Wednesday, July 28, 2010

Bulan Mengambang


Malam tadi ketika mencuci tangan di singki dapur, saya perasaan ada cahaya terang dari atas langit. Saya membuka pintu belakang dan melihat bulan penuh sedang megah menerangi langit malam. Hari semalam hari 15 Shaaban. Bukankah ia tarikh yang menandakan sesuatu? Kata orang buku amal ditukar di malam separuh Syaaban. Separuh itu nisfu, dari situ terma Nisfu Syaaban dimahsyur seantero pelusuk dunia.


Bila menggunakan pentarikhan Islam, 15 haribulan ialah hari bulan mengambang penuh. Jika ikut pentarikhan Gregorian (Masihi) saya tidak tahu.


Saya berjalan pantas mengambil teropong di bilik (ya betul saya ada teropong, tetapi bukan untuk membuat perbuatan jahat lagi mungkar (alasan apolgetik untuk diri)). Bulan begitu besar untuk dilihat dengan mata kasar tetapi saya mahu jelas melihat warna gelap dibeberapa tempat dipermukaannya. Benarkah imej bulan seperti yang disiarkan dalam internet? Saya membetulkan fokus sehingga yang kelihatan bentuk yang tepat dan jelas. Na’am! Teropong telah membolehkan saya mengsahkan imej seperti gambar di atas.

Ingat dulu sewaktu kecil kita melukis bulan? Cukup dengan membuat bulatan besar dan mewarkan kuning. Semua orang tahu yang kita sedang menggambarkan apa. Bulan tidak boleh lagi dilukis mudah seperti itu. Warna gelap di permukaan melambangkan keunikkan sebuah bebola kosmik yang boleh dilihat dengan mata kasar yang dapat dicapai pada waktu malam. Unik? Memang!

Kerana kita begitu dicemari dengan pencemaran cahaya, kita tidak dapat melihat betapa hebatnya bulan bersinar menerangi malam yang gelap gelita. Di langit KL, cahaya yang dipancar keluar dari KLCC menenggelamkan semua petanda kosmik yang muncul di setiap sudut. Tidak percaya? Cuba lihat malam nanti (kalau tidak hujan).

Saya punya sudut pandang lain. Bukankah saya berada di desa? Bintang bertaburan seperti butiran pasir di pantai. Ia pemandangan yang mahal. Orang KL tidak akan dapat melihat dan merasai suasana ini lagi (selagi KLCC memancar cahaya terang sehingga menguasai langit malam).

15 Shaaban adalah satu tarikh besar untuk dikenang. Buku baru masih lagi putih bersih dibanyak helaian. Masih ada 360 hari untuk dicatat dengan amal wangi dan harum. Bukan mengotorkan dengan peristiwa hitam yang menjelekkan.

15 Shaaban keluar serentak dengan bulan penuh. Hati saya juga penuh rindu mengingat the Zahir.

Bulan terbelah
dicantum semula
dari celah gunung Kaikaan
saya mendengar suara Al Yaasin
memanggil untuk penyatuan
menegak kembalinya keadilan!

Tuesday, July 27, 2010

Haji Kubo Salih

Kegilaan adik pada Jepun telah menyebabkan dia berjumpa macam-macam. Dalam segala macam tentang negara matahari terbit itu, sebuah permata yang dijumpai yang paling menyentuh dalam nubari saya adalah video yang dirakam oleh Al Jazeera (di atas). Ia mempunyai 2 bahagian, sila ke youtube untuk melihat perjalanan etnik Jepun menunaikan haji.

Salah seorang yang mendapat liputan secara dekat oleh Al Jazeera ialah Haji Kubo Salih. Beliau belum Al Hajj ketika video ini dirakam, insyaAllah ketika saya menulis entri ini beliau sudah dimakbul Allah untuk menjadi tetamu dan mendapat ganjaran Haji yang mabrur.

Bagi saya, Haji Kubo ialah kisah sakti yang magis. Bagi yang melihat video ini akan segera perasan bahawa Kubo san adalah seorang yang baru sahaja memeluk Islam. Relatif masanya sangat singkat, namun Allah memperkenan untuk beliau menjadi tetamuNya.

Ada apa dengan Jepun? Jepun ialah negara sentral pada pekerjaan dan kemajuan teknologi. Tiada masa fleksi bagi mereka yang mahu taat beragama. Waktu pejabat diguna sepenuh dan rehat hanya untuk membolehkan mereka menjamah bento (makanan tengahari). Mereka negara tanpa agama kecuali adat spritual yang diambil dari Shinto dan Budhha. Lain dari itu nihil, kosong. Apa yang menyebabkan Kubo Salih dalam persekitaran yang langsung tidak membina jiwa beragama, mengambil keputusan nekad untuk kembali pada fitrah? Sila ikuti perjalanan beliau melalui video yang dirakam begitu sempurna dan menyentuh.

Saya cemburu pada Kubo san. Relatif dia dalam Islam begitu singkat, namun dia tetap hambaNya yang terpilih menjadi tetamu. Untuk menjadi tetamu, ada perkara besar perlu dikorban dan kita mesti sanggup menjadi Ibrahim, Ismail, Siti Hajar dan Rasulullah.

Kubo san berhenti kerja untuk pergi haji. Kubo bertekad untuk mengubah cara hidup demi dapat menunaikan solat. Kubo mengubah cara makan, agar jiwa bersih dan seiring dengan perintah Tuhan. Kubo san malah sudah mampu mengaji ayat-ayat lazim dalam Quran.

Iman seperti mana yang meresap dalam jiwa? Mengapa kita masih belum capai tingkatan yang sama walau kita lebih lama Islam dari dia?

Saya sangat tersentuh setiap kali membuka video ini. Saya cemburu dengan wajah tenang Kubo san. Saya sudah lama Islam, namun masih belum dipanggil menjadi tetamu untuk menjadi Haji, hujah Allah untuk kesaksian pada agamaNya. Moga-moga satu hari saya faham tentang pengorbanan Ibrahim dan seluruh keluarganya, waktu itu Allah akan memakbul untuk saya menyahut "Labaikallahumma labaik".

Friday, July 23, 2010

Cerita Safwan

Saya melihat Safwan yang duduk betul-betul di hadapan meja pensyarah. Setiap kali waktu ujian dan peperiksaan, di situlah Safwan duduk. Saya meski datang awal bersama Safwan, akan mencari tempat duduk yang tersorok dari pandangan pengawas peperiksaan. Semua kawan-kawan lain pun begitu. Datang awal untuk mendapat tempat strategik, supaya di masa-masa terdesak dapat juga mengeluarkan senjata untuk menyelamat tengkuk. Senjata haram yang istilah dikenali sebagai toyol. Safwan tidak begitu. Tempatnya paling hadapan terdedah kepada pemerhatian pengawas peperiksaan.

Satu hari dalam senggang masa santai saya bertanya kenapa Safwan selalu duduk di hadapan sedang dia selalu datang awal. Safwan lebih berhak untuk menduduki tempat strategik berbanding orang lain.

“Saja.” Itu jawab Safwan, saya tahu dia tidak berjujur.

“Kawan apa kau ni banyak sangat rahsia!” Saya bertanya dengan suara ditinggikan.

Safwan tersengih untuk menutup rasa bersalah, “Aku takut, aku takut tergoda.”

Saya faham maksud Safwan. Dia takut digoda oleh rakan-rakan yang secara sukarela akan menawarkan toyol haram zadeh untuk mereka yang kesempitan. Kalau pun tidak mahu mereka akan tetap bereya untuk berkongsi.

“Kau ni Safwan takut sangat. Semua orang buatlah bukan rahsia pun. Kau tak pernah meniru ke? Jaga sangat macam orang alim.”

Muka Safwan keruh. Saya turut terkesan dengan perubahan itu. Takut-takut saya telah menyentuh hal peribadi yang sensitif.

“Betul Afif, aku bukan orang baik dan bukannya tidak pernah meniru.” Safwan membuang pandang ke tempat jauh. Biar betul. Safwan ‘orang suci’ seperti digelar rakan-rakan pernah meniru.

“Maaflah, kalau aku menyinggung perasaan kau. Tapi tentu ada sebab yang buat kau berubah.”

“Kau kenalkan En Sukri yang mengajar kita Kejuruteraan Air Sisa masa diploma dulu?” Saya mengangguk. “Dialah yang menyedarkan. Sebelum itu, aku juga sama seperti orang lain.”

Safwan membetulkan duduk.

“Pernah sekali aku telah membawa toyol yang dibawa sekali bersama kertas kosong untuk ditulis jawapan. Ingat aku En Sukri tidak akan memeriksa. Tiba-tiba hari itu dia bergerak dari satu meja ke meja sambil menyelak setiap helai kertas jawapan pelajar sebelum ujian bermula. Dia nampak kertas yang bertulis pensil tetapi dia sekadar menyelak kemudian berlalu pergi. Masa itu aku sudah berpeluh-peluh menahan takut.”

“Takkan En Sukri tidak buat apa-apa? Potong markah atau bagi kosong untuk ujian tu.”

“Aku pun menunggu juga. Tapi memang tidak jadi apa-apa langsung.”

“Lepas tu kau bertaubatlah ye?”

“Tidak juga. Aku ingat aku kebal dan En Sukri tidak berani.”

“Habis tu apa yang buat kau berubah.”

“Kau ingat tidak masa En Sukri bawa kita semua pergi lawatan ke pusat rawatan air sisa di Putrajaya.”

“Mestilah ingat, bukan selalu kita dapat keluar dari kampus untuk dapat belajar dari mereka yang betul-betul ada pengalaman.”

“Masa itulah aku rasa macam kena hempuk dengan batu betul-betul di kepala.”

“Safwan, kau ni cerita jangan berhenti-henti. Tidak sabar aku hendak dengar.” Safwan senyum kemudian meneruskan cerita.

“Selepas penerangan dan sesi melawat setiap kolam rawatan, aku memerhati tidak berkelip dua botol air di atas meja pameran yang disediakan jurutera. Aku ingat lagi, jurutera tu cakap, satu botol tu air mineral, satu lagi ialah air kumbahan yang telah dirawat. Bila diletakkan sebelah menyebelah dengan menggunakan botol yang sama, kelihatan kedua-dua air sama sahaja. Bersih dan jernih. Memang tidak dapat dibeza.”

“Betul, betul. Aku ingat lagi masa jurutera terangkan pasal benda tu.”

“Masa tu aku tidak sedar yang En Sukri berada di belakang. Dia memerhatikan aku sebenarnya. Tiba-tiba dia bertanya dan menegur, “Kalau saya cabar awak untuk minum salah satu dari air ni, awak berani?”

“Apa yang kau jawab.”

“Aku kata aku tidak berani. Mana kita tahu yang mana satu air mineral, mana satu air kumbahan. Yelah, air sisa yang masuk ke dalam kolam rawatan itu entah sisa dari mana. Sisa yang keluar semasa kita masuk dalam tandas. Yang akan berbunyi kuat ketika pepejal itu keras dan akan berbau masyaAllah kalau sedang cirit birit. Masalahnya yang terkumpul bukan dari orang Melayu sahaja, dari semua lapis masyarakat. Orang Cina, India, Benggali, orang putih. Orang miskin, orang kaya. Belum campur lagi dengan mayat orang yang mati dalam pembentungan.”

Safwan berkerut dahi mengingat. “En Sukri gelak sahaja mendengar jawapan aku. Masa itu aku lupa sangat kes bawa toyol dalam ujian. Aku pun selamba tidak malu bersembang dengan En Sukri. Aku ingat dia lupa dan kau pun kenal En Sukri itu baik, selalu suka beramah tamah.” Safwan menarik nafas. Macam susah benar dia mahu meneruskan cerita.

“Cepatlah, apa jadi seterusnya.”

Safwan masih mengambil masa. Payah sangat butir bicara keluar dari mulutnya.
“En Sukri kemudian cakap, macam itulah keputusan peperiksaan kita. Yang dilihat oleh mata pensyarah dan mata ibu bapa ialah apa yang tercetak di atas kertas. Tidak lebih tidak kurang. Semuanya kelihatan bersih, putih dan sempurna. Pelajar itu sendiri yang lebih tahu dari mana datangnya nombor-nombor yang dicetak.” Ada jernih bertakung di mata Safwan.

“Masa itu seolah ada batu besar menghimpit dada. Muka pucat tidak berdarah. En Sukri kemudian mengangkat salah satu dari dua botol itu betul-betul dihadapan mata aku. Kemudian dia tanya, “Safwan, agak-agak sanggup tidak awak menawarkan air dalam botol ini untuk diminum atau sebagai air untuk wuduk kepada kedua ibu bapa kamu?”

Saya terdiam. Safwan juga terdiam. Lama kemudian menyambung. “Aku cuma menggeleng pada En Sukri. En Sukri pula terus berlalu dari situ. Sepanjang perjalanan aku diam tidak dapat bercakap apa-apa. Lama lepas itu aku ke bilik En Sukri meminta maaf. En Sukri maafkan dan dia berharap agar aku segera bertaubat dan menyesal.”

“Air sisa selepas dirawat memang bersih dan jernih. Kualiti kejernihannya sama seperti air mineral yang dibeli dikedai-kedai. Kau pun tahu Afif, kita sudah belajar masa diploma lagi. Meski airnya bersih dan jernih, akhirnya ia tetap dilepaskan kembali ke sungai. Ia tetap akan dibuang. Tidak akan terjadi dalam praktis air sisa yang dirawat digunakan untuk menjadi air minum. Air sisa tetap air sisa. Meski jernih kecuali ia sudah disucikan secara semulajadi. Bila air yang dilepaskan di sungai naik ke langit dengan menjadi wap air, bergabung dengan awan dan turun sebagai hujan.”
Safwan memandang ke arah lain. Saya melihat dia mengangkat tangan untuk menyeka sesuatu yang keluar dari mata. Ketika dia kembali memandang matanya sudah merah.

“Aku bersyukur En Sukri menegur aku Afif. Jika tidak sampai bila-bila pun aku tidak sedar. Keputusan peperiksaan yang atas kertas cemerlang, rupanya ia cuma seperti air kumbahan yang telah dirawat. Kita telah menutup kekotorannya dan merahsiakan dari mana ia datang dari mata bakal majikan, malah lebih buruk dari pandangan ibu bapa. Sedangkan ibu bapa sampai berkenduri kendara bersyukur meraikan kejayaan kita.”

Khali.

“Setiap kali aku mahu meniru aku teringatkan En Sukri. Lebih lagi akan teringat, sebenarnya aku sedang menawarkan air sisa manusia yang kotor dan jijik untuk ditelan mak ayah sendiri.”

“Oh ya, aku teringat apa En Sukri cakap sebelum aku keluar dari bilik ketika minta maaf dulu,”

Saya memasang telinga berminat.

“Saya harap awak akan dapat menawarkan air mineral yang tulen bersih untuk diminum oleh ibu bapa awak nanti.”
Saya akhirnya faham. InsyaAllah, hari ini bertekad akan menjejak langkah Safwan.

Thursday, July 22, 2010

Hujan di Kuala Lumpur


Dua hari lepas, saya berjalan di Kuala Lumpur. Ia bukan kota yang asing. Bagi ramai orang, ia seolah sebuah kota yang punya banyak harapan. Semua mahu berada dan bergerak dalam denyut nadi KL, kerana ia memberi nilai tambah pada mata dan telinga orang yang mendengar. Bila orang bertanya dan kalau mampu menjawab seperti ini, "saya bekerja di Kuala Lumpur", pandangan mereka akan jadi lain. Ada satu stigma superior dalam segala hal yang bersangkutan dengan Kuala Lumpur.

Ya, saya suka KL. Ia adalah kampung, saya lahir di sini. Setiap jalan dan lorong ada nuansa romantika di hati. Setiap jalan mengandungi makna dan cerita. Salah satunya kerana Kuala Lumpur adalah sebuah kota peradaban. Dalamnya ada bangunan tinggi yang megah, setiap inci yang menjadi tarikan pelancong akan dihias dengan landskap pokok dan hidupan, segala brand terhebat di dunia terhidang dan dapat dicapai dengan mudah.

Saya rindu KL kerana ia adalah kota peradaban. Kerana begitu buruk KL di mata orang, ia tetap menyimpan toko-toko buku dengan judul yang berbagai rencam, orang arif berilmu yang sentiasa berwacana untuk membentuk ideal tamadun, setiap inci dan lorong adalah kehidupan dinamik yang bergerak. Jarang melihat orang yang statik di sini, melainkan peminta sedekah yang sudah buntung kaki, atau orang gila yang berjalan perlahan dengan pakaian lusuh tidak pernah berganti, atau peniaga kiosk kecil di kaki lima yang kepenatan mencuri rehat dengan terlelap sebentar bertupangkan lengan.

Dua hari lepas saya berada di sana. Memang KL kampung saya tetapi saya tidak bekerja di sini. Jadi setiap kali dapat menjejak kaki, saya seperti perantau yang pulang ke desa. Sebagai seorang perindu, sudah tentu saya perlu menziarah. Kerana itu jika berada di daerah sini, saya memilih untuk tidak menaiki kenderaan sendiri. Saya akan menaiki kenderaan awam, meski terpaksa bersesak dengan orang lain. Meski terpaksa bertoleransi dengan bau-bauan dari orang lelah yang keluar bekerja. Hangit, masam, bacin, stoking basah terpaksa dikongsi ramai dalam padat keretapi aliran transit ringan. Jika bertuah, kadang-kadang terbau juga perfume mahal.

Kerana bergerak dengan kenderaan awam, waktu transisi bertukar keretapi saya perlu bergantung penuh dengan kudrat kaki. Saya tidak berjalan sepantas orang Kuala Lumpur. Bagaimana saya mencuba pun saya tetap ketinggalan di belakang. Aneh, orang KL berjalan pantas. Adakah ada perlumbaan di hadapan? Sudah tentu tidak, mereka memang begitu. Lalu saya salahkan kasut yang tidak sesuai. Patut menyarung sneakers untuk menyaingi.

Selepas habis urusan rasmi saya bergerak ke toko buku. Ketika sampai ke toko buku Fajar Ilmu Baru (FIB) yang terletak di Jalan Masjid India, hari masih lagi cerah. Ia adalah sebahagian antara kerinduan pada KL. FIB dulu dengan nama Pustaka Indonesia, kemudian berpindah di tingkat dua di Wisma Yakin dengan nama FIB. Banyak buku ilmiah di sini yang jarang ada di toko buku yang biasa. Jangan mengharap judul-judul buku seperti yang ada di jual di MPH, Popular dan Kinokuniya. FIB selalu menawar alternatif. Di FIB saya menjumpai novel Baltasar's Odessy, novel-novel terjemahan Orhan Parmuk. Ketika kaki kanan masuk ke kedai, saya sudah menciumi bau ilmu. Nanar sekejap melihat yang tersusun. Bagi pencinta buku dalam musim belum bergaji ia bukan langkah yang bijak. Di celah rak ada cermin yang dapat melihat luar. Awan hitam menyelubungi langit KL. Barangkali sekejap lagi akan hujan. Saya tidak peduli apa, peluang berada dalam FIB bukan selalu dapat. Saya menjelajah dari rak ke rak, berharap agar dapat jumpa dengan buku yang dalam senarai. Kemudian bunyi riuh di luar, hujan sudah turun. Lebat. Saya mempunyai alasan lebih untuk berada lebih lama dalam kedai buku. Dari satu judul ke judul lain, saya mencari. Mengangkat buku dan membelek. Dalam ralit, ada suara pekedai menerangkan serba ringkas tentang buku kepada mahasiswa mahasiswi yang berkunjung. Tawar menawar belaku. Mahasiswi tadi jelas kesiangan untuk bersolat Asar, lalu meminta izin tuan punya kedai untuk tumpang bersolat. Bukankah saya katakan FIB punya alternatif? Mereka turut menyediakan ruang untuk pengunjung bersolat.

Begitu lama saya membelek dan mencari. Hanya dua judul yang cocok dengan kemampuan finansial waktu itu. Lalu saya membeli buku Anne Marie Schimmel dan Dr Ali Shariati. Cukup dua. Saya melangkah keluar. Langit hitam dan hujan masih lebat. Saya mahu bergerak pantas ke stesen Masjid Jamek, air di depan Wisma Yakin sudah naik sampai ke buku lali. Pekedai berhempas pulas menyelamatkan jualan dari tempias hari hujan. Tetapi baju, tudung-tudung yang dipamer telah pun lencun. Saya tidak yakin untuk menempuh hujan sebelum masuk ke kawasan berbumbung pejalan kaki. Oleh kerana ramai lelaki yang merokok bersidai di depan wisma, saya tidak jadi menunggu teduh. "Hujan boleh ditempuh." Ada suara dalam hati berkata begitu. Jadi saya bejalan cepat, dengan melipat seluar ke paras selamat tidak dibasahi hujan. Lalu bergerak perlahan menempuh air yang tinggi ke buku lali ke stesen Masjid Jamek.

Hujan di KL meski sekejap tetap mengundang banjir. Terowong SMART tidak berfungsi?

Ketika sampai di stesen, ramai orang sedang berkumpul di situ. Pasti menunggu teduh. Saya memandang sungai, air sedang deras berpusu-pusu bergerak ke haluan. Aliran air sungai utama berwarna hitam. Air yang keluar dari longkong-longkang sisi berwarna merah. Yang merah membuak keluar bercampur dengan yang hitam. Bau tidak enak mengapung di stesen Masjid Jamek. Tetapi orang KL masih lagi berjalan pantas. Mereka tidak peduli pun pada air sungai yang merah dan hitam. Oh, bukan mereka orang baru pulang dari desa. Saya yang baru pulang, kerana itu setiap satu ditangkap deria untuk terus merakam cerita KL pada hari ini.

Saya memerhati. Orang KL memang berjalan laju. Sudah pukul 7 malam, mereka masih berpakaian kerja. Hari gelap, mereka masih belum sampai ke rumah.

Saya berjalan mengambil tiket untuk ke Setiawangsa. LRT sendat sampai ke pintu. Seperti berada dalam bas mini berpuluh tahun dahulu. Cuma mereka tidak berebut untuk mengambil peluang masuk dalam keretapi. Gerabak banyak, masa sampai pula tidak perlu tunggu sampai 10 minit. Saya membiarkan orang KL yang masih berpakaian kerja masuk dalam gerabak. Saya boleh tunggu. Saya tidak ada perlumbaan di hadapan untuk dikejar.

Di luar KL masih hujan. Aliran sungai deras, sama seperti orang KL berjalan. Warna hitam dan merah air buangan bercampur dalam sungai, seperti mana watak-watak manusia di nadi kota berjalan dan bercampur. Peniaga-peniaga kecil akan terus merungut dengan bahan jualan yang rosak akibat hujan. Peminta sedekah akan bertaburan untuk mencari atap. Tiada orang akan berhenti untuk memberi dalam musim hujan lebat begini.

Kuala Lumpur kota peradaban. Di dadanya ada seribu macam teknologi yang mapan. Namun setiap kali hujan, manusia tetap berserakan. Banjir di KL tetap akan menjengah, meski janji telah seribu kali ditabur sumpah.

Sunday, July 18, 2010

Shaaban: Destinasi Wajah Terakhir

Satu hari dalam kesibukan menyiapkan tugas santak ke petang sehingga terlupa Asar akan luput segera. Dalam kelam kabut berlari ke tandas mengambil wuduk dan semula ke bilik operasi untuk menunaikan solat. Sudah! Ini bukan bilik saya yang biasa, lalu saya kehilangan arah. Malang, saya punya penaakulan geografi yang lemah. Lalu bertanya pada rakan-rakan sekeliling. Mereka juga tidak pasti. Berpandukan keyakinan diri, membuat sedikit pengiraan dan pemetaan, saya tunaikan solat. Usai solat, seorang rakan masuk dan kemudian menegur, "Hei kawan, kiblat kau salah 180 darjah!"

Muka saya merah. Darah takut dan gemuruh naik sampai ke kepala. Peluh mula memercik. Jantung berdegup kencang. Rasa bersalah menyelimuti bermula dari jari kaki sehingga ke hujung rambut. Ke arah mana saya rukuk dan sujud tadi? Saya mengenang murka Allah, memejam mata dan beristighfar panjang-panjang. Saya kembali berdiri. Memandang kain pelapik sujud dan memusingkan semula 180 darjah. Saya kembali memperbaharui solat Asar.

Itu kisah lama. Jika dikenang kembali, kawan-kawan akan pecah tawa. Saya juga akan tersenyum panjang menyesali silap sendiri. Dan saya tiba-tiba teringatkannya hari ini, pada bulan Shaaban. Kebetulan? Ada apa dengan Shaaban?

Saya selalu menganggap Shaaban sebagai bulan penanda untuk menyambut Ramadhan, bulan terbesar yang akan diraikan seluruh umat Islam seluruh dunia. Kerana itu saya meraikan Shaaban seperti mendapat panggilan telefon dari kekasih. Sebelum kekasih yang dicinta dan dirindu itu saya ketemu, muka ke muka!

Shaaban tidak mengiringi Ramadhan tanpa bersebab. Ia ada sejarah besarnya sendiri, yang selalu dilupa atau mungkin tidak pernah singgah dalam pengetahuan kita. Shaaban mencatat kisah destinasi wajah terakhir, penanda hak dan batil. Dan konfrantasi antara orang Yahudi dan Rasulullah diselesaikan dengan keputusan dari langit, pada bulan Shaaban ini.

Ketika Islam bermula, solat didirikan dengan kiblat ke Jurusalem. Ini adalah petanda bahawa Rasulullah membawa legasi kenabian yang sama dari jalur Nabi-nabi yang diiktiraf orang Yahudi. Ia adalah ajaran aqidah keTuhanan dari sumber yang sama. Perintah ini juga untuk memberi ruang dan peluang kepada orang Yahudi untuk mengiktiraf kerasulan Nabi, seperti mana yang telah ditunjukkan dengan jelas di dalam kitab mereka bahawa Nabi Muhammad adalah nabi yang ditunggu mereka. Namun mereka menentang sekeras-kerasnya kerana kecewa Nabi Muhammad lahir dari bangsa Arab, bukan dari darah dan jalur Yahudi.



Kemudian, selepas Rasulullah diperintah berpindah ke Madinah, kiblat solat masih mengadap arah yang sama. Perlu diingat, Madinah terletak ditengah-tengah antara Makkah dan Jurussalem. Ketika solat mengadap Jurussalem, Makkah akan berada di belakang (sila rujuk peta). Ini memberi ruang yang besar untuk orang Yahudi menghina dan mencabar Rasulullah serta berbangga dengan superiority agama mereka. Hinaan dan cabaran orang Yahudi di jawab sendiri oleh langit dengan turunnya ayat Surah Al Baqarah: 142. Allah bukan sahaja mencela mereka dengan ayat, malah Allah sendiri mahu orang Yahudi lihat dengan mata kepala bahawa mereka sedang dimurka dengan menukar kiblat 180 darjah! Dari Jurussalem ke Makkah Al Mukarram.

Subhanallah. Ini bukan cerita kecil anak. Sejarahnya tercatat di Masjid Qiblatain di Madinah. Orang Yahudi meski mendapat jawaban-jawaban langsung dari langit masih tetap ego, degil dan bongkak. Meski segala bentuk simbol, tanda tentang kebenaran mencurah turun dari langit, mereka akan tetap tidak akan tunduk (Al Baqarah: 145).

Saya tidak faham kenapa orang Yahudi tidak merasa apa-apa ketika kiblat yang dibanggakan ditarik balik kerana kecongkakan mereka tidak mahu tunduk pada kebenaran. Saya yang tersalah kiblat secara tidak sengaja begitu berpeluh-peluh menahan rasa takut akan murka Allah. Sampai sekarang traumanya masih mencengkam.

Cuba bayangkan, kalau awak sedang bercakap sesuatu yang maha penting dengan saya, secara tiba-tiba saya bangun membelakangkan awak dan berlalu pergi? Tentu awak akan marah dan sampai mati pun ingat. Mungkin kebanyakkan kita menganggap tindakan itu adalah penghinaan secara tidak langsung bukan?

Selama 10 tahun di Makkah, di sambung lagi 17 bulan di Madinah, Allah membuka ruang selebar-lebarnya untuk orang Yahudi kembali memahami ajaran tulen terkandung dalam kitab-kitab yang dibawa oleh Nabi Ibrahim, Nabi Daud dan Musa. Tetapi mereka lebih mahu faham mengikut selera nafsu duniawi. Lalu, di bulan Shaaban selepas 17 bulan Rasulullah berhijrah ke Madinah, Allah memerintah kiblat ditukar ke Baitullahi Haram. Kiblat, iaitu arah di mana wajah dihadapkan kembali kepada rumah yang dibangun Nabi Ibrahim dan Ismail. Di bulan Shaaban, Allah membelakangkan mereka, selama-lamanya hingga hari Kiamat. Di bulan Shaaban, Allah telah berfirman Kaabah adalah destinasi wajah terakhir. Tiada kebenaran lain, melainkan ia mengadap Masjidil Haram. Final, mutlak, termaktub!

Shaaban, begitulah ia menjadi pemisah antara hak dan batil. Menunjuk Allah hanya redha pada mereka yang mengadap wajah ke Haraam.

Yang berjabat tangan, berselisih pipi, dan menepuk bahu dengan Yahudi yang dimurkai, ingatlah Allah sendiri telah membelakangkan mereka!


Saturday, July 17, 2010

Hujan

Kami sedang menunggu hujan datang. Semenjak diberitakan kenaikkan harga minyak, hujan belum singgah. Malam diumumkan, kejiranan kami dilanda musibah putus bekalan elektrik. Panas yang begitu membara ditambah dengan tiada kipas berpusing di syiling. Peluh mencurah-curah, tetapi apa pun tidak boleh dibuat melainkan mengambil bantal, berselawat dan menunggu bekalan elektrik disambung semula.

Sekarang, hujan masih belum sampai. Tetapi kami berjumpa lagu tentang hujan dari Native Deen yang begitu indah ini. MashaAllah, ia lebih hebat berbanding semua lagu yang dinyanyikan Noh hujan.

Melihat video klip ini, betapa kita berkongsi rasa yang sama. Bila hujan turun, masing-masing akan gembira. Senyum akan terukir, kanak-kanak riang bermain air.

Kata orang, dimana ada air disitu akan ada kehidupan.

Begitulah kita sebagai manusia. Kita juga punya musim pasang dan surut. Dalam kehidupan selalu sahaja akan melalui hari-hari kemarau dan berdoa agar hujan turun. Tetapi selalu kita lupa, awan yang membawa hujan itu dekat sahaja, ia terletak di mata. Ya, air mata.

Tetapi mereka kata air mata itu lambang kelemahan. Kata kami ia lambang hidup. Bukankah setiap ada air akan ada kehidupan? Kata Al Quran dalam surah Al Anbiya': 30, "....Kami jadikan segala sesuatu yang hidup berasal dari air."

Kerana itu untuk hidupkan hati dan jiwa, jemputlah hujan di mata. Selepas hujan, burung akan keluar berkicau, rumput-rumput lebih hijau, bumi disejukkan, dan dimana-mana akan ada hidup yang baru bermula.

InsyaAllah the rain will come.

Tuesday, July 13, 2010

Tuhan berada di langitkah?

Saya mengisi gelas Piala Dunia yang dapat percuma dari MacDonald dengan ketul-ketul ais. Nasib ais dalam peti masih ada meski sudah tinggal sedikit. Saya kacau air teh o dalam jug dengan sudu supaya manis gula yang sudah termendak di bawah menjadi sebati semula. Perlahan-lahan saya tuang ke dalam gelas sehingga ais tenggelam sepenuhnya. Saya goncangkan. Bunyi hentakan ais ke gelas begitu mengujakan. Ia menandakan air teh o ais di tengahari yang panas sudah siap dihidang.
Saya berjalan ke ruang tamu. Asytar masih dihadapan TV melihat siaran ulang tayang tendangan penalti antara Uruguay dan Ghana dengan tekun. Mendengar bunyi ais di cawan buat Asytar menoleh. Saya menyerahkan gelas, Asytar tersenyum dan mengucapkan "terima kasih."

Saya mengalih pandang ke TV. Semua pemain baik dari pihak Ghana mahupun Uruguay sedang berperang emosi dalam hati. Masing-masing nampak resah. Sekali-sekali kamera mengarahkan pada mereka yang mulut terkumat kamit sambil memandang ke arah langit. Kedua-dua pasukan sama. Mereka sedang berdoa agar penjaga gol dapat menyelamatkan tendangan, atau tendangan tersasar jauh dari tiang gol, atau berdoa pasukan berjaya menyumbat gol untuk mengukuhkan kedudukan di saat paling genting dalam perlawanan bola sepak.

"Kenapa mereka berdoa sambil memandang langit. Tuhan ada dilangitkah?"
Saya terkedu. Asytar anak buah yang berumur 9 tahun itukah yang bertanya. Saya tidak punya jawapan. Otak ligat mencari helah.

"Cukup tak air teh tu, kalau tak tambah lagi."

Asytar mengangguk. Soalannya mati. Saya tahu kalau kamera dialihkan lagi pada muka pemain yang terkumat-kamit soalan yang sama akan keluar.

Asytar lambat dikurniakan suara. Meski umur sudah masuk lima tahun, dia hanya mampu berkata sepatah-sepatah. Sehingga kami cukup risau dengan perkembangan dan kemahiran komunikasi Asytar. Tidak lama lagi pula dia akan bersekolah. Agaknya Allah mengurniakan dia kebolehan bercakap begitu lambat untuk membolehkan Asytar dilatih menjadi seorang pemerhati. Dan dia begitu memerhati sehingga saya tidak punya jawapan.

"Dia orang berdoa sambil pandang ke langit, Tuhan ada di langitkah?" Sekali lagi soalan diajukan. Kali ini saya tidak ada helah lain.

"Asytar rasa macamana?"

"Tak tahu. Tengok pemain Uruguay, Ghana semua pandang ke langit bila kawan mereka tendang bola ke gol. Kita orang Islam berdoa pun tangan tunjuk ke langit."

"Masa kita solat kita mengarah ke mana?"

"Mengarah ke arah Kaabah."

"Adakah maksudnya Allah ada di Kaabah?"

"Apalah uncle ni, itu cuma kiblat la. Arah supaya umat Islam bersembahyang dengan satu arah yang sama. Ustazah cakap macam tu kat sekolah."

"Apa lagi yang Ustazah cakap?" Dalam kepala masih lagi ligat untuk mencari jawapan Asytar yang mula-mula.

Asytar meneguk air teh sehingga tinggal separuh. Di luar cawan penuh titisan-titisan kecil air. Tentu air itu sangat sejuk.

"Ustazah kata kiblat itu adalah untuk kesatuan umat Islam diseluruh dunia. Bila umat Islam bersolat, mereka akan ada hanya satu arah. Dengan itu umat Islam boleh bersatu."

Asytar lurus dan polos. Hatinya bersih. Pengetahuannya belum sampai yang umat Islam walau kiblatnya satu masih belum dapat kata sepakat tentang hal di Palestin. Belum dapat lagi meletak senjata untuk mengelak pentempuran antara mazhab. Belum berhenti label melabel.

"Betul. Kalau macam tu kenapa pula kalau kita berdoa tangan menghala ke langit. Pemain-pemain bola pun pandang ke langit?" Kali ini giliran saya pula bertanya.

Asytar menggaru-garu kepala. Pemerhati cilik ini perlu diasah lagi kemahirannya.

"Samalah juga macam kiblat solat di Kaabah. Kiblat untuk berdoa pula, ada di langit."

"Jadinya doa, arah atau kiblatnya di langit lah ya."

"Memanglah. Bukan bermakna Tuhan ada di langit. Sebab langit tu Allah yang buat. Allah pula tidak berkehendak pada satu apa pun keperluan seperti manusia. Jadi Allah juga tidak perlu langit sebagai tempat."

Asytar senyap. Mungkin berfikir kerana ada ketika dahinya berkerut-kerut. Saya rasa saya telah menang. Kemudian Asytar memecah khali.

"Maksudnya, semua manusia tak kira orang Islam dan bukan Islam berkongsi kiblat doa yang sama lah ya? Adakah itu tandanya semua orang percaya Tuhan yang sama?"

Saya senyum. Tiada jawapan, tiada helah lain untuk mengelak. Asytar bukan calang pemikir. Dalam usia yang muda, saya boleh menang hanya kerana saya boleh memberikan air sejuk untuk Asytar. Itu pun kerana dia begitu pendek untuk mengambil ais dari peti yang lebih tinggi dari susuk tubuh kecilnya. Selebihnya, Asytar yang menyebabkan saya kembali berfikir. Kali ini, saya kena berfikir lebih jauh dari jangkauan orang dewasa biasa yang banyak disekeliling. Supaya di masa akan datang, kalau Asytar bertanya, saya tidak akan kalah lagi!

Monday, July 12, 2010

Spain: Kemenangan yang tidak dirai

Bila ada Paul (si sotong oracle), Piala Dunia sudah tidak menarik lagi. Bukan percaya, masalahnya bila mengikut statistik Paul tidak pernah meneka salah. Dalam disiplin matematik, ia adalah satu kebenaran. Jadi untuk apa berjaga pagi hanya semata mahu menonton. Lagi pula mereka kata, Belanda dilayan buruk oleh pengadil sehingga mereka terpaksa bermain kurang seorang atas padang.

Pencinta judi, tentu akan memastikan Paul terus ada 4 tahun lagi. Supaya mereka tidak rugi menghamburkan duit atas nasib. Bookie pula mahu Paul dihukum mati, agar mereka dapat mengaut untung berlipat ganda bila tiba musim Piala Dunia.

Apa pun Piala Dunia (cawan Dunia) sudah berakhir. Akan dibuka 2014 nanti kalau dunia masih ada.

Saya terkesan dengan apa yang dibicarakan oleh Ally Iskandar dan seorang lagi pengacara MHI (tak kenal siapa) pagi tadi tentang Piala Dunia dan kesannya pada masyarakat.

Pengacara 2: Ada satu perasaan yang datang selepas pelawanan antara Spain dan Belanda malam tadi. Lepas habis pelawanan terus terdetik, eh, Piala Dunia dah habis.

Ally: Oh, awak pun rasa macam tu. Betul, bila melihat skrip saya terfikir apa benda yang boleh dibualkan untuk slot 20 minit dalam MHI.

Pengacara 2: Betullah, sampai bertanya sendiri, dah habis dah, lepas ini apa? Apa yang boleh dibuat selepas ini?

Ally: Betul, saya pun tertanya-tanya, lepas ini sudah tiada topik hangat yang boleh dikongsi semua.

Begitu. Impak Piala Dunia sangat hebat. Ally Iskandar tidak tahu perkara apa yang boleh dibualkan selepas Piala Dunia. Sehinggakan orang rasa kehilangan bila ia berakhir. Seolah-olah ia satu acara maha penting dalam dunia yang perlu dirai sehingga kita perlu meninggalkan semua, seperti saudara kita di Ghazzah, di Pakistan, di belah dunia yang diancam perang. Juga yang terlibat dalam banjir, bencana alam dan apa sahaja tentang manusia dan kemanusiaan.

Piala Dunia berakhir, jangan pula lepas ini ada orang kata, hilanglah sudah perkara yang boleh menyatukan kita semua.

Sunday, July 11, 2010

Uda dan Dara: Naskah yang gagal difahami Istana Budaya

Bermula 10 Julai sehingga pesembahan penutup pada 20 Julai, naskah Uda dan Dara (Usman Awang) dimainkan di Istana Budaya. Kami diberi kesempatan menonton pada 10 Julai. Seperti yang tertera di tiket, jam 8.30 malam ia akan dimulakan.

Kata orang, teater di Istana Budaya ialah hiburan untuk orang kaya. Jika begitu, bagaimana pula kami dapat pergi? Sudah tentu berbekalkan tiket termurah RM30 untuk disaksikan dari tingkat 3. Mungkin kerana tiket tidak habis dijual atau kata petugas Istana Budaya sedang dibaik pulih, tingkat 3 tidak digunakan. Kami diminta turun untuk duduk di tingkat 2. Itu pun, masih lagi ditunjukkan tempat yang sesuai untuk tiket RM30. Walaupun disekitar tempat duduk yang lebih mahal, kosong tidak berisi. Tidak tahulah pula kalau tiket yang berharga lebih RM100 di bawah penuh atau tidak.

Uda dan Dara adalah naskah kisah cinta. Malangnya saya tidak pernah membaca naskah asal Usman Awang, yang terhidang di depan mata adalah interpretasi pengarah. Untuk mudah, ia seperti mana-mana cerita cinta tentang sehidup semati seperti dalam Romeo dan Juliet, Laila Majnun dsb. Ia kisah Uda seorang anak kampung yang kurang serba serbi, harta, kedudukan, wang ringgit yang mencintai Dara, seorang perawan anak orang kaya dan tuan tanah, Alang Bakhil. Kerana cintakan Dara, Uda meminta ibu menghantar tepak sirih untuk meminang Dara. Seperti yang awak agak, memang pinangan Uda ditolak mentah-mentah. Kata mudah, jika kail panjang sejengkal, lautan dalam usah diduga. Tidak setaraf, itulah kelemahan Uda.

Uda (Razali Husain), sebaliknya tahu, hanya dengan Ringgit dapat menjadikan dia dipandang mak Dara dan Alang Bakhil. Lalu Uda ke kota untuk mengumpul seberapa banyak Ringgit. Ketika di kota, Uda tidak mengirim sebarang berita. Juga, tanah sawah mak Uda dan orang kampung bakal dirampas Alang Bakhil kerana tidak mampu membayar hutang. Situasi tegang itu diselamatkan oleh Uteh, watak unik yang akan muncul ketika saat yang diperlukan. Uteh, seorang pengkritik pada kezaliman dan ketidakadilan. Memanggil Alang Bakhil sebagai haiwan yang berkata-kata.
Untuk meringkaskan cerita, Uda pulang dengan sejumlah kekayaan. Kekayaan yang akan menyalakan harapan cinta Uda dan Dara. Uda malah mampu menebus tanah orang kampung untuk didirikan rumah impian dan bakal anak mereka di masa depan.

Tetapi Alang Bakhil berhelah. Dia tidak mahu menerima Uda meski Uda sudah penuh dengan Ringgit. Alasan kerana darah, darah Uda bukan dari golongan bangsawan dan terhormat.

Uda marah. Diungkapkan sumpah keramat untuk ditentang Alang Bakhil. Katanya, perjuangannya bukan sekadar cinta. Tetapi untuk kemanusiaan, kasih sayang, keadilan yang akan mati kalau tegar membiarkan budaya menyembah Ringgit dan kedudukan dibiarkan hidup dalam desa.

Namun, seperti awal tadi saya katakan ini cerita cinta, akhirnya, Uda ditikam hingga mati oleh orang Alang Bakhil dan Dara tinggal meratapi kekasih hatinya. Begitulah, sinopsis yang diceritakan secara berjela melalui Muzikal Uda Dara yang sedang ditayang. Berjela kerana terlalu banyak lagu dan juga menjadikan penonton sangat kecewa kerana kegagalan teknikal di awal persembahan yang menyebabkan penonton terpaksa menunggu selama 40 minit.

Secara persembahan, ia menghiburkan. Dengan gemersik suara Misha Omar dan pemain-pemain serta kareograf yang berjaya menguasai pentas, ia satu persembahan perlu tonton. Saya disentuh dengan elemen terperinci oleh pengarah yang dapat menghidupkan suasana desa yang bergantung penuh kepada sawah padi untuk hidup. Bagaimana orang kampung disatukan dengan gotong royong untuk semua perkara yang rumit dilakukan secara persendirian.

Namun satu sahaja, kisah Uda dan Dara dilihat sebagai satu perhubungan yang begitu akrab. Tentu sahaja dalam hati akan tertanya, begitukah cara orang Melayu yang terkenal santun dan berbudi, bercinta? Bagi saya, ia menyimpang dan sengaja dipertontonkan kareograf erotis pada salah satu babak bermadu kasih antara Uda dan Dara (mengikut tafsiran masing-masing tentunya) untuk mensensasikan cerita ini. Bahkan, siri promosi teater yang disiarkan dalam akhbar yang menwar-warkan Misha Omar (Dara) malu untuk berhadapan Razali Husain (Uda) sebelum persembahan bermula membuatkan saya berfikir demikian. Ya benar tidak salah untuk Misha Omar berasa malu, kerana kareograf tariannya begitu.

Kami membincangkan bagaimana teater mahu mendapat tempat dikalangan penonton. Kerusi di malam pembukaan tidak banyak berisi. Untuk kami penonton marhaen hanya sempat memandang kerusi kosong berharga mahal dengan iri. Akhirnya, kami membuat helah. Hanya mahu merasa sensasi yang dibuat sendiri ketika slot berehat 10 minit teater Uda dan Dara.
Kami turun dari tempat duduk RM30 berhati-hati supaya tidak dilihat petugas Istana Budaya ke tempat duduk mahal yang banyak kosong, tentu untuk mendapat pemandangan lebih jelas bagaimana pemain-pemain teater yang bertungkus lumus di bawah sana. Ketika petugas Istana Budaya tidak memandang, kami membuka langkah duduk dihadapan. Untuk berapa ketika kami rasakan kami akan dibenarkan untuk terus duduk di sana. Di tempat mahal dengan pandangan yang lebih luas dan jelas. Namun gelak ketawa kami yang dikeluarkan berhati-hati tanpa memandang petugas istana, akhirnya dikesan juga. Dengan segala hormatnya kami dijemput pulang semula ke tempat asal. Malu? Tidak, ia sebahagian dari taktik kami untuk melihat bagaimana Istana Budaya ini berfungsi.

Dalam beberapa dialog kritikan Uteh pada sistem yang dipakai di desa, Uteh menjeritkan tentang Ringgit untuk membeli kuasa. Ringgit untuk membeli kedudukan. Ringgit untuk membeli gelaran. Saya rasa Uteh juga perlu menjerit dengan kuat, Ringgit perlu ada untuk membeli kerusi!

Ya benar, kerusi yang kosong pun tidak dibenarkan mereka yang ada untuk diisi. Dan rasa saya, sampai bila-bila pun sukar untuk penonton datang menyokong dan memenuhkan kerusi di Istana Budaya.

Uda dan Dara, ia naskah mengkritik bagaimana manusia dikastakan kerana kuasa duit dan harta. Ia relevan sewaktu Usman Awang menulis lama dulu, kini dan mungkin selamanya. Ia relevan di desa, di kota, malah lebih-lebih lagi di kosmopolitan. Dan ia relevan, dalam panggung Istana Budaya itu sendiri.

Uda dan Dara, satu persembahan yang mengkagumkan dari segi persembahan dan props, tapi sayang, ia naskah yang gagal difahami oleh Istana Budaya itu sendiri.

Istana Budaya, satu bangunan bernilai jutaan yang dibangunkan dari duit rakyat, dapat menampung seni dan kebudayaan. Tetapi sekali lagi, sayang seribu kali sayang, ia tidak sekali-kali dapat menampung makna!

Uda dan Dara yang dipentaskan di Istana Budaya, 10-20 Julai 2010 menarik, menghiburkan, tetapi tidak kuat kerana tidak bersikap. Uda mati, tetapi Alang Bakhil terus ada hidup dan bermaharajalela, di luar sana.

Uda mati, meninggalkan dua nisan di bawah pohon. Sentiasa dilawati orang, silih berganti. Tetapi siapa yang akan meneruskan perjuangannya? Menuntut kesaksamaan dalam dimensi manusiawi, bukan dengan pengaruh materi. Soalnya, siapa?
gambar diambil dari blog rasmi Teater Muzikal Uda dan Dara.

Wednesday, July 07, 2010

Belanja Makan Tengahari Lauk Sambal Sotong

Hari ini saya bermurah hati untuk belanja makan tengahari dengan sambal sotong. Ni sotong yang besar punya, tak main sotong yang kecil-kecil buat celah gigi tu, apa kelas. Betul saya nak belanja bukan main-main.

Sotong ni saya ambil di akuarium Oberhausen di German. Sotong kurita, kira ramai la boleh makan ni. Boleh, boleh jemput kawan-kawan yang lain. Tapi tak silap saya sotong ni dah di beri nama, namanya Paul. Dan Paul ni pun walaupun seekor binatang, tetapi telah diberi pekerjaan tetap sebagai Oracle atau penilik nasib. Tahi judi memang akan suka sangat dengan Paul ni. Amanah tugas Paul ialah meneka perlawanan pasukan German di World Cup 2010. Setakat ini, tekaan Paul 100% betul. Memang tak salah akuarium Oberhausen melantik Paul sebagai oracle dan penaik semangat untuk team German.


Tapi semalam Paul telah membuat kesalahan yang menyebabkan saya boleh belanja kawan-kawan makan tengahari dengan lauk bersambal sotong Paul. Panas hati betul. Bersusah payah saya kerat Paul seberapa banyak kerat yang boleh. Lagi banyak, lagi ramai orang makan. Tak cukup dikerat 88, saya lumur lagi dengan perahan limau kasi ngilu pedih tersayat ke hujung jantung. Lepas dibersihkan dengan sebersih-bersihnya, saya sambalkan pula dalam kuali. Sekarang dah siap masak dah pun. Jangan lupa datang ya, kita makan ramai-ramai.

Saturday, July 03, 2010

Germany vs Argentina

Saya tidak menonton mana-mana pelawanan bola Piala Dunia secara penuh setakat hari ini. Hanya menunggu keputusan keesokkan hari. Meski saya mahu melihat kelibat Kaka dan Robinho, saya juga menahan diri. Sangka saya Brazil akan berjaya mara sekurang-kurangnya sampai ke saparuh akhir. Masa itu bolehlah menonton sekurang-kurangnya satu perlawanan dari skuad samba. Akhirnya, mereka kecundang di tangan The Orange.
Hari ini, harapnya saya dapat menonton satu perlawanan team pilihan-Germany. Saya hilang minat selepas ketiadaan Zidane dan juga kontrovesi yang mengkaburi Ribery. Kali ini satu panggilan dari match penting untuk kedua-dua negara, Argentina dan German. Messi dan Mesut Ozil. Kata orang, Messi terlalu hebat untuk dikekang. Kaki kirinya lebih hebat dari kaki kanan, dan dia akan berusaha sehabis mungkin untuk menerobos gawang lawan.
Ozil, dia dipanggil selepas Ballack tidak mampu menggalas tanggungjawab kerana kecederaan. Masih muda, hot spot untuk semua kelab terkemuka Eropah. Saya mahu melihat Mesut Ozil dari legasi Turki, muncul di suku akhir Piala Dunia 2010 Afrika Selatan.

Agak-agak siapa yang menjadi juara?