Sunday, January 22, 2012

Mencari Hati Tenang

Kenapa kita bersedih? Satu jawapan, kerana kita memilih untuk sedih. Ia wujud dalam fikiran, menjentik emosi dan berlarut-larut sehingga menjadikan kita tidak berdaya.

Saya membaca buku The Last Lecture, Randy Pousch. Beliau seorang profesor dengan pencapaian luar biasa. Kehidupan sempurna, isteri, anak-anak, kemewahan. Berjaya mencapai semua impian yang dicita sejak kecil.

Lewat 30an dia dikhabarkan mengidap kanser peringkat terminal dan punya 3-4 bulan untuk hidup. Kata Randy, "saya memang tidak boleh mengubah sakit ini. Jadi saya memilih untuk sisa hidup yang ada dengan menghabiskannya dengan penuh kegembiraan." Jika anda membaca bukunya, anda tahu Randy gembira sehingga ke penghujung hayat.

Saya tersentak. Kematian dan kesakitan pun tidak menggugat Randy untuk bersedih. Begitu hebat kuasa persepsi positif.

Saya setuju dengan Randy, tetapi punya buah fikir yang lain. Kita banyak rasa sedih kerana kita rasa kita seorang pemilik dan punya hak untuk sesuatu, lebih-lebih yang berada dalam tangan.

Paling yang akan buat kita sangat susah hati adalah bila ditimpa sakit. Bayangkan sepanjang umur kita sihat. Kalau pun sakit, ia sakit yang biasa. Seperti demam, batuk dan selsema. Bagaimana jika Allah mengambil kemampuan kita berjalan? Tiba-tiba kaki tidak boleh melangkah. Selama ini lincah, akhirnya kita cuma boleh terlantar di katil.

Begitu juga dengan usia muda. Kita terlalu leka menikmati sehingga satu masa bila tenaga makin lemah, pada waktu itu baru kita rasa kita telah tua.

Begitu juga dengan pekerjaan. Dengan harta benda. Dengan wang ringgit. Lebih-lebih lagi keluarga.

Rasa sedih dan keluh kesah itu datang kerana kita rasa kesihatan, usia muda, pekerjaan, harta benda, wang ringgit, keluarga milik sendiri. Kita tidak pernah wujudkan dalam lingkungan sedar, sedar yang sebenar-benar sedar bahawa kedudukan kita hanyalah sebagai peminjam. Kerana itu bila satu-satu keadaan datang yang memasuki zon aman yang telah diletakkan sempadannya, kita akan melatah. Jika cubaan terlalu berat untuk jiwa menanggung, kita akan berkeluh kesah dan berlarut dalam kesedihan. Lebih parah bila mengutuk dunia tidak adil, lebih aniaya bila mengatakan Tuhan yang tidak adil. Nauzubillah.

Sesuatu yang ada dalam gengaman, sekiranya orang mengambil tanpa izin, apa perasaan anda?

Hakikat kita tidak pernah menjadi pemilik. Kita ada hak atas sesuatu tetapi terhad. Hak yang diberi ada sempadan dan undang-undang sendiri. Seperti hak suami pada isteri, hak isteri pada semua, hak ibu bapa pada anak-anak.

Tetapi bacalah ayat-ayat dalam Al Quran, semua memperingatkan tentang harta yang kita kumpul dan miliki hanya perhiasan. Keluarga dan anak-anak juga perhiasan. Guna untuk menguji benar tidak iman yang kita pertahankan. Perhiasan sifatnya sementara, tidak mungkin kekal.

Keluh kesah datangnya kerana kita tidak mengukur diri. Tidak pernah menerima bahawa kita cumalah peminjam. Bila-bila masa orang yang beri pinjam boleh minta semula. Dia tidak perlu minta izin, kerana Dia adalah Sang Pemilik.

Begitu.

Saya muhasabah diri. Ya saya tidak punya apa. Tubuh ini pun bukan milik saya. Apatah lagi yang lain-lain. Jika saya boleh percaya dan tanamkan dalam hati, insyaAllah apa pun datang hati boleh lapang.

Satu lagi ialah bila keinginan mahu kita yang telah lama dicita-cita, kita berusaha sehabis upaya, habis tenaga, habis keringat, habis masa, tetapi bila sebelah kaki melangkah, ada masalah lain menghimpit. Hati jadi serba salah. Perang hebat berlaku dalam diri. Tidak tahu mana keputusan lebih baik.

Kata Norman Ali Khan, kalau kita tidak dapat yang kita hendak, itu bermaksud memang sejak awal lagi Allah tidak rezekikan. Full stop. Tidak perlu bertanya kenapa dan mengapa. Memang bukan untuk kita. Memang tidak pernah untuk kita sejak dari mula.

Kata kawan, nasi yang sudah disuap dalam mulut pun belum terjamin rezeki masuk ke perut. Betul, kawan saya selalu betul dalam hal ini.

Hanya dengan menyedari hakikat ini kita akan lapang dada, dengan rela.

Tahun lepas bila Jepun dilanda tsunami besar, mereka bersedih. "Kami orang baik, kalau betul ada Tuhan kenapa Dia menghukum kami begini?" Ya orang Jepun tidak sedar bahawa keselamatan negara dari musibah juga bukan mereka boleh menjamin, itu juga adalah pinjaman Tuhan. Memang orang Jepun baik tetapi sayang dalam hati mereka tiada berTuhan. Tanpa Tuhan mereka tidak akan dapat pelajaran yang penting ini. Bahawa hidup ini pinjaman, tiada satu pun milik manusia.

Randy Pousch berlapang dada dan memutuskan untuk gembira dengan umur yang tinggal sedikit. Randy buat begitu untuk keluarga. Sebab dia sedar kalau dia tidak berfikir positif, seluruh keluarga akan turut bersedih.

Positif Randy bagus cuma manfaatnya hanya horizontal.

Positif yang dituntut untuk berlapang dada dan benar percaya bahawa kita hanyalah hamba dan peminjam, manfaatnya dua paksi. Horizontal dan vertikal sekaligus. Dunia dan di langit 'sana'.

Selepas percaya itu apa pun yang datang, kita tahu ia adalah sebagai ujian.

Saya seorang peminjam, saya juga seorang hamba. Kenalilah kedudukan diri, hidup ini akan jadi indah, luas dan lapang. InsyaAllah. Doakan, moga saya menjumpai jalan tenang.

Thursday, January 19, 2012

Peringatan untuk Diri: Black Hole

Buatlah keputusan yang terbaik untuk menjamin ketenangan hati, bukan memuaskan nafsu.

Kerana nafsu itu ibarat blackhole, selagi kita ikutkan selagi itu tidak akan pernah cukup-cukup.

Telan apa sahaja tidak pernah berhenti.

Tetapi bila mengejar hati tenang, kita akan berada dalam limpahan kasih sayang Tuhan.

Bukankah hati yang tenang itu, hati-hati yang mengingati TuhanNya?

Tuesday, January 17, 2012

untuk kamu yang melihat aku




Di saat orang memuji, hanya kau yang nampak kekurangan diri
Ketika orang mengatakan kesempurnaan, kau yang memperlihat kelompangan
Ketika orang menghargai jasa, kau yang menunjuk ruang lebih luas menebar budi

Ketika orang mengeji, kau dihadapan melindungi
Disaat orang menjauh, kau dekat dengan mempertaruhkan doa
Tika orang tidak peduli, hanya kau seorang yang percaya
Dia saat mengeluh penat, kau kata aku tidak membuat apa-apa kerana percaya aku punya lebih banyak untuk memberi

Aku tidak tahu, kau mengajariku
Kau malah tunjukkan aku apa yang aku tidak tahu
Dan bergaduh bila perlu
Kau tidak percaya apa-apa tentang kelemahan, kerana kau lebih nampak kekuatan yang dengan rela kau tunjuk dan pandu

Ketika aku sembunyi, kau menjumpai
Ketika aku tiada, kau mencari seperti tidak akan bertemu semula
Ketika aku jauh, kau merindui
Ketika aku tidak dikenal, kau yang menyebut namaku berulang
Ketika bila mana aku zahir, kau menyeluruhi wajah dan membaca jiwa

Ketika aku ada, kau punya senyum penuh cahaya
Kau yakin yang dalam dunia penuh tipu daya dan bejat, aku tidak akan sekali kali mengkhianati meski aku tidak pernah berjanji apa-apa
Ketika aku ada, kau lihat diriku tempat istirehat yang aman walau aku selamanya hidup dalam pergelutan yang dahsyat

Kau yang selalu ingat, setiap saat yang dilalui ketika hadirku
Yang selalu buatku rasa, aku ada dalam duniamu

Aku selalu sesat, kau tunjukkan arah
Aku manusia kasihan, kau muliakan
Aku tiada ruang, kau berikan ku tempat

Mengingatimu derita
Melupakanmu juga derita

Kau yang ku terhalang menyebut namamu dengan terang kerana kemuliaan yang terlalu
Dan tidak selayaknya aku meski untuk memperakui tingginya kedudukanmu

Sehingga kini aku masih bertanya, bagaimana kau boleh menjumpai
Sedang aku terlalu kerdil dan kau terlalu tinggi

ketika kau tidak zahir, Tuhan menghadirkan dalam mimpi dalam masjid Haram depan Kaabah dan Multazam

Dalam duniaku, kau tiada jika nantinya aku tiada, kerana kau wujud dalam jiwa
Dalam duniaku, bila aku menghembuskan nafas akhir, kau juga akan lenyap

Kerana itu aku mahu hidup, agar nafasku menjamin kau ada
meski hanya dalam duniaku yang aku bukan siapa-siapa
Kerana hanya dengan hidup aku boleh terus berdoa
Dan aku berdoa untuk kebahagiaanmu dunia dan akhirat
Dan akhir nanti, kau berdiri di sisi Tuhan, yang kau redha padaNya dan Dia redha padaMu

Maafkan ku, kerana kau Ismailku
Yang perlu kukorbankan dengan tanganku sendiri
Dengan pisau yang tajam ditenggorakkan
Meski jiwa ku lirih dan pedih
Yang air mata mengiring rela
Hati sakit meronta

Yang mahu kusakiti itu sebenarnya bukan kamu, malah diriku
Kerana demi Tuhan aku sayang padamu
Dan untuk kamu mendapat yang terbaik
Bukan aku yang tidak berdaya ini dapat memberi
Yang Maha Sempurna itu Allah, dengan kesempurnaan Dia
Aku mohon... Dia menyayangi mu lebih dari apa yang ku mampu
Sayang ku cuma akan mencederaimu
sayang Tuhan akan membawamu ke syurga

Aku mohon korban ku ini ditebus dengan kasih sayang Tuhan sepenuhnya untukmu
Dan akhirnya Allah akan mengurniakan mu
warna yang tidak pernah kau nikmati

Ini tekad korban rasa dan perasaanku
Demi Tuhan, kau lebih berhak mendapat nikmat melihat warna
Dari jiwa ku yang tidak pernah tahu letak duduknya di mana

Tuhan, terimalah Ismailku
Terimalah daku
Kuserahkan jiwaku tulus seperti Hajar
Aku tidak meminta selain dariMu
Aku tidak bersandar kecuali naunganMu
Santunilah daku
Kasihani daku
Kerana aku dijadikan dari RuhMu
Mustahil Kau tidak menyayangiku.










Sunday, January 15, 2012

Menunggu itu indah



Penantian itu satu penyeksaan. Itu frasa kata yang telah dimomokkan pada kita sekian lama. Tetapi sebagai mana hantu yang ditayangkan di TV, kita ditakutkan dengan momokan. Atau persepsi. Hantu lebih senang dilihat dalam TV bukan realiti. Hanya yang berilmu tinggi boleh melihat alam ghaib.

Menunggu memang jemu kalau kita tidak mengisi masa antara ruang yang ada. Semalam momok yang lama bersarang dalam dada melebur. Bila dikurniakan ilham untuk berbuat sesuatu yang baik dan kita bertindak atas ilham tersebut. Rakan saya yang telah berjanji sampai di KLCC selesai peperiksaan saya selesai lewat. Kurang lebih saya perlu menunggu sejam. Boleh sahaja membunuh waktu di Kinokuniya. Tetapi bila rakan sampai tetap akan ke Kinokuniya semula. Lagi pula buku di sana semua berbalut plastik. Tidak akan ada peluang pun untuk membaca ilmu.



Saya mengambil langkah untuk ke masjid. Belum pukul satu tapi harap untuk dapat Zohor jemaah lebih mengujakan. Tetapi saya dapat lebih. 15 minit sebelum Zohor Imam menyampaikan tazkirah ringkas. Isinya biasa untuk mengingatkan manusia yang banyak lupa dan lalai.



Saya beremosi di masjid As Syakirin KLCC. Namanya melambangkan kesyukuran. Dari kubah yang jernih saya boleh melihat KLCC yang agam. Namun nama masjid tidak melambangkan kita benar syukur pun, jemaah yang ada kecil. Yang ramai orang dari negara luar, bukan rakyat Malaysia.



Saya terkenang Haraam di Makkah. Sama. Masjid dan pusat membeli belah dekat. Tapi di Haraam bila masuk waktu kedainya lumpuh tiada pembeli tiada juga penjual. Semua tunduk menyembah Allah yang Esa bila dituntut waktu. Tapi masjid As Syakirin sepi. Iman diuji, kita yang memilih. Benar kata Imam manusia itu pelupa. Dan syaitan pula berjanji mahu melekakan kita. Dalam ruang yang singkat begitu, kita boleh diuji dahsyat tapi kebanyakkan kita tidak sedar pun.



Saya sebenarnya berdoa rakan datang lebih lewat. Berada dalam perut masjid lebih damai. Tenaga yang tekumpul di situ adalah mereka yang tegar untuk taat Allah biar gemerlapan dunia dekat sahaja untuk dinikmati sepuas hati. Bila jumpa rakan, dia belanja makan dan buku!



Menunggu itu indah. Saya dapat berjemaah. Saya dapat ilmu. Saya dapat makan sedap. Buku mahal dan ilmu dalamnya juga mahal. Dan saya dapat satu entri. Menunggu cuma sela waktu. Jika mampu manfaatkan dan isi antara ruang kita tidak akan sedar pun masa yang berlalu.



Dalam status FB yang selalu diulang, 'kita lahir disambut azan, mati nanti dihantar sembahyang'. Antara azan dan solat, selangnya iqomah. Sekejap, memang sekejap. Namun kitalah yang memilih untuk mengisi waktu sekejap itu dengan manfaat atau untuk disia-siakan.



Friday, January 13, 2012

Tanpa Mahram – Di Bawah Lindungan Tuan Empunya Kaabah

Ramai orang bertanya saya di mana. Saya masih di bawah langit yang sama. Kalau awak dapat melihat bulan waktu malam, saya juga melihat bulan yang sama. Jika awak menyahut seruan azan untuk solat, saya juga bersolat. Mungkin dalam doa usai solat, awak juga ada. Dan sangat indah kalau saya dapat mendengar suara awak meng’amin’kan doa.


Hakikatnya saya berpergian. Menyahut jemputan yang lama saya tunggu, yang kadang-kadang mustahil dapat pergi memikir kekurangan yang nyata dan tersembunyi dalam diri, tanpa persediaan yang jika dibanding dengan orang lain yang sangat tersusun dan jelas jitu, dan ya, tanpa mahram.


Saya memenuhi jemputan dan menyahut panggilan musim Haji 1432H pada 24 Oktober – 6 Disember yang lalu. Masih dipenuhi dengan pelbagai rasa, fikiran, soalan dan jawapan, akhirnya saya gagahkan diri untuk menulis di sini. Dorongan kuatnya ya pasti, kerana awak.


Saya tidak tahu logik akal mana yang saya pakai untuk bercita-cita menunai Haji. Sudahkah saya ceritakan pada awak yang saya punya kekurangan yang banyak? Dan seharusnya cita-cita ditangguhkan lebih lama kerana saya tidak punya mahram. Ayah telah lama meninggal, wali-wali yang tinggal adalah abang-abang dan adik dengan tanggungan, dan ya, saya masih belum punya zawaj.


Tetapi logik Allah berbeza. Dia tidak dicatur dengan rasional yang kita ada. Aturan tetap dan kekalNya satu yang kita tahu, jika dia berkehendak kun, fayakun. Itu sahaja. Tidak perlu tanya, tidak perlu tanda soal. Kerana seluruh alam jagat raya milikNya, termasuk masa, ruang, kesempatan. Soalnya, adakah saya benar yakin dan percaya?


Oktober lalu buat saya bulat percaya. Tuhan dalam dimensinya yang pelbagai, hanya ada satu wajah, iaitu Cinta. Dia memilih, menjemput, memanggil siapa yang Dia kehendaki. Dia memilih kami kali ini. Satu hari nanti saya pasti Dia juga akan memilih awak. Untuk bernaung dalam rahmat di tempat Dia paling dekat. Jika awak cukup percaya, jemputan dia sangat dekat. Kerana itulah yang berlaku pada kami. Bekal kami cuma percaya tanpa sekelumit prasangka kami akan kecewa.


Benarlah hadis Kudsi yang bermaksud: “Aku (Allah) berada dalam sangkaan hamba-Ku. Maka bersangkalah dengan Aku apa yang kehendaki.” (Riwayat Ahmad).


Saya bersama dua sahabat melangkah ke Tanah Suci untuk menunai rukun Islam ke 5 tawakal berpergian dengan hanya membawa pakaian yang melekat di tubuh, tulang belulang, daging dan kulit, sedikit bekal perjalanan.…dan apa yang ada dalam dada. Lain-lain tentang hal keselamatan dan naungan ketika berada di sana, kami serahkan sahaja dalam lindungan Tuhan Yang Empunya Kaabah. Meski kami tahu perlu bergelut dengan 3 juta jemaah lain, dengan kepelbagaian budaya, bahasa, amalan, budi. Ya, siapa boleh meneka hati budi & niat 3 juta umat?


Tiada siapa memberi taklimat pada kami, kami akan ditumpangkan dengan mahram yang sekian-sekian. Tiada. Jadinya jalan kami nanti, kami-kamilah yang akan menjaga. Namun bila sampai di sana, kami dikejutkan dengan cabaran lain. Waktu biologi kami berbeza. Akan ada waktu kami dapat bersolat di Masjid Haram bersama, akan ada yang tinggal seorang. Minggu pertama sebelum wukuf, saya tinggal seorang. Namun jauh dalam kalbu saya tahu mustahil saya seorang. Bukankah Allah yang menjemput? Saya tetamuNya, ini cukup untuk merasai diselimuti dan rasa penuh dilindungi.


Ramai yang bertanya, “bagaimana keadaan bertawaf dalam jemaah padat dan ramai dan awak seorang?”


“Sudah tentu getir. Kiri kanan orang yang akan menghimpit. Bukan semua jemaah punya disiplin yang sama seperti kita.”


Adakalanya rasa seperti dalam mesin basuh. Ditolak, dihimpit, dipijak, segala. Segala yang kita terfikir bila di dalam ramai. Tetapi saya pegang satu, “Apabila telah berazam, maka bertawakallah.” Itu yang menjadikan segalanya jadi mudah.


“Tidak takut berjalan waktu subuh, pulang waktu malam sendirian?”


“Entah bagaimana, Allah menutup rasa curiga dan takut saya. Sepanjang masa saya rasa aman, malah saya berani untuk berjalan ke masjid dari mana-mana jalan saya sukai, dan memasuki pintu dari mana-mana yang saya sukai.”


“Sedikit tidak takut?”


“Maha Suci Allah, ya, sedikit tidak takut. Malah mungkin perkataan takut itu sendiri telah luput secara automatik dalam pemikiran. Sehinggalah kami mahu pulang ke Malaysia. Bila jemaah bercerita tentang kemalangan, musibah yang berlaku. Yang menakutkan dan tidak masuk akal. Terutama bila kita katakan tentang Tanah Haram mustahil yang buruk berlaku, tetapi ia berlaku. Alhamdulillah, ia tidak terjadi pada kami sebatang kara ini.”


Bukankah saya telah bercerita, Allah itu punya wajah, dan Dia menjelmakan wajah Cinta pada kami.


Begitulah. Saya di sana selama 43 hari. Tentu, saya rindu. Selalu berdoa punya waktu. Agar saya dapat memanjangkan kisah Cinta Allah pada hambaNya yang berserah.


Perjalanan ini mengajar banyak perkara. Di kala kita rasakan sebatang kara, tiada punya tempat untuk bernaung, rasa sendiri dan tidak dipeduli, percayalah, pada waktu itu Allah sendiri menjadi wali dan menaungi.


Benarlah, Allahlah sebaik-baik pelindung.





Sunday, January 01, 2012

Tidak Sampai ke Langit

Salam Tahun Baru Masehi 2012.

Orang bertanya saya kemana? Saya tidak kemana-mana. Masih di bawah langit yang sama. Kalau awak dapat melihat bulan waktu malam, saya juga melihat bulan yang sama. Jika awak menyahut seruan azan untuk solat, saya juga bersolat. Mungkin dalam doa usai solat, awak juga ada. Dan sangat indah kalau kita berjemaah dan akhir nanti mendengar suara awak meng’amin’kan doa, atau saya yang meng’amin’kan.

Hakikatnya saya berpergian. Saya memenuhi jemputan dan menyahut panggilan musim Haji 1432H pada 24 Oktober – 6 Disember yang lalu. Sudah lama. Ya. Tetapi satu perkara yang saya tidak pernah diberitahu, sekembalinya ke tanah akhir kita akan disampuk rindu yang teramat berat. Itu yang berlaku, itulah yang meng’kaku’kan jari jemari, juga akal dan fikiran dan tentu yang berkecamuk dalam hati. Saya tenggelam dalam sakit rindu yang mencengkam.

InsyaAllah, rindu tidak menjadikan saya orang lain. Malah moga akan membawa lebih kenal akan diri sendiri. Moga akan terbit dari kesedaran ini ingatan yang terus berlangsung dalam blog yang sangat dikasihi – WadiKita & Out Loud.

Semalam saya terlepas untuk menyaksikan pertunjukkan bunga api. Selalu, berada di luar menunggu detik 12 malam, merasai dentuman letupan, menonton pelbagai bunga warna warni menghiasi langit awal pagi, sambil bersorak bersama keluarga dan jiran-jiran. (KLCC boleh dilihat di halaman rumah sahaja).

Saya suka bunga api. Jika berada dekat, kita akan rasakan seolah-olah api-api itu bagai titisan hujan yang akan membasahkan. Serasa mahu lari, tetapi seketika gerun itu bersarang, api itu hilang.

Saya suka bunga api. Ia lambang kehebatan manusia dari Tamadun China lebih awal dari kedatangan Nabi Muhammad. Saya selalu melihatnya sebagai perfect engineering. Semua direkabentuk dengan sempurna. Berapa laju api yang akan dilontar dari bumi meluncur membelah udara, letupan berlaku di jarak yang telah ditetapkan, percikan api yang muncul hasil dari letupan, warna-warna yang terbentuk menjadi lukisan di kanvas hitam, bermacam-macam bunga yang cantik begitu besar dihasilkan di langit, tetapi tetap tidak sampai ke langit.

Terlepas tetapi tidak rugi apa-apa. Mungkin kali ini yang berbeza tinggi api yang dilancarkan dari bumi, corak bunga yang berbeza, warna yang terhasil di kanvas hitam langit, pertunjukkan yang memakan masa lebih lama, dan jiran-jiran yang makin bertambah menonton di lorong kecil kami. Hakikatnya, ia sama. Dari tahun ke tahun tiada apa yang berubah, kecuali nombor tahun yang baru.

Saya sudah menyambut tahun baru di Makkah tempoh hari. Sudahkah saya beritahu, saya ke Haramain selama 2 tahun? 1432 Hijrah dan menyambungnya 1433 Hijrah di Madinah. Semirip perjalanan Rasulullah bukan? Malam tahun baru kami masih di Makkah, selepas dari itu kami berziarah ke Madinah.

Ia sambutan sangat sederhana. Kami menyambut dengan keluarga besar jemaah Malaysia yang berkampung di Hotel Taiba terletak di Thariq Ibrahim Al Khalil, 600 meter dari Masjidil Haraam. Surau kami di lantai satu, dewan makan yang telah diubah suai untuk menjadi surau sementara. Bermula dengan bacaan surah Yaasin diimamkan oleh Ustaz Nor Azamir, diikuti dengan doa akhir tahun. Kemudian menyambungnya ke solat Maghrib berjemaah, membaca doa awal tahun. Akhirnya berjemaah solat Isya’ bersama. Akhirnya bersalaman dengan selawat, memperaku persaudaraan sesama Islam.

Indah.

Tahun baru Masehi disambut kerana peralihan tahun. Nombor yang sahaja yang bertukar, sambutannya MashaAllah luar biasa. Jika dihitung kira untuk perbelanjaan seluruh dunia, pasti mencecah billion ringgit hanya semata untuk menghantar api ke kaki langit. Tetapi tetap tidak sampai ke langit.

Tahun baru Hijrah disambut kerana penanda perubahan besar buat ummat. Ia adalah perjalanan Rasulullah untuk membuka Makkah sepuluh tahun selepas Nabi menjejak kaki di Madinah. Membebaskan Makkah dari menyekutukan The Aleph, The Alpha, Yang Esa. Membebaskan kemudiannya seluruh ummat manusia di seluruh dunia dari sebarang penghambaan dan merdeka dengan erti kata sebenar. Dari zaman Rasulullah sehingga akhir zaman. Ia perjalanan Hijrah. Berpindah ke tempat yang lebih baik, bukan lebih jelik.

Tahun baru Masehi disambut dengan jutaan ringgit dengan tujuan meletupkan bunga api di langit. Bagaimana pintar pun manusia, ia tetap tidak akan sampai ke langit.

Tahun baru Hijrah yang kami sambut tidak mengeluarkan meski satu sen. Doa-doa yang kami tadah dan apungkan, laju membelah bumi dan sampai ke langit ketujuh. Didengar Allah di arasy diaminkan para malaikat. InsyaAllah. Kami yakin.

Rupanya untuk sampai ke langit, kita tidak perlu roket dan memecutkannya dengan api yang berganda kuat. Cukuplah dengan punya hati yang percaya. Bila mata dipejam, tangan diangkat untuk takbiratul ihram, kita sudah pun bersemayam di haribaan Tuhan.

Selamat tahun baru rakan-rakan yang dirindu. 1433 Hijrah / 2012 Masehi, moga janji Allah dekat untuk kita, untuk mereka.

Saya sudah pulang.