Saturday, April 28, 2012

Demonstrasi waktu Subuh

"Pernah seorang penguasa Yahudi menyatakan bahawa mereka tidak takut dengan orang Islam kecuali satu hal, yakni apabila jumlah jemaah solat Subuh menyamai jumlah jemaah solat Jumaat."   

Bila akan berlaku yang demikian? Saya tidak tahu. Sepanjang umur setakat hari ini saya belum pernah melihat ruang demo terbuka, percuma, bebas, tidak akan diganggu penguasa di masjid pada waktu Subuh digunakan massa sepenuhnya. Yang berbondong-bondong orang keluar menyatakan solidariti terhadap yang lebih berhak, untuk ketuanan Allah yang Maha Esa. Belum pernah lagi di Malaysia. Saya tidak tahu kalau di negara lain ada, jika ada Alhamdulillah. Sekurang-kurangnya ada negara yang telah mempersiapkan tentera jihad dan syahid yang diperlukan, jika musuh datang menyerang.   

Pernyataan solat Subuh dan perlambangan dengan kekuatan umat itu dipetik dari buku 'Misteri Solat Subuh' dari Dr. Raghib al-Sirjani yang saya ambil dari buki Bila Beduk Diketuk (penulis Pahrol Mohd Juoi).   

Kenapa Subuh? Dalam setting massa hari ini saya nampak perkaitannya yang sangat signifikan. Samada kita ambil tahu atau tidak peduli, Malaysia masa kini dihadapkan dengan rancu pemikiran. Pertembungan antara golongan liberal dan agama satu lapis. Pertembungan antara agama satu lapis. Pertembungan mazhab (inter faith) keadaan lain yang dilihat sedang bergolak tinggal untuk mendidih. Masing-masing merasa elit dalam kalangan sendiri dan menyatakan kebenaran ada dalam mereka.   

Peduli atau tidak, ia berlaku.   

Orang cerdik pandai menempelak sebahagian amalan tradisi berakar umbi dalam masyarakat Melayu sebagai bidaah. Orang muda kita bergerak meneriakkan kebebasan untuk perkara yang kita tidak pernah fikirkan pun akan berlaku seperti LGBT.   

Kerana itu demonstrasi Subuh itu sangat signifikan.   

Kenapa Subuh? Subuh adalah waktu pertentangan dan perlawanan. Kerana pelakunya perlu meninggalkan nikmat tidur. Berperang dengan kesejukkan air. Apatah lagi perlu bergerak ke masjid dalam kegelapan. Ia adalah perlambangan juang untuk meninggalkan apa yang disukai nafsu untuk menyatakan komitmen pada Sang Penguasa yang tidak dapat dilihat dan tidak pula kita tahu bagaimana Dia akan memberi reward. Kalau kita nampak semuanya, senang.   

Subuh adalah penyataan iman. Juga penyataan kesatuan. Yang dua-dua itu ditakuti musuh.   

Saya lihat Subuh di satu sudut lain. Ia istimewa kerana ia waktu solat yang dimiliki semua. Solat-solat lain boleh diinterpretasi cara berbeza antara mazhab. Tetapi tidak Subuh. Ia hanya satu waktu dan singkat. Ummat mesti berusaha untuk menunaikan pada waktu. Jika tidak akan terlajak. Dan bila ramai-ramai boleh berjemaah bersama, maksudnya Yahudi tahu ummat Islam telah bersatu.   

Bagaimana?   

Mudah. Kerana Subuh itu berbeza cara melaksanakannya. Ada yang bersetuju Qunut ada yang tidak. Ada yang bersetuju doa selepas solat ada yang tidak. Tetapi jika semua boleh meletakkan perbezaan ini ketepi, menunaikan solat secara bersama, setiap hari berbondong-bondong pada waktu Subuh bayangkan.  

Indikatornya, ummat sudah bersatu. Allah telah mengikat hati-hati orang beriman dengan semangat untuk KeEsaan Allah yang Maha Tunggal. Ummat telah menyatakan bahawa tiada kesenangan lain yang lebih manis selain dari tunduk dan sujud. Walau terpaksa meninggalkan selimut, katil dan pasangan. Walau terpaksa berkesejukkan. Walau terpaksa berimam dengan imam yang berlainan mazhab. Itu.   


Hari ini lakaran sejarahnya ialah 28 April 2012. Walau kita peduli atau tidak, gelombang kuning Bersih 3.0 sedang bergerak. Untuk menuntut pilihanraya yang adil dan bersih.   

Satu hari saya bertanya pada seorang pemuda. Apa ertinya solidariti dan gerakan yang diperjuangkan. Dia bercerita banyak benda sehinggalah saya bertanya tentang motif, dan bagaimana motif itu ditimbulkan. Kata dia, idea itu kadangkala bermula dari kedai kopi, sembang kencang. Kemudian diapi-api.   

Demo ditempat aman dan terbuka ada. Di masjid di waktu Subuh. Itu solidariti di mata saya. Itu solidariti dicari ummat. Itu solidariti yang ditakuti musuh.   

Kadangkala saya berfikir, kita mencari sensasi dan retorik. Dan itu kita akan rakamkan dalam catatan sejarah. Tapi ia akan jadi pemandangan yang sangat sensasi, jika gerakkan massa apa pun motifnya, bermula dari masjid waktu Subuh. Berbondong-bondong usai solat jemaah kemudian berjuang apa yang kita mahu perjuangkan!   

Subhanallah. Semoga Allah menyelamatkan kita semua.

Thursday, April 26, 2012

Jangan takut susah-2

Siapa yang tidak lelah? Mungkin orang yang sangat kaya yang tidak mempunyai masalah apa pun. Satu masa saya jeritkan juga segala tekanan yang ada. Tetapi untuk kawan-kawan sahaja yang mendengar. Ya, jeritkan pada sistem, siapa kita untuk melawan apatah lagi duduk dan bantah.

Satu hari ketika mentor yang paling saya hormati datang, saya mulakan penceritaan lelah saya. "Saya penat Prof untuk buat segala serbi". Saja jejerkan apa yang terbuku dan yang berat di bahu.

Prof memandang saya penuh terhibur. Agaknya. Si kecil ini masih lagi anak kecil tidak kira sepuluh tahun lalu, atau masa sekarang ini. Prof memandang saya penuh minat dan kemudian bersuara, "apalah yang disibukkan sangat oleh Asal ini."

Noktah.

Saya tahu muka saya diserbu merah. Saya kehilangan kata. Pengaduan tidak memberi apa-apa makna pun. Malu. Yup, saya malu kerana mengadu. Baru saya teringat cerita beliau yang berkhemah di lereng bukit untuk mencerap data dan masuk ke kampung untuk mencari pisang goreng sebagai alas perut!

Saya kenal Prof dulu hanya seorang En. Dalam tempoh hanya sepuluh tahun, beliau sudah mengumpul turutan gelar di depan nama, Profesor, Sr. Ir. Dr. dan tentu Haji. Hanya sahaja negara tidak mengenali jasa beliau kurnian Dato/Tan Sri belum diberi lagi. Dan beliau masih lagi relatif muda.

Model Ulul Albab kalau saya mahu bercerita adalah dia, bukan orang lain.

Walaupun Prof tidak bercerita, saya tahu antara formula kejayaan ialah, jangan takut susah. Kerana sepanjang masa bergelut dengan kesusahan, beliau tidak pernah tahu pun apa itu senang, apa itu senggang. Celah masa beliau adalah membaca. Sirf. Sibuk macamana pun, pasti ada ruang untuk membaca, pasti ada ruang untuk melatih orang lain.

Apa pun polisi yang beliau akan kuatkuasakan, Prof akan jadi pendahulu. Si perintis jalan. The pioneer. Jadi susah itu Prof yang akan rasai dahulu. 

Insaf. Saya selalu insaf kalau dapat berjumpa Prof. Tinggal lagi saya tahu belum begitu kuat. Tinggal lagi kerana sudah lama berada dalam zon selamat, untuk mengharungi onak dan duri bukan lagi pilihan.  

Astaghfirullah.

Satu hari saya membayangkan berjumpa Rasulullah, dengan air mata yang berjurai cerita segala kepahitan dan segala duka lara. Saya tahu Rasulullah akan memujuk dan mengamankan jiwa, tetapi tegarkah untuk saya mengadu. Kesusahan yang manakah yang dialami melebihi apa yang dirasa Nabi?

Kita masih belum perlu mengikat perut dengan tali dan batu guna untuk menahan lapar. Kita masih belum merasa darah mengalir dari asakan musuh di medan perang. Juga tidak perlu berjemur di tengah padang pasir untuk berhijrah dari Mekah ke Madinah, merasa dimusuhi lawan dan dikhianati kawan.

Pada suatu ketika baginda menjadi imam solat. Dilihat oleh para sahabat, pergerakan baginda antara satu rukun ke satu rukun yang lain amat sukar sekali. Dan mereka mendengar bunyi menggerutup seolah-olah sendi-sendi pada tubuh baginda yang mulia itu bergeser antara satu sama lain. Sayidina Umar yang tidak tahan melihat keadaan baginda itu langsung bertanya setelah selesai bersembahyang,

"Ya Rasulullah, kami melihat seolah-olah tuan menanggung penderitaan yang amat berat, tuan sakitkah ya Rasulullah?"

"Tidak, ya Umar. Alhamdulillah, aku sihat dan segar."

"Ya Rasulullah, mengapa setiap kali tuan menggerakkan tubuh, kami mendengar seolah-olah sendi bergeselan di tubuh tuan? Kami yakin engkau sedang sakit." Desak Umar penuh cemas.

Akhirnya Rasulullah mengangkat jubahnya. Para sahabat amat terkejut. Perut baginda yang kempis, kelihatan dililiti sehelai kain yang berisi batu kerikil, buat menahan rasa lapar baginda. Batu-batu kecil itulah yang menimbulkan bunyi-bunyi halus setiap kali bergeraknya tubuh baginda.

Ya Rasulullah! Adakah bila tuan menyatakan lapar dan tidak punya makanan kami tidak akan mendapatkannya buat tuan?"

Lalu baginda menjawab dengan lembut, "Tidak sahabatku. Aku tahu, apa pun akan engkau korbankan demi Rasulmu. Tetapi nanti, apakah akan aku jawab di hadapan Allah nanti, apabila aku sebagai pemimpin, menjadi beban kepada umatnya?"

"Biarlah kelaparan ini sebagai hadiah ALLAH buatku, agar umatku kelak tidak ada yang kelaparan di dunia ini lebih-lebih lagi tiada yang kelaparan di Akhirat kelak".

Susah itu sunnah. Bukan untuk ditakuti tapi untuk mempelajari. Ia tidak melemahkan sesiapa malah mengajar untuk lebih kuat untuk kebaikkan sejagat. Kata Nabi, ia adalah hadiah yang boleh kita persembahkan kepada ALLAH. 

Rasulullah pasti akan memujuk dengan mengucapkan kata-kata supaya bersabar. Dan kemudian menyiram jiwa dengan semangat jihad, sehingga akhir nanti kami akan bertemu di telaga Haud.

(Cerita dipetik dari laman muka buku dan gambar dari Al Miskeenah)

Wednesday, April 25, 2012

Jangan Takut Susah

Generasi sekarang adalah generasi atas talian (termasuk saya). Kita tidak lagi menulis menggunakan pensil/pen tetapi keyboard. Dan satu masa keyboard juga akan ditinggalkan bila kita cuma akan menggunakan touch screen keyboard.

Maklumat tidak didapati lagi dalam buku. Sebaliknya google dan wikipedia. Segala aktiviti yang menggerakkan otot dan sel otak, akan terasa begitu susah. Sehinggakan pada satu waktu, orang yang terpelajar juga pernah bertanya soalan yang dia tidak tahu jawab begini, "soalan ini perlu fikir eh?"

Aktiviti menggerak otot dan otak telah dilihat seperti perlunya menekan suiz. Kena beri makluman dan notis awal, "soalan-soalan berikut adalah perlu kepada janaan pemikiran. Sila on suiz berfikir anda".

Ya kelemahan kita sudah berada ditahap disable (mungkin). Satu masa generasi umat manusia mungkin jadi sama seperti cerita Wall E. Kesenangan berada di kerusi, tanpa perlu menggerakkan apa-apa.

Apa perlunya orang lama persuratan kita menulis, 

Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ketepian
Bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian?

Dan sepanjang hidup kita ini, adakah menunggu Ibn Sina, Ibn Bajjah, Jabbir Al Khayyan, Ar Razi akan jadi seperti pungguk rindukan bulan? Bulan tidak akan turun, dan pungguk akan terus berada di atas pokok.

Satu kesimpulan, kita terlalu takut untuk berada dalam keadaan susah. Kalau membaca pun bagi kebanyakkan dari kita merasakan ia aktiviti susah, malah super susah. Sedang janji Allah dalam Al Quran mengatakan, kita boleh menembusi langit, menembusi bumi dengan satu syarat iaitu dengan kekuatan (Ar Rahman: 33). Kita itu adalah sesiapa pun, tidak kira jin atau manusia. Tidak kira Islam atau kafir. Tawaran terbuka, umat Islam baca, tetapi kita tidak mengambil iktibar pun.

Kekuatan zaman ini tidak lagi ditafsirkan sebagai upaya fizikal. Tetapi penguasaan ilmu. Mereka yang menguasai teknologi atom, telah memanfaatkan untuk janaan elektrik yang murah dan mesra alam. Mereka yang menguasai teknologi kejuruteraan, telah membolehkan negara sentiasa selamat meskipun berada di bawah paras laut. Mereka yang memahami magnetik telah berupaya membina keretapi elektrik selaju peluru untuk dimanfaatkan oleh rakyat sendiri.


Mereka yang melopori ilmu social networking telah menakluk kita dengan laman muka buku, yang sehari tidak bererti jika tidak berpatisipasi!

Hari ini janji, saya tidak akan takut susah lagi. Kerana esok, saya tidak ada jawapan bila giliran saya disoal Tuhan!

Saya mahu kuat dan diberi kekuatan, marilah kita berdoa dengan doa berikut,

"Ya Tuhanku, masukkanlah aku ke tempat masuk yang benar dan keluarkanlah aku ke tempat keluar yang benar, dan berikanlah kepadaku dari sisi-Mu kekuatan yang menolongku".
(Al Israa:80)

Allahumma yassir wala tu'assir, rabbi tammin bil khair.




Tuesday, April 24, 2012

Selalu ada dalam sukma


Aku selalu menyebut namamu, dalam rindu
Dalam cerita-cerita, kau selalu ada
Biar jauh beribu-ribu batu, bila dipanggil datang, tetap datang

Kenalilah daku
Si fakir miskin segala, serba
Tidak punya apa-apa
Kecuali namamu dalam sukma

Allahumma solli ala Muhammad wa ala ali Muhammad

Monday, April 23, 2012

Keadilan dan Kesetaraan


Saya mencari keadilan di tiga negeri, Ahad lalu. Dari Port Dickson, Negeri Sembilan - Kuala Lumpur - Pahang. Tetapi tidak berjumpa.

Di Port Dickson saya ditempatkan di Avillion Admiral Cove, tempat berlabuhnya kapal-kapal mewah. Mungkin sebahagian besarnya bukan milik rakyat tempatan. Tetapi pelancong luar yang berjalan-jalan melalui pengangkutan laut. Berapa harga parking untuk satu hari? Jangan tanya, kerana sama seperti awak juga, cuma mampu memandang. Menghargai keindahan kapal dengan kejuruteraan tahap tinggi, keseimbangan, estitika dan berangan menjadi pelaut. Merentas samudera seperti pengembara hebat, Marco Polo dan Ibn Batutah.  

Tetapi saya tahu, ia hanya mimpi jika saya membayangkan penghuni-penghuni kapal ada membicarakan tentang keadilan. Apatah lagi kesetaraan.

Orang-orang mewah yang memegang kuasa, adakah mereka ada fikir tentang keadilan? Adakah mereka juga dizalimi dan ditindas?


Tengahari saya sudah bergerak ke KL. Berkira-kira agar dapat turut serta dalam Forum Islam: Keadilan dan Kesetaraan. Dari Port Dickson jam 12.40 tengahari, rupanya pemandu saya sangat cekap. Sehingga boleh sampai di daerah Bangi jam 1.20 pm. Saya meminta ihsan supaya dapat dihantar ke KL Sentral, tapi oleh kerana pemandu bukan orang KL, saya sesat barat di Jalan Imbi. Ambil keputusan untuk turun, naik monorel ke KL Sentral. Naik teksi menuju muzium Kesenian Islam.

Kata pemandu teksi, muzium tersebut dekat sahaja. Hanya di belakang bangunan stesen keretapi Kuala Lumpur. Tetapi oleh kerana jalan KL yang selalu jem, kami perlu membuat pusingan U sebelum sampai. Kata pemandu, kadangkala kami perlu membayar lebih untuk minyak kerana jalan yang ditutup.

Mujur forum hanya bermula jam 2.30 pm. Itu pun semput mendaki bukit untuk sampai ke auditorium. Pusingan pertama hampa, pusingan kedua juga hampa. Panel bukan calang-calang orang. Mereka mempunyai kelayakkan dalam bidang theologi dan sosiologi. Mempunyai authoriti untuk bersuara. Tetapi apa yang saya cari ketika berjuang untuk hadir ke forum ini, saya tidak jumpa.

Saya datang dengan menyakini bahawa Islam adalah agama keadilan. Islam dapat menawarkan erti adil dari sudut teoris dan juga praktikal. Saya datang dengan percaya dalam dada slogan "rahmatan lil alamin", Islam agama rahmat untuk sekelian alam. Bukan setakat manusia Islam, yang bukan Islam, yang tiada agama. Bukan sekadar manusia,  jin, juga haiwan, alam tumbuh-tumbuhan malah lebih jauh dari itu untuk aturan kosmos. 

Itu saya percaya dalam dada.
  
Seorang panel mencadangkan satu idea bahawa adil dalam teori ada. Diperbincang secara panjang lebar. Diperhalusi dan diperincikan. Tetapi tuntas menyebut untuk aplikasi dalam kehidupan hari-hari belum tentu boleh berlaku.

Aneh. Kami tidak jumpa titik temu tentang keadilan dan kesetaraan dalam Islam. Tidak jumpa titik temu untuk teoris dan pragmatis.

Saya balik ke Pahang dalam dada tidak percaya, Islam yang saya percaya penyelesai masalah untuk segalanya sepertinya tidak menawarkan apa-apa.

Tetapi saya mempercayai, tawaran dari seorang panel forum, kayu ukurnya ada. Apa pun kita lakukan, kayu ukurnya ialah ketaqwaan. Itu nilaian paling adil tiada tawar menawar yang digariskan dalam Al Quran.

Tentang ras, kemewahan, rupa, suara yang lunak tiada nilainya di sisi Allah, kecuali taqwa. Tetapi perlu diingat dengan ras, kemewahan, rupa, suara perlu digunakan semaksima untuk mencapai taqwa.

Saya harap nanti boleh hadir ke konsert Sami Yusuf. Sami Yusuf yang handsome, kaya, suara lunak, genius muzik, dari ras yang baik-baik tetapi tetap bila mengingat beliau dan lagu-lagu hanya membawa satu. Cinta pada Allah dan RasulNya.   

Saturday, April 21, 2012

Celah Masa

Selama beralasan sibuk, padahal hakikatnya lapang, saya tidak pernah berhasil menulis apa-apa. Baik di dalam blog mahupun penulisan akademik.

Akhirnya saya berdamai dengan situasi. Sibuk dalam kerja saya bukan pilihan. Ia selalu begitu. Saya berdamai dengan bersyukur atas kesibukan yang ada. Berdamai dengan mengatakan apa yang saya lakukan adalah jalan yang Allah buka untuk membolehkan kami membantu orang lain. Untuk menambah ilmu dan pengalaman. Untuk berkongsi apa yang boleh dimanfaat. 

Berdamai dengan sedar bahawa keadaan ini menunjukkan saya berfungsi. Walau di tekan ke tahap maksima. Sekurang-kurangnya masa terisi dari tersia.

Aneh. Dengan begini sahaja, setiap hari saya boleh bertemu awak di sini.

Di celah masa, Allah selalu boleh memanjangkannya, andai sahaja kita ikhlas dan berusaha.

Friday, April 20, 2012

Mimpi 2


Bila sahabat saya Ieka respon pada entri mimpi, dan menceritakan bagaimana mimpi-mimpi terhadap Mekkah selalunya berakhir dengan realiti. Catatan Ieka seperti berikut:

"saya pernah bermimpi berdiri seorang diri tanpa keluarga memakai telekung di atas sebuah bukit berdekatan sebuah pelabuhan. ada suara berkata di situlah tempat org berlabuh utk dtg ke Mekah dulu. Setahun lebih selepas itu saya pergi ke sana sewaktu masih bergelar pelajar, tak punya duit dan tidak bersama keluarga, sebaliknya bersama rakan2 seperjuangan. Pelik, tapi benar.."

Beberapa tahun kemudian saya bermimpi tidur di Masjidil Haram bersama suami saya sehingga masuk waktu subuh bersama jemaah yang sgt ramai. Sedangkan saya tidak ada sesiapa utk berkahwin waktu itu. 4-5 tahun kemudian saya pergi ke sana bersama suami saya."

Saya jadi terpanggil untuk berkongsi lagi tentang mimpi. Barangkali boleh beri kebaikan orang yang mencari erti mengenai visual yang dipaparkan waktu tidur, semasa tubuh tidak berfungsi.

Ada 3 jenis mimpi.

1. Satu datang dari Allah, iaitu mimpi-mimpi yang baik. Dalam banyak hadis, Rasulullah selalu menggalakkan sahabat untuk bercerita tentang mimpi yang sahabat perolehi ketika tidur. Terutama yang baik-baik. Kemudian sahabat akan bercerita, Rasulullah akan mentafsir mimpi mereka. Dalam buku yang dibaca, laungan azan pertama sekali dilaungkan di Masjid Nabawi sewaktu Rasulullah masih di kalangan umat, juga datang dari mimpi sahabat.

2. Dua mimpi buruk. Mimpi buruk datang dari bisikan syaitan dan mungkin ada orang berniat jahat. Jika bermimpi dan terjaga, bangun sambil meludah di sisi kiri. Meludah ini dengan isyarat sahaja bukan perlu buat betul-betul. Kadang-kadang sihir juga dihantar melalui mimpi. Ada suami diberi gambaran isteri berlaku curang berulang-ulang ketika tidur. Atau sebaliknya. Peristiwa ini akan menjadi impak dan kesan yang sangat besar di alam realiti, sehingga mereka percaya ia benar-benar berlaku. Kemudian berlaku perpisahan antara suami isteri, yang sangka kita tidak serius bahkan mengundang bahaya lebih besar.

Sihir untuk memisahkan antara suami dan isteri ini bukan asing. Dalam Al Quran juga beri peringatan bahawa akan ada pihak-pihak yang akan menggunakan kaedah ini untuk meruntuhkan rumahtangga. Tentu datangnya dari orang yang dengki.

3. Tiga mimpi dari kehendak diri. Biasanya ia mimpi dari keinginan yang sangat-sangat tetapi belum tercapai. Umpama seorang pelajar lepasan SPM yang bermimpi masuk Universiti. Tetapi setelah pengumuman kemasukkan tidak dapat. Jadi bayangan masuk universiti dijelmakan dalam mimpi, sehingga dia rasa lega setelah bangun dari tidur. Kerana dia betul-betul rasa telah berlaku. Allah telah memberi keamanan pada dia untuk hasrat yang tak kesampaian. Namun saya percaya, kalau dia berusaha, lambat laun cita-cita masuk universiti itu akan tercapai jua.

Apa pun bentuk mimpi, tidak satu pun kejadiannya sia-sia. 

Dan mimpi yang paling baik tetaplah bertemu Allah, kemudian Rasulullah dan ibu bapa yang muslim.

Tentang ini saya teringat tentang seorang sahabat. Begitu besar kecintaan beliau terhadap Ayah. Penuh, selalu penuh. Setiap kali dia bercerita tentang Ayah, saya selalu terfikir andai Ayah saya juga begitu. Penuh dengan kata-kata, dan tempat kami mengadu. Tapi Ayah saya lain, beliau berkata-kata dengan tindakan dan kasih sayang dari doa dan pengharapan.

Kemudian Ayah sahabat saya ini dijemput panggil Tuhan. Dan saya tidak pernah membayangkan betapa impak yang sangat-sangat mencengkam akan terjadi pada sahabat. Saya tahu seluruh tubuh, hati, jiwa dan minda mencerminkan kekecewaan dan kesunyian. Di tubuhnya hanya ada satu bahasa, kerinduan. Kerana Ayah sahabat selalu menjadi sentral dalam kehidupan. Pada setiap perkara akan dimohon pendapat untuk keputusan, di mana-mana pun sahabat berada. Biar beribu batu terpisah, selalu dekat untuk apa pun. 

Tetapi Allah itu Maha Adil dan Sempurna ciptaanNya. Dipanggil sahabat menunaikan Haji. Kerinduan yang ada tetap bersarang. Malah dalam diri sahabat, Ayahanda di mana-mana. Dalam doa, ketika tawaf, saei. Arafah, Mudzdalifah, Mina, Haram. Di mana-mana.

Allah itu Maha Cantik CiptaanNya. Di datangkan kepada sahabat Ayahandanya dalam mimpi. Ketika di Makkah. Dan Ayah sedang berihram di Tanah Haram! 

Subhanallah. Mimpi yang baik adalah mimpikan ibu bapa muslim. Dan tentu mimpi itu sangat-sangat baik, kerana Ayah sahabat sedang perkaian ihram di Mekah! Dan yang lebih indah, sahabat bukan bermimpi sekali, mungkin lebih dari dua kali. Semua mimpi itu berlangsung di Mekah. Subhanallah.

Akhirnya saya menjawab komen Ieka seperti ini,

"Saya suka mendengar cerita mengenai mimipi. Kalau kawan-kawan bercerita saya akan bersedia mendengar. Mimpi tentang Mekah, saya anggap anugerah. Tidak pernah terlintas akan dijemput. Bukan setakat sampai di Mekah, apa-apa sahaja tentang Mekah, insyaAllah menjadi realiti.

Saya pernah mimpi mencium (menghidu?) wangian yang datang dari seseorang. Dalam mimpi saya memuji, "Wanginya." Dalam mimpi rakan saya menjawab, "Ini wangian dari Mekah." Bangun dari tidur, saya masih dapat menghidu wangian yang masih tersisa dari mimpi.

Selepas dari Haji, saya menghadiahkan dia beberapa hadiah termasuk minyak wangi tanpa berfikir apa pun tentang mimpi. Sekarang saya dapat menghidu wangian Mekah hari-hari (sendiri pakai selagi minyak wangi tak habis :) Yang aneh, saya baru teringat tentang hal ini beberapa minggu yang lalu."

Ada apa tentang mimpi?
 
Bagi saya ia adalah simpanan realiti, yang Allah kurniakan untuk kita lebih bersedia, lebih redha.

Thursday, April 19, 2012

Api Panas tidak Semestinya Membakar

i.
Di musim keputusan SPM diumumkan, yang dirai ialah mereka yang mengumpul banyak A. Ada lebih 10,000 pelajar mendapat semua A. Mereka adalah pelajar berpontensi untuk ke Universiti. Universiti kini sebagai gedung keramat untuk mendapatkan pekerjaan baik untuk mengubah nasib keluarga. A itu telah dilihat sebagai dewa.

Saya hanya cuma baru tahu, seorang teman yang sangat cemerlang pencapaian akademik membuka cerita. Pada suatu masa ketika keputusan peperiksaan besar diumumkan, dia tidak mendapat semua A. Dapat masuk ke sekolah asrama atas panggilan entah ke berapa. Tiada siapa pernah peduli dia seorang yang punya potensi. Sehingga satu hari teman sekelas memandang dengan sebelah mata bertanya, "kau ni bodoh kan?"

Kalimah itu pada dirinya seperti api. Seperti ada minyak yang disiram kemudian membakar dari dalam. Tentu, dia menangis dan mengadu pada ibu bapa. Tetapi selepas itu dia terus memecut dan meninggal semua orang dibelakang. Hari ini dia adalah seseorang, yang cakapnya perlu didengar orang.

ii.
Semua orang takut gagal. Terutama dalam peperiksaan Universiti. Itu tandanya dia perlu mengulang. Dan mengulang mengundang senarai panjang tentang cabaran dan dugaan. 

Ditinggal kawan-kawan. Tambahan jam kredit. Tidak dibenarkan mengambil kursus semasa. Perlu membuat benda yang sama sekali lagi. Itu api yang membakar.

Tetapi kenapa perlu dilihat dari sudut itu? Bukankah ia satu petanda kita masih belum faham. Ada kelemahan diri yang perlu dibaiki. Ada kemahiran lain yang perlu ditingkatkan semula. Mengulang bukan azab, malah satu cara untuk jadi lebih baik. 

Kalau mengulang itu kurang baik, kenapa ketika di gua Hira', Jibrail membacakan Iqra' sehingga tiga kali?


iii.
Api tidak semestinya panas. Seperti kayu gaharu, jika tidak dibakar siapa tahu ianya wangi? Jika tidak diuji, siapa tahu jauh mana kita boleh pergi? 

Seperti matahari, ia api yang membakar tetapi pada masa yang sama menerangi dan membekalkan energi untuk semua orang dapat berbakti :)


Wednesday, April 18, 2012

Kita pun Boleh

Saya tidak menyembunyikan kekaguman saya kepada Prof Mohd Kamil dalam beberapa entri kebelakangan ini. Meski dalam waktu kemunculan dan popular yang sangat mendadak saya masih punya pandangan sedikit skeptikal. Walau kawan-kawan meletakkan buku travelog Haji Mengubah Sempadan Iman di meja, saya tidak terpanggil untuk menyentuh ataupun membaca.



Sehinggalah saya menjadi pembaca entri Prof kebelakangan ini. Tentang penghidupan seorang manusia biasa di Madinah. Bila mana seorang manusia dijemput tinggal berjiran di tanah Madinah yang begitu luar biasa, saya tahu Prof Kamil orang yang terpilih. Dan blog dia yang sentiasa memanggil orang untuk membaca, kemudian menghayati dan terpanggil untuk sama membuat kebaikkan. Ya, sebagai manusia yang memerhati, saya tahu Prof adalah manusia terpilih.

Setiap hari ketika membuka blog, saya berdoa Prof Kamil diberi hidayah dan istiqamah.

Yang membuat saya tersentuh ialah kerana Prof Kamil bukan orang agama. Malah dia secara terbuka mengakui kejahilan waktu muda. Bagaimana seorang yang berkedudukan paling tinggi dalam satu kampus sanggup mengaku bahawa dia tidak tahu mengaji? Berapa besar tembok ego yang perlu diruntuhkan? Ia tentu satu jihad yang getir. 

Prof bukan orang agama, malah jahil di waktu mudanya. Namun dengan sebuah buku dia mampu mengajak masyarakat untuk mengubah persepsi tentang Haji. Ramai yang terpanggil dan dimotivasi dengan hanya membaca buku, malah ramai lagi yang mendapat manfaat mendengar ceramahnya.

Ya dia orang biasa, bukan ahli dalam bidang agama. Berjaya meninggalkan impak yang bukan kecil anak. Juga lebih besar dari bapa.

Prof Kamil membuat saya percaya, kita pun boleh. Sekurang-kurangnya keluar dari lingkungan selesa kehidupan, dan mula berdakwah dengan cara apa yang kita boleh lakukan. Allah tidak akan memaksa untuk kita perbuat di luar kemampuan, tetapi Allah tetap akan bertanya "apa yang telah kamu lakukan?"

Usaha itu perlu bergerak dari kemahuan. Kita tidak berniat diberi ganjaran, tetapi mohonlah diberi pengampunan. Moga usaha amal, kebajukan yang ikhlas, menjadi penebus dosa-dosa lampau.

Kita boleh dengan syarat percaya. Kita boleh dengan syarat mula melangkah. Kita boleh dengan berpesan-pesan setiap hari.

Untuk menjadi manusia terpilih, juga ada syarat kasualiti yang perlu dipenuhi. Allah memandang, dan mulalah memandangNya kembali! 





Tuesday, April 17, 2012

Mendidik Jiwa


Nasyid ini sedia dipasang dalam kereta kawan setiap kali pergi ke tempat kerja. Ia dendangan indah Mohammed Obaid. Entah kenapa setiap kali pun kaset melagukan, hati disampuk sayu. Meski kami tidak tahu apa ertinya. Melodinya sahaja membuat diri terbuai entah ke mana.

Satu hari rakan memberikan link untuk memahami erti disebalik bait-bait Syair Imam Syafei. Ia telah menjemput derai air mata tiada berpenghujung. Andai ia adalah doa berpengharapan seorang Imam, maka kita ini bagaimana patut lantunan doanya?

Bila sempat membuka YouTube ini dan menghayati makna, saya kehilangan kata. Setiap satu bait pun menghiris kerana mengenang diri begitu cela dan berdosa. Imam pendiri mazhab yang ramai sekali jemaah yang berdiri di belakangnya merasa begitu kerdil ketika bermunajat. Diulang-ulang dirinya yang membuat salah, mengharap pengampunan meski Imam tahu dia akan mengulangi dosa yang sama.

Ya, Imam mencirikan sisi manusia yang sebenar. Yang jarang sekali kita cerminkan diri kerana zaman yang menyibukkan. Allah. Andai saya juga dapat menulis bait seperti ini. Andai.

Tempat kerja saya begitu jauh. Kurang lebih 40km perjalanan sehala. Setiap kali pun kami akan melalui sebuah tanah perkuburan. Yang begitu kemas dijaga dan dipelihara. Apa pun orang kata, saya tetap suka menjalani jalan ini. Ia membawa ingatan bahawa sebentar nanti saya akan pulang ke rumah kekal di dalam tanah, sebelum kembali ke negeri abadi. Sekurang-kurangnya dua kali sehari, saya akan mengucap salam kepada 'Kuburian'. Moga umat yang berada dalamnya mendengar saya, dan mendoakan saya pula.

Kali ini tentu, jika melalui jalan kuburan ini dan syair Ilaika Imam Syafei berkumandang, saya tahu air mata akan laju berlinangan.




Monday, April 16, 2012

Soal Hati



Di Madinah, saya diajarkan kembali sebuah doa dengan makna, "Wahai Tuhan yang membolak balik hati, perteguhkan hati kami atas agama dan ketaatan padaMu." Kata mutawif muda, ini doa yang diamalkan ulama-ulama yang tidak disangkal amal dan ibadah mereka. Mereka yang begitu teguh iman juga berdoa.

Sepanjang perjalanan melawat bandar Nabi saya bertanya, "kenapa kita perlu ada doa khas untuk hati, tetapi bukan untuk otak dan anggota lain pada badan?"

Soal ini dijawab rakan pandai ekonomi dengan panjang lebar. Kata dia, "hati adalah satu organ paling aneh dalam tubuh badan manusia. Bila ahli sains perubatan mengkaji, semua anggota dan organ badan akan di saling hubung dengan saraf sehingga bersambung ke otak. Tapi hati lain, ia tidak punya sambungan ke otak."

Saya menjengilkan mata tidak percaya. "Jadi siapa yang kontrol hati?"

"Ya tiada jawapan lain, melainkan Pemiliknya."

Saya ada masalah hati. Bukan, bukan masalah kesihatan. Masalahnya hati saya tidak sejalan dengan apa yang saya fikirkan. Ada banyak kejadian yang dapat saya kesani. Banyak konflik yang berlaku dalam tubuh badan sendiri. Apa yang logik diterima akal fikiran saya selalu disangkal hati. Bila saya kata mustahil, hati tidak pernah peduli. Dia akan perbuat apa yang dia mahu buat. Meski yang aneh-aneh.  

Lama sudah saya berfikir. Komik di atas membuat saya sedar. Bahawa hati aneh bukan kerana ia aneh, kerana ia sudah ada pemilik. Doa itu juga perlu diulang setiap hari, moga diperteguhkan dengan ketundukan.

Sunday, April 15, 2012

Berkat 3.0

Masih lagi bertanya benda yang sama. Tentang berkat. Jika ada satu benda, benda itu memberi kebaikkan berganda-ganda, itulah berkat.

Soal 1.0 - Gaji
Kawan-kawan kata perlu gaji yang banyak baru kita boleh melakukan sedekah dan membuat kebajikan. Betul? Ramai percaya benda yang sama. Tapi setelah membaca artikel, seorang pekerja am, pengutip sampah yang mempunyai keluarga ramai. Sebelah malam bekerja sebagai jaga untuk menampung keperluan rumah. Tetapi ketika sudah sampai waktu, beliau tetap membayar zakat walau pihak zakat kata beliau tidak perlu. Gaji yang terlalu rendah, tidak layak sebagai pembayar zakat fitrah. Tetapi beliau tetap memberi.
Berkat?

Soal 2.0 - Masa
Orang jarang kaitkan berkat dengan masa. Ramai orang mahu kaitkan berkat itu langsung dengan rezeki. Sedang rezeki tu pelbagai. Termasuk punya masa juga. Oleh kerana kita tidak rasa masa itu satu entiti yang perlu dilakukan secara terhormat, banyak masa dibazirkan. Nak tahu macamana masa kita berkat atau tidak? Kita semua diberi masa sama setiap orang, tetapi tengok apa yang dapat dihasilkan di akhir masa 24 jam. Banyak benda bermanfaat? Kalau banyak ianya berkat. Termasuk juga menolong isteri menyelesaikan kerja-kerja rumah dan jaga anak :) Ada orang membantah, mereka yang dapat selesaikan banyak kerja tu kerana mereka diberi sedetik lebih. Siapa pernah dapat sedetik lebih? Yang mereka dapat cuma satu, keberkatan dalam masa.  

Soal 3.0 - Diri
Berkat diri bolehkah difahamkan dengan kehadiran, ramai orang dapat manfaat dan kebaikkan? Bukankah itu normal? Seorang lelaki, jika dia berperanan sebagai suami dan ayah, kehadirannya menjadi berkat dengan syarat, beliau menunaikan tanggungjawab bukan menzalimi. Berkat diri yang lebih hebat bila kita hadir orang boleh membuat kebaikkan dan kebajikan bersama-sama. Macam Prof Kamil, ramai orang dapat melibatkan diri dalam pembinaan masjid KRTS di Somalia, kerana beliau menganjurkan aktiviti wakaf duit gaji bersama-sama masyarakat massa. Setiap batu bata yang dibeli boleh jadi milik sesiapa sahaja yang menyumbang. Tidak kira banyak atau sedikit.   

Berkat itu boleh kita cari di mana-mana pun. Pada rezeki, masa malah diri. Alangkah indahnya kehadiran, jika ia dilihat sebagai lubuk peluang membuat kebajikan. Benarlah kata Ustaz Saiful Islam, erti hidup pada memberi. Ada orang mencadangkan sebelum menyumbang hati dan diri perlu bersih, tetapi penulis Isa Kamari mencadangkan, malah dengan membuat kebajikan itu kita dibersihkan!

Friday, April 06, 2012

Kunci hilang

Khalis berdiri di hadapan bilik, di hadapan tertera 'ADA". Khalis mengetuk pintu, tertib dan jelas didengar penghuni di sebalik.

"Masuk!"

Daun pintu dibuka dan terus dibiar terbuka luas, kelibat Ashwa menjelma. Ashwa terkejut, bangun dan menjemput Khalis duduk di kerusi pelawat.

"Ashwa, tidak perlu awak melayan saya begitu begitu rasmi," Khalis membuka kata, menarik kerusi dan duduk dalam keadaan selesa. Khalis memerhati. Di hadapan meja kerja Ashwa, ada botol kecil berisi debu. Khalis tahu cerita debu dan botol kecil itu.

"En. Khalis boleh panggil saya, tidak perlu susah-susah datang ke bilik kecil ini," bicara Ashwa sedikit rasa tidak selesa.

"Kita kan bersahabat, kebetulan sahaja dalam 2-3 tahun ini saya perlu jadi Ketua. Esok lusa mungkin awak pula."

Ashwa menarik nafas. Khalis tahu Ashwa tidak berminat.

"Saya bimbangkan awak. Terus terang, sebagai ketua saya ambil berat dan perlu menegur. Prestasi kerja awak akhir-akhir ini begitu merosot. Kalau tidak sihat awak boleh ambil cuti."

"Saya minta maaf, saya sihat dan tidak perlu cuti."

Khalis tahu Ashwa masih berkabung meski sudah hampir dua tahun. Khalis tidak mahu Ashwa menjadikan kerja sebagai tempat pelarian. Sampai bila-bila masalah tidak akan selesai.

"Ini bukan Ashwa yang kami kenal dulu. Awak bukan macam ini."

Ada rona tersentak di wajah, "Maaf En. Khalis, saya kehilangan. Semangat saya entah pergi ke mana."

"Awak ingat masa saya kehilangan kunci kereta dulu?" En Khalis memutar kenangan.

Khali.

Ashwa masih ingat. Sewaktu itulah juga Farish Asytar bercerita tentang Nasruddin Hoca, seorang sufi yang penuh cerita lucu. Farish Asytar mengkisahkan penuh semangat, "satu masa Nasruddin kehilangan barang di dalam rumah. Tetapi rumahnya gelap. Lalu dia keluar dari rumah dan mula mencari-cari. Bila ditegur apa yang di buat Nasruddin menjawab, "Barang saya hilang." Bila ditanya di mana ia hilang, Nasruddin berterus terang "Di dalam rumah." Mereka yang kehairanan terus bertanya, "Habis mengapa mencarinya di sini." Jawab Nasruddin Hoca polos, "kerana di dalam rumah gelap, di luar ini terang." Mereka bertiga ketawa bersama-sama. Pada masa itu juga Ashwa berpesan kepada Khalis.
"Awak kata, benda perlu dicari di tempat ia hilang, bukan di bawah lampu terang." Khalis mengingatkan Ashwa pada pesan lama.

Ashwa juga senyum. "Saya masih ingat." Ashwa faham Khalis menegur berkias.

"Kalau begitu baguslah. Saya harap Ashwa akan kembali." Khalis bangun untuk beredar.

Pintu di tutup. Ashwa merenung botol kecil berisi debu. Ingatannya pada Farish Asytar diputar semula. Dalam hati mengulang, "benda perlu dicari ditempat ia hilang." Ashwa menarik nafas dan memejam mata. Ashwa tahu di mana tempat itu, tetapi tidak mahu ke sana. Jika dia berani pergi, semangat yang masih tersisa akan mati!

p/s: kisah Ashwa dan Farish Asytar di sini.


Monday, April 02, 2012

Teach for the Needs

Seorang guru bertanya kepada anak murid kenapa tidak pergi ke kelas tambahan padahal akan menghadapi peperiksaan UPSR. Jawab anak kecil, "Ayah kata Abang saya akan kahwin bulan 6, tidak ada duit untuk bayar yuran tusyen". Soalan ini ditanya oleh Cikgu Zul yang membawa kepada gerakan Teach for the Needs (TFTN).


Rupanya, tidak semua anak-anak sekolah mendapat ruang dan peluang yang sama. Minta maaf kerana ketidak pedulian saya. Saya mengaku, saya baharu sahaja peduli. Maafkan saya.


Foto1: Pengasas bersama-Zul Fikri di Rancangan Selamat Pagi Malaysia, 2/4/2012


Anak-anak ini kebanyakkan datang dari kelas bawah, ada yang memanggilnya kelas corot. Ketika perhatian dan lampu limpah disorot kepada murid-murid punya potensi untuk meningkatkan peratus kejayaan sekolah, mereka terus dipinggirkan. Atas pelbagai nama, perbezaan latar belakang keluarga, sosio-ekonomi, dan geografi. Kerana mereka berada di pedalaman.


Kita sangkakan masalah ini seperti tiada, kerana kita menghadapi hidup masing-masing dan percaya ada pihak sedang berbuat sesuatu. Padahal ada banyak cerita yang dipendam. Kita tidak tahu, atau tidak mahu ambil tahu? Seperti mana kelas bawah yang dilabel tiada harapan, sedangkan mereka juga berkehendak mahu berjaya.


TFTN memenuhi ruang vakum ini. Menghulur apa yang termampu, sekurang-kurangnya memberi anak-anak ini perhatian, walaubagaimana aturan dan bumi ini berputar, masih ada insan-insan berhati nurani mahu bersama mereka. Atas satu nama, kita berkongsi bumi yang sama.

Foto 2: Zul Fikri dan Fikri Zainuri (Duta TFTN)


Mereka anak-anak muda, bercita-cita untuk mengubah landskap pendidikan di Malaysia. Terlalu gah bunyinya. Kalau pun tidak mencapai ke arah itu, tapi sekurang-kurangnya, ia gerakan untuk percaya bahawa memberi itu mudah. Hanya dengan 3 langkah sahaja.


1. Mesti punya hati
2. Sedikit lebih dari rezeki
3. Memberilah!


Kami percaya rezeki itu bukan terhad kepada kewangan, malah masa, perhatian, kasih sayang, sokongan, dorongan, kebersamaan dan doa!


Blog:http://www.teachfortheneeds.blogspot.com/
Fb page:www.facebook.com/pages/Teach-For-The-Needs/187774331332673?ref=ts
Laman web:http://www.teachfortheneeds.org

Untuk menyalurkan sumbangan:
Bank: Affin Islamic
Nama: Teach for the Needs Consultancy
No account: 10-671-000033-3

Ikuti kami di Teach for the Needs. Semoga Allah memberkati kita semua.

Prof Kamil: sisi gelap



Siapa yang tidak kenal Prof Kamil? Jika disebut mereka akan memberi reaksi klise, "oh, yang menulis Travelog Haji itu."


Saya tidak kenal secara dekat Prof Kamil, tetapi pernah mendengar namanya. Satu masa, kami di institusi yang sama, cuma beliau di Johor, saya di Pahang. Saya hanya melihat beliau dari jauh. Itu sahaja. Kini Prof berada jauh nun di Universiti Madinah, yang membolehkan beliau pergi umrah bila-bila masa beliau suka.


Satu perkara menarik ialah bila namanya dibicarakan di kalangan para senior mereka akan cuba memberi gambaran bahawa Prof Kamil punya sisi gelap di zaman muda. Yang berminat untuk tahu akan bertanya.


Saya, saya tidak berminat mendengar. Untuk apa. Ia sudah pun menjadi masa lalu. Kalau pun ada, ia tidak pernah menjadi rahsia. Prof Kamil secara terbuka menceritakan tentang kejahilan beliau di masa lalu di dalam buku-bukunya. Yang beliau sesali, dan menganjurkan secara berterusan untuk generasi muda, generasi sezaman dengannya, generasi lebih tua untuk tidak mengikuti jalan yang beliau pernah rintis.


Yang pasti, mereka yang mahu bicara tentang sisi gelap seseorang tidak pernah mengukur di badan sendiri. Kita semua ada sisi gelap, yang orang tahu, yang umum tidak tahu, yang kita sendiri simpan, yang Allah Maha tahu tetapi atas ikhsanNya ditutup semua. Kita bukan maksum, meski ada di antara kita yang lepas dari dosa, tetapi pasti kita bukan golongan yang maksum. Kita bukan.


Tuhan itu begitu hebat mengatur arah jalanNya. Memberi hidayah pada mereka yang Dia kehendaki. Tidak pernah akan meninggalkan jika kita berikhlas diri mencari dan memohon. Agar dibukakan jalan hidayah dan kita memeluk hidayah itu.


Prof Kamil saya percaya, antara orang yang terpilih itu.


Ketika berada di bumi Haraam, kawan saya bercerita. Ada seorang kakak berpangkat kerani sahaja. Kakak itu bertekad pergi Haji kerana 2 perkara. Satu, beliau sangat 'bengang' bila mendengar mereka yang berpangkat menyebut, "bila-bila masa I nak pergi Haji pun boleh. Tidak ada masalah langsung." Lalu dia menyimpan tekad, membuat janji dengan suami, dalam masa 3 tahun mereka mesti menabung. Meski masih ada anak kecil dan bersekolah, mereka pasti boleh dapat menunaikan Haji. Apa cara sekalipun, mereka mahu buktikan mereka boleh meski berpangkat kerani sahaja.


Perkara kedua ialah, Kakak tersebut bercerita. Cerita yang membuatkan mulut saya terbuka tidak percaya dan cemburu. Yang membuka pintu hatinya untuk memulakan jalan menunaikan rukun Haji kelima ialah, buku Travelog Haji Prof Kamil.


Subhanallah.


Saya baru diceritakan mengenai hal ini. Dua tiga hari lepas.


Saya tidak tahu berapa ramai menyebut nama Prof Kamil di Mekah dan Madinah. Berapa ramai yang membawa buku Travelog Haji sebagai teman Haji untuk panduan melakukan ibadah dan bacaan ketika senggang waktu di Tanah Haram. Rakan saya salah seorang dari mereka yang membawa buku Prof ke tanah Haram.


Sisi gelap. Gelap macamana pun ia masih berpengharapan menemui cahaya. Sekiranya kita mahu membuka pintu. Sekiranya kita mahu nyalakan sumbu.


Kata Prof, cahayanya bermula dari doa sang isteri. Bertahun-tahun tanpa jemu. Tanpa pernah rasa sangsi, bahawa Allah tetap sahaja tempat harapan tidak akan pernah temui kecewa. Tanpa sangsi sekelumit rasa.



Hari ini Prof Kamil meski apa pun berlaku di zaman lepasnya, seperti tidak signifikan. Kerana ramai orang lain menjumpai jalan cahaya, hanya dengan membaca buku, membaca blog beliau. Hanya dengan membaca.


Saya, cemburu. Begitu cemburu.


Tuhan, tunjukkan aku arah dan bantuMu agar aku mampu buka pintu, dan biarkan cahayaMu masuk memenuhi ruang, dimensi dan masa.





(gambar-gambar dipetik dari Google)

Sunday, April 01, 2012

Mimpi



Saya mencatat mimpi-mimpi ketika bangun dari tidur jika masih teringat. Ramai orang akan berpesan, "itu hanya mainan tidur."

Mainan? Sukar untuk saya percaya bahawa setiap yang berlaku hanya sekadar mainan, saja-saja. Meski yang wujud dalam mimpi.

Ketika tidur, bukankah kita tidak berfungsi. Semua organ termasuk tubuh, minda dan hati dihentikan. Kalau pun bergerak, kita sama sekali tidak menyedarinya.

Dari mana datangnya mimpi? Saya percaya ia datang dari tempat tinggi (i.e: mimpi yang baik) guna untuk memberi pesan dan panduan. Juga nyaman pada setiap harapan yang belum tertunai, tetapi dijelmakan dalam mimpi.

Mimpi yang paling baik adalah mimpi bertemu Allah, kemudian Rasulullah, kemudian ibu bapa yang muslim. Itu yang saya baca dari buku.

2010 saya bermimpi saya bersolat Jumaat di Masjidil Haraam dalam jumlah jemaah yang ramai sehingga perlu berhimpit-himpit. Malah berselisih bahu dengan begitu rapat. 2011 saya diberi kesempatan untuk bersolat Jumaat betul-betul dalam Masjidil Haram di musim Haji 1432H yang lalu.

Ketika saya bermimpi saya tidak tahu maknanya kerana tidak pernah merancang pun pergi haji dalam masa terdekat. Meski sudah masuk 2011 pun masih belum sungguh-sungguh bertekad untuk pergi. Namun ia menjadi realiti.

Mimpi adalah sunnah Nabi-nabi. Nabi Yusuf bermimpi. Malah kepakaran Nabi Yusuf ialah mentafsir mimpi-mimpi. Nabi Muhammad bermimpi. Malah ibu Nabi Musa bermimpi supaya menghanyutkan Nabi Musa ke sungai. Tetapi masih lagi cerdik pandai sarjana mengatakan, "apa ada dengan mimpi? Ia sama sekali tidak boleh dibuktikan."

Apa pun saya percaya mimpi. Moga malam nanti kita dianugerahkan mimpi yang baik, yang paling baik.