Thursday, January 31, 2013

Pelajaran Rezeki 1

Semalam taip-taip sebab rasa macam dah lama tak menulis, sekali terpanjang pula untuk entri kali ini. Kena pecah-pecahkan la pulak ye, nanti pening berpinor pulak membacanya yob.

*****

Saya pernah berbual panjang dengan seseorang yang menyesali rezekinya. Telah dua kali dia mencuba menghantar borang untuk kenaikkan pangkat. Setiap kali mencuba, syarat berubah. Menyebabkan dia perlu menunggu lagi, sehingga semua syarat telah dipenuhi. Satu ayat yang telah dikeluarkan bergaung dalam kepala sampai sekarang, “aku rasa seperti rezeki aku disekat.”

Ketika dia menyebut itu, saya terdiam. Tiada kata yang boleh saya sampaikan kerana di waktu itu ternyata dia sedang berburuk sangka dengan Tuhan. Bilik yang dingin saya rasakan begitu hangat.

Melihat perubahan wajah saya yang begitu ketara mungkin, dia akhirnya meredakan keadaan, “aku tahu tak baik aku fikir macam ni, tetapi entahlah kadang-kadang fikiran macam tu memang datang.”

Saya masih tidak respon. Memandangkan saya tahu dia boleh mendapatkan bayaran 4 angka bila dipanggil membuat konsultansi. Saya sendiri belum pernah mendapat peluang seperti itu. Dia menyambung, “tapi bila fikir panjang yang aku dapat job consultancy, tak apalah. Sepatutnya aku lebih bersyukurkan?” kata-kata yang saya tidak tahu hendak meredakan hati saya atau dia. Tetapi aura tidak puas hati itu masih tidak lepas, masih berlegar-legar di bilik kecil yang cantik itu.

Itu yang masih saya simpan dan bergaung dalam cepu fikiran. Kalau perlu kisah itu berulang, sampai sekarang pun belum tentu saya tahu mahu respon apa.

Saya selalu ingat ada satu pesan yang diulang-ulang dalam buku motivasi, “Tuhan seperti mana yang kamu sangkakan.”

Saya tinggalkan dulu kawan di atas, saya mahu refleks kepada pelajaran rezeki lain yang saya alami. Ramai juga orang bertanya, kenapa saya mengambil pendekatan berbeza sekarang. Berkongsi di mana ada kesempatan dan ruang. Sudahkah saya ceritakan, yang saya hanya mahu menjadi orang yang bersyukur?

Tidak ada sebab untuk tidak bersyukur, saya selalu di kelilingi orang hebat. Lebih dari itu saya menghargai kerana mereka adalah orang-orang hebat yang menjunjung nilai universal. Meski apa pun yang berlaku pada diri mereka, dihinakan, dikhianati, disudut dan dipencil, ditikam belakang, dibenci, namun peribadi mereka tidak goyah. Nilai yang dipakai tidak akan ditawar-tawar. Selalu berjujur dan merendahkan diri, seperti contoh yang ditunjukkan oleh Muhammad sebelum keRasulan baginda, menjadi seorang Al Amin.

Mereka, yang mengelilingi saya, adalah orang-orang terpercaya.

*****


Pelajaran Rezeki 1

Beliau tidak syak lagi antara orang yang paling saya hormati. Seorang Profesor dengan segala macam gelar dan sanjungan akademik (Dr.), professional (Ir., Sr.,) dan spiritual (Hj.) (tetapi hairan, beliau masih belum diiktiraf sebagai negarawan untuk digelar Datuk). Selalu tunduk dan tidak pernah lelah berkongsi. Pesan khas beliau jika dipanggil untuk menyampaikan syarahan adalah tentang slip gaji.

“Saya akan mencetak slip gaji dan diletakkan di atas meja.”

Kami semua senyum. Tentu ramai orang berfikir macam-macam, tentang berapa jumlah, mengapa perlu ditayangkan slip gaji, adakah beliau berbangga dengan apa yang diperoleh dan lain-lain lagi.

Prof menyentakkan fikiran sedar saya, “setiap hari masuk bekerja, saya akan bertanya, apakah apa yang saya lakukan melayakkan saya mendapat bayaran ini?”

Audien diam. Tidak ramai mempunyai pemikiran seperti beliau, termasuk saya.

“Pernah tidak bayaran gaji kita dilewatkan? Tidak pernahkan. Pernah tidak bila tiba waktunya, kita tekan ATM bank, gaji kita tidak masuk? Tidak pernah berlaku kan? Setiap bulan majikan menjalankan tugas mereka, mengapa kita sering mengeluh mengenai tugas kita?”

Selanjutnya Prof memberi pesan, “setiap tahun pun gaji kita akan dinaikkan. Tidak pernah pun tidak berganjak. Kalau kita diberi peningkatan gaji, kenapa kita tidak pernah mempersoal yang kerja kita tidak pernah berubah dan ditingkatkan? Kita selesa mengulang kerja yang sama, hampir statik jika dinilai dari tahun sebelum-sebelum. Adakah adil begitu, gaji naik tetapi kerja tidak bertambah produktif?”

Sudah 2-3 tahun lepas beliau berpesan begitu, saya masih lagi ingat. Saya pasti beliau tidak pernah memperlahankan kakinya, kerana beliau tidak pernah gagal mendapat geran penyelidikan yang dihimpunkan bernilai jutaan ringgit.

Beliau adalah genius terhebat yang pernah saya jumpai, dan untuk beliau dikurniakan gelar berjela seperti itu, saya tidak pernah sekali pun ragu. 




(setelah diedit-edit, jadi 4 entri pasal Rejeki ni, haish. Idok le sedor bila menaip jadi panjang yob).

Friday, January 25, 2013

Maulidur Rasul


yang dirindu 
biar berlalu detik waktu
selalu mahu terbang
pulang ke kubah hijau
untuk mengadu 
padamu

Wednesday, January 23, 2013

Belajar Secara Efektif

Ramai juga yang bertanya formula belajar yang efektif. Memandangkan jarang sekali waktu belajar saya tidur lewat kecuali ada tugasan yang perlu diselesaikan. Terutama tugasan berkumpulan, kalau individu selalu sahaja selesai awal. Waktu tidur saya tetap, paling lewat adalah jam 12.00 malam. Selalu lebih awal. 

3 benda sahaja yang dibuat:
1. Mendengar
2. Mendapatkan berkat guru 
3. Kenali diri sendiri

1. Mendengar
Mendengar ini bukan setakat menumpukan pelajaran kepada apa yang disampaikan guru atau pensyarah. Saya adalah pendengar yang aktif. Sambil mendengar sambil mencatat. Sambil mendengar sambil cuba memahami. Itu adalah tindakan yang seiring dengan mendengar.

Mendengar aktif juga adalah cuba merakamkan segala yang didapati dalam kelas dalam fikiran. Kadang-kadang saya mampu merakam suara dan nada suara yang disampaikan. Dengan itu kandungan syarahan boleh bertahan lama dalam kotak fikiran. Setengahnya, saya masih boleh recall sampai sekarang (tentu dalam subjek-subjek terpilih).

Satu aspek lain tentang mendengar ialah, setiap kali arahan daripada guru dan pensyarah saya akan dengar. Termasuk pesanan-pesanan yang berbentuk pilihan. Maksudnya boleh buat atau tidak perlu buat. Seperti buat ulangkaji satu jam selepas kelas. Buat ulangkaji 30 minit sebelum kelas bermula. Buat latihan lebih daripada apa yang diminta dalam kelas. Siapkan tugasan lebih awal dari waktu menghantar. Berhati-hati dengan tarikh penghantaran dan hantar on time. Saya mendengar dan patuh.  

2. Mendapatkan berkat guru
Saya bukan pelajar yang cemerlang dari segi komunikasi. Selalu saya berasa rendah diri dengan guru-guru kerana gemilangnya ilmu yang pada mereka. Saya hanya boleh menegur dengan salam dan tidak lebih dari itu. Kerana hormat pada mereka terlalu tinggi, saya lebih sanggup tidak bertembung dijalanan. Takut tersalah cakap dan terkurang budi.

Mendapatkan berkat guru dengan sikap saya yang introvert ini adalah berbalik kepada No. 1 semula. Dengan mendengar dan patuh. Sedaya mungkin akan sampai ke kelas pada waktunya dan jarang sekali ponteng. Kalaupun saya terlalu lewat datang, saya tetap akan masuk juga dan memberi perhatian.

Perkara yang paling takut sekali berlaku, ialah jika cikgu atau pensyarah yang marah. Meski bukan kesilapan sendiri, tetapi kesilapan orang lain tetap menjadikan jiwa bergoncang dengan sangat hebat. 

3. Kenali diri sendiri
Setiap orang diberi kelebihan masing-masing. Itu yang saya percaya. Tidak ada manusia bodoh dan pandai. Yang ada hanya manusia yang berusaha atau yang malas. Berusaha dan malas itu atas pilihan. Untuk menjadi pandai dalam pelajaran adalah perlawanan terbuka dan adil. Masing-masing boleh dapat pada kedudukan tersebut dengan syarat kenali diri sendiri.

Apa maksud dengan mengenal diri sendiri? Jika kita tidak pandai bahasa Inggeris, dan bahasa itu satu-satunya bahasa yang boleh membantu kita untuk faham, maka usaha kita untuk menguasainya perlu ditingkatkan. Boleh jadi dengan banyak membaca novel bahasa Inggeris, membaca kamus, cuba berkomunikasi dengan rakan yang sporting dalam bahasa Inggeris atau menulis diari setiap hari dengan bahasa yang sama. Jika kita tidak pandai matematik, juga perlu diusahakan dengan usaha lebih keras sehingga kita lebih faham. Begitu juga dengan matapelajaran yang lain. Jika masih lagi tidak boleh dengan usaha sendiri, carilah rakan dan mintalah dia menjadi tutor. Dengan itu pembelajaran menjadi lebih mudah.

Kenali diri sendiri, jika kita manusia audio maka fokuslah mendengar. Jika kita manusia visual, siapkanlah nota dalam bentuk visual. Kalau kita manusia berstruktur, buatlah nota minda yang berstruktur. Jika kita kurang untuk memahami dalam kelas, rakamlah suara guru dengan MP3, dengan voice recorder dan ulangilah ketika kita bersenam atau jogging. 

Seribu satu macam cara boleh dilakukan, soalnya adakah kita hanya mahu bersenang lenang dan berpeluk tubuh.

*****
Akhir sekali secret recipe yang mungkin semua orang pun tahu, tapi diulang semula dalam entri ini. Untuk belajar secara efektif ialah dengan mengikhlaskan diri dan tunduk kepada ilmu. Kerana ilmu sifatnya sebagai cahaya, ia hanya akan melekat di dada orang yang ikhlas padanya. Sekali ilmu telah melekat pada tubuh, dia sendiri akan memantulkan cahaya sehingga boleh membantu menerangi jalan orang lain.


p/s: Terbuka untuk kritikan dan tambahan perkongsian ilmu. Apa-apa pun, moga dapat memberi manfaat. Selamat beramal :)

Tuesday, January 22, 2013

Berdosa ke Tanah Suci

Berdosa ke Tanah Suci. Bagaimana anda membacanya (memahaminya)?

#1 kau gila ke, takkan pergi ke Tanah Suci berdosa?
#2 orang yang berdosa pergi ke Tanah Suci

Hakikatnya di dunia ini adalah bagaimana kita perceive (menerima) tentang sesuatu perkara. Antara dua kenyataan di atas, anda yang mana satu?

Yang saya maksudkan adalah #2. Tentang pendosa yang pergi ke tanah suci, semuanya untuk mencari-cari, banyak benda yang dicari dan saya pasti salah satunya adalah pengampunan.

Sekembalinya dari Haji pada tahun 2011 yang lalu saya mendatangi seorang kawan atas beberapa urusan penting. Perbualan kami menjadi melarat-larat sehinggalah wajahnya berubah dengan sejuta penyesalan. Dia seorang lelaki yang saya tidak tahu banyak pun tentangnya, kecuali dari cakap-cakap orang. Sudah tentu saya sendiri tidak mahu mendengar segala cakap orang, tetapi apabila berada dalam tempat kerja, kadang-kadang kita tidak dapat mengelak.

Kata dia, "aku takut Asal untuk ke tanah suci sebab dosa aku banyak." Sepanjang masa wajahnya tunduk, dan riak mukanya mencuka. Saya kesani ada aura penyesalan yang banyak dalam bilik dia yang cantik berhias.

"Kau ingat aku pergi tu, aku bersih dari dosa ke?"

"Aku banyak dosa Asal. Kau tak tahu tentang itu."

Hati kadang-kadang tidak pernah boleh kontrol pun. Fikiran saya mula menerawang kepada cakap-cakap orang yang saya tidak mahu dengar tetapi sampai juga ke telinga. Cerita tentang dia bukan hal yang baik-baik. Saya jadi takut di situ kalau-kalau dia membuat pengakuan (saya bukan pope tidak layak mendengar pengakuan tentang dosa). 

Dengan wajah keruh masam itu, dia mengulang-ulang tentang penyesalan, ketakutan, ancaman tentang pembalasan yang boleh diterima secara tunai di tanah Makkah dan Madinah. Tentang dia yang sudah berubah, dan mencuba untuk memulakan hidup serba baru. Yang lebih tulus, bersih, dan mengikut landasan.

Saya memandang dia tepat. "Aku tidak tahu tentang orang lain, tetapi yang aku tahu tentang diri aku sendiri. Kau nampak aku seperti orang baik, hakikatnya hanya Allah yang tahu aku siapa, kita siapa. Once we decide untuk pergi Umrah atau Makkah, hakikatnya kita menyerahkan seluruh batang tubuh jiwa dan raga, di bawah kekuasaanNya. Samada orang tahu dosa kita atau tidak, yang pasti Allah telah tahu apa pun yang kita lakukan dari dulu sampai sekarang, malah yang di masa-masa depan. Kenapa perlu takut kepada Dia yang telah tahu segalaNya?"

Hakikatnya, saya sendiri takut. Semua manusia yang punya sedikit kepercayaan dalam hati akan takut. Tentang dosa, pembalasan dan bayaran tunai. Siapa yang cukup berani untuk menyerahkan batang leher dan tubuhnya untuk diadili? Siapa yang cukup berani kerana pembalasan itu kita tidak tahu dalam bentuk apa, samada kita akan balik dengan batang tubuh sempurna, atau tidak kembali langsung.

Allah seperti mana sangkaan kita. Itu yang saya percaya. Dengan takut separuh mati itulah saya melangkah menyerah diri di tanah suciNya dengan sangkaan Dia Maha Pengampun, Maha Pemberi Taubat. 

Kerana saya tidak mempunyai jalan keluar yang lain, kecuali meminta pengampunan, meminta belas ikhsan, meminta dikasihani. 

Siapa yang tidak pernah melakukan kesalahan? Besar mana pun dosa kita, Allah lebih dulu melebarkan sayap pengampunanNya meski kita belum mengangkat tangan berdoa. Bila sudah terdetik dalam hati dengan seribu penyesalan, kita sudah diterimaNya.

Saya memandang kawan dan menyampaikan pesan, "Dia sudah lama tahu apa yang kita lakukan. Tidak ada yang tidak tercatat dalam pembendaharaan pengetahuanNya. Soalnya, adakah kita cukup berani mengakui di hadapanNya dan merendahkan diri sehina-hinanya untuk memohon ampun?"

"Sedarlah hakikat diri yang kita ini hanyalah hamba, dengan itu kita akan dapati segalanya mudah."


Thursday, January 17, 2013

Percaya - 2 Dunia

Apa yang membuatkan kita percaya, boleh kongsi?

Dunia 1
Di TFTN kami bergerak secara sukarela. Kadang-kadang volunteer kami tidak ada kenderaan. Bila tiba waktu untuk bergerak mereka akan cakap, boleh tak pick up kami di tempat sekian-sekian-sekian. Volunteer yang ada kenderaan akan cakap OK boleh ambik di tempat berikut pada waktu berikut. Kemudian kami akan naik kenderaan bersama-sama dan bersembang bagaikan sudah lama kenal. Padahal tidak pernah bersua muka pun sebelum ini.

Dunia 2
Saya bekerja di tempat yang agak remote. Masih kekal dengan ciri-ciri tradisional Melayu dan budaya Melayu, InsyaAllah. Buktinya, kalau tak tutup pagar rumah sepanjang hari pun tidak mengapa. InsyaAllah selamat. Pagi tadi saya nampak beberapa orang pelajar yang sedang menunggu di tepi jalan. Saya tahu tempat tujuan mereka sama seperti mana yang saya mahu pergi. Tempat kerja saya juga tu. Jadi saya pun memberhentikan kenderaan di tepi jalan dan menawarkan khidmat jika mereka mahu naik kereta bersama. Pagi, belum pun jam 8.00 pagi. Saya concern mereka lewat masuk kelas. Tetapi ini jawapan mereka, "tak apalah."

Saya jawab, "oh OK", dan terus berlalu pergi sambil mendengar zikir terapi Hafiz Hamidun.


Percaya. Apa yang membuat kita percaya, apa yang menghalang untuk kita tidak percaya?

(Bincangkan, hahaha. Confuse sekejap dengan kejadian pagi tadi. Adakah saya berwajah kriminal?)


Tuesday, January 15, 2013

Like cold running water


The most living moment comes
when those who love each other
meet each other's eyes and 
in what flows between them.~Rumi
Photo ♥ Taufik Sudjatnika.


Bila saya update status FB dengan gambar dan kata-kata Rumi di atas, saya mendapat komen segera "amboi amboi". Yang memberi komen, sepenuhnya faham makna bait-bait puisi Rumi, dan saya juga memahaminya. Demi Tuhan, saya berdoa dalam apa juga keadaan manusia, setiap orang dapat merasai detik sepenting itu dan mengalami berbicara tanpa perlu bibir mengeluarkan kata-kata.

Ya, jangan sempitkan fahaman cinta hanya kerana gambar yang saya kepilkan bersama. Kerana ia boleh sahaja hadir antara ibu dan anak, ayah dan anak, adik-beradik, suami isteri, saudara-mara, dan tentu kawan karib tidak lupa juga antara penjaga dan haiwan-haiwan kesayangan. 

Ada orang bertanya pada ketika mata bertemu, what flows between them?

Rakan saya yang jauh tentu bersetuju bila saya menjawab ini, "like cold running water that move slowly into my heart."

Jika seluruh dunia dan isinya menentang kamu, selagi ada rakan, saudara mara, ibu dan ayah, guru-guru, anak-anak mengingati dan mendoakan kebaikkan meski dari jauh, kita sudah cukup dikayakan Allah dengan kekayaan termahal yang tidak ramai dapat peluang mendapatkannya.

Demi Tuhan, jika kamu pernah mengalaminya, rasailah getar dalam dada yang akan tersimpan kekal di situ sehingga hujung nyawa. Doakan, ianya halal untuk kamu menyimpannya.


Monday, January 14, 2013

Sharing is caring

Entri lepas ramai juga yang share pengalaman mereka. Kalau ada masa nanti akan dikongsikan, InsyaAllah. Saya tidak berkecil hati pun dengan peristiwa tu (ye ke? sampai berentri bagai? tak kecil hati konon.)

Betul saya tidak berkecil hati jika orang yang berbuat demikian rendah diri dan peribadi. Tetapi orang itu adalah orang yang mengajar budi pekerti, dan menegur di sana sini, salah silap adik-adik dan orang yang lebih muda. Tidak mengapalah, akhirnya saya tahu ramai yang berkongsi pengalaman dengan saya. Kita tidak seorangkan? Peristiwa begitu membuat kita mengenal wajah-wajah yang tersembunyi.

Saya hanya hairan satu perkara, ketika diminta keluar itu, beliau sendiri membuat penyataan "tak pe ya, tidak kecil hati kan?"

Hah. Ketawa dalam hati. Dunia ini terlalu banyak ironi. Sudah gaharu cendana pula (sambung sendiri).

*******intermission*******

Jangan sangka yang kecil itu anak, yang besar itu bapa. Kerana yang kecil juga boleh juga mengajari kita macam-macam, dengan syarat kita memberi mereka peluang untuk bercerita, berkongsi. 

Hari-hari saya sekarang ini dikayakan dengan cerita, dan saya tidak pernah rasa masa dibazirkan dengan mendengar. Meski bagi ramai orang ianya peristiwa kecil, tetapi bagi saya ianya besar penuh makna. Cerita penting sebagaimana dalam Al Quran dengan satu surah Al Qasas (cerita-cerita)

Archery
Seorang remaja belum berumur 20 tahun saya kira, berkongsi pengalamannya dalam sukan memanah. Tujuan asal dia masuk sukan itu adalah untuk belajar memanah dan akhirnya bercita-cita untuk mewakili Malaysia. Padahal dia tidak pernah kenal apa itu memanah, apa kriteria untuk menjadi pemanah dan sebagainya. Tubuhnya yang kecil buat saya sangsi, bagaimana boleh dia mengimbangi kekuatan tarikan, tumpuan terhadap sasaran, halangan angin dan kemudian melepaskannya ke sasaran.

Dia bercerita, yang dia sangat bersungguh-sungguh. Setiap hari akan turun latihan, malah di luar keperluan latihan akan turun mengasah kemahiran. Hanya selepas setahun, dia sudah melayakkan diri sebagai wakil Malaysia di sukan memanah di Bangkok. Sasaran memanah paling dekat rasa saya ada sejauh 70m! Jauh tu, tak berkederat untuk melentur tali bow panah. 

Hanya setahun! Sudah menjadi wakil negara.

Moral pada cerita beliau: Apa pun yang kita mahukan, jika kita meletakkan azam dan berusaha bersungguh-sungguh, InsyaAllah Allah akan makbulkan.


Part-time Working
Seorang remaja lain juga sama usia dengan cerita yang pertama berkongsi tentang cerita kerja part time. Saya melihatnya dengan senyum. Sangka saya, dia akan bercerita tentang kerja sampingan sewaktu hari cuti di stesen-stesen minyak, di supermarket ataupun di restoran makanan segera. Akhirnya saya sendiri tersasar jangka.

Sejak dia berumur 14 tahun telah memulakan kerja sebagai buruh di tapak pembinaan. Kerja itu diteruskan sewaktu hujung minggu dan juga cuti sekolah yang panjang. Sehinggalah dia ke tingkatan 5, kerja menjadi buruh diteruskan. Lain daripada itu dia juga bercerita pernah mengendalikan crawler kren di tapak pembinaan (sejenih kren yang boleh menampung beban 100 tonne - kalau_saya_tidak_silap_dengar). Untuk menjadi pemandu kren mahir hanya memerlukan 3 bulan latihan di bawah kendalian CIDB. Bila sudah tamat belajar boleh jadi pemandu kren dengan gaji yang lampau lumayan (sebagai permulaan). Bila sudah mahir seiring dengan tahun dan pengalaman kerja, gaji yang diterima sangat mengejutkan bila mendengarnya. Dan kemudian daripada itu, dia bercerita dia juga pernah mengendalikan mesin untuk harvest padi di sawah.

Mata saya hampir terbelalak mendengar betapa kayanya pengalaman walaupun relatif usianya yang masih muda. 

Yang dikongsikan adalah keperitan menjadi assistan mengendalikan mesin harvest padi. Kerjanya tidak tentu masa, tanpa ada masa rehat yang ditetapkan. Masuk kerja jam 8 pagi dan kadang-kadang berakhir jam 2 pagi. Kenapa tidak mempunyai jadual? Kerana padi di harvest dalam tempoh tertentu. Sekiranya padi masak tidak dituai dalam tempoh waktu itu, ia akan rosak dan tidak boleh digunakan lagi. Walaupun kerja berakhir jam 2 pagi, dia masih perlu bangun untuk kerja jam 8 keesokkan paginya.

Kata dia lagi, yang paling getir adalah untuk berlawan dengan miang padi. Untuk beberapa waktu, dia tidak dapat tidur kerana miang padi yang telah mencengkam seluruh badan. Rasanya seperti semut api di setiap inci badan dan tiada cara untuk mengubatnya selain menggunakan sabun dan apa-apa yang ada untuk menghilangkannya.

Saya membayangkan sawah padi yang hijau. Alam yang berharmoni dengan kehijauan dan jerih perih pesawah dan pekerja sawah. Sedangkan kita hanya enak-enak makan nasi tanpa berfikir tentang apa-apa.

Moral pada cerita beliau: Akhirnya dia menasihati kepada rakan-rakan, untuk tidak menjadi biasa. Dia mengusulkan untuk mencari pengalaman luar biasa, supaya nanti akan dapat banyak pengalaman dan lebih penting dari itu menjadi orang yang faham perasaan buruh-buruh dan orang yang lebih rendah kedudukan kerjanya daripada kita. Kata dia, andaikata satu hari nanti dia berjaya menjadi engineer, dia akan menggunakan pengalaman yang ada supaya dapat berkomunikasi dengan lebih berkesan dengan orang bawah, memahami perasaan mereka dan bertindak sewajarnya. 

Yang lebih saya kagumi nasihat dia kepada rakan-rakan, "our time is now" jika tidak sekarang bila lagi. Kita tidak akan mencari pengalaman begini sekiranya sudah berjawatan, dan tiada pengalaman akan dibazirkan melainkan memberikan kita lebih pengalaman dan pengetahuan.

WOW! (sila bunyikan seperti Usin Lempoyang dalam cerita 3 Abdul).

Saya tahu dan percaya kini, sharing benar-benar menunjukkan peduli (caring).

Sunday, January 13, 2013

Halau?

Hari Jumaat lalu, aku dijemput untuk satu mesyuarat. Bila tiba giliran dan aku menjelaskan kedudukan unit aku, tiba-tiba Pengerusi kata aku tidak lagi relevan dalam mesyuarat kemudian dipersilakan keluar kalau aku mahu.

Errmm, meeting belum masuk 30 minit, soalnya perlukan aku diminta pergi begitu? Di hadapan mereka yang aku tidak kenal, sepertinya ada satu aura menentang di muka dan jiwa, ketika diminta keluar begitu. Soalnya, aku masih perlu berada di situ untuk taklimat khas selepas mesyuarat berakhir dan Pengerusi sudah lupa tentang itu.

Kata kawan, beliau boleh sahaja menjelaskan untuk mesyuarat akan datang, aku tidak akan lagi dipanggil. Tidak perlu terburu-buru mengarahkan pergi sewaktu meeting sedang berlangsung.

Halaukah itu?

Hahaha. Apa yang aku buat selepas itu?

Aku duduk sahaja. Belajar menjadi pemaaf dan mengajar hati tidak bergolak dengan ujaan kecil sepele seperti itu. Mendengar dan selalu tidak dengar isi-isi mensyuarat, sambil melayan mesej penting-penting dalam telefon. 

Kelakar bukan, dijemput kemudian disuruh pergi.

****lifeislikethat****

p/s: tiba di taklimat khas, beliau baru teringat keperluan aku berada di situ dan kenapa aku penting perlu hadir.

so?

Thursday, January 10, 2013

Memahami Perubahan - 4

Satu Soalan

Bila mana kita melihat skop perubahan itu perlu berlaku di titik rendah, untuk mencapai titik tinggi. Mereka yang selama ini di jalan salah, kembali ke jalan benar. Itu konteks mata kita melihat dan minda kita fikirkan.

Satu soalan, bagaimana mereka yang sudah berada di puncak dunia? Adakah mereka tidak perlu berubah?

Ya soalan saya kepada intelektual yang sudah mencapai pencapaian tertinggi di universiti, manusia kelas atas, CEO CEO, Presiden-presiden syarikat, konglomerat, Menteri-menteri dan sudah tentu Perdana Menteri juga.

Adakah perubahan tidak perlu berlaku kepada kelas tertinggi ini?

Saya rasa mereka yang meneroka internet sebagai gerbang maklumat, sudah tentu biasa dengan imej Sultan Kelantan yang begitu luar biasa sekali bagi seorang manusia di kedudukan itu. Kedudukan Sultan sebuah negeri. Yang mempunyai penampilan tertentu dan khas, tetapi baginda memilih untuk hidup sederhana.

Kalau para intelektual dan kelas atas ini faham tentang dunia yang sentiasa berubah, mereka perlu tahu keadaan ini juga perlu berlaku kepada semua orang tanpa kecuali. Kerana itu ada pepatah, padi semakin berisi semakin tunduk. Mustahil tegak berdiri.

Bagi kita orang awam, di sinilah titik penilaian kita. Mereka yang sudah mengecapi segala kenikmatan dunia dan isinya, kesenangan di hujung perintah dan suaranya, semua harta dunia boleh ditundukkan dengan beberapa patah arahan, apa lagi yang mereka cari dalam hidup mereka?

Jika soalan itu diajukan kepada saya, saya mencari ketundukkan. 

Soalan seterusnya, ketundukkan kepada apa?

Iaitu ketundukkan kepada kebenaran.

Prof Al Mahdi 

Seorang Profesor yang saya kenali lewat karya-karya fizik dan psikologi kanak-kanak, yang mengasaskan Khalifah Metod adalah seorang atheis tegar pada mulanya.

Pernah dalam satu dewan yang menghimpunkan 300 mahasiswa (lebih kurang) beliau mencabar dunia dan seluruh isinya dengan penyataan paling bongkak yang boleh disebut oleh seorang manusia. Prof. Al Mahdi menyebut begini, "sekiranya dalam dunia ini perlu ada seorang atheis terakhir, sayalah manusia itu."

Dengan pemahaman sederhana saya, bahawa Prof Al Mahdi mustahil boleh mengakui kewujudan Tuhan, apatah lagi ketuhanan Tunggal.

Tetapi beliau manusia cendiakawan. Belajar adalah keseluruhan hidupnya. Prof Al Mahdi memiliki 1 Phd dalam bidang Fizik, dan 2 setengah Phd dalam bidang psikologi kanak-kanak. Akhirnya dalam kajian-kajian tanpa henti tentang alam dan manusia, akhirnya Prof Al Mahdi menjumpai satu kesimpulan, "bahawa Tuhan itu ada. Mustahil dunia ini tercipta tanpa Pencipta."

Ego Prof Al Mahdi tercabar. Yang diutarakan di dewan dahulu, adalah satu penyataan yang mencabar dunia dan seluruh isinya. Tetapi beliaulah yang mengikut resmi padi, semakin berisi semakin tunduk. Dan akhirnya, beliau tunduk kepada kebenaran.

Ego Manusia Cendiakawan

Kebenaran itu datang dengan bermacam rupa. Dengan pelbagai cara. Bila satu masa kita rasakan begitu tinggi di atas, kemudian datang kebenaran di sisi kita, apakah kita akan tunduk mengakui?

Saya menilai keaslian cendiakawan kepada nilai ketundukkan mereka kepada kebenaran. Ego adalah sifat manusia yang tidak kekal. Kita membina ego terhadap pencapaian akademik dan lain-lain, serta kedudukan dalam masyarakat. Namun kebenaran itu tidak dinilai dengan suara majoriti.

Itu hakikat kebenaran. Bukan kerana semua orang mempunyai Ijazah Sarjana Muda, kita yang tidak ada ini kurang pandai. Bukan kerana kita masih di bangku sekolah, kita tidak matang. Bukan kerana kita bekerja sendiri, nilai kita rendah daripada penjawat awam dan yang bekerja makan gaji.

Kebenaran tidak dinilai secara spatial (ruang) dan temporal (masa).

Kebenaran itu tetap kebenaran, meski di dalam dunia ini, hanya tinggal seorang yang mempertahan.

Bahawa Tuhan itu Esa hanya Allah. Bahawa Nabi Muhammad itu Pesuruh Allah, yang menyampaikan kepada kita Al Quran, yang menunjukkan jalan sebagai manusia hamba, menunjuk jalan sebagai khalifah dalam segenap lapangan kehidupan. Sebagai seorang manusia, individu, dalam keluarga, dalam masyarakat, dalam kepimpinan, ekonomi, politik, komunikasi, interaksi dengan kaum dan bangsa pelbagai. Seribu satu macam cabang kehidupan manusia, Rasulullah telah tunjukkan jalannya. 

Tidak Percaya

Saya tidak percaya kepada perbezaan kelas. Nabi saya tidak pernah ajarkan itu. Jika tidak, Nabi tidak akan mengangkat Bilal sebagai orang paling mulia suaranya untuk memanggil ummat menunaikan tiang dalam syariat agama - iaitu solat. 

Bilal itu hitam, hamba, tidak hensem, malah dikatakan juga dalam tradisi, tidak mempunyai suara yang lunak. Tetapi Bilal dipilih sebagai sahabat paling mulia, paling layak untuk memanggil. 

Kerana Nabi mengajarkan kita untuk menilai dan membezakan kepada mereka yang paling tinggi nilainya, iaitu taqwa. Satu standard paling andal, adil, tidak bias. Bukan dinilai dengan sijil pendidikan, amal ibadat, tetapi berbuat dengan bersungguh-sungguh (jihad) untuk kesaksian Allah Yang Maha Tunggal (syahid). 

Berubah Dengan Ukuran Yang Benar

Belenggu hidup dan kesedihan kita, kerana ukuran dunia kita yang menindas. Kita mengukur kepada pencapaian akademik.

Bagaimana mungkin seorang kanak-kanak kaya yang mendapat semua peluang pendidikan paling baik di samakan dengan kanak-kanak yang telah kehilangan ibu dan ayah, yang miskin dan tidak mempunyai pendidikan tetap?

Bagaimana kita hidup di dunia aman akan dibezakan dengan mereka yang dipenjara dalam penjara terbesar dunia dan sentiasa diancam dengan rudal dan pesawat terbang?

Di sinilah kita saksikan keadilan Tuhan. Kekurangan dan kelebihan ini, Tuhan izinkan agar kita sentiasa mengisi dan berkongsi. Mereka yang dilebihkan akan mencapai martabat taqwa dengan sifat rendah diri dan kedermawanan mereka. Mereka yang diancam kekurangan mencapai martabat taqwa dengan kesabaran dan bersyukur menerima dari rakan-rakan dermawan.

Itulah yang ditunjukkan dalam Al Quran, Tuhan ciptakan kita dengan pelbagai rencam bangsa, budaya, latar belakang, kelebihan dan kekurangan supaya kita saling berkenal. Hubungan sesama manusia yang diuji kepada kita.

Kembalilah kita kepada standard ukuran yang paling adil, kita tidak akan lagi berlarutan dalam derita. Bila kita saling mengisi dan berkongsi, dunia ini bukankah akan jadi lebih indah?

Ketika mana masalah ibu tunggal dan anak-anak gelandangan, dalam lipatan sejarah kita pernah diceritakan tentang Imam Ali. Begitu khidmat Imam untuk memberi makan janda-janda dan anak-anak yatim di dalam komuniti. Tetapi mereka tidak pernah tahu siapa yang memberi khidmat. Sehinggalah Imam Ali wafat, mereka sudah tidak menerima jatah makanan mereka untuk hari itu, dan seterus-seterusnya. Baharulah mereka tahu, Imam Ali yang telah memerhatikan mereka sebelum ini. Seperti yang diceritakan dalam blog Kisahteladan.com.

Gambar dari KisahTeladan.com
Imam Ali seorang lelaki yang sangat heroik. Maskulinnya terserlah di medan perang sebagai perajurit barisan depan yang akan paling awal menawarkan diri untuk duel (perang tanding), orang yang merobohkan pintu kota di perang Khaybar, sangat menggerunkan kawan dan lawan tetapi mempunyai hati yang basah ketika mana mereka yang ditindas di depan realiti Imam.

Ukuran itu seperti mana ditulis dalam Al Quran, yang paling mulia (akram) di sisi Allah, ialah yang paling taqwanya di kalangan kamu. "Inna akramakun 'inda (al)laahi atqakum." Al Hujurat: 13 (dipetik dari FB Anas Alam).

Pelajaran Dari Ghazzah

Saya suka menonton TV Al Hijrah. Satu slot tentang sukarelawan Institute Relief Malaysia (IRF) berkongsi cerita tentang ibu tunggal dengan 7 orang anak lelaki yang kehilangan Ayah di Ghazzah. Mereka semua dalam keadaan baik-baik dan terpelihara.

Sukarelawan itu menceritakan kekaguman, bagaimana seorang wanita dapat memelihara anak lelaki yang begitu ramai. Dengan negara yang serba kekurangan, ancaman perang, ekonomi yang tidak stabil, serta gugatan dari Zionis Yahudi. Perkongsian sukarelawan tersebut masih bergaung dalam kepala saya sehingga sekarang, kata beliau, "di Ghazzah anak-anak yatim ini dibesarkan secara bersama oleh anggota masyarakat di tempat mereka."

Allah. Tiada kata, hanya air mata.

Jika negara kita lebih indah seperti Ghazzah, kita mungkin tidak perlu menatap mata anak-anak yang mengharap kasih sayang kerana sudah kehilangan ibu dan ayah. Juga kita tidak perlu mendengar ratapan anak-anak yang telah dipotong lidah oleh ibu bapa sendiri kerana ego menguasai rasional, sifat binatang menguasai sifat kemanusian. Atau melihat mereka yang diberi perlindungan kerana keluarga bermasalah sehingga perlu dijauhkan dari keluarga sendiri.

Semoga Tuhan menyalakan pelita di hati-hati kita. Sehingga ia bercahaya dan menerangi. Bukan untuk diri sendiri, malah untuk keluarga, masyarakat dan negara. Itu nilai patriotik yang lebih saya sanjungi.

Ada dua cara untuk menerangi ruang,

"Jadilah lilin yang menerangi, atau jadilah cermin yang memantulkan cahaya lilin itu."

**********

Wednesday, January 09, 2013

Memahami Perubahan - 3

Rendah Diri

Harith dalam komen lepas menanyakan satu soalan "di mana rendah diri orang berwibawa?" Mempersoalkan Prof Kamil dan orang yang seperti Prof Kamil bila bercerita sering mengulang kebaikkan yang mereka lakukan. 

Terbaru bila Teach for the Needs (TFTN) keluar akhbar Metro di bawah tajuk besarnya, "Dermawan" saya sendiri seperti mahu bertanya soalan yang sama "di mana rendah diri gerakan berwibawa."

Baik saya kongsikan satu ilmu dari guru saya, yang dipetik dari pandangan pemikir besar Algeria iaitu Malik benNabi. Kata benNabi, satu-satu amalan (budaya) yang hilang dalam satu masyarakat, akan diganti dengan amalan (budaya) yang baru. Contohnya, amalan gotong royong dalam masyarakat Melayu sudah hilang, dan telah diganti dengan amalan pentingkan diri sendiri.  

Budaya simpati dan empati dalam masyarakat kita, tidak kiralah apa pun bangsa sudah lama hilang. Kerana itu dalam akhbar yang terpampang adalah budaya baru. Termasuk porno dan juga berita-berita sensasi yang mengisi tajuk-tajuk akhbar, bukan berita-berita positif dan kemanusiaan. Satu budaya hilang, diganti dengan budaya baru.

Secara sedarnya saya berpendapat, kita perlukan cerita dan berita positif dan baik setiap hari, supaya dapat menggantikan budaya negatif dan bejat dalam masyarakat kita. Atas dasar itu, dalam konteks ini saya rasa tidak salah apa yang Prof Kamil lakukan, dan juga berapa ramai tangan-tangan dan individu yang cintakan kebajikan menceritakan kisah mereka di akhbar, blog, buku, majalah dan tabloid.

Dan orang akan bertanya, di mana akan letak nilai ikhlas dan rendah diri, jika kita merelakan cerita di jaja, dan kemudian orang akan menyanjung usaha, memuji-muji dan memberi sanjungan.

Ikhlas kedudukannya seperti semut hitam, di atas batu hitam, di malam yang gelap gelita. Sesiapa yang ada ikhlas dalam hatinya, akan mengenal orang-orang yang ikhlas juga. Seperti peribahasa Melayu, hanya jauhari yang mengenal manikam.

Meski ada orang akan mempersoal orang sejenis Prof Kamil, tetapi akan tetap ada juga golongan yang sangat berterima kasih kepada perkongsian yang beliau lakukan, atas dasar lebih ramai orang sendiri terdorong berubah kerana usaha kecilnya yang tidak signifikan itu. Bagi saya, yang menjadikan usaha Prof signifikan hanya Allah, dan saya percaya Allah tidak akan menganjari kemulian begitu rupa jika zero ikhlas dalam dada Prof.

benNabi

Saya percaya yang diusulkan benNabi. Kerana itu banyak kebaikkan dalam masyarakat kita telah hilang entah pergi ke mana. Ramai dari kita pekikan kehilangan itu dan ini, membandingkan zaman dulu dan kini, membandingkan kebaikkan dulu dan kejahatan sekarang.

Jerit dan pekik tidak berguna. Yang perlu ada adalah tindakan untuk mengubah.

Satu budaya akan hilang dan diganti dengan budaya baru. Soalnya, budaya apa yang akan kita wajahkan untuk generasi dan dunia 10-20 tahun akan datang?

Entah saya pernah dengar dari mana, lebih kurang peringatannya begini, jika kita ingin bayangkan apa akan jadi pada masa hadapan, lihatlah kepada golongan muda pada hari ini. Itulah wajah dan cermin yang akan terpantul di masa depan.

Soalnya, wajah apa yang mahu kita lihat?

Melihat Kebaikkan

Saya antara orang yang selalu jerit pekik dan terlolong dulu. Saya juga orangnya yang setiap jalan yang dilalui melihat orang-orang yang merusuh, tidak berlaku adil, selalu mendapat yang diigini dari jalan salah, semua wajah-wajah yang buruk kerana menyanjung budaya yang buruk, mereka yang mementingkan diri sendiri.

Soalnya, kenapa saya selalu melihat yang buruk-buruk sahaja?

Jawapannya saya peroleh dari laman Sohaib Webb, kerana kita tidak begitu memerhati kebaikkan. Boleh baca artikel yang baik dari website yang disebutkan di sini.

Bila saya fikirkan, di jalan-jalan yang bising, kecoh dan rusuh, rupanya ada di satu sudut seorang Profesor yang setiap hari membawa makanan untuk diberi makan kucing-kucing gelandang. Ada seorang remaja yang belum pun selesai SPM, sudah mula membaca karya-karya politik, sastera dan falsafah juga mendaftar diri untuk belajar falsafah. Di satu sudut yang lain, seorang wanita yang tidak mencitrakan wanita Muslimah sempurna (bertudung labuh+jilbab), tetapi beliaulah yang memegang prinsip Islami seperti menepati masa, menepati janji, amanah, berbuat apa pun perkara secara bersungguh-sungguh, menghormati orang lain, adil dan sentiasa mempunyai sifat kasih.

Di satu sudut yang lain, ramai golongan remaja mahasiswa, atau bukan mahasiswa yang sudah pun menyingsing lengan baju kemudian mengatakan komitmen di hadapan saya, "anak-anak yatim ini adalah sebahagian dari masyarakat, saya adalah anggota masyarakat, maka berkewajibanlah untuk saya juga membesarkan anak-anak ini dengan apa yang termampu dan terdaya di tangan saya."

Wajah Masa Depan

Dua perenggan sebelum ini adalah wajah masa depan yang saya lihat. Biar beribu komen dan cerita tentang keburukan generasi sekarang, tetapi saya tidak mahu ada rasa putus asa pun dalam jiwa. Begitu juga yang saya harapkan pada semua orang. 

Seperti mana komen anak muda terhadap anak yatim, saya juga ingin menyeru mereka yang sudah stabil dalam kehidupan supaya mengambil juga tanggungjawab dalam membentuk generasi muda remaja, kerana itulah corak masa depan yang sedang kita saksikan.

Jerit Pekik

Jerit pekik dan kritikan tajam, merendahkan martabat orang lain tidak diperlukan sekarang. Yang penting adalah budaya yang akan menggantikan budaya yang kita tidak suka dan benci. Fenomena Ustaz Azhar Idrus, Ustaz Don meski disalut juga dengan kritikan negatif, tetap diperlukan. Kerana gelombang kebaikkan perlu, dan seperti tsunami ia perlu ditangani dengan baik.

Jangan harap pada UAI seorang. Jangan harap pada Prof Kamil seorang. Jangan harap pada Afdlin Shauki. Di mana-mana pun jika satu saat kita faham bahawa kejadian manusia selain menjaga hubungan vertikalnya dengan Tuhan yang Mencipta dirinya, adalah untuk melestari hubungan horizontal sesama kita. 

Kerana itu 13 tahun cengkaman derita Rasulullah di Makkah, adalah cerita perlawanan membela golongan mustada'fin (tertindas), bukan kerana perbudakan semata, tetapi ditindas kebebasan mereka untuk menyembah yang paling hak, Allah Yang Esa. Kenapa Rasulullah begitu memerhatikan golongan ini, kerana ia juga sejarah yang diulang hari ini, kerana kita sendiri merasa bahawa kita diperbudak dengan segala sistem yang mencengkam. Sehingga kita tidak lagi boleh meletakkan sepenuh penghambaan kepada Allah Yang Esa, sebaliknya menghambakan diri kepada sistem ciptaan manusia.

Tuesday, January 08, 2013

Memahami Perubahan - 2

Yang Kita Takut

Satu petang, saya dapat berbincang panjang dengan rakan. Dia cerita dia sedang melakukan perubahan. Dengan masa lampau yang terlampau. Dia berdikit-dikit dengan membaca Al Quran setiap hari, sembahyang di surau dan menyatakan hasrat mahu menunaikan umrah. Kata dia, "Tapi aku takut pergi umrah sebab ramai orang cerita kita akan dapat balasan cash di sana atas semua kesalahan-kesalahan."

Berubah pun ada ketakutan yang tersendiri.

Kita memang ada rasa ragu-ragu meski jalan yang hendak kita itu paling baik, malah dituntut sebagai seorang manusia.

Ada seribu juta sebab berubah itu sendiri perkara yang menakutkan. Satu cerita menyentuh, juga serba sedikit menyentuh mengapa ada kalanya memang kita takut untuk berubah, boleh dibaca di sini.

Kenapa-ya-perlu-takut?

Salah satu sebabnya, kita takut orang akan melihat kita menjadi orang lain.

Kerana itu perubahan Afdlin Syauki lebih saya senangi. Berubah menjadi baik bukan bermaksud kita akan tunduk kepada dress code tertentu untuk melambangkan perubahan sedang berlaku. Selagi tidak keluar dari landasan garis hukum agama yang kita yakini, berubah dari dalam lebih bernilai ganda. 

Berubah yang lebih saya senangi bila ia turut memberi impak kepada keluarga dan masyarakat sekeliling. Menjadi baik sebagai seorang individu adalah sesuatu, tetapi menjadi individu yang ingin membawa masyarakat berfikir untuk kembali merenung dengan nilai kehidupan yang kita ada sekarang ini, lebih tinggi impaknya.

Kita Tidak Akan Menjadi Orang Lain

Yang benarnya, kita tidak menjadi orang lain. Tetapi kita menjadi seseorang yang kita mahu jadi. Seperti Prof Kamil, Afdlin dan ramai melalui jalan ini, memilih untuk jadi apa yang kita mahu jadi.

Bila kita berani lakukan itu, ucapkanlah "Tahniah! Tahniah kerana berani untuk menjadi apa yang kau mahu, dan berani untuk merdeka."

Hakikat

Berubah adalah normal. Dunia setiap hari berubah, galaksi sekelilingnya. Tidak ada satu benda yang statik. Seperti air yang mengalir di sungai, setiap hari air itu bukan air yang sama. Bila mana kita tidak melihat sekeliling dan menolak untuk berubah, pada waktu itu dunia tidak lagi sesuai menjadi kediaman kita. Susah hati, resah hati, jiwa kacau, kadang-kadang bertitik tolak kepada perkara ini. Keengganan untuk menyesuaikan diri, tetap berharap dunia yang berubah untuk kita. Satu tindakan yang sangat pentingkan diri sendiri sebenarnya tidak normal. 

Sebab setiap hari dunia berubah. Badan kita juga berubah dengan sel-sel baru yang diperbaharui. Kerana itu kita membesar, dan harapnya seiring waktu kita juga jadi dewasa.

Begitu yang berlaku kepada alam, yang berubah mengikut kesesuaian cuaca dan kitaran yang telah ditentukan untuknya. Banjir, tsunami, angin kencang, ribut taufan, tanah runtuh, dan meski di tasik yang tenang, setiap detik tetap ada perkara berubah yang tidak dapat ditangkap oleh mata kasar.

Role Model

Satu masa kita mungkin akan bertanya, untuk apa berubah dan ada ke contoh sempurna untuk berubah? Boleh tak kita berubah, tetapi tetap di pandang cool oleh orang lain?

Untuk satu waktu, yang lebih baik hasrat untuk berubah ini dimulai dengan satu objektif, untuk jadi cool di mata Tuhan lebih dulu dari lain-lain.

Tetapi seperti kau, aku juga manusia. Soalan manusiawi sentiasa berkitar untuk mendapat impression dari manusia lain juga. Sehinggalah mencapai tahap ikhlas. Hanya pada waktu itu yang lain-lain tidak menjadi penting.

Role model perlu, kerana itu setiap kali artis bertukar cara hidup akan ada liputan mengenainya. Dan bila mana ada manusia yang tidak kisah menceritakan zaman jahil seperti Prof Kamil, ramai orang jadi teruja dan mahu membaca. Bila membaca kisah-kisah waktu jahil itu, kita lebih teruja. Kerana bagi kebanyakkan kita, bukan kisah Prof Kamil yang dibaca, tetapi kisah sendiri yang malu diceritakan kepada orang lain. Wajah dan diri kita, ada di sebalik cerita-cerita itu.

Hakikatnya, ramai kita lebih suka dengar cerita malang, sedih, jahil kita berbanding kisah-kisah penuh pengajaran dan nasihat. Tak percaya, cuba test dengan rakan-rakan.





Monday, January 07, 2013

Memahami Perubahan - 1

Fenomena perubahan berlaku sangat ketara dewasa ini, terutama bila perubahan berlaku di kalangan artis-artis yang menukar kehidupan mereka 180 darjah. Kenapa contoh yang saya bawakan artis? Hanya artis mendapat tempat di dada akhbar, tabloid, akhbar internet, ruang gossip. Jadi kena sanggup terima di kalangan masyarakat kita, besar kecil tua muda, artis ialah bahan cerita. Pelengkap berita dalam akhbar, so deal with it.

Paling terbaru ialah Afdlin Shauki, cerita perubahan beliau bukan konvensial. Berubah tetapi tidak memakai bentuk seperti Sham Kamikaze, Al Mawlid, Yatt, Abby Abadi, Bob dan yang lain-lain. Bukan mengubah pakaian, tetapi merubah tindakan. Konsisten dan lantang, namun masih dalam ruang kreatif dan berseni. Masih berlawak dan kekal bertanding dalam Maharaja Lawak Mega, tetapi tekad untuk menggunakan ruang yang ada untuk mempersembahkan karya yang mempunyai makna dan nilai.

Dalam banyak hal, saya suka perubahan versi Afdlin dari yang lain-lain. 

Dengan segala perubahan yang berlaku ini, saya cuba memahami. Kenapa perlu berubah, apa syarat berubah dan adakah berubah itu normal?

Dua hari lepas, sepupu selalu menimbulkan persoalan mengenai Prof Kamil, dan perubahan mendadak yang beliau lalui. Cousin sangat concern kritik pedas orang ramai yang tidak respon positif kepada cara Prof Kamil bercerita melalui buku atau blog. Dengan menceritakan serba-serba, baik dan buruk yang diperincikan tanpa segan silu, imbuhan besar kecil yang mengejutkan ramai orang. Akhirnya mereka merumuskan tulisan seperti itu seolah-olahnya menampilkan sikap riak dan bercakap besar.

Bercakap Tentang 'Saya'

Lama sebelum baca karya Prof Kamil, saya sendiri ada seorang guru - sangat saya hormat. Setiap kali beliau mahu menunjukkan sesuatu, beliau akan mulakan perkataan dengan "saya itu, saya ini, saya buat, saya fikirkan, saya baca, saya bincang, saya email". Pendek kata segalanya tentang saya.

Dalam ramai audien yang mendengar syarahan dan kuliah beliau, saya tahu ramai tidak bersetuju. Mungkin sampai tahap menyampah kot. Kerana membuat segala macam contoh dari perkataan saya. Seolah-olahnya hanya dia yang betul, contoh dia sahaja yang boleh diterima pakai.

Tetapi setelah meneliti lebih dalam, mesej guru saya itu lebih besar dari sangkaan negatif orang. Beliau hanya mahu menyatakan yang beliau telah pun lakukan, apa yang beliau sampaikan. Perkataan lebih mudah, "walk the talk", "cakap serupa bikin", "amal dengan ilmu yang diperolehi."

Berkali-kali juga beliau terangkan, betapa bersalahnya dia jika menyuruh orang lain untuk berbuat sesuatu, tetapi beliau sendiri belum pernah buat. Walaupun kedudukan dia sebagai pemimpin dan ketua, tetapi beliau menolak untuk menjadi Ketua yang mahu memerintah dengan kuasa. Tetapi lebih dari itu, memimpin dengan menunjuk jalan yang beliau dulu perintisnya.


Soalan saya, berapa-ramai-ketua/pemimpin-seperti-itu?

Begitulah kembalinya respon saya kepada sepupu. Prof Kamil berbuat perkara yang sama seperti guru saya. Tinggal lagi ada satu extra, beliau tidak segan untuk menanggalkan segala 'pakaian' peribadi yang buruk sebelum ini, untuk dikongsi dengan seluruh rakyat Malaysia malah seluruh dunia mungkin. Iaitu siapa-Kamil-sebelum-ini.

MasyaAllah, entah bila tahu saya mampu mempunyai kekuatan seperti itu. 

Untuk segala kritik dan sangka buruk orang lain kepada Prof. Kamil, saya akan jawab dengan perkataan ini. "Meski apa pun berlaku, hampir semua jemaah Haji Malaysia, sebelum pergi Haji akan membaca Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman yang ditulis oleh Prof. Malah ada yang membawanya sebagai panduan perjalanan di Makkah dan Madinah."

Kenapa perubahan kepada Prof. memberi impak begitu besar sekali di Malaysia? 

Kita Hanya Manusia

Satu alasan sahaja yang boleh saya fikirkan untuk fenomena Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman, bahawa manusia-manusia terpilih yang melakukan transformasi dan istiqamah, suatu-masa-dahulu-mereka-juga-manusia-biasa-yang-membuat-kesalahan-dan-dosa.

Itu. 

Hakikat kenyataan, Prof manusia biasa yang dalam sepanjang usia melakukan perkara-perkara bodoh, jahil, ego, pentingkan diri sendiri, melanggar peraturan Tuhan juga menjumpai jalan pulangnya. Itulah hakikat yang dicari oleh setiap dari kita, kerana kita juga manusia-seperti-itu. Apa yang terjadi pada Prof. melalui cerita-ceritanya memberikan kita sepenuh harapan, bahawa insyaAllah suatu hari, kita juga akan menjumpai jalan untuk kembali.

Sehingga selesai berbual dengan cousin, saya mendapat alasan kedua kenapa buku beliau boleh jadi fenomena: bahawa Prof Kamil saya pastilah sangat ikhlas kerana itu Allah memberikan beliau dengan kemuliaan setinggi itu. Buku-buku yang ditulis mencapai kategori bestseller dan diulang cetak. Apa lagi yang diigini oleh seorang penulis, jika bukan buku hasilan tangan mendapat sambutan bertaraf fenomena. Itu akan menjadikan kita orang kaya segera.

Sewaktu zaman silam Prof yang begitu mengejar dunia untuk dapat dunia. Beliau memang dapat yang diusahakan. Yang aneh itu ialah, ketika sekarang ini beliau mahu meninggalkan dunia untuk dapat kenikmatan lebih abadi, dunia masih lagi terhegeh-hegeh mengejar Prof dan memberikan segala kesenangan seperti ramai manusia idam-idamkan. Aneh, Prof sudah tidak mengejar lagi.



Thursday, January 03, 2013

Cekodok

Apa cara yang boleh kita buat, untuk membolehkan famili kita ada perasaan suka dengan aktiviti keilmuan. Errmmm, dok pening fikir, dalam masyarakat gadjet sekarang ini, macamana untuk ubah. Esok lusa, duduk concentrate kat skrin akan jadi budaya, generasi Y yang ada sekarang inilah generasi yang dibentuk ke arah itu.

Ibu bapa zaman sekarang ini punya kecenderungan untuk melengkapkan setiap anak dengan gadjet skrin sesentuh yang dimuatkan dengan pelbagai games. Termasuk juga mak dan bapa budak, yang hendak membunuh waktu. Kalau suasana cukup bosan, tidak berjumpa regu sembang yang boleh diajak berbual, masing-masing akan mengeluarkan gajet masing-masing dan tenggelam dalamnya.

Satu hari ketika bergerak ke kereta, saya ditegur oleh rakan sekerja, saya panggil dia Einstein. Sebab mempunyai rambut ala-ala awan Nano, memakai kaca mata dan major dalam bidang Fizik. Saya tidak perasan dia, tetapi dari tangga ke kereta, saya sedang melayan gadjet saya juga. "Kak, zaman sekarang ni, semua orang kalau jalan akan menunduk kan?"

Saya pandang dia dan menjawab, "Oh awak, yerp, but don't misunderstood me, Akak ada meeting room dalam telefon bimbit ni. So, basically, tengah selesaikan persoalan penting, bukan sengaja nak jalan menunduk." (Hahaha, adakah alasan ini boleh diterima.)

Soal gadjet bukanlah isu besar, cuma pengisian. Ada yang perlu gadjet, kerana ebook bersepah ada dalamnya. Terutama mereka yang menggunakan Kindle. Ada yang menggunakan smartphone sahaja, dan membolehkan mereka mendapatkan dana beratus-ratus ribu bagi tujuan akademik dan penyelidikan.

Cuma, masyarakat kita dibentuk dengan mereka yang ada gadjet, tetapi digunakan untuk entertainment semata.

Kita akan kehilangan segala-galanya pada masa hadapan. Bila budaya gadjet mengambil ruang, minum petang kita yang santai bersama keluarga dan rakan-rakan. Kita tidak merasa nikmat lagi berhubungan dengan orang secara langsung. Untuk menikmati mimik muka, sentakan dari perasaan terkejut, mata yang fokus memerhati, mata yang melarikan kerana gegabah, senyum dan bunyi tawa.

Apa resolusi untuk mengubah budaya lebih positif? Tidak kisah jika gadjet ada di sebelah, tetapi kalau berjumpa pastikan kita ada 10-30 minit masa berbual yang membina. Aktiviti yang dibuat yang menyentuh dan meninggalkan kesan. Bukan superfisial, bukan retorik.

Boleh jadi kita masak cekodok, sambil diiringi dengan teh 'o' panas, letak di ruang tamu dan cuba berbual dengan perbualan yang akan merangsang gerakan keilmuan.

Kata seorang Ustazah, orang Melayu dulu lagi sudah ada open Universiti, bila masa mereka di waktu petang dan malam, akan berbondong-bondong ke rumah Ustaz Ustazah untuk menimba ilmu.

Kita memang bangsa sukakan ilmu, DNA kita begitu. Apa jadi dengan zaman sekarang ini?

Rasa nak cuba untuk cekodok dan sembang, insyaAllah, akan ada waktunya.

At current moment, kenalah belajar masak cekodok yang sedap, ye tak?



Tuesday, January 01, 2013

Bunga + Api

Malam ini, jika sepertimana norma di tahun-tahun lalu, tepat jam 12 tengah malam nanti akan ada bunyi dentuman berlawanan dari Ampang dan KLCC. Seperti biasa juga kami akan keluar di halaman dan melihat langit hitam dihiasi percikan warna warni dari bunga api. Seperti perang, bunyi kuat menandakan semarak bermula kalender yang baru.

Marilah memberi makna pada bunga dan api untuk tahun 2013 ini.

Saya mungkin sudah tidak begitu hairan lagi melihat percikan api yang di'engineer' dengan ketepatan supaya dapat memberi persembahan di ruang udara. Layarnya langit Tuhan yang berwarna hitam, dijaga dengan penuh gilang gemilang oleh menara KLCC. Pertunjukkan yang mahal, saya percaya menelan belanja berjuta-juta dalam nilaian Ringgit Malaysia. 

Mimpi saya, duit yang berjuta-juta yang dibakar demi memuaskan hati penduduk kota atau bumi dapat diberikan sedikit kepada mereka yang masih lagi tidak terjamin makan pada keesokkan hari. Atau yang melarat berpenyakit di perbaringan tiada akses untuk perubatan sempurna. Atau untuk peluang pendidikan yang merata dan adil untuk semua. 

Untuk saya, 2013 adalah tahun bagi bunga bangsa. Tahun bagi anak muda dan remaja yang luar biasa, yang saya temui di celah masa ruang yang aneh, tetapi tetap menginspirasikan.

Ini cerita kami.

Cerita 1
Ketika berpanasan membuka gerai menjual buku di hadapan Perpustakaan Kuala Lumpur, saya tertarik kepada kelibat anak muda yang berpakaian batik seragam sekolah. Barangkali dia baru sampai dari sekolah, ambil masa berjalan-jalan di Kota Buku yang masih belum meriah dengan pengunjung. Kota Buku adalah inisiatif yang dibuat untuk menyemarakkan lagi budaya membaca di kalangan rakyat Malaysia. Dengan jumlah yuran yang sangat sedikit, kami boleh membuka gerai dan berjualan buku baru dan lama.

Remaja berpakaian batik asrama begitu berminat memerhati satu-satu gerai dengan perasaan ingin tahu yang tinggi. Di gerai kami, dia meneliti judul buku sastera berat dari penulis mapan dan Sasterawan Negara. Fokusnya tinggi, bermakna minatnya juga tinggi. Tidak kekok berada di kalangan orang dewasa, dia tenggelam mencari judul buku yang menjadi dambaan hati.

Aneh, anak muda yang begitu keanak-anakkan wajahnya, datang seorang. Berpakaian seragam asrama, dengan berpeluh menahan panas, saya lihat dia tenggelam dalam mencari. Songkok pun dilepaskan kerana matahari begitu galak menaungi. Dia bertanya kepada rakan saya tentang beberapa judul buku dan berhasrat untuk membeli. Modal sebagai anak sekolah tidak banyak, tetapi dikeluarkan juga duit dengan nota beberapa keping berwarna merah dan biru untuk melengkapkan transaksi. Ajaib, anak muda ini membaca karya Sasterawan Negara!

Cerita 2
Tahun lalu, Tuhan mentakdirkan saya bertemu dengan sekelompok anak muda yang percaya, bahawa tanpa modal, pekerjaan, duit mereka tetap boleh berbakti pada negara dan bangsa. Mereka telah memperuntukkan sebahagian besar waktu hujung minggu mereka demi untuk berbakti kepada anak-anak yang dipinggirkan. Yang berada di kelas akhir di sekolah, ibu bapa dengan tanggungan ramai dan di bawah RM800 pendapatan bulanan. Perjalanan yang memakan masa 30 minit bukan halangan, sebaik sahaja sampai di rumah anak-anak yatim dan miskin, pelajaran dimulakan.

Mereka bukan setakat membantu memberi faham kerja-kerja sekolah tertangguh, juga aktiviti-aktiviti yang menjurus kepada pencapaian kognitif. Mereka juga bermain bola, membuat permainan pendidikan, memberi ceramah motivasi, atau sekadar bersama mereka mendengarkan cerita dan meminjamkan telinga mendengar cerita mereka. Tangan-tangan anak-anak muda ini adalah tangan budiman yang mahal, kerana tidak kekok mengusap kepada menyalurkan rasa kasih dan peduli.

Ramai yang bertanya, perubahan apa yang boleh dilakukan jika hanya menghabiskan masa setengah hari untuk mengajar. Bukan dapat membimbing mereka setiap hari, tidak ada banyak yang boleh dilakukan. Jangankan orang yang bertanya, kami sendiri bertanya.

Tetapi saya percaya, kaki mereka melangkah ke rumah anak-anak miskin dan yatim itu sendiri detik sejarah dan perubahan. Mereka dapat mengumpul beberapa orang rakan yang tidak pernah peduli tentang ganjaran material itu sendiri perubahan. Anak-anak yang introvert tidak percaya pada orang lain kerana didera oleh ibu bapa sendiri, sudah mula membuka hati untuk bergaul dan bercakap juga perubahan. Anak-anak yang sudah tidak lagi terpaku di hadapan TV, sebaliknya mengajak dua tiga orang rakan sebaya untuk membuat latihan kendiri secara berkumpulan juga perubahan. Menyaksikan tangan-tangan ghaib di belakang gerakan ini yang memberi derma secara berkala, sokongan dan doa juga, pada saya perubahan.

Saya percaya, ini gerakan seperti air sungai mengalir. Setiap benda yang bergerak, menjamin perubahan sedang berlaku, dan insyaAllah, yang baik dan diredhaiNya.   

Cerita 3
Ketika berbengkel menulis di tahun-tahun 2007-2008 yang lalu, saya juga di kelilingi remaja-remaja luar biasa. Yang mencebur diri dalam peluang-peluang pembelajaran di luar kampus dan komuniti kampung/bandar. Mencari di internet, mendaftar diri kemudian mencabar diri mengikuti.

Ini mulanya saya menjumpai anak-anak muda luar kotak yang tidak berfikir seperti majoriti seusia dengan mereka berfikir. Yang tidak membuat perkara yang sama seperti majoriti golongan mereka buat di luar. Yang tegar membaca bacaan-bacaan kritikal yang mencabar minda dan kreativiti. Menjadikan mereka juga kelompok yang luar biasa kebolehan berfikir dan kreatif.

Seorang anak muda, yang penampilannya selalu tidak meyakinkan saya. Pendiam tetapi mempunyai mata yang cemerlang, menyimpan kertas kecil dalam dompetnya. Satu hari, di bengkel kami mendapat kesempatan berbual dan beliau menunjukkan kertas kecil yang dijaga begitu rapi. Seperti emas yang sangat mahal. Saya sendiri tertanya-tanya penuh debaran apa catatan dalam kertas yang berlipat-lipat, penuh tulisan dan kelihatan begitu lusuh tanda selalu digunakan.

Kertas itu adalah senarai buku-buku Sasterawan Negara A. Samad Said yang beliau sudah habis baca dan hadam! Beliau, Nazwan Hafeez, anak muda pelajar kejuruteraan yang mengambil serius bahan bacaan yang dipilih untuk ditelaah.

Cerita 4
Saya berkenalan dengan seorang Ustaz, pemilik toko buku internet Raudhah Al Miqyas yang menjual buku-buku bermutu dari Indonesia. Bahan bacaan Islamik, wacana falsafah, parenting, buku kanak-kanak dan banyak lagi.

Beliau mempunyai anak berusia 4 tahun dan seorang lagi akan berinjak umur 2 tahun. Ilkiya ialah nama kanak-kanak yang mengkagumkan kerana diajar bersekolah hanya di dalam rumah, yang dibantu sepenuh khidmat ibu yang penyayang.

4 tahun beliau sudah boleh membaca, menggemari tokoh-tokoh Islam seperti Sultan Muhammad Al Fateh, malah tahu menyebut satu persatu nama orang kanan Sultan Muhammad Al Fateh, sudah boleh membaca ayat-ayat Al Quran dan menghafal ayat-ayat lazim, dan terbaharu, saya diberi maklum ayahanda Ilkiya, beliau sudah pun selesai menghafaz Surah Yaasin.

Saya pernah berkunjung ke rumah Ustaz, Ilkiya anak kecil luar biasa itu mempunyai meja belajar sendiri. Memilih sendiri hiasan yang diletakkan di atas meja, juga memilih sendiri gambar poster Sultan Muhammad Al Fateh untuk dihiasa di dinding depan meja kecilnya. Anak kecil yang begitu rajin menolong ayah dan ibu, dan selalu ada kata-kata yang saya sendiri sejuk mendengarkan.

Bila ibu Ilkiya bertanya, "antara jari dan cincin yang ada di tangan, mana satu lebih cantik Kiya?"

"Tentulah jari ibu lebih cantik dari cincin, kerana cincin itu hanya buatan manusia, sedang jari ibu Allahlah yang menciptanya."

Tahun 2013, semoga ia menjadi tahun api. Perkataan anak-anak muda / remaja dalam bahasa Arab disebut sebagai Syabab, bermaksud api. Mereka adalah bunga + api sekaligus. Api yang akan menerangi langit malam yang kelam, api yang akan menunjuk jalan di jalan yang gelap gelita, api seperti di rumah api yang memberi panduan kapal-kapal yang berlayar dan berlabuh, api yang akan menghangatkan dunia yang dingin menjadi lebih nyaman.

Mereka harta negara lebih mahal tidak dapat dinilaikan dengan jutaan atau billion Ringgit Malaysia!

Malam tadi, saya masih keluar di halaman rumah. Melihat percikan bunga api yang meriah dari kejauhan. Jalan di hadapan rumah saya masih lagi jalan kegemaran jiran-jiran untuk berkumpul, merasai meriah tahun baru masihi. Budaya yang sudah lama. Bersorak dan bertepuk melihat pertunjukkan di layar langit Ilahi.

Bunga api yang cantik. Karya manusia yang cantik dan mempersona. Bukti kejuruteraan sempurna.

Setiap percikan, saya lihat, masa depan. Bunga + api yang akan digerakkan oleh anak-anak muda masa depan. Tahun ini, dan setiap hari, adalah tahun-tahun penuh harapan dan kasih sayang. Di antara mereka akan lahir juga Imam Ali, Sultan Muhammad Al Fateh!