kerajaan Utara: Wei
Kerajaan Barat: Shu
Kerajaan Selatan: Wu

Setiap kerajaan akan berperang sesama sendiri untuk mendapatkan "Mandate from Heaven" untuk membolehkan mereka bersatu di bawah satu kerajaan. Cerita ini berkisar kepada kerajaan Shu dari sudut pandang Panglima Zhao Zilong yang dimainkan oleh Andy Lau Tak Wah.

Sewaktu zaman saya menjadi kembar kepada game dulu, saya juga selalu memilih watak-watak panglima dari Kerajaan Shu seperti Liu Bei, Zhang Fei dan Guan Yu dan Zhuge Liang. Tetapi saya tidak pernah melihat nama Zhao Zilong. Jadi cerita 3 Kingdom ini memberi pengalaman baru, tidak seperti apa yang saya jangkakan dari game Dynasty Warrior. Malah, dalam cerita ini watak-watak yang saya sukai (Liu Bei, Zhang Fei, Guan Yu) dimatikan semuanya. Perjuangan Kerajaan Shu ialah melawan Kerajaan Wei di utara yang diketuai oleh Panglima Cao Cao. Seliat mana untuk mengalahkan Cao Coa di dalam game, seliat itulah dipersembahkan dalam cerita ini.

Zhang Fei, Liu Bei dan Guan Yu

Mengapa saya memilih kerajaan Shu di dalam Dynasty Warrior walaupun tahu tentera Cao Cao lebih kuat? Ia adalah kerana warna. Shu diwakili oleh warna Hijau. Wei warna merah dan Wu warna biru. Tetapi di dalam cerita, tidaklah dipakaikan panglima-panglima kesayangan saya dengan warna hijau :)


Lu Bu

Baik, kembali kepada cerita. Jeneral Zhao Zilong adalah jeneral hebat yang tidak pernah kalah dalam mana-mana peperangan. Namun di dalam cerita ini, Jeneral ini telah dikepung oleh tentera Wei sehingga terpaksa bertahan di bukit Phoenix. Bukan kerana beliau lemah meskipun sudah berusia, bukan kerana kesilapan tektikal perang, bukan kerana tidak mempunyai panglima-panglima yang sanggup mati berjuang mempertahan, tetapi kerana kecurangan. Kecurangan orang yang terpercaya, yang telah menjual diri dan negeri dengan memberi maklumat kepada tentera musuh semata-mata untuk menjadi ternama. Jeneral Zhao Zilong dikhianati oleh tentera rakan baik yang juga abangnya sendiri Ping An.
Sedih bukan?

2.
Saya menyukai cerita perang lebih-lebih lagi yang epik kerana banyak sebab. Antara lain ia membantu saya untuk refleks untuk segala perjalanan panjang Nabi dalam medan perang demi memperjuang agama Islam supaya ia sampai kepada kita. Jika kita rasakan sejarah dinasti Cina hebat dan panjang, Nabi lebih hebat. Dinasti Cina berlangsung beribu-ribu tahun untuk mencapai perpaduan. Nabi cuma memerlukan 23 tahun sahaja untuk menyatukan bangsa Arab yang telah bertelagah sejak mereka kenal hidup secara tribe (puak). Nabi lebih hebat kerana baginda dapat mempersatukan bangsa Arab dan non Arab di bawah satu bendera. Dinasti Nabi lebih panjang kerana ia berlangsung sampai sekarang.
Kerana kurangnya visual dalam bentuk filem yang mengangkat perang zaman Nabi, maka saya terpaksa mencari alternatif untuk membantu saya 'melihat' sejarah (saya sudah ceritakan dulu saya mempunyai masalah imaginatif dan visual). Bagaimana perasaannya ketika bekalan makanan dan air habis sedang kita masih lagi di barisan hadapan (kempen perang Nabi untuk melawan Rom)? Bagaimana jika kita sendiri luka ketika berperang, siapakah yang ada untuk mengubati (peristiwa Nabi cedera parah sehingga patah gigi di Uhud)? Bagaimana kalau kita memberi arahan, tetapi tentera kita mengingkari (juga seperti yang terjadi di bukit Uhud).

Kerana semua itu, saya mempunyai koleksi cerita perang yang agak banyak. Kingdom of Heaven antara yang menjadi kegemaran saya. Yang lain seperti Windtalker, The Last Samurai dan banyak lagi.

Seperti dalam 3 Kingdom, sejarah Nabi juga ada tentang pengkhianatan dan ketidak setiaan. Jika kita anggapkan sesiapa yang pernah berjumpa Nabi sebagai sahabat Nabi, mungkin ianya satu pendefinisian tidak tepat. Kerana mereka adalah golongan terpilih yang mendapat bimbingan terus dari Nabi, tetapi tetap juga berpaling apabila diseru untuk pergi berperang. Alasan mereka menolak kerana perjalanan jauh dan cuaca yang panas terik. Ada yang bergabung dalam batalion, bila tiba ditengah jalan berpaling tadah dan turut membawa keluar beratus-ratus tentera bersama mereka (i.e: Abdullah bin Ubai bin Salul).

Bayangkan perasaan Nabi.

3.
Ada orang bertanya, relevankah lagi menonton cerita perang? Saya katakan sangat relevan. Kenapa? Kerana zaman moden ini, meski tidak ada peperangan yang kita fahami dengan istilahnya, ia tetap terjadi dalam kehidupan seharian. Ketika membuat tugasan yang diberikan pensyarah juga bagi saya satu medan perang. Berjuang menghabiskan pengajian juga satu contoh. Malah ketika berada dalam organisasi sewaktu bekerja juga penuh dengan orang yang menganggapnya sebagai medan perang, samada mereka sedar atau tidak.

Saya pula ada bekalan lain. Ketika mengorak langkah untuk serius terlibat dalam bidang penulisan, guru saya berpesan, "Ini adalah medan perang. Tiada patah belakang."

Jadi medan perang kita sebenarnya ada di mana-mana.

4.
Kisah perang dan taktikal perang Nabi juga adalah ilmu untuk dibaca dan dihayati. Kerana Nabi mengajar kita bagaimana untuk hidup sebagai satu ummah. Sebagai satu susunan masyarakat yang memahami peranan dan berperanan demi manifestasi Tauhid.

Pertama - Paling penting dalam urusan ini ialah menghormati dan mentaati pemimpin. Lebih-lebih lagi pemimpin pilihan Allah yang dilantik dari pilihanNya sendiri. Yang paling sempurna akhlak, yang dipuji dalam tsaqal (Al Quran).

Kedua - lari dari medan perang adalah dosa besar yang tidak terampunkan, melainkan dengan taubat dan Allah sendiri perkenan mengampunkan.

Ketiga - meski Nabi orang terpercaya yang telah menyatukan bangsa Arab seluruhnya, masih tetap ada dalam sepanjang zaman orang-orang yang khianat. Yang mencederai janji, dan meninggalkan baginda ketika berjuang menentang musuh.

5.
Saya selalu merasa cerita perang adalah cerita epik yang klasik. Tetapi hakikatnya, ia adalah cerita yang berkisar dan berputar di hadapan mata kita setiap hari. Dikhianati kawan salah satu daripadanya. Mungkin awak tidak dapat hendak memahaminya sekarang, tetapi percayalah lambat laun awak akan faham juga insyaAllah.

Dan malam tahun baharu Harimau ini buat saya bertanya soalan yang sama Jeneral Zilong bertanya pada pengkhianatnya Ping An,

"Apakah tujuan kita lakukan semua ini?"
Ping An menjawab, "Saya buat semuanya untuk diri, kemenangan diri sendiri."
Jeneral Zilong juga menjawab, "Di akhir, semua tidak penting. Kemenangan tidak penting, kekalahan juga tidak penting. Kerana hakikatnya, akhir nanti, ianya adalah antara kamu dengan Tuhan."

Jeneral Zilong keluar buat kali terakhir menentang tentera Wei yang ramai.
Jeneral Zilong mati. Ping An juga mati.
Saya akan mati. Awak juga.
Soalnya, dengan cara mana awak dan saya mahu mati?


Shan Quan

6.

Ada orang menganggap, bahawa semasa kita bersekolah, di IPT ataupun bekerja bukanlah perkara serius. Dengan maksud, kita sekolah kerana mahu sijil kelayakkan masuk IPT. Kita belajar di IPT kerana mahu sijil kelulusan untuk mohon pekerjaan. Kita bekerja kerana hanya mahu gaji yang diterima setiap minggu/bulan/hari untuk menampung kehidupan sendiri dan keluarga.

Kata mereka, jangan serius sangat. Ini semua "dunia", dan mereka ulangi lagi "dunia."

Saya senyum. Saya tahu ini semua dunia, dunia. Saya tahu mereka sinis terhadap saya yang menganggap serius semua perkara. Hatta dalam hal kehidupan pun saya menganggap ia seperti sebuah medan perang :) (seperti yang belaku dalam entri ini).

Ya, segala apa yang kita kejar dan cari adalah dunia. Tetapi saya tahu, awak jugal tahu dunia sahajalah tempat untuk kita mencukupkan bekal. Supaya kita tidak kekurangan dan belapar di Sana nanti.

Dunia tetap akan menjadi dunia, tetapi jangan silap, kerana dunia juga tempat yang akan menghantar kita di akhirat.

Samada kita mahu menjadikan hal belajar, hal berada di IPT, hal kerja sebagai satu urusan dunia untuk kepentingan dunia, atau kita menjadikan semuanya sebagai satu bentuk ibadah yang akan memberikan nilai dan ganjaran pahala.

Tepuk dada tanya iman.

Pesan saya juga, "Jangan serius sangat."

:)

Saturday, February 13, 2010

Tahun ini tahun Harimau

Selamat Tahun Baru China
Tahun ini memang tahun Harimau
Ermm, agak-agak boleh tak dapat angpau?
:)

Selamat balik kampung dan bercuti panjang
Hati-hati memandu

Friday, February 12, 2010

Takjub

Saya melihat dia, kagum dengan semangat juang. Dalam dunia hari ini, untuk dapat melihat seorang berani berdiri di hadapan pemimpin dan bercakap yang benar meski tidak disukai pemimpin tersebut, amat aneh.
Katanya, doa kita tertahan kerana tidak menegakkan amar ma'ruf dan nahi mungkar, berpesan & menyuruh kepada kebaikkan dan menentang kezaliman & kejahatan.
Saya ingat dia seperti yang lain. Berusaha untuk mendapat habuan dunia. Tetapi dia seringkali menolak untuk apa kita sebut sebagai rezeki. Katanya dia tidak boleh menerima jika itu bukan haknya. Juga tidak boleh sekiranya dia menerima kemudian selepas itu gagal menunaikan tanggungjawab yang datang bersama rezeki tersebut (contoh: naik pangkat).
Saya mahu ingat pesan dia,
"Kami cuma mahu merasa gembira dengan penuh rasa kesyukuran. Kami redha dan DIA redha."
Noktah. Itu sahaja pesan dia.
Saya mencerna kata-katanya dengan rasa takjub.

Tuesday, February 02, 2010

Lebah dan Lalat

Saya melihat lalat berterbangan mengitari tong sampah. Ia mengingatkan saya tentang kisah perbualan cendiakawan (C) dan raja (R). Raja adalah pemimpin yang zalim dan tidak adil, namun masih tetap suka bertanya cendiakawan dengan tujuan untuk menguji.
R : Mengapa lalat diciptakan?
C : Untuk menghinakan orang seperti kamu.

Sekian cerita ringkas. Di bawah informasi tentang Lalat dan Lebah.

Tentang Lalat
Lalat hidup dalam kekotoran dan mengumpul kuman, termasuk kuman dari bangkai haiwan dan manusia. Dengan cara ini, lalat boleh membawa penyakit kepada manusia dan menyebabkan manusia tidak menyukainya. Manusia yang berakal akan menyembur racun serangga untuk membunuh lalat-lalat ini bagi mengelak penyakit dari disebarkan.




Tentang Lebah
Lebah ialah serangga yang menyukai bunga. Kerjanya ialah mengumpul debunga dan juga menghasilkan madu sebagai ubat dan juga minuman kesihatan untuk menyihatkan badan. Kerana itu manusia menyukai lebah, menternak lebah serta memelihara nyawa lebah kerana lebah memberi manfaat dan kebaikkan untuk semua.

Sekian.