Sunday, January 30, 2011

Alangkah Lucunya (Negeri Ini) - Refleksi Transformasi Dunia Arab Hari Ini?


Kagum. Cerita ini bergenre parodi. Namun santak dengan pengajaran. Saya tidak tahu perlu gelak, atau bersedih pada setiap lucu yang diselitkan dalam paparan visual. Kerana kalau saya ketawa pada setiap lucu yang ada, seolah-olah saya mengeyakan tentang dunia ini yang sudah celaru nilai.

Ia cerita tentang Muluk, seorang sarjana lulusan sekolah manajemen mencari kerja. Kerja itu nanti akan menjadi hantaran bermakna pada bakal bapa mertua yang mahu bakal menantunya mempunyai pekerjaan tetap. Supaya anak gadis dan bakal cucu hidup terjamin di masa depan. Tetapi kerja yang dicari tidak kunjung datang. Dan Muluk tidak tegar pula bekerja sebagai buruh.

Muluk, secara tidak sengaja berkenalan dengan seorang remaja yang kerjanya mencopet (penyeluk saku). Hingga membuahkan idea untuk kerjasama paling pelik, sarjana manajemen menguruskan profesyen pencopet supaya lebih terorganisasi dan berjaya. Tujuan Muluk, satu hari nanti mereka akan keluar dari pekerjaan mencopet, dan menjadi peniaga kecil-kecil. Sebagai imbalan, Muluk akan mendapat 10% hasil dari pendapatan kumpulan kanak-kanak pencopet ini.

Muluk memang berwawasan. Bukan setakat mengurus dan mengendali kewangan kumpulan pencopet ini, malah mengundang Shamsul, sarjana pendidikan (yang juga penganggur) untuk mengajar menulis dan membaca serta Pancasila. Juga Pipit (penganggur) untuk mengajar anak-anak tentang agama.

Mereka bertiga punya orang tua yang kental beragama. Dan ini, menjadikan filem ini celaru nilainya. Sehingga membuat saya terfikir, dalam keadaan begitu tersepit, adakah kita boleh tawar menawar dengan nilai agama yang telah bertunjang kukuh dalam hati dan masyarakat?

Benar, filem ini terlalu banyak lucunya. Namun ia tidak pula boleh membawa saya bergelak ketawa dengan aman. Kerana setiap lucunya mengundang persoalan lebih besar, tentang nilai, rakyat bawahan yang telah dilupakan, survival hidup, tentang pendidikan dan agama, korupsi, segala. Sehingga saya merasakan, setiap lucu itu saya perlu sambut dengan tangisan.

Ini filem Indonesia. Yang jika dilontarkan untuk negara kita yang tercinta ini juga tiada bedanya. Masih ramai rakyat yang terlupakan. Yang kita telah pinggirkan mereka atas apa juga nama, survival politik, survival ekonomi, malah agama, segala. Sedangkan apakah ertinya Negara, jika kita tidak mampu menjanjikan sejahtera pada rakyat. keamanan dan tentu paling penting, keadilan.

Filem ini menjerit-teriakkan tentang apa pentingnya pendidikan kerana ia tidak lagi dapat menjamin apa-apa, tentang pengangguran, korupsi, wakil rakyat yang sudah tidak lagi mewakili rakyatnya, marhaen miskin dan terpinggir, kelas sosial, ketidakadilan dalam bentuk satire lucu, namun pada saya begitu menghiris jiwa. Bila mereka yang sanggup berjuang merubah, tetapi tidak didokong masyarakat, maka mereka yang jernih ini turut terpaksa mengambil jalan salah.

Sehingga akhir filem ini saya merintih dalam diam. Beginikah sebuah Negara nanti akan jadinya bila rasuah itu tidak lagi diperangi, malah dibiar merebak luas dan merata. Saat itu, kita akan melihat keadilan melebur, dan masyarakat tidak lagi akan percaya, nilai yang kita percaya kurun zaman relevan untuk dijunjung lagi.

Kisah ini menjadi semakin relevan dengan perkembangan terbaru di rantau Asia Barat. Di Tunisia, Algeria, Mesir dan beberapa Negara di Afrika. Tunisia mulanya, sebuah Negara yang telah menggulingkan pemerintahan kuku besi Ben Ali.

Mungkin ramai tidak tahu, atau tidak ambil tahu. Bagaimana pemerintah yang begitu berkuasa diguling. Ianya bermula dari seorang penganggur yang tidak mempunyai pekerjaan. Kerana kadar pengangguran yang begitu tinggi. Dengan itu penganggur tersebut tidak mempunyai sumber untuk menyara keluarga. Untuk jalan keluar, dia mengambil jalan untuk berniaga kecil-kecilan. Malang, barang jajaannya dirampis Majlis Bandaraya. Kecewa, dia menuntut peralatan jajaannya di pejabat Majlis. Permintaannya ditolak. Akhirnya, dengan nekad seorang diri, dia membeli dua botol minyak dan membakar dirinya di depan pejabat Majlis Bandaraya. 18 hari kemudian penganggur tersebut meninggal dunia.

Itu cerita pencetus kepada kebangkitan rakyat. Dan bulan Januari menyaksikan pemerintahan Zine el Abiden Ben Ali selama 23 tahun digulingkan sehingga terpaksa melarikan diri ke Arab Saudi. Seperti diberitakan dalam akhbar, meski dihinakan begitu rupa, ketika melarikan diri, mereka tetap mampu membawa keluar bertan-tan emas.

Parodi? Seperti dalam filem ini, ia realiti yang ada di mana-mana!

p/s: Iklim ditempat saya sudah jadi makin tidak menentu. Bukankah sepatutnya sekarang musim panas, malah kami mengalami sejuk yang berpanjangan sejak seminggu lalu. Iklim politik juga menggerunkan, kerana gelombang tsunami kebangkitan rakyat, menjadi-jadi di seluruh tanah Arab!

Friday, January 28, 2011

Jernih Suci? di Kisah Klasik Kita


Adakah yang jernih itu semuanya suci?
Tidak semestinya. Tetapi bagaimana?
Sila berkunjung ke Kisah Klasik Kita untuk mengetahui kisah Jernih Suci?

Ini ialah kontes menulis cerpen yang dianjurkan oleh Kisah Klasik Kita
Boleh membaca kemudian mengundi cerpen-cerpen yang awak suka
wadikita mempersembahkan Jernih Suci
jika suka, vote untuk saya ya :)
Selamat membaca!!


kawan-kawan yang join menulis di sini, Cikli, senbae Engineer yang sempoi
kawan-kawan, adik, kakak, abang, dan yang lain-lain, jom kita menulis ramai-ramai.


Sunday, January 23, 2011

Mazhab Jurutera

Dalam beberapa hal, selalu saya menerima pertanyaan-pertanyaan aneh seperti ini; apa sebenarnya isu semasa Dr Maza ditangkap, apa yang berlaku di Hauzah Ar Ridha pada Muharram lalu, dan juga pertanyaan polos seperti ini; mazhab itu apa? Mazhab yang diterima pakai cuma empat sahaja kan?

Jadinya saya mengasihani diri sendiri kerana tidak punya kelayakkan untuk menjawab dengan keyakinan ilmu. Ilmu yang saya ada hanyalah setakat sekolah menengah (ceramah, pembacaan, diskusi langsung dengan ustaz ustazah), sedang mereka yang selayaknya menjawab ditempat kami begitu terasing tempatnya. Bukan mereka itu duduknya asing, tetapi keberadaannyalah yang asing. Pertanyaan-pertanyaan bernilai intelek itu bagi yang memegang sarjana agama mungkin dianggap leceh untuk ditangani. Atau mereka berminat menjawab cuma ruangnya begitu kecil untuk penerangan panjang lebar. Perlu platform formal untuk tujuan ini.

Kerana itu ada jurang yang agak besar antara masyarakat marhaen (seperti saya) untuk mendalami ilmu agama dengan suasana lebih santai, bukan bersifat kuliah formal dengan golongan pemegang ilmu-ilmu ini. Jadi dikalangan rakan saya yang bersifat ingin tahu, jalan mudahnya bertanya orang paling dekat. Dalam konteks ini: saya :)

Tapi saya sedar tidak pandai, dan tak akan melulu dan terburu untuk menjawab. Dalam banyak hal saya masih sedar kelemahan diri dan ruang, dan sekiranya mahu berkongsi ilmu akan dikritik menunjuk pandai. Saya masih sedar, dan saya berusaha tidak melangkahi sempandan itu.

Untuk rakan saya yang bertanya, yang saya fahami tentang mazhab, ia adalah satu platform untuk kita bertaqlid tentang ilmu dan amalan agama. Maksud saya, kita yang mustahil akan sampai tahap mujtahid yang boleh mengeluarkan fatwa-fatwa, keterbatasan itulah melayakkan kita menjadi orang yang bertaqlid. Meski orang ada mengatakan, kalau nak bertaqlid sekalipun, janganlah bertaqlid buta. Tetapi memandang ruang untuk mendapat ilmu itu begitu terbatas, taqlid buta itulah yang cocok sementara mendapat guru yang kompeten dan mudah akses untuk pertanyaan-pertanyaan agama.

Yang saya tahu hanyalah tentang jurutera. Dan bagaimana jurutera di Malaysia bermazhab dalam amalan profesionalnya. Mungkin senbae Cikli dapat menerangkan dengan lebih baik.

Dalam praktis jurutera kami sememangnya bermazhab. Oleh kerana ilmu kejuruteraan di Malaysia diperoleh dengan menghantar pelajar-pelajar keluar, maka kami bertaqlid dengan ilmu yang dihidangkan dari British (BS) dan Amerika Syarikat (ASTM). Terutama untuk merekabentuk bangunan. Ya, bangunan di pejabat awak, atau rumah yang awak diami sekarang, juga mungkin masjid yang kita solat di dalamnya, direkabentuk dengan mematuhi dengan cermat *fiqah-fiqah yang tersusun dalam buku-buku BS dan ASTM. Meski demikian, mazhab ini berevolusi.

Begini, sebelum saya masuk kuliah, mazhab yang diikuti oleh pendahulu-pendahulu kami dengan mematuhi CP. Sewaktu kami pula berada dalam kuliah, kami mematuhi BS. Namun juga diperkenal dengan ASTM. Terutama bila rujukan dalam BS tidak lengkap, maka kami akan beralih kepada ASTM. Lama kemudian cerdik pandai dalam bidang kejuruteraan lokal semakin ramai. Banyak masa dihabiskan dalam penyelidikan. Hasil kebijakan ini, akhirnya Malaysia juga berjaya menghasilkan buku panduan sendiri yang dikenali sebagai Standard Malaysia (MS) yang diperakui SIRIM dan boleh digunapakai untuk merekabentuk di dalam Malaysia. Tentunya MS belum lagi sempurna dan kami masih lagi merujuk kepada BS dan ASTM. Mutakhir, ia mungkin akan berevolusi lagi dengan mengikut perkembangan global. Dan dalam masa terdekat mungkin kami perlu menggunakan Standard Eropah (EN Code).

Soalnya kenapa mesti berubah dan berevolusi?

Pada permulaan, penemu-penemu teori dalam jurutera telah merumuskan teori-teori tertentu untuk digunapakai dalam alam bina. Setelah dicuba uji dengan pelbagai ujikaji, juga kadang-kadang hasil kegagalan setelah pembinaan dan dipakai pengguna. Teori akan dikaji semula dan dimurnikan. Setelah terbukti selamat ia menjadi apa yang dipakai untuk praktis dimuatkan dalam BS dan ASTM. Teori inilah yang kami guna untuk beberapa puluh tahun.

Ternyata, setelah ilmu berkembang, teori ditimbang tara semula. Hasilnya, ahli-ahli dalam bidang kejuruteraan merasakan kami menggunakan pakai teori yang selamat tetapi tidak ekonomi. Jadi ia dinilai dan dihasilkan untuk membolehkan bangunan direkabentuk paling selamat, dan pada masa yang sama ekonomi. Kerana itu ia berevolusi.

Jadi apa kena mengena dengan Standard Malaysia (MS)? Ini adalah kerana ada beberapa keadaan, apa yang terkandung dalam BS dan ASTM tidak sesuai dengan iklim, sumber semula jadi, environmen, praktis yang ada dalam Malaysia. Juga kerana kita juga telah yakin dengan keilmuan dan praktis, juga dengan penyelidikan yang telah dilakukan dengan tidak mengenal penat lelah. Kerana itu MS juga digunapakai oleh jurutera-jurutera untuk kesesuaian yang paling cocok dengan apa yang ada di Malaysia.

Meski pelbagai, dalam profesionalisme kami patuh. Dengan itu baru datang keyakinan untuk menghasilkan binaan dengan faktor keselamatan maksima kepada pengguna tanpa kompromi, juga ekonomi kepada pengeluar modal, juga jaminan kepada kerajaan atas amalan profesional kami. Begitu.

Dengan kata mudah, sekiranya dipatuhi dengan tuntas, tentu setiap bangunan di Malaysia boleh dicap SIRIM. Sama seperti peralatan yang kita beli di pasaraya.

Namun, untuk praktis, di setiap Negara masing-masing juga bebas menggunakan standard masing-masing. Yang ada di Perancis, Jerman, Jepun, Korea dan China dan mana-mana bahagian di dunia, masing-masing akan mengikut apa yang lebih cocok dengan diri mereka. Begitupun, seperti di Malaysia kita menggunakan BS dan ASTM, kita juga masing dibenarkan guna MS. Tidak ada apa salahnya, kerana setiap satu pun mempunyai asas penilaian teori yang kukuh dan terbukti. Ia adalah alternatif, masing-masingnya tetap diusahakan terbaik untuk pengguna, malah semua.

Dan saya percaya apa yang ada dalam sekolah kami, juga ada dalam sekolah Ekonomi, Perundangan, Kedoktoran, lain-lain lagi.

Saya tahu pasti ramai akan mengkritik lagi. Tapi saya berjujur, sekurang-kurangnya dengan keterbatasan yang terlalu banyak, itu paltform yang ada boleh mengajari dan fahami tentang mazhab. Dalam disiplin yang dididik, begitu kerangka keilmuannya. Apa-apa pun mungkin satu bentuk pemahaman yang boleh diterima global, bahawa ilmu itu datangnya dari guru yang pakar, yang telah memahami dengan mendalam, mempertimbangkan duduk perkara, yang diperakui keahlian, dengan itu baru kita yakin untuk menggunapakai. Baru kita yakin untuk beriktikad dengannya.

Ada orang tidak berani untuk menyeberangi sempadan ilmu luar dari bidang mereka kerana beralasan tidak ahli, takut tersalah langkah. Tetapi ilmu itu luas, kalau kita sendiri tidak berupaya untuk menghilangkan dahaga dalam lautan ini, siapa lagi yang akan memberi kita minum melainkan diri kita sendiri!

Glossari

Fiqh - "deep understanding" or "full comprehension".
Mazhab – school of law
Taqlid – imitation

Thursday, January 20, 2011

Misteri Rubaiyyat Omar Khayyam

Ya, Amin Malouf lagi. Selepas Balthassar Odyssey saya memilih Misteri Rubaiyyat Omar Khayyam. Saya masih lagi memilih Amin Maalouf dalam perlawanan novel terbaik untuk saya pegang, antara Snow Orhan Parmuk dan Omar Khayyam, saya memilih yang akhir. (kerana Orhan Parmuk selalu dimata saya kelihatannya amat mahal). Omar Khayyam nama yang pernah ada dalam puisi saya, yang dipertandingkan dan ia memenangi tempat pertama. Tidak sukar bukan untuk faham kenapa saya memilih yang ini.

Belum boleh menulis apa-apa ulasan lagi tentangnya, kerana masih lagi di muka surat awal. Saya mengkagumi penulis ini kerana selalu membawa isu besar, yang asing-asing lagi aneh, dalam ruang kawalan latar yang begitu berkesan, sisi gelap dan rahsia, Amin Maalouf yang berani menyingkap. Kekayaan bahasa meski versi terjemahannya juga ditulis dengan baik.

Saya bawakan juga untuk awak, satu yang begitu indah ditulis.

Satu kali, di dunia ini seorang lelaki berdiri tegak,
Membeberkan kekayaannya dan menyatakan: inilah aku!
Kejayaannya hanya sepanjang impian retak,
Maka tegaklah sudah sang maut dan menyatakan: inilah aku!

Apa dia Rubaiyyat. Tanya saya, ia seperti haiku. Satu bentuk puisi, mungkin seperti pantun dalam perkiraan budaya kita. Ia mempunyai disiplin tersendiri, mesti ditulis dalam 4 baris sahaja. Kerana itu ia dikenali dengan Rubai, (empat), dan jika banyak jadilah Rubaiyyat. Jangan tanya begitu banyak, kerana saya baharu habis di beberapa muka surat sahaja.

Tetapi saya rasa begitu dekat kerana Omar Khayyam adalah hakikat ahli sains. Astronomer dan pakar Matematik, namun dia juga pengayom puisi. Orang bahasa. Yang menggugat manusia dengan rasa. Pemilihan kata-katanya kadang-kadang terlalu kasar, terkadang mencabar, namun kebenaran yang dikandung dalamnya, siapa yang berani menafi.


Saturday, January 08, 2011

Wajah yang dirindu

saya mahu ada

wajah yang dirindu

meski selaut air mata tumpah

luka dan sengsara

khianat yang menghiris

hanya di situ

ada

…kehidupan.

Tuesday, January 04, 2011

Talqin untuk Pen Drive

Pen Drive saya, yang berkapasiti 8Gig telah pun bertemu dengan 3 orang pakar penyakit-penyakit kronik untuk peti simpanan maklumat. Ultimatnya pada tangan seorang pegawai yang telah berusaha untuk menggembalikan semula maklumat yang ada dengan menggunakan command dos. Namun, seperti mana ditangan pakar-pakar sebelum ini, mereka mengkhabarkan berita sedih. Tanya mereka, apa ada dalamnya?
Jawab saya, "Nyawa". Ya, saya terlalu berlebih-lebihan. Tetapi untuk mereka yang berkongsi pergantungan yang sama dengan peti simpanan maklumat berbentuk digital ini, tentu akan faham. Saya berjalan gontai keluar dari bilik ICU. Pakar-pakar tadi yang berkongsi kesedihan saya berseloroh untuk menwar-warkan kepada semua orang peristiwa saya kehilangan nyawa. Mereka mahu menulis notis di peti email semua orang pengumuman belasungkawa. Senyum saya sudah hilang manisnya.
Saya yang masih mahu mengumpul sisa-sisa kekuatan yang ada berlucu, "Abang Wan, dah tak boleh buat apa, kena buat tahlil untuk pen drive."
Abang Wan menyambung, "Lepas maghrib ke Isya'?"
Saya cuma mensisakan senyuman. Ya nyawa, boleh sahaja muncul dalam pelbagai bentuk. Namun seperti mana sifat hakikinya, ia bisa sahaja diambil oleh Sang Pemilik. Kita sebagai hamba, harus tunduk berserah. Setiap musibah dan ujian, tentu ada hikmah di sebalik kejadian, kan?
Innalillahi wa inna ilaihi rajioon.
p/s: dengan musibah terbaharu, dateline 10hb, macamana nak kejar :p (alasan-alasan)