Pengupayaan Orang Muda

Tidak syak lagi, orang muda sedang mengupayakan diri mereka untuk bergerak secara kolektif untuk membuat perubahan demi kebaikkan masyarakat setempat khasnya dan Malaysia secara am.

Minggu-minggu terdekat ini, saya menyaksikan itu. Bermula dari Sabtu dua minggu yang lepas, sekumpulan anak muda dari Kuantan-Jengka dan sekitar mewakafkan masa mereka untuk membawa adik-adik rumah Baitul Husna Kuantan. Projek untuk aktiviti luar dan lawatan pendidikan kali ini ialah menuju ke KLCC, mercu tanda kejayaan dan kebanggaan negara.

Baik, cerita bermula lebih awal. Kami melawat Baitul Husna tahun lepas, maafkan memori kabur saya, mungkin bulan 10, 11, 2012 saya tidak begitu pasti. Kami rombongan dari KL melawat anak muda Yuni yang memulakan tuisyen percuma di Baitul Husna di bawah label TFTN. Peristiwa tersebut meninggalkan banyak kenangan. Ramai antara volunteer yang datang adalah yang pertama kali kami bertemu mata, tetapi melanjutkan persaudaraan sehingga hari ini. Yang mengejutkan ialah, ketika kami mahu bergerak pulang ke KL, co-founder kami menyebut kepada adik-adik Baitul Husna, 

"OK, lain kali kita akan bawa adik semua jalan-jalan ke KL."

Saya terkejut. Kami bukan berduit. Malah tahun 2012 ialah tahun-tahun sukar kami. Tetapi selalu niat dan sebutan yang baik, boleh saja termakbul dengan kesungguhan. Jadi, kami mengatur langkah dengan persediaan yang ada dikudrat kami merencana dengan kesukaran tersendiri, tetapi Tuhan itu Maha Penyayang. Membuka jalan di saat-saat kami rasa tidak tahu di mana mahu cari jalan keluar.

20 April 2013 adalah tarikhnya. Seramai 20 orang volunteer anak-anak muda Kuantan-Jengka dan sekitar meluangkan masa untuk mengiring adik-adik BH. Yang membuat hati kami sayu, mereka sudah seharian menyiapkan diri. Dengan baju bergantungan sebagai persiapan untuk rombongan ke KLCC. Kami menjemput mereka pada jam 4.30am, tetapi rasa teruja di hati mereka telah membuatkan mereka patuh kepada masa. 4.30am itu bukan terlalu awal untuk adik-adik BH, tetapi waktu yang ditunggu.

Semua itu diceritakan oleh volunteer kami. Saya cuma dapat mengiring mereka di hadapan pintu Petrosains dengan memberikan tiket dan sekejap beramah mesra dengan adik-adik yang tidak percaya mereka dapat menjejak kaki ke KLCC. Saya meletakkan sepenuh kepercayaan kepada 20 orang anak muda harapan negara ini untuk melayani adik-adik dengan sebaiknya. Dan kepercayaan saya tidak sia-sia kerana program berjalan dengan lancar dan teratur. 

Seharian mereka di KLCC. Waktu sampai mereka di Kuantan ialah jam 3.30am keesokkan harinya. Masing-masing sudah letih lesu. Termasuk volunteer yang melayani kerenah dan menerangkan segala ketidakfahaman adik-adik dalam ruang pameran dan permainan. 

KL-Kuantan bukan jarak yang begitu jauh pun. Mungkin mengambil masa dalam 4 jam lebih. Tetapi ternyata, mereka tidak pernah terdetik untuk dapat berjalan-jalan di dalam KLCC. Sehingga bila mereka sudah berada dalam KLCC ada juga yang bertanya, "mana dia KLCC?"

Semua ini saya dengar di Sabah kerana saya sedang berwisata di Negeri Bawah Bayu serta membuat kajian lapangan sendiri-sendiri tentang situasi pendidikan adik-adik di Sabah pula. Melihat adik-adik Sabah yang berjalan jauh beratus-ratus meter atau ada yang mungkin sampai berkilometer, di hati saya membuak harapan. Andai saya dapat sampaikan kepada mereka KLCC. 

Tidak ada yang lain yang lebih sempurna, bila anak-anak muda ini mengupayakan diri mereka untuk melakukan perubahan kepada komuniti meski mereka masih belajar. Ketika mereka masih belum berduit dan gaji untuk menyumbang kepada masyarakat. Di kala mereka disibukkan dengan hal telaah, ujian dan peperiksaan, tetapi masih tetap mendermakan sebahagian masa dan keringat untuk mengukir senyum di wajah adik-adik, rumah anak yatim dan miskin Baitul Husna Kuantan.

Saya ceritakan kepada anda semua. Mereka tidak berhenti, ketika bas menghantar pulang adik-adik dan volunteer di tempat persinggahan terakhir. Untuk seminggu selepas KLCC, mereka telah pun merangka jadual untuk turun mengajar secara percuma setiap minggu untuk adik-adik ini. Bukan setakat di Baitul Husna Kuantan, mereka telah mengupayakan orang muda dari kelompak mereka untuk masuk ke 2 lagi tempat yang sesuai dengan aspirasi dan fokus TFTN.

Dalam dada saya tidak syak, ada rasa yang mengembang, bangga. InshaaAllah, doakan usaha perkasa mereka untuk istiqamah. Setiap perubahan mulanya dengan detik hati, meluangkan masa merancang dan akhirnya menzahirnya dengan amal dan perbuatan. 

Saya ceritakan kepada semua, bahawa mereka sedang bergerak ke arah usaha yang positif. Tanpa nama pun mereka mahu bergerak. Kerana mereka mahu belajar dan mengecapi niat dan rasa ikhlas, dan saya doakan Allah menerima ikhlas mereka.

Kau beri cinta, yang akan dikembalikan juga cinta

Comments

Popular posts from this blog

さくら満開

Bulan Mengambang

17 Ramadan 1435 Hijrah