Thursday, May 31, 2012



Tanya adik, "jika kita ditekan, apa yang perlu dibuat?"

"Percaya sahaja yang Tuhan menghantarkan kita ke situ. Bersabarlah demiNya, buatlah yang terbaik demiNya. Mungkin Dia mahu berbicara, tetapi dalam keadaan aman dan damai biasa kita tidak sedia mendengar. Lihatlah ke langit, hantarkan doamu di sana, ia pasti bersambut kerana di situ terletak Cinta. Segala-gala dalam rahsiaNya. Jadikan hatimu sepenuh percaya! Kita tidak akan disia-sia."

Wednesday, May 30, 2012

Nilai



Antara perkara kesyukuran yang paling besar ialah, saya diajar tentang nilai sejak dari kecil. Saya rasa semua ibu bapa dan guru akan mengajar, tinggal lagi apa yang melekat di hati. Alhamdulillah, yang diajar pada saya ialah nilai yang benar bukan nilai atas persepsi.

14 tahun yang lalu, saya selalu berkejaran untuk sampai awal ke kelas. Antara amalan buruk saya ialah, saya tidak tahu mengagak masa dan jarak. Sangka saya kolej dekat dengan studio, jadi jika kelas pukul 8 pagi, lagi 5 minit baru hendak bergerak. Masalah ialah saya kena naik turun bukit dan jarak yang dekat itu rupanya jauh jika tidak merancang perjalanan.

Yang menariknya, saya akan melalui kawasan tempat letak kereta pensyarah. Dan saya selalu memerhati siapa yang sudah sampai ke pejabat pagi-pagi. Ada kalanya saya terlebih awal dan perasan sebuah kereta merah sudah sedia terletak elok. Setiap hari pun begitu, kereta merah di tempat yang sama, seolah-olah sudah dikhaskan untuknya. Kemudian saya tahu ia bukan tempat letak khas cuma pemiliknya selalu sampai awal.

Itu kereta pensyarah yang mengajar studio. Beliau akan sampai ke pejabat jam 7 pagi. Awal sangat, tidak terkejar orang lain. Akhir-akhir ini saya berharap dapat mencontohi beliau (untuk datang awal tetapi tidaklah jam 7 pagi). Susah juga, tetapi kalau merancang dan bertekad memang boleh buat.

Oleh kerana beliau boleh sampai awal kelas kami selalu tepat pada waktu. Tidak pernah terlewat barang satu minit (kalau ada mungkin sekali sekala).

Saya dapat berbual dengan orang yang sama tahun lepas. Sembangnya, "kereta merah itu ada lagi." Saya senyum. Agak saya sudah lebih 10 tahun. Orang ini orang yang tidak terjangkau jawatannya, dan saya pasti dia berada. Untuk membeli kereta baru bayar tunai bukan mustahil. Saya tidak tahu kalau sudah membeli kereta baru, tetapi sebab dia masih menyimpan kereta lama ia sesuatu yang membuat saya berfikir panjang.

Beliau jika mahu diletakkan kedudukan berada di langit, sebagai bintang. Tapi bintang ini selalu menyala terang dan tidak lokek untuk menunjuk jalan.

Ketika menjadi penghulu kampus beliau pernah bercerita, "meski saya banyak tanggungjawab lain, saya mesti ambil kira kebajikan pelajar. Apa yang mampu disediakan, akan disediakan. Satu hari ketika sibuk berbincang sehingga sampai makan tengahari. Jadi saya minta untuk berehat dan nasib baik mulut terbuka untuk bertanya. Pelajar itu belum makan kerana tidak ada duit. Saya menyeluk poket, apa yang ada saya berikan padanya. Mudah-mudahan perut dia tidak lagi kelaparan."
Meski cerita itu diceritakan secara umum, ia meresap masuk dalam hati saya. Kalau kita berkedudukan tinggi bukan jadi terhalang untuk kita buat kebajikan. Malah makin luas ruang yang terbuka dengan syarat bertanya dan ambil berat.

Orang yang sama juga tidak mengejar barangan berjenama dan beliau senang dengan imej sederhana. Padahal ramai orang disekeliling saya tidak betah jika tidak mengganti dengan pakaian baru, setiap bulan malah kadang kala setiap minggu. Kereta? Oh, jangan cerita kerana ia lambang prestij dan imej.

Ironi, bila berada dalam majlis-majlis besar, orang yang sederhana inilah yang akan berdiri di hadapan dan kami terpaksa menadah telinga mendengar setiap kata-katanya. Kami yang menadah telinga ini bahkan berpakaian gerlap-bergemerlapan. Jenama yang tidak kalah bila duduk sebelah menyebelah. 

Pelajaran nilai yang beliau beri pada saya ialah, manusia nilaian pada peribadi. Yang benar dan mendapat merit adalah yang mendapat ganjaran di mata Tuhan. Manusia diiktiraf kerana keilmuwan, usaha, kedermawan dan taqwa. Itu harta terkumpul. Semakin diamalkan semakin tinggi nilai kemanusiaannya.

Barangkali kita sangat terdera dengan pandangan dan persepsi orang. Ya, mungkin kita akan terluka, tapi biarkan lama-lama sudah tidak berasa. Persepsi itu cuma anggapan, rapuh amat. Hari ini telefon Samsung Notes paling cool dan bergaya, esok lusa kalau keluar gadjet baru yang supercool, Samsung Notes sudah boleh masuk senarai barang lupus.

Dunia kita hari ini terbina atas persepsi sahaja.

Yang pandai bercakap dirasakan sangat hebat dan bijak, padahal itu sahaja modal mereka.

Yang diam makin berisi..

Betul kata perumpamaan Melayu, jadilah resmi padi, semakin tunduk semakin berisi.

Epilog

Guru kelas studio saya itu hakikatnya mempunyai kecacatan buta warna. Antara sebab (mungkin?) terpaksa datang awal untuk mengatasi kesukaran di jalan raya. Tentu dia tidak dapat membezakan warna lampu trafik. Cara mengatasi ialah dengan mengelak trafik. Itu telah membolehkan beliau mendapat tambahan waktu bekerja, dua jam lebih dari orang lain (di waktu pergi dan pulang).   

Kekurangan hanya perkataan. Dia telah mengajar saya menjadikan kekurangan, untuk mencipta kelebihan.
(gambar diambil dari Google ajo)

Sunday, May 27, 2012

Dunia Ini Sekolah Apa?

Satu hari dalam keadaan langit biru tenang, seorang remaja yang gemar mencari ilmu dan berfikir bertanya, “Dunia ini sekolah apa?”

Saya tergamam. Tidak pernah terfikir. Selalu ditanyakan ialah tentang bulan Ramadhan. Itu mudah sahaja jawapannya. Ramadhan adalah sekolah kerohanian. Madrasah tarbiyyah dan penyerahan. Tetapi bila ditanya begitu, “Dunia ini sekolah apa?” saya tahu perlu masa untuk memberi jawapan.

Kalau ada buku khusus mungkin tidak begitu susah. Untuk tidak menghampakan dan rujukan paling pantas adalah merujuk kepada kisah Nabi-nabi. Merekalah Imam sepanjang zaman tanpa syak. 

Akhirnya saya mendapat jawapan, paling tidak pada diri sendiri jika tidak pada remaja genius tersebut.

“Dunia ini adalah sekolah yang mengajarkan harapan. Sejak mula Adam diciptakan, diuji dalam ‘syurga’, diturunkan ke bumi. Kita tidak pernah ditinggal seorang untuk mencari jawapan pada apa yang dicari dan harapan itu terbentang seluas samudera.”

Saya yakin menulis begitu kerana pengalaman. Menjadi pembaca tekal blog Prof. Kamil saya menjumpai persamaan yang serupa bila orang bertanya kami tentang Haji. Perkataan Haji akan keluar bersama dengan perasaan takut. Stigma kita orang Melayu Islam adalah bayangan bahawa ia perjalanan menempah bala di tengkuk. Kerana selama ini orang mensensasikan cerita tentang rukun kelima itu ialah pengalaman yang menakutkan. Tentang balasan cash Tuhan yang akan diterima di tanah suci tanpa bertangguh. 

Meski saya menolak cerita sensasi begitu, tanpa berbasi basa saya setuju. Benar, kita akan menerima balasan tunai di sana. Namun yang mereka jarang dengar ialah walau apa pun ketakutan kita, kita harus bulat percaya pengampunan Tuhan itu lebih besar. Itu harapan yang disediakan untuk kita dan ia benar. Betul-betul sesuatu yang benar jika kamu mahu percaya.

“Perjalanan Nabi-nabi mengajar satu, betapa pun kesulitan dan kepedihan yang diujikan untuk kita, ia semata menjamin kebaikkan. Namanya pun ujian. Dan kerana itu kita harus bersabar dan berusaha sedaya mungkin untuk membuktikan keikhlasan bahawa tauhid kita bulat. Yang kita percaya itu hanya Tuhan Yang Maha Esa tanpa sekutu. Bagaimana kita boleh jamin bahawa kita tidak menyekutukan Allah jika tidak diuji?”

Saya mungkin akan menerangkan kepada remaja berkenaan dengan kisah ini.

“Cerita terbesar ialah kisah bapa kita Nabi Ibrahim as dan keluarganya. Bayangkan seorang lelaki dengan kedudukan Nabi, yang begitu tinggi dan dihormati masyarakat. Diuji tidak punya anak sehingga usia tua. Kemudian dengan munajat tidak pernah putus pada Allah, meski bertali arus ujian yang perlu dilalui, Nabi Ibrahim masih tidak dikurnia anak. Nabi Ibrahim berputus asa? Tidak pernah, doa baginda tidak putus. Selalu berbaik sangka pada Allah yang punya kuasa kun fayakun.

Kemudian doa Ibrahim makbul, si tua itu dikurniakan anak melalui isteri Siti Hajar. Tetapi Allah takdirkan lagi. Ibrahim diminta meninggalkan Siti Hajar dan Ismail di tanah gersang di Makkah.

Mari sorot dari kaca mata Siti Hajar. Semua tahu bahawa Hajar adalah dari golongan budak (hamba). Malah budak dari isteri pertama Siti Sarah. Hajar ini yang ditinggal di tanah gersang, yang dikelilingi bukit batu yang tiada satu tanda hidupan. Tiada pokok malar hijau, tiada sumber air, tiada orang, tiada suami. Hanya anak kecil yang menangis kehausan air.

Siti Hajar berputus asa? Tidak. Di dadanya penuh harapan. Dengan harapan menggunung itulah di berlari, terus lari. Dari Safa ke Marwah. Marwah ke Safa semula. Ia bukan larian tanpa tujuan. Ia adalah simbol untuk menunjukkan walau dunia tidak menyebelahi kita pun, harapan itu tetap ada. Dan Allah meninggalkan kita usaha. Usaha terus usaha. Meski terpaksa melalui jalan yang sama sebanyak tujuh kali. Dengan mendengar tangisan anak kehausan, diri sendiri kehausan. Seorang tanpa suami. Di padang pasir, tanpa orang. Hajar terus lari dengan dada menggunung harapan. Bahawa dalam keadaan sulit tanpa tanda apa-apa, Allah tetap ada hadir dalam dada manusia.

Kemudian, Allah takdirkan air keluar mencurah-curah dari hentakan kaki Ismail. Air itu yang dipanggil zam-zam tidak pernah kering. Menjadi carian tetamu Haji dan Umrah sepanjang zaman sehingga ke hari ini. Sudah beribu-ribu tahun berlalu. Jika harapan itu tidak benar, keazaman itu tidak benar, air apa yang kita minum ketika menjemput jemaah Haji pulang ke tanah air?

Kisah Nabi Ibrahim dan keluarganya simbol lebih besar dari itu. Ibrahim dari golongan bangsawan terhormat. Seorang lelaki. Siti Hajar dari latar belakang hamba yang dihinakan. Perempuan. Di Kaabah ada satu ruang yang dinamakan Hajar Ismail. Ia lambang Siti Hajar. Seorang perempuan yang diletak menjadi sebahagian dari rumah Allah. Siapa yang bertawaf dengan melewati bahagian ini, tawafnya tidak sah.  

Cerita ini membawa takdir yang lebih indah. Tidak kira kamu bangsawan atau hamba, lelaki atau perempuan, kita masing-masing diuji. Jika diuji penuhilah dadamu dengan sepenuh rasa percaya dan harapan. Tuhan tidak akan pernah menghampakan hamba yang ikhlas mencariNya. Tanpa bias dan perbezaan ras, kasta, gender. Allah memandang kamu rata seadanya, makhluk ciptaan yang dicipta untuk beribadat hanya kepadaNya.” 

Bandingkan ini yang saya dapat dari seorang guru lewat Facebook.

Lelaki Iran ini, berusia 83 tahun; namanya Amir Omidvar Panah. Dia berkahwin dengan isteri pertamanya selama 50 tahun dan tidak beroleh zuriat. Setelah isteri beliau meninggal dunia, dia menikahi seorang gadis berusia 27 tahun. Setelah 3 tahun, dia akhirnya dikurniai seorang anak lelaki yang dinamai Muhammad Ismail. 


Subhanallah.

Allah menyeru kita Haji melalui Nabi Ibrahim bukan tanpa mengetahui kita punya dosa-dosa. Malah jika seluruh isi dunia ini dipenuhi dosa kita, Allah masih tetap memanggil. Termaktub dalam Al Quran begitu, tidak pernah terpadam pun. Dan percayalah, walau apa pun alasan, kita sedang diuji untuk mendengar dan menyahut seruan ini. Kesanggupan dan berani mulakan perjalanan akan membukti satu, kita ikhlas menjadi hamba dan mengakui Allah itu Esa, Yang Maha.

Dan untuk setiap sesuatu yang mewarnai perjalanan hidup kita ini, penuhkan dada dengan harapan. Hanya dengan itu kita akan berani berlari mencari.

“Dunia ini sekolah apa?”

“Adik, dunia ini adalah, sekolah harapan.”

Friday, May 25, 2012

Kau yang Ku Kagumi




Saya membaca entri Prof Kamil tentang kagum. Saya belajar banyak dalam entri tersebut. Bahawa kagum dan terleburnya perasaan itu boleh berlaku dalam email sahaja. Kata Prof., ramai yang meminta bantuan untuk mengutip derma. Prof. orang yang ada nama, pengaruhnya boleh menarik ramai orang. Tetapi ada sebab Prof. Kamil menolak pelawaan, dan dia berhak. Kerana penolakkan, rasa kagum itu pudar.

Saya berfikir panjang. Pada sudut pandang saya, orang itu tidak ikhlas menjadi seorang pengkagum. Menjadi seorang pengkagum ada seninya, seni pengkagum J

Segala-galanya seni sekarang. Minta maaf, saya baru terlihat dan rasa dalam dada, seni itu adalah sesuatu yang hangat yang menyamankan. Saya ada tulis dalam Gagasan Jurutera Fityan, tapi tidak pernah rasa. Lewat-lewat ini sahaja baru jadi perasa (walau saya tidak makan Ajinomoto)
.
Saya pengkagum pada ramai orang terutama yang intelektual dan penuh cinta pada agama. Dan rasa itu bertambah bagai dipam-pam bila sang intelektual ini menjadikan nilai sebagai pakaian peribadi mereka. Ohh! Sungguh kagum.

Dan untuk itu saya mula mengkagumi Prof. Kamil kerana beliau secara sedar meletakkan perkara yang mahu dan tidak mahu dilakukan kerana rasa bertanggungjawab dan takut menanggung dosa. Itu nilai yang agung bagi saya.

Saya faham kecewa mereka yang memohon Prof. Kamil menjadi duta untuk mencari sumbangan tetapi ditolak. Tapi saya hairan bagaimana kekaguman mereka boleh berkurang.

Sudah saya katakan, saya seorang pengkagum. Dan kerana itu saya ditakdirkan berjumpa ramai orang. Dan seperti mana pengkagum-pengkagum yang lain, kita mula menaruh harapan. Agar satu hari mereka akan membantu kita, mungkin dalam satu kesempatan dan peluang yang sangat mendesak. Saya juga ada rasa seperti itu. Ya, manusia semua sama. Menjadi pengkagum pun ada harganya.

Tetapi seperti mana yang lain juga, saya selalu ditolak. Kadang-kadang berkali-kali dengan orang yang sama. Ayat yang digunakan juga amat cemerlang, “Aku tak nak” “Kau nak buat apa dengan kertas tu, benda dah lama” “Toksah, tak payah” “Jangan panggil aku lagi, aku dah penat cakap benda yang sama”. “Aku tak setuju, tukar yang lain.” “Kenapa kau nak pergi situ, toksah.” Dan seribu kali lagi penolakkan dan lagi dan lagi, meski saya cuma penyampai pesan dan hanya menjalankan tugas sahaja. Meski dia perlu menolak di hadapan khalayak dan akan menjatuhkan air muka saya
.
Dan saya berdoa agar satu hari akan pudar rasa kagum dan akan menghindar. Sakit apa kena macam tu. Kadang-kadang sampai ke hulu hati. “Salah apa saya, saya cuma menjalankan tugas dan berpesan untuk kebaikkan.” “Boleh tak jaga air muka saya, I don’t deserve this!” Tentu ayat-ayat yang bergentayangan hanya dalam hati.

Saya cuba membina rasa menyampah. Makin bina, makin menebal rasa. Seperti ayat di atas, bagai dipam-pam. Tapi yang terbina masih kekaguman. Hairan.

Selalu walau mereka menolak, atau seperti tidak mahu menolong, mereka cuma mahu menyediakan ruang untuk kita menyerlahkan potensi. Mereka tidak mahu potensi dibina dari asas rapuh, contoh recommendation dari orang berpengaruh. Mereka mahu melihat potensi itu dibina dari kerja keras dan membina peribadi berdaya saing. Dan melihat perkara kecil yang indah-indah dari pengalaman kerja bersusah-susah.

Kerana apa?

Kerana mereka juga bermula dari jalan yang sama.

Perrrghhh. Kagum.  

Menjadi pengkagum ada seninya. Dan kata Prof. Kamil, tidak boleh berlebih-lebih. Manusia tidak sempurna, tidak pernah sempurna. Kadang-kadang keindahan boleh muncul pada ketidaksempurnaan, kerana hanya dengan itu kita boleh saling meminjam dan melengkapi.  Apa pun yang lebih aula adalah Rasulullah dan Allah.

Saya setuju, tetapi untuk saya menjadi pengkagum kerana seseorang itu memakai nilai pada peribadinya. Nilai itu cerminan akhlak dan iman yang mereka percaya. Iman itu tergantung pada Allah, yang mencipta dia. Makhluk yang saya kagumi. Saya sebenarnya mengkagumi Allah yang mencipta insan-insan hebat ini. Itu sebenarnya, noktah.

Lihatlah pada kebaikkan mereka yang telah menambah baik kita. Saya percaya bahawa rasa kagum yang dimasukkan dalam dada kita adalah takdir yang baik, kerana pekerjaan hati kadang-kadang bukan kita yang mengawalnya. Meski mereka tidak dapat membantu, atau menunaikan apa yang kita mahu, ternyata sedikit sebanyak merekalah inspirasi yang menyebabkan kita menjadi penyantun dan mahu membuat yang lebih baik.

InsyaAllah.

Untuk kamu yang ku kagumi, terima kasih kerana selalu ada, meski tidak zahir dan hadir. Kerana kaulah matahari, meski tidak dapat melihat, aku masih merasa hangat dan melihat dengan cahayamu.

Allahumma solli ala Muhammad wa ala alihi tathirin.

(gambar dipetik dari blog Al Miskeenah)

Wednesday, May 23, 2012

Aktiviti Murah yang Bermanfaat


Saya membaca entri di Al Miskeenah dan mendapati mereka menggunakan kaedah menarik untuk membuat kanak-kanak belajar dan berseronok. Saya malah teruja dan mencuba dengan anak-anak. Mujur semua yang diperlukan ada di rumah, termasuk warna pensil.


Percubaan ini adalah untuk mencipta role play tapi guna watak yang dilukis masing-masing. Syarat pertama ialah untuk menceritakan kembali kisah dari kisah Nabi-nabi. Jadi kami berbincang apa berlaku untuk kisah tersebut dan memberikan kertas untuk masing-masing melukis. Watak apa yang mereka mahu lukis, terpulang. Pandai juga mereka lukis ni kan?


Tiga gambar di atas adalah hasilnya. Minta maaf kami bukanlah pelukis profesional tapi beginilah jadinya bila dah disusun pada latar. Cuba teka, cerita apa yang anak-anak ini cuba berkongsi?

Untuk berseronok dan belajar sebenarnya tidak susah. Cuma perlu ada sedikit kreativiti dan kelapangan waktu. Kreatif mana pun kita, jika kita tidak melapangkan masa tidak jadi juga. Zaman sekarang ini yang mahalnya waktu.

Saya seronok dan harap anak-anak ini juga seronok. Cumanya tidak sangka, untuk melukis beberapa watak, menggunting, menyusunnya, terasa letih juga. Tetapi bila tahu mereka ingat tentang kisah Nabi, rasa seronok. Cerita memang boleh meninggalkan kesan yang lama dalam ingatan, harapnya aktiviti ini akan dapat menyebabkan mereka terus ingat.

Retention time kanak-kanak tidak lama, jadi perlu ada insentif kalau mahu mereka fokus. Kalau adakan pertandingan pun lagi menarik.

Sekali-sekala menjadi kanak-kanak, menarik juga.

Saturday, May 19, 2012

Nikmat Rezeki


Mencari rezeki itu adalah satu perkara besar bila dikaitkan untuk hidup. Patutnya ia tidak sukar sebab setiap yang bernyawa itu Allah telah tentukan rezekinya. Tetapi kenapa ramai juga berkeluh kesah?

Sebab ia bukan jadi soal survival tapi mengejar kesenangan dan mewah. Hidup diangkat darjat dengan harta benda. Itu yang jadi taruhannya sekarang.

Kat mana nikmat rezeki? Kawan saya kata manisnya bila kita berkongsi.

Satu cerita terkesan tentang rezeki. Dari sudut pandangan rakan ahli hikmah saya.

"I tak suka tau tengok Ustaz Don. I rasa dia fake sangat dengan muka dia yang macam tu dan cakap pula macam berbisik-bisik. Dah lah nama dia Don, macam kasanova pulak I rasa. Terus terang memang tak suka."

Saya hendak mempertahankan Ustaz Don. Dia orang tasawuf, jadi orangnya sudah tentu lembut kerana pelajaran yang disampaikan adalah pelajaran hati. Tapi saya mesti menunggu penjelasan rakan ahli hikmah saya ni sampai habis. Jarang perbualan kami tanpa pengajaran berguna.

"Tapi I tak boleh elak untuk tidak bersetuju dengan Ustaz Don. Tahu tak bila I pergi Sabah, the only channel yang boleh tengok ialah TV9 dan rancangan yang boleh tonton rancangan Ustaz Don tulah. Masa tu lah Ustaz Don bercerita mengenai rezeki."

Saya menyediakan telinga dan otak untuk mencerna.

"Ustaz Don kata, kalau gaji kita RM2000 tetapi kita bekerja macam gaji RM5000, Allah akan gantikan baki RM3000 tu dalam bentuk rezeki yang lain. Kadang-kadang dalam kelapangan dan keberkatan masa, kesihatan yang baik, kemudahan urusan dan perjalanan, anak-anak yang mendengar kata dan bermacam-macam lagi."

"Kalau orang yang gaji RM5000 tapi kerja macam RM2000 pula macamana?"

"Kalau macam tu, Allah akan minta dia pulangkan RM3000 yang dia tak berhak tu dengan benda-benda lain. Orang macam tu selalu berada dalam kesempitan, rasa macam semuanya tidak cukup, kereta tiba-tiba buat hal, tidak gembira, tidak sihat dan sebagainyalah."

Kawan ahli hikmah membandingkan kehidupan kami sekarang. Ya, kami sudah tidak membuat kerja-kerja yang memerlukan pengorbanan waktu dan tenaga, membantu orang tanpa meminta balasan. Kemudian masing-masing diam.

"Perasan tak, waktu kita sibuk buat itu ini, Allah beri je kita macam-macam yang kalau fikir sekarang macam tidak logik kita mampu buat tu semua."

Saya menambah "A'ah, tapi sekarang ni kita lapang, tapi satu hasil pun kita tak ada."

Saya berkata kepada ahli hikmah, "pesanan Ustaz Don sampai tak?"

Ahli hikmah menjawab dan mengaku insaf, "Sampai. Masuklah dalam hati I dan I ingatlah sampai sekarang."

Saya menjawab, "biasanya kalau pesanan yang diberi sampai, maksudnya yang menyampaikan insyaAllah ikhlas. Walaupun Ustaz Don tu begitu, saya yakin dia jujur."

Orang kata nikmat rezeki itu macam-macam, tapi pada saya tetap pada "keberkatan". Saya pulang ke rumah dengan berfikir macam-macam dan berdoa, "Semoga Allah memberi kita semua keberkatan pada rezeki, pada umur, fikiran, tenaga, zuriat, pasangan, keluarga, kesihatan, harta, ilmu, bakat dan masa. Moga ia tidak menjadi fitnah di dunia, mahupun liabiliti di akhirat kelak. Allahumma Amin."

Friday, May 18, 2012

Perempuan Nan Bercinta-Ulas Buku



Ini novel orang dewasa yang menyatakan komitmen pada cinta. Rencah utamanya usik mengusik. Mereka yang cepat terasa dan kuat merajuk, rasa mereka belum dimatangkan.

Orang yang bercinta adalah mereka yang merai. Dan dalamnya perlu ada seni, seni bercinta.

Permulaan Perempuan Nan Bercinta menyorot kepada Tengku Idora, seorang feminis bersuara lantang yang mewakili WMO. Seteru debatnya Ali Taqi, pengasas FASEH yang menawarkan alternatif pada permasalahan umat. Mereka adalah sarjana yang berjuang atas keyakinan masing-masing. Gegaran pertama bila gelanggang dibuka ialah hal-hal keadilan, penindasan, patriaki yang menelan peribadi kaum wanita. Di pihak Dr. Tengku Idora, dia percaya dunia ini didominasi lelaki tanpa ada ruang untuk wanita. Wanita dilihat sebagai warga kelas kedua dan penindasan ini juga berlaku dalam agama. Ali Taqi membeberkan hujah alternatif bahawa dalam Islam, wanita di pandang sama taraf di mata Tuhan. Hujah demi hujah dibentangkan, termasuk sejarah yang memperlihatkan wanita sebagai pemimpin negara dan tentera.

Pada bab-bab seterusnya diceritakan mengenai perbahasan supra mazhab, caturan politik dalam komuniti berbilang bangsa, gagasan persuratan Melayu baru, falsafah dan hikmah, tanpa memperkecilkan peranan cerita dan bahasa dalam menghantar wacana. Faisal Tehrani juga bijak menukang cerita melepasi batas geografi, warna kulit, budaya, mempersatukan dengan mengangkat Bahasa Malaysia sebagai bahasa ilmu dan persuratan.

Seperti mereka yang dipertemukan dalam ikatan gelora percintaan, novel ini mengadunkan semua rasa. Bibit mula dengan pandang memandang penuh curiga, kemudian gelora dan surut dengan kepuasan. Sudah dikatakan, ini novel orang dewasa.

Satu soalan yang klise setiap orang, adakah novel ini memenangkan Syiah. Ya, malah menawarkan lebih dari itu. Perempuan Nan Bercinta membina jambatan perdamaian antara mazhab, Sunni-Syiah. Satu bendera. Siapa yang rugi jika berjabat tangan menyatakan kesatuan? Kita cuma mencurigai kerana tidak saling mengenal. Kita rugi kerana tidak berlapang dada. Jika percaya perselisihan faham antara umat Islam itu adalah rahmat, maka raikanlah! Ia dapat diserderhanakan dengan hikmah. Berbeza itu menunjukkan satu, keluasan ilmu. Jika kita saling meminjam dan melengkapi, dipertautkan demi cinta luhur pada Allah, Rasulullah, mengembalikan Islam ke tempatnya bukan sesuatu yang mustahil lagi.

Meski watak dimulakan dengan Tengku Idora, sampai di hujung sentralnya masih Ali Taqi. Masih lagi merasakan ada patriaki di sini sehingga ia diakhiri dengan perjuangan yang baru bermula oleh Siti Fatimah binti Ali Taqi.

Perempuan Nan Bercinta adalah novel besar. Seperti cinta, ilmu yang ditawarkan juga luas tanpa batasan. Meski ramai menyorotnya dari sudut lain dan penuh emosi, namun seperti tajuk novel, intimi ia seperti manusia nan bercinta kerana di situlah titik damainya!

Thursday, May 17, 2012

Ini Namo eh Pilih Bulu

Kami tidak membenarkan sebarang kucing masuk rumah. Akhir-akhir ini, makhluk ni suka pulak berkunjung dan buat sesuka hati. Nak menulis pun susah.

Foto 1: Tengah kusyuk tidur tak sedarkan diri.

Kata kawan saya, "ni namo eh pilih bulu."

Wednesday, May 16, 2012

Selamat Hari Guru

TONTONI ASTRO AWANI 7.45PM

“Siapa yang kamu sayang selepas Allah, Rasul, Ibu dan Ayah?”

“Cikgu!”

“Bagusnya. Semoga Allah menyayangi kamu. Tapi boleh Cikgu tahu kenapa?”

“Saya sayang Cikgu kerana Cikgu ajar saya tulis, baca. Cikgu ajar saya mengira. Cikgu ajar mengaji, kenal Allah, sayang Nabi. Satu hari nanti saya boleh jadi engineer, dan jadi engineer yang bertaqwa!”

Kalau boleh jawab sebegitu dulu, Cikgu-Cikgu akan tahu betapa besar peranan mereka mendewasakan seorang manusia. Lebih tepat mematangkan insan.

Profesion guru mutakhir digelapkan dengan beberapa insiden salah etika dan profesionalisme. Tapi saya tidak pernah putus harap. Kes-kes itu cuma cerita terpencil, korban stress kehidupan yang tidak adil mungkin.

Mungkin kerana rasa positif tidak pernah luntur itu saya dipertemukan dengan guru-guru yang jiwa besar dan berpayung di bawah TFTN.

Kalau orang bertanya TFTN itu apa? Jawab saya, ialah adalah sekolah harapan. Kata orang yang bertanggungjawab mendirikan batu asas dan idea, “sasaran kami adalah murid-murid kelas corot yang merasakan diri mereka dicicirkan tetapi punya tekad dan semangat mahu berjaya. Anak-anak yatim dari ibu dan bapa tunggal, dan dari keluarga yang berpendapatan rendah. Yang akan kami lakukan ialah kelas tusyen percuma yang mana keluarga mereka tidak punya duit untuk biaya.”

Ini sebahagian cerita mereka:

“Erickless Fradeen, baru 2 minggu masuk tapi dah pegang 'title' samseng kat skolah nie. Setiap hari buat hal, setiap hari nama naik. Tahun 3 tapi masih tak tahu baca, tak tahu menulis, tidak boleh dduk diam, tak pernah siapkan kerja rumah. Setiap kali salin nota dia akan mula dengan huruf paling belakang ke depan dan dari kanan ke kiri. Murid macam nie perlukan perhatian intensif dari semua pihak. Dia tak bodoh, cuma perlukan lebih dari murid lain perlukan. Pagi tadi dia tanya aku soalan nie. "Cikgu, kamu tau ka tidak jantung kita ada di sebelah kanan atau kiri cikgu??" sambil letak tapak tangan di bahagian kiri dada.Hmm, soalan nie budak tingkatan 3 yg aku ajar dulu pun tak pernah tanya aku. 'Children is full of surprise!!!!!' Duta TFTN, Bintulu, Sarawak."

"Sumber dalaman menyatakan, di sebuah rumah anak yatim di daerah Gopeng, daripada 51 anak di sana, 90% masih tidak boleh membaca dengan lancar. Wakil TFTN di bawah 'expansion programme' kendalian Non-Teacher's Division akan menghantar mahasiswa untuk mengajar anak-anak yang akan mengambil UPSR tahun ini, setiap hujung minggu bermula 7 April 2012. Duta TFTN."

Sewaktu sekolah rendah kita semua mungkin adalah murid ‘bintang’. Bagaimana boleh mengaku sebagai bintang jika tidak menyinar malam? Bagaimana boleh menjadi sesuatu yang bercahaya di langit tinggi, tetapi tidak berfungsi untuk menunjuk jalan?

Gelar yang diterima semua palsu. Saya bahkan batuan meteoraid yang bersepahan di angkasa tinggal untuk dinyahkan masa!

Guru-guru TFTN inilah sebenarnya bintang masa depan. Ketika kami bertanya, kenapa menyanggupi tugas tidak bergaji dan upah ini, “saya dulu pun seperti anak-anak ini. Tidak reti baca, mengira dan menulis. Tetapi ada guru yang telah mengorbankan segala masa yang ada untuk mendidik, sehingga saya sendiri menjadi seorang guru.”

Yang lain menjawab, “pendidikan asasnya adalah memberi ruang dan peluang. Mereka yang berada dan ibu bapa yang mempunyai kesedaran akan bergolak gadai memberikan pendidikan terbaik, tetapi mereka yang mendapat gaji bulanan di bawah paras kemiskinan bagaimana?”

Subhanallah. Ini jawab guru-guru muda yang bagi saya merekalah SuperGuru.

Saya bersyukur bertemu dengan cikgu-cikgu yang meletak hormat dengan profesion perguruannya. Hanya dengan hati nurani kita akan dapat mendewasakan dan mematangkan generasi masa depan penuh kasih sayang dan cita-cita murni!

Terima kasih Cikgu, Selamat Hari Guru. Kami sayang cikgu!

Sertai kami di TFTN.

Bank: Affin Islamic

Nama: Teach for the Needs Consultancy

No. account: 10-671-000033-3

Friday, May 11, 2012

Membina Karakter

Saya selalu berfikir mereka yang merendah diri, jujur, amanah dan selalu bersikap lunak, adalah mereka yang rugi serba serbi. Kadang-kadang orang memberi label ‘lurus bendul’ dan ‘pak turut’. Sebahagian besar mereka menganggap golongan ini tidak berpotensi.  Kerana ramai di luar sana adalah opurtunis dengan keinginan dalam diri mereka yang pelbagai. Selalu melihat ruang dan peluang untuk mendapatkan apa yang mereka mahu. Kata saya, kita bukannya main bola dan kita bukannya stricker yang ditugaskan untuk menjaringkan gol. Kita cuma hamba yang diberi peranan untuk menyembah Allah.
“Sebab kita lemah dan jumud begitu baru musuh galak mengambil peluang!” Kata kawan yang revolusioner.
Saya senyum. Mahu menyangkal pendapatnya kerana dalam banyak perkara saya menyaksi keajaiban Tuhan dengan erti kata ‘Dia bekerja penuh rahsia’.
“Akhir-akhirnya ini saya selalu teringat Nabi. Seolahnya dia sangat dekat dan sedang memberi pesan-pesan.”
“Apa yang Nabi bisik?” sedikit sinis tapi saya membiarkan sahaja.
“Nabi 'tak bisik. Cuma baginda beri sejarah untuk kita renung dan fikirkan.”
“Kalau bercakap tanpa berfalsafah ‘tak boleh ke?”
“Tak boleh, sebab makan pun ada falsafah, hidup suami isteri pun ada, malah segala.”
Saya tidak menunggu lama untuk menyambung, “selama 40 tahun Rasululullah membina karekter meski diasak oleh keadaan sekeliling yang korup dan bejat. Sehingga baginda digelar Al Amin. Ramai yang tidak sedar gelar Al Amin diberi oleh masyarakat jahiliyyah. Kredibiliti dikenal meski dalam belenggu moral dan akhlak yang merosakkan.”
“Maksudnya?”
“Maksud, kalau sekarang kita katakan bahawa sukar untuk punya akhlak yang baik kerana faktor persekitaran, kita salah. Kerana Nabi telah membuktikan yang lain.”
“Hello! Nabi itu Nabi mana boleh kita samakan.”
“Hello, Nabi itu tetap manusia kalau macamana pun kita mahu fikir, tetap manusia.”
“Nabi dan kita, tertakluk atas perkara yang sama. Diberi pilihan.”
“Kita tidak pernah nampak 40 tahun dalam pembinaan karekter ini perlu dibincang dengan kritis.”
“Apa yang perlu kita bincangkan pun?”
“Tempoh 40 tahun dengan pengekalan sifat jujur, amanah, menepati janji dan segala telah menyebabkan masyarakat Jahiliyyah memberi gelar Al Amin padanya. Kalau peribadi dan akhlaknya tidak dikenal dan diiktiraf, tentu sewaktu masyarakat Arab berbalah nak letakkan Hajar Aswad mereka tidak sepakat setuju Nabi Muhammad paling layak untuk jadi moderator di kalangan mereka.”
“Ya, malah sebulat suara.”
“Sehingga baginda dapat wahyu dan mengaku sebagai Nabi. Masyarakat jahiliyyah sebenarnya tergoncang dan ada keraguan. Mustahil Al Amin yang digelar mereka, menipu?”
“Ya, sebab gelar Al Amin tu mereka sendiri yang bagi. Kalau kita nak tengok lagi jauh, Al Amin itu bukan gelar tetapi cerminan peribadi Nabi.”
“Betul. Masalah kita rasa bila kita bersikap jujur, amanah, lunak, berkata benar tu perbuatan pasif. Padahal ia adalah sebenarnya aktif.”
“Maksud?”
“Kalau kita mahu kesan jangka pendek memang jadi mereka yang meredah diri tu macam agak rugi. Tetapi kesan jangka panjangnya untung. Sebab orang akan menyebut kebaikkan-kebaikkan mereka bila bercerita dengan orang lain. Contoh paling mudah mungkin bila mereka mahu describe “Ala Salsabila yang cakap dengan sopan santun dan mudah senyum tu?”
Kawan diam sebentar. “Nama disebut dengan diiringi doa kebaikkan.”
“Ya. Bukankah lebih bermakna begitu.” Saya menghirup kopi. “Tapi bukan itu yang kita cari. Pembinaan karakter ni ada banyak dimensi. Dan kalau kita lakukan kerana mencari redha Allah, lagi cantik.”
“Kira membina karakter cemerlang ni boleh digolongkan sebagai jihad tak?”
“Kalau tanya aku, jawabnya ya! Lebih-lebih lagi bagi mereka yang ada jawatan dan berkedudukan. Tahu tak apa yang dipesan Beng Chu? ‘Kalau sekali seorang yang bijak melakukan kekeliruan, di belakangnya terdapat ramai orang bodoh yang mengulangi kekeliruan itu.
“Tapi kalau macam ni pun kira cam main bola juga.”
Saya angkat kening.
“Jadi defender. Kita tak jaringkan gol, tapi kita mempertahankan gawang dari diceroboh.”
"Betul, dalam erti kata lain mempertahankan agama dengan akhlak."

Thursday, May 10, 2012

Super Moon

Bulan dan keindahannya, selalu mempersonakan. Kata mereka, wajah Nabi ibarat bulan. Menyinari malam yang gelap gelita dengar sinar yang terang. Begitu indah, membuat hati-hati rindu dan tersayat, sehingga ingin terbang ke Kubah Hijau. Andai di badan ada sayap.

Fenomena Super Moon berlaku pada 5,6,7 Mei 2012 yang lalu. Bila melihat langit, bulan sedang menyinar dengan saiz yang paling besar dilihat mata. Di internet, bertebaran imej Super Moon dirakam jurugambar profesional dan amatur. Mereka jadi gila dengan imej kosmik yang datang jarang-jarang. Hasilnya, subhanallah. Seakan-akan bulan menampilkan diri dan mengucapkan salam. "Salam kembali padamu hai bulan. Sungguh kau pengubat hati-hati yang merindu."


Kerana bulan juga kami dilimpahi tuah dengan cerpen bertajuk, "Bila Bulan Muncul". Dibawakan potongan fragmen yang membuat hati bertambah rindu pada pemilik telaga Haudh, Muhammad Rasulullah.


“Bintang Hurban, Turaq, Zi-al, Zulkiftani, Qabisth, Wathab, Amud, Faluq, Masbah, Saduh dan Zul Qarh ialah nama 11 bintang yang sujud pada Nabi Yusuf dalam mimpinya kan Long? Dan 3 serangkai bintang yang sejalur itu bintang Orion?” Al Qaim bertanya pada Ashrar. Ashrar mengangguk.


Cuba kamu bacakan tafsir surah Al Qamar”. Al Qaim membetulkan duduk, membuka rehal, meletakkan Quran tafsir Maulana Yusuf Ali dan membacakannya jelas.

“Bismillahirahmanirrahim. Telah hampir Saat dan terbelahlah bulan. Mereka menolak mukjizat dan mengikuti hawa nafsu. Sedang setiap perkara masanya telah ditentukan”.

“Kamu perlu benar-benar percaya bahawa bulan telah terbelah secara hakikat, bukan ilusi”.

“Macamana? Mukjizat hanya akan benar-benar buat orang yakin jika kita sendiri yang menyaksikannya”, pertanyaan Al Qaim yang jujur membuatkan Ashrar diam. “Long, macamana Nabi belah bulan?”

“Dengan jari. Secara isyarat, dari bumi. Waktu itu pihak musyrikin Makkah meminta Nabi untuk mendatangkan satu mukjizat sebagai bukti kerasulan. Dalam waktu yang sangat getir inilah Nabi berdoa supaya kebenaran dapat memihak dirinya. Allah mengilhamkan Nabi untuk menggunakan jari membelah bulan. Memang bulan betul-betul telah terbelah untuk beberapa jam. Sebelah kelihatan di atas Gunung Saffa, sebelah lagi di atas Gunung Kaikaan. Tapi orang-orang musyrik fikir yang Nabi telah membuat tipu helah. Membuat magik. Sehinggalah pedagang yang berpergian, kembali semula ke Makkah dan mengesahkan mereka juga melihat bulan terbelah di padang pasir. Kamu tahu, ahli astronomi juga telah menjumpai ‘Rocky Belt’. “Rocky Belt” ini ialah satu garisan yang menganjur di seluruh permukaan bulan dan dijumpai kesannya mendasar sehingga ke pusat bulan. Pakar geologi membuat kesimpulan, garisan ini mustahil ada, kecuali, satu masa dahulu berlaku kejadian gempa bulan yang sangat dahsyat yang mengakibatkan bulan terbelah dua, seperti mana kita memotong buah tembikai ini untuk kita makan”, tembikai kuning kemudiannya dipotong kecil-kecil, Al Qaim mengambil satu potong.

“Yang lebih ajaibnya Qaim, bulan yang telah terbelah dua itu kembali bercantum semula. Pernah kita dengar selepas berlaku gempa bumi, bumi tercantum semula? Tidak pernah kan?”

“Kamu tahu Qaim, kerana kejadian mukjizat hebat inilah, seorang Raja India memeluk Islam di tangan Rasulullah”, Al Qaim membalikkan badannya mengadap Ashrar, kagum mendengar, menuntut diberi penjelasan.

“Namanya Raja Chakrawati Farmas. Sebenarnya ini kisah tradisi lama dari daerah Malabar, India. Cerita ini juga ada ditulis dalam hadith yang diriwayatkan dari sahabat Nabi, antaranya dari Abu Said al Khudri. Satu malam Raja Chakrawati telah menyaksikan peristiwa bulan terbelah, malam ketika Nabi membelah bulan. Raja sendiri telah lama belajar dari kitab-kitab bahawa seorang Nabi akan diutuskan dari Semenanjung Arab. Menyaksikan kejadian yang ajaib ini, Raja Chakrawati tahu yang masanya telah tiba. Segera Raja menyerahkan takhta kerajaan kepada anaknya dan menyediakan peralatan belayar untuk pergi menemui Rasulullah. Sepanjang perjalanan Raja Chakrawati telah berhenti di Koylandi, kemudian di Dharmapatnam dan berhenti di situ selama 3 hari. Kemudian barulah Raja meneruskan perjalanan ke Shahr Muqalla. Raja masuk Islam di tangan Rasulullah sendiri. Setelah mendapat hidayah, Raja berhasrat untuk berdakwah di negerinya. Rupanya, Allah lebih sayang pada pencinta kebenaran ini. Sebelum sampai di Malabar, Raja Chakrawati mangkat di pelabuhan Zafar di Yaman, di mana batu nisan ‘Raja India’ masih lagi dilawati orang sejak berkurun zaman. Mungkin satu hari, kamu boleh melawat Raja India itu Qaim”, Al Qaim memandang Ashrar tidak berkerdip.

Bulan besar membawa petanda lain. Banyak diceritakan dalam hadith antara petanda zaman akhir. Apa-apa pun, senyum sahaja melihat bulan muncul, kerana seolahnya Nabi sedang bersama-sama kita. 

Wednesday, May 09, 2012

Dosa pada Agama

Saya menulis status berikut dalam facebook.
“Saya mendengar cerita dari seorang pembaca. “ketika saya membuka buku dalam LRT dan mula membaca, semua mata tertumpu ke arah saya seolahnya saya tidak berpakaian.”
(Untuk yang membaca status ini, sila betuli visual yang muncul dalam kotak fikiran anda. Pembaca tersebut ialah seorang lelaki ya.)
Kalau saya boleh berkata balas pada pemuda tersebut saya akan katakan, “membaca itu seksi.”
Ia adalah situasi benar yang saya kutip dari perbincangan di bilik Kedah-Kelantan di PWTC sewaktu Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur. Cuma saya tidak sempat menegur dan memberi cadangan bahawa “membaca itu seksi.” Sekarang saya cuba sedaya mampu untuk membaca setiap hari bukan kerana seksi tetapi atas dasar lain seperti yang diceritakan di bawah ini. 
Rakan menyatakan kekaguman kerana saya punya upaya untuk menerbitkan entri di blog hampir setiap hari. Saya hadiahkan senyum bermakna. Jawab pada kawan, “Entri-entri saya adalah petunjuk kepada keinsafan. Saya tidak mahu lagi berdosa pada agama.”
Dia membeliakkan mata, “bagaimana boleh sampai jadi berdosa?”
“Saya baru dapat mendapat kesimpulan bahawa ada kaitan membaca dan menulis. Untuk kes saya dengan aktif membaca sahaja saya mampu menulis.”
Kawan sabar menunggu penjelasan seterusnya.
“Sebenarnya ia bertitik tolak dari buku, Mengapa Yahudi Berprestasi karya Drs. H. Toto Tasmara. Dalam buku tersebut mengatakan ‘spend your money on expensive books and you will get their worth in golden knowledge’. Di akhir bab yang membicara tentang budaya membaca orang Yahudi, Tasmara menyimpulkan betapa ironi umat Islam yang mengatakan Iqra’ dalam Quran. “Kita gemar menghafal dan mengucapkannya, sementara bangsa lain gemar melaksanakan dan membuktikannya.” Patah perkataan ini menyayat jiwa sehingga robek.”
“Ya, kalau pun begitu bagaimana kita boleh jadi berdosa?”
“Mungkin cara berfikir saya aneh. Saya hairan kenapa di kalangan cerdik pandai agamawan kita yang cenderung menetap hukum hakam perintah halal haram dalam hal fekah. Tetapi menetapkan hukum dalam soal budayakan membaca langsung tidak ada!”
“Tapi meletakkan sendiri hukum sebagai berdosa bukan berat ke?”
“Saya tidak tahu. Setakat hari ini saya masih belum berjumpa membaca sebagai kewajiban cuma galakan yang terangkum dalam hadis. Padahal seruan cukup jelas dalam Al Quran, “Bacalah! Dengan nama TuhanMu yang menjadikan.”
Saya memandang kawan dan bertanya, “kalau ia ayat perintah dan kita tidak menyahut, di manakah letak hukumnya?”
Kawan geleng dan mengangguk berturutan. Tidak tahu mana satu. Mengeya atau menidak.
“Haji juga seruan bukan? Kita menyediakan mental untuk mengerjakannya cuma tinggal waktu dan jemputan Allah untuk disempurna. Sudah cukup semua bekal dan keperluan ianya wajib meninggalkan berdosa. Jadi di mana kita dalam meletak seruan dan perintah baca?”
Kawan merenung hadapan kosong. Saya yakin cepunya ligat berfikir.
“Saya dapat keyakinan dan iman sekaligus, membaca itu perintah yang lama saya buat tidak endah dan dengar. Selepas membaca buku Drs. Tasmara, saya merasakan ada tangan yang melempang pipi sehingga tersembam ke tanah. Begitu yang saya rasa.”
Ruang legar PWTC yang sarat orang itu terasakan kosong tiada penghuni.
“Saya berdoa hari-hari agar Allah beri kekuatan, akan ada masa lapang yang dapat digunakan untuk baca. Hanya dengan itu, saya dapat hilangkan rasa berdosa.”
“Menulis pula?”
“Menulis bertitik tolak dari harapan kecil saya, untuk menghampiri taqwa. Setiap hari adalah pesan pada diri yang utama, jika ada berbekas di hati orang lain saya ucapkan syukur. Saya berdoa agar Allah memulangkan kebaikkan yang mereka lakukan (dengan membaca entri dan karya), dibalas dengan kebaikkan yang berlipat-lipat kali ganda.”
“Tanggungjawab semua orang berpesan-pesan. Kita tidak perlu akhbar Metro yang porno sebagai bahan baca yang boleh merosakkan masyarakat.”
Saya gelak. Kuat. 100% bersetuju. Semoga akhbar yang tidak berperanan untuk memberi maklumat penting dan mendidik masyarakat diharamkan terus!

Saturday, May 05, 2012

Bahagia atau Makna?


Kalau cari bahagia, sesudah bekerja dan punya keluarga sudah cukup. Jalani kehidupan seharian dengan tenang, buat amal sedikit sebanyak. Selesai. Hidup tenang jamin bahagia berpanjangan.

Tapi akan ada orang bagi komen, tidak juga begitu. Kerana bahagia cuma dapat bila semua keinginan dipenuhi, jalan salah jalan betul itu jadi soal kedua. Tapi akan timbul soal seterusnya, keinginan manusia bilanya akan habis? Ada penghujung? Tidak ada. Noktah. Meski dalam soal tingkatan iman dan taqwa, juga begitu. Tiada penghujung sehingga kita tahu Allah redha. Soalnya siapa tahu.

Saya ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, Ahad lalu. Tiada rancangan pun, cuma kerana selesai kelas tiada tempat dituju, diajak rakan untuk mencari buku. Dan dicadangkan untuk membeli buku ini, Che Guevera.

Siapa Che? Saya sangat polos kan kerana tidak tahu. Atau ignorent kerana tidak membuka jendela kepada dunia lain selain dari Malaysia.

Che Guevera adalah seorang sosialis tulen. Kalau esok hari pekerja, ia sebenarnya hari untuk Che Guevera. Sebab dia adalah sosok yang ikhlas membela golongan tani dan bawahan yang ditekan oleh pemodal yang masuk ke negara Cuba. Kenal negara Cuba? Ya, Che Guevera adalah rakan seperjuangan masuk dalam hutan dan melancarkan tantangan kepada pemerintah bersama Fidel Castro.

Che begitu dikagumi kerana dia bagi saya adalah orang yang memakai slogan berikut, "kata itu kota!" dalam jiwanya. Membuat apa yang dijanji, tidak mungkiri. Sanggup bersusah dengan orang bawah dan tidak pernah menjadi gelaran dan pujian.

Analisa dangkal saya ialah golongan muda yang turun untuk Bersih mungkin mengambil Che sebagai inspirasi dan pemangkin untuk berjuang.
Soal saya kenapa mahu susah? Kenapa menempah mehnah. Perjuangan belum tentu berjaya, kalau berjaya sekalipun belum tentu akan berlanjutan. Kalau berjaya, dengan apa mahu diisi dengan kejayaan itu? Rata-rata yang keluar berbaju kuning tidak mempunyai jawapan.

Untuk seorang lelaki/individu bahagia itu sekunder soal kedua. Mungkin? Lelaki-lelaki gagah di luar sana boleh menyanggah saya. Yang lebih penting pada kehidupan ialah persoalan makna. Citra sempurna seorang lelaki bukan duduk dalam rumah dan bersenang. Mereka adalah makhluk juang yang penuh api.

Front line zaman Nabi adalah lelaki. Front line zaman Crusaders lelaki. Front line bersama Sultan Muhammad Al Fateh lelaki. Front line dalam tradisi keilmuan juga majoritinya lelaki. Ini api untuk kebaikkan dan kemajuan ummat. Tetapi saya terfikir juga, tiadakah perempuan yang mengisi tradisi keilmuan dan menjadi pejuang sebaris lelaki? Tentu ada kan, cuma saya belum pernah berjumpa dan baca.

Api jika tidak disalurkan bagi membakar untuk kebaikkan, ia akan membakar untuk kejahatan dan kezaliman. Kerana itu banyak hal-hal pelik bapa yang memukul anak dan isteri. Bapa yang meratah anak sendiri. Yang menjadi samseng, clubbing, segala macam kerosakkan moral.

Menjadi api mungkin adalah nature untuk sesetengah orang, mungkin nature untuk semua orang. Soalnya, di mana perlu kita salurkan.

Api tidak selalunya perlu membakar. Kadangkala ia adalah petanda magis, petunjuk kepada kekuasaan Tuhan seperti api yang membakar Ibrahim.

(entri ini patut keluar 1 Mei sempena hari pekerja tetapi lupa pula jadualkannya :p)

Friday, May 04, 2012

Proses Kreatif Gagasan Jurutera Fityan


Idea untuk menulis mengenai kejuruteraan awam sudah lama. Untuk Gagasan Jurutera Fityan (GJF) ia bertitik tolak kepada soalan yang terlalu banyak ditanya rakan-rakan “kenapa saya menulis karya kreatif?” Menulis karya kreatif bukan norma dalam bidang saya, malah selalu ditafsirkan sebagai aneh. Pada permulaannya saya pun rasa begitu. Namun menulis kreatif bagi saya telah menjadi tanggungjawab dan juga sebagai penghubung keilmuan. Sebagai penghubung ilmu ia boleh dalam pelbagai bentuk, samada dalam bentuk karya ilmiah mahupun kreatif.

GJF lebih fokus untuk mengangkat pelopor bidang teknis dan kejuruteraan iaitu Al Jazari dan Taqi Ad Din. Konsep kejuruteraan yang dibina bukan sekadar untuk memudahkan urusan manusia malah berfungsi lebih dari itu. Menampung makna untuk faham tentang penciptaan dan Maha Pencipta. Tetapi oleh kerana praktis teknis berkiblat Barat, sumbangan mereka tidak mendapat tempat dalam karya akademik dan ilmiah.

Namun tujuan utama GJF adalah sumbangan kecil untuk menghargai guru-guru yang telah berjuang dalam bidang ini dan mengajar peradaban itu tidak semestinya muncul dari blok konkrit dan keluli. Lebih spesifik ia diinspirasi oleh guru murabbi, Profesor Sr. Ir. Dr. Haji Suhaimi bin Abdul Talib, ya tanpa gelaran Dato’. Seorang jurutera profesional, surveyor profesional, doktor falsafah, seorang Haji. Juga dedikasi kepada guru beliau dan guru saya, arwah Prof Haron Hj Ismail yang pertama kali saya munculkan dalam karya “Langit Permulaan” dalam antologi cerpen Istana Cinta Ayah. Pensyarah-pensyarah yang telah mendidik dengan sempurna. Rakan-rakan, alumni dan pelajar-pelajar kejuruteraan awam seluruhnya. Juga guru yang mengajar menulis, Dr. Mohd Faizal yang memperkenal makna dan tujuan fityan dan ulul albab.

Semoga mereka sebagai unsung heroes dalam pembangunan dan peradaban negara, yang merealitikan binaan yang tersergam indah dan melukiskan landskap Kuala Lumpur dan seluruh Malaysia, penghubung jaringan perniagaan dan kebudayaan melalui pembinaan jalanraya dan jambatan, yang melestari alam sekitar dikenali pula melalui karya kreatif.

Seperti mana harapan dalam GJF untuk sesuatu binaan menampung makna, seperti itu juga harapan untuk GJF yang saya hantarkan untuk semua. Semoga apa yang kita lakukan menyimpan makna dan jambatan ke arah menjadi manusia bertaqwa.

Selamat Hari Pekerja/Guru, jazakallahu khairan katsiran. Saya tiada hadiah seadanya yang boleh menyamai jasa kalian melainkan doa, yang diserah pada Allah.

ASaL Turabiy
Kampung Sungai Gau Temerloh
1 Mei 2012
http://wadikita.blogspot.com

Thursday, May 03, 2012

Gagasan Jurutera Fityan

Alhamdulillah di Tunas Cipta edisi Mei 2012 capaian ringkasan di sini.


Versi majalahnya pun saya belum lihat, pergi ke Pesta Buku tidak sempat menyinggah lagi (Kira ada alasan yang kuat untuk datang ke PBAKL lagi dan lagi) :)

Apa dia Ulul Albab?
Apa dia fityan?
Apa dia gagasan Jurutera Fityan?

Sila cari majalah Tunas Cipta ya kita baca sama-sama, InsyaAllah.

(sila komen dan kritik, terbuka untuk pembaikkan bersama-sama).