Tuesday, February 26, 2013

Buatku Terfikir

#1
Seorang Imam Muda, dijemput menjayakan satu majlis yang bermula pada jam 8.30 malam. Majlis tertunda sehingga ke jam 9.00 malam kerana menunggu kelibat personaliti TV tersebut. Semua orang tertunggu-tunggu majlis bila akan dimulakan dan akhirnya menyedari beliau sudah sampai, tetapi menunaikan solat Isya' dahulu.

#2
Majlis agama diadakan di pejabat-pejabat. Guna untuk membudayakan budaya ilmu dalam konteks keagamaan. Dibuat di hari Jumaat yang mulia. Sayangnya, menggunakan waktu pejabat puncak yang menyebabkan orang lain yang mahu berurusan tertangguh tanggungjawab mereka untuk menyelesaikan.

#3
Umrah dan Haji yang ditunggu kerana ibadat yang dituntut. Malangnya, bagi peserta perempuan muslim tanpa mahram, tahun ini hasrat mereka tertangguh. Biar pun ada teman perempuan secara kumpulan, ataupun ada anak-anak atau cucu yang sanggup meneman, juga tidak dibenarkan (jika yang meneman itu perempuan). Kemudian dapat membaca beberapa pengalaman yang mengejutkan. Seorang jemaah perempuan yang pergi seorang dapat juga pelepasan untuk menunaikan ibadah umrah kerana sudah bermahramkan seorang jemaah lelaki, dalam pakej yang sama. Jemaah lelaki itu kemudian diberitahu bahawa surat pernikahan ada (dan dipalsukan?) meskipun beliau tidak diberitahu. Yang mengejutkan, perempuan yang datang seorang membuat umrah tersebut, adalah sebenarnya isteri orang.

Pening sekejap. 

Thursday, February 07, 2013

Anak Dari Syurga


untuk adik
yang bersamaku
menyorong ibu
menyaksikan Kaabah
di laluan safa marwah
melalui jalan tapak para Anbiya
di Makkah dan Madinah




Air Mata Lelaki

Susah benar untuk melihat lelaki menangiskan? Tidak sesuai dengan ego mereka yang diciptakan kental dan keras hati. 

Tidak boleh berubahkah?

Hari itu aneh benar. Kata Mak, Ayah demam. Saya berusaha memujuk Ayah untuk ke klinik. Tetapi Ayah tidak mahu. Ayah memang begitu, kalau sakit sikit-sikit akan digagahkan sehingga kebah sendiri. Saya menelefon Abang kalau-kalau dia dapat memujuk Ayah untuk menerima khidmat Doktor. Lepas bekerja, Abang singgah di rumah dan tidur di sana. Sebagai persediaan andai Ayah mahu menerima pujukan kami.

Abang saya manusia kental yang bertubuh besar. Seperti ahli sukan gusti lagaknya. Mak selalu cakap Abang yang ini keras hatinya. Sejauh mana keras hati Abang saya tidak tahu, saya belum hidup cukup lama untuk menilai orang. Jadi malam itu Abang tidur di rumah, meski Abang sudah berkeluarga dan rumah sendiri.

Pagi subuh saya menjenguk bilik Ayah. Selalu Ayah yang lebih dahulu bangun untuk membersihkan diri dan solat subuh. Pagi itu Ayah tidak ke bilik air. Saya tidak pernah tahu, itu Subuh terakhir untuk Ayah. Matanya aktif memerhatikan saya yang menjenguk tetapi Ayah sudah tidak mampu lagi untuk menggerakkan tubuhnya.

Peristiwa-peristiwa berentetan sehingga ke Asar masih banyak. Tetapi saya belum berdaya untuk cerita. Ketika Ayah telah selesai segala rawatan di ICU, doktor mencadangkan untuk dipindahkan di wad biasa. Dipindahkan bermaksud, bekalan oksigen yang membantu Ayah bernafas akan dihentikan sementara. Bergerak dari ICU, naik lif dan dipindahkan ke atas katil, akan menyebabkan Ayah bergantung kepada kemampuan dirinya sendiri untuk bernafas. Mungkin Ayah sudah letih, perjalanan dari ICU ke wad biasa Ayah sudah tidak mahu bernafas lagi.

Abang saya yang kental itu sentiasa di katil Ayah dan memandu Ayah melafazkan nama Allah. Abang-abang lain dan ahli keluarga yang lain juga turut menyertai. Juga adik-beradik serta anak-anak buah yang ramai datang untuk melihat Ayah hari itu di hospital.

Ketika sepupu saya memegang bahu Abang dan mengatakan, "sudahlah Man, Ayah dah tak ada," Abang menekup matanya dengan kuat. Menggosok-gosok matanya yang berair, tidak peduli kepada Abang sepupu. Abang masih mendekatkan diri ke telinga Ayah dan mengajarkan kalimah Allah. Sehingga ada orang menutup wajah Ayah dengan selimut.

Hari itu pertama kali saya melihat air mata lelaki, seorang Abang yang kental dan keras hati.

Ya lelaki, tidak dijadikan Allah tanpa air mata. Dan air mata tidak seharusnya melekat pada peribadi seorang perempuan dan wanita. Ia dijadikan oleh Allah untuk semua.

Baru-baru ini saya bertanya Abang, apa perlunya air mata untuk lelaki.

"Tahu lelaki kan? Lelaki selalunya hati kering dan tidak mudah peduli dengan keadaan orang lain. Tapi kalau sudah biasa mendengar perjalanan susah payah dan derita Nabi dan keluarganya, Alhamdulillah hati tidak lagi kering macam dulu lagi."

Abang menitiskan air matanya sekarang, dengan menghayati sejarah Nabi. Susah payah Baginda dan ahli keluarga yang berkorban demi ummat akan datang. Yang sirah mereka hanya layak kita kenang dengan air mata sesungguhnya, kerana mereka telah berkorban banyak. Terlalu banyak.

Sambung Abang, "sebenarmya sedih dan airmata falsafahnya ialah menghidupkan hati manusia supaya lebih prihatin dan lebih manusiawi. Satu lagi, kalau kita mengingati sirah Rasulullah dan keluarganya, apa-apa masalah dan musibah yang kita manusia alami ini, sebenarnya tidak ada apa-apa kalau hendak dibandingkan dengan mereka."

Saya berhenti membaca pesan dalam kotak mesej saya. Bersetuju sepenuhnya.

Kata Abang yang saya tidak akan ingkari, "dengan begitu, jiwa-jiwa manusia lebih kental dan tahan kalau menghadapi musibah."

Alangkah bagusnya jika setiap lelaki pun mahu menitiskan air mata mereka demi untuk Nabi.

Ya apa pun yang datang kepada kita, rupanya bukan apa-apa, untuk dibandingkan dengan pengorbanan KekasihNya.


****************




Sunday, February 03, 2013

Pelajaran Rezeki 4

*****

Semalam saya perlu mendapatkan data dari orang-orang penting dalam jabatan. Kerana sudah lama tidak berbual, macam-macam juga yang dikisahkan. Sehinggalah saya perlu mendengar keluhan, “perlu apa buat semua ini, walau kau pun tahu tiada ganjaran dan pengiktirafan yang akan diberikan.”

Hanya senyum yang boleh saya balaskan sebagai jawapan. Yang bersusah susah itu saya, bukan dia. Tetapi yang mengeluh itu dia, bukan saya. Pelik. Betapa dunia ini kadang kala benar saya perlu akui, sedang sakit dan dipenuhi pula dengan orang-orang yang sakit pula.

Saya tidak membuat semua ini kerana mengharapkan ganjaran dari manusia, tetapi dari Allah Yang Maha Kuasa. Saya membuat kerja kerana saya menghormati kepercayaan dan rasa hormat orang kepada saya, pengiktirafan tidak langsung yang selalu tidak difahami orang. Saya menjalankan kerja-kerja fardhu kifayah yang tidak disanggupi orang lain. Moga mereka yang tidak terlibat dengan kesibukan terus menerus ini diberi Allah kelebihan masa yang membolehkan mereka aman untuk beribadah. Ketika mereka beribadah, pahala itu dikongsikan kepada mereka yang menyanggupi kerja ekstra demi maslahat umum.

Dan tentu saya berbuat semua ini kerana saya juga mahu menjadi orang terpercaya, Al Amin.

*****

Dua pelajaran rezeki yang kontra Allah berikan apa saya. Hitam dan putih, dua-duanya saya hargai sebagai ilmu yang berguna. Ini menghantar saya kepada nama Tuhan yang ke-17, Al Razzaq, Maha Pemberi Rezeki.

Rasulullah saw bersabda: “Sekiranya engkau bertawakkal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakkal, maka Allah pasti akan memberikanmu rezeki sebagaimana burung yang pergi pagi dalam keadaan lapar, dan kembali ke sarangnya sore hari dalam keadaan kenyang.”

Yang saya percaya, hal rezeki ialah hal Al Razzaq. Saya berdoa setiap hari supaya jangan sampai saya berani mempersoal. Jika saya sampai berani bertanya sesuatu di luar pengetahuan, bertanya sesuatu yang berhak saya bertanya, bagaimana nanti kalau Dia sampai bertanya setiap satu kurniaNya? Kemana setiap rezeki yang diberi digunakan?

Yang saya tahu ialah Dia telah mencukupkan sebelum pun saya meminta. Yang memberi nafas dan nyawa, meski seringkali saya lalai mensyukuri nikmatNya.

Kisah kawan yang pergi Haji dengan sepenuh ajaib tanpa tambang, akhirnya saya temui jawapannya dalam surah At Thalaq: 3, “Barangsiapa bertakwa kepada Allah, maka Allah akan memberikan jalan kemudahan baginya dan memberinya rezeki dengan jalan yang tidak ia duga.”

Untuk adik, saya mengantarkan untuk dia nama Tuhan ke 27, Al Bashir, Yunus : 61, “Kamu tidak berada dalam suatu keadaan dan tidak membaca suatu ayat dari Al Quran dan kamu tidak mengerjakan suatu pekerjaan, melainkan Kami menjadi saksi atasmu di waktu kamu melakukannya. Tidak luput dari pengetahun Tuhanmu biarpun sebesar zarrah (atom) di bumi ataupun di langit. Tidak ada yang lebih kecil dan tidak pula yang lebih besar dari itu, melainkan semua tercatat dalam kitab yang nyata.”

Dan kalau Prof saya punya masa dan pernah menjumpai frasa ini, tentu beliau tidak akan lokek untuk berpesan seperti ini kepada saya, “Genius adalah 1% inspirasi dan 99% keringat. Tidak ada yang dapat menggantikan kerja keras. Keberuntungan adalah sesuatu yang terjadi ketika kesempatan bertemu dengan persediaan. ” Thomas A. Edison.

Untuk segalanya, bukankah ianya sangat indah?


*******************

Rujukan
1. Asma’ul Husna For Success in Business & Life, Dr. Muhammad Syafii Antonio, M. Ec.
2. Kisah-kisah benar yang Allah rezekikan untuk menyaksi 

Saturday, February 02, 2013

Pelajaran Rezeki 3

Pelajaran Rezeki 3

Dia adik, yang saya sayangi setelusnya. Demi kasih sayang, saya tidak mungkin melimpahkan dia dengan kesenangan dan kemewahan. Dan kerana itu saya tegar membiarkan dia menjalankan kehidupan dengan kepayahan. Dengan realiti kehidupan yang ada, supaya dalam masa muda ini juga dia belajar, bukan kemudian-kemudian. Itu yang arwah Ayah bentukkan dalam diri saya. Menyenangi kesusahan, demi membentuk peribadi teguh dan kental.

Yang saya tahu, arang batu dan berlian terdiri dari bahan yang sama. Tetapi nilai keduanya berbeza. Berlian bernilai tinggi kerana ia telah mengalami proses tekanan yang begitu hebat dan dahsyat. Tetapi arang tidak, kerana itu ia murah dan senang di dapati.

Saya mengajari adik tentang ilmu. Bahawa ia bersifat sebagai cahaya. Ia hanya akan masuk ke dalam hati yang memerlukan, yang tunduk, yang ikhlas, yang menghormati sebagai jalan keluar dari tidak tahu kepada tahu. Dari bodoh kepada kepandaian. Dari di pandang rendah kepada penghormatan. Dan kerana agung sifatnya sebagai cahaya, ia mustahil dapat dengan jalan senang lenang, sambil lewa, curang dan menipu, tidak menempuh susah, ikhtiar dan doa.

Sepanjang adik menuntut ilmu, saya tahu kesusahan dia. Yang saya kadang-kadang insafi dengan air mata. Dalam beberapa ketika saya hulurkan dengan sedikit kemewahan, untuk memberikan dia suasana aman sekali sekala. Tetapi saya bersyukur, dia menginsafi keadaan kami yang serba kekurangan. Jalan keluarnya percaya kepada Allah yang akan memberi petunjuk.

Satu hari dia bercerita, “kami hanya makan sekali sehari. Sekali yang makan itu pun akan dipastikan cukup banyak sehingga dapat mengenyangkan perut sehingga esok.” Saya menahan air mata. Menghulurkan lebih keping duit ringgit.

Kata adik, “bukan duit yang menjadi masalah. Tetapi masa yang kami perlu aturkan, kerana selalu tidak mempunyai masa senggang untuk pergi makan.”

Saya mengucapkan kesyukuran, bahawa adik sudah faham tentang erti pengorbanan demi menggapai cahaya.

Banyak yang terjadi padanya yang jika tidak kuat boleh merobohkan semangat dan daya juang. Adik sudah kehilangan Ayah belum pun berusia 17 tahun dan dalam tahun getir mengambil SPM. Anak buah sulung kami, rakan baik adik yang hanya berjarak umur 2 tahun meninggal dunia kemalangan. Kata adik akhir-akhir ini tentang perasaannya mengenai peristiwa itu, “sayap saya patah dan selama-lamanya tidak akan ada ganti.” Tidak sampai setahun selepas itu, kakak kami pula pergi mengadap Ilahi, ketika adik berjuang untuk menyudahkan pengajian diplomanya.

Satu masa yang dapat kami berbicara adik bertanya, “perasaan tak masa Syafiq dan Kak Ngah meninggal, saya sedang dekat benar dengan peperiksaan akhir.” Dalam hati saya menyambung, “juga ketika kamu mahu mengambil SPM dahulu.”

Jika saya yang ditempat adik, mungkin sudah mengambil cuti khas untuk menenangkan fikiran dan hati. Tetapi adik tetap juga mempercayakan takdirnya kepada Tuhan, terus berusaha, berikhtiar, berdoa dan tawakal.

Saya tidak tahu bagaimana adik berdoa, tetapi saya berdoa supaya dia sudah faham tentang bertawakal kepada Allah Ar Razzaq, yang akan menyempurnakan kurniaNya di tempat yang kita tidak duga, dan yang paling kita suka.

Adik tamat diploma dengan selempang di bahu dan badannya. Penerima anugerah Naib Canselor. Adik tamat sarjana muda dengan pengiktirafan kepujian kelas pertama. Dan setelah bersusah payah selama setahun di tempat kerja kecil yang tidak terjamin perkembangan kariernya, adik sudah diberi kepercayaan di syarikat besar.

Ketika dia bersusah balik lewat malam kadang-kadang subuh (ketika bekerja di syarikat kecil dahulu), saya menyirami hatinya dengan nasihat, “anggaplah semua ini sebagai pelajaran yang mahal. Allah yang beri kerana mahu mengajari kamu lebih banyak.”

“Tiada buku yang hebat yang boleh menceritakan dengan detail pengalaman susah payah kamu. Tiada jumlah duit yang boleh dibayar untuk membeli peristiwa yang telah kamu alami. Pengalaman itu lebih banyak menyekolahkan, dari bertahun-tahun menelaah buku di sekolah.”

Ketika dia sampai demam kerana terlalu stress, saya menasihati adik di hujung telefon, “pergilah beli sup panas dan makan bersama nasi. Jangan kosongkan perut kerana nanti tidak ada tenaga untuk proses sihat semula.” Adik mengadu dia tidak mampu menelan nasi, tetapi terima kasih atas nasihat dia dapat memperkuatkan badan dengan minum sup yang dicadangkan.

Ketika mengiringi adik untuk menerima Ijazahnya di Dewan Agung, sudah tentu peranan saya mengganti arwah Ayah dan mak yang tidak sihat untuk menyaksi sendiri. Anak kecil dengan segala dugaan dan kepahitan yang jarang sekali diceritakan dengan emosi, melainkan dengan ketangguhan semangat dan daya juang, rupanya sudah dewasa. Sidang itu menjadi lebih indah kerana orang pertama yang dipanggil untuk membuka sidang konvokesyen hari itu adalah adik. Yang seluruh perjalanan juang menuntut ilmunya, saya percaya ditemani Cahaya untuk memenuhkan jiwanya dengan cahaya.

*****


Tiga kisah di atas akan bertahan lama dalam diri saya insyaAllah. Juga banyak kisah keajaiban kecil dan besar yang berlegar, yang kadang-kadang tidak dapat saya olah dalam bentuk perkataan. Tapi ia wujud setiap hari, berkitar di hadapan mata saya, yang menyebabkan tidak boleh tidak, saya tunduk kepada kebesaranNya, Sang Pemberi Rezeki.

Friday, February 01, 2013

Pelajaran Rezeki 2

Pelajaran Rezeki 2

Dia rakan yang lebih muda dari saya, tidak syak saya juga menghormati dia. Dengan usia relatif sangat muda, dia mendapat tempat di jabatan strategik di syarikat telekomunikasi nasional yang sangat berpengaruh. Tetapi ujian yang diperoleh sangat banyak, kerana usia mudanya dipersoal dengan kemampuan dia mengendali urusan syarikat. Saya percaya kewibawaan dan kompetensi dirinya tanpa syak, namun seperti biasa politik pejabat akan mengambil tempat.

Secara jujurnya, saya tidaklah mengenali rapat, walau sudah kenal begitu lama. Sampai sekarang saya tidak tahu berapa jumlah sebenar adik beradik dan latar belakang yang lain. Entah apa daya penarik antara kami yang menyebabkan kami sangat selesa berkongsi tentang apa sahaja, saling menyokong dan mendokong, saling medoakan.

Jika tanya apakah asas perkenalan ini, penjelasan saya cuma satu “ini urusan Tuhan yang saya sendiri tidak tahu jawapan.” 

Saya kenali dia yang diuji Allah tetapi tetap selalu sabar dan berserah. Pernah KL banjir dan kereta rakan saya ini ditenggelami air. Dia juga diuji perlu memilih jawatan tinggi atau jawatan yang lebih rendah, dan dia memilih yang akhir demi untuk menjaga anak dan keluarga. Situasi ketika dia masih dalam kesempitan, dia masih lagi menyumbang dengan jumlah terlalu banyak untuk badan kebajikan. 

Pernah diceritakan, bahawa dia berkeinginan sangat pergi Haji, sangat mahu.  Meski masih lagi muda. Selepas saya pulang Haji, hatinya berkobar mahu pergi. Tahun lepas selepas senarai nama peserta terpilih keluar dari daftar Tabung Haji, nama dia dan suami tidak terpilih. Dia menceritakan kesedihan hati dan larut dengan air mata.

Magik apa yang ada dalam doa dia, seminggu sebelum tarikh wukuf dia memberi pesan di telefon, dia dan suami dipilih di saat-saat akhir. Hanya ada beberapa hari untuk persiapan, jika sempat pun berlepas, hari tiba di Makkah adalah sehari sebelum hari wukuf. Dengan maksud sampai Makkah, simpan semua barang di hotel, kemudian perlu bergerak terus ke Arafah untuk wukuf.

Dia menceritakan kisah Haji kepada saya secara lintas langsung dari Makkah (melalui WhatsApp). Tiada kata kesyukuran yang boleh dipanjangkan kepada Tuhan, bila tahu ada orang sudi mengingat di tanah Haram di waktu pengibadatan paling akbar yang dilakukan oleh umat Islam.

Sesuatu yang memeranjatkan dari kisahnya, satu hari dalam tempoh Haji yang panjang itu dia menulis dalam kotak dialog WhatApps, “sebenarnya selepas selesai wukuf, selepas selesai tawaf wajib Haji, dan hampir ke semua rukun dan wajib haji selesai, kami sebenarnya belum pun menjelaskan bayaran tambang yang dituntut Tabung Haji sebelum berlepas.”

My jaw drop. Kalau tengah minum, sudah tentu tersembur keluar. Tanpa bayaran, tetapi tetap diizin Tuhan untuk menjadi tetamuNya.