Saturday, June 30, 2012

Ajari kami menghayati, Cikgu

Sejak dahulu saya kagum dengan guru-guru. Betapa ilmu mereka mengkagumkan, dan bagaimana dengan tunjuk ajar yang minimum membolehkan anak murid mendapat kemahiran asas membaca, mengira dan menulis. Akhirnya mereka menjadi profesional yang berkhidmat untuk negara dan syarikat multi-nasional.

Saya selalu sayang guru. Mungkin kerana arwah Ayah saya juga seorang guru. Saya selalu ingat ketika di sekolah agama rendah (saya hanya belajar sekolah agama rendah dua tahun iaitu darjah 5 dan 6 sahaja), ketika kami diminta membuka kitab Akhlak. Bukunya lebih besar dari buku Sejarah, Fiqah dan Tauhid. Tetapi lebih nipis. Kulitnya berwarna kuning dan muka depannya gambar masjid dengan kubah yang bulat dan besar.

Antara pelajaran akhlak ialah tentang hormat ibu bapa dan kemudian guru. Pelajaran akhlak inilah yang paling meresap dalam jiwa. Entah bagaimana? Jiwa anak-anak saya begitu.

Lantas pelajaran apa pun untuk saya jadi mudah. Meski saya tidak pernah bersekolah agama dari darjah 1 hingga 4, tetapi ketika pertama kali berada di bangku sekolah agama di darjah 5, saya sudah menempatkan diri di 3 tempat teratas. Meski itulah pertama kali dalam tempoh 4 tahun saya diperkenalkan semula dengan perkataan Arab. Sedangkan rakan-rakan sekelas yang lain adalah penuntut sekolah agama semenjak dari darjah 1. Saya tidak bersekolah petang kerana jarak sekolah dan rumah jauh. Sehingga darjah 5, sekolah dekat dengan rumah siap didirikan.

Dewasa ini baru sepenuhnya saya sedar magis yang boleh dibawakan oleh seorang guru. Andai saya tidak mampu membaca, andai saya tidak mampu mengira, andai saya tidak mampu menulis. Di dunia apakah yang akan saya diami?

Saya mensyukuri kerana guru-guru saya mengajari sehingga saya pandai. Tidak meninggalkan saya walau saya masih terkial-kial tidak tahu meraut pensil guna untuk menulis tulisan khat yang cantik. Membetulkan tajwid saya berulang-ulang sehingga boleh membaca Al Quran dengan tartil dan yakin. Begitu juga guru-guru yang sabar mengajar saya kemahiran asas, sehingga kemahiran kompleks dalam matematik, sains.

Mereka hero yang dijelmakan dalam hidup. Saya baru sedar sepenuhnya.

Namun seberapa besar magis yang mereka bawakan untuk saya, saya paling menghargai nilai yang mereka bawa. Sungguhpun Ustaz Ustazah mengajari kami teori dalam agama, saya menemukan paling banyak saya belajar tentang penghayatan agama, adalah dari guru-guru sekolah sekular saya.

Mereka mengajari menghormati masa.
Mereka mengajari mendaulatkan nama dan profesion untuk menjadi manusia berbudi pekerti.
Mereka mengajari untuk memberi tanpa mengharapkan ganjaran.
Mereka mengajari untuk melihat orang samarata tanpa perbedaan kasta, kedudukan dan asal usul.
Mereka mengajari agama tanpa berkorban itu adalah rasa yang mati.
Mereka mengajari bertimbanglah dengan adil dan saksama, kerana kehormanian dan keseimbangan bermula dari situ.
Mereka mengajari ilmu itu akan hinggap pada manusia pemberani.
Mereka mengajari meski dari anak murid sendiri pun kita boleh pelajari sesuatu, hatta dari tukang sapu sampah.

Allah. Hadiah apa yang Kau berikan padaku?

Satu hari hati saya tergerak untuk melihat perkembangan salah seorang guru murabbi saya di Facebook, ini katanya,

"To all my students...you have been too kind with your words of thanks. You may think that I have taught and guided you to make you what you are today. I wish wish to share a very important but hidden fact...it is the experience of teaching all of you that had taught me so much and made me what I am today. For this...from the bottom of my heart I thank all of you."

Ya, saya tidak dapat menahan melainkan dengan mengalirkan air mata. Saya menyayangi mereka sepenuh hati, andai saya masih punya umur, saya berdoa tidak akan ada satu hari pun yang saya tidak doakan untuk mereka.

They are the living words and wisdom. They walk the talks. That is why their words is so powerful and magical.

Oo Allah, strengthen them with Your Guidance. Embrace them with Your kindness and love.  



p/s: Salam to late Prof. Haron Hj. Ismail, Ramadhan is coming You already here even Ramadhan is still weeks to come.


Friday, June 29, 2012

Efektif dalam Menuntut Ilmu

Adik-adikku yang disayang,

Dulu kau minta nasihat bagaimana mahu menjadi pelajar yang cemerlang. Sudahku katakan teknik belajar paling efektif telah ditunjukki Nabi.

Ketika Nabi di Gua Hira', Jibrail menyebut Iqra' tiga kali sebelum Nabi melafaz ayat yang sama. Jawapannya pada mendengar. Nabi menunjukkan cara bahawa belajar itu hulunya bukan membaca teks, tetapi fokus mendengar.

Jangan merungut bila guru mengulang banyak kali. Ia adalah untuk tujuan ingat. Supaya suara gurumu bergema di telinga dan dalam hati ia meresap.

Doaku, moga redha Nabi meliputimu adikku, ketika kau melaksanakan sunnahnya dalam menuntut ilmu.

Thursday, June 28, 2012

Memaknakan semula erti memberi

Minggu lepas yang lalu, Teach for the Needs (TfTN) telah memberi saya peluang meneroka ruang baru. Saya diberi ruang oleh mereka yang berhati nurani untuk bersama-sama mereka memperkenalkan program tusyen percuma untuk anak-anak yang tidak bernasib baik. Berada di tengah sekelompok yang percaya bahawa peluang itu patut diberi samarata, tidak kira miskin atau kaya, telah memaknakan semula erti memberi.

Duta-duta kami adalah guru-guru yang mewakafkan sebahagian dari masa untuk mengajar mereka di kelas corot dan tidak berkemampuan untuk berada di kelas tusyen. Lebih membanggakan pelatih guru yang belum lagi bergraduasi, tetapi sudah tahu mahu berperanan di mana. Mereka ini pergi ke rumah anak yatim dan juga mewakafkan masa mereka untuk mengajar.

Saya? Saya cuma kumpulan sokongan yang begitu terharu dengan pengorbanan yang sanggup mereka lakukan.

Kami membuka booth di pameran KL Alternative Books yang bertempat di Annexe (sebelah Pasar Seni, Kuala Lumpur) memperkenalkan TfTN pada massa. Satu program yang menyeronokkan kerana inilah pertama kali kami, kumpulan sokongan dipertemukan empat mata dengan duta-duta pengajar di seluruh Malaysia dan juga sukarelawan.

Aneh. Kami bertemu hanya di Facebook, tetapi di KLAB kami menjadi keluarga! Subhanallah.

Banyak cerita yang ada mungkin dapat dikongsikan dalam ruang yang lain, insyaAllah, doakan.

Tetapi yang paling mengujakan saya bila Allah pertemukan kami dengan seorang pengidap Dyslexia yang sekarang sudah menjadi seorang arkitek yang berjaya. Allah. Sungguh mencengangkan pertemuan ini, kerana baru berbincang tentang masalah keciciran, autisme dan dyslexia, kami dipertemukan dengan orangnya. Malah berjaya melepasi masalah dan menyumbang pada negara!

Membuka booth bukan semudah yang disangka. Lebih-lebih lagi untuk dua hari, melepaskan santai hujung minggu. Tetapi duta-duta ini telah membuat hati saya basah dengan kesungguhan mereka.

Kata mereka balasan untuk mereka adalah apa yang dipamerkan oleh anak-anak tercicir ini. Antara lain "Cikgu kenapa Cikgu lambat, mari kita mulakan kelas." Ada yang cuba membaca bersungguh-sungguh meski mereka tidak tahu bagaimana. Ada yang Cikgu mereka terpaksa batalkan kelas, mengetuk pintu kelas Cikgu lain mohon untuk diajari. Dan mereka tidak kisah meski terpaksa menulis di atas lantai.

Saya mengutip kata-kata dari rakan yang diambil dari Gandhi, "seven things spoil rights: politics without principles, pleasure without conscience, wealth without work, knowledge without values, commerce without morality, science without humanity and worship without sacrifice."

Mereka mengajari saya memaknakan semula erti memberi. Yang ingin mereka hantarkan ialah, ilmu yang sebenar adalah dengan nilai. Nilai itu bukan untuk dibahaskan, dicaknakan dengan wacana akademik. Nilai itu yang telah memakna dalam diri, dan makna itu dipersembahkan dengan tindakan.

Mewakafkan waktu itu mahal harganya, seperti mana yang telah dirintis oleh Badiuzzaman Said Nursi.

Allah, lambat betul saya belajar. Moga saya tidak terlambat.

Bersama kami, di TfTN, sedikit pun menyumbang. Dengan doa kalian, kami akan terus berbakti insyaAllah.



Friday, June 22, 2012

Nasihat

Nasihat, bentuknya sangat baik tetapi ia sangat bergantung kepada penerima. Adakala kita menolak untuk mendengar nasihat, atas banyak sebab. Tetapi antara sebab yang saya dapat kenal pasti adalah kerana ego. Selalu kita merasakan yang kita lebih baik dari orang lain, kerana itu kita merasakan mereka tidak berhak untuk menasihat.

Begitu juga dengan anak muda yang saya berkesempatan berbicara panjang. Sebelum dia meninggalkan kami di sini atas tujuan untuk mengejar cita-cita yang dekat di hatinya.

"Saya seorang yang panas baran. Jadi saya sukar mendengar nasihat."

"Simpan sahaja panas baran awak itu, ia tidak akan membawa kita ke mana-mana."

Dia senyum. Dia masih mahu menyimpan baran. Saya tahu dia muda, dan ketika saya di tempatnya juga mempunyai sikap yang sama.

"Bila awak perhatikan baik-baik, orang yang berani memberi nasihat dan tunjukkan jalan yang betul, ialah mereka yang sayang pada kita."

Anak muda ini mengangguk kemudian mengerutkan dahi. Susah mahu menerima saranan saya agaknya.

"Satu hari nanti awak akan tahu. Bila awak berada di tempat saya, siapa yang akan memberi nasihat? Nul. Hampir tiada. Tetapi nasib hidup saya berbeza, tetap akan ada orang datang dan beri nasihat, walaupun kita nampak seolah mereka sedang memarahi/perli kita kaw-kaw punya."

"Kalau keadaan macam ini berlaku, macamana mahu bereaksi?"

"Setiap kali kena macam tu, meski di tengah audien yang ramai, saya akan senyum. Dalam hati saya akan kata macam ini, 'Kalau ya pun sayang pada saya, tak payah la nak buat announcement'. Hati awak akan jadi lebih gembira."

"Boleh ke buat macam tu?"

"Hakikatnya memang seperti itu. Awak marah pada nasihat itu persepsi. Awak berlapang dada pada nasihat yang diberi juga persepsi. Kitalah akhirnya yang memilih."

"Dengarlah dengan hati terbuka, kita akan jadi lebih sihat. Mungkin sebab tu dalam perkataan nasihat ada kata SIHAT."

Thursday, June 21, 2012

Kata-kata

Saya lahir dari sekolah jurutera. Kata-kata mulus, tulus, manis, penenang jiwa seolah tidak pernah ada di kelas kami. (Maki hamun adalah) Tapi jauh dari sudut hati dan akal fikiran, kami tahu pensyarah kami berniat baik, cuma ekspresi itu tidak budayakan. Kami perlu jadi sekental batuan, konkrit, simen, kayu dan keluli. Begitu. Itu sekolah yang saya dilahirkan daripadanya.

Saya jadi terfikir, kata-kata itu seperti apa?

Semalam saya baca dialog antara Sir Bernard Shaw dan Maulana Aleem Siddiqui. Huh, susah juga baca. Banyak terma tinggi yang tidak dapat saya cernakan (al maklum dictionary tak pernah ada). Tetapi saya tertarik ketika Bernard Shaw perlu memberhentikan perbualan kerana kapal akan berlepas. Shaw mengekspresi rasa kesalnya kerana tidak dapat berlama-lama untuk dapat berwacana dan beliau juga mengiktiraf ketinggian ilmu Maulana. Antara lain butir bicara Shaw (yang dituliskan secara terjemahan bebas)

"Dialog yang berlangsung sekejap ini dapat meneman saya untuk bertahun-tahun akan datang."

Huish. Dialog boleh jadi peneman, dalam maksud lain kata-kata boleh jadi kawan? Biar betul ini.

Tadi saya dapat kata-kata yang baik dan perangsang dari email. Untuk orang yang bermurah hati menuliskan untuk saya, jazakallahu khairan.

Akhirnya saya faham, kata-kata itu juga boleh jadi seperti air yang menyirami tumbuh-tumbuhan ketika musim kering dan kemarau. Bagaimana dengan ada air, pokok-pokok akan jadi lebih hijau dan tambah serinya, seperti itu juga yang saya rasa. Rejuvenate (betul ke eja ni? si pemalas tanpa dictionary).

Kata-kata ada magis tersendiri. Saya baru faham dan percaya. Kerana itu mukjizat yang diberi kepada Rasulullah ialah melalui kata-kata, words, yang disempurnakan berupa Al Quran Karim.

Berkatalah dengan perkataan yang baik, ia mengandungi doa.

Sejak akhir-akhir ini saya kembali dapat bertemu dengan guru-guru sekolah kejuruteraan saya. Rupanya mereka juga punya ayat yang santun dan menceriakan hati yang mendengar.

Andai dapat saya pulangkan untuk membalas, saya akan ucapkan yang sama dikatakan oleh Sir Bernard Shaw kepada Maulana Aleem Siddiqui, "Terima kasih untuk penghargaan, terima kasih kerana menghadiahkan rakan yang akan menemani untuk hidup saya seratus tahun lagi."

(Ada suara sumbang kat belakang, "Jiwang karat". Suka hatilah :)) 

Tuesday, June 19, 2012

Terima kasih

Terima kasih kerana mengingatkan.

Satu hari saya membaca status Facebook seorang rakan. Dia mengenangkan nasihat orang penting yang penuh kebijaksanaan. Kata beliau,

"Hidup ini seperti mana bahan yang kita pelajari. Sebagai contoh, pekerjaan kita sebenarnya seperti bola getah. Walau dari ketinggian mana kita jatuh, ia tetap boleh melantun balik malah kadangkala lebih tinggi. Tetapi keluarga kita ibarat kaca atau gelas. Sekali terhempas, ia akan pecah bekecai. Bagaimana boleh menyambung kepingan kaca kecuali kita akan dapat melihat garis-garis kehancuran yang penah terjadi."

This few weeks I just can't think straight. Maybe I've keep my distance from God. May Allah forgive me for my sins and arrogant.

Kawan-kawan saya, adalah kawan-kawan terbaik seluruh semesta. InsyaAllah, saya selalu berdoa mereka kekal begitu. Merekalah yang mengingatkan, bahawa kegembiran tidak semestinya memiliki yang kita ingini. Atau makbul segala perancangan. Mereka mengatakan bahawa "there is more in life to just satisfy our own needs and desire."

Kegembiraan boleh terbit dari senyum bonda yang telah renta.
Kegembiraan boleh wujud dari senyum tawa anak-anak yang gembira.
Kegembiraan boleh datang dari redha orang lain pada kita.

Kata kawan, "we have only one family and it worth it to show that we love them."

Ujian tidak datang melainkan untuk membawa kita lebih dekat padaNya. Bila diuji percayalah kita adalah mereka yang dipilih bukan terpilih.

Terima kasih kerana selalu ada. Terima kasih kerana mendengar. Terima kasih kerana mengambil berat. Terima kasih atas nasihat. Terima kasih kerana mengenal. Terima kasih atas senyummu, kerana di situ ku rasakan hangatnya keikhlasan.

Terima kasih Allah, yang selalu dekat.  

Thursday, June 14, 2012

Kalau saya lebih pandai dolu-dolu


Ini gambar dapat dalam Facebook. Membaca dalam ruangan komen akhirnya dapat kesimpulan untuk belanja menunaikan Haji cukuplah 20 dinar sahaja. Hehe, nampak sikitkan berbanding RM10,000? 20 keping dinar je.

Kalau duit 20 sen hari ini keluaran baru Bank Negara (warnanya kuning dan seolah-olah Dinar pula rupabentuknya), saya kumpul sampai 20 keping, agak-agak dapat tidak pergi Haji?

Kalau saya lebih pandai dulu, pada tahun 2002 saya membeli dinar sebanyak 20 keping, duit yang perlu saya keluarkan ialah RM140 x 20 keping = RM2,800. Kumpul 20 keping dinar ni sampai tahun 2012, 10 tahun la lebih kurang.

Katalah mahu pergi Haji atau melancong pun boleh, jadi juallah 20 keping dinar ni pada tahun 2012. Dinar pada tahun ini setakat Jun 2012 ialah RM680. Saya akan dapat, jeng jeng jeng RM680 x 20 keping = RM13,600. Wow! (sebut macam saudagar unta cerita 3 Abdul).

Haha, kalau saya lebih pandai dulu-dulu menyimpan dalam logam murni seperti emas dan perak, tambang Haji hanyalah RM2,800. Hahaha (gelak menangis ni sebab tak pandai dulu-dulu, sekarang pun masih tak pandai-pandai lagi.)

Wednesday, June 13, 2012

Ekperimen Emas - 2

Eksperimen 3 – Apa yang disimpan dalam Emas dan apa yang disimpan dalam Wang Kertas

Saya diberi pinjam buku oleh teman dengan tajuk Satanic Finance. Buku yang kecil tetapi diceritakan dengan baik tentang asal usul wang kertas dan mengapa ia perlu diwujudkan. Mengejutkan, wang kertas diwujudkan dengan tujuan jahat, iaitu untuk memudahkan penjajah menjajah dan untuk mengekalkan kuasa politik. Jika bukan untuk dua perkara ini, wang kertas tidak perlu ada pun. Kerana ada wang kertas, perlu ada bank untuk menyokong industri ini. Manusia masih senang bertransaksi menggunakan dirham dan emas, atau menggunakan komoditi yang bernilai seperti tamar, beras, gula, garam dan sebagainya.

Susah juga nak terangkan ini. Jadi mudahnya, dapatkanlah buku kecil Satanic Finance dan bagaimana dunia ditipu dengan persepsi. Kita percaya wang kertas ada nilai. Ia cuma bernilai bila kita dapat beli barang di kedai. Tapi kalau dok elok dalam dompet, ia sebenarnya hanyalah sekeping kertas bercop agong. Pergi negara lain, baru kita sedar ia memang sekeping kertas.

Kalau dirham atau dinar ia tetap juga dapat beli barang. Kalau disimpan dalam dompet ia tetap bernilai walau tanpa ada cop agong. Kalau pergi negara lain, mereka juga dapat mengenal logam apakah itu, kerana emas kekal sebagai emas. Ia berkilau tidak kira sempadan mana pun.

Ada pepatah dalam Facebook saya kutip yang benar bunyinya, “Give a man a pistol, he can rob banks. Give a man a bank, he can rob the whole world.”

Eksperimen 4 – Membeli dengan D&D

Ini saya belum buat lagi. InsyaAllah satu hari saya berpeluang untuk membeli belah, saya akan ceritakan pengalamannya.

Itu ayat saya 15 minit sebelum keluar berjogging pada 06062012. Saya memang berhenti menulis di situ kerana kekurangan idea, jadi ambil langkah untuk keluar. Mana tahu ilham datang ketika melihat alam.

Alhamdulillah, masuk kereta sebelum ke taman rekreasi saya mendapat telefon dari seorang penjual buku dan bertanya bagaimana buku yang saya pesan akan dibeli. Kata penjual, “mahu dibeli dengan dirham ke duit fiat?”

Saya terkejut dengar fiat. Apa ke ayat yang dia guna ni. Tidak sampai satu saat fikiran saya kembali ke kapasiti asalnya. Maksud penjual duit kertas.

Saya menjawab, “kalau saya mahu beli dengan dirham bagaimana prosesnya?”

Penjual pun menerangkan saya perlu memasukkan dirham dalam sampul surat. Balut dengan elok supaya posmen tidak dapat kesan saya sedang mengirim logam berharga.

“Saya akan pos buku hari ini. Buku tersebut harganya RM17. Satu dirham bernilai RM25. Jadi saya akan masuk siap-siap baki fiat RM8 dalam buku. Saya akan beri alamat, nanti kirimkan dirham ke alamat yang saya akan SMS nanti.”

“Ok. Nanti saya akan poskan dirhamnya.”

Saya keluar berjogging dengan hati gembira. Baru terfikir bagaimana nak meneruskan penerangan entri untuk eksperimen ke 4, Allah sudah beri jalanNya. Allah, sangat menarik Allah mendengar permintaan kita dan menunaikannya dengan segera.

Saya gembira kerana dapat membuktikan dengan adanya kepingan dirham kita boleh membeli barangan secara terus. Tanpa perlu menukar dahulu ke wang ringgit. Kurang sedikit proses renyah untuk membeli barangan keperluan. Kata rakan saya, sudah ada kedai di sekitar Bangi yang membenarkan penjual menggunakan dirham untuk membeli barang keperluan rumah seperti beras, gula dan lain-lain.

Huh, insyaAllah, saya akan mencuba membeli ke sana pula.

Terasa macam di zaman dulu kala la, membeli dengan 1 dirham, dapat buku yang begitu tinggi nilai bahan di dalamnya. Tajuk buku tersebut, Satanic Finance (hahaha, akhirnya dapat buku sendiri tanpa perlu meminjam dari orang). Dan lebih bermakna membeli dengan matawang syariah. Tentu Syaitan dan Iblees tengah lebih panas lagi.

Eksperimen 5 – Nilai Emas di Tahun 2012

Owh, bukan-bukan. Saya bukan speculator. Saya cuma mahu eksperimen emas yang dibeli pada tahun 2010 dan bagaimana pula harganya pada waktu ini.

2010 – RM2980
2012 – RM3400

Jadi keuntungannya lebih kurang 14% dalam masa 2 tahun. Menarik juga kadar kenaikan yang diperolehi hasil dari pelaburan emas ni. Lebih tinggi dari Amanah Saham dan lain-lain. Lagi pula ia tidak susut nilai berdasarkan mata wang. Ia bernilai tetap disebabkan kandungan logam yang ada dalamnya.

Kalau boleh banding, ia sebaik pelaburan tanah dan juga rumah. Kereta, kereta bukan pelaburan sebab ia menyusut nilai. Kawan saya bagi formula Robert Kiyosaki. Bila dapat gaji 20% dari gaji mesti dijadikan simpanan. Simpan dahulu baru buat kira-kira untuk anak-anak dan isteri, bayar bil, bayaran ansuran rumah dan kereta, keperluan diri, keperluan rumah dan sebagainya.

Jangan buat kira-kira dulu, jika ada baki baru jadi simpanan. Memang tidak ada baki.

Katalah gaji RM3000 untuk orang bujang. 20% dari RM3000 ialah RM600. Soalannya, mana cukup nak beli tanah dan rumah. Jadi ada opsyen lain iaitu beli emas.

Meh saya cerita dengan RM600 tu boleh beli apa.

1g emas = RM176.00

Jadi dengan duit simpanan tu boleh beli, 3.4 g emas. Setiap bulan simpan 3.4 g emas berbanding simpan RM600. Di akhir tahun kita dapat 40.8 g emas. Jika kiraan mudah saya betul, habis tahun akan dapat 7% keuntungan, jadi kalau simpan duit dapat dapat RM7200, tapi kalau simpan emas dapat RM7347.84. Dapat la RM147.84 lebih. Banyak tu boleh beli tiket konsert Maher Zain 1 keping.

Boleh ke simpan RM600 sebulan. Ishh, apa pulak tak boleh. Jangan merokok la, rokok mahal.

Hummm, saya kekeringan idea untuk bereksperimen apa lagi. Ada cadangan tak? Boleh kongsi dan saya juga boleh cuba.

Untuk faedah dan mengapa dibuat semua eksperimen tu, kita jumpa di entri akan datang.

Siapa buat, dia dapat. Selamat beramal.

Monday, June 11, 2012

Eksperimen Emas - 1

Saya bukan penjual emas (setakat hari ini la, tidak tahu masa hadapan kalau terjadi agen ke kan?) tetapi berminat terhadap emas dan dirham apabila membaca dan mendengar ceramah dari Imran Nazar Hosein. Buku yang menjadi ulangan setiap tahun ialah Surah Al Kahfi and the End of Time. Dalam buku ini tertulis secara strategik panduan atau manual untuk hidup di akhir zaman dan pengajaran-pengajaran dari empat kisah dalam satu surah yang sama – Surah Al Kahfi. Salah satunya kisah pemuda gua dan duit perak yang digunakan untuk membeli makanan sejurus bangkit dari tidur yang panjang.

Yang menyebabkan saya terus menerus mengkaji tentang logam tulen ini ialah saya pernah memenangi peraduan esei yang telah dianjurkan oleh Hasbullah Pit (ejen emas) dalam blog. Saya memenangi tempat ketiga untuk mengusulkan duit KWSP mesti disimpan dalam bentuk simpanan emas, bukan wang ringgit yang susut nilainya. Hadiah kemenangan saya duit juga, saya harap dapat menang dinar atau dirham (hahaha), ia akan jadi lebih bermakna. Mungkin saya patut menganjurkan pertandingan juga dan menghadiahkan kawan-kawan dengan dirham (akan datang, insyaAllah).

Eksperimen 1 – Mengkaji kecairan

Saya menceritakan kebaikkan emas pada rakan. Beliau agak skeptik mengenai kecairan. Maksud cair di sini ialah, mudah tak mudah kita tukarkan emas ke wang kertas. Zaman sekarang ini, kita bukan boleh membeli barang guna emas atau dirham kecuali di pasar Dinar dan Dirham (D&D) atau outlet yang meletak label D&D. Jadi saya mengajak rakan untuk menguji sendiri pasaran di Bandar Pusat Jengka.

Emas eksperimen ini ialah emas pinjaman (nak buat eksperimen pun pinjam ka? Kau mana tahu emas mahal dowh, :p) yang dibeli pada tahun 2010 dengan harga RM2980.

Kedai pertama ialah kedai emas. Jadi saya menunjukkan emas dan bertanya berapa harga yang tukang emas mahu ambil. Dia mengeluarkan kalkulator, mengambil emas dan menimbang. Setelah menekan beberapa butang di kalkulator di meletakkan harga. Tanya saya, “boleh jual selalu (sekarang)?” Jawab pekedai, “Boleh.” Sambil memuji emas itu cantik dan kemudian menambah pesan, “Tak payahlah jual, cantik ni. Simpan dulu.” Saya senyum, dan meneruskan ke kedai kedua.

Kedai kedua ialah kedai emas juga. Saya membuat proses yang sama, dan proses yang sama juga yang dibuat oleh pemilik kedai. Pemilik kedai tergesa-gesa pergi ke kaunter untuk mengambil duit. Dia mahu membeli dan dan itu juga. Nak bagi saya duit tunai. Saya senyum kata “saja tanya.”

Eksperimen kedua ialah di kedai pajak Ar Rahnu. Di sini emas saya tidak dapat diberi timbangan dan nilai wang ringgitnya kerana Ar Rahnu hanya mengambil barang kemas, bukan emas bullion. Kata saya jangan risau, ada kedai pajak yang dipunyai oleh Agro Bank yang ambil emas dalam bentuk bar. Saya mahu mengajak tetapi kawan saya kata sudah cukup puas hati dengan eksperimen yang kami buat.

Berdasarkan eksperimen tersebut rakan saya puas hati betapa emas memang boleh dicairkan kepada wang ringgit bila-bila masa. Tidak kira lokaliti. Kedai emas di Bandar Pusat Jengka pun menerima, takkanlah kedai emas di bandar-bandar besar tidak terima?

Eksperimen 2 – Nilai di Lokasi yang Berbeza, Beijing dan Makkah

Kami berada di Beijing (saya dan rakan yang sama) untuk siri bekerja sambil melawat. Untuk tempat-tempat lawatan, kami dibawa untuk membeli belah di tempat-tempat eksklusif seperti kedai menjual mutiara, jed dan batu berharga.

Di kedai batu berharga, mereka biasa menjual emas sebagai bahan perhiasan. Emas ini (emas kuning dan emas putih) digunakan untuk mengikat batu-batu eksotik seperti sapphire, ruby, firuz dan sebagainya. Kami dibenarkan mencuba dan pembantu-pembantu kedai sangat bersemangat untuk melayan.

Ketika saya menghulurkan tangan, mereka sangat terpegun dengan rantai emas di tangan saya. Ia pemberian emak. Bukan besar pun, standard sahaja dan hanya seutas. Mungkin warnanya yang menyerlah. Kata kawan saya punya peluh yang serasi dengan emas kuning. Jadi kalau saya pakai emas warnanya tidak pudar (ye ke? ntah?) Tetapi oleh kerana lebih tertarik kepada emas di tangan, mereka jadi tidak fokus untuk mempromosi barangan. Salah seorang dari mereka minta untuk melihat dari dekat. Mula bertanya harga dan macam-macam lagi. Mereka akan terpegun kerana emas yang dihasilkan di Malaysia lebih baik dari yang dihasilkan di China dan harga jauh lebih mahal. Spontan mungkin, mereka minta saya jualkan kepada mereka. Orang biasa pun mahu membeli kerana barangnya bernilai walau didatangkan jauh dari Malaysia.

Di Mekah lain pula. Saya melihat jemaah beramai-ramai dalam kedai emas. Saya cuma berdiri di muka pintu. Musim haji sudah sampai ke penghujung, dan duit saya sudah kering untuk membeli. Tetapi yang menjadi minat ialah bagaimana emas selalu menjadi tarikan orang. Kalau ada duit lebih lagi, pasti saya membeli emas kenangan dari Tanah Arab (kedekut la tu). Tetapi saya sudah punya satu buah rantai yang dihadiahkan oleh ibu saudara, jadi tidak perlu tambah lagi.

(mungkin entri seperti ini pernah ditulis sebelum ini, saya ingat-ingat lupa. Siapa yang pernah terbaca tu kira ulangkaji la ye, sumimasen).

Saturday, June 09, 2012

Nilai 2


Entri ini tidak ada kena mengena dengan Nilai 3 untuk promosi membeli belah di Negeri Sembilan. Entri ini respon kepada pembaca yang menghuraikan panjang lebar tentang nilai dan perspektif berbeza dengan lokasi. Pembaca itu orang yang saya kenali. Dia adalah ahli ekonomi terbaik pernah yang dikenali, kalaupun beliau tidak mahu mengaku ahli dalam bidang ekonomi. Cerita rakan saya itu menarik, dan kerana ia berisi pengajaran patut dipanjangkan pada yang lain.

Lokasi yang dibandingkan ialah Kuala Lumpur dan Terengganu. Persepsi mengenai pakaian dan pandangan di mata orang. Di Kuala Lumpur, bagaimana kita berpakaian tidak pernah menjadi soal yang terlalu besar. Mungkin dalam aspek untuk fit dalam lingkungan yang memandang brand dan fesyen, itu cerita lain. Secara kasarnya, di Kuala Lumpur kita akan lihat rencam budaya yang pelbagai, liberalisasi dalam soal berpakaian itu berlaku. Apa kisah kalau kita mahu memakai jeans dan kasut sukan sekalipun, jika itu yang menjadi efektif untuk kerja dan pergerakkan si pemakai, apa salahnya. Dan kerana pekerjaan di Kuala Lumpur terlalu rencam, soal imej dalam berpakaian tidak jadi isu. Lebih-lebih lagi mereka yang memilih untuk mempunyai kerjaya sendiri.

Tapi tidak di Terengganu. Di sana imej berpakaian dan perlu berada dalam keadaan cantik itu satu kemestian. Kena jangok sket (ikut bahasa Terengganu), bermakna perlu mengikut fesyen dan trend. Material pakaian mesti dari yang mahal-mahal dan buatan yang halus. Industri fabrik di Terengganu adalah yang paling cepat dihasilkan dari segi corak dan material. Jangan cakap harga, ia bukan harga yang boleh dibeli borong di pasar minggu di Jengka Street.

Perbezaan yang sangat ketara. Tapi saya dan beliau berkongsi perkara yang sama. Iaitu nilai terhadap idea dan pemikiran kritis itu lebih utama berbanding isu luaran yang dinilai tidak tetap. Seperti berpakaian, di KL dan Terengganu, ia berbeza.

Itu membawa saya kepada risau seorang adik terhadap Kijang. Kijang ini bukan biasa, ia adalah emas yang dihasilkan oleh bank negara yang boleh dibeli oleh orang awam. Waktu adik ini beli, ia berharga mahal iaitu RM1400 suku auns, lebih kurang hampir RM179 per gram. Hari ini, harga emas itu jatuh ke paras RM176 per gram. Hari-hari adik menjenguk bank negara untuk memerhati kenaikkan harga kijang. Tapi tidak naik-naik lagi ke paras yang menguntungkan si pembeli. Kata adik, nilai emas jatuh. Tapi saya yakinkan bahawa tidak perlu risau, ia akan naik semula nanti, jika tidak tahun ini, tahun depan, tahun hadapan-hadapan. Pasti naik, insyaAllah.

Dua kisah ini buat saya menimbang lama. Ia persoalan nilai yang diletak pada persepsi: masyarakat, lokasi dan harga pasaran. Ikut sempadan geografi, perbezaan budaya dan mereka yang mengawal harga. Kerana flesibiliti ini ia akan memberi kita kebimbangan yang berbeza. Bimbang pada persepsi masyarakat, bimbang pada spekulator, bimbang pada kerugian.
 
Saya tidak suka bimbang, ia menambah stress. Sudahlah pekerjaan saya perlu mengira stress hari-hari, jadi menambahnya adalah satu tindakan yang tidak bijak. Satu soalan pada diri sendiri ialah bagaimana untuk tidak bimbang pada persoalan ini?

Jawapan mudah ialah kita perlu ada nilai yang tetap, yang menjamin tiada perubahan. Jika ada, segala bentuk bimbang itu boleh diatasi.

Nilai yang tetap itu telah sedia diberi oleh Allah. Petunjuknya ada dalam Al Quran. Di pandangan Allah, kita manusia tidak pernah dinaikkan atau direndahkan martabat dengan pakaian dan harta. Nilaiannya konsisten sepanjang zaman dan masa, semenjak diciptakan Adam iaitu persoalan taqwa. Siapa yang paling bertaqwa itulah yang akan dinilai yang mendapat tempat di akhirat dan syurga kelak.

Yang bagusnya tentang taqwa ia adalah perlawanan terbuka. Siapa-siapa pun boleh kejar. Tiada siapa akan dengki mendengki kerana masing-masing punya peluang yang sama untuk meraihnya. Lagi best ialah kita dibenar bersikap tamak untuk mengejar dan mendapatkannya. Kumpul banyak-banyak, dah banyak, banyak lagi, dan lagi dan lagi. Tiada siapa akan menghalang kecuali syaitan yang akan memesongkan.

Best tak?

Untuk soal Kijang yang akan melompat-lompat harganya mengikut pasaran dan spekulator, pesan saya pada adik tersebut, jangan risau. Kita cuma akan risau jika kita membeli Kijang untuk mengejar keuntungan.

Saya suka memetik apa yang dikatakan oleh Robert Kiyosaki (penulis Rich Dad Poor Dad), “I do not trust our government or corporate leaders. If I trusted the President and congress, the Fed or big banks, I would be holding dollars; but I don’t . With everyone printing money, savers of money are biggest LOSERS.”

Simpanlah Kijang sebagai matawang yang dijanjikan dalam Al Quran dan Sunnah, ia dibeli bukan untuk di speculate, tetapi untuk mengembalikan transaksi adil sesama manusia. Wang ringgit kita hanya sehelai kertas tiada nilai sebenar, jika berlaku perang atau kita pergi ke negara lain ia tidak boleh digunakan langsung. Tetapi bawalah Kijang itu ketika perang atau ke negara lain, ia tetap dinilai sangat tinggi dan masing-masing akan mahu merebutnya.  

Bila ia dijamin Allah swt, nilainya tetap walau apa pun manusia nak buat terhadapnya. Tidak percaya kajilah harga emas sepanjang zaman. Kita akan terkejut dengan konsistensi dan nilai yang tidak berubah, malah semakin naik setiap tahun.

Emas dan perak, atau dinar dan dirham petunjuknya ada dalam surah Al Kahfi. Perak yang dipunyai oleh pemuda Al Kahfi tidak susut nilai walau sudah tertidur selama 300 tahun, malah nilainya berganda-ganda tinggi sehingga mereka mengatakan pemuda Al Kahfi menjumpai harta karun.

Kalau risau juga, by the time perlu jual Kijang itu, jualah pada saya, saya sudi menjebaknya dengan harga yang sama ketika dibeli J. (Nota: Kijang Emas adalah item carian yang sukar didapati di pasaran terbuka. Walaupun Bank Negara meletakkan harga, jika kita membeli dari peraih emas harganya akan tinggi sedikit dari harga yang diumumkan Bank Negara).

Ia mungkin rendah sekarang secara relatif dengan harga yang dibeli. Tetapi tahun depan pasti harganya naik kembali. Sebab emas tidak berubah nilai, yang susut nilai wang ringgit. Sebab apa wang ringgit confirm susut nilai, sebab ahli ekonomi meletakkan setiap tahun pasti ada inflasi. Harga barang pasti akan naik. Jadi duit yang kita simpan tidak punya kuasa yang sama besar dengan tahun sebelumnya.

Emas tidak tertakluk dengan harga wang ringgit, sehinggalah kita mahu menjualnya. Selagi tidak jual ia tetap bernilai malah semakin tinggi.  

Wednesday, June 06, 2012

Teaser

Nantikan saya untuk entri akan datang dengan tajuk-tajuk seperti berikut:

1. Nilai 2
2. Eksperimen Emas 1
3. Eksperimen Emas 2

Untuk masa sekarang ini sedang menyusun ayat-ayat dan juga gambar untuk senang mata memandang.
Jumpa lagi.

(Ini teaser yang menyakitkan hati - hehe, takde idea la tu)