Tuesday, April 30, 2013

Pengupayaan Orang Muda

Tidak syak lagi, orang muda sedang mengupayakan diri mereka untuk bergerak secara kolektif untuk membuat perubahan demi kebaikkan masyarakat setempat khasnya dan Malaysia secara am.

Minggu-minggu terdekat ini, saya menyaksikan itu. Bermula dari Sabtu dua minggu yang lepas, sekumpulan anak muda dari Kuantan-Jengka dan sekitar mewakafkan masa mereka untuk membawa adik-adik rumah Baitul Husna Kuantan. Projek untuk aktiviti luar dan lawatan pendidikan kali ini ialah menuju ke KLCC, mercu tanda kejayaan dan kebanggaan negara.

Baik, cerita bermula lebih awal. Kami melawat Baitul Husna tahun lepas, maafkan memori kabur saya, mungkin bulan 10, 11, 2012 saya tidak begitu pasti. Kami rombongan dari KL melawat anak muda Yuni yang memulakan tuisyen percuma di Baitul Husna di bawah label TFTN. Peristiwa tersebut meninggalkan banyak kenangan. Ramai antara volunteer yang datang adalah yang pertama kali kami bertemu mata, tetapi melanjutkan persaudaraan sehingga hari ini. Yang mengejutkan ialah, ketika kami mahu bergerak pulang ke KL, co-founder kami menyebut kepada adik-adik Baitul Husna, 

"OK, lain kali kita akan bawa adik semua jalan-jalan ke KL."

Saya terkejut. Kami bukan berduit. Malah tahun 2012 ialah tahun-tahun sukar kami. Tetapi selalu niat dan sebutan yang baik, boleh saja termakbul dengan kesungguhan. Jadi, kami mengatur langkah dengan persediaan yang ada dikudrat kami merencana dengan kesukaran tersendiri, tetapi Tuhan itu Maha Penyayang. Membuka jalan di saat-saat kami rasa tidak tahu di mana mahu cari jalan keluar.

20 April 2013 adalah tarikhnya. Seramai 20 orang volunteer anak-anak muda Kuantan-Jengka dan sekitar meluangkan masa untuk mengiring adik-adik BH. Yang membuat hati kami sayu, mereka sudah seharian menyiapkan diri. Dengan baju bergantungan sebagai persiapan untuk rombongan ke KLCC. Kami menjemput mereka pada jam 4.30am, tetapi rasa teruja di hati mereka telah membuatkan mereka patuh kepada masa. 4.30am itu bukan terlalu awal untuk adik-adik BH, tetapi waktu yang ditunggu.

Semua itu diceritakan oleh volunteer kami. Saya cuma dapat mengiring mereka di hadapan pintu Petrosains dengan memberikan tiket dan sekejap beramah mesra dengan adik-adik yang tidak percaya mereka dapat menjejak kaki ke KLCC. Saya meletakkan sepenuh kepercayaan kepada 20 orang anak muda harapan negara ini untuk melayani adik-adik dengan sebaiknya. Dan kepercayaan saya tidak sia-sia kerana program berjalan dengan lancar dan teratur. 

Seharian mereka di KLCC. Waktu sampai mereka di Kuantan ialah jam 3.30am keesokkan harinya. Masing-masing sudah letih lesu. Termasuk volunteer yang melayani kerenah dan menerangkan segala ketidakfahaman adik-adik dalam ruang pameran dan permainan. 

KL-Kuantan bukan jarak yang begitu jauh pun. Mungkin mengambil masa dalam 4 jam lebih. Tetapi ternyata, mereka tidak pernah terdetik untuk dapat berjalan-jalan di dalam KLCC. Sehingga bila mereka sudah berada dalam KLCC ada juga yang bertanya, "mana dia KLCC?"

Semua ini saya dengar di Sabah kerana saya sedang berwisata di Negeri Bawah Bayu serta membuat kajian lapangan sendiri-sendiri tentang situasi pendidikan adik-adik di Sabah pula. Melihat adik-adik Sabah yang berjalan jauh beratus-ratus meter atau ada yang mungkin sampai berkilometer, di hati saya membuak harapan. Andai saya dapat sampaikan kepada mereka KLCC. 

Tidak ada yang lain yang lebih sempurna, bila anak-anak muda ini mengupayakan diri mereka untuk melakukan perubahan kepada komuniti meski mereka masih belajar. Ketika mereka masih belum berduit dan gaji untuk menyumbang kepada masyarakat. Di kala mereka disibukkan dengan hal telaah, ujian dan peperiksaan, tetapi masih tetap mendermakan sebahagian masa dan keringat untuk mengukir senyum di wajah adik-adik, rumah anak yatim dan miskin Baitul Husna Kuantan.

Saya ceritakan kepada anda semua. Mereka tidak berhenti, ketika bas menghantar pulang adik-adik dan volunteer di tempat persinggahan terakhir. Untuk seminggu selepas KLCC, mereka telah pun merangka jadual untuk turun mengajar secara percuma setiap minggu untuk adik-adik ini. Bukan setakat di Baitul Husna Kuantan, mereka telah mengupayakan orang muda dari kelompak mereka untuk masuk ke 2 lagi tempat yang sesuai dengan aspirasi dan fokus TFTN.

Dalam dada saya tidak syak, ada rasa yang mengembang, bangga. InshaaAllah, doakan usaha perkasa mereka untuk istiqamah. Setiap perubahan mulanya dengan detik hati, meluangkan masa merancang dan akhirnya menzahirnya dengan amal dan perbuatan. 

Saya ceritakan kepada semua, bahawa mereka sedang bergerak ke arah usaha yang positif. Tanpa nama pun mereka mahu bergerak. Kerana mereka mahu belajar dan mengecapi niat dan rasa ikhlas, dan saya doakan Allah menerima ikhlas mereka.

Kau beri cinta, yang akan dikembalikan juga cinta

Monday, April 29, 2013

Kau beri cinta, yang akan dikembalikan juga cinta (interlude)


Dalam banyak persoalan tentang hidup, saya sukar mengerti tentang kepahitan disakiti dan ditinggalkan. Pagi ini kawan yang baik berkongsi pesan Yasmin Mogahed di atas, dan saya tahu saya sedang menghirup udara segar dan rasa dada dilapangkan. Semoga Allah merahmati kita semuanya, dan menyerahkan hidup dengan percaya Perancangan Tuhan.


Rezeki terpinjak hari Sabtu lalu, menunggu ceramah Jerry D Gray sudah dua minggu, rupanya ceramahnya hanya memakan masa 30 minit yang dibuat antara maghrib dan Isyak. Terkejut dan tergamam dengan waktu sesingkat itu kami masih tetap menunggu walau sudah selesai Isyak. 

Saya bersama kawan-kawan dan famili menunggu tetapi tidak tahu untuk apa, padahal sangat kepenatan kerana berhabis tenaga di KLIBF 2013 di PWTC. Kemudian kami dikejutkan dengan kemunculan Habib Ali. Lebih mengujakan, Habib Ali bukan hanya bertazkirah tetapi berqasidah!

Saya duduk di sebelah kawan baik. Teman haji saya. Selepas Haji hanya beberapa waktu Allah izinkan kami bertemu. Sambil berqasidah (pengalaman pertama dan baru buat saya dan dia) kami menghayati bait-bait syair indah nukilan untuk menggambarkan peribadi dan akhlak Nabi. Rakan sudah tenggelam dengan sendu dan syahdu, bersama tisu yang berkali-kali digunakan untuk menyeka air yang jatuh berguguran kerana rindu.

Saya tahu, saya dan sahabat sedang di bawa jauh duduk bersimpuh di hadapan Kubah Hijau, sambil membayangkan kehadiran Nabi. Lau kana bainana (alangkah jika kau (kekasih) berada bersama kami). 


Kau beri cinta, yang akan dikembalikan juga cinta


Wednesday, April 24, 2013

Kau beri cinta, yang akan dikembalikan juga cinta

Ada banyak cerita. Seminggu ini perjalanan saya dikayakan dengan perjumpaan dengan Timbalan Perdana Menteri Malaysia (sementara), Yasmin Mogahed, merencanakan perjalanan anak-anak miskin dan yatim Baitu Husna Kuantan ke KLCC dan berwisata (travel) ke Sabah Negeri di Bawah Bayu.

Segalanya indah. Indah:

1. Yasmin Mogahed

Seorang speaker yang saya tidak pasti berasal dari mana. Tetapi pertemuan untuk mendengar ceramah Reclaimed Your Heart pada 15 April seperti satu perjalanan magical. Kenapa magik? Kerana saya dan sepupu tiada tiket. Rupanya tiket hanya dijual online. Kerusi yang ada 1500 sold out sebelum ceramah bermula. Tiada kaunter untuk pendaftaran walk in. Kami datang pada jam 6pm walaupun ceramah hanya akan bermula jam 830 pm. Untuk setiap AJK yang bertugas, kami akan bertanyakan soalan yang sama, "do you have any extra tickets? We can sit on the floor. We can just stand in front of the door. Anything if you can allow us to participate." 

Jawapan yang sama, "No, I'm so sorry, we can't allow you to do that."

Kami sehingga sampai duduk kembali dalam kereta, menyalakan enjin dan menunggu. Seperti orang kebingungan tidak tahu hendak buat apa langkah seterusnya, saya dan sepupu bersembang tentang kehidupan dan apa yang penting dalam hidup.

Cerita magiknya panjang, tetapi biar dipendekkan. Kami menunggu sehingga 7.30 pm menunggu dan mencari. Sehinggalah rakan sepupu menelefon dan memberi khabar gembira, "aku ada satu tiket ekstra." Sepupu saya senyum sampai ke telinga meninggalkan saya dalam kebimbangan. Tiket saya, siapa yang akan memberinya? Untuk rekod tiket berharga RM50. Sepanjang masa sepupu saya overjoy tersenyum dengan rezeki terpijak yang diterimanya. Dalam kepala saya sudah membayangkan saya akan menunggu di cafe sementara ceramah habis dan pulang bersama sepupu. 

Bangunan Matrade yang besar itu tidak dapat menampung saya yang seorang ini. Kata saya pada sepupu, "macamana AJK boleh jawab macam tu, bukankah dunia ini milik Allah. Takkan tiada tempat untuk kita?" Sedikit dramatik, tentu. Tetapi dalam ketegangan macam tu macam-macam yang difikirkan. Kerana sangat mahu mendengar, sangat mahu melihat Yasmin secara langsung.

Setelah mendapat khabar gembira, sepupu mengajak keluar kereta bergerak semula ke kaunter. Saya mengikut, dengan hati separuh. Manalah tahu kena tunggu seorang-seorang di luar. Sepupu kemudian kembali bertanya soalan yang sama seperti di atas sekali lagi di kaunter, dan dengan kuasa Tuhan kami mendengar jawapan, "somebody left his/her ticket on this counter. You can have this."

Mata kami bulat terbuntang. Hanya perkataan "really" yang keluar. Hanya satu tiket di kaunter, satu! Saya menyambung tanya, "do I need to pay for this?"

AJK yang ditanya memandang kepada AJK lain. AJK bercakap dalam bahasa Arab "La...... (sila sambung sendiri sebab saya tidak pandai Bahasa Arab."

AJK yang berbahasa Inggeris kembali memandang kami, "No Sister, you don't have to pay." Senyum AJK tersebut paling manis yang saya terima pada malam itu.

Allah!

Lompat? Dalam imaginasi saya sudah melompat tinggi sampai ke bintang. (poyo? suka hati la, hahaha).

Walaupun Yasmin keluar lewat, ceramah yang diberikan juga mungkin sejam lebih sedikit dengan soal jawab, saya tidak menyesal menunggu lebih 2 jam untuk menerima (mendengar) pesan hak dan kebaikkan. Ada masa-masa tertentu yang sungguh benar saya mengalirkan air mata. Jika tidak saya duduk di sebelah orang yang saya tidak kenal, tentu sudah bengkak mata. Segala-galanya tentang apa yang saya dan sepupu bualkan sepanjang hari. Pertanyaan-pertanyaan yang tidak berjawab sepanjang diskusi kami, dijawab dengan ceramah Yasmin Mogahed. 

Bila orang bertanya, "have you reclaimed your heart?"

Saya boleh yakin menjawab, "yes, indeed." Saya percaya sepupu saya juga.

Hakikatnya, selepas dari ceramah Yasmin Mogahed saya berpeluang berkongsi dengan lebih ramai orang. Tentang pelajaran berguna yang saya terima dari ceramah padat bermakna. Tentang cerita-cerita Nabi yang belum dikupas, yang terselindung dari apa yang pernah saya tahu. 

Ada orang cakap, "kena bersusah-susah dulu baru kau dapat tiket kan?" Saya terus teringat cerita Yasmin Mogahed tentang Siti Hajar. Yang berlari-lari dari Safa ke Marwah, cuma selepas berjalan 7 kali ulang alik baru Siti Hajar menemukan air yang dicarinya dihentakan kaki Ismail. 

Ya, saya menemukan 'air yang dicari' di kaunter tiket oleh seseorang yang telah meninggalkan tiketnya di kaunter. Siapakah yang meninggalkannya? Mungkin 'Ismail' yang dihantar Tuhan untuk saya.

Sepupu saya menemukan 'air yang dicarinya' di hujung suara di talian telefon kawan yang bermurah hati memberikan. Walaupun hampir tidak dapat berhubung kerana selalu putus line, telefon yang berdering tidak berjawab, bila sudah ternyata kun fayakun

Begitulah jika Allah mahu memberi hadiah, dari mana-mana sudut pun Dia akan memberi. Kadang-kadang Allah memberi dari arah dan jalan yang tidak disangka-sangka. Surprise? Saya sangat suka surprise dan lebih gembira menerimanya dari Allah Yang Sepenuh Cinta.

Jika kau beri cinta, yang akan dikembalikan juga cinta.

#happy itu #bahagia

(bersambung....)

Wednesday, April 10, 2013

Main Monopoly


Ada waktu-waktu yang saya hargai, bila dua orang anak buah kesayangan pulang ke KL dengan membawa kotak. Permainan Monopoly yang tidak lapuk zaman. Jurang perbezaan umur tidak pernah menghalang, anak bapa aunties uncles boleh duduk dalam bulatan dan main beberapa pusingan.

Kami akan main dengan peraturan mudah, supaya cepat habis untuk cari pemenang dan peng'kalah'. Bagi yang paling awal keluar, kena bersedia digelakkan 'cow-cow' dan menyaksikan ego yang menang adalah satu pemandangan yang menjengkelkan. 

Yang emosional akan bermasam muka, yang mahu poyo kerana menang akan bercerita dengan eksyen dan megah.

Hujung minggu yang berisi? Ya mungkin, tetapi saya punya pandangan lain sekarang. Banyak perkara, antara lain apakah pelajaran yang diperolehi dari permainan ini, atau adakah ia menyuntik semangat individualistik?

Hahaha, Asal, Asal, kalau tidak berfikir secara simple memang tidak boleh.

Jap jangan kritik dulu, semalam dalam enak-enak berangan (I mean berfikir), saya disampuk rindu pada anak buah yang dua orang itu. Kemudian ingatan kepada hobi bermain Monopoly. Kemudian ini, "kenapa kita tidak wujudkan permainan Society, tetapi kita agungkan permainan Monopoly?"

Mana ada permainan Society! Duhhh (#face palm).

That is actually my point. Kenapa tidak ada?

Idea saya tentang permainan Society adalah kontra dari permainan Monopoly. Daripada kita menggalakkan pemilikan ke atas tanah, rumah dan hotel, kemudian mengenakan bayaran yang tinggi kepada mereka yang ter'singgah' kat tempat kita apa kata kita ubah? Ini kalilah (tidak ada kena mengena dengan demam PRU13).

Cuba kita reka permainan 'board' yang memerhatikan masyarakat yang kita namakan Society. Dalam permainan tersebut, kita beri merit kepada mereka yang sentiasa meningkatkan kualiti diri dengan ilmu pengetahuan (a.k.a baca buku), mementingkan persaudaraan, sentiasa memberi dan berbagi, berkorban untuk maslahat umum berbanding kepentingan peribadi, menghormati, keikhlasan, bermoral, keadilan, dan cintakan alam sekitar. Yang lebih banyak bersedekah, berwakaf, mengajar orang lain dengan percuma, menolong, kutip sampah dan sebagainya akan diberi markah yang banyak.

Dan kita discredit bagi mereka yang menunjukkan sifat individualistik dan monopoli, penindas, penghisap darah, rasuah, pembunuh, licik, curang, dan yang melampaui batas, penipu, poyo, peniru, penzalim, penc&>$¤, penghasut (macam marah je kan).

Well, jangan tanya saya macamana nak buat game tu, I'm no master in games design. Tapi rasa saya takkan susah sangat nak buat kot. Kita buat style dam ular pun lagi bagus. Yang perasuah penzalim tu akan turun banyak (ular paling besor). Yang bagi sedekah kita soh dia orang naik tangga sampai 70 tingkat. (Wahahaha, gelak cam orang jahat).

Why not kan?

Wah idea saya ni macam boleh jual kan? Nak kena letak copyright reserved ke? Untuk menjayakan hal ini baiklah saya tunjuk contoh tauladan yang betul dulu, so sesapa yang nak membangunkan game ini saya letakkan status sebagai all rights reserved. (Hopefully boleh naik tangga, bukan turun ular).

Amacam, ada bran?



Tuesday, April 09, 2013

Sedekah Paling Susah

Dalam banyak-banyak sedekah, sedekah apa paling susah? Tanya seorang adik yang begitu meminati topik sedekah.

Saya pandang dia, mustahil dia tidak ada jawapan. Sedangkan banyak buku tentang rahsia memberi (saling berbagi) yang dia beli dan simpan. Barangkali adik ini hanya ingin tahu pandangan kerdil saya.


"Mmm, susah juga soalan ini. Tapi saya cuba. Bagi saya yang paling sukar untuk manusia moden ini adalah sedekahkan waktu."


Dahi adik sedikit berkerut. Mungkin jawapan yang melesat dari jangkaan. "Bukan duit?"


Saya menggeleng. "Bukan. Memberi duit lebih mudah dari waktu."


"Kenapa?"


"Kesanggupan kita untuk luangkan masa, bukan soal kecil. Ia soal lebih luas. Contoh, jika kita putuskan untuk buat khidmat sosial di rumah anak yatim selama 2 jam di hujung minggu, apa maknanya?"


"Kita korbankan 2 jam waktu rehat hujung minggu?" Adik mencuba.


"Betul. Bukan setakat korbankan rehat, rancangan happy hours dengan kawan-kawan pun burn, habiskan masa dengan keluarga, nak habiskan games baru pun tertangguh, rancangan TV favourite, drama Korea yang bersusun dalam harddisk, chatting dalam Twitter / WhatApps / wechat, shopping, namakan semua, itulah yang kita cuba kompromi."

"Apa maksudnya kalau saya minta diringkaskan?" Adik ini terlalu berfikir rasa saya.


"Yang kita hendak luangkan masa 2 jam itu ertinya ialah kesanggupan kita melepaskan kesenangan diri sendiri. Menyatakan komitmen untuk kepentingan orang lain, bukan diri sendiri. Sebab itu ia jadi susah."


Saya menulis perkataan KESENANGAN DIRI atas kertas. 


"Manusia boleh sahaja mudah memberi apa yang berlebih atau terpakai, seperti duit, pakaian lama, buku lama, permainan lama. Sebab semua benda-benda itu sudah tidak ada nilai pada diri mereka atau sudah susut nilai. Tetapi meluangkan masa itu besar taruhannya, kita mengorbankan kesenangan dan kebiasaan yang selalu kita amalkan hujung minggu."


Adik mengangguk.


"Satu lagi yang menyebabkan ianya super susah ialah, hal-hal aktiviti sosial seperti itu tidak ramai yang berminat. Kawan-kawan happy hours kita tidak semua sanggup. Sebab itu jadi ekstra susah."


"Betul. Semua itu berlaku kepada saya. Ramai kawan-kawan mengelak bila saya ajak membuat kerja amal. Seperti melawat rumah anak yatim atau rumah orang-orang tua. Atau mengajak membersihkan persekitaran ataupun pantai tempat orang berkelah."


"Kan? Tapi sebenarnya sedekah waktu ini bukan saja susah untuk diberikan kepada orang susah dan memerlukan je. Ia juga jadi susah untuk kita berikan pada diri sendiri." Ujaan yang sengaja saya suntikan supaya adik melihat perkara dengan pandangan yang lebih luas.


"Diri sendiri pun kita boleh bersedekah?"


"Sedekah waktu untuk diri sendiri ialah dengan memperuntukkan masa untuk merenung dan berfikir. Generasi Y macam awak ni, saya rasa jarang buat. Dalam bahasa akademik disebut sebagai reflective thinking."


Lagi saya coretkan perkataan, kali ini REFLECTIVE THINKING = MUHASABAH.


"Ini sedekah paling bermakna untuk diri sendiri. Berhenti sekejap berfikir dan menimbang untuk sesuatu perkara, baik atau buruk. Contoh, adakah menghabiskan masa selama satu hari suntuk bermain games itu baik untuk diri kita atau tidak?"

"Perlukah kita buat semua ini? Maksud saya menyediakan waktu khusus untuk berfikir?"


"Ya, hanya dengan berfikir dengan jelas baharu kita dapat menimbang dengan baik. Kalau hendak mudah, 10-15 minit selepas waktu solat. Jika tidak habiskan masa untuk berzikir, lebih baik peruntukkan masa untuk berfikir." 


"Boleh explain lagi tak, saya kurang dapat tangkap maksud yang hendak disampaikan." Saya melihat dia dalam kesukaran mencerna.

"Saya beri contoh paling simple. Jika tidak berfikir, itu yang menyebabkan ramai dari kita menangguh kerja. Menyudahkan level untuk games lebih penting dari siapkan kerja sekolah atau tugasan. Betul tak?"


Adik mengangguk laju. Barangkali dia tidak pernah tahu suatu masa dahulu saya adalah games geek (kental pula tu). Yang saya ceritakan semuanya adalah pengalaman dekat dengan diri sendiri, bukan meminjam dari orang lain. Kalau nantinya adik sampai bertanya, saya akan jawab tentu saya menyesal dengan pilihan itu. Tetapi pengalaman mengajar, dengan itu boleh berkongsi agar adik-adik tidak melalui jalan pembaziran yang sama. 


"Berfikir itu satu bentuk sedekah?"


"Bagi saya ya. Sebab ia sangat mahal. Saya kategorikan sebagai sedekah masa untuk diri sendiri. Tetapi tidak ramai yang mahu buat kan?"


Adik tidak bereaksi. Mengangguk tidak, menyanggah juga tidak. Mungkin dia sedang bersedekah masa untuk dirinya sendiri, berfikir dengan lebih lanjut.

"Yang saya berikan contoh-contoh tadi adalah benda paling mudah. Sebab hanya dengan konsisten berada di daerah fikir membolehkan kita bertanya soalan lebih penting. Seperti kenapa kita ditakdirkan hidup, apa tujuan hidup, ke mana kita selepas hidup."

Bilik ini khali. Bunyi aircond menguasai.  

Saya menulis lagi kali ini dalam tulisan Arab dan rumi, 

AFALAA TA'QILUUN (apakah kalian tidak berakal?)
AFALAA YANDZURUUNA (apakah kalian tidak memerhatikan?) 
AFALAA YATAFAKKARUUN (apakah kalian tidak berfikir?).


"Banyak ujaan seperti itu bertebaran di dalam Al Quran. Kalau banyak kali diulang-ulang bermaksud ianya amat penting. Tetapi sayang, kita tidak terlalu memerhatikan dan mengambil serius." Saya menjelaskan kenapa saya menulis ayat-ayat tersebut.

"Boleh saya ambil kertas ni?"


Saya senyum, "tentu sahaja boleh."


Adik meminta diri dan berterima kasih. Saya memandang sehingga dia menutup pintu sempurna.



(ambil waktu untuk berfikir sempena PRU 13, ermmmm)




Monday, April 08, 2013

Pilihan

Semalam ketika menekan punat kawalan jauh Adik bertanya, "tidak singgah kat saluran 103 ke?" 

Saya mengangkat kening, bertanya kenapa dengan isyarat sahaja malas sangat.

"Saja nak mention je, bukan ke malam ini ABPBH?"

"Oh dah tengok sekejap tadi, macam siaran ulangan."

Adik yang selalu faham sikap saya terhadap majlis anugerah seperti ini tidak terkejut. "Benda yang sama sahaja setiap tahun?"

"Ya, tidak memberikan kita apa-apa dan seolahnya mereka sudah kekeringan idea. Kasihan kita perlu bergelak ketawa dengan parodi dari Johan yang menggayakan lagu Shae."

"Parodi lagu Sayang?"

"Yea. Klip video nyah yang paling glamer di YouTube diparodikan oleh Johan."

Tentu saya gelak. Memang Johan lucu tidak dinafikan. 

Meski begitu saya memilih menonton Master dan Commander siaran TV2, lakonan Russel Crowe yang selalu dikagumi dan mengesankan. Sepanjang masa saya membayangkan getir perjalanan di laut, bagaimana menjadi nakhoda yang baik sekaligus melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai pegawai kerajaan. Konflik persahabatan dan kesetiaan. Saya memikirkan andai satu hari nanti mempunyai kesempatan yang sama. Mengembara dengan menaiki kapal dan mencerna keindahan ciptaan Allah Yang Maha Esa. Kemewahan yang sangat mengujakan.

Hidup itu pilihan barangkali ini adalah satu saranan yang asing. Lebih ramai yang percaya hidup adalah sesuatu yang telah ditakdirkan. Kita lahir ke dunia itu tidak syak bukan pilihan, tetapi setiap tindakan adalah dari pilihan yang kita ada.

Seperti kawalan jauh di tangan, kita punya kuasa memilih rancangan TV yang kita suka, kita juga punya kuasa untuk tidak menonton, juga punya pilihan untuk membuat pekerjaan lain yang lebih berfaedah, seperti membaca buku atau berdiskusi, atau beberapa banyak pilihan lain yang awak sendiri lebih arif mengenainya.

Bagaimana mahu memilih?

Ketika saya menukar saluran ke TV2, saya memilih secara sedar. Keperluan saya ketika itu bukanlah untuk sama bersorak sorai untuk penyanyi pelakon yang popular yang dinobatkan melalui undi akhbar Berita Harian (BH). Berapa ramaikah yang membeli BH? Tentu popular mereka itu bukanlah bersifat menyeluruh, tetapi terpilih melalui pembaca akhbar yang tidak mencapai rating paling tinggi di Malaysia (saya difahamkan akhbar paling laris adalah Metro).

Saya memilih untuk tidak menonton ABPBH kerana apa yang boleh dapat sedikit, hiburan yang berulang sifatnya (tidak bermaksud saya menolak hiburan tau!). Memilih Master and Commander kerana saya tidak pernah menonton lagi filem ini, banyak pelajaran teknikal mengenai pelayaran dan ilmu menundukkan angin, taktikal perang laut, bagaimana sains dapat digunakan untuk memperbaiki ilmu sedia ada, ilmu tentang kelakuan manusia, dan memberi makna kepada persahabatan dalam keadaan getir dan menekan. Seolah-olah membaca Bedar Sukma Bisu dan Sukma Angin sebelum ini mendapat bentuknya yang visual.

Selesai menonton Master and Commander saya masih dapat tahu Bintang Paling Popular ialah Shaheizy Sam. Tanpa perlu menukar saluran pun, saya masih dapat maklum tentangnya.

Hidup di zaman ini buat kita semakin sedar bahawa pilihan ada di hadapan mata kita, terbentang dan tidak dipaksa. Ujian pada waktu ialah memilih yang lebih baik, kerana pilihan itu akan membentuk diri secara perlahan-lahan siapa kita di masa depan.

Saya tidak mencadangkan menonton Master and Commander lebih baik, mungkin ada siri rancangan kuliah untuk pemulihan jiwa disiarkan di TV Al Hijrah pada waktu yang sama (beginilah kekurangan diri yang boleh kita nilaikan).

Menjadi selektif adalah tanggungjawab diri. Ia dibina dan dibentuk dengan apa yang ada dalam diri kita. Dulu mungkin kita tidak akan miss ABPBH, Juara Lagu, AIM, dan segala macam rancangan berbentuk popular kerana kita perlu kelihatan update di kalangan masyarakat. Dulu ilmu terhad, pergaulan terhad, kesedaran belum tiba, keinginan terhadap hiburan lebih menyala dan pelbagai alasan lagi.

Sekarang, sebahagian dari kita sudah melalui proses kematangan diri, tidak bergantung umur muda atau memang sudah mencecah dewasa.

Beruntunglah mereka yang memilih dengan kesedaran yang tinggi, untuk memilih atas pilihan yang lebih baik.

Kita memilih perkara yang dekat dengan kita pada hari ini, begitulah jika mahu menilai kita dimana.

(seperti ada unsur-unsur untuk ke pilihanraya? hahaha, macam ambil kesempatan pula). 





   

Friday, April 05, 2013

Senyum di Penghulu Hari

Ada beberapa lagu yang jika dimainkan hati tiba-tiba jadi kembang dan dalam dada meluncur laju, "sayang kamu." Serentak bibir jadi mahu tersenyum dan dalam kepala sudah terbayang wajah.

Dan sudah tentu akan ada suara-suara di belakang bertanya, "siapa?"

Ia perasaan yang aneh bukan? Kita serentak membayangkan yang indah-indah. Belon berwarna warni, bunga yang kembang mekar dengan haruman yang harum, bunyi kicauan burung merdu dan mendamaikan,  air terjun yang tidak pernah penat dan pelangi yang ada tujuh warna. Dalam dada itu namanya bahagia. 

Setiap orang ada visual bahagianya sendiri. Di atas hanya contoh-contoh, untuk awak apa pula?

Keindahan itu ada di setiap sudut pelusuk bumi dan langit yang terbentang indah, kita hanya perlu mencarinya.

Setiap kecantikkan itu adalah anugerah, untukku yang terindah tetaplah...senyumanmu.

Menunggu hari kubah hijau kembali membalas senyuman.


Wednesday, April 03, 2013

Tentang...(idea tak ada nak tulis tajuk)

Kita bukan terlalu muda.

Sejak bila kerangka pemikiran kita dihadkan dengan usia. Muda dan remaja itu ditanda dengan pengalaman berada di bangku sekolah dan usia yang dilekatkan pada diri, ditanda dengan bilangan lilin atas kek. Begitukah sepatutnya yang kita fikirkan?

Bandingkan ini, Imam Syafie telah memulakan kembara ilmu secara backpackers (meminjam istilah zaman ini) sejak usianya 12 tahun. Usamah bin Zaid adalah jenderal yang dilantik Rasulullah untuk memulakan ekspedisi ketenteraan seawal usia 18 tahun. Sultan Muhammad Al Fateh membuka Constantine pada usia 21 tahun. 

Siapa kita meletakkan usia berada di bangku sekolah dan universiti tidak signifikan untuk melakukan perubahan untuk diri, masyarakat, negara malah sejarah bangsanya.

Di mana silapnya?

Ada rahsia yang telah dijumpai bangsa lain, tetapi kita tertinggal kerana tidak mengetahui rahsia ini lebih dahulu. Meski rahsia telah terbongkar, ia masih lagi belum mampu dibudayakan sehingga menjadi sebahagian dari jati diri peribadi, dan lebih besar dari itu jati diri bangsa untuk mengupayakan potensi ke tahap maksima.

Tentu, bukan lain, memang rahsia dan jawapannya terletak dalam BACA. Kisah kehebatan Imam Syafie, Usamah Zaid, Al Fateh mustahil dijumpai ditempat lain, kecuali dari buku dan diskusi ilmu.

Cuba pertimbangkan dengan gejala realiti sebenar yang sedang menimpa generasi.

Generasi massa merasa dipandaikan jika menjadi pendahulu kepada permainan atas talian seperti DOTA, Winning Elevan, FIFA, GTA, Assassin Creed, Call of Duty, malah Angry Birds dan lain-lain. Kerana masyarakat kecil yang perlukan perhatian mereka itu berkisar di situ. Ditambah dengan keperluan untuk menonton segala macam drama dan mini siri dari Korea, Jepun, Amerika Latin dan yang bersepah di dalam TV satelit lebih dari 50 saluran seperti CSI, The Voice, American Idol, Maharaja Lawak juga drama-drama populis Adam dan Hawa, Ombak Rindu, Nur Kasih segala. Tulisan kecil ini tidak mampu menampung dan menyenaraikan semuanya.

Sebahagian besar yang bergelumang dengan budaya tonton.com seolah-olah tidak boleh dipisahkan dan direnggangkan langsung. Kemudahan aplikasi di telefon bimbit, yang membolehkan menonton dimana-mana lebih memburukkan keadaan.

Sekiranya boleh dibuat visual, meme atau lukisan animasi, generasi massa sekarang duduk dalam kapsul atau belon (bubble) yang sangat besar. Malangnya, kapsul/belon ini walau bersifat imaginari tetapi seolahnya kental tidak dapat dipecahkan. Jika cuba sentuh akan melantun semula tanpa dapat meninggalkan sedikit kesan pun. 

Boleh cuba sedikit ujikaji ringkas, ketika anak kecil menguis-nguis jari di skrin, cuba ambil dengan baik dan lemah lembut. Resistance yang mereka akan tunjukkan kadang-kadang sangat mengejutkan. Mereka merasakan papan (tablet) di atas riba mereka sebagai satu kepunyaan (possesion) yang perlu dilindungi dengan rapi.  

Penciptaan games bukan wujud secara tiba-tiba. Jika bukan permainan console, arked, komputer, tablet sekalipun, manusia tetap akan mencipta permainan. Itu adalah fitrah, sebagai tuntutan untuk rekreasi dan bersosial.

Tetapi falsafah games zaman digital ini lain, terang-terang ia bertujuan untuk pemisahan alam realiti dan memberikan pengalaman sensasi sehingga tahap ketagihan. Tuduhan ini benar berat, dan ada juga kebaikan lain permainan komputer jika dalam kawalan dan dihadkan. Hakikatnya kajian sudah dilakukan dan menunjukkan beberapa kelakuan pelik bolah didapati oleh seorang manusia normal jika menghabiskan sebahagian besar masa mereka dalam dunia digital dan online. 

Zaman sekarang dihadapkan dengan zaman stimulation tahap maksima. 24 jam skrin dan kemasukkan info baru di dalam otak dan minda. Pendedahan ini berlaku baik kepada generasi muda dan juga mereka yang telah dewasa. Soalnya, adakah ianya membawa kebaikan atau kerosakkan (destructive)?

Tanya soalan ini kepada pelbagai peringkat umur, jawapan akan berbeza juga sangat bergantung kepada latar belakang individu, keperluan dan keupayaan mereka mengawal jumlah jam yang dihabiskan untuk melihat skrin (TV, komputer, tablet, handphone, etc).    

Apa yang kita rugi?

Banyak. Terutama dalam mendapatkan ilmu, mengenal potensi diri, mengupayakan kebolehan diri, bergerak dan berkhidmat dalam masyarakat, dan tentu, memahami tentang realiti. 

Adalah satu paradoks jika mengatakan, games tidak semestinya memberi kesan buruk. Semuanya terletak kepada individu bagaimana untuk seimbangkan masa. Hakikat sebenar mereka yang sangat-sangat berjaya meletak buku di hadapan dan adalah diragui sekiranya mereka benar menghabiskan masa untuk games. Kecuali permainan yang membina karektor dan jaringan perniagaan, seperti golf. 

Kita masih lagi belum menyaksi games geek di Malaysia mempunyai penguasaan ilmu tahap Ibnu Sina, atau jika mereka genius sekalipun mungkin dalam bidang computer security (hackers).

Belon imaginari ini sangat jelas, hampir realiti. Jika dicadangkan untuk mengembalikan budaya pembacaan barangkali akan dilabel sebagai terbelakang (outdated). Kerana mereka tidak dapat hubungkan keperluan membaca dengan realiti masyarakat kecil yang berada di sekeliling mereka. Yang berkomunikasi dengan menggunakan bahasa yang ada ditawarkan dalam skrin, games, drama, movie, fashion, dan lain-lain.

Barangkali mereka tidak tahu, ada satu golongan yang segenerasi dengan mereka, tetapi mejadikan buku sebagai kawan tidak hidup dalam belon imaginari. Mereka malah mempunyai pemikiran avant garde, terlibat dalam kerja-kerja komuniti, terlibat dalam pembentukan struktur sosial yang lebih baik dan manusiawi, lebih hebat dari itu, mengelilingi dunia. Jika bercakap dengan mereka, yang berkembang adalah idea dan kematangan.

Adakah perkara-perkara yang dilewati mereka merugikan?

Kapsul atau belon imaginari ini perlu dipecahkan. 'Realiti' yang diwujudkan di bawah naungan belon ini adalah palsu. Tetapi percaya tidak, mereka tidak dapat membeza dan terus menerus memberikan tantangan. 10 tahun lagi atau 20 tahun lagi baharu mereka tersedar, betapa sudah banyak masa dibazirkan.

Baca itu sangat menyeronokkan. Pelbagai kemungkinan boleh berlaku hanya dengan budaya ringkas tetapi memberi impak ini. Satu masa kita malah dijumpakan dengan orang-orang hebat, seterusnya menjadi kawan pula.

Ubahlah, kita memang mampu.

(ditulis setelah bersembang panjang dengan games geek yang telah mengubah hidupnya dengan budaya yang baharu, membaca!)