Thursday, December 23, 2010

Buang sahaja janggut itu

Ini catatan, entah saya ambil dari mana. Mungkin dongeng, mungkin juga kebenaran. Kalau ia sebuah kebenaran, ia akan ada nilai universal tidak kira zaman.

Saya mencintai orang beragama. Bagi saya mereka adalah suluh yang menyinar di waktu kita teraba-raba. Tidak syak. Orang agama selalu mengajar tentang hukum. Salah dan betul. Haram dan halal. Tentang aturan untuk soal fiqh dan hukum. Tetapi di mana salahnya, mereka tidak pernah dekat di hati saya untuk mengajar saya tentang nilai. Dan sekarang setiap butir bicara yang keluar dari mulut mereka seakan kering, tidak pernah menjadi dorongan untuk sesuatu yang hidup. Untuk menjadi citra orang ketandusan semangat untuk percaya bahawa takdir yang diciptakan itu sangat indah. Diciptakan Allah penuh hikmah. Saya tidak pernah belajar tentang itu dari mereka.

Saya belajar hikmah dari mereka yang mengalami. Mengambil iktibar dari hidup dari mereka yang berpengalaman. Sebetulnya, pelajaran hikmah tentang hidup, tentang keikhlasan beragama, tentang keimanan tulen pada Allah swt, saya perolehi melalui mereka yang ikhlas.

Setepatnya, ikhlas berjuang.

Ditempat saya, ramai orang menampilkan diri sebagai orang zuhud. Mereka memakai janggut tanda mengikut sunnah. Dan sudah tentu, ibadah kami yang biasa biasa sahaja ilmunya tidak akan pernah menandingi. Puasa sunat, solat dhuha dan pelbagai amalan sunat akan dilunasi.

Kami tidak setanding.

Namun bila menyentuh perkara yang mendasari tanggungjawab tugas dan amanah untuk digalasi, boleh jadi mereka yang berjanggut inilah yang menjadi juara untuk mengelak. kadang-kadang reaksi mereka buat saya tidak faham. Kata mereka "adalah tidak menjadi dosa kalau tidak menunaikan tanggungjawab kerana ini semua hanyalah dunia, dunia sahaja."

Saya tidak faham, benar tidak faham.

Saya pernah belajar tentang ihsan. Dalam konsep beragama kita punya tingkatan percaya. Mulanya Islam, kemudian Iman dan puncak hakikat mutlak itulah yang kita namakan ia sebagai ihsan.

Orang percaya bahawa ihsan itu ialah membuat sesuatu seolah-olah Allah melihat kita. Setiap waktu dan keadaan. Tetapi orang mungkin lupa, ihsan juga mengambil maksud untuk membuat sesuatu sehabis baik. Untuk setiap pertanggungjawaban atas pundak, juga atas soal ibadah.

Saya jarang mendapat nilai yang baik ini dari mereka yang memakai janggut. Saya sering rasakan apa sahaja yang keluar adalah kerana ilmu dan kebolehan mereka berhujjah, tetapi kering rasa. Ya, kering rasa. Kerana sebenarnya mereka tidak merasa, mereka tidak merintis sunnah orang berjuang itu. Mehnah dan cabaran adalah asam garam kehidupan. Tangisan sebagai peneman bukan tanda kalah, tetapi penguat untuk menerjah.

Yang selalu yang mengajar saya tentang ikhlas, adalah tidak ragu lagi mereka yang berjuang. Setepatnya, orang yang berjuang kerana percaya. Yang kepercayaan mereka adalah kebenaran mutlak. Yang benar-benar mengenepikan soal pujian, yang tidak kisah menjadi kontra dari majoriti masyarakat, tanpa sanjungan. Mereka percaya yang majoriti itu bukanlah tanda kebenaran. Kebenaran tetap kebenaran meski hanya tinggal seorang yang memperjuang. Tanpa janggut pun mereka tetap mampu membuat saya rasa, bahawa berjuang itu dalam mana-mana waktu pun tetap manis dan indah. Saya rasa, mengalir dalam, menjentik emosi, sehingga berasa begitu rugi kenapa saya tidak digolongkan dalam kelompok.

Hairan, mengapa orang berjanggut selalu sahaja menunjuk jalan salah? Memisahkan tugas yang dipertanggungjawab sebagai seorang penjawat tiada kaitannya dalam soal beragama. Bukankah dunia ini satu-satunya tempat untuk kita beramal, kerana tiada tempat lain yang membolehkan kita mengumpul bekal. Atau memang soal agama itu dipisah-pisah. Hanya sahaja saya tidak faham.

Kata rakan, "buang sahaja janggut itu, kerana ia memberi orang faham yang salah."

Entah. Kadang-kadang laju sahaja saya mahu mengeyakan. Namun, saya pernah kenal mereka berjanggut yang faham, berjuang, ikhlas, menghayati agama. Yang mengatakan kebenaran tetap kebenaran meski yang memperjuang hanya seorang.

Iman itu benar, hanya Allah paling adil menilai.


Wednesday, December 22, 2010

…dari sekecil-kecil mimpi

Saya membaca catatan seorang rakan. Mungkin ada benarnya kata-kata dia. Saya cemburukan dia. Dalam banyak kesempatan, bolehkah dari mimpi kecil menjadi nyata di alam realiti?
**********************************************************************************

Memoir

Sungguh, dalam banyak keadaan, keadilan Tuhan itu selalu sahaja berlaku tanpa hambanya sedar. Bolehkan Tuhan itu wujud tanpa keadilan. Saya manusia kecil sahaja, kerdil, tidak signifikan untuk sesiapa. Suatu hari saya mendengar, apa sahaja yang kita impikan pasti dimakbulkan Tuhan. Karut? Saya tidak percaya. Yang selalu orang ulang, kita tidak akan selalu dapat apa yang kita hendak. Dunia ini tidak dijadikan untuk memakbulkan setiap kehendak. Jika tidak keseimbangan tidak akan berlaku kerana baik orang baik, mahu orang jahat juga berimpian.

Tapi mungkin hari ini saya harus percaya kata orang bahawa, “setiap impian itu akan dimakbul Tuhan.”

Saya orang aneh. Bagi ramai rakan-rakan saya, saya dari mula aneh. Saya belajar dalam kelas sains. Tulen. Tiada yang lebih tulen sainsnya melainkan apa yang kami belajar di sekolah. Kami belajar fizik, matematik tambahan, kimia dan biologi. Sains sains belaka. Lebih dari itu, saya bersekolah sains. Nama sekolahnya sains. Tiada yang lebih sains di daerah itu dari sekolah saya. Untuk itu, secara logiknya, saya akan dipandang sebagai orang sains. Sekurang-kurangnya di daerah Teluk Intan. Begitu, tidak kurang tidak lebih.

Satu hari di sekolah, bila rakan-rakan mula membincangkan tentang masa depan, mereka ramai-ramai bertanya,

“Kau akan jadi apa bila mahu berkerjaya nanti.”

“Doktor.”
“Penyelidik.”
“Jurutera.”
“Ahli Sains.”
“Ahli Genetik.”
“Pakar sakit puan / tuan.”

Dalam hati saya menjawab, “Klise.”

Bila semua mata memandang saya, saya menjawab “Saya mahu menjadi seorang sasterawan.”

Kelas pecah ketawa. Berderai. Hingga terleleh air mata.


"Boleh tak cita-cita kau tu realistik sikit, cakap macam orang tak pergi sekolah."


Bagi mereka apalah yang diharap bagi seorang sains totok untuk beralih menjadi seorang sasterawan. Penyair. Penyulam cerita. Pemenung. Romantik tidak bertempat. Emosional. Segala. Ya, apalah diharapkan pada orang sains untuk menyulam kata dan bahasa?

Yang mereka tidak tahu, sasterawan itu orang besar. Sasterawan tulen adalah mereka yang mencipta gagasan. Yang melihat kelemahan dalam masyarakat dan bersuara melalui kata-kata tercetak. Yang memunculkan idea dan teknologi, sebuah dunia ideal sebelum teknologi itu dapat dicapai lagi dalam alam realiti. Sasterawan tulen itu bagai air, yang bergerak. Memberi minum pada pendahaga, yang menyubur alam, yang memunculkan hidup dari sesuatu yang mati.

Itu mereka tidak tahu.

Rasa saya tawa mereka tidak akan berhenti, sekiranya rakan-rakan sekelas tahu saya menyambung pelajaran peringkat universiti untuk menjadi jurutera. Hilaiannya akan kedengaran sampai sekarang. Tentu.

Tetapi mimpi kecil saya itu dulu, lama sudah, saya tidak pernah ingat pun sehingga hari ini.

Tadi kerani tempat saya bekerja dengan wajah teruja tidak sempat-sempat berjumpa. Saya sedang rehat sebentar dari menghadiri bengkel. Kata dia,

“Saya dari bengkel High End Books.”

Saya mengangkat kening tidak faham.

“Saya kan AJK bengkel untuk menghasilkan buku berimpak tinggi.”

Angguk.

“Nama Encik disebut dalam bengkel tersebut.”

Huh. Saya buat salahkah.

“Tadi semasa penceramah menyebut beberapa nama yang pernah menghasilkan penulisan berimpak tinggi dan penulisan bertaraf antarabangsa, tiba-tiba dia senyap sekejap dan kemudian menyebut. Saya rasa di institusi ini ada seorang Sasterawan.”

Saya menjegilkan mata. “Apa yang di kata seterusnya?”

“Ada tak Ali Asytar bin Hazeman di sini? Semua orang melihat-lihat sekeliling. Kemudian ada seorang menjawab, dia tidak hadir dalam bengkel ini.”

“Ali Asytar, dia seorang Sasterawan. Dia telah menulis karya kreatif yang memberi impak tinggi sehingga diiktiraf peringkat Negara.”

Saya terkesima. Saya hanya orang kecil. Penceramah itu bukan orang yang saya kenal pun, orang luar yang dipanggil untuk melatih kami supaya mampu menghasilkan buku yang bernilai tinggi. Penceramah itu orang besar, sedang saya kerdil tidak signifikan.

Hari ini jiwa saya melayang. Ucapan kecil itu sangat besar untuk saya. Terlalu besar. Adik kerani itu jika tidak bercerita, saya juga tidak tahu. Kerana saya tidak hadir. Tetapi Allah menakdirkan untuk saya tahu.

Kata kawan, setiap impian itu pasti dimakbul orang. Saya mahu percaya. Saya percaya sekarang. Saya orang kerdil. Percayalah, saya bukan seorang sasterawan tulen. Saya hanya menulis kerana gerakkan rasa. Yang diilham dari tempat tertinggi. Masuk ke dalam minda, menerobos dalam sukma, mengalir di hujung jari. Saya kerdil, saya cuma ada 2 karya sahaja diterbitkan dalam massa. Lain-lain masih tersimpan, kerana tidak percaya diri. Bukankah rakan-rakan pernah menghadiahkan hilai tawa untuk mimpi kecil yang mustahil akan tercapai?

Hari ini ada orang mengelar saya sasterawan dalam majlis rasmi yang dihadiri ramai. Yang keluar dari mulut orang besar. Mimpi kecil saya dulu dimakbul Tuhan. Sedang saya sudah lama lupa.

Benarlah, mimpi kecil pun jika Allah berkehendak, Dia akan memakbulkan. Binalah impian sekarang, moga-moga, suatu hari nanti, dalam keadaan paling tidak disangka, Allah akan menebarkan keadilanNya.


***********************************************************************************

Subhanallah. Saya membaca catatan tersebut dengan takjub. Dengan apa yang berlaku mutakhir ini, saya menyimpan mimpi,

"Moga-moga satu hari nanti, Allah perkenan untuk penyatuan Sunni-Syiah berlaku di bumi Malaysia yang saya cintai ini. Allah Tuhan yang Penyantun, Engkaulah Pemakbul segala mimpi dan doa.”






Wednesday, December 15, 2010

Menjenamakan Semula Makna Kejayaan


Saya ke forum tadi, berdiskusi tentang inovasi. Bagaimana inovasi memberi impak yang signifikan pada kejayaan. Bukan benda baharu, kan? Yang nyatanya, saya ter’impak’ dengan senarai panjang moderator yang menyebut satu persatu mereka yang menjumpai inovasi, kemudian menjadi kaya raya (multi billionaire) dan mengkategorikan sebagai mereka sebagai golongan yang berjaya.


Hyundai, Facebook, Audi, Amazon.com, Gillete. Ini model kejayaan yang di bawa moderator. Awak nampak persamaannya? Kejayaan yang diukur dengan kekayaan kan? Saya jadi makin keliru bila moderator pada masa yang sama menyebut juga satu persatu keburukan Facebook. Kadar penceraian tertinggi di Sarawak disebabkan oleh Facebook, masa yang diperuntukkan lebih dari 5 jam oleh sehari hanya sekadar mahu mengkemaskini Facebook, sekian, sekian, sekian. Jadi bagaimana Facebook boleh diangkat sebagai model kejayaan? Pendapat saya alasan moderator cuma satu, pencipta laman sosial ini adalah seorang pelajar Havard yang tidak tamat belajar pun. Namun pada usia 26 tahun, dia sudah menjadi manusia antara terkaya dan berpengaruh di dunia. Dia bukan mencipta sesuatu yang baru pun, cuma menukar format laman sosial yang sedia ada sehingga dapat diterima seluruh dunia.


Seperti juga contoh yang diberikan moderator melalui Yahoo, gerbang maklumat di talian internet. Kata pengerusi forum, Yahoo sebenarnya ditubuhkan oleh sekumpulan muda yang bekerja di bawah Microsoft yang keluar kemudian mencipta Yahoo. Oleh kerana kumpulan muda ini minat dengan cerita Cowboy dan Red Indian, dan antara ayat yang selalu diulang ialah Yahoo mereka menamakan ciptaan itu sebagai Yahoo. Oleh kerana inovasi ini berjaya, tidak sampai 30 tahun, (atau dalam lingkungan umur 30 an) mereka sudah menjadi kaya raya.

Sepanjang masa boleh jadi saya tidak bersetuju dengan banyak point moderator untuk menggerakkan forum dalam bicara inovasi. Modal moderator adalah model yang digerakkan oleh budaya popular. Facebook itu budaya popular. Audi, Hyundai, adalah budaya popular. Yahoo juga. Contoh yang diberikan adalah dalam aliran perdana. Sedang masih ada model kejayaan yang seimbang dari sudut fizikal dan spiritual tetapi tidak diteroka moderator.

Cemerlang dan berjaya perlu dijenamakan semula. Standardnya tidak adil dibuat melalui budaya popular. Ia hanya akan menghasilkan manusia yang bercita-cita. Tetapi bercita-cita hanya dalam mengejar kekayaan material. Material yang dibangunkan hanya semata dilihat sebagai produk konsumer. Untuk dijual dan mendapat untung. Tidak kurang dan tidak lebih. Pendek kata inovasi yang tidak menyimpan nilai lebih hakiki. Seperti itu.

Kerana itu saya sangat terkesan dengan cerita salah seorang dari panel forum. Seorang Ustaz yang saya tidak ingat namanya. Dia membawa cerita mengenai Sultan Muhammad Al Fateh, pembuka Constantinople. Sultan Muhammad Al Fateh, yang mewarisi tahta ayahnya pada usia 18 tahun, menyusun armada tentera untuk membuka pintu gerbang Eropah. Tentera musuh yang menyangkakan serangan akan berlaku hebat dari arah Laut Marmarra di Selat Bhosporus telah meletakkan rantai besi di perairan guna untuk menghalang kapal laut Sultan Al Fateh. Tetapi demi Allah yang telah memilih hambaNya, Sultan Al Fateh sebaliknya memilih jalan darat untuk masuk ke Turkey (Constantinople). Mana mungkin musuh pernah terlintas dalam fikiran mereka yang kapal laut boleh bergerak melalui jalan darat. Maka dengan ilham yang dianugerahkan, Sultan Al Fateh telah menemukan inovasi yang membolehkan kapal laut melalui jalan darat. Serangan yang berlaku pada hari Selasa dan berakhir pada hari Jumaat dengan kemenangan berpihak kepada Sultan Muhammad Al Fateh. Itu berlaku ketika Sultan Muhammad Al Fateh berumur 21 tahun. Hebat? Memang hebat, tetapi bukan itu yang menyuntik sudut rasa saya ketika mendengar forum.

Lanjutan dari penjelasan Ustaz, cerita Muhammad Al Fateh bukan bermula ketika Empayar kegemilangan Uthmaniyyah Turki. Ia berlaku lama dulu sewaktu zaman Nabi. Ketika Nabi dan para sahabat sedang berjuang, berkeringat di bawah terik matahari menggali parit, ketika itulah Nabi tersenyum gembira. Laku Rasulullah yang sangat ganjil itu menarik perhatian sahabat sehingga membuat mereka bertanya.

“Gerangan apakah kegembiraan yang dirasakan Ya Rasulullah.”

“Wahai sahabat, ketahuilah, satu hari nanti Constantinople akan dibuka oleh orang paling baik, dan tenteranya adalah tentera terbaik.”

Pada waktu itu Rasulullah sebenarnya sedang menyuntik semangat kepada umat Islam yang lelah menggali parit. Yang sedang gentar takut-takut kalau musuh sehingga sampai melanggar Madinah. Yang sedang was-was mempertahankan satu-satunya kota untuk mereka berdiam dan hidup aman. Pada keselamatan diri, keluarga dan harta benda. Rasulullah berkata seperti itu ketika sedang menggali parit di panas yang terik. Yang kita umat di Malaysia tidak akan faham pun apa erti menggali parit di kawasan padang pasir. Sedang panas yang tidak seberapa boleh membuat kita membebel berjela-jela. Sikap positif Rasulullah melalui kata-kata itu memberi gambaran bahawa mereka akan menang dalam perang Khandaq meski begitu susah. Jika mereka kalah, bagaimana salah seorang dari umat Islam di masa akan datang boleh membuka Constantinople? Itu signifikannya.


Hanya orang yang mempunyai jiwa kuat sahaja, dapat memberi kata-kata semangat penuh harapan sehingga memberikan kekuatan pada jiwa orang lain.

Selesai cerita Ustaz saya terdetik. Kejayaan inovasi sebenar bukan jawabnya pada material. Pada rangkaian prototype dan produksi. Pada janaan keuntangan dalam wang ringgit. Pada penerimaan massa di seluruh dunia, tetapi tidak menyimpan signifikan terhadap kehidupan kecuali memberikan keseronokkan sementara. Seperti Facebook dan Yahoo yang sampai menjadikan generasi hari ini mencipta dunia sendiri dalam komputer. Sanggup berkampung di depan komputer dari pagi hingga ke malam. Mencipta dunia sendiri melalui simulasi, interaksi maya dengan orang lain sedang mereka sekalipun tidak pernah ditemui di alam fizikal, membina kerjaya maya dalam permainan-permainan, sehingga tidak sedar apa yang berlaku di keliling. Menjadi manusia yang hidup dalam pod. Kejayaan bukan kejayaan jika ia tidak menyimpan nilai yang hakiki, yang berdaya tahan zaman (sustainable).

Kejayaan sebenar adalah seperti yang dibuat oleh Nabi. Membina insan. Membina insan kenal Tuhan. Membina insan beriman. Membina insan penuh ikhsan. Sehingga suara Rasulullah yang diucap sewaktu menggali parit, dapat didengar oleh Sultan Muhammad Al Fateh selang 3 Empayar Islam jarak zamannya. Seperti itu.

Inovasi paling berimpak maksima adalah inovasi untuk mengubah manusia. Kerana hanya dengan itu sahaja cara pintas untuk mencorak masa depan. Rasulullah telah menunjukkan cara, beranikah kita menjenamakan semula makna kejayaan?


Monday, December 13, 2010

Perarakan Maut Sandakan ke Ranau & Muharam

Bulan 12, bulan terakhir 2010 memberi kesempatan tidak terduga dan rezeki tersendiri. Alhamdulillah. Mesyuarat yang sepatutnya berlangsung di Pejabat Persekutuan Kota Kinabalu ditunda, sedang tiket kapal terbang sudah ditempah awal. Mahu tidak mahu, kesempatan emas ini digunakan sepenuhnya. Saya sudah menyimpan angan untuk ke Sabah lebih 5 tahun, dan Allah, bukankah Dia pengabul doa? Saya semakin yakin, setiap apa yang kita panjatkan tulus ikhlas, Dia memberi perhatian sewajarnya. Jika sudah rezeki, kun (jadi) maka fayakun (jadilah ia).


Saya ke Sabah 5 hari (3 hari sahaja jika mengambil kira hari sampai dan hari terbang kembali ke KLIA) untuk bercuti. Kesempatan yang jarang ada, tetapi tetap direzekikan. Daerah yang menjadi tempat lawatan Kota Kinabalu - Tamparuli - Kundasang - Ranau. Sikit? Nampak begitu, tetapi percayalah Sabah cukup besar untuk dinikmati dalam masa 3 hari. Keindahan alam yang dikurnia di bumi muda ini tidak terbatas. Sabah bukan hanya gah dengan Gunung Kinabalu, tetapi beribu-ribu tarikan mengamit dari keunikan muka bumi yang begitu bervariasi. Dari kawasan pantai, tanah tinggi, tempat membeli belah, sejarah, budaya, demi Allah, ia bumi kaya. Allah menganugerahkan negeri ini dengan kekayaan natural yang begitu unik. Ia ada Gunung Kinabalu. Dan saya percaya, Gunung Kinabalu yang paling tinggi di Asia Tenggara bukan perlu diagungkan semata ia paling tinggi, tetapi peranannya sebagai pasak. Yang memegang bumi Borneo kekal di situ dan tidak dihanyutkan ke tempat lain.

Namun yang paling terkesan bagi saya bila kami melawat Kundasang. Boleh dikatakan Kundasang adalah gateaway untuk masuk ke Gunung Kinabalu. Sinonim Kundasang sebagai tanah tinggi, seperti yang kita boleh nikmati ketika berada di Cameron Highland kalau di Semenanjung. Jadi sayuran segar banyak di sini. Jalan akses tidak secantik kebanyakkan jalan di Semenanjung. Untuk selesa pacuan 4 roda paling sesuai, tetapi ongkosnya tidak cocok dengan percutian bajet kami. Jadi Waja sahaja yang boleh membantu kami sampai. Kami memilih Perkasa Hotel, di sana ada platform yang membolehkan kita melihat Gunung Kinabalu yang agam. Platform ini dibuka untuk semua, yang menginap atau tidak.


Seberang jalan dengan lokasi hotel, adalah pekan Kundasang. Lecak dengan air hujan dan tanah berlopak yang tidak sekata kesan dari aktiviti pembinaan yang sangat giat berjalan. Memang susah untuk memandu di sini kerana jalannya tidak berturap. Garisan jalan untuk memisahkan kereta dari laluan berbeza pun tidak ada. Jadi kena agak-agak sendiri dan tentu, perlu hati-hati, sangat hati-hati. Tetapi di pekan inilah letaknya Kundasang Memorial Park. Sebuah taman yang dibangun untuk memperingati satu peristiwa semasa Perang Dunia ke 2 yang terpencil. Setelah 20 tahun, baharulah peristiwa ini dibongkar.

Ia sebuah kisah perang antara Jepun dan tentera British ketika perang di Singapura sewaktu WWII. Anggota tentera British, Australia yang ditawan dipaksa ke Sandakan untuk membina lapangan terbang tentera Jepun. Kemudian mereka dipaksa berjalan dari Sandakan ke Ranau (Sandakan Ranau lebih kurang 5-6 jam menaiki kereta dengan kelajuan purata 60km/j). Dengan keadaan kesihatan yang teruk dan bekalan makanan yang tidak mencukupi, satu persatu tentera Australia dan British mati. Ada yang ditembak kerana tidak mampu untuk meneruskan perjalanan, ada yang dibiarkan mati kelaparan di jalanan. Menurut catatan, hanya 6 orang terselamat melarikan diri ke hutan. Dijumpai rakyat tempatan yang merawat dan memberi makan. Kerana itu Memorial Park dibina. Mengenang yang pergi, dan menghargai rakyat tempatan yang menolong meski diugut bunuh tentera Jepun.


Saya terkesan dengan komitmen Australia dan Britain. Tiada kisah tragedi perang mereka anggap terpencil. Meski jauh nun dikepong kehijauan hutan Ranau dan Sandakan. Meski hanya 6 orang terselamat untuk menyampaikan cerita, mereka kekalkan untuk tatapan generasi hari ini. Motto yang tertera "Lest we forget" memang bermakna. Ditulis untuk menyatakan janji bahawa mereka akan dikenang sentiasa. Tiada perjuangan yang dibuat sia-sia. Mereka mendapat tempat dihati generasi, dan sebagai pejuang negara. Dengan keadaan taman yang dijaga begitu rapi, bersih dan penuh bunga-bungaan. Dengan senarai nama yang terkorban satu persatu. Generasi hari ini dapat mengenal mereka by names. Mereka yang dipaksa berkawad, perarakan maut penuh penyiksaan.

Saya mendapat pengalaman mempelajari hal menghargai perjuangan tentera Australia dan British ini di bulan Muharam.

Kata Ustaz di corong suara Masjid Al Ansar (setelah kembali menghirup udara KL), orang Melayu dan Muharam sinonimnya hanya satu, BUBUR Asyura. Yang mengembalikan ingatan kita pada Nabi Nuh dan kapalnya. Bila mana makanan tidak cukup, Nabi Nuh memerintah agar segala kekacang dimasak sekali dalam periuk. Disitulah sejarah BUBUR Asyura.

Saya terkesima. Muharam bukan bubur. Muharam adalah satu-satunya bulan paling bermakna untuk mentadabbur. Kakak saya menemui ajalnya pada 1 Muharam. Kerana itu Muharam bagi kami ialah bulan paling dikenang. Muharam bulan Hijrah. Kakak saya berhijrah alam fizikal ke roh di bulan ini. Ketika orang berkumpul di stadium untuk berarak, kakak saya menghembuskan nafas terakhir. Namun tragedi ini sinonim untuk kami, bukan untuk kamu.

Namun kita lupa, di bulan Muharam inilah berlaku satu peristiwa tragedi pembantaian keluarga Rasulullah di tanah Karbala. Yang tidak ditanda, tiada taman, tiada bunga-bunga. Perarakan mereka dengan kuda untuk mendaulat agama tidak dikenang. Tiada kata Lest We Forget, tiada senarai nama. Begitu.

Seorang sahaja kehilangan ahli keluarga menyebabkan kami begitu terseksa. Bagaimana jika keseluruhan keluarga dihabisi?

Muharam orang Melayu ditanda dengan bubur. Muharam kami ditanda dengan kubur.

Thursday, December 02, 2010

Rindu

Saya rindu pada banyak perkara.
Pada kakak yang baru semalam berpindah ke tempat lain. Pada bau kertas untuk dibaca kulit ke kulit. Pada langit keramat yang selalu menaungi. Pada rakan yang menuntut janji kesetiaan seorang sahabat. Pada ketawa anak-anak. Pada kesunyian yang menghadiahkan ilham. Pada keindahan, pengorbanan.
Saya rindu menulis.
Saya rindu, kamu.