Tuesday, October 30, 2012

Kisah Keajaiban

Benda-benda ajaib berlaku dengan syarat mudah yang susah, "dengan syarat kamu percaya." Rakan saya yang berpergiaan ke Haraam musim Haji tahun ini, baru saya ketahui dijemput tanpa perlu membayar apa-apa pun lagi. Maksud saya, seperti mana amalan Tabung Haji (TH) yang memerlukan kita memenuhkan tabungan sebelum mendapat peluang berangkat, rakan saya yang itu sehingga sekarang masih belum melunaskan.

Sudah selesai hari-hari tasyrik, sehingga hari ini masih lagi tergantung bayaran, beliau dan suami ajaibnya sudah selesai rukun dan wajib Haji.

Banyak lagi keajaiban yang berlaku, yang saya dengar dari dia dengan mulut terlongo dan air mata berjujuran jatuh tidak dapat ditahan. Bagaimana kurnia Tuhan boleh melimpah ruah kepada hambanya, berturutan dan bagai tiada hentinya?

Hampir sahaja saya menjerit keluar dari bibir, "Allahu AKHBAR" setiap kali peristiwa-peristiwa kurniaan Tuhan diceritakan pada saya. Sungguh, begitu indah menjadi orang terpilih. Dan saya, orang yang dipilih untuk mendengar cerita dari dia, merasa terpanggil untuk berkongsi, bahawa benar keajaiban itu ada dengan syarat, "kamu percaya."

Ini bukan cerita rekaan atau permulaan dramatis dari novel picisan. Dunia ini dalam apa bentuknya, satu bentuk drama yang kita saksikan sendiri, dan alami. 

Ajaibnya, sebelum beliau berangkat, betul-betul di front gate beliau menulis dalam bentuk pesanan masuk dalam telefon genggam saya,

"Miracle does happened".

Kemudian saya menjawab balas, "I want to continue that phrase, only and only when you believe."

Masuk kembali dalam kotak dialog, "Cannot be more than agreed."

Seperti drama, indahnya ia adalah realiti. Tulisan-tulisan dia masih kekal dalam telefon genggam saya.

Saya gembira, kerana diberi peluang untuk menyaksi dan setepatnya diajak berkongsi, kisah keajaiban yang berlaku di dunia kecil kita, meski kita hanya orang biasa. Tetapi meski kita orang biasa, tetap hamba Tuhan yang bagi Dia layak untuk dipandang dan diberi perhatian. Benar kata orang, "Tuhan adalah seperti mana yang kamu sangkakan."

Allah bagi saya adalah Tuhan penuh Kasih Sayang dan Cinta. Segala perkara mustahil yang jauh dari adat, tidak semestinya berlaku kepada mereka berdarjat keNabian dan wali-wali. Allah boleh sahaja mengurniakan pada kita, tanpa hisab, tanpa perlu berhitung pun.

Bagaimana ya, rasa menjadi orang terpilih? Apa syaratnya untuk tergolong menjadi mereka yang mendapat perhatian Tuhan?

Saya juga tidak tahu.

Tetapi saya percaya, ia mesti bertitik tolak dari hati. Di situ, dialog kita dengan Tuhan didengari tanpa hijab dan tabir. Doa-doa yang dilantun di luar sejadah, dalam keadaan kita paling berharap, Allah dengar, tanpa ragu saya tahu Allah dengar.

Boleh jadi bukan amalan kita yang menjadi sandaran untuk jadi mereka yang dipilih. Boleh jadi ianya adalah maqbul doa dari ibu ayah, datuk nenek yang berdoa. Boleh jadi ia datang dari Nabi, Rasulullah sendiri yang berdoa untuk kita, ummatnya.

Subhannallah. 

Moga doa-doa mereka, Rasulullah, Nabi-nabi, wanita-wanita terpilih, wali-wali, kerabat Nabi, datuk nenek, moyang, ayah dan ibu untuk kita dimaqbulkan.

Allahumma solli ala Muhammad, wa ala ali Muhammad.

Kisah keajaiban rakan saya itu, bukan terhenti setakat yang saya tulis hari ini. Banyak lagi yang menyebabkan sebak di dada tidak dapat ditahan. Semoga kisah beliau bakal ditulis, saya akan jadi orang pertama yang mahu membacanya. 

ALLAHU AKHBAR.

Pesan untuk diri, susah bagaimana pun belajarlah untuk tunduk, taat dan percaya. Itu sahaja syarat untuk menjadi hamba Tuhan yang dikasihiNya.  

"Sami'na Ya Allah, wa ata'na." Saya dengar Ya Allah, dan saya akan mentaatiMu sepenuh jiwa, sepenuh jiwa.

Monday, October 29, 2012

Merasa Kasih Sayang Tuhan

Saya sampai pejabat lewat petang, setelah selesai mesyuarat di luar. Hari hujan. Ketika saya menyusur lorong ke tangga pejabat yang hanya dilepa simen, air menghentam zink lembut. Rintik itu berbunyi merdu, air dari atap zink masuk ke longkong. Deruannya seperti air sungai yang sedang mengalir damai.

Petang ini lain, ada syahdu.

Saya melihat langit yang sedang membasahkan bumi. Di celah awan masih ada lagi mentari. Ya, hari sedang hujan petang, hujan panas yang lembut. Awan belum lagi sepenuhnya hitam. Cuaca begini ada damai.

Saya masih melihat kamu.

Hati saya disampuk rasa, mungkin kasih sayang Tuhan sedang menyapa. Orang akan tanya bagaimana saya tahu, entah, kadangkala kita hanya perlu percaya dan rasa, Allah akan melimpahkannya untuk kamu.

Sejak pagi saya disapa rakan yang nun jauh di Mina, di hari terakhir hari-hari tasyrik. Bahkan sejak dua hari lalu dia sudah menyapa saya dengan gambar yang diambil di Mekah. Ada jalan-jalan yang saya lalui di situ tahun lepas, tapi rakan saya tidak dapat menjejakinya. Yang dapat dilihat hanya nama jalan (Ibrahim Al Khalil Road), dengan pantas dia mengambil gambar merakamkan untuk saya.


Setiap kali pun berita dari Mekah masuk ke dalam telefon genggam, saya mengalirkan air mata. Di musim Haji dan Korban begini, saya tidak berjejak di sini. Jiwa saya berada di sana, nun jauh di sana. Saya rindukan kampung, kata mereka tubuh kita dijadikan dari tanah Makkah. Kerana itu sesiapa yang sampai pun akan ada rasa talian yang kuat. Seolah-olah kita berasal dari sana, kampung kita di sana. Tubuh kita akan segera mengenali, kita bukan orang asing. Dan bukan dipaksa, air mata akan mengalir laju, rindu dan gembira sekali gus.

Dunia sekarang ini kian menghimpit. Bila kita terlalu disibukkan dengan rutin dan pekerjaan yang kadangkala kita merasa berontak dalam jiwa, tetapi teruskan juga demi apa pun yang kita namakan ia. Cita-cita, keperluan hidup, wang, kemewahan, norma kehidupan. Sehingga kita lupa beberapa detik yang kita putuskan untuk berhenti sejenak, berfikir, dan kemudian merasa kasih sayang Tuhan menyapa kita lebih baik dari dunia dan seluruh kehidupan.

Saya orang analitikal, logik, rasional, susah untuk saya fahami ruang dimensi magis dan keajaiban. Tetapi petang yang syahdu ini, setelah menerima cerita-cerita keajaiban rakan nun jauh di tanah Haraam, hati saya disampuk iba. Sebelum dia berangkat, dia telah menitipkan satu pesan, "Miracle happen" dan kemudian saya menambah, "only and only when you believe."

Minggu ini kamulah yang muncul semula, setelah setahun lalu, di bulan Dzulhijjah telah ku genggam kejap pisau menyembelihmu sebagai korban.

Kasih sayang Tuhan itu bermacam bentuk dan datang dengan pelbagai keadaan. Biar kita dilihat begitu daif dan tidak sempurna, biar kekurangan di mata ramai orang itu melekat ditubuh dan wajah kita, walau kita tiada kedudukan sekalipun di mana-mana dan tidak dikenal, Allah  tidak pernah sekali pun melihat itu sema. Kesempurnaan letak di hati sepenuh percaya, yang mengEsakan dan memBesarkanNya di mana-mana pun, meski di sebalik senyum kita.

Dunia ini begitu indah, hujan tadi tiba-tiba berhenti. Memberikan hawa dingin yang cukup nyaman, menyapa pipi dan wajah dengan lembut. Jika kamu betul mengaktifkan indera, itu juga sudah menjadi sapaan Tuhan yang cukup lembut penuh kasih sayang.

Saya mahu bermimpi, walau seribu tahun lagi. Saya akan terus bermimpi, memeluk dan menggapainya dengan penuh rasa bersyukur.

Saya meski di sini, sedang di bawa bermusafir, di jalan-jalan tanah rata dan gersang Arafah, tidur di bawah langit mudzdalifah, bermabit di mina, bertawaf di Kaabah. Meski tubuh di sini, saya di bawa di sana.

Kata saya, "semoga Allah memelihara memori ini selama-lamanya seperti baru semalam."

Rakan yang jauh di Mina menjawab, "bukan setakat itu, malah mencipta memori baru di masa depan."

Saya percaya, dengan doa dan mimpi. Saya rasa, dengan yakin dalam hati.

Langit sudah beransur menganjak ke senja hari. Warna-warna oren mentari mencelah di awan hitam yang masih ada ruang.

Mimpi, datanglah, aku akan memelukmu tanpa goyah!

Tuesday, October 23, 2012

Perempuan, Di bawah Lindungan Langit Mekkah

Nenda, tiada siapa menceritakan keajaiban Nenda sehingga meresap kisah sampai ke pembuluh darah. Mereka sudutkan Nenda seolah Nenda hanya sisipan. Bukan pelaku aktif, malah bukan dilihat seperti manusia pilihan.

                Nendaku Siti Hajar,

                Musim Haji ini, cucuanda bertekad menceritakan kisah pengabdian Nenda. Di mata Allah, Nenda sebagai hamba terpilih, dari mereka yang terpilih. Berdarjat ikutan, kerana dimasukkan dalam senarai keluarga keNabian.

                Mereka melihat Nenda hanya sebagai seorang budak hitam yang diambil untuk mengasuh keluarga Nabi Ibrahim. Betapa tersudutnya Nenda, sehingga dipandang begitu kecil tidak signifikan. Sedang dari rahim Nenda, Nabi Ismail yang dikenal sebagai Dzibhin Azim. Korban paling besar yang pernah dikenal sejarah manusia.

               Nenda, mengapa Nenda Siti Hajar tidak mengeluh ditinggal seorang di padang pasir?

               Rasa apa yang bergumpal dalam dada Nenda? Ketika ditinggalkan pergi sang suami bersama anak yang masih kecil. Di padang pasir tanpa orang, malah tanpa air. Ujian apa yang lebih berat ditimpakan kepada seorang perempuan di bawah langit Makkah yang tidak dikenal orang? Bahkan Nenda menjawab, “sekiranya aku ditinggalkan kerana perintah Allah, aku rela sepenuh redha.”

                Bahkan Nenda tidak mengajar kami berkeluh kesah. Ditinggal seorang di lembah tiada orang itu tidak mematikan apa-apa pun dijiwa Nenda. Bahkan Nenda mengajar kami, bahawa cinta itu untuk dibangunkan dan dijuangkan. Bukan ditinggal dengan air mata dan kekecewaan.

                Bila mana bekalan sudah habis di sisi, Nenda Siti Hajar mengajar kami berlari mencari. Mencari air sumber penghidupan. Dengan hati yang penuh Nenda bangkit dari debu lembah tandus. Biar perlu ditinggal anak permata hati tanpa jagaan, kerana dalam Nenda sepenuh percaya bahawa Allah itu Maha Menjaga.

                Bermulalah episod perjuangan Nenda berlari mencari air. Nenda berlari dengan siapakah dari Safa ke Marwah? Tidak ada rasa lelahkah Nenda dalam keseorangan dan kesepian? Dan bagaimana tubuh yang dikata orang dengan serba lemah seorang perempuan mempunyai semangat kental tidak berhenti? Dan bagaimana iba hati mendengar rintih anak kecil kandungan sendiri kehausan air?

                Nenda berlari mengajar kami tentang cinta. Bahawa ia bukan rasa yang mati dan membunuh. Ia adalah rasa sepenuh juang dan mengharap. Ia rasa membangun dan sepenuh hidup. Safa dan Marwah, tujuh kali berulang alik dengan pandangan melihat kelibat air tetapi hanya fatamorgana. Tidak hampakah Nenda dibuat begitu?

                “Cinta tidak akan pernah hampa cucuku. Berlarilah kerana Cinta, kerana Dia sangat dekat. Dia hanya mahu mengajari bahawa kau hanyalah abdi kepadaNya, Tuan yang sebenar tidak yang lain. Bila berlari, penuhkanlah dadamu dengan NamaNya, berzikir sepenuh cinta. Berlari bersama Dia Yang Menjadikan. Berlari bersama Dia Yang Mempunyai Nama Yang Mulia. Berlari kerana Dia tidak akan pernah tinggalkan kamu seorang, meski orang melihat kamu seorang. Berlari sepenuh harap, sebagaimana janjiNya, berdoa kepadaNya nescaya Dia akan memakbulkan. Jangan berikan walau sekelumit rasa ragu masuk dalam hatimu. Mahukah cucu lari bersamaku?”

                “Bahkan cucuanda berlari, di laluan tapak kaki Nenda!”

                Nenda, tiada yang lebih besar penghargaan yang diberikan kepada Nenda demi pengorbanan kerana hari Raya Korban ini sebahagiannya adalah perayaan untuk meraikan Nenda. Jalan rintis cerita pengabdian seorang hamba itu seharusnya sepertimana.

                Di mata Tuhan, letak diri kita di mata masyarakat itu tidak pernah berbekas. Meski asal kita budak yang dihinakan, meski kulit hitam tidak di pandang orang, miskin tidak punyai harta, malah tidak mempunyai perbekalan makanan, Allah tetap memandang. Meski kita, hanyalah, seorang perempuan di bawah naungan langit Makkah. 

                Allah melihat hati Nenda lebih bersinar dari segala manusia yang lain. Lalu ditempatkan Nenda di Hajar Ismail, berdekatan dengan Kaabah, malah Hajar Ismail itu sendiri sebahagian dari Kaabah. Di situ tempat pencandu-pencandu Tuhan berlomba masuk, untuk bermohon doa. Di atasnya Pancur Emas, juga tempat pemakbulan doa.

                Dengan hati penuh begitu, Allah menghadiahkan zam-zam di telapak kaki Ismail. Jauh dari tempat larian Nenda, Safa dan Marwah. Barangkali Allah mengajari, usaha kita mungkin dilaluan lain, tetapi hadiahnya boleh diperoleh melalui orang lain di tempat yang lain. Yang keluar itu zam-zam, jika Nenda tidak menyebut “Zam-zam”, nescaya melimpah dunia ini dengan air mukjizat yang tidak pernah kering.

                Barangkali ketika Nenda kesayuan berlari mengharap, air mata jatuh bergenang kerana kuatnya pengharapan dan besarnya permintaan. “Biarkan cucuku, kerana setiap yang hidup itu bermula dari air. Wajah yang tidak pernah disentuh air mata, adalah wajah pemilik hati yang mati! Dan adakah yang lebih indah cucuku, selain menangis mengingati Dia yang dicinta?”

                “Hati yang benar mengharap sepenuh Cinta, yang tidak pernah ragu dan punya sekelumit sangsi Allah akan kenali cucuku.”

                “Meski cucuanda seorang perempuan?”

                “Meski apa pun kamu. Perempuan, hamba, berkulit hitam, tidak berharta, tidak punya wang, tidak punya kedudukan, tidak dikenal orang, tidak punya keluarga, atau manusia paling pendosa. Bila kamu menyerah, Allah tetap menerima.”

                “Meski apa pun cucuanda?”

                “Meski apa pun kamu.”

                Hajar Ismail, Zam-zam, Safa dan Marwah, bukti Perempuan di bawah naungan langit Mekkah.

                Hari Raya Haji ini Nenda, ketika ditahiyyat akhir, bila membaca selawat berselang junjungan Nenda Nabi Ibrahim dan Rasulullah Junjungan yang Terpuji, yang diwajibkan juga menyebut beserta keluarga kedua-dua junjungan yang mulia, panutan kami, ikutan kami, Imam kami, akan cucuanda kenangkan Nenda. Di situ letak Nenda, nama yang dimuliakan keluarga Nabi Ibrahim, ikutan yang dicontohi, jalan yang akan kami patuhi.

                Nenda,

                Biar di sudut mana pun mereka mahu perosokkan Nenda, si abdi hitam, tanpa kedudukan, ditinggal seorang di lembah gersang, tanpa harta, tanpa kemewahan, itu semua tidak lagi jadi penting bukan? Bila mana Allah telah melihat setulus, semulus, seputih hati kita sepenuhnya demi Dia, Dia sendiri akan mengangkat kemuliaan itu. Bukan manusia, bukan masyarakat, bukan pemimpin, bukan anugerah dan pangkat, bukan balasan harta melimpah, bukan siapa-siapa atau apa-apa pun yang ada di dalam dunia ini. Allahlah yang akan mengangkat kemuliaan yang tidak akan dapat dibanding.

                Nenda di bawah naungan langit Mekkah, dimuliakan dengan perlunya kami mengikut sunnah. Jalan-jalan yang Nenda lalui, air yang Nenda cicipi, tanah yang Nenda mulakan asas pembinaan sebuah tamadun kota peradaban yang mengabdikan diri hanya kepada Allah.

                Terimalah kami mengikut setiap tapak langkah kaki Nenda. Kami akan belajar dari runtuhnya pengharapan keduniaan, kami bangunkan Cinta Demi Tuhan.

                Dzulhijjah, hari wukuf yang menjelang, Nenda sedang diraikan sehingga berakhir zaman.



                Bahagialah hati putih yang mengharap, berjuang, tidak putus asa, Demi Dia.

Monday, October 22, 2012

Hidup ini Pantulan

Sebentar tadi saya membaca status Facebook yang menyatakan kekaguman kepada seorang pakar pemasaran. Saya tidak ingat nama, mungkin Mohd Noor, sedang belajar di National Singapore University. Beliau menawarkan bengkel pemasaran yang sangat komprehesif  yang boleh dinilaikan sehingga RM50,000.

Mohd. Noor memberikan secara percuma!

Bila ditanya mengapa tidak mengenakan sedikit bayaran, sekurang-kurangnya untuk membayar kos perkhidmatan, kata beliau mudah. Memetik kata-kata hikmah orang lain (yang juga saya tidak ingat namanya) "Jika kita berikan keikhlasan, keikhlasan akan datang balik kepada kita. Dunia ini penuh dengan sikap mementingkan diri, kerana ramai orang memberi kerana kepentingan diri sendiri."

Mudah faham dunia ini pantulan, "What you give, you get back.", "What goes around comes around."

Hari ini pandanglah ke dalam cermin, yang kita lihat itulah pantulan diri. Sayangnya, kita tidak ada cermin hati, supaya ia dapat memberitahu seperti manakah hati kita ini.

Tetapi tidak susah sebenarnya, sebelum tidur ambil masa 10-15 minit. Jauhkan dari kesibukkan. Jauhkan dari TV, jauhkan dari Facebook, Twitter, YouTube, semua sekali. Amankan diri. Biar hati kita sendiri membisikkan, siapa sebenarnya diri kita.

Hati itu berbicara, tinggal lagi kita tidak sepenuhnya memberi perhatian untuk mendengar.

Buat sesuatu / santuni sesiapa seperti mana kita mahu orang lain santuni kita. Tetapi jangan mengharap balasan dari manusia, kerana sebaik-baik pembalas itu tetaplah Allah Yang Maha Kuasa. Berbuatlah demiNya, pedulikan yang lain. Allah ada di mana-mana, dan Dia Maha Melihat.

Hidup ini pantulan, kerana itu dunia ini bulat.


Sunday, October 21, 2012

Sejenak

Berhenti sejenak hujung minggu ini di hadapan skrin, demi untuk meraikan seorang rakan yang harap saya sudahpun sampai di tanah Haraam, insyaAllah.

Eika, nama sahabat yang saya kenali dalam kelas perbandingan agama (Friendly Comparitive Religion) tahun 2004 yang lalu. Kelas yang mengambil masa 3 bulan, tetapi hairannya kami tidak rapat sewaktu di dalam kelas dan beberapa waktu selepas itu.

Jika diambil kira dari tahun pertama kali saya jumpa dan kenal Eika, sehingga ke hari ini, pertemuan kami rasanya boleh dibilang dengan jari. Hendak kata kami sering berhubung melalui email dan SMS, tidak juga. Cuma akhir-akhir ini, bila Eika berjumpa dengan account Facebook dan bertegur sapa, kemudian kembali bertukar nombor telefon, baru boleh berhubung dengan lebih kerap.

Dia rakan yang istimewa, waktu yang kami dapat berjumpa untuk menghabiskan secawan kopi akan menyebabkan kami berbual lama. Isi perbualan akan menyebabkan bercambah-cambah ilmu dan idea yang baru. Yang memungkinkan saya melihat sesuatu dari sudut yang lain.

Tahun lepas, ketika perlu berulang alik seorang untuk solat ke Masjidil Haraam, Eika selalu meneman saya. Entah kenapa, Allah kerap menghadirkan ingatan pada Eika. Saya berdoa agar dia juga dapat melalui jalan yang saya lalui.

3 minggu yang lepas, Eika mengatakan dia tidak sanggup membaca status saya di Facebook jika ia berkenaan dengan Haji. Kata Eika, selau sahaja air mata berjujuran jatuh tanpa dapat ditahan. Rupanya rayuannya telah ditolak. Saya boleh faham perasaan, bagaimana harapan jika diletakkan terlalu tinggi, tetapi akhirnya tidak dimakbulkan. Apatah ini berkenaan untuk menunaikan janji, dan penyempurnaan seorang manusia Muslim. Rukun Islam yang kelima.

Saya katakan pada Eika, "walau apa pun, hakikatnya Eika sudah pun berada di Mekah pada musim Haji. Bila Allah mengizinkan saya ingat Eika dibanyak waktu di sana."

Saya dapat rasakan air matanya jatuh di hujung SMS dihantar. Biar di jauh sekalipun, seolah-olah saya dapat kenal hatinya.

Semalam ketika sibuk memandu di lebuhraya pantai timur, saya mendapat makluman seperti berikut, "Assalamualaikum Sis, I just want to share good news with you. I just get call at 3pm yesterday for invitation to perform Hajj, Alhamdulillah."

Hati saya serbak serta merta. Saya mahu menjawab tetapi risau sedang memandu. Berulangkali rasa kesyukuran saya panjatkan kepada Allah. Begitu lewat Eika dijemput, hari Khamis nanti adalah waktu wukuf. Bila sampai waktu itu, sudah ditanda Allah sebagai dhuyuf Ar Rahman, atau tetamu Ar Rahman.

Dia sahabat yang Allah hantarkan, tanpa perlu berjumpa kerap dan terputus hubungan banyak kali, Allah tetap mahu kami terus bersahabat.

Saya masih ingat ceritanya tentang mimpi, bahawa dia bermimpi sampai ke tanah Haraam bersama suami. Padahal waktu itu dia masih belum lagi berkahwin.

Akhirnya, mimpi jadi makbul lagi. Eika terbang ke Haraam semalam, dengan mesej akhirnya masuk dalam telefon "Sis, I'm boarding on flight now. So have to off the phone. InsyaAllah will update you later."

Ya, air mata saya sudah tidak dapat ditahan lagi. Perasaan terpilih menjadi tetamu bukan bandingan, dengan segala apa yang boleh ditawarkan dunia.

Dia seorang sahabat yang mengajar saya tentang memberi. Di waktu kami sedang bergigih untuk mendapatkan dana perbelanjaan untuk kerja-kerja kebajikan, Eika memberi sumbangan yang pada saya sangat banyak. Bukan sekali, berkali-kali. Sedang pada waktu itu saya tahu Eika dalam keadaan lebih memerlukan. Katanya, "actually I'm not that generous. Trying to believe that the best sadakah is when we have few to give."

Saya tahu Eika kelelahan mengalirkan air matanya bila tidak terpilih menjadi tetamu. Bila dipilih di saat akhir, tentu lebih lagi perasaan gembira menguasai. Mereka pergi berdua, sebagai pasangan muda yang saya tahu, benar-benar insyaAllah, Allah sendiri yang memilih.

Benar kata orang, atau kata-kata hikmah, atau memang betul-betul dalil, bahawa dalam apa-apa pun kesulitan yang kita hadapi bersedekahlah. Lagi sulit, lagi bersedekah. Buatlah apa sahaja, jika tidak dapat menyumbang material seperti wang dan barangan, sedekahlah tenaga. Sedekahlah masa. Sedekahkan kata-kata dorongan dan semangat. Sedekah senyuman. Dan paling penting sedekahkanlah DOA.

Eika membuat saya percaya, bahawa benar sedekah dengan niat yang ikhlas, adalah pemberian paling sempurna.

Hari ini, saya berhenti untuk beberapa masa dalam kesibukkan, untuk meraikan rakan istimewa saya ini, yang Allah sendiri pilih untuk kekal sebagai sahabat saya yang baik, dan lebih indah Allah sedang memilih Eika dan suami untuk menjadi tetamuNya.

"Ya Allah, berkati dan permudahkanlah perjalanan semua tetamuMu dan bakal tetamuMu. Kasihi mereka dengan kasihMu yang Maha Kasih. Ampuni kami dalam pengampunanMu dan jadikan kami hambaMu yang sempurna."

Labaikallahumma labaik Labaikala syarikala labaik. Innalhamdah wa ni'mata laka walmulk la syarikalak."

Thursday, October 11, 2012

Kau lihatku


1000 tahun kalau Kau tetapkan aku di sini
Air mata tidak akan berhenti
Di bawah langit menaungi
Di sisi agam Rumah yang diberkahi
Kau jemput
Seorang pengabdi berdosa
membawa langkahnya hampa
Tetapi hati penuh sangka
Kau tetap menerima
Biar menggunung noda
Tetap disisiMu layak diampuni

Akulah yang meraung
Sambil memagang dinding Hijir Ismail erat-erat
Memandang pancur emas tidak lepas
dan mengadu
"Tuhan, aku sebegini dekat, tidakkah Kau nampak diriku?"
Dan Kau mula memanggil
"Datanglah kepadaKu."

Hamba itu pun menyungkur
di lantai Kaabah
sehina dia, Kau tetap memandang?

"Aku datang Ya Allah, aku datang."

1000 tahun selagi langit menaungi,
jangan keringkan
air mataku.





11 Oktober 2012
Bandar Tun Abdul Razak Jengka

Wednesday, October 10, 2012

Musim Haji - musim menunaikan janji-janji

Haji ialah musim menunaikan janji. Samada kita mahu fikirkan atau tidak, pernah menyebut atau tidak, ia sudah termaktub dalam rukun Islam yang sewaktu kecil dulu selalu kita ulang-ulangkan.
Dewasa ini, kita tidak perlu mengulang rukun Islam yang lima lagi. Sebab kita rasa sudah cukup dewasa, sudah tahu, untuk apa menjadi seperti anak-anak kecil yang mahu mengambil peperiksaan. Menghafal dan menuturkan. Lagipun untuk peperiksaan dulu, kita sudah pun menjawabnya. Mungkin ada antara kita mendapat markah penuh sebab terlalu senang!
Baru-baru ini saya disentuh dengan kisah haji seorang kakak di Facebook. Begini kisahnya:
Setahun yang lalu, kami berenam (Kak Mah, Kak Ma, Kak Som, Kak Na, Na dan saya) sama-sama terpilih untuk menjadi duyuf al-Rahman. 3hb Oktober kami sama2 menaiki Saudia menuju ke kota Madinah al-Munawwarah.. Sama-sama sebilik di Holiday Villa. P Selepas 9 hari kami sama-sama menaiki bas ke Makkah al-Mukarramah. Sama-sama niat miqat di Bi'r 'Ali. Sama-sama menghuni tingkat 6, Hotel Masat al-Hariry berhadapan dengan Perkuburan Ma'la.. Sama-sama sekhemah di Arafah. Sama-sama sepetak di perkhemahan Mina. Sama-sama sedorm di Madinat al-Hujjaj..Selepas 47 hari, kami sama-sama pulang ke tanahair.. Dengan Kak Som, kami berpisah di KLIA..Dengan yang lain, kami berpisah di airport Pengkalan Chepa.

EId al-Fitr 1432, kami berkumpul di Kg Huda untuk menziarahi Kak Mah yang sedang sakit. Waktu itu cuma berlima, tetapi kami mencukupkan bilangan yang enam dengan membuat panggilan telefon kepada Kak Som di Nilam Puri mengucap selamat hari raya dan saling bermaaf-maafan.. Gembira dan sedih berbaur.. Kemudian kami berpisah lagi..

Entah kenapa seminggu dua ni, ingatan kepada Kak Mah kuat..Malam tadi saya dan Na bercakap tentang Kak Mah. Tiada sebarang khabar yang didengar. Hati saya kuat mendesak supaya saya telefon Kak Mah atau setidak-tidaknya Kak Na hari ni untuk bertanya khabar Kak Mah..

Sepagi menguruskan hal-hal kerja di pejabat, saya langsung terlupa..Sehinggalah petang tadi Na dengan suara penuh debar mengkhabarkan berita, Kak Mah dah tak ada.. Inna li'lLah wa inna ilayhi raji'un..

Setahun 7 hari yang lalu kami dipertemukan di musim haji, dan di musim haji juga Kak Siti Fatimah Abd Rahman meninggalkan kami untuk menemui Rabb al-'Izzati..

Allahumma'ghfir laha wa'rhamha wa'afiha wa'fu 'anha wa adkhilha al-jannah wa'j'al qabraha rawdah min riyad al-jannah
Untuk beberapa ketika saya terdiam membaca kisah ini. Ia cuma mengambil masa dari satu musim Haji, ke satu musim Haji yang lain. Tentu, saya memanjangkan doa keampunan, kepada seorang kakak yang saya tidak kenal pun tetapi kisahnya cukup terkesan untuk peringatan.
Persaudaraan dengan kenalan jemaah Haji selalu kata orang luar biasa. Ia akan menjadi tautan lebih dari sebuah keluarga. Di sana, mereka adalah keluarga terdekat, tiada yang lain lagi. Jika dipertemukan di musim Haji, berjalan di bekas-bekas jalan para Anbiya dan orang-orang soleh terdahulu, bersama untuk menyelesaikan rukun dan wajib Haji yang diperintahkan, apakah nama talian ini? Sudah tentu ia sesuatu yang telah lama dulu ditakdirkan Allah. Bila kehilangan, pasti rasanya sungguh pedih sekali.
Saya katakan kepada kenalan Facebook, “Kak mah sudah pun memenuhi janji, bertemu Allah di Mekah, kemudian kali ini bertemu Allah yang pasti. Bila dipanggil untuk meninggalkan jasad di dunia.”
Saya faham perasaan kehilangan ini. Saya juga faham perasaan perlu meredha seseorang pergi. Meski begitu pedih dan sedih, kerana saya juga mengalami.
Tahun-tahun sudah, ketika Kakak kandung saya sudah putus semangat untuk menguruskan hal pemergian Umrah untuk kami (saya, mak, adik dan anak perempuan beliau) atas satu sebab besar; anak sulung beliau meninggal dunia, iaitu sebulan sebelum kami dijadualkan pergi. Saya dapat merasakan seluruh semangat Kak Ngah hilang. Beliau tidak mahu meneruskan.
Sejak dari itu Allah memberi saya ilham untuk mengambil alih hal ehwal urusan dengan pakej Umrah. Walau saya tidak tahu banyak, tetapi cuba sehabis baik. Satu dorongan kuat ialah saya percaya bila sudah merancang ia bermakna kita sudah berjanji. Janji adatnya ditepati. Lebih-lebih lagi, dibuat demi Allah.  
Alhamdulillah seperti ditakdirkan, kami dapat pergi. Terutama untuk menyampaikan hajat mak yang terlalu lama menyimpan. Urusan Allah siapa tahu, tidak sampai setahun dari itu Kak Ngah pula dijemput Allah pulang ke alam barzakhNya. Buat saya benar mengerti, perasaan kehilangan dan merelakan pemergian. Sungguh-sungguh mengerti!
Musim Haji ini, tidak lain yang saya dapat bayangkan kecuali, di wajah para-para jemaah yang ramai berhimpun hampir 3 juta di Mekah, wajah-wajah penyempurna janji. Samada janji dibuat sepenuh sedar atau tidak, Allah tetap akan menghitungnya sebagai amal. Samada mengikhlaskan diri atau kerana ikut-ikutan, semua sudah dicatat dalam kitab amalan.
Untuk Kak Mah, ia cuma mengambil masa semusim Haji bagi menyempurnakan janji yang penghabisan di dunia ini. Kita entah berapa waktu lagi.
Allah ampunilah arwah-arwah, ampunilah kami yang tunduk berserah.  

Thursday, October 04, 2012

Piring TV satelite

Pernah dengar tentang Dajjal yang bermata satu? Saya pasti ramai yang tahu. Selagi kita tidak terserempak dengan makhluk ini, kita pujuk hati kiamat jauh lagi.

Tahu tidak apa makna satu mata?

Ia adalah kecacatan manusia yang hanya melihat melalui mata sahaja. Tanpa mampu melihat dari mata hati.

Baru-baru ini status Facebook saya mendapat sambutan hangat. Bila saya ceritakan pemerhatian rakan, bahawa piring Astro diletakkan sama arah dengan arah kiblat. Ramai yang tidak percaya, ramai juga yang keluar rumah menyelidik sendiri demi untuk puaskan hati. Dan keputusannya, ya betul. Semua piring Astro kebanyakkan mengadap sama arah dengan kiblat.

Kemudian mereka berkomentar untuk sedapkan hati sendiri, "ini semua kebetulan sahaja, tidak ada kena mengena dengan urusan kiblat kita."

Saya senyum. Saya bukan mahu mencipta polemik atau konflik. Tetapi yang saya pasti, Allah tidak ciptakan dan izinkan sesuatu berlaku secara kebetulan. No way! Bercanggah dengan sifat Maha Kesempurnaan Tuhan.

Keyakinan adalah soal peribadi. Kefahaman juga soal sangat private, antara Allah mahu anugerahkan atau tidak.

Saya berpendapat, kejadian ini, samada kebetulan atau tidak, ia sudah pun terjadi. Saya melihat ia sebagai absurd yang menempelak kita hidup-hidup, terang-terangan. Kita nafikan macamanapun, hakikatnya kebanyakkan kita 24 jam mengadap Astro, yang piringnya mengadap kiblat. Bagi saya ini adalah ironi yang dibuat sangat subtle, halus giler! Hati yang boleh melihat sahaja akan tersentak.

Ujian mudah boleh dibuat, senang sahaja. Hari ini kita boleh test. Bila azan nanti, selesai sahaja seruan yang akhir berapa ramai yang serta merta angkat punggung terus mengadap kiblat yang sebenar? Atau lebih ramai lagi terpaku depan Astro?

Perhatikan, dan jawab.

Kita hidup hari ini dalam kawalan mata satu. Bukan saya mahu cadangkan Dajjal sudah ada, kena tanya pakar untuk yakinkan. Tetapi kita sendiri sudah jadi bermata satu, melihat dengan mata sahaja tanpa mampu melihat dengan mata hati.

Kiblat ceritanya panjang dan mempersona. Tercatit kisahnya dalam Al Quran, pertembungan berlaku antara Nabi dan orang Yahudi. Jika tidak penting, ia tidak dirakam dalam Al Quran. Jika tidak penting, kita tidak akan ada monumen sejarah, iaitu masjid Kiblatain. Jika tidak penting, peristiwa pertukaran kiblat tidak akan berlaku sewaktu sedang solat. Ia tempelak Allah pada orang Yahudi yang selalu anggap diri mereka lebih betul dari orang lain, malah lebih betul dari Allah sendiri.

Bacalah kisah Kiblat dengan mata hati, bukan mata nafsu. Bacalah arah piring TV satelit anda hari ini, dan perhatikan anak-anak dan generasi kita bila azan sedang berkumandang, bila solat jemaah sedang didirikan. Siapa tahu sebenarnya kita sedang ditempelak dan digelakkan, dengan cara paling subtle tanpa kita sedar.

Ya Allah, bantulah kami melihat dengan dua mata!