Berbuat baik dengan Menerima

Seperti biasa, dalam minggu-minggu yang luar biasa menerima asakan dan ujian bentuk peribadi, saya sering diberi perhatian istimewa dari langit. Saya juga percaya perkara yang sama boleh berlaku pada awak, pada sesiapa sahaja, jika kita benar-benar aktifkan indera untuk memerhati dan merasai. 

Apabila menerima hadiah dari langit, kita akan segera faham marah-marah itu tidak perlu, merasa diri diprovokasi juga tidak perlu, melenting itu lebih patut disiramkan dengan sabar. Pelajaran yang selalu kita boleh dapat dari rancangan tanyalah Ustaz, tapi sangat sukar kadang-kadang untuk dipraktikkan.

Hari ini saya belajar, manusia juga secara nalurinya boleh belajar mengalami pengalaman. Belajar untuk sabar itu lebih getir dengan mengalami sendiri. Ya, teori lebih mudah berbanding dengan berbuat.

Apa yang saya merepek pagi-pagi ini.

Owh, saya cuma mahu berkongsi. Selalu kita merasa berbuat baik apabila dapat memberi dan berkongsi dengan orang lain. Semalam saya mendapat pengajaran, bahawa berbuat baik juga boleh berlaku dengan menerima.

Konsep ini mungkin jarang dibincangkan. Tetapi bagus juga kalau dapat menghayati.

Membuat baik dengan menerima itu seperti ini. Katalah rakan atau ahli keluarga berpergian jauh, mengembara atau berziarah. Kemudian mereka pulang. Pulang mereka pula dengan membawa hadiah, kecil besar, mahal atau murah, dan dengan rasa besar hati memberikan kepada kita.

Pada masa itu kita akan merasa gembira dan berterima kasih. Menerima dengan ikhlas itu juga kebajikan, kerana kita telah melengkap syarat orang lain yang mahu berbuat baik, bersedekah dan memberi hadiah. Pada masa itu hendaklah kita dengan sepenuh jiwa mensyukuri dan menghargai. 

Saya juga belajar jangan juga lokek untuk membalasnya dengan perkataan yang baik-baik, seperti "saya sangat suka dengan semua hadiah yang awak hadiahkan." Perbuatannya amat kecil pada sesetengah orang, tetapi memberi makna eternity kepada orang yang lain pula.

Ya, saya baru belajar semua ini, faham maknanya, dan merasainya dalam hati.

Bagi saya bukan makna kepada hadiah yang dititipkan kepada kita itu yang mengkagumkan. Tetapi ingatan mereka, ketika mereka singgah ke kedai/kiosk cenderahati, ketika memilih-milih, ketika membungkus, ketika meletakkannya dalam plastik atau beg kertas, ketika mereka mengunjung atau dikunjungi, perkara pertama yang muncul di benak mereka ketika bertemu dua mata dengan kita ialah hadiah untuk disampaikan dan lain-lain rentetan-rentetan peristiwa. Ya paling mahal untuk saya ialah, mereka membawa kita bersama-sama dalam ingatan, minda dan hati meski mereka berpergian untuk melaksanakan tanggungjawab penting atau tujuan peribadi yang lain. 

Yang paling mahal itulah, ingatan.

Menerimalah dengan sepenuh ikhlas, menghargai yang dihadiahi dengan menggunakan atau memanfaatkan dengan sepenuh kesyukuran, dan lebih utama, limpahkahlah mereka yang telah melakukan kebaikkan dan kebajikan dengan doa-doa.

Untuk kawan, jazakallahu khairan katsiran, semoga Allah membalas kamu dengan kebaikkan yang sebanyak-banyaknya.

Amin. 

Diriwayatkan dari Jabir berkata,”Rasulullah saw bersabda,’Orang beriman itu bersikap ramah dan tidak ada kebaikan bagi seorang yang tidak bersikap ramah. Dan sebaik-baik manusia adalah orang yang paling bermanfaat bagi manusia.” (HR. Thabrani dan Daruquthni).


Comments

ASaL said…
:) tentunya ole-ole yang diberi kerana ikhlas, bukan ada agenda-agenda tertentu.

Popular posts from this blog

さくら満開

Bulan Mengambang

17 Ramadan 1435 Hijrah