Friday, November 30, 2012

Flash Mob untuk Gaza







Orang Muda yang cakna dengan perkembangan internasional dan sejagat. Let pictures speak first, tulis pengalaman hebat ini kemudian. 

(Pelajar-pelajar UiTM Shah Alam)

Tuesday, November 27, 2012

Jangan Cilok

Meniru gaya menulis senbei Cik Li.

Salam Tetuan Tuan Rumah,

Saya terbaca semalam status Tuan di Facebook berbunyi begini, "Ramai kita rasa, sijil U akan membolehkan kita dapat pekerjaan baik. Tak benar sebenarnya. Sijil U hanya memberikan kita syarat kelayakan untuk memohon satu-satu jawatan yang dipohon. Untuk dapat kerja, it takes more than that. Lebih-lebih lagi zaman sekarang. Belajarlah realiti awal, supaya dapat merancang ke mana hala tuju. Tanya orang yang punya pengalaman untuk tips. Tips kumpul banyak-banyak pun tidak ada makna, kalau diri tidak cukup berani untuk bertindak." Saya stress baca sampai tidak boleh tidur. Kenapa Tuan mendemotivate pelajar U macam saya. Pensyarah saya tak pernah pun cakap macam Tuan cakap. Dia kata banyak je kerja. Saya masuk U sebab mak bapak saya kata, saya boleh dapat kerja jadi pegawai bila abis nanti. Kalau begitulah keadaan sekarang, untuk apa sijil saya tu nanti?

Afif
Pelajar U yang demotivate.

*********************************************************************
Salam Pelajar U,

Terima kasih kerana sudi meminta pandangan saya untuk pandangan saya dalam status Facebook itu. Kenapa stress? Itu adalah realiti semasa, memang tidak sedap di dengar, tetapi hakikat begitu. Tidak boleh elak.

Jangan cilok saya tentang hal tidak boleh tidur tu. Saya tahu Afif bukan tidak boleh tidur sebab status tu, tetapi masa tidur Afif digunakan untuk membalas Twitter hingga ke pagi, belum termasuk bermain games online, Facebook dan sebagainya.

Bukan saya mahu menghalang terus Afif dari bermain games, saya juga pemain games tegar satu masa dahulu. Tetapi kalau setakat main Angry Birds, Fruit Slice, Treasure Island, rentikan sahaja. Apa barang main games macam tu. Sekurang-kurangnya mainlah game strategi yang meningkatkan kemahiran kreativiti dan penambahan informasi seperti Civilization V. Baru suspek.

Beginilah, agak tidak adil dan stress juga bila saya tulis seperti itu. Sebenarnya hendak tulis panjang lagi. Walaupun Mark Zuckerberg dah bagi tulis panjang-panjang dalam Facebook, tapi psikologi pembaca Facebook dia orang nak baca yang pendek sahaja. Panjang-panjang letih nak baca.

Ramai juga yang like status saya tu dan beri komen (3 orang). Termasuk seorang wartawan dan pembaca berita Astro Awani Shafizan Johari dengan komen, "So very and very agree."

Tengok, betullah status yang saya tulis itu.

Dunia sudah berubah, kalau kita ceritakan latar masa tahun 70an, 80an, 90an, sijil Universiti kemungkinan besar bernilai sangat tinggi. Pada masa itu jawatan profesional ada sebab negara baru membangun, dan kita sangat perlukan kepakaran tempatan. Tetapi sekarang, suasana dah bertukar wajah. Globalisasi mengambil latar semasa, pemodal luar boleh masuk negara kita, sektor-sektor awam seolah tidak dapat berkembang lebih pesat, industri juga semakin perlahan disebabkan oleh ekonomi, belum masuk soal kejatuhan matawang USD, politik yang tidak stabil seperti ancaman perang dan revolusi rakyat dan banyak lagi. 

Tetapi itu bermakna bukan kita terlepas peluang dan ruang untuk mempertingkatkan ekonomi sendiri. Saya lihat rama pelajar U sekarang sudah mula menggunakan teknologi untuk mencipta perniagaan yang akhirnya membawa kejayaan kepada mereka. Kadang-kadang lepas grad, mereka tidak bekerja sesuai dengan kelulusan sebaliknya menjadi usahawan internet berjaya. Pendapatan juga sangat lumayan berbanding bekerja sendiri.

Waktu sekarang pun saya lihat pelajar U yang pandai mengimbangi waktu belajar dan kerja sambilan di internet. Malah saya dapat tahu, ada yang pandai buat kek dan pastri sudah pun menjadi pengedar tetap di banyak tempat. Meskipun masih lagi sedang belajar. Ada juga pelajar lelaki yang sudah berbisnes untuk pelamin dan hantaran. Kata dia, "kalaulah saya tidak dapat kerja selepas tamat, saya sudah merancang untuk memulakan bisnes untuk perkahwinan." Ada banyak lagi idea kreatif yang saya sendiri tidak pernah fikirkan.

Janganlah susah-susah hati sangat Afif, ramai sahaja yang jadi kaya raya walau tidak punya sijil U. Bill Gates contohnya, ataupun Siti Nurhaliza. Mereka berjaya juga dari segi perniagaan melalui industri yang dibina.

Lihatlah masuk U lebih luas dari hendak dapatkan sijil. Dapatkan kawan-kawan sebagai jaringan hubungan, berkenalan rapat dengan pensyarah-pensyarah untuk menimba pengalaman dan mencari tips, belajar untuk mempertingkatkan kemahiran dalam komunikasi, bekerja dalam kumpulan, menyelesaikan masalah, pembelajaran sepanjang hayat, pengurusan masa dan banyak lagi. 

Jangan hanya hadkan apa yang dapat dalam kelas. Itu semua berkaitan dengan maklumat untuk program atau kursus, pembelajaran hidup kena cari di luar. Melalui aktiviti berpersatuan dan juga bercampur dengan masyarakat kampus dan setempat. Bila berpeluang keluar dari kampus, cubalah bina jaringan hubungan dengan pakar-pakar dan pemain industri di luar sana. Mana tahu jika mereka tertarik dengan personaliti awak, mereka akan menawarkan kerja berdasarkan pembawaan.

Satu lagi, tentang pensyarah awak tu, saya rasa awak juga patut tanyakan sendiri kepada senior-senior yang sudah grade, macamana kebolehpasaran bila grad dengan sijil awak tu. Yang sudah bekerja dalam industri tentu ada pendapat lain yang relevan dengan perkembangan semasa.

Cuma nasihat saya, jangan jadikan U sebagai lubuk mencari mangsa. Contoh dalam aktiviti MLM yang tidak tentu berjaya. Just kerana mereka semua ada duit PTPTN, awak semua nak menjerat mereka. Duit PTPTN tu jika awak sedar pinjaman sahaja. Lepas habis belajar kena bayar balik. Juga jangan terlalu fokus dalam MLM sampai banyak subjek fail. Macamana awak boleh mencadangkan MLM yang pelajar boleh dapat straight A tapi awak sendiri tidak dapat A dalam subjek sendiri malah fail lagi.

Zaman sekarang, industri perlukan lebih dari markah atas kertas. Itupun kalau awak berjujur dengan markah yang dapat. Ramai yang hanya ada markah superficial, sebab yang mereka tunjukkan dalam transkrip adalah hasil dari pertolongan toyol yang bukan berwarna hijau. Jika awak pengamal amalan sihir moden ini, jangan salahkan orang lain kalau awak tidak confident pergi temuduga. Kerana ilmu awak adalah ilmu toyol, bukan yang melekat pada otak dan hati.

Jangan stress stress. Ruang dunia ini begitu besar untuk kita dapat kenal diri, dan meneroka dimensi yang belum dijejak orang. Ilmu Allah juga luas, 7 lautan nak tulis pun, air dia tidak akan pernah cukup.

Semoga Afif tidak lewat tidur kerana main games yang tidak mencabar. Kalau hendak main pun, carilah yang mencabar sikit supaya perkembangan mental boleh selari dengan perkembangan tubuh awak yang akan semakin besar bukan semakin kecil

Sekian, moga anda tidak lagi stress.

Terima kasih.

Ikhlas dari,
Tuan Rumah.

Sunday, November 25, 2012

Seperti Dijangka

Saya membaca status di Facebook, sudah ada orang yang menyelar. Kata dia, “aku dah kata dah, semua orang sudah senyap, cari di mana-mana status Facebook, tidak ada orang memperkata tentang Gaza lagi. Semua sudah berada di tempat masing-masing, mereka sudah main Facebook seperti biasa.”

Doodle untuk Ghazzah
Dia sudah jangka, sebaik sahaja genjatan senjata bermula, Facebook jadi senyap sunyi. Tiada kempen boikot memboikot. Sentimen orang Melayu Malaysia, sangat berkait dengan fenomena popular. Mungkin seseorang perlu menulis, Malay Dillema yang baru.

Saya senyap juga. Tetapi pagi 10 Muharram lalu, saya berjumpa perkataan doodle. Sepanjang hari saya melukis doodle untuk Ghazzah. Bukan boleh dibangga pun, macam lukisan anak-anak, tapi inilah hasilnya. Harapan visual saya untuk Ghazzah. Banyak yang saya mahu lukiskan untuk Ghazzah, tetapi tidak pandai, jadi untuk permulaan, bolehlah agaknya. Boleh?
                
Begini pun, saya rasakan melukis agak susah. Perlukan orang penyabar untuk mendetailkan lukisan mereka. Begini pun, banyak muka surat sudah saya koyak kerana tidak berpuas hati. Rupanya melukis juga perlukan perancangan, sekurang-kurangnya penggunaan ruang dan warna. Juga besar kecil saiznya. (Haha, Asal, apa lagi yang kau nak buat ini?). Tak lawa pun tapi nasihat kawan saya, “Live at will”, buat sahaja apa kau suka selagi tidak menyimpang agama.

Melayu dan Fenomena Popular

Saya tidak mengkaji sosiologi Melayu, tetapi pemerhatian sederhana, saya kategorikan Melayu suka benda-benda yang fenomena lagi popular. Contoh lama, ialah kumpulan Air Supply. Mereka bertapak di Malaysia dahulu, sambutan agak luar biasa walau di arena antarabangsa mereka tidak dikenal. Yang paling baru, tentulah Maher Zain. Maher Zain punya tahap kecairan tahap luar biasa dengan Malaysia, kerana peminat kipas-susah-mati (die-hard-fan) bermula di rantau Melayu ini. Luar biasa. Mencapai jutaan peminatnya di sini.

Saya juga minat sikit-sikit (peace). 16 Jun 2012 yang lalu, betul saya pergi tengok Maher Zain. Lepas konsert saya tidak boleh komen langsung, kerana berlaku gegaran di otak. Bunyi dan warna lampu limpah yang keterlaluan. Otak saya tidak boleh adjust, perlukan satu malam untuk pemulihan. Esoknya saya jeritkan pada adik, “Wow, suara Maher Zain superb macam dalam VCD.” Adik saya membalas, “lambatnya respon.”

Konsert Maher Zain
Kini, satu fenomena lagi, iaitu Ustaz Azhar Idrus (UAI). Pemerhati mengkategorikan UAI sebagai Ustaz celebriti. Seperti Ustaz Don Daniyal dan ramai lagi. Saya tiada offense dalam perkara ini. Kadang-kadang suka sahaja saya dengar. Lawak-lawak UAI memang disukai ramai, terutama dalam memberi hukum. Sebagai contoh, “Ustaz, boleh tidak makan telur penyu?”. Jawab Ustaz UAI, “tidak boleh, kalau kita tidak ada duit.”

Saya juga pernah juga buat entri semacam itu, contoh, soalan, “batal tidak ambil wuduk sambil minum air?”. Jawab saya, “batal, kalau kita ambil wuduk dan minum air tu, kita terkentut.”

Kenapa UAI fenomena? Dari pemerhatian saya, kerana orang Melayu ialah orang yang sangat simplistik. Kita tidak mahu mendengar hujah akademik, kita cuma nak tahu halal haram, boleh tidak. Kita ambil hukum dengan mudah. Seperti itu. Errrmmm, betul?

Soalan saya dalam hati, berapa lama perkara itu boleh bertahan? Maksudnya konsisten kita untuk mengerjakan perkara halal haram itu dengan keadaan rela, kerana seorang Ustaz sudah memberi hukum mengenainya? InsyaAllah, sampai bila-bila kot. Ni yang saya faham sebagai taqlid (salah beritahu ya?).
                
Saya tiada offense dalam perkara ini. Saya melihat UAI perlu wujud di dalam masyarakat Melayu Malaysia untuk mengimbangi satu lagi fenomena popular, Raja Lawak, Maharaja Lawak, Maharaja Lawak Mega dan segalanya tentang lawak yang dipersembahkan dalam saluran Citra Astro.

Masyarakat Melayu Malaysia membudayakan lawak sebagai landskap kehidupan kita. Eh siapa kata saya tidak suka? Tengok juga kadang-kadang. Tetapi saya lebih suka lawak style urban seperti dalam AHHA, Afdlin Shauki dan Harith Iskander. Atau stand-up komedi Harith Iskander dalam Lawak ke derr. Kategori lawak brilliant dan pecah kepala kalau nak cari  idea. Untuk slapstick, saya kurang sedikit tetapi bolehlah kalau ada pengisian yang bagus. Dalam hal ini, saya suka kot Jozan, Boboi dan dalam Spontan. Dalam banyak sudut saya boleh mengangkat comedian sebagai genius dan brilliant. Afdlin Shauki masuk dalam kategori ini.

Dalam hal ini, saya akan mengangkat Mamat Khalid (pengarah filem) yang mengarah filem Hantu Kak Limah Balik Rumah (HKLBR) sebagai pengkritik sosial Melayu paling kritis (setakat hari ini). Sama level dengan P Ramlee. Saya masih ingat ada satu scene dalam HKLBR, sewaktu bomoh menyeru hantu untuk berdamai dan dihalau, jampi serapahnya ialah, “Pelawok, pelawok, pelawok.” Sindiran tajam yang mengena sebenarnya. Mamat Khalid pun saya kategorikan brilliant.

Dalam HKLBR Mamat Khalid menyindir Melayu yang pelawak, suka bergebang, suka menghukum, suka untuk nampak hantu-hantu, suka memperlekeh kejayaan orang lain, tidak realisitik, bergantung kepada kepakaran orang lain dari percaya dari diri sendiri dan banyak lagi. Akhirnya kita tahu bahawa Kak Limah adalah seorang yang tidak waras, bukan hantu. Kita akan lihat apa yang kita mahu lihat, itu sindiran Mamat Khalid kepada masyarakat Melayu. Sosiolog yang membawa wacana melalui pembikinan filem, hebat. Bagi saya bukan calang-calang orang punya keupayaan yang sedemikian. Menghasilkan filem bukan hal kecil anak.

Memahami Psikologi
                
Perlu benar kita memahami psikologi secara massa. Saya tidak banyak mengkaji, cuma saya pernah dengar tentang Wali Songo yang membawa wayang kulit sebagai medium dakwah. Untuk mengimbangi pengaruh Hindu dalam masyarakat. Transisi perlu dibuat tidak mengejut, dan supaya masyarakat boleh menjiwai ajaran agama dengan tolenrasi yang besar. Medium dakwah yang menggunakan pendekatan hiburan, di terima dengan baik sekali di rantau Melayu ini.
                
Memahami jalur ini, saya sokong sahaja kehadiran Ustaz-ustaz yang boleh mengimbangi segala macam budaya dan psikologi semasa Melayu zaman ini. Selebriti agama perlu ada, untuk mewujudkan pull. Kerana, hendak tidak hendak, masyarakat memang suka bercakap tentang orang yang popular.
                
Saya masih ingat ketika menelefon emak di kampung, tiba-tiba emak mencelah dan memberitahu, “Eh Farah TV9 tu sudah bersalin, tahu tak?” Saya cuma menjawab, “err, OK. Alhamdulillah, anak apa?” Emak saya menjawab, tetapi saya sudah tidak ingat anak lelaki atau perempuan.
                
Dalam konteks untuk disebut lebih ringkas, masyarakat kita di cirikan dengan apa yang berlaku seputar celebriti. Tetapi media kita memilih-milih untuk mengangkat siapa. Yang paling boleh menarik pemodal, itu akan mereka laburkan. Takpe, takpe, boleh sahaja kritik kesimpulan dangkal saya ni yang tidak bersandar mana-mana research sekalipun.

Dr Maszlee Malik
Saya meraikan sebenarnya. Tetapi yang paling saya suka kalau boleh kita menfenomena-popularkan Suhaib Webb, Bro Nouman Ali Khan, Hamza Yusof, Yusof Estes, etc. “Errkkk, semua orang putih ni, apa ke hal?” Maaf atas kedangkalan ini, boleh kot bagi cadangan untuk Ustaz-ustaz Melayu dan berbahasa Melayu. Oh ya, Dr. Mazslee Malik, Ustaz Nor Azamir Alias. Opss saya lupa pula satu nama, Imran Nazar Hosein.

Kenapa mereka-mereka ini menjadi pilihan saya? Boleh jadi kerana saya suka mereka membuat perbincangan mengenai refleksi dan kritis dalam perbincangan. Kupasan Al Quran mereka selalu dikaitkan dengan dilemma dalam diri manusia moden, dan kaitan dengan perkembangan zaman sekarang. Jadi kita akan melihat Al Quran dan Hadith dibincangkan diluar dari konteks zaman. Tidaklah kita lihat Al Quran hanya relevan pada zaman Nabi. Tetapi kita betul embrace Al Quran sebagai wahyu petunjuk, untuk kita sekarang ini. Zaman millennium, zaman bangunan pencakar langit, zaman penerokaan angkasa, zaman banyak  bencana alam sana sini, zaman internet, zaman gajet, zaman globalisasi.   

Ketahanan

Seperti kritikan rakan Facebook, sejauh mana ketahanan kita untuk membicarakan isu seperti Ghazzah dan Palestin. Kerana dari sini pun kita sudah nampak, orang Melayu mengulangi fenomena-popular dalam isu Ghazzah juga.

Kat mana puncanya ya?

Saya rasa ia adalah pemilihan media kita untuk memilih isu. Pandangan kita ditentukan apa yang berputar sekitar TV dan radio. Juga sekarang kawalan media sosial, Facebook, Twitter, etc. Sekali lagi, kalau tidak betul POV saya ini, dibuka untuk teguran ya.
                
Seterusnya kita juga akan bertanya, berapa lama kawan-kawan kita yang berbicara tentang boikot produk Zionis Yahudi itu akan boikot dan bertahan?
                
Jangan risau, pertanyaan ini akan sampai kepada saya dulu, sebelum ia ditanya rakan-rakan.
                
Bagi saya kita perlu lebih dari fenomena-popular. Tentu akan kembali kepada satu perkara penting iaitu ilmu. Ilmu yang perlu dicari gali dari segi sejarah, agama, kepentingan dalam kehidupan dan tentu sekali soal hati yang mahu peduli.
                
Konflik Palestin vs Zionis Yahudi sangat sentral dalam menentukan hala tuju iklim dunia secara keseluruhan. Ramai yang merasakan ia cuma cerita kenegaraan di daerah Asia Barat, tanpa dapat menyentuh kita di Malaysia. Untuk saya, saya percaya ia adalah cerita dunia yang akan menyentuh setiap manusia dan individu yang bernyawa di Bumi yang kita cintai ini.
                 
Tapi keyakinan itu soal individu bukan? Kecuali kita mahu melihat kenapa dalam sejarah moden yang kita sebenarnya punya PBB, OIC dan undang-undang Hak Asasi Manusia, kita tidak boleh melihat keamanan tulen di Palestin? Jika kita seorang Islam, kita juga akan bertanya kenapa dalam beberapa tempat di dalam Al Quran kenapa Allah menunjuk secara khusus kepada Al Qudds (Masjidil Al Aqsa) dan Jurussalem?
                
Oh ya, saya tidak akan memanjangkan lagi untuk kali ini. Mungkin sambungan di entri akan datang? InsyaAllah.
                
Cuma drama konflik yang kita lihat semenjak berakhir Perang Dunia I, dan sehingga berdirinya negara haram Israel selepas Perang Dunia II adalah ujian untuk semua. Allah sedang menguji kita semua, termasuk Zionis Yahudi sekali.
                
Ujian yang sama ketika Allah memerintahkan Iblis untuk sujud kepada Adam. Ujian ketundukan kepada perintahnya.
                
Apa tu? Moga sampai kesempatan lain untuk saya menulis lagi.
                
Sign off.
Kiffeyeh Palestin yang pernah masuk Kolam
(Kalau orang bertanya “kau tu sampai bila pula akan bertahan bercerita pasal Ghazzah vs Zionis Yahudi”. Saya akan jawab secara jujur, “saya pun tidak tahu. Seperti yang kau pun tahu, aku juga Melayu.” Tetapi di hadapan Tuhan saya berharap usaha kecil saya menulis seperti ini tercatat sebagai amalan. Memang sangat simplistik, minimal dan ambil mudah. Ya saya setuju, saya seperti itu. Tetapi dalam buku ‘Tuhan’, meski kecil pun ia sudah dicatat dalam buku keabadian.)


Friday, November 23, 2012

Dia Mendengar


Ketika mendengar berita tentang genjatan senjata Ghazzah (22 November 2012), saya selesai menghadam pelajaran tentang nama Allah As-Sami' iaitu Yang Maha Mendengar dari seorang Ustaz yang saya kenali di Facebook (FB: Abu Ilkiya Ashajj). 

Pemahaman saya tentang nama Allah Yang Maha Mendengar hanyalah sehala sebelum ini, sehingga mendapat pencerahan semalam. Selama ini yang saya fahami ialah seperti mana indera kita berfungsi. Setiap bunyi yang mampu ditangkap indera mendengar. Keupayaan manusia amat terbatas. Tetapi untuk As-Sami', Dia dapat mendengar segalanya, meski yang paling kuat atau paling perlahan, tidak terbatas waktu dan ruang. 

Yang kedua yang terlepas dari pemahaman saya sebelum ini ialah, As-Sami' yang dikembarkan dengan Al-Mujib, ertinya Allah mengabulkan. Saya termenung panjang memikirkan ini, betapa Allah itu begitu baik mendengar setiap suara kita dan kemudian pasti memakbulkan.

Bandingkan ini.

Mendengar itu sepertimana bila ibu memanggil di dapur, kita pun menjawab "Ya". Bila Cikgu memanggil juga kita akan terus respon. Begitupun bila kawan-kawan memanggil, kita akan berpaling. Jika telefon berbunyi, kita mengangkat dan mendengar. Tetapi kita manusia selalu punya pilihan, untuk menjawab dalam keadaan yang kita sukai atau tidak. 

Kadang-kadang itu yang membuat kita kecewa pun. Bila orang yang paling kita beri perhatian bila dipanggil, dia bersikap tidak acuh. Seperti Ibu dan Ayah, memanggil anak untuk menolong berbuat sesuatu, dan kita memilih untuk menyumbat telinga dengan headphone/earphone supaya kita boleh dimaafkan bila tidak menjawab. Atau bila telefon berdering, kita melihat di skrin siapakah yang memanggil. Kita memilih untuk menjawab pada mereka yang kita suka, atau kita biarkan bila kita rasakan tidak penting.

Kini saya fahami, panggilan, apa-apa pun bernilai. Sekurang-kurangnya kita menghargai ingatan orang pada kita pada waktu tersebut. Mungkin dia dalam kesulitan, dan kita satu-satunya orang yang diharap. Bayangkan kita menolak, dan membiarkan mereka dalam kerisauan dan kesusahan. Kawan semacam apa kita ini?

Selalu kita faham panggilan perlu bunyi untuk membolehkan kita mendengar. Saya juga faham yang sama. Tetapi ia tidak semestinya perlu berlaku begitu. Pernah tidak awak teringat seseorang, kemudian secara tiba-tiba dia telefon, atau tidak lama selepas itu dia datang menemui kita? Selalu Ibu mempunyai deria mendengar keenam ini, kerana selalu selepas kita teringat ibu atau ibu mengingat kita, kita akan terpanggil untuk menelefon atau balik ke kampung. Begitu hati kita yang punya suara yang begitu seni, tetapi cukup kuat untuk orang yang sayang kita mendengarkannya.

Saya kembali mengenang betapa besarnya kasih sayang dan cinta Allah pada kita. Banyak waktu kita tidak menadah tangan pun ke langit, dan selalu doa kita tidak mempunyai suara. Selalu benar kita bergantung kepada imam solat untuk berdoa, usaha kita hanyalah meng'amin'kan. 

Sejak Muharram saya percaya ramai yang mengalirkan air mata bila melihat imej-imej kanak-kanak yang dibunuh rejim haram Zionis yang dilaknat. Dalam hati kita pada waktu itu sedang berkata-kata, harapkan Allah menghentikan segera pelanggaran keji bangsa derhaka itu. Mohon kemenangan berpihak Ghazzah. Doa agar tentera mujahiden Al Qassam diperteguhkan kekuatan hati mereka untuk terus mara, hancurkan Tel Aviv dan sekutu pengecut, dan selamatkan anak-anak dan mereka yang ditindas. 

Allah As-Sami' dan Allah Al Mujib. 

Saya suka Allah kerana dalam keadaan kita paling berdosa pun, Dia Maha Mendengar. Tidak ada istilah memilih atau berpaling, tidak kira siapa pun hambaNya, Dia Mendengar dan seterusnya mengabulkan permintaan. 

Tanpa suara, apa yang terdetik dalam benak, apa yang diungkapkan dalam hati, Dia Mendengar dan Memakbulkan.

22 November 2012, kemenangan berpihak kepada Palestine bila Tel Aviv meletak senjata gerun kepada roket Al Qassam yang sudah boleh menjangkau dan merosakkan bangunan mereka.

Doa-doa, yang dipanjatkan dalam benak dan hati, yang dilontar dengan suara, yang dihulur dalam kotak derma, dihadiahkan dengan pengorbanan masa, tenaga dan nyawa, Allah sudah Mendengarnya!

Tindakan dan tangisan kita juga adalah doa yang tidak putus-putus.

*Jumaat tas'ua (9 Muharram) menanti Asyura (10 Muharram). Hujan turun sejak dari semalam, mendamaikan hari dengan cuaca yang sejuk tenteram.

ALLAHU AKHBAR!

Nota: Empower doa kita dengan melantunkannya dalam keadaan berpuasa. Hari terbaik untuk semua, 10 Muharram 1434 Hijrah (Sabtu, 24 November 2012). Ayuhlah, Asyura ini kita berpuasa.


Wednesday, November 21, 2012

Ghazzah: Erti Boikot


Awak yang selalu saya sayangi dan peduli.


Beginilah keadaan kita Melayu yang peduli cara sendiri. Ketika Ghazzah bermandi darah, kita bergaduh mengenai McD tak sudah-sudah, tidak berhenti, sehingga timbul istilah mufti McD dan sebagainya. Sehingga mereka yang mahu menjustifikasi membawakan gambar Ustaz Azhar Idrus (UAI) dan keluarga yang sedang makan di McD. Itu justifikasi Muslim di Malaysia untuk persoalan McD!

Sepele dan parah!

Meletakkan UAI sebagai justifikasi tindakan, saya hanya mampu mengerut dahi tidak percaya. Kawan, esok, bila kita ditanya, UAI tidak akan berada di sisi untuk menjadi saksi! Ingat tu.

Dalam satu sudut cara pandang, saya akan katakan kita sudah mencapai taraf amat parah. Kerana tidak memahami letak duduk perkara, sekurang-kurangnya dari apa yang kita yakini dalam hati.

Maaf jika entri ini menyinggung kamu, ia lebih dahulu untuk menyinggung diriku.

Erti boikot untuk saya. Ya kamu pun tahu, saya sudah memulainya sejak perang Zionis Israel-Lubnan 2006. Sewaktu Hasan Nasrallah dan Hezbollah mengajar Zionis sehingga lari terbirit. Sehingga tercipta cerpen cinta khusus untuk menyatakan komitmen saya tentang boikot dengan tajuk Pi.

Tetapi bukan mudah untuk istiqamah. Pada tahun 2006, saya sangat didorong dengan momokan, aggression dan sentimen. Bila suhu perang sudah mereda, saya pernah juga tergelincir sekali dua di McD, terutama di musim Raya Cina untuk makan prosperity burger.

Kali ini, seperti mana status-status dalam FB saya, komen saya lebih liberal. Soal boikot, saya serahkan pada yang empunya diri. Boikot atau tidak, tindakan kita yang akan mencerminkan apa yang ada dalam hati.

Kenapa liberal? Kerana saya percaya untuk istiqamah dalam tindakan tidak boleh didorong dengan amukan, sentimen, ancaman apatah lagi makian. Jika asas yang kita bina dari situ, ia akan jadi asas yang sangat rapuh. Lebih-lebih lagi soal yang masih belum mendapat hukum yang jelas halal haramnya.

Saya lebih suka, jika kita bertindak kerana ilmu. Kemudian Allah memberi kita faham atas ilmu itu seterusnya beramal dengan yakin total. Tidak goyah walau esok Yahudi Zionis bersetuju untuk melaksanakan genjatan senjata selama 15 tahun. Kita tetap tidak akan kembali ke kaunter McD dan menjadi konsumer produk Yahudi.


Ia soal sikap, soal hati, soal kesetiaan, soal keyakinan, soal kemanusiaan, soal belas kasihan. Terhadap mereka yang ditindas. Penduduk Ghazzah adalah mereka yang jelas ditindas. Dengan perang yang berat sebelah. Dengan pembantaian kepada bayi, kanak-kanak, perempuan dan orang tua yang tidak lagi berdaya.

Namun jika dimomok dan dimaki dengan hal burger telur percuma yang diberikan McD pada 19 November 2012, sehingga melibatkan letak duduk soal iman, saya juga akan bertindak agresif!

Saya tidak lunak dalam hal ini. Saya sudah memboikot, lama sudah. Tetapi begitupun saya tidak akan memaki mereka yang belum cakna hal, seperti mana saya 6 tahun lalu yang jahil, belum faham, belum bersikap, tidak istiqamah. Soal hati Allah pemegangnya, kerana itu kita akan berdoa, Ya Muqallibal Qulub, Wahai Tuhan yang membolak-balik hati.

Boleh jadi yang memaki hari ini, esok ketika genjatan senjata dia orang pertama yang berbaris di kaunter. Mana tahu mereka yang mengambil burger percuma tempoh hari, dia antara delegasi yang akan bermukim selama beberapa minggu di kapal Flotilla Ghazzah dan menjadi sukarelawan mengambil semua risiko termasuk bergadai nyawa. Siapa tahu?

Pesan Ustaz seorang rakan mengenai boikot McD dan Coca-cola seperti berikut:
  1. Memboikot kerana status halal
  2. Memboikot kerana status kualiti dan nutrisi. Ternyata kedua-dua produk boleh menjadikan manusia obesiti, malah Coca-cola boleh dijadikan cecair pencuci tandas yang sangat-sangat berkesan untuk menanggalkan kotoran yang degil.
  3. Menolak produk Yahudi untuk menjaga kualiti doa yang hendak dipersembahkan kepada saudara-saudara kita di Ghazzah.
Cerita rakan seorang engineer komputer
  1. Boikot kerana McD dan fastfood bukan makanan yang sihat, dan well untuk diet!
  2. Boikot McD kerana menyokong untuk menyokong Palestin, kerana sebahagian dana McD disalurkan ke Zionis Israel.
  3. Yang no. 1 orang tidak akan kata apa, yang no. 2 akan buat orang bergaduh-gaduh.
Saya setuju dengan cadangan kedua-dua rakan, dari aliran agama juga dari aliran kejuruteraan.

Erti boikot untuk saya adalah mengenai kesedaran dan hidayah. Saya bina dari kesedaran. Tahun 2006 yang lalu, seperti mana sekarang, blog yang membicarakan hal perang Zionis vs Lubnan begitu marak. Saya belum ada akaun Facebook, Twitter juga masih belum dikenal.

Melihat anak-anak kecil yang teraniaya dalam gambar berdarah perang Zionis-Hezbollah, hati saya dijentik sayu, hiba dan ngilu. Saya membayangkan jika anak-anak sendiri dizalimi dengan kaedah serupa. Kemudian saban hari berdoa untuk Allah selamatkan Lubnan dan Hezbollah. Juga berdoa untuk saya faham, berkaitan boikot, apa yang perlu saya lakukan. Saya tidak terlibat dalam polemik dan debat mengenai boikot. Saya tahu, jika saya boleh buat pun bukan untuk semua produk. Kita akan memilih-milih dengan apa yang termampu kita buat untuk boikot. Saya juga tidak mahu orang menilai iman saya dalam hal seperti ini.

Sebagai contoh, tempelak yang sama akan mengenai muka saya bila mereka mempersoal bagaimana dengan Facebook, YouTube, Twitter, Intel Processor, pen drive dan lain-lain. Juga item lain yang dibuat dari tangan Zionis Yahudi. Mereka yang banyak soal jawab akan bertanya soalan yang sama, “kenapa tidak boikot juga, kenapa ada double standard?” Debat akan jadi panjang kerana saya berada di pihak mempertahankan diri.


Erti boikot untuk saya seterusnya adalah kerana hidayah. Suatu petang saya sampai ke stesen minyak untuk mengisi tangki kereta yang kosong. Pada waktu itu, seorang Abang yang kakinya tempang yang bertugas dipam yang saya berhenti. Ketika sedang senyap menunggu, Abang tempang menghulurkan saya sehelai kertas. Di atasnya tertera logo-logo produk yang menyokong Zionis Yahudi, dan perkataan boikot di bawahnya serta penerangan serba ringkas. Saya mengambil dengan senyum dan rasa hormat. Sangat hormat kerana saya tidak berbuat seperti mana yang Abang itu buat. Kata beliau, “sekurang-kurang ini yang boleh kita buat,” juga dengan senyum.

Dengan kelemahan dan kekurangan dirinya, Abang itu masih mahu menyatakan sokongan dan keyakinannya. Bukan dengan paksaan, tetapi sebaran ilmu. Abang itu juga memberikan saya satu pemandangan yang lebih ampuh dan kuat, iaitu dengan tindakan berhemah. Kecil tetapi signifikan. Tidak tahu berapa ramai yang berubah seperti saya, tetapi pada waktu itu hati saya seolah-olah diseru untuk respon secara positif kepada pelawaan aman Abang tempang tersebut.

Seterusnya saya terus membaca bahan bacaan lain, bertukar pandangan secara akademik, bereksperimen, dan tentu tidak henti berdoa. Sehingga Allah kurniakan hidayah faham itu dalam dada. Doa saya moga ia kekal di situ selamanya, sehingga sampai sesi soal jawab di hari kita berada di hadapan Sang Raja Mutlak, saya dapat menjawab dengan apa dalam dada dan dengan tindakan. Ikhlas sebab saya dikurniakan faham.

Saya pastikan diri sendiri supaya tidak justifikasi pendirian sendiri dengan momokan, aggression, makian dan sentimen. Ia tidak akan melahirkan istiqamah dan cuma bersifat temporal. Kalau perlu berdebat pun ingatlah medan kita berhujah dengan orang Islam juga, meski berlainan kefahaman. Berbalas pandangan dengan berhemah dan hikmah. Sentuhlah manusia dengan kasih sayang, bukan kebencian, bukan terror (momokan). Kadang-kadang hidayah boleh datang dengan secebis kertas. Kerja Tuhan siapa yang tahu.

Saya pernah melihat video mengenai seorang artis arkobatik Jepun yang badannya sarat dengan tattoo. Kisah ini berlaku di Jepun, saya menonton di YouTube. Suatu hari artis ini selesai persembahan berjalan pulang melihat seorang Syeikh berpakaian serba putih di tengah-tengah kota. Bekal Syeikh ini hanyalah senyum dan kertas yang tertulis Allah dan Muhammad dalam tulisan Arab.

Syeikh ini hanya memberikan kertas tersebut pada manusia yang lalu lalang, termasuk artis bertattoo tadi. Beliau mengambilnya dan memerhati tulisan yang sangat asing, bukan kanji atau kana (tulisan Jepun). Tetapi kertas yang secebis itu (2”x3”) yang menjadi asbab jalan pulang padanya. Sehingga beliau menjadi muslim yang taat, berguru kepada Syeikh dan menjadi imam kepada jemaah kecil di tempat tinggalnya. Walau dalam ketika menjadi Imam, masih jelas kelihatan tattoo di tangan meski yang lain-lain sudah ditutup jubah panjang.

Saya percaya manusia, walau bobrok macamana sekalipun, secara fitrahnya adalah makhluk yang mencari kesempurnaan. Untuk tujuan ini, kita akan menggunakan semua potensi yang ada dalam diri. Potensi fitrah, akal, pancaindera, hati, imaginasi dan teks suci. Tetapi sebagaimana potensi, ia berkembang dengan umur, ilmu, pergaulan, pengalaman zahir dan batin. Tentu mengambil masa. Ada yang mendapatnya seawal usia muda, Alhamdulillah, ada yang lewat, tetap Alhamdulillah.

Dalam keadaan tegang perang di Ghazzah, seolah-olah Zionis Israel boleh bersorak gembira dengan 2 sebab. Terbunuhnya penduduk-penduduk awam dan tentera Mujahideen, dan kita yang bergaduh dengan hal-hal sebegini. Hal kecil ranting amat. Itu menjadikan mereka lebih gembira kerana yakin yang kita jauh dari dapat bersatu.

Erti boikot pada saya adalah dari kesedaran (awareness) dan hidayah. Biarlah tindakan yang dibuat dari pandangan yang memiliki sendi yang utuh; secara logik akal, rasional, emosional, spiritual, gagasan mendalam, cita-cita besar yang luhur dan suci. Seperti artis Malaysia, Afdlin Shauki yang merubah seluruh sentimen boikot yang negatif kepada yang lebih positif. Kata beliau, “kalau McD boleh berbangga dengan mengatakan mereka menaja rejim Zionis Israel, kenapa kita syarikat korporat Malaysia tidak berbuat benda yang sama."

Contohnya seperti syarikat Celcom, Maxis, Digi berbangga dengan mengatakan kami menaja kerajaan Ghazzah dan Tebing Barat. Bayangkan NZ curry hourse, Rangkaian restoran Kayu Nasi Kandar, HPA Industries, ILoveIslam, Yusof Taiyyob juga berbuat yang sama.

Ya, why not. Afdlin Shauki untuk filem Pontianak vs Orang Minyak (ditayangkan pada 22 November ini) menyatakan komitmen seluruh krew akan menyumbangkan sebahagian keuntungan yang dapat ke tabung Palestin. Positif dan kreatif. Thumbs up Afdlin!

Berusaha, mohon, dan bertindaklah! Apa pun yang mahu kita lakukan, ia mesti bermula dengan hati yang mahu mencari kebenaran dan kesempurnaan. Mulakan dengan kasih sayang dan cinta. Ghazzah memerlukan pembelaan dari cinta kita, kerana kita benar peduli, benar kasih. Pembelaan kita untuk mereka kerana kemanusiaan, kerana mereka golongan yang tertindas. Seperti perjuang Rasulullah awal dahulu di Makkah, membela golongan mustadaffin. Dan saya yakin, dengan cinta dan kasih sayang, Rasulullah mulakan perjuangannya.

Saya doakan kamu. Amin.

Akhir nanti di ‘sana’ kita sendiri yang akan menjawab semua soalan yang ditanyakan (sekali lagi bukan UAI ye, ingat tu.)

Monday, November 19, 2012

Ghazzah yang Bermusim



Seperti saya dan blog ini, kita semua bermusim. Dan musim ini tulisan saya mengenai Peduli Palestina. Saya tahu ramai yang akan mengeji perasaan yang bermusim, itu pun kepada satu daerah yang secara konsisten ditekan dan dizalimi. Jika tidak diserang, mereka di blockade secara ekonomi dan politik. Daerah yang minta dipedulikan sejak berakhir Perang Dunia Pertama dan dinodai ketika Perang Dunia Kedua. Akhirnya kita melihat diri kita sendiri, umat Islam, buntung, hilang maruah dan segalanya di Perang Enam Hari antara Arab dan Israel.

Sejak 2000 tahun lalu, wilayah yang Allah berkahi, Al Aqsa bergolak dengan segala macam kuasa dan penguasa.

Amaran, entri ini mungkin akan jadi panjang dan penuh emosi. Kalau ada pun perkataan mengeji dan merendahkan, itu sebenarnya ditujukan dulu pada diri sendiri. Kerana sebagai orang yang mengakui dari kelompok pembaca, saya masih lagi buntung, terpasung kaki dan tangan untuk membukti apa yang saya percaya dari bahan bacaan, yang lebih malang apa yang telah pun saya percaya dalam hati.

Saya mengutuk diri sendiri.

1 Muharram lalu, seperti bermusimnya perasaan kita, kita pun diuji dengan sentimen bermusim mereka yang seringkali mahu mempermain, menguji dan mengacah-acah. Zionis Israel sekali lagi membakar Semenanjung Ghazzah, ketika kita berpesta arak-arakkan di awal Muharram, atau sekadar terbaring di katil menghabiskan cuti percuma dari kerajaan.

Saya tidak diajar membaca sejarah Palestin sewaktu kecil. Meski saya bersekolah agama dari darjah 5 hingga ke tingkatan 3. Meski saya mengambil silibus agama Islam sehingga tingkatan 5. Meski saya mengambil sekurang-kurangnya 12 jam kredit pelajaran agama Islam di Universiti. Cuma sekali di kelas tutorial, Ustaz membacakan kisah Maryam. Kemudian menunjukkan gambar Kubah As Sakrah, dan gambar masjid Al Aqsa, gambar batu terapung, dan gambar-gambar yang berkaitan dengan bumi Palestin.

Saya kagum dengan Ustaz yang menghafal surah (saya tidak ingat surahnya). Kemudian setiap satu ayat, dibacakan tafsiran. Saya berterima kasih kepada Ustaz Mat Dani yang fasih, dan begitu bijak bercerita sehingga saya melihat Maryam di depan mata. Al Fatihah untuk Ustaz yang memberi pelajaran berguna, Al Fatihah untuk semua guru-guru yang membentuk peribadi diri saya.

Maryam yang bersusah payah melahirkan Nabi Isa dalam keadaan paling menghairankan ummat sepanjang zaman, kemudian diilham menggoyangkan pohon tamar untuk mengembalikan tenaga yang habis melahirkan. Di sisinya, air sungai yang Allah anugerah, untuk memberi segar supaya Maryam dapat kembali kepada keluarga dan komuniti sambil membawa Al Masih di tangan. Itu memori yang ada.

Selepas itu tiada siapa bercerita mengenai Palestin, Masjid Al Aqsa, dan relevansinya dengan dunia yang kita diami ini. Mengupas sisi sejarahnya, sehingga saya yang lahir dan dapat hidup di zaman milineum mengambil pengajaran. Tiada siapa yang berupaya mengupas sehingga dapat faham, dan bagaimana kita dapat bertindak.

Kata bijak pandai, apa sahaja di dalam Al Quran punya petunjuk berlapis waktu, berlapis zaman. Saya percaya. Tentang Palestin juga ada petunjuk di sana. Yang kita mungkari waktu untuk mentadabbur dan fahami petunjuk yang dibawa Nabi, yang dihantar sendiri oleh Sang Maha Penjaga Waktu.

Sehingga saya membaca buku-buku karya Imran Nazar Hossein (INH) terutama Jurussalem in Al Quran, Surah Al Khafi dan pelbagai lagi. Setakat ini, tentang Palestin, INH punya ketajaman analisa dan kesimpulan. Yang diadun dalam konteks semasa, yang diperkuatkan dengan hadith Nabi dan ilmu eschatologi yang beliau miliki. Terbaik di kalangan sarjana Islam, setakat buku yang pernah saya baca dan fahami.

Saya pernah temui Imran Nazar Hossein dalam mimpi di hadapan Masjidil Haram di Makkah al Mukarram. Saya bertemu beliau di dalam dunia nyata lebih dari 2 kali. Saya tidak tahu alamat mimpi yang diberi Allah untuk saya. Namun saya percaya mimpi tentang Masjidil Haram, Makkah, bertemu sarjana Islam yang fasih, adalah yang petunjuk yang baik-baik, tidak pernah ada sekelumit ragu.

Begitu.

Saya percaya Palestin adalah petunjuk makro kepada sejarah yang ditinggalkan. Untuk Muharram ini saya kira setepatnya kita kembalikan sejarah Karbala. Peristiwa yang dimiliki oleh semua umat Islam, tidak kira Sunni, Salafi, Sufi, Syiah, Tareqat, malah bapa kemerdekaan India, Mahatma Ghandi juga pernah berangan untuk miliki tokoh ulung dalam tragedi Karbala; Imam Hossein bin Ali, sebagai ikon perjuangannya. Karbala adalah miniatur kepada Palestin.

Kisah kita meninggalkan saudara seIslam kita untuk diratah puak-puak zalim. 

Saya ulangi kisah sedih di bulan Muharram, kerana seluruh keluarga saya masih menangisi peristiwa di bulan ini. Untuk menenangkan diri, saya kenangi apa yang perlu dilalui oleh Saiyidah Zaynab binti Ali, juga Imam Zainal Abidin (As Sajjad). Tiada yang lebih sedih dari mereka, walau kesedihan kami kehilangan kakak tercinta masih bersemadi di dalam hati, tidak pernah hilang.

Saya ceritakan dahulu kisah saya.

4 tahun yang lalu, di pagi hari cuti awal Muharram, saya mendapat panggilan telefon dari Keramat. Isinya ringkas dan mudah, kakak saya sudah meninggal dunia. Saya hanya mempunyai seorang saudara perempuan, yang gembira sedih saya diceritakan padanya. Yang Kak Ngah juga, menceritakan cerita sedih gembira Kak Ngah pada saya. Yang anak-anak Kak Ngah adalah anak saya, anak kami, yang seluruh ketawa kami sekeluarga dengan cerita-cerita Kak Ngah. Setiap kali Kak Ngah ada, kami akan pecah ketawa dengan gelagat dan ceritanya. Sedangkan saya tahu, derita apa yang disimpan jauh disudut hati.

Terlebih dahulu bulan Mei 2007, kami dikejutkan dengan pemergian anak buah kami, anak sulung Kak Ngah kerana kemalangan. Beliau pada ketika itu baharu sudah SPM, sudah diterima masuk ke UiTM. Dalam cuti sekolah yang panjang, Syafiq ingin berdikari dan bekerja sebagai pembantu pengawas peperiksaan di UiTM Shah Alam. Syafiq menaiki motor melalui jalanraya Shah Alam-Meru yang sedang sibuk dibangunkan. Hari yang Allah janjikan itu, Syafiq pulang dengan menaiki motor. Allah lebih tahu rencanaNya, Syafiq dilanggar lori pembinaan, kata orang lori hantu. Saya pasti ianya lori hantu kerana pemandu yang tidak bertanggungjawab itu lari tidak berada di tempat kejadian. Moga Allah membalas setimpal dengan kesalahan keji kepada kami.

Syafiq meninggal di tempat kejadian. Jenazahnya diletakkan di tepi jalan. Tiada siapa yang memberitahu Kak Ngah kejadian yang sebenar, kerana Kak Ngah ada penyakit darah tinggi. Takut-takut yang lebih buruk menimpa Kak Ngah.

Waris yang paling dekat respon ke tempat kejadian, adalah pengasuh Syafiq sejak dari kecil sehinggalah beliau mencapai umur 17 tahun. Jiran Syafiq, Wak Lan yang membawa kain pelikatnya guna untuk menutup mayat. Mereka tidak boleh berbuat apa-apa kerana sudah masuk kes polis. Sehingga selesai, baharu boleh membawa jenazah Syafiq ke rumah untuk disempurnakan.

Kak Ngah diminta pulang segera. Tanpa mengesyaki apa-apa Kak Ngah pulang ke rumah. Di laluan Shah Alam-Meru, Kak Ngah nampak ada orang ramai berkerumun di tepi jalan. Dalam hatinya tertanya siapakah yang telah menjadi korban jalanraya, sedang Kak Ngah tidak tahu, itu adalah anak sulungnya sendiri. Tetapi Kak Ngah pulang dengan hanya menyedari sudah ramai berkerumun di rumah. Kemudian  baharu Kak Ngah tahu, yang menjadi korban jalanraya itu adalah anaknya sendiri.

Itu bulan Mei 2007.

Bulan April 2008, tidak sampai setahun, Kak Ngah pula pergi menyertai Ayah, dan anak sulungnya Syafiq. Untuk manusia seperti saya, yang lemah serba serbi, salahkah kalau saya menangisi Muharram setiap tahun?

Saya mendapat khabar di telefon pagi Muharram. Sampai di rumah Kak Ngah, jenazah beliau sudah siap, hanya menunggu saya dan adik sebelum dibawa ke liang lahad. Saya sampai dan yang termampu saya lakukan adalah memeluk Bonda dan menangis di dadanya. Tersengguk-sengguk, tidak segan pada orang lain. 

Saya kehilangan, satu-satunya saudara perempuan tempat saya mengadu.

Bila-bila masa pun, jika teringat, kami akan disampuk syahdu yang nyata. Siapa yang tidak menangisi saudaranya yang pergi, begitu apa pun cara mereka meninggalkan kita.

Baik. Muharram ini, saya meminjam kekuatan Saiyidah Zaynab binti Ali, untuk terus sabar dan tabah dengan ujian. Tiada yang lebih menyedihkan dari Zaynab dan Zainal Abidin bin Hossein. Jika mereka tidak mampu tersenyum sehingga di penghabisan nyawa, saya jauh dari faham.

Yang terjadi di Karbala, adalah miniatur untuk mewakili apa yang berlaku sekarang di Palestin. Di sana, Saidina Hossein dan keluarga berangkat untuk kembali ke Kufah. Sebelum itu mereka berada di Makkah. Sehingga sampai di tanah Karb dan Bala, rombongan ini dicegat daripada terus bergerak ke Kufah. Saidina Hossein yang lebih tahu, berhenti untuk memenuhi janji. Janji yang lama dahulu ketika Saidina Hossein masih bayi, Rasulullah sudahpun menangis untuk anak ini. Yang dewasanya akan jadi peristiwa pemisah antara hak dan batil. Di tanda di Karbala.

Sesiapa yang masih tidak tahu apa yang berlaku kepada Saidina Hosein, mereka sekeluarga sejumlah lebih 70 orang anggota keluarga dihabisi oleh tentera-tentera Yazid tanpa belas kasihan.

Itu yang berlaku sekarang. Peristiwa yang sama di Ghazzah. Sebuah daerah yang telah dicegat semuanya, bekalan air, makanan, perubatan, hak untuk sekolah, hak untuk kemanusiaan. 2012, mengulangi kembali yang berlaku dahulu, mereka membedil dengan roket, seperti mana tentera Yazid menghujani dengan anak panah.

Jika dahulu anak-anak dan rombongan Saidina Hosein kehausan akibat dikepung di tanah Karb dan Bala, seperti itu juga anak-anak Palestin dan keluarga mereka, dicegat dengan bekalan air bersih untuk minum dan makan mereka sehari-hari. Mereka dikepung, dan satu-satunya laluan untuk bekalan dari dalam terowong. Sempadan ditutup untuk mereka. Apa-apa pun ditutup untuk mereka. 

Kita yang mendengar berita ini, juga menjadi seperti mereka yang berada di Kufah dan sekitar semenanjung Arab, berpeluk tubuh tidak buat apa-apa.

Ini Muharram yang Zionis Israel tidak segan mempersendakan kita, hidup-hidup, secara live terpampang di TV. Zionis Israel percaya, yang kita, sepertimana sejarah Saidina Hosein akan berbuat benda yang sama, berpeluk tubuh. Meski yang sedang dizalimi itu, cucuanda Rasulullah sawa yang mempunyai mirip wajah yang serupa. Yang bibir Saidina Hosein pernah dikucup Nabi. Yang mereka, Hasan dan Hosein, dipanggil, disayangi, dimanja, seperti anak-anak lelaki Rasulullah sendiri.

Tuhan, aku tahu kutukan ini telah mengenai diriku. Jika Saidina Hosein menjerit dan aku mendengar suaranya pun, aku akan jadi seperti inilah. Hanya menangis memohon: Kau Ya Allah, bantulah Imam. Berilah Imam air, Imam sedang haus Ya Allah. Seluruh keluarga sedang haus Ya Allah. Di perit mentari, di tanah gersang. Ya Allah, bantulah bayi-bayi yang dihujani panah dan mati dalam keadaan dahaga.

Kutukan ini telah mengenai kami. Palestin sedang menjerit, bukan hanya di Muharram 2012, lama sudah. Sejak berakhir Perang Dunia Pertama, sejak berakhir Perang Dunia Kedua, sejak maruah kami umat Islam ditelanjangi di Perang Enam Hari.

Allah, aku masih tidak berdaya sekarang. Tetapi Kau tahu benar hatiku. Berikanlah aku peluang menunaikan janji-janji sehingga Kau berikan daku kelapangan, agar aku dapat menyempurnakan pula janjiku kepadaMu. Ya Allah, aku mohon Ya Allah. Sekarang Kau lihatku dengan selemah-lemah iman, tetapi Kau tetap tahu doaku untuk diperteguhkan iman. Sehingga dapat dibuktikan dengan tindakan dan apa adanya dalam dadaku.

Kenapa saya kata dalam Al Quran ada petunjuk tentang peristiwa Palestin? Bukan saya kata, saya ambilnya dari INH, yang memperincikan analisa tentang Palestin dan peristiwa akhir zaman dalam Jurussalem in the Quran. Bacalah, saya tidak mampu ringkaskan kerana segalanya dalam buku itu ada petunjuk dan pedoman untuk diri saya sendiri, juga untuk kamu yang saya cintai.

Respon kita terhadap Palestin bermusim. Ketika roket Israel yang ditulis, from Israel with Love dilepaskan ke penduduk awam Palestin dan membakar mereka, baharu kita respon. Bila media TV dan sosial kita berasak-asak dengan mayat bayi yang rentung, dan mereka dikapankan dalam senyum kita akan sama turut bersorak seperti mana media bersorak kepada kita. Khatib di khutbah Jumaat kita bermusim. Peti-peti derma kita bermusim. Kata-kata menganjing dan mengunjing Zionis Palestin bermusim. Boikot kepada barangan tajaan Israel bermusim. Entri kepada Peduli Palestina, seperti yang saya lakukan sekarang juga bermusim.

Padahal Al Quran tidak mengajarkan kita untuk peduli Palestina bermusim.

Buka surah Al Isra’ ayat yang pertama. Petunjuk tentang nasib yang mengenai Palestina di situ. “Mahasuci Allah yang telah memperjalankan hambaNya pada malam hari dari Masjidil Haram ke MASJIDIL AQSA yang telah Kami berkahi sekelilingnya.”

Ya benar ini cerita Isra’ Mi’rajnya Nabi. Tapi saya percaya, sesiapa sahaja yang sanggup berjalan, terbang, belayar, menaiki kenderaan malah berjalan kaki demi apa pun; berkorban wang, masa, tenaga, harta, darah, nyawa, untuk memberi apa pun; makanan, pakaian, ubat-ubatan, senjata, kepakaran untuk membina fasiliti ketenteraan mahupun awam, berkongsi rasa, kesedihan, kegembiraan meraikan syahid dan syahidah, mengusung keranda ke perkuburan mengiringi para jihadis, apa-apa pun, akan mendapat ganjaran. Kerana kata-kata Al Quran, kalam Allah, tidak bersabit zaman, keadaan, dimensi mahupun masa.

Kata Allah, “Masjidil Aqsa yang telah Kami berkahi sekelilingnya.”

Siapa pun yang setitis peluhnya tertumpah di Ghazzah dan sekitar Masjid Al Aqsa akan diberkahi. Saya percaya, kerana Allah telah berkata yang demikian. Saya percaya wajah-wajah yang gugur menguntum senyum yang kita pun berangan penghabisan nyawa kita tersenyum seperti itu, telah menjumpai jalan Mi’raj mereka mengadap Ilahi, di tempat yang Allah berkahi sekelilingnya.

Tiada siapa menghalang saya, dan kamu yang saya kasihi, untuk mencari jalan Mi’raj di bumi Palestin. Apa pun alasan kita, tiada siapa yang akan menghalang jika kita berkeputusan untuk menaiki kapal Rachel Corrie dan Ghazza Flotilla.

Entri ini bermusim, saya tahu. Kutukan telah mengenai diri saya. Maafkan saya Tuhan, maafkan kami, yang telah meninggalkan mereka di bulan-bulan haram perang. Yang dilaknat telah melancarkan roket dan meninggal saudara kami tanpa pelindung. 

Melihat video Tears of Gaza, saya juga turut menangis. Kami menangisi keluarga yang telah pergi. Dan mereka menangisi kerana ramai yang tidak peduli. Ngilu itu akan terus berada dalam dada mereka dan betapa, senyum pun telah hilang dari wajah-wajah. Jangan salahkan mereka jika air mata tidak akan pernah berhenti. Jangan salahkan mereka, jika mereka akan sering mengunjungi pusara syahid dan syahidah yang tergolong dari keluarga mereka sendiri. Jangan salahkan mereka menggantung gambar mereka yang gugur di ruang tamu, kerana hanya itu yang tinggal. Bayang di dalam bingkai cermin.

Wahai Tuhan Pemilik Musim, dengarkan suara anak-anak yang kehilangan ini. Bantulah mereka Ya Allah. Bantulah kami agar segera sedar, hal ini bukan hal bermusim. Pembelaan dan gerakan diperlukan sekarang. Bukan lagi hanya setakat doa, tetapi dengan tindakan!

Friday, November 09, 2012

Bagai disirami air


Pernah menonton drama Dunia Baru, yang satu masa dahulu ditayangkan oleh TV3. Drama yang dilakonkan oleh ramai pelakon muda menceritakan perihal keadaan baru masuk Universiti. Pagi ini kepala saya diketuk satu perkataan ‘Keberkatan’ dan yang berlegar dalam kepala itu adalah watak yang dilakonkan oleh Khatijah Tan. Beliau dalam drama Dunia Baru adalah ibu kepada Pierre Andre.

Ring a bell? Yup, watak itu diminta untuk sentiasa mengulang perkataan keberkatan dengan mengeja dalam ejaan jawi. Seorang ibu yang berlatar belakang agama dan dilihat begitu warak sekali.

Saya sendirian ketawa. Watak itu juga mendapat kritik yang meluas kerana dilihat tidak relevan untuk mencerminkan seorang yang tunduk beragama.

Baik tinggal dulu, cerita dunia baru ini.

Saya mahu menggali makna ‘keberkatan’ yang faham saya ada turun naiknya. Terus terang saya kadang-kadang skeptik juga dengan Ustaz Ustazah yang mensyarahkan dalam ruang lingkung teori dan sukar sekali kita refleks dalam keadaan semasa. Dan apabila kita menginstitusikan agama, dengan maksud hanya mereka yang berlatar belakang agama dilihat berautoriti untuk menyebut istilah-istilah agama. Dengan maksud mereka yang berpakaian tertentu (dengan code agamawan) dilihat lebih berhak berpesan pada orang lain.

Sungguh, menuju dewasa dan kematangan ini, saya tidak melihat praktik itu di kalangan kebanyakkan Ustaz dan Ustazah. Sekurang-kurangnya di tempat saya. Tetapi lebih dilihat dari mereka yang bersederhana ketrampilan, kadang-kadang berseluar jeans, tidak kurang mereka yang tip top dan outstanding penampilan luaran mereka.

Salah kita kerana faham keberkataan hanya sebagai perkataan tanpa nilai praktiknya. Salah kita kerana mahu memahami dari mulut dan bibir ustaz ustazah tetapi bukan dikutip dari kawan-kawan sekeliling kita.

Kata kawan saya, keberkatan itu maknanya kebaikkan atau manfaat yang berganda-ganda. Istilah orang ekonomi, multiplier effect. Jangan tanya saya dari sudut ekonomi, saya memang bukan ahli.

Saya mengutip makna keberkatan selalu dari rakan hikmah yang hanya baru-baru ini dapat saya dampingi kembali. Sungguh kesibukkan selalu menjadi musuh yang begitu kejam. Dan dalam entri kali ini, walau tanpa perlu hitam putih dalam kertas, saya membuat deklarasi beliau adalah seorang mentor, guru, pembimbing.

Penampilan beliau, jauh dari stigma agama. Tetapi penghayatan beliau untuk menjadikan setiap sesuatu yang diusahakan dalam mencari rezeki penuh keberkatan, sangat mengkagumkan.

Saya selalu tanya beliau tentang masa, bagaimana dengan masa yang sama beliau dapat membuat banyak perkara. Sedang semua orang, termasuk saya diberi Allah jumlah yang sama, tetapi tidak produktif sekali dari segi impak kepada diri, tugasan, jabatan dan masyarakat.

Saya kongsikan tentang beliau, yang sampai sekarang saya tidak dapat menganalisa dari segi logik bagaimana beliau boleh lakukannya. Moga cerita beliau yang dipanjangkan ini, memberi insaf pada saya dan sesiapa di luar sana yang membaca.

Beliau ialah seorang ibu dengan dua orang anak yang masih kecil tanpa pembantu rumah. Di pejabat beliau adalah ketua unit penerbitan yang menerbitkan 7 makalah akademik setahun. Dan dalam tahun-tahun yang khas, menerbitkan 9 makalah setahun. Dalam urusan penerbitan, beliau akan meneliti dari pada A hingga ke bacaan pruf sebelum dicetak. Termasuk terlibat aktif dalam reka letak, design kulit buku dan suntingan bahasa. Setiap tahun samada menjadi Pengerusi atau Timbalan Pengerusi untuk seminar dan konferensi. Kadang-kadang sehingga 2-3 kali dalam setahun yang mana mengambil berat setiap unit dalam menyelesaikan gerak kerja dan masalah. Tidak termasuk berurusan dengan orang luar yang terlalu banyak permintaan dan kerenah. Lebih teruk, beliau tidak dapat pengurangan jam mengajar di mana akan mengajar selama 20-22 jam seminggu. Dengan kerja-kerja penilaian pelajar secara bersambungan sehinggalah pelajar cuti semester. Juga kursus yang perlu dijalani setiap tahun tidak kurang dari 45 jam setahun, tetapi selalu beliau dapat lengkapkan dengan nilai lebih dari 100 jam. Tidak kira semua kertas kerja akademik yang tetap akan ditulis, sekurang-kurangnya 3 judul setahun. Juga kajian lapangan untuk melengkapkan kertas kerja akademik tersebut. On top of that, yang menyebabkan saya angkat topi dan analisa logik saya terhadap penggunaan masa menjadi berantakan, beliau juga sedang belajar di peringkat Kedoktoran dan berjaya menyelesaikan dalam masa yang ditetapkan. Dilakukan dalam tempoh 5 tahun secara separuh masa.

Believe it or not? Just believe it, kerana saya sanggup menjadi saksi.

Logik? Saya katakan pada beliau ia tidak logik. Bagaimana pun saya mahu menganalisa, ia tidak masuk dalam kesimpulan yang normal pada manusia biasa, melainkan beliau mempunyai kuasa melentur masa. Atau kadang kala saya berselorah, melainkan beliau menyimpan ‘hantu raya’.

Kami gelak dengan kuat. Yang akhir itu tentu kelakar untuk mengendur serius berbual.

Di sini ahli hikmah saya membuka rahsia, atau lebih tepatnya berbincang kemungkinan-kemungkinan yang ada. Kerana pada masa beliau melakukan semua perkara di atas, saya memang ada di dalam unit penerbitan dan terkena tempias dengan semua kesibukkan. Tinggal lagi saya punya semua waktu yang saya mahu termasuk bekerja sehingga ke 3-4 pagi kerana tiada komitmen di rumah.

Kami bermuhasabah. Dalam hal-hal seperti ini logik normal kehidupan mungkin not applicable, tetapi kita perlu mengkajinya dari logik dimensi Tuhan.

Kata beliau, “mungkin dalam tempoh tersebut Tuhan memanjangkan masa untuk kita. Pada masa dahulu satu jam untuk kita dirasakan terlalu panjang. Sebab itu kita boleh membuat kerja dengan selesa tanpa rasa dihambat waktu.”

Saya menyambung, “sekarang walau kita rasa bebas tidak dibebankan dengan urusan penerbitan segala hal, masa itu dirasakan begitu cepat berlalu.”

Beliau mengangguk setuju.

Keberkatan begitu Allah membalasnya. Kadangkala kita tidak pernah terfikir kerana kita tidak pernah berhenti dan bermuhasabah. Dalam kes ini, keberkatan berlaku seolah-olah masa dilenturkan. Perlahan, mengikut rentak dan sebagaimana yang dimahukan.

Tetapi saya mendapat rahsia lebih dari itu, ia terletak juga dengan keikhlasan. Sepanjang tempoh kesibukkan itu, saya tidak pernah mendengar beliau mengadu kelelahan, dan tidak pernah sehari melihat beliau keletihan. Meski banyak kali beliau rebah sehingga perlu disuntik doktor akibat demam.

Begitu pelajaran keberkatan yang saya dapat. Dan kesempatan yang saya dapat dari Jengka menuju ke Gambang tempoh hari, saya dapat simpulkan semua logik saya yang telah pecah berantakkan sebelum ini. Saya susun menjadi logik dalam dimensi Tuhan.

Walaupun beliau tidak dimahsyurkan, atau di popularkan, atau diangkat ke tempat yang layak dengan segala pencapaian dan khidmat yang dilakukan demi kebaikkan orang lain, beliau tetap sahaja bersyukur dan tidak kisah.

Saya juga mengkagumi beliau yang ini. Kerana mungkin kami sama-sama tahu, pengiktirafan itu tidak akan selamanya lebih baik dibalas melainkan oleh, Yang Maha Pembalas.

Keberkatan bukan seperti mana yang dilakonkan oleh Khatijah Tan dalam Dunia Baru, yang sering diulang-ulang sebut sekali dengan ejaan jawi. Kita boleh faham maknanya meski dalam tulisan Rumi malah dalam English sekalipun. Kerana ia bukan kata, ia adalah dimaknakan dengan praktik dan perbuatan.

Keberkatan juga tidak semestinya untuk sesuatu perkara yang besar dalam hidup kita. Kadangkala kita risau membeli barang untuk dihadiahkan pada keluarga, sangka kita sudah banyak tetapi bila dilihat di tangan selesai membayar, sedikit sekali. Tetapi bila sampai di rumah, dan dihadiahkan pada mereka, masyaAllah, bagai tidak habis. Juga boleh datang dari perbuatan paling simple, seperti senyuman ikhlas.

KEBERKATAN seperti itu, dan saya dapat lihat hidup saya lebih keberkatannya kerana sudi dibuat kawan oleh ahli hikmah ini.

Pokok pangkalnya, berjujur dengan tanggungjawab dan amanah, termasuk hak pada Allah untuk ditunaikan dan kata kunci yang tersimpan kukuh, IKHLAS lah dalam memberi. Ikhlaslah dalam mengajari. Ikhlaslah dalam bersahabat. Ikhlaslah dalam kesetiaan. Ikhlaslah dalam melakukan amal dan kebajikan. Ikhlaslah dalam berjuang. Ikhlaslah dalam menengakkan keadilan. Ikhlaslah dalam segala hal, termasuk dalam senyum dan doa kamu.  

Allah akan membalasnya saya yakin dan pasti. Ia tidak semestinya dibalas balik serupa yang kita lakukan, tetapi dengan perkara yang paling kita perlu dan suka. Apa dia? Jangan bertanya-tanya, serahkan sahaja pada Allah. Dia Maha Tahu, kerana Dia Pencipta kita.

Seperti semalam saya mendapat ucapan terima kasih dalam email untuk entri-entri lewat kebelakangan ini. Kata si penulis email, membaca WadiKita “macam kena siram…sejuk.”

MasyaAllah, barakallah pada yang menulis. Puji-pujian itu tentu kepada si Pemilik segala Puji, Allah yang mahu menggembirakan saya dengan perkataan yang ikhlas itu.

Si penulis email tidak tahu, bahkan kata-kata beliaulah yang menyegarkan Wadikita, ‘bagai disirami air.’

Maha Suci Tuhan, yang menciptakan KEBERKATAN, yang berpapasan dalam hidup kita, selalu dalam kita tidak pernah sedar pun. Terima kasih Allah!

Moga kita menjumpai berkat dalam setiap langkah dan nafas kita dibumi ini.

Thursday, November 08, 2012

Transformasi, kecil pun bermakna


Sekarang musim hujan di Kuala Lumpur. Juga di banyak belah negeri-negeri di Semenanjung Malaysia. Malam sekarang ibarat musim salju, sejuk yang aman. Juga kadang-kadang merisaukan kerana sampai menggigit tulang.

Apa cerita kita dengan hujan? Barangkali ia hanya sebagai catatan musim. Melihatkan peralihan dan melegakan dari panas yang mencengkam.

Tetapi apa cerita hujan kepada Uncle Roti? Seperti gambar di atas, foto yang menceritakan segala-galanya.

Hujan bagi Uncle Roti, bermakna beliau tidak dapat lagi meneruskan usaha mencari rezeki. Sangka kita hanya nelayan di laut, petani dan pekebun hidup bergantung pada musim. Tetapi masih ramai di sekeliling kita bernasib sama. Seperti penjual goreng pisang, penjaja-penjaja pasar malam, abang penjual aiskrim. Kita yang jarang sekali berhenti dan melihat sekeliling kita, seperti manakah wajah masyarakat kita?

Tragis sekali, dalam perjuang Uncle Roti dan musim, ada lagi pertentangan yang perlu Uncle Roti hadapi. Iaitu kapitalis ulung yang wujud di sekeliling kita, yang memakai brand import dari luar negara dan Yahudi  Zionis penghisap darah seperti Tesco, Carrefour, Giant. Yang mana kita senang sekali membeli dengan mendengar scan barcode, dari saling bertukar senyum dengan Uncle Roti.

Uncle Roti dalam gambar di atas, dalam usianya lebih 50 tahun, menjual roti yang harganya RM0.70 dan terpaksa melabuhkan plastik ketika hujan, tidak mungkin boleh bersaing dengan kapitalis penghisap darah. 

Adakah kita pernah fikirkannya? Mahukah kita membuat perubahan?

For those who can, drive change.

Nothing is more noble than doing something for others and making a difference in their live. It may be as simple as taking over a chore from your spouse or parents without being asked to, surprising your loved one with flowers or even delivering gifts personally to the old folks’ home.

Dalam kes ini, membelilah kita dari Uncle Roti :)

(Gambar ikhsan Cikgu Zamir - Facebook - Zul Fikri Zamir)


Wednesday, November 07, 2012

Atas Pilihan




Kebetulan, pilihanraya US sudah pun selesai, yang menang untuk meneruskan penggal kedua ialah Barrack Obama. Presiden kulit hitam pertama US.

Soalnya, dunia akan berubahkah?

Tidak kisahlah, yang saya kagumkan ayat Bob Marley di atas. Begitu yakin dia, dalam apa pun juga keadaan kita akan disakiti. Sesiapa pun dari kita, kecil, dewasa, tua kita ada potensi untuk disakiti dan kecewa. Bob specific kenyataan di atas kepada perhubungan antara lelaki perempuan. Rasa macam nak bangkang je kan Bob ni, tapi fikir panjang kebenarannya ada. Malah ia berlaku kepada setiap bentuk perhubungan. Setiap kita berpotensi untuk menderita sebab perhubungan.

Sebelum jumpa ayat Bob di atas, semalam saya membaca artikel panjang dari laman Suhaib Webb ada sedikit-sedikit perkaitan dengan membacanya di sini. Judulnya Why do people have to leave each other. Sesuatu yang tidak pernah saya fikirkan, tetapi berlaku di sekitar kehidupan. Samada bercerai mati, atau disebabkan situasi, atau disebabkan tidak serasi atau sebab-sebab yang lain yang tidak pernah terlintas. 

Bagi ramai orang, semuanya adalah lumrah kehidupan dan akan menasihat life goes on. Bagi penulis artikel, ia bukan sesuatu yang mudah dan selalu beliau akan larut dalam kesedihan yang lama. Dan, sebenarnya, ia juga cerminan pada diri saya sendiri.

Untuk kami, apa pun yang berlaku, ia tidak pernah mudah.

Penulis artikel kemudian membuat satu kesimpulan, kenapa kita akan larut dalam kesedihan, kerana kita tidak letak pergantungan kepada Allah. Sayang mana pun kita pada orang, jangan sampai melebihi sayang pada Allah. Atau letakkan sesuatu yang kita sayang itu kerana Allah. Apa pun yang jadi kemudiannya kita akan tetap pasrah berserah, kerana semuanya pun milik Dia. Atas kehendak Dia untuk memberi atau mengambilnya kembali.

Bacalah artikel itu, ia lebih bermakna dan sarat pengajaran.

Saya mahu menyanggah perkataan Bob Marley, tiada satu pun yang ada dalam dunia, baik manusia, harta, pekerjaan, pangkat, anak isteri worth suffering, kecuali mereka yang hak kerana Allah. Dan ultimate suffering itu lebih indah dilakukan semata-mata demi menegakkan agama Allah.

Seperti yang ditunjukkan para Nabi-nabi, dan mereka yang berjuang di jalan Allah yang hak. Pembela keadilan. 


  

Tuesday, November 06, 2012

2 Hari Kehilangan dan Menjumpai


Lewat-lewat minggu ini saya kelelahan kerana perlu berulang merentasi negeri. Kuala Perlis – Langkawi – KL – Jengka – Gambang – Jengka. Entah bila, perjalanan terasa terlalu memenatkan. Sehingga dua hari di Gambang membawa saya kembali berfikir, lewat hari-hari saya sebenarnya kehilangan, dan 2 hari ini saya mencari kembali diri.

Mungkin perjalanan yang panjang-panjang itu walau sepenuhnya dengan kesedaran dan komitmen, tetapi sela masanya dihiasi dengan urusan kerja yang bersangkut paut dengan manusia, tetapi kami tidak langsung bercerita pasal manusia.

Dalam mencari dan menjumpai, saya menemui resolusi. Hidup ini adalah mengenai manusia, bukan hanya setakat manusia, tetapi kemanusiaan. Kita bukan diukur kemajuan dengan mewah makan tetapi sejauh mana dengan makanan yang sama kita dapat berkongsi dengan yang lain, yang lebih memerlukan. Kemajuan kita bukan diukur dengan kita punya busana cantik, tetapi betah tinggalkan jiran yang berkain lusuh dan itu satu-satunya pakaian yang melekat di badan mereka. Bukan mampu kita membeli tas tangan berjenama LV dengan ribuan ringgit, tetapi tidak pernah terfikir untuk harga yang sama boleh memberi makan sebuah keluarga berminggu lamanya.

Hidup saya meski setiap hari penuh diisi dan dikayakan, tetapi passion telah mati. Perkataannya bahasa Melayunya ‘semangat’. Sehingga sahabat senior yang setia mengingatkan saya tentang banyak perkara. Mengingat kembali tentang sejarah dan bagaimana magis menghiasi hidup kami saban hari. Saya hampir terlupa kami melalui itu semua. Bagaimana dulu kami mendiami alam magis bila masa dilenturkan khas untuk kami. 24 kami lebih panjang dari orang lain. Ruang dimensi yang sempit diluaskan.

Kata kuncinya, kami mengerjakan pekerjaan kami dengan ikhlas, tidak berkira, membantu ramai orang, komited dan berusaha bersungguh-sungguh.

Sungguh saya sudah ketinggalan jauh. Saya yang dulu itu sudah hilang.

Saya lupa, sehingga rakan senior ahli hikmah yang setia ini mengingatkan, ibadah itu bukan setakat berteleku di atas sejadah, membilang buah tasbih, membaca Al Quran berlama-lama. Ibadah itu adalah sejauh mana kita buktikan iman dan ilmu. Berjujur kita terhadap profesion yang melibatkan masa, pelaksanaan tugas dengan cemerlang, keberadaan, itu lebih di pandang orang. Kita adalah Duta Allah di tempat masing-masing. Yang Allah tuntut dari kita istiqamah dan ketundukan.

Dan yang paling saya cari ialah keikhlasan yang mengangkat tinggi martabat kemanusiaan.

Saya rindu banyak perkara. Yang saya hargai benar-benar dalam hidup dimensi ini adalah nilai yang sempurna di mata Allah dan sudah tentu sempurna untuk diamalkan sesama manusia dan alam.

Ada cerita kemanusian di celah dua hari ini yang menyentak alam khayal saya. Sejauh mana pun kita meratapi nasib yang mengiring perjalanan hidup, kita, kata rakan hikmah jauh sejuta kali ganda lebih bertuah orang lain.

Ada yang kematian isteri yang sudah lama sakit jantung, dan pada masa yang sama menanggung anak kurang upaya yang terlantar di perbaringan. Ada yang diserang stress sehingga jatuh pengsan, setelah dimasukkan ke hospital disahkan menghidap penyakit jantung, kemudian diuji dengan masalah keluarga.

Dan saya saban hari berjalan, di jalanan anak-anak miskin dan yatim dengan sejuta keperitan kehidupan, yang mereka tidak tahu pun mereka sedang hidup dalam derita, kerana derita itu adalah mereka. Sehingga mereka tidak lagi merasa derita.

Apa yang menghalang saya dari bersyukur, dan mensyukuri nikmat yang ada setiap hari?

Apa yang menghalang saya menggunakan hari-hari dengan sebaiknya, seperti yang dituntut? Seterusnya membukti bahawa kita hamba Allah yang tunduk dalam pengabdian?

Ibadah itu tidak sesempit seperti mana dalam pemikiran ramai orang. Banyak jalan, hatta dengan menguntum sebuah senyuman. Dan untuk menjadi Duta kebaikkan, tidak perlu sijil yang disahkan. Satu nasihat yang tidak diluah dari bibir rakan hikmah tetapi saya dengar di setiap tutur kata yang diluah, ‘berbuatlah segalanya dengan ikhlas.’

Ya ikhlas.

Kemudian beliau mengajari satu perkataan: Utopia. Ya, saya tahu benar maknanya. Dunia impian, yang ideal, yang terbaik di fikiran kita.

Saya mengimpikan dunia yang aman damai penuh kasih sayang, yang mengEsakan Allah, sayang Rasulullah dan keluarganya, yang meletakkan hak di tempatnya, penuh keadilan, total ketaatan pada perintahNya, tiada kepentingan diri, keikhlasan, dan damai. Dan cinta.

Tolong jangan menindas orang kerana kita lebih berkuasa, kerana punya pangkat dan nama, kerana punya takhta. Tolong jangan melihat orang lain seolah seperti tiada harga diri dan tiada orang menyayangi, meski dia tinggal seorang pun, Allah masih tetap sayang pada dia. Seperti Siti Hajar. Seperti Nabi Ismail. Seperti Nabi Ibrahim dalam kobaran api yang sedang marak membakar dirinya. Seperti Rasulullah yang sedang sakit diperbaringan di Hari Khamis. Seperti Hussien di padang Karbala.

Tolong. Kita tidak diajar menindas. Kita tidak diajar membesarkan yang lain selain dari Allah. Allahu Akhbar itu ertinya, Allah Yang Maha Besar, tiada yang lebih besar darinya.

Seperti yang diajari dari guru saya, hidup ini hanya ada tiga detik. Detik kita dilahirkan, semasa diberi nafas, dan waktu kita dihidupkan kembali.

Hiduplah, jangan sekadar wujud.

Jadilah air, yang sentiasa akan menghidupkan dan memberi harapan. Jika kamu masih punya udara dan air, berbahagialah. Itu sebenar-benarnya hakikat penyambung hidup, bukan yang lain.