Monday, February 27, 2012

Sedetik Lebih


i.
Kita terlalu banyak dibebankan dengan tugasan pejabat. Pada masa yang sama tidak boleh ambil mudah apa yang perlu diselesaikan di rumah. Sekarang, kedua-duanya telah menjadi tugas hakiki.

Tetapi ada waktu-waktu yang kita mahu masa sendiri, untuk buat apa yang kita suka buat. Jarang sekali dapat kan?

Jika jadi macam ini, selalu saya berdoa agar saya diberi lebih masa. Sedetik lebih dari orang lain. Sebab saya terlalu rindu untuk punya masa untuk membaca. Salahkah saya berdoa demikian?

Memang salah. Sebab aturan dunia ini tetap, tidak akan ada perubahan sehingga hari kiamat. Kalau 24 jam yang Allah bagi, itu sahaja. Tiada istilah lebih masa, atau sedetik lebih.

Untuk itu saya ubah doa. Kali ini saya mohon untuk diberi keberkatan pada masa. Keberkatan kepada tenaga. Keberkatan pada fokus dan tumpuan. Supaya tugas-tugas pejabat, tugas di rumah dapat diselesaikan dengan pantas. Kemudian selepas itu saya akan dapat masa untuk membaca.

Alhamdulillah. Ia memang boleh berlaku. Allah menolong mereka yang benar-benar ikhlas. Jika sedetik lebih yang kita minta adalah untukNya, demi Dia.

ii.
Saya suka lagu Hijau Zainal Abidin. Selalu suka. Ia mengingatkan tentang alam sekitar yang sering kita lupakan. Kerana alam berada di bawah tapak kaki kita. Yang kita rasa kita punya hak untuk eksploitasi tanpa rasa bersalah, lagilah berdosa. Kerana itu biarkan semua sisa ditanah kita. Biarkan, biarkan.

Kata kebanyakkan manusia, kita telah dilantik menjadi khalifah. Semua telah dibuat untuk tunduk dan berkhidmat demi insan. Semua makhluk lain adalah letakkan lebih rendah bukan lebih tinggi. Untuk apa kalau kita tidak reti mengguna.

Khalifah bukan bersifat mutlak. Boleh berbuat sesuka hati. Syaratnya tunduk pada term and condition yang telah disediakan Yang Maha Mencipta. Namun sifat manusia suka melampaui batas, kerana itu kita tidak pernah rasa bersalah untuk merosak alam.

Firman Al Quran, "telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia, kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)" - Surah 30 Ayat 41.

Bencana buruk sudah merata berlaku di seluruh dunia. Di Jepun, Pakistan, Acheh, Turkey, Amerika Syarikat, Sudan, Afrika, semua. Kita telah merasakan sakitnya ditimpa bencana, kata mereka Tuhan tidak ada. Jika ada Dia tidak akan menimpakan kita dengan kesengsaraan. Bahkan kitalah yang mengundang segala ketidak stabilan alam, dengan tangan sendiri.

Yang menakjubkan, kita tidak kembali. Kita masih tidak insaf dan bertaubat.

Sekarang, masanya sudah pun terlambat. Alam tidak lagi berbicara dengan manusia. Kita tidak boleh lagi meramal bagaimana trend cuaca. Ia telah terlalu menjadi caca merba. Dan menjadikan kita tidak tentu hala.

Satu hari kita akan menadah tangan untuk meminta sedetik lebih untuk masa, agar kita boleh membetulkan keadaan. Tetapi percayalah, sedetik lebih itu tidak pernah ada. Yang tinggal hanyalah hari ini, untuk membetulkan semua.

Wednesday, February 22, 2012

Ingatan

i.

Saya melihat sendiri bagaimana ibu tua dilupakan anak-anak. Sedang mereka berperwatakan baik. Mana silapnya? Ibu saya yang turut menyaksi memberikan respon yang mengejutkan saya. Kata mak, "itulah akibatnya kalau waktu kecil anak-anak tidak betul-betul diambil berat kebajikan mereka dan menjaga dengan penuh kasih sayang."


Saya bertanya, "adakah seperti itu layanan ibu mereka terhadap anak-anak."


Jawab mak, "ya, kerana itu bila sudah tua dan perlukan perhatian, anak-anak pula tidak pedulikan mak mereka."


Ini satu pandangan yang saya tidak pernah tahu. Tapi datangnya dari orang tua, saya akan percaya. Atau ini yang dikatakan what comes around comes around.




ii.
Kawan saya kata, yang paling indah bila ada orang ingat kita. Tapi kita sampai bila-bila tidak akan tahu kerana ia berada dalam fikiran orang. Kecuali sekali sekala ada orang menelefon atau melawat kita di rumah dan pejabat. Bila orang ingat kita, bermakna orang itu sedang hadir bersama kita. Kerana imej kita telah diajak bertandang dalam kotak pemikiran mereka.




iii.

Ada seorang guru. Yang saya tidak faham mengapa saya boleh ingat selalu. Dia sangat garang dan saya sangat takut padanya. Kadang-kadang saya sangat ragu kalau dia pernah ingat nama saya. Saya tidak pernah ada hubungan yang baik pun. Kalau bertembung saya akan lari atau ikut jalan jauh.


Yang lebih aneh saya akan ingat dia secara berterusan dalam dua bulan. Satu bulan Januari. Kerana ia adalah bulan Profesor (guru saya) pergi, maksudnya meninggal dunia.


Satu lagi bulan Ramadhan. Aneh bukan. Bulan paling istimewa dalam Islam, bulan paling utama di setiap tahun.


Ya dan ingatan akan menjemput juga tangan untuk ditadahkan ke langit, memohon keampunan dan moga arwah diterima dalam perlindungan dan rahmatnya.




iv.

Akhirnya bertanya juga pada rakan, "ada apa dengan ingatan?"


Waktu ingatan datang akan ada, "dia, awak dan Tuhan."




v.

Tidak syak, saya ingat awak selalu.



Tuesday, February 21, 2012

Menghargai

i.
2012 yang saya lihat di filem adalah satu keadaan penuh gawat. Berada dalam tahun ini membuatkan kepala ligat berfikir adakah kesudahan nanti sama. Seperti dalam filem, seperti diceritakan orang.
Tapi apa yang berlaku dalam realiti sekarang pun tidak jauh beza. Banyak negara sedang dalam keadaan rusuh meminta supaya diganti pemerintahan baru. Yang terkini berlaku di Syria sedang Mesir masih lagi bergolak. Orang tanya saya, saya katakan ia ada dalam prophecy. Saya sudah banyak kali baca, di zaman akhir akan berlaku pemberontakan masa terutama di sebelah kawasan Asia Barat.
Cumanya, gugatan dalam jiwa itu tidak ada kerana sudah kurang sangat membaca. Barangkali, bila loceng untuk pilihanraya dibunyikan semula, kita akan menyaksi sejauh mana respon rakyat Malaysia pada perkembangan dunia.

ii.
Seorang muda mengkhabarkan pada saya, "barangkali kita perlu merasa dikhianati kawan, baru kita faham erti dikhianati." Mungkin juga, atau lebih baik katakan ya. Sudah tentu pengalaman hidup yang ada telah melayakkan saya berkata ya. Khianat, satu perkataan yang besar. Ia tidak boleh diterangkan dalam bahasa biasa. Rasa tersayat, pedih, ditinggalkan, penderhakaan, celaka, amuk, semua. Saya tidak tahu ayat yang mana lebih melambangkan erti khianat.
Boleh jadi ia berlaku dalam situasi paling kecil. Kawan-kawan tidak menulis nama dalam tugasan yang perlu dihantar kepada pensyarah. Sedangkan kita orang yang paling bersusah payah.
Atau sebahagian besar kerja diselesaikan hingga berjaya program yang dianjurkan, yang mendapat kredit dan pujian adalah orang lain.
Macam-macam.
Tapi seminggu ini saya dikejutkan rakan supaya buka mata. Buka lebih luas dari kotak pejabat dan tempat bekerja. Nun jauh di Palestin, seorang lelaki muda Adnan Khader sedang melancarkan mogok lapar dan ia telah pun masuk hari ke 64! Adnan menolak sebarang makanan kerana protes ditahan tanpa bicara oleh regim Israel. Tetapi berapa ramai yang tahu, berapa ramai yang simpati. Saya juga sama sehingga ditegur teman seguru.
Bukankah kita sedang mengkhianati Khader?
Kata kawan, Adnan Khader adalah Forgetten Promises kita.
Kata kawan lain, "ada apa dengan dia. Ia hanya mogok lapar sahaja."
Ya, dalam keadaan tidak sedar kita berkhianat. Dan jangan salahkan orang lain bila suatu hari orang khianati kita.

iii.
Adik mengeluarkan entri pengalaman kembali ke asas. Bila mana dia perlu menaiki pengangkutan awam kerana van tidak berfungsi dengan baik. Dalam keadaan ini baru dia menghargai perkara-perkara yang terlepas pandang sebelum ini. Termasuk merancang perjalanan, melihat gelagat orang, dan bagaimana manusia mengatasi kesesakan dalam tren.
Saya tidak begitu. Setiap kali saya berpeluang pulang, saya hanya akan naik pengangkutan awam. Sebab saya merasakan begitu sukar untuk mengecam jalan dan juga parkir yang mahal di KL.
Ini membuatkan saya buat kesimpulan. Banyak orang tidak peduli dewasa ini adalah kerana kita tidak lagi berjalan. Kita lebih suka menaiki kereta, ke mana-mana sekalipun walaupun dekat.
Jalan membuatkan kita bergerak perlahan. Bila perlahan kita akan nampak banyak benda. Dengan berjalan kita nampak ramai orang yang tidak bernasib baik duduk di kaki lima. Dengan berjalan baru kita nampak orang asing yang menumpang di negara kita gigih berusaha untuk mencari rezeki. Sedang rakyat tempatan membiarkan peluang direbut orang. Berjalan mengajar kita berinteraksi dan berkomunikasi. Dengan orang, dengan alam.
Semua ini tidak ada lagi kerana kita berada dalam kereta. Ruang yang dibatasi material yang diproduksi untuk keuntungan. Juga untuk menindas pekerja dengan memberi upah yang kecil. Hidup kita dilingkungkan dengan material.
Rumah dengan konkrit.
Kereta dengan besi waja.
Kita tidak lagi berkomunikasi dengan orang, kerana itu kita tidak lagi menghargai.

iv.
Tanya kawan "bagaimana mahu menyedarkan orang kembali ke jalan yang lurus dan benar?"
Kata saya, "kembalikan ketuanan Tuhan Yang Maha Esa. Dengan izinnya, kita akan kembali, kita akan kembali."

Saturday, February 18, 2012

Di dearah tanpa harapan

i.

Dia ibu. Seorang isteri kepada wakil rakyat. Punya anak yang dimasukkan ke pengajian tinggi. Tetapi anak itu dilimpahi kemewahan yang banyak langsung tidak peduli apa-apa. Tidak mahu masuk kuliah, tidak mahu menduduki ujian, tidak mahu ulangkaji. Pendek kata semua.

Lagi dua minggu masuk musim peperiksaan. Tapi anak entah kemana-mana. Sang Ibu menyewa hotel selama dua minggu duduk berdekatan universiti. Hari Ahad cuti, Ibu menelefon pendidik, mohon untuk dibukakan pintu pejabat. Niat satu, supaya anak mendapat kembali pelajaran yang tidak dapat. Ada pendidik yang bersanggupan, ada pendidik yang merasakan ia agak keterlaluan.

Pendidik yang baik membuka pintu di hari Ahad walaupun hakikatnya bercuti. Penuh besar jiwa dan harapan Sang Ibu membawa bersama anaknya untuk menimba kembali ilmu. Mereka pun duduk berhadapan. Minta supaya diberi panduan dan latihan. Tetapi anak masih tidak acuh. Apa-apa yang penting tidak dicatat. Akhirnya, Sang Ibu yang bersusah payah mencatat segala isi penting.

Anak, masih tidak peduli. Dua minggu Ibu datang menemani untuk mengubah sikap, cuma beri anak kegembiraan lain. Anak guna kereta sport ibu untuk dibawa kesana kemari dan ditayang pada orang.

(pelajar tersebut di akhirnya tetap gagal dalam banyak matapelajaran. Kekayaan tidak pernah dapat membeli kesungguhan dan kesedaran.)

ii.

Seorang pelajar belajar di Mesir pulang bercuti. Namun malang menimpa. Kad pengenalan telah dengan tidak sengaja hilang. Lalu dia perlu membuat laporan di balai polis. Kerana sudah terlalu lama tidak berada dalam negara, pelajar ini sudah banyak tidak tahu apa yang berlaku di Malaysia.

Pelajar pergi ke balai polis untuk menguruskan aduan tentang kehilangan. Polis mengatakan bahawa proses ini lambat. Pelajar tidak dapat menunggu kerana dia masih perlu pulang ke Mesir dalam masa terdekat. Kata pegawai, “kalau hendak cepat boleh, tetapi kenalah bagi duit kopi.”

Pelajar pun menjawab, “oh, kalau macam itu bolehlah.” Si polos ini pun mahu menghulur. Tapi kata pegawai, letakkan di bawah kertas. Dia pun membuat seperti disuruh.

Selesai berurusan pelajar pulang ke rumah dan bercerita pada kakak. Kata adik, “mahal betullah air kopi kat Malaysia ni kak, di Mesir tidak begitu.”

Si kakak yang meruap rasa marah cepat-cepat mengajak kembali ke balai untuk ditunjukkan siapa yang telah melakukan onar kepada seorang pelajar. Si adik bersetuju. Lalu mereka pun tergesa-gesa mahu keluar. Adik masih lagi tidak puas hati bercerita, “itulah punyalah lama tunggu lepas bagi duit kopi tu dan laporan. Tapi kenapa pegawai tu tak bagi duit baki.”

Kakak hairan. Bolehkah duit yang diserah di jalan bawah itu punya baki.

Kakak berhenti kemudian bertanya, “duit baki? Berapa banyak kau bagi pegawai tu?”

“Seringgit. Tapi kopi kan 80 sen je. Kenapa dia tak mau pulangkan lagi 20 sen?”

Si kakak dalam merah marah, jadi merah menggelakkan adik yang polos.

iii.

Kawan percaya bahawa motivasi tidak perlu dari luar. Untuk seseorang itu mempunyai motivasi yang kuat, ia mesti bermula dari dalam. Bagi semua pelajar yang tiada harapan, kita hanya perlu menunggu sesuatu yang berlaku dalam kehidupan mereka. Yang besar-besar seperti batu yang menghempap kepala baru mereka sedar dari lupa.

Satu hari beliau bercerita.

Seorang pelajar yang super genius tapi super malas juga. Setiap kali ada kelas pagi dia tidak akan datang. Kalau pendidik bertanya kawan-kawan akan tolong menjawab, “dia ada kelas TDR 400.”

“TDR 400, tu kursus apa?” tanya saya.

“TIdur 4 jam.”

Saya gelak kerana baharu tahu.

Kata kawan, pelajar ini memang begitu sifatnya. Sia-sia sahaja bercakap atau marah-marah. Dia tetap tidak akan peduli apa. Sehinggalah satu hari berita besar sampai. Ayah pelajar meninggal dunia.

“Owh, lepas tu dia ada kesadaranlah?”

“Tidak juga. Masih juga begitu walau dia anak sulung yang lelaki.”

Saya masih menunggu cerita.

“Kemudian tiba-tiba satu hari, pelajar datang ke bilik. Waktu itu tinggal seminggu lagi akan masuk musim peperiksaan. Pelajar minta supaya disediakan latihan tambahan untuk beliau selesaikan. Walau masih banyak ragu-ragu beri jugalah. Sehari dua pelajar datang kembali dengan seinci latihan yang telah diselesaikan. Pelajar minta supaya disemak dan beri lagi latihan.”

“Pelik juga. Kata lepas ayah dia meninggal tidak jadi apa pun.”

“Betul. Memang pelik. Jadi tanya dia apa yang jadi pada awak ni?”

“Dia pun bercerita. Puan, saya tidak pernah tahu betapa tanggungjawab sebagai lelaki itu sangat besar. Walaupun Ayah saya meninggal, saya tidak pernah rasa apa. Sebab ibu saya masih ada untuk ambil berat tentang semua benda. Sehinggalah satu hari saya diminta ibu dan kakak untuk mewalikan kakak di hari perkahwinannya. Ini tugas lelaki. Ibu saya tidak akan dapat mengganti. Ya Allah. Bila dapat tahu berita tu, baru saya tersedar. Baru rasa tanggungjawab tu terletak kat bahu kiri dan kanan. Subhanallah. Berat betul tanggungjawab sebagai seorang lelaki. Ketika saya menyambut tangan kadi dalam hati penuh air mata. Kalaulah Ayah masih ada.”

Saya membulatkan mata tidak percaya. Begitu tragedi boleh sahaja berlangsung sekelip mata bagi mereka yang Allah pilih.

iv.

Seorang kawan yang saya kagumi pendiriannya pula bercerita. Dia punya syarat aneh-aneh untuk terus berada dalam kelas. Contoh syarat yang aneh itu ialah, siapa yang tidak bersolat tidak boleh berada dalam kelas sehinggalah mereka selesai menunaikan tanggungjawab. Logik dia amat mudah, “kalau awak berani untuk melanggar perintah Allah, apatah lagi arahan saya.”

Saya senyum mendengar. Hanya mereka yang punya kekuatan jiwa dan percaya padu pada Allah sahaja akan berani berkata yang hak dalam dunia tanpa harapan seperti hari ini.

Satu hari beliau masih melakukan peraturan yang sama. Tetapi walaupun begitu, dia masih tahu apa pun yang dia lakukan, bagi mereka yang hidup di zaman ini hanya menganggap ia ugutan yang tidak perlu ambil serius. Tetapi dia tetap juga bersuara.

Pagi itu pagi Jumaat. Kelas bermula pukul 8. Dia pun menyampai pesan dengan nada yang begitu serius.

“Ok, kita akan mula kelas sekejap lagi. Tapi, siapa yang tidak bersolat Subuh lagi tolong keluar ya dan solat di surau atas. Tidak mengapa, kita akan tunggu selama 5 minit.” Dia tidak pernah menyangka apa-apa. Sangka dia, kalau pun ada yang belum lagi bersolat pasti tidak akan mahu mengaku pun.

Tiba-tiba 3 orang pelajar bangun. Salah seorang daripada 3 orang itu baru sahaja pulang dari mengerjakan Umrah dua minggu yang lepas. Mata kawan terbuntang tidak percaya, her jaw dropped.

Saya mendengar pun tidak percaya. Tetapi dapat tahu ada 3 orang berani mengaku bila ditunjukki salah, bangun di hadapan ramai meski malu akan menyerbu, kemudian melangkah keluar untuk benar-benar mendirikan solah dan kembali menadah telinga untuk mendengar ilmu, adalah lebih tidak percaya di minda saya.

Subhanallah.

Di daerah tanpa harapan, masih tetap ada kasih sayang Tuhan yang terjelma dari banyak bentuk dan rupa.

Wednesday, February 15, 2012

Bertemu Kawan Lama

Minggu lepas ialah minggu pertemuan. Dengan kawan-kawan lama yang tidak berjumpa. Tiga hari dengan kumpulan yang berbeza.


Pertemuan, seperti mana pun, biar tidak berjumpa 2 tahun atau 3 tahun yang lalu, rutinnya agak sama. Ditemani teh tarik, kopi, roti canai atau makan tengahari cukup untuk alas perut. Bertukar senyuman, melihat perubahan dan perkembangan. Cerita dan bertukar cerita.


Tapi kali ini ada beza. Selepas bertemu saya mengalami amnesia selama seminggu.


Kawan-kawan saya bercakap mengenai idea dan gagasan. Tentang ilmu dan adab sopan. Itu telah menyebabkan lampu dalam kepala dinyalakan semula. Suis telah dipetik.


Berapa lama saya menjadi statik, walau sepanjang masa saya rasakan diri bergerak?


Rupanya kita mati, bila ruh (soul) kita tidak kemana-mana.


Dunia kita ini begitulah, diciptakan supaya kita disibukkan dengan macam-macam. Dengan macam-macam itulah kita dituntut berdiri di hadapan Tuhan. Soalnya, berani?

Thursday, February 02, 2012

Meraikan Nur - Muhammad Mustafa


MALAM INI


Malam ini air mata basahkan pipi

Mengenang Nabi

Akan aku apakan di hari kelahiran

Benarkah cinta dengan mengingat sahaja?


Walau ku senandungkan puisi

Yang bergema pelusuk dunia

Namun tangan ini

Tidak pernah sekali

Terguris waqlau luka kecil

Mempertahankan mu


Di sana dengan apa yang akan ku bawa

Untuk membukti bahawa ku punya cinta

Seluruh sukma kasihkan yang terpuji

dengan apa? dengan apa?


Kubah hijau yang menghantar pulang

Di hening malam-malam Muharram

adakah kau lihatku?

dan sudi membimbing

jalan yang lurus?


Malam ini mata basahkan pipi

Tanganku masih bersih

Tanpa parut luka

Dengan bekal apa akan ku bawa?

Benarkah dalam hati ada cinta?




Awan nano


Awan nano. Kata kawan ia adalah awan yang melindungi dari panas mentari. Kata Hafiz AF, seperti kasih seorang ayah yang menaungi anak dari kesedihan.


Saya terkenangkan Rasulullah.


Waktu kecil baginda dilindungi awan ketika menemani pakcik pergi berdagang. Awan nanokah itu? Kerana awan itulah yang mendorong pendeta menjemput kafilah dagang Abu Talib untuk dijamu makan. Kerana pendeta itu arif dengan tanda kenabian.


Awan pun kenal dengan Nabinya meski baginda masih terlalu kecil. Kita ini bagaimana?


Dan kalau Nabi ada di zaman ini, akankah kita lindungi Nabi seperti awan nano?