Saturday, July 30, 2011

Wednesday, July 27, 2011

Puisi: Resah Menunggu (di ambang Ramadhan)

engkau datang dengan janji
pengampunan dan penghapusan dosa-dosa
akankah memandang dengan benci?

bahkan rindu mencengkam nubari
sehingga angin yang menyapa pun
sangka membawa aroma zahir mu
meski masih di ambang pintu
belum lagi kaki melangkah
menyapa dan memandang dengan kasih

engkaukah yang membawa segenap harapan
akan tertutup pintu-pintu neraka
dan menebar haruman raihan syurga?

bahkan dapat mendamba kasih
membalut dalam alunan
cinta Sang PenCinta

rindu
adakah dapat dirasa
dendam dalam dada

dan bila nafas menghembus
yang ku tunggu
tetap
kamu

akankah dapat kenali
di pertemuan
sekali ini?

atau tidak sudi
menerima sujud
dan penyaksian taubat
di hening malam seribu bulan

Monday, July 25, 2011

Puisi: Jika Hadir

Aku membayangkan mu jelmaan Nabi
lantas mengingati bukan satu kesia-siaan
malah wasilah
mendekatkan pada Yang Maha

tapi engkau bukan
menjadikanku
manusia pendosa

kerana itu telah berjanji
bila mana muncul
dari deria mana pun
selawat diserah
tingkah bertingkah

moga yang Terpuji mendengar
rindu yang menyapa
membawa, menghantar
maqam lebih berhak

tiada terlintas melupakan
namun tidak sanggup membawa
ke hadapan pintu neraka

duhai pemilik puji
saksikan jiwa menahan
Engkau malah di hadapan
untuk dimaqbul
segala doa.

Friday, July 15, 2011

Puisi: Bulan Luntur (Muhammad Haji Salleh, 1983)

Bulan Luntur

i
ada bulan di luar
bersih dan mekar
menyeberangi cahayanya
lewat malam baru.
untuk saat ini
tak mungkin aku pandai
memilih yang cantik
pemandanganku retak
oleh luka dalam


ii
bagaimanakah rupa kenyataan?
ataukah pernah ada bentuk padanya:
yang baik dipilih
dengan perasaan hormat,
untuk penyumbang dikarangkan
terima kasih dan diucapkan selamat,
yang sederhana disudutkan pada kebiasaan,
yang jujur dianjur menjaga nilai
yang berani dibenarkan berkata awal?
tapi ini semuanya mimpi,
dilayangkan oleh purnama,
kerana yang kulihat hanya kacau:
yang licik jadi ketua,
yang kejam jadi hakim,
pemuji dipangkatkan tinggi,
pemikir diawas-awasi.
sarjana dipencilkan ke bilik,
si rajin dituduh bercita-cita,
si malas merancang kuasa.
gelap dunia ini
rimba subur
membeli sopan dan seni
kudengar ketawa besar
dari daerah peniaga
dan terkelip senyum
pada sekutunya yang bertakhta.
tiada lukisan, tiada puisi.
lagu telah tenggelam di bawah arahan,
penari dirogol oleh pengurusnya.


iii
bulan luntur
abuk malam terpercik ke parasnya
yang tinggal waktu lebihan
tanpa cahaya atau bersihnya.


25 Mei 1983, Muhammad Haji Salleh

Wednesday, July 13, 2011

Terima kasih
Mengajar nilai
dipentas anugerah
Kau ada
Dalam dada

Tuesday, July 05, 2011

The Bigger Picture (the pictures)

Dalam lokomotif - di dalam dek, pemandu lokomotif dari Indonesia (manis orangnya lebih hensen dari Wali cerita Kitab Cinta)


Nama salah satu dari TBM projek ini - KAMILA -dari Bahasa Arab, Kamil yang bermaksud sempurna - Terowong ini di dalam tanah antara 300 m ke 1.2 km (huge overburden aye?)



Perjalanan dalam ADIT2 (jalan masuk ke terowong yang menggunakan teknologi NATM - lantai basah dari air bawah tanah yang masuk ke terowong melalui rekahan dinding yang ditebuk)


Dalam terowong - En Honda membelakang kamera - perlu ada PPE lengkap untuk masuk termasuk kasut kontraktor berwarna Kuning Pua Chu Kang (supaya seluar kekal bersih dan kering ketika keluar dari terowong)


Jalan masuk ke ADIT2 - perhatikan di atas muka pintu ada pokok yang melintang - mengikut kepercayaan Jepun untuk doa (azimat) keselamatan bekerja dalam terowong


Dari jauh muka pintu ADIT2



Monday, July 04, 2011

The Bigger Picture

Bagaimana agaknya rasa menjadi pekerja landasan keretapi maut sewaktu pendudukan Jepun dahulu?


Ini yang menjadi mainan cepu bila saya berpeluang untuk menjadi peserta lawatan pembinaan terowong saluran air mentah dari Empangan Kelau ke Hulu Langat. Laluan sepanjang 44.4km dari Pahang ke Selangor, satu lagi projek mega dan ekstrim kejuruteraan Kerajaan Malaysia

Kami berpeluang masuk ke dalam terowong. Yang baru digali sepanjang 1.4km, masih jauh lagi untuk disiapkan. Dengan menggunakan kaedah yang sama menebuk batuan bawah tanah seperti terowong SMART dengan menggunakan TBM (tunnel boring machine), ini betul-betul engineering marvel.


Namun, untuk sampai ke muka TBM, laluannya penuh liku. Berada di bawah tanah antara 30m ke 1.2km, dengan kelembapan tinggi dan suhu panas mencecah 40C, saya tidak membayangkan suasana lawatan yang selesa. Kami tidak diminta berjalan kaki, namun perlu menaiki lokomotif sehingga sampai ke ekor TBM. Sebelum itu kami telah dibekalkan dengan penutup muka untuk mengurangkan ketidak selesaan menghidu bau diesel dari mesin yang pelbagai. Bagai, ya bagai pekerja landasan keretapi maut duduk dalam lokomotif yang begitu terhad ruang dan cahaya, kami bergerak perlahan dengan kelajuan 20km/j.


Rasa? Bagi mereka yang rajin ke spa, ini mungkin analogi yang bagus. Panasnya benar-benar seperti dalam spa. Peluh menitik tidak terkira. Penglihatan terhad. Muka ditutup dengan pelindung muka. Di kiri dan kanan, hanya batuan granite hitam yang tiada warna lain.


Pemandu lawatan kami adalah Encik Honda dari Jepun. Kami difahamkan yang tenaga kerja banyak dari Indonesia, Bangladesh, Jerman, Jepun, sedikit dari Malaysia. Kerana tempat kerja ini keadaannya sangat ekstrim. Jika anda bekerja sebagai pemandu lokomotif dari muka terowong ke TBM, anda akan membuat kerja yang sama berulang setiap hari selama 5 tahun dalam keadaan tidak nampak hidupan dan awan nano yang biru.


Apatah lagi bagi mereka yang ditugaskan untuk menggerudi dan memasukan letupan dinamit untuk membolehkan batuan pecah. Kemudian batuan akan diangkut keluar. Dan yang menguruskan penyelenggaraan mesin TBM yang sudahlah sempit, perlu bergelumang dengan air bawah tanah dan alatan yang begitu kompleks dan rumit.


Kalau saya diberi pilihan, mahukah saya menjadi sebahagian dari tenaga kerja menggali terowong air ini? Owh, apakah? Anda?


Saya bertanya setiap seorang yang mengikuti lawatan ini. Jawab mereka mudah, 'terima kasih ajelah'.


Kata saya, "Jika awak bekerja di sini, awak adalah sebahagian dari sejarah. Projek mega ada satu titik anjakan untuk satu sejarah bangsa yang lebih besar."

Mereka terdiam berfikir, tetapi masih tidak akan menawarkan diri bekerja dalam keadaan gelap, basah, panas, lembab, terhad udara, terhad penglihatan.

Tetapi rakan saya kata, "Mereka lakukan perkara yang besar pahalanya".

"Encik Honda dapat pahala?"

"You're missing the bigger picture now my friend". (Speaking London pulak).

"Kerja mereka akan berkekalan puluh tahun, mungkin ratus tahun ke depan. Bayangkan, menyalurkan air pada yang memerlukan".

"Ya, saya dengar. Tetapi tidak berapa faham."

"Apa gunanya air? Pertama menghilang dahaga orang yang kehausan, menghidupkan pokok dan tanaman, untuk membersih, selebihnya untuk 1001 kegunaan manusia yang terfikir dan tidak terfikir oleh kita. Termasuk untuk mengambil wuduk, memandikan jenazah, mandi wajib, mem Bersih diri, memasak untuk keperluan keluarga. Mendirikan masjid juga perlukan air, bancuhan konkrit tidak akan menjadi tanpa air, mengairi tanaman, memberi minum pada haiwan ternakan. Kita hanya akan hidup jika kita ada air, kan?"

I miss the bigger picture, saya sedar sekarang. Peradaban tidak dicipta bagi mereka yang berjiwa kecil. Peradaban tidak direalisasikan bagi mereka yang tidak melihat masa depan, lebih dahulu dari binaan itu sendiri berdiri tegak di depan mata.


Menjadi orang yang melakar sejarah dan membina peradaban. Kita sendiri perlu lebih dahulu melihatnya dalam kepala, minda, jiwa dan roh. Berusaha ke arahnya dengan segenap tenaga dan keringat.


Siapa anda hari ini, adalah apa yang anda fikirkan tentang diri anda sendiri waktu kecil dan bersekolah, lama dulu.


Tidak menjadi? Tidak mengapa, masih belum terlambat untuk berusaha dan mencapainya. Atau sebenarnya, anda sendiri tidak sungguh-sungguh bermimpi!