Tuesday, September 25, 2012

Puncak Cinta

Puncak kasih sayang dan cinta adalah kesetiaan. Sejauh mana kata-kata manis, hadiah dan penghargaan yang diberikan tidak akan dapat menyamai tulus hati seorang pencinta untuk sentiasa ada, walau tidak dapat hadir zahir. Tetapi tetap ada meski tidak nampak di mata.

Tidak kira dekat atau jauh, sihat atau sakit, baik atau berbuat salah, hidup atau yang telah pergi, miskin atau kaya, sempurna atau pincang, selagi hayat dikandung badan cubalah untuk setia.

Ada orang bertanya bagaimana?

Hadirkan mereka dalam jaga dan tidur, sedar dan mimpi, lapang dan sibuk, sejahtera mahupun kesempitan, hidup dan sedang sakarat. Ia bukan usaha berlebih-lebihan pun, cukup sekadar sepotong doa memohon agar Allah memandang mereka dengan kasih sayang. Doa yang sepotong itu, bagi ramai orang adalah beban yang terlalu berat untuk diucap di bibir apatah lagi dihadirkan dalam hati.

Jadilah Sang Pencinta seperti Nabi, jika bukan kerana kita masakan baginda mahu kembali ke bumi setelah bertemu Cinta di malam Isra' dan Mikraj. Jadilah Sang Setia seperti Rasulullah, ketika sedang sakarat yang mengilukan baginda masih tetap menyebut ummati, ummati, ummati.

Meski untuk umat seperti kita yang jarang-jarang sekali berselawat pada Baginda.

Musim Haji, kubah hijau di mataku.

Allahumma solli ala Muhammad, wa ala ali Muhammad.


Friday, September 14, 2012

Mencari Damai Mendidik Hati

Manusia ramainya keliru. Kita sangka mahu berbuat apa yang disuarakan dalam hati, kemahuan diri. Tetapi suara hati boleh berubah dan dipengaruhi dengan apa yang berlaku di sekeliling.

Boleh buat eksperimen mudah tentang ini. Hati dalam keadaan terdedah dengan TV lain bicaranya, dengan keadaan kita mengambil keputusan untuk tidak melihatnya langsung dalam masa seminggu.

Hati kita bicaranya lain dalam keadaan tidak dapat menyempatkan diri membaca Al Quran, dengan keadaan kita bergantung penuh dan sungguh untuk membaca dan melihat makna.

Hati bila kita terlibat dalam pergolakkan politik yang tidak sihat, bisikan dia akan menjurus kepada caci maki dan umpat keji.

Hati bila kita biasakan pada kesenangan dan kerlipan barangan mewah, akan membisikkan naluri untuk terus berbelanja meski tanpa keperluan.

Formula mencari kebahagian itu mudah sebenarnya, ia terletak dalam hati yang damai tenang. Kesibukkan macamana sekalipun tidak akan menggugat sekiranya hati kita selamat dalam keadaan sentosa. Damai boleh dicari pada alam yang tidak terusik, tetapi punya bicara sendiri.

Sukar untuk mendidik hati, ia perlu perjuangan yang kental. Namun berdoalah, moga Allah bukakan jalan itu.



Wednesday, September 12, 2012

Yang kita perlukan

Lama dulu sewaktu saya belajar diploma, apabila pensyarah melihat wajah kerut-kerut yang menandakan masih belum faham walau berulang kali menerangkan, beliau menyebut "saya kesian melihat awak, kanak-kanak yang terpenjara dalam badan orang dewasa."

Perli pensyarah begitu sinikal kerana itu saya membawanya ke hari ini. Tetapi teguran beliau tidak salah tinggal lagi pada waktu itu saya tidak faham maksudnya.

Yang diperlukan mereka yang menjejak kaki ke pengajian tinggi adalah kematangan. Tetapi proses pembelajaran yang membantutkan kemahiran berdikari menyebabkan sukar untuk melihat anak muda lingkungan umur 18-23 tahun matang dari sudut cara fikir dan tindakan. Di mana salahnya?

Saya masih belum punya anak namun sekiranya di rezekikan, saya berdoa agar dapat memupuk pemikirannya berkembang pesat seperti Imam Ali. Imam Ali pada umur 10 tahun telah memutuskan untuk masuk dalam agama yang dibawa Nabi yang masih baru, tidak dikenal pun masyarakat Arab. Pada permulaannya Ali mahu meminta izin bapanya Abu Talib. Tetapi Imam akhirnya membatalkan hasrat meminta kebenaran sebaliknya sendiri memuktamadkan keputusan. Imam Ali masuk Islam pada usia 10 tahun.

Begitu juga bila menilai hidup Usamah bin Zaid yang menjadi jenderal perang di usia 18 tahun. Masakan Rasulullah mengangkat seorang muda belia mengetuai batalion tentera sekiranya Usamah tidak matang dan mempunyai ciri kepimpinan yang baik.

Kematangan boleh dipupuk dan dipercepatkan. Itu sebenarnya yang kita perlukan.

Pemuda dalam bahasa Arab diberi gelar Syabab. Syabab maksudnya api. Waktu inilah energi tidak terbatas, semangat dan kobaran juang seperti tidak akan padam dengan syarat diberi panduan yang baik. Syabab seperti itu fitrahnya. Menghalang bermakna menongkah arus deras. Melepaskan perlu ada tempat yang baik, supaya tidak menyesal dan berbangga dengan apa yang telah dilakukan.

Didiklah anak-anak bukan untuk selamanya menjadi kecil, tetapi memberitahu bahawa akan tanggungjawab dan berperanan. Terutama dengan masyarakat dalam linkungan. Moga Imam Ali dan Usamah bin Zaid masih ramai lagi di luar sana. Untuk mencorak masa depan yang lebih harmoni.

Jangan biarkan mereka mengejar kilauan palsu seperti populariti yang tidak mempunyai nilai dalaman. Yang digalakkan melalui hiburan dan nyanyian, Akademi Fantasia, Vokal, Idola Kecil, segala. Semua itu hanya punya nilai luaran yang langsung tidak dapat memberi jaminan pembentukan diri yang lebih kekal sifatnya.

Akhir-akhir ini saya menjumpai anak-anak muda yang berfikir jauh, luas, terbuka. Kita tidak ketandusan bakat.

Latih dan tunjukkan jalan generasi masa depan dengan nilai baik. Faham tentang realiti massa dan masyarakat. Biar semua menjadi agen perubahan, untuk hanya yang terbaek.


Tuesday, September 11, 2012

Menyemai benih hati rela

Dalam banyak-banyak 'wan', hartawan, ilmuwan, angkasawan, dermawan, satu 'wan' yang kurang dekat dengan saya iaitu sukarelawan. Sehinggalah saya bertemu dengan satu kelompok yang menjadikan kerja-kerja membantu golongan yang tidak bernasib baik sebagai satu misi dalam hidup.
 
Saya belajar bukan mudah menjadi kelompok yang satu ini, kerana ia mempunyai pra syarat iaitu hati rela, jujur, ikhlas dan tidak mengharap apa-apa ganjaran dan balasan. Berbanding segala 'wan' yang lain, sukarelawan akan sentiasa disenyapkan dari kilauan glamour, sanjungan orang dan populariti.
 
Tiga sebab sukarelawan ini jauh dari kilauan glamour, 1. kerja-kerja yang tidak akan diganjari (melainkan kepuasan diri) 2. mereka yang diperjuangkan adalah majoriti dari golongan tertindas (marginal) 3. Tidak berdaya ekonomi untuk dieksploitasikan oleh golongan kapitalis.
 
Realiti yang saya tidak pernah tahu sehinggalah pada minggu lepas saya diajak melibatkan diri dalam kerja amal menjana dana untuk TFTN. Pencetusnya ada golongan mahasiswa yang muda belia dalam linkungan 18-23 tahun. Mereka mengajak saya membuka gerai untuk promosi TFTN sambil menjual lencana dan wakaf kamus pada 6-7-8 September yang lalu.
 
Banyak perkara yang membuat hati tersentuh dengan aktiviti yang satu ini. Banyak benda yang saya belajar. Banyak benda buat saya terdetik, yang selama ini seolah-olahnya saya tidak buat apa-apa. Paling buat bermenung panjang ialah, saya akhirnya faham kerja-kerja amal adalah jambatan untuk menyuburkan semula kemanusian dan mewujudkan kembali peluang untuk melihat keadilan.
 
Hakikat paling dilupakan orang seperti saya, bahawa manusia pilihan Tuhan tidak pernah diagihkan kerana kedudukan, harta, rupa, wang dan pangkat. Allah hanya melihat taqwa. Taqwa tidak datang bergolek. Ia adalah proses dan ujian bersilih ganti. Tidak ada minimum umur atau maksimum umur untuk mendapat taqwa. Barangkali orang di bawah kita yang paling muda lebih dulu mengenal dan mendapatnya dari kita.
 
Entah kenapa, saya berkesimpulan cara paling cepat untuk sampai menjadi manusia pilihan adalah dengan kerendahan ego. Dengan mengembalikan kemanusiaan dan keadilan. Menjadi manusia patuh rela berserah. Kasih sayang yang penuh cinta.
 
Tuhan terlalu banyak cara mendidik saya. Tinggal lagi saya selalu tidak sepenuhnya sedar. Perhatian Dia terlalu akrab spesifik untuk saya.
 
Banyak yang mahu saya ceritakan, untuk saat ini saya renungi diri, "Asal, nikmat yang mana dari TuhanMu belum lagi kau sungguh-sungguh syukuri, atau sebenarnya kau dustakan?"
 
Allah, perbaikilah akhlak dan hati nurani. Semaikanlah benih hati rela sehingga aku sampai kepadaMu tanpa hijab.