Wednesday, June 30, 2010

Hari Terakhir...


Hari ini, hari terakhir saya di unit penerbitan. Minggu-minggu terakhir masih lagi sibuk dengan kerja-kerja. Moga-moga dengan kedatangan orang baru di unit itu dimudahkan. Mereka akan masuk dengan hati dan perasaan yang selesa. Semua kerja-kerja telah dihabiskan, insyaAllah tiada yang terbengkalai kecuali kerja-kerja semasa yang boleh disambung terus dengan pasukan baru.

Unit ini amat bermakna. Ia telah mengajar saya banyak. Namun setiap satu yang ada mula, pasti akan ada pengakhirannya. Sentimental? Kering sangat hati saya kalau tiada rasa yang tinggal di saat saya menutup pintu di petang terakhir. Di dalam ruang yang kecil itu macam-macam telah belaku. Berbagai-bagai wajah telah saya lihat. Juga saya belajar banyak makna dan menilai.

Satu hari yang tenang, saya sedang menyusun atur barang-barang di unit itu, seorang yang saya hormati peribadi dan pencapaiannya telah masuk dan menegur. Saya namakan dia sebagai DM. Banyak perkara telah kami bincangkan termasuk siapa bakal menduduki kerusi pengerusi selepas ini. Saya cuma ahli kecil yang bukan semua keputusan pengurusan saya tahu. Saya cuma mengangkat bahu dan mula mengusik “Alangkah bagus kalau DM yang berada di sana.”

Dia mencebik. Dan tidak sangka pula ayat yang keluar seterusnya dari mulut dia, “Saya tidak mahu, RUGI berada di sini.”

Saya memanggung muka. Ingat melihat bagaimana wajah dia ketika dia menyebut perkataan rugi itu. Saya akan ingat wajah dia sampai bila-bila. Ia adalah wajah sinis penuh penghinaan. Dan saya tahu, dia sedang mengingatkan saya betapa bodohnya saya sudah berada bertahun-tahun di situ tanpa mendapat ganjaran apa-apa. Saya ingin berdebat, “Siapa awak untuk menentukan untung rugi saya berada di sini? Siapa kamu untuk memberi kesimpulan yang saya tidak mendapat apa-apa ganjaran di unit ini?” Tetapi saya diam hanya kerana saya masih mengingat dia sebagai orang tua. Namun, kerana komen ringkas menusuk itu, telah menanggalkan pakaian hormat dan menjadikan dia sama seperti orang lain. Orang yang mementingkan diri sendiri, yang sanggup memijak orang lain hanya semata untuk mendapat pencapaian peribadi. Itulah pakaian dia sekarang. Dia memandang, meski saya tidak bersuara dia melihat wajah tegang saya. Tetapi dia nampaknya tidak puas menyakiti saya begitu sehinggalah dia melanjutkan bicara,

“Untuk apa berada di sini, ada banyak lagi perkara penting yang boleh dibuat” Noktah. Dan noktah juga rasa hormat saya pada dia. Hilang seperti wap air naik ke langit. Istighfar. Saya memandang luar. Pohon hijau juga tidak dapat mendamaikan hati.


Saya bercerita pada Ketua Unit. Saya mahu dia berkongsi sedih. Ketua unit yang banyak bersabar itu akhirnya mengajak saya menimbang hal. Kami bekerja untuk menerbitkan makalah. Satu makalah paling nipis sekalipun, sekurang-kurangnya dapat menampung 7 kertas kerja. 1 kertas kerja akan ditulis oleh 2 atau 3 orang. Satu penerbitan kami dapat menggembirakan 14 orang. Dalam setahun kami menerbitkan 7 penerbitan. Paling sedikit 7 kertas kerja dalam satu makalah dan paling banyak 200 kertas kerja. Itu bagi yang menulis dan bayangkan apa yang diperoleh bagi mereka yang membaca dan mendapat manfaat dari penulisan tersebut. Begitulah kesan ganda hasil dari kerja-kerja yang dianggap RUGI itu.

Entah, rasa saya adakala orang yang pandai sekalipun begitu lemah daya fikirnya.

Saya membayangkan perasaan Ketua Unit. Jika saya yang seorang yang kecil peranan di situ begitu terguris dengan provokasi mendadak seperti itu, apatah lagi dia. Jauh di sudut hati saya tahu Ketua Unit lebih kecil hati.

Petang tadi, Ketua Unit membuka cerita.

“Kami bermula dengan sebuah fail. Itu sahaja.” Dia menunjukkan fail yang disimpan dalam almari bercermin. Sudah lusuh. Kemudian saya menyeluruhi bilik. Selepas 6 tahun beliau di situ, koleksi makalah disusun cermat di rak. Semuanya hasil kerja yang dianggap RUGI oleh orang lain. Saya memandang dia, saya tahu hari ini ketika dia keluar dari bilik ini, dia tidak akan terkilan apa-apa. Malah puas. Saya juga puas.


Kawan saya selalu mengulang-ulang ayat, “Semua ini dunia sahaja,”

Benar, semua ini dunia sahaja. Namun Allah telah menjanji, meski ia dunia yang kita cela sekalipun, disinilah tempatnya untuk kita beramal. Tiada tempat lain.

Pekerjaan RUGI kami, kami tidak sandarkan pada ganjaran lain. Moga segalanya akan ditukar menjadi amal kebajikan, insyaAllah. Saya tidak nampak ganjaran yang lebih hebat melainkan apa yang diredha dari langit.

“Wealth and children are an adornment of the life of this world: but GOOD DEEDS, the fruit whereof endures forever, are FAR GREATER MERIT in thy Lord-God’s sight, and FAR BETTER as HOPE.” (Quran, 18:46)

Saya mengambil janji ini sebagai janji peribadi Allah kepada kami.

Saya menuntup lampu kali terakhir sebagai warga bilik ini, kemudian menutup pintu. Bilik ini mengajar saya banyak, terlalu banyak. Bilik ini juga mengenalkan saya pada wajah-wajah. Dan pakaian hormat hanya layak dipakai oleh mereka, yang tahu menghormati orang lain.

Monday, June 28, 2010

World Cup War 2010

Pakatan Axis sedang mara ke hadapan dengan diketuai Germany.
Pakatan Bersekutu nampaknya sudah banyak yang kecundang, termasuk US, England & France. Saingan seterusnya lebih mendebarkan. Sama seperti World War II?
Tapi kata orang, setiap peperangan dunia adalah satu senario yang dirancang oleh tangan-tangan ghaib. Adakah World Cup ini juga salah satu daripadanya?

Thursday, June 24, 2010

Isu Dr MAZA

Antara isu terhangat, adalah ura-ura Dr MAZA (Mohd Asri Zainal Abidin) mantan mufti Perli masuk parti UMNO. Saya berpandangan ahli agama tidak sesuai untuk masuk mana-mana parti politik. Tujuan agar mereka dapat menegur mana-mana kepincangan dengan bebas, maksud saya dengan tidak bias.

Saya lebih suka agar ilmuwan agama menjadi Said Nursi yang digelar orang sebagai Bediuzzaman (the wonder of the age). Memang pada mulanya Nursi pro kepada Kamal Attaturk, tetapi bila mengetahui agenda sekular yang akan dilaksanakan kerajaan Turki, Nursi bertindak untuk menjauhkan diri.
Lalu terbitlah masterpiece 6,000 muka surat yang dikenali sebagai Risale-i-Nur yang ditelaah zaman berzaman. Said Nursi lebih dikenali dengan karya ini, lebih dari penglibatannya dalam politik.
Mungkin Said Nursi tahu tentang pepatah, "Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama". Kitalah yang memilih untuk nama yang ditinggalkan dikenang orang sebagai baik atau sebaliknya.
(sehingga entri ini ditulis, Dr Asri belum lagi masuk mana-mana parti politik).
** lagi komentar tentang Dr Asri di sini

Wednesday, June 23, 2010

France 2010 & Ip Man

Perancis yang diwakili oleh pemain-pemain yang mewakili kelab super di Eropah dsb, pulang awal untuk Piala Dunia 2010 dengan cerita yang memalukan. Mereka tidak wala' pada pimpinan Domenech.
Barangkali mereka perlu menonton cerita Ip Man 2, Kungfu Panda atau belajar sejarah perang Uhud sebelum bertolak ke Afrika Selatan. Bagaimana menghormati guru (pemimpin/coach) elemen terpenting untuk kejayaan.
Kata orang, 2006 lalu pun sudah ada bibit tidak setia pada Domenech. Mereka tidak pernah suka kaedah dan sikap Domenech. Tidak hairan, ketika Anelka diusir keluar dari kem Perancis, pemain lain turut memboikot sesi latihan. 2006 mereka masih bertahan kerana Zidane ada. Zidane, itulah pemimpin mereka yang sebenar.
Kepimpinan dan ketaatan adalah 2 elemen paling penting dalam kesatuan organisasi (ummah). Kerana itu makmum tidak mendahului Imam. Dan makmun akan menurut perbuatan imam dari takbiratul ihram sehingga salam.
Soalnya, ketaatan perlu kepimpinan yang layak, diyakini dan terpilih. Pendek kata, dia perlu unggul serba serbi. Imam, bukankah mereka wajib seperti itu?

Tuesday, June 22, 2010

Semalam yang aneh

Semalam, hari sangat panas. Saya dan kawan mengeluh begitu lama tidak hujan di tempat kami. Sehinggalah melihat berita TV waktu perdana. Tiada apa yang menarik kecuali isu perbincangan semula tanah KTMB di Tanjong Pagar ke Woodland dan perjanjian air dengan Singapura akan tamat akhir tahun ini. Tahun lalu saya ke Singapura dan melihat KTMB di Tanjong Pagar. Imejnya masih segar. Tulisan KTMB jadi sangat jelas bila pemandu pelancong kata, "Inilah satu-satunya tanah Malaysia yang masih ada di Singapura."
Malam menjelang, cuaca mula bertukar. Ada tanda-tanda air akan turun dari langit. Tidak mengesyaki apa-apa, saya tidur.

Saya pasti saya sudah hanyut dalam lena. Saya jenis tidur mati yang tidak akan tergugat dengan apa-apa anasir sekalipun. Tiba-tiba, satu bunyi kuat, sangat kuat persis bom meledak seperti betul-betul berlaku di telinga. Katil juga sedikit bergoyang. Mata saya terbuka. Keadaan sangat gelap. Saya menguakkan pintu untuk membiarkan cahaya lampu ruang tamu menerangi sedikit bilik. Jantung dipam dan berdegup sangat laju. Dalam kepala saya ada imej yang bukan-bukan. Barangkali taman perumahan saya sedang marak terbakar seperti gambaran yang tertulis dalam buku Debu Hiroshima. Tetapi saya tidak rasa ada bahang api di mana-mana. Saya beristighfar, daerah kami sedang dibom? Saya mengintai bilik rakan serumah. Tidak ada apa-apa pergerakkan. Saya berilusi? Saya menimbang, perlukah bangun bertahajjud dan solat taubat, mana tahu andai ini qiam yang terakhir? Saya melihat jam di telefon bimbit. Pukul 3 pagi. Waktu sesuai untuk munajat. Tapi saya takut bergerak ke bilik air.

Khali.
Saya mengaktifkan indera, andai saya boleh mengesan tanda-tanda. Badan saya masih terpaku di atas katil. Yang ada bunyi kipas sedang berpusing pada kelajuan 4. Hawa sejuk sedikit. Ada bau tanah hasil dari hawa panas naik ke udara. Rupanya di luar hari sedang hujan. Saya tidak bangun untuk qiam, memujuk hati barangkali saya berimaginasi. Rakan serumah saya tidak sedikitpun ada tanda pergerakkan. Mungkin betul-betul tidak ada apa-apa yang berlaku. Tidak qiam, gantikan dengan istighfar sehingga tertidur semula sebelum bangun meneguk secawan air untuk sahur.

Sudah subuh saya mengintai tingkap. Suasana seperti biasa. Hujan masih bersisa.

"Aneh-aneh, mungkin tiada apa-apa."

Pagi saya ke pejabat. Kepala masih berserabut dengan bunyi bom semalam. Kalau ianya guruh, ia adalah guruh paling aneh saya dengar. Jika ia guruh, ia guruh paling kuat pernah berlaku di daerah kami sehingga katil juga boleh bergegar. Tapi saya memilih untuk berdiam diri. Barangkali kejadian itu belaku pada saya sahaja untuk diuji. Barangkali. Jadi saya menyibukkan diri. Kebetulan, pagi ini saya perlu mencetak beberapa dokumen penting dan terpaksa menumpang di pejabat rakan. Ketika itulah misteri bunyi aneh semalam dibuka.

"Eh, kau perasan tak bunyi guruh kuat gila semalam?"

Saya memasang telinga. Kami bertiga dalam bilik. Saya mahu dia bercerita dahulu.

"Ish tak perasan apa-apa pun. Aku tidur mati la, tak sedar. Bunyi apa?" Rakan seorang lagi mencelah.

"Kau tak dengar. Kuat gila bunyi tu. Bunyi macam bom. Kalau guruh kan bunyi dia mesti lanjut-lanjut, ini tidak, 'BOM!' kemudian berhenti. Aku tengah layan you tube, tengok katil bergegar."

"Kau pun dengar Al, aku ingat aku seorang yang dengar" saya meminta kepastian.

"Apa pula tidak dengarnya. Kuat sangat, sampai-sampai aku ingat ada bom sedang jatuh."

"Betul ke guruh Al. Pelik sangat bunyi. Tidak pernah aku dengar bunyi guruh macam itu."

"Aku pun hairan. Ada juga rasa takut. Lepas bunyi tu terus tutup komputer dan tidur."

Wah! Ini sudah jadi pelik. Saya bertekad balik nanti saya mahu tanya teman serumah. Tetapi sebelah petang saya perlu ke blok pentadbiran. Sham, kerani yang agak rapat dengan saya tiba-tiba membuka cerita.

"Dengar tak bunyi guruh semalam?"
"Kau dengar juga?"

"Tapi sebenarnya, sebelum bunyi tu kan, ada cahaya aneh."

Telinga saya jadi aktif. Bulu roma mula meremang.

"Nak kata kilat, pelik sangat cahaya dia." Sambil bercerita, tangan Sham masih lagi pantas membalut buku untuk dipos.

"Saya tak tidur lagi masa tu. Saya ingat hendak tengok bola. Tapi bila hujan renyai-renyai, ada kilat-kilat sikit, saya tutup TV. Masuk bilik orang rumah pun dah tidur, tapi saya perasan tingkap tidak ditutup rapat. Walaupun ada langsir, saya masih lagi boleh tengok luar."

"Apa yang kau nampak?"

"Cahaya yang berkilat panjang melintas kat langit. Lama lepas tu baru bunyi 'BOM' kuat yang akak dengar tu."

"Kau tak takut ke Sham?"

"Takut juga. Bunyi tu pelik sangat. Dah la lambat. Biasa lepas kilat terus je ada bunyi guruh. Ini tidak, lambat sikit baru bunyi. Tapi kuat sangat. Dan bunyi dia sekali je tak panjang. Kalau guruh bunyi dia lanjut-lanjut sikit."

"Betul Sham. Sama. Akak pun dengar yang sama. Tapi tak dapat lihat cahaya tu sebab tidur sebelum tu."

"Tah, tah bunyi pesawat pejuang kot?" Sham bersuara tanpa rasa. Saya membuat muka tanda soal. "Yelah, kita sekarang ni kan kuat sokong Palestin. Mana tahu kalu ada pengitip." Berspekulasi pula adik sorang ini.

Saya tidak berlama di situ. Jam pun sudah melepasi waktu pejabat. Perasaan seriau dalam hati berpanjangan. Bunyi mesej masuk. Cerita tentang dinding penjara Pudu 120 tahun akan mula dirobohkan malam ini. Rakan mengajak saya untuk menyaksi, tetapi saya sedang berada jauh dari KL. Malam ini, satu lagi sejarah akan dipadam, kali ini istimewa kerana menggunakan jentolak. Barangkali saya membimbangkan perkara yang tidak berasas.

Saya berjalan perlahan ke kereta. Dalam kepala memikir banyak perkara. Flotilla keamanan Mavi Marmara dan Rachel Correy penaja utamanya didanai Malaysia. Media sekarang juga rancak mempromosi tentang rasa prihatin untuk Ghazzah. Pekerja pelabuhan juga sampai protes kapal masuk. Segala-galanya tentang Palestin sekarang ini.

Masa makan malam (berbuka), saya mula bersembang dengan rakan apa yang belaku awal pagi tadi. Dia mengeyakan. Bunyi itu menyebabkan dia tidak dapat tidur sampai ke pagi. Saya melanjut cerita kawan-kawan yang menjadi telinga dan mata yang menyaksi. Komen teman,

"Satu hipotesis sahaja boleh dibuat. Cahaya, bunyi kuat, sela masa yang lambat, itu boleh jadi condition untuk fenomena super sonic. Atau lebih tepat dipanggil sonic boom. Sonic boom akan menghasilkan tenaga bunyi yang sangat kuat, lebih mirip kepada bunyi ledakan atau letupan. Keadaan ini hanya boleh berlaku dengan diiringi penerbangan yang mencecah level super sonik. Pada ketika itu kejutan gelombang sedang berlaku sehingga membolehkan bunyi kuat juga terhasil selepas itu."

Saya mengalih pandang ke TV tetapi tidak dapat melihat imej dengan jelas. Kepala saya ligat berfungsi. Pesanan ringkas masuk ke telefon bimbit. Korea Utara kalah dibelasah Portugal! Saya membalas, berapa gol? "7-0". TV menayang footage penjara Pudu. Saya rasa hari ini lebih baik tidur awal.


Monday, June 21, 2010

PUDU 1895-2010

Hari ini kalau aku
berada di langit Kuala Lumpur
akan ku berdiri di hadapan
tembok Penjara Pudu
yang akan divonis gantung mandatori
supaya generasi
tidak lagi akan mengerti
tentang sejarah



lihatlah! generasi jurutera pembina
bangunan hebat dan gah
pantas akan ditegak
namun setiap lorek lukisan dan seni
dilukis di balik besi
berjuta duit melimpah sekalipun
tidak mungkin dapat diganti


hari ini
yang tinggal
hanyalah puisi
sejarah 100 tahun
esok, tidak lagi
diingati!

Saturday, June 19, 2010

Rejab ini Kita di Jurusalem: Patriarch Ibrahim

Siapa Ibrahim (as)? Jika tidak menyebut namanya, solat tidak sah! Begitu besar sekali peranan Ibrahim: dulu ketika hayat, hari ini bahkan masa hadapan. Jika tidak masakan Allah memerintahkan kita menghadiahkan selawat atas baginda dan keluarga baginda setiap hari 5 kali.

Dalam banyak tradisi Yahudi dan Kristian, Ibrahim dikenali sebagai patriacrh. Kita mengenali baginda sebagai Bapa (Al Quran 22:78) permulaan kepada bangsa-bangsa dari keturunan Ismail dan Ishaq. Yahudi dan Kristian sedaya mungkin mengeluarkan Ismail dari keturunan Nabi Ibrahim. Kata mereka Ismail tidak layak digolongkan dalam keluarga Ibrahim. Nampak sudah bagaimana sejarah berulang? Belum? Bukankah kisah dengki dan cemburu antara 2 adik beradik lebih dahulu bermula sebelum Ibrahim lagi. Hari ini, epik antara Habil dan Qabil diulang tayang dengan kisah lebis tragis.

Qabil cemburu kepada Habil kerana Habil begitu tulus dalam beragama. Dengki kerana korban Habil dipilih Allah. Boleh jadi Yahudi cemburu kepada keturunan Nabi Ismail kerana dipilih sebagai umatan wasatan juga kerana penghulu dan penutup kenabian (khataman Nabiyyin) dari keturunan Ismail bukan dari bangsa Yahudi. Kisah anak-anak Adam digemparkan bila Qabil membunuh Habil.


Saat ini, kita menyaksi umat Islam diseluruh dunia disembelih dengan tangan Yahudi. Jika ikut family tree, Ismail dan Ishaq adalah adik beradik. Bangsa Arab dan Yahudi adalah sepupu sepapat yang dekat. Kenapa mereka masih berdengki sampai sekarang? Sedangkan kekayaan dunia dan seluruh isinya sudah berada dalam genggaman mereka. Kerana mereka tahu, the seal of history of the end of time, terletak ditangan progeni Arab -Muhammad Al Mahdi! Kesumat mereka tidak akan berakhir. Begitulah dendam dan cemburu boleh menghilangkan nilai kemanusiaan.

Tanah Suci (Jurusalem/Palestin/Al Aqsa) ditulis dalam Al Quran (21:71), "But We delivered him (Abraham) and (his nephew) Lot to the land in which We had placed blessing for all mankind"

Jika tanah itu untuk seluruh umat manusia, adakah semua orang layak menuntutnya? Dan ini yang Allah perkatakan kepada Ibrahim tentang kedudukannya 2:124.

"Dan (ingatlah), ketika Ibrahim diuji Tuhannya dengan beberapa kalimat (perintah dan larangan), lalu Ibrahim menunaikannya. Allah berfirman: "Sesungguhnya Aku akan menjadikanmu IMAM bagi seluruh manusia". Ibrahim berkata: "(Dan saya mohon juga) dari keturunanku". Allah berfirman: "Janji-Ku (ini) tidak mengenai orang-orang yang zalim."

Apa yang belaku sekarang adalah peristiwa paling pelik. Yang memegang kuasa di Tanah Suci, adalah orang paling zalim: menembak aktivis keamanan, yang membunuh anak-anak kecil dan wanita.

Janji Allah pada Ibrahim as tidak mengenai mereka. Namun sekarang, mereka yang paling berkuasa. Allah tidak mencederai janji, ia pasti tertunai. The unfolding event akan disingkap. Masanya? Masanya...bagi ramai sarjana Islam mereka mengatakan, tidak lama. Tidak lama lagi.

Wallahu a'lam.

Friday, June 18, 2010

Rejab ini Kita di Jurusalem

Ada orang bertanya kenapa perlu sibuk-sibuk pasal Palestin dan Jurusalem. Sekarangkan musim bola, tengok bola lah. Kalau awak jadi saya, apa jawapan yang paling baik diberi pada mereka?

Saya pernah berpolemik lama dulu tentang Palestin. Bagaimana sinikal seorang rakan yang memberi komen kenapa perlu bergaduh dan berperang? Tidak bolehkah duduk secara harmoni seperti jiran tetangga yang baik? Saya tahu apa yang awak fikirkan, tentu awak kata kawan saya itu buta sejarah dan buta geografi sebab tidak pernah tengok peta Palestin semaki menyusut sekarang ini. Sehingga telah dipisahkan menjadi dua blok. Tebing Barat (Fatah-Mahmoud Abbas) dan Ghazzah (Hamas-Ismael Haniyeh). Zaman ini yang membuat kita menyaksi penjara terbuka paling besar di atas muka bumi ini, iaitu Ghazzah. Yang kita relakan kewujudannya, walau apa pun alasan kita, hakikat kita sedang merelakan kewujudannya.

Meski peristiwa perbincangan itu telah lama belalu, saya masih sesal kerana tidak dapat berhujah dengan baik. Sekurang-kurangnya dapat menjemput rakan saya itu kembali membaca sejarah, kemudian membuat penilaian semula.


Jurusalem, samada kita orang Malaysia merasa jauh atau tidak, ia tetap sebuah tanah yang dijanjikan. Di tanahnya penuh jejak yang mulia iaitu jejak para Nabi. Dan bulan Rejab ini, bulan paling baik untuk mengingat kembali sejarah di tanah Palestin, paling tepat di tapak Masjid Al Aqsa.


Ini bulan Rejab, tidak sah kalau tidak kita membicarakan tentang peristiwa Israk dan Mikraj. Peristiwa yang dirakam dalam Al Quran. Peristiwa yang membawa kita kembali berwaras diri, bahawa perlu mempunyai kecintaan yang sama pada tanah Jurusalem. Sama besarnya pada tanah Makkah dan Madinah. Rejab ini, insyaAllah, mari kita sama-sama mengulang baca ayat surah Isra': Bismillahirahmanirrahim.

سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَى بِعَبْدِهِ لَيْلاً مِّنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ البَصِيرُ

17:1 Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Masjidil Haram ke Masjid Al Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebagian dari tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.

Subhanallah.


Dahulu, saya membaca Al Quran, saya cuma rasakan ia ayat peringatan dengan cara melihat kembali sejarah. Saya silap. Bukankah Al Quran itu mukjizat paling besar. Masakan ia dipelihara untuk kita menilai Ia sama seperti buku sejarah?

Sekarang saya yakin, ayat-ayat Al Quran pada tiap minit dan ketika manapun, ia ibarat obor yang sedang menerangi jalan yang gelap. Seperti mana ayat yang awak baca di atas, Al Aqsa dengan janji Allah adalah tanah yang Allah sendiri berikan berkah disekelilingnya. Dan ia masa dahulu menunjukkan tanda kebesaranNya dan yakinlah, peristiwa yang berlaku hari ini juga, sebahagian dari tanda kebesaranNya. Dengan syarat, kita punya mata lahir dan batin untuk melihat.

Sewaktu bersekolah, tidak pernah ada ustaz ustazah mengajar saya mencintai tanah Jurusalem, supaya mempunyai sama kecintaan pada tanah Makkah dan Madinah. Bukankah itu yang perlu diajarkan di sekolah? Jika awak pernah sampai Makkah dan Madinah, ia tidak jauh mana bukan? Lebih-lebih lagi sekarang bila mana kita boleh menaiki kapal terbang. Nah, masakan Jurusalem itu jauh, hanya kita yang menjauhkan hati darinya.

Kemudian lihat bagaimana hebat perancangan mereka kepada kita. Bila Piala Dunia 2010 diadakan jatuh bersamaan di sepanjang bulan Rejab. Hebat bukan! Ya kita akan berjaga malam dan pagi, seperti itulah yang dirancangkan. Sewaktu kita bersorak meraikan jaringan gol Argentina, German, Brazil, Mexico, dsb, di situlah mereka berkata, "kami telah jauhkan umat Muhammad dari Nabinya. Mereka akan lupa akan kisah Isra' Mikraj. Mereka akan lupakan Al Aqsa!"

Baru sedar semula

Satu ketika dahulu, semasa di asrama kami sering didenda. Denda yang paling kerap ialah dijemur. Waktu paling kerap kena jemur ialah tengahari. Bayangkan bahang dan dugaannya. Lebih-lebih lagi ketika selipar hilang dan perlu berkaki ayam di atas tar yang panas melecur. Tetapi biasanya tidak kira waktu, subuh, petang malah malam pun dijemur juga.
Ketika itu, kecoh-kecoh tentang cetakan ayat hilang dari Al Quran. Langit, kerap kali menulis dengan awan tentang tanda-tanda. Barangkali, sekarang kita tidak peduli lagi tentang tanda. Tiada hati bergoncang bila mendengar apa-apa. Malah tsunami yang menenggelamkan 250,000 orang di seluruh dunia sekalipun bukan apa-apa lagi bagi kita. Juga gegaran melampau yang belaku di Haiti. Nihil. Kebanyakkan kita sudah tidak ada rasa. Kita gantikan ia dengan justifikasi saintifik.
Tersasar cerita pula. Suatu hari kami di denda lain. Tidak dijemur lagi. Barangkali selalu sangat didenda dengan benda yang sama akan menjadikan kita lali. Lalu diganti dengan bacaan surah Al Kahfi selepas prep malam. Bayangkan, mata sudah begitu kuyu. Bantal sudah menjemput kantuk. Kami diminta untuk mengambil wuduk dan baca surah Al Kahfi serentak bersama-sama. Jika tidak sama, ulang semula dari ayat pertama. Jika ada yang didapati tidur, ulang lagi pada ayat yang pertama. Waktu itu, saya yakin, bacaan yang dibaca kami tidak mendapat kebaikkan kerana tidak dibaca dengan ikhlas.
Sekarang saya baru sedar semula. Masakan ayat Al Quran dibaca tidak mendapat manfaat. Biar dibaca kosong atau dibaca penuh disiplin dan tartil. Sedang mendengar Al Quran sahaja mendapat kebaikkan yang banyak apatah lagi membacanya.
Mungkin, denda itulah penyambung kepada perasaan dekat dengan surah Al Kahfi dewasa ini. Mungkin, siapa tahu?
Dan saya juga baru sedar semula (selepas kembali membaca buku-buku yang memberi manfaat), bahawa Surah Al Kahfi boleh menjadi pendinding kepada pengaruh Dajjal Al Masih.
Barangsiapa membaca surah Al Kahfi penuh pada hari Jumaat, dia akan dilindungi sehingga ke jumaat akan datang. Dan sesiapa yang menghafal 10 dari ayat pertama surah Al Kahfi, dia juga dilindungi dari bahaya yang sama.
(Nanti saya bawakan dalilnya ya, InsyaAllah).
Tapi kenapa ya, surah Al Kahfi diberi kaitan langsung dengan penyelamatan peristiwa akhir zaman?

Sunday, June 13, 2010

The Arrivals

video

The Arrivals (TA) ialah filem 51 siri diproduksi oleh 2 orang iaitu Noreagaa dan Achernar serta secara konsisten disokong oleh Abdullah Hashem (lagenda youtube dengan siri The Antichrist Dajjal Series). 51 siri, secara purata 10 minit untuk setiap satu bermakna ada sejumlah 500 minit untuk dihadam. Saya, mengambil masa selama 3 hari bermaraton menghabiskan The Arrivals.
Secara ringkas, The Arrivals dari segi kandungan, adalah besar dan jauh lebih hebat dari mana-mana produksi yang sedang ditayangkan di pawagam. Paling penting, menonton TA di YouTube percuma, tidak melibatkan bayaran untuk membeli tiket dan popcorn.

Jika awak meminati buku-buku Harun Yahya, ada banyak persamaan dengan The Arrivals. Secara ringkas, The Arrivals menggunakan medium visual untuk menyampaikan mesej yang sama seperti di dalam buku-buku Harun Yahya iaitu: penilaian semula sikap kita terhadap dunia dan seruan kepada penyatuan. Oleh kerana aktiviti pembacaan sudah menurun, maka The Arrival adalah revival dan pilihan terbaik untuk saya waktu ini.
Jika ada berfikir mungkin The Arrivals streotaip, dengan menjangkakan ia siri bentuk keagamaan, jangkaan itu salah sama sekali. Ia rancangan yang dibuat untuk masyarakat secara global, merentasi bangsa, agama, sempadan geografi dan politik. Malah paparannya begitu terus terang, bervariasi dengan klip video, ucapan tokoh dan cerita-cerita sejarah. Sebagai doku drama, saya memberinya lima bintang!

Secara ringkas, ia adalah siri tentang Hari Kedatangan. Bagi yang biasa mendengar terma ini, benar ia secara eksplisit mendokumentarikan tentang hari kedatangan Imam Mahdi (as) dan Nabi Isa (as). Namun, sebelum dapat memperihalkan tentang itu, Noreagaa dan Achernahr secara panjang lebar menceritakan tentang Dajjal, misi, operasi, jejak dan perancangan masa hadapan. Bila saya membincangkan hal ini bersama rakan-rakan, kebanyakkan mereka terperanjat bila saya menggunakan perkataan perancangan masa depan. Dengan maksud, Dajjal sudah ada? Soalan itu saya pulangkan pada awak dan saya percaya, awak juga ada jawapannya.
Bila melihat dunia sudah begitu parah, malah misi keamanan pun boleh menumpahkan darah, bolehkah kita menafikan zaman yang kita diami ini adalah zaman penuh pembunuhan, kejam, zalim dan penuh fitnah? Semakin hari, kehidupan kita bukanlah bertambah baik dari semua segi, baik politik, sosial, ekonomi, moral, dan jenayah. Malah semakin membarah. Kes buang bayi yang kita dengar 10 tahun dulu tidak pernah kurang dan berhenti, malah semakin melampau sehingga menakutkan kita. It is the time we witness, the fallen of mankind.
Saya menjemput awak, untuk menonton The Arrivals. Ia satu bukaan dimensi baru, bagi kita yang mengambil mudah atas semua perkara. TA doku drama yang sarat mesej. Ini adalah satu jemputan, kepada perkara paling penting dalam hidup malah membantu kita memahami apa yang terjadi sekeliling: di sini dan di seluruh dunia. Dunia dan kemajuannya bukanlah evolusi, tetapi perancangan musuh yang telah diperingatkan dalam Al Quran. Soalnya, berani tidak untuk kita mulakan langkah pertama.

Monday, June 07, 2010

Tableau

Kuantan, ia sebuah bandar yang banyak meninggalkan peristiwa. Jika diberi pilihan, saya tidak mahu kembali ke sana. Tetapi hidup bukan semuanya atas pilihan bukan? Kerana saya berada di sana minggu lalu, atas takdirNya saya belajar satu perkataan penting, iaitu Tableau (dibunyikan sebagai tablo). Ia adalah satu perkataan yang digunakan dalam kesusasteraan Inggeris, tetapi sampai sekarang saya tidak tahu andai ada perkataan Bahasa Malaysia yang boleh menggantikan perkataan tableau.
Untuk ringkasan, tableau ialah satu peristiwa yang belaku dan imejnya kekal berada di dalam fikiran sampai bila-bila. Untuk contoh, imej Tunku Abdul Rahman ketika menjulang tangan dan melaungkan kemerdekaan adalah satu tableau bagi ramai orang di Malaysia. Imej itu sangat penting, sehingga tercatat dalam banyak buku-buku sejarah.

Nanti dulu, kita cuba satu untuk memahamkan kata tableau ini. Sekarang tutup mata dan bayangkan tentang kemerdekaan. Jika awak melihat Tunku sedang menjulang tangan kanan di angkasa, ia sudah menjadi tableau bagi awak. Dan tak salah lagi, ia sudah lama menjadi tableau bagi saya.

Tableau untuk saya mengenang peristiwa yang belaku dalam dan luar negara ada banyak. Mata Anwar lebam. Wajah SN Samad Said dibedil gas pemedih mata dengan sapu tangan kuning ketika membantah PPSMI. Ketika Tun menangis diminta untuk tidak meletak jawatan. Sorakan kemenangan Piala Thomas 1992. Maradona yang menggunakan tangan untuk menjaringkan gol. Zinadine Zidane yang menanduk pemain Itali pada perlawanan akhir piala dunia.

Untuk mutakhir ini, kapal Mavi Marmara dan MV Rachel Correy. Dan jika mengenang Palestin, saya akan segera terkenang peristiwa pembantaian Masirah anak Ad Durrah. Juga Rachel Correy yang digilis jentolak Israel. Wajah Syeikh Ahmad Yasin syahid dan badannya berkecai, Juga wajah Hasan Nasrallah sebagai wira Lubnan pada tahun 2006 mengusir keluar Israel.

Tableau.

Ia sebuah perkataan yang besar. Saya beruntung dapat mempelajarinya meski masih belum menjumpai perkataan yang sesuai dalam Bahasa Malaysia. Boleh tolong saya?

Tableau.

Ia cuma imej. Yang ada dalam kepala. Tidak dapat dikikis-kikis. Yang pasti tableau tidak datang suka-suka. Kita tidak melihat sesuatu yang biasa kemudian akan menjadikan ia tableau sepanjang hidup kita. Tableau datang bersyarat. Ia mesti datang dengan peristiwa. Sekurang-kurangnya peristiwa yang penting bagi kita jika ia bukan menandakan sesuatu yang penting untuk negara atau masyarakat global (seperti penahanan Flotilla Kemerdekaan Mavi Marmara).

Saya ada banyak tableau di Kuantan. Kerana itu saya dapat mempelajarinya. Cerita? Errrmmm......


Saturday, June 05, 2010

1515

Selepas berhabis tenaga di Kuantan, saya sempat meminjam 2 buah buku dari perpustakaan. 1515 dan satu lagi buku SN Arenawati. Ini dendam saya, untuk membaca (entah dapat dihabiskan dua-dua buku dalam minggu ini, ia satu cita-cita yang besar :p).
Percaya tidak, 1515 saya sudah habiskan dalam masa 1 hari dalam penat-tidur-bangun-baca-tidur-bangun-baca bergilir.
1515.
Ia kisah sejarah Melayu, melalui watak protagonis Nyemah Mulya. Satu ikon, entah ada entahkan tidak, tetapi dalam 1515 Nyemah Mulya diceritakan begitu hidup. Seolah-olahnya ia memang satu sejarah yang tidak dipilih oleh sejarawan untuk diangkat di alam Melayu dan dibiarkan senyap berdekad-dekad.
Dalam hangat peristiwa pencabulan Israel ke atas konvoi Freedom Flotilla, 1515 banyak mesej berkait. Tentang Islam, tentang bangsa, tentang semangat, dan paling dominan sejarah. 1515 mengajak kita meneliti sejarah, di Palestina juga signifikasi paling besar juga sejarah.
Komen saya ringkas sahaja. Dalam 1515, penulis mengajar kita, Melayu alah bukan kerana kekurangan fizikal, taktikal dan teknologi. Melayu alah kerana kecurangan dan pengkhianatan. Pemerintah, pembesar malah rakyat yang tidak faham tentang kesatuan dan penyatuan. Dan pengkhianat dalam sejarah baik di alam Melayu, merentasi benua lain di Tanah Arab, di Eropah, di mana-mana mereka adalah satu virus yang hidup subur dan sukar dijangka bila ia akan memakan diri dan akhirnya meranapkan semua yang telah diusahakan selama ini. Sedih, ia satu kesedihan yang diketahui tetapi kita boleh buat apa? Virus, seperti itulah mereka.
Mavi Marmara dan terkini Rachel Correy ditawan tentera Israel. Ini juga cerita pengkhianatan terhadap kemanusiaan. Kita yang berdiam diri, tidak bertindak apa-apa bila melihat pencabulan ini di kaca TV, internet, blog, twitter dan sebagainya, adakah ia juga salah satu bentuk pengkhianatan?

Wednesday, June 02, 2010

jika sanggup bermati-matian
tidak peduli segala
percaya pada tanggungjawab
untung nasib pada amal

lebih baik mati
di atas kapal Mavi Marmara

dalam kalut kemanusian
aku sedang menjadi
yang tidak peduli

bukalah pintu Ghazzah
dalam hati
dengarkan dendangan
Palestin yang mencela
kerana ditinggalkan adik beradik sendiri

tunggulah di sana
mereka akan mengadu
tentang kita
yang menutup mata!