Thursday, October 31, 2013

Tawar Menawar Dalam Berdoa - 3

Seakan belum habis untuk tulisan kali, kesimpulan yang perlu dibuat.
 
Saya merenung jauh untuk satu-satu keputusan bila kita mengangkat tangan untuk berdoa. Ya berdoa itu adalah satu keputusan yang kita buat sepenuh sedar untuk memohon sesuatu. Dengan kebenaran mutakhir yang saya sedari sejak akhir-akhir ini, bahawa setiap doa itu makbul, maka kita perlu rasa sepenuh tanggungjawab ke atasnya. Bukan setakat memenuhi syarat untuk penanda selesai solat, tetapi perlu difikirkan jauh dari itu. Doa-doa kecil di dalam hati ketika sedang memandu, sedang makan, sedang bersunyi diri, dalam ramai. Doa yang kita bacakan ketika hati kita mahu berdoa, ketika hati sedang rindu mengenang.
 
Kenang apa sahaja, boleh jadi dia yang kita rindu. Kampung halaman, cita-cita dan mimpi indah, keinginan jauh di sudut nubari, mahu berada di luar Negara, apa sahaja yang kita kenangkan. Maka berdoalah dengan sebaik-baik doa, yang mendoakan kesejahteraan orang lain juga, terutama keluarga kita.
 
Boleh jadi doa dipanjangkan umur kerana ingin berbakti kepada ibu bapa dimakbulkan Tuhan, tetapi kita tidak tahu adakah umur kita cukup panjang untuk membolehkan anak-anak pula membuat bakti kepada kita. Kerana hidup ini adalah kitaran, yang akan berlangsung dan berganti sehingga Tuhan menetapkan pengakhirannya untuk kita, yang sementara atau pun kekal abadi.
 
Saya mendapat pelajaran dengan cara yang sukar dan berat ditanggung di bahu. Tetapi inshaAllah cukup untuk membuatkan saya dapat mengingat dengan cukup lama.
 
Saya rasa bersyukur kerana akhir-akhir ini ramai rakan yang mahu menunjukkan saya cara berdoa dengan betul. Harap saya dapat memahamkan nota doa itu dengan segera, dan akhir nanti dapat mempraktikkannya. Moga Tuhan izinkan.
 
Dan jangan lupa untuk mengenangkan Baginda Rasulullah dan keluarga yang telah banyak berkorban untuk dunia kita, apatah lagi untuk keselamatan akhirat kita.
 
Ilahi Amin.

Aki, Aku dan Ako : #5 Doa Lepas Tensi

Aku selalu melihat Ako dalam keadaan tensi dan stress. Mungkin dalam diet makan dia tak cukup sayur-sayuran yang organik. Ada kaitan ke? Satu hari aku tanya Ako,

"Kenapa setiap kali kau balik kerja, muka kau selalu letih dan stress eh?"

"Kau mana tahu tekanan kerja. Kerja tahan lagi la, tapi kalau nak layan orang...memang cukup menahan sabar."Ako menerangkan sambil menanggalkan stokin hitam yang berlogo B.

"Setiap kali lepas kau jumpa orang yang kau nak lempang kat pejabat, kau doa apa?"

"Eh apa ada kena mengena?"

Aku nampak muka Ako nak jadi merah. Nak tambah tensi lagi lah tu.

"Jawab je lah."

"Benda simple pun nak tanya. Aku doalah, Ya Allah berikanlah aku kesabaran."

"Aku nak cadangkan doa yang lain boleh?"

"Macam Ustaz la kau sekarang ni Aki kan."

"Nak pakai pakai, tak nak pakai sudah. Aku sampaikan pesan Atok aku je."

"Yelah." Ako mencampakkan stokin yang dah digumpal macam bola ke hujung sudut dinding. Pagi esok mesti dia mengamuk dan panik cari stokin tak jumpa. Aku harap semua stokin Ako ada alarm, ada lampu LED atau pun ada fungsi macam telefon. Boleh call nak cari kat mana.

"Woi Aki, berangan!"

"Uiks. Cuba kau doa macam ni, Ya Allah permudahkanlah urusanku, Kau peliharalah lisanku dan Kau jauhkanlah aku dari kemarahan. InshaAllah, kau akan lebih tenang."

"Macam tak de kaitan je." Ako tak puas hati.

"Sebab kau selalu berdoa, Allah berilah aku kesabaran, itu yang semua yang datang kat kau tu untuk menguji kesabaran. Memang patutlah kau jumpa orang yang akan buat kau tensi dan stress, sebab kau nak diri kau kental dengan sifat sabar. Tapi kalau kau doa macam yang Atok aku pesan, inshaAllah, orang yang buat kau marah tu tak datang dah."

Ako mengelamun, dahi kerut-kerut. Macam mencerna dengan baik.

"Aki, kau tulis kat whatsapp eh, aku tak ingat. Aku nak pergi mandi."

Amboi! Aku gi kumpul semua stokin Ako yang bergumpal kat banyak ceruk rumah. Aku masukkan dalam almari DVD. Biar dia tak jumpa terus semua stokin. Baru aku puas hati. Aku pula yang rasa tensi ni.


Wednesday, October 30, 2013

Tawar Menawar Dalam Berdoa - 2

Saya akan ceritakan kisah saya, ilmu yang diperlengkapkan selepas lebih 20 tahun. Ketika saya benar-benar boleh mengerti dan faham, kemudian saya kongsikan.
 
Selepas balik melawat rakan, saya berfikir panjang. Ucapan doa seperti itu, pernah tidak saya ucakan. Saya mohon sesuatu untuk diri sendiri dengan bersandar kepada sesuatu.

Ada satu ketakutan yang sangat besar ketika saya di usia remaja. Ayah sudah pun mencapai umur pencen. Ketika itu saya sangat takut kehilangan Ayah. Lagi pula sebagai remaja kita sangat stress bila terpaksa menghadapi ujian besar selang tahun.
 
UPR, PMR, SPM dan sebagainya. Saya pula belajar di asrama menjadikan sepanjang usia pembelajaran saya sangat jauh dari Mak Ayah. Tidak dinafikan saya menyayangi Ayah setulusnya, walau Ayah bukan jenis bercakap, tetapi perhatian Ayah terhadap pelajaran anak-anak tidak pernah kurang.
 
Menyedari realiti ini, saya mula berdoa. Saya berdoa, seingat saya ketika saya ingat untuk berdoa, supaya Allah memanjangkan usia Ayah sehingga saya selesai menghadapi peperiksaan paling besar, iaitu SPM.
 
Pada ketika itu saya merasakan tidak sanggup untuk menghadapi peperiksaan besar tanpa Ayah, tanpa doa dari Ayah. Allah memakbulkan doa saya. Ayah masih kuat ketika saya selesai peperiksaan. Dan itu menyebabkan saya menjadi leka dengan kurnia Allah.
 
Melihat Ayah yang jarang sekali sakit, atau sakit pening Ayah selalu simpan sendiri. Saya juga menjadi semakin alpa dalam berdoa. Saya berdoa pasti, tapi sudah tentu khusyuk dan kekuatan berdoa itu sendiri boleh dipersoalkan.
 
Saya tidak sangka, setiap doa kita itu makbul. Tapi boleh jadi makbulnya mengikut masa yang ditentukan Allah. Atau bahasa klasiknya, doa yang tertangguh.
 
Akhirnya kelekaan berdoa itu ada harganya. Ayahanda yang dicintai pergi juga ketika saya sedang terseksa menyelesaikan thesis sarjana. Ujian peperiksaan yang lebih besar dari segala ujian peperiksaan yang pernah saya hadapi.
 
Kesedaran ini hanya saya sedari minggu lepas. Bila melibatkan diri dengan proses muhasabah dan berfikir yang panjang. Pelajaran yang mengambil masa berpuluh tahun.
 
Ilham yang saya terima sewaktu membantu rakan memasak di dapur. Saya kira saya diuji dengan maksima dengan doa yang diucapkan dan bagaimana makbul dan realiti yang Allah sendiri hadapkan di sepanjang usia dewasa saya.
 
Saya ingat ia terhenti di situ. Saya katakan pada kawan, "dalam kita dok berdoa dalam ketakutan kita yang paling kita takuti, kita tidak pernah menyangka Allah boleh sahaja menakdirkan dalam waktu kita paling sengsara." Dalam kes saya, menghabiskan thesis adalah tahap kesengsaraan yang sangat tinggi (waktu itu).
 
Kawan menasihat, "mungkin ia ada kena mengena dengan doa."
 
Ia tidak berakhir di situ. Selang beberapa lama lepas membincangkan itu, Allah memberikan ilham lain. Saya kembali mengigati hari kembali Ayah ke rahmatullah. Dan mengenangkan peristiwa-peristiwa yang berlaku seputar keluarga saya, adik-adik beradik. Melalui apa yang saya lihat dengan mata, dan apa yang mereka ceritakan kepada saya selepas peristiwa besar itu.
 
Hanya minggu lepas, Allah membuat saya ingat, bahawa hari pemergian Ayah berlaku pada tahun yang sama Adik saya akan mengambil peperiksaan SPMnya. Seingat saya, hanya selang beberapa bulan sebelum Adik perlu menghadapi peperiksaan besar itu.
 
Saya menjerit "Allah" dalam hati. Saya tidak pernah menyangka doa yang saya lantunkan ketika muda remaja dahulu sangat bersifat mementingkan diri sendiri. Saya terlepas dari ketakutan sendiri bila Allah masih tetap memanjangkan usia Ayah, tanpa saya pernah terfikir sedikit pun, Adik pula yang perlu menghadapinya. Ketakutan saya, tetapi Adik yang menghadapinya.
 
Sehingga sekarang saya masih memikirkan. Pelajaran doa lain yang saya mampu faham selepas beberapa tahun. Hakikatnya makan puluh tahun.
 
Hari ini saya perlu sedar bahawa setiap doa itu makbul. Bahawa doa itu tidak boleh bersifat mementingkan diri sendiri tanpa memikirkan orang lain yang akan terlibat secara langsung dan tidak langsung. Untuk itu, hari ini saya berazam untuk belajar mengucapkan doa yang paling baik, yang terpandu dengan nilai kehambaan dan khidmat kepada kemanusiaan.
 
Pelajaran yang saya perolehi mahal, sekurang-kurangnya itu yang saya rasakan untuk diri sendiri.
 
Saya terfikir doa-doa tawar-menawar yang pernah kita lakukan. Mungkin belum terlambat untuk kita menuturkan doa yang baik, yang tidak mementingkan diri sendiri, dan menjadi keselamatan untuk semua orang. Mungkin belum terlewat untuk semua itu.
 
Semoga Allah mengampuni saya, mengampuni kita semua. Allah tetap akan mengambil kembali apa yang menjadi punyaNya, sehingga tiba waktu. Termasuk nyawa kita yang dipinjamkan dengan kadar waktu. Semoga kita pulang dalam keadaan baik dan diampunkan.
 
 
 
 

Tuesday, October 29, 2013

Tawar Menawar Dalam Berdoa - 1

Awak,

Saya tidak pernah tahu kadang-kadang pelajaran itu memakan banyak tahun sebelum sempurna. Dan Tuhan membiarkan kita melalui banyak benda dalam keadaan sedar ataupun tidak, sehingga ilmu itu benar-benar dapat kita fahami dan manfaat.

Minggu ini saya telah melengkapkan ilmu tentang "Tawar Menawar Dalam Berdoa" dan itu mengambil masa lebih dari 20 tahun. Macam terlalu berlebih-lebih, tetapi itulah yang telah saya lalui. Pelajarannya hanya lengkap selepas saya berbincang dengan kawan seHaji.

Kami (saya dan kawan) mempunyai ramai kawan yang sama. Kami jadi pemerhati untuk menjadikan apa sahaja dalam kehidupan ini sebagai ilmu, sebagai check and balance.

Ada satu pattern dalam hidup kita dalam aspek doa. Terutama doa apabila kita berada dalam kesempitan atau sedang terkepit oleh sesuatu yang membahayakan diri atau keluarga. Contoh, apabila kita berada dalam situasi bahaya seperti akan kemalangan, kita akan berdoa, "Ya Allah selamatkanlah aku, aku belum sempat berbakti kepada ibu bapa, jika kau sihatkan aku, aku akan sunguh-sungguh berbakti pada mereka" atau kita ditimpa sakit yang teruk, kita akan berdoa "Ya Allah sihatkanlah diriku supaya aku boleh beribadat." Contoh-contoh seperti ini sudah ditulis dalam Al Quran. Seperti diladai badai di lautan atau sedang lemas, inilah bentuk ucapan doa kita ketika nyawa berada di tenggorokkan.

Dengan maksud, bila kita dihadapkan dengan kesulitan paling getir, kita selalu akan berjanji kepada Tuhan untuk menjadi lebih baik sekiranya Tuhan mengeluarkan kita dari kesusahan. Kita bersandar kepada sesuatu untuk lepas dari sesuatu.

Atau saya perlu terangkan lebih lagi, awak?

Contoh, kalau kena strok atau serangan jantung, doa yang dipanjatkan adalah seperti berikut,

"Ya Allah selamatkanlah aku, aku belum sempat berbakti kepada ibu bapa, jika kau sihatkan aku, aku akan sunguh-sungguh berbakti pada mereka."

Kemudian Allah sihatkan kita. Dalam tempoh itu boleh jadi kita berbakti sungguh-sungguh pada mulanya, tetapi kemudian bila sudah bertahun-tahun kita jadi lupa. Jadi sambil lewa pula untuk memerhatikan ibu dan ayah.

Lepas beberapa tahun,  ibu dan ayah pun meninggal. Masa itu kita teringat doa lama dan kita mula berpeluh-peluh sebab kontrak kita sudah berakhir. Ditakdirkan Tuhan kena serangan jantung sekali lagi. Mula buat perjanjian baru. Kita bermonolog dengan Tuhan, "walaupun mak ayah aku sudah tiada, aku masih ada ibu mertua, bapa mertua. Maka Kau panjangkanlah umurku, supaya aku boleh terus berbakti."

Dan Allah sihatkan kita juga. Selang tahun, benda yang sama juga berlaku. Lupa, dan berbakti dengan hati yang separuh. Kalau akhirnya yang mertua juga akan pergi, kita akan panik semula dan mula memikirkan kontrak yang baru.
 
Kita pun mencipta dialog doa yang baru, "Ya Allah, meski semua ibu bapa ku telah pergi, tetapi doa anak yang soleh juga akan jadi penyambung dan bukti bakti setia dan ketaatan serta perlakuan kebajikan untuk mereka, maka Kau panjangkanlah umurku."
 
Begitulah kita sebagai manusia yang senang sekali membuat tawar menawar dalam berdoa. Saya tidak katakan ianya asing, saya sebagai manusia yang biasa pun pernah berbuat benda yang sama. Tetapi bentuk pengajaran yang saya terima begitu berat untuk ditanggung di pundak, dan tidak pernah menyangka saya melibatkan orang yang lain dalam doa tawar menawar saya sendiri.
 
Tinggal lagi, saya akan bertanya awak, apa yang kita lakukan ini baik atau sebaliknya?
 

Monday, October 28, 2013

Aki, Aku dan Ako : #4 Lipat Kain

Bila aku ajak Aki duduk sekali kat rumah sewa, macam bagus juga. Aku ingat, sikit-sikit pun dapat juga tolong dia masa belajar ni. Ada juga kawan. Tak sangka Aki ni jenis boleh diharap.

"Apsal kau lipat kain baju aku?" Aku tanya Aki yang sedang duduk depan longgok kain yang baru diangkat dari ampaian. Baju aku pun ada baju Aki pun ada.

"Sebab kau pemalas. Kenapa kau tak suka ke?"

"Takdelah tak suka, cuma pelik mana ada lelaki suka lipat baju."

"Adalah, kau je tak pernah jumpa. Aku suka lipat terutamanya ssss..." Aki terbersin kuat.

Muka aku jadi merah. Takkanlah si Aki ni suka lipat spender. Aku malu sebenarnya sebab banyak seluar kecil aku berlubang-lubang.

"Excuse me. Aku suka lipat sarung, kain sarung." Aki pandang aku dengan muka selamba.

Lega sikit hati. Tapi tangan aku dah mencari-cari seluar dalam dalam longgokan yang menimbun itu untuk aku campak atas katil nanti. Tak kuasa nak suruh orang lipat.

"Masa arwah Ayah aku baru pencen, aku kecil lagi. Masa dia duduk rumah, petang-petang Ayah yang lipat kain. Bila dia lipat kain sarung kemas je, macam diseterika."

"Arwah Ayah kau rajin eh?"

"Aah, banyak benda lain Ayah aku buat. Termasuk basuh kain lampin masa aku dapat adik dulu. Sidai kain, memasak, panaskan tungku. Jaga mak aku dalam pantang." Sambil sembang dan tengok TV, tangan dia laju melipat dan mengasingkan.

Aki senyum. Aku rasa dia memang betul-betul suka lipat kain.

"Ako, kat kampung kau tak lipat kain eh?"

"Aku ada bibik." Tak kuasa melayan Aki, aku masuk bilik bersama pakaian dalaman yang aku rasa aku patut uruskan sendiri. Aku campak atas katil. Aku duduk atas katil dan mula melipat.

Sunday, October 13, 2013

Tentang Pelajaran Masa Depan - 2

Bila dapat peluang belajar karangan darjah 5 saya tambah tercengang. Karangan mereka merupakan satu bentuk problem solving. Tajuk untuk disiapkan pada hari itu ialah Maid Abuse. Ini karangan darjah 5. Saya jadi jauh terfikir, di usia 11 tahun, bagaimana mereka boleh menggumpulkan poin-poin penting sekiranya mereka tidak banyak membaca? Dan bagaimana guru boleh membantu mereka tanpa perlu menyuap dengan banyak sehingga mereka tidak mampu menjana idea sendiri? Kemudian, sekiranya kita boleh bantu pelajar dibanyak tempat sekalipun, adakah pelajar ini mampu menulis karangan yang baik kerana penulisan adalah aktiviti intelektual tingkat tinggi. Yang mempunyai kemahiran berbahasa dan pemikiran yang kreatif dan kritis sahaja mampu menghasilkan tulisan yang benar-benar baik.
Kami tidak sempat menilai hasil pembelajaran pada hari tersebut. Tetapi sempat juga Sha upload contoh karangan yang berjaya disiapkan oleh salah seorang anak murid, dan ya tentu, saya tercengang entah untuk kali keberapa.
Saya sempat kongsi pengalaman ini bersama rakan di Shah Alam. Kesimpulan saya mudah, anak-anak Singapura ini jika diletakkan di Malaysia, kita akan merasakan mereka ini genius. Hakikatnya, di Singapura, itu adalah pencapaian purata kebanyakkan pelajar. Sistem yang mereka lalui yang menyebabkan mereka punya kemahiran logic, menyelesaikan masalah, berkreativiti dan berekspresi. Satu aspek lain yang saya tidak lihat di Malaysia, anak-anak sekolah yang berani menyatakan pendapat dan berkongsi jawapan walaupun tidak semua jawapan mereka tepat.
Saya tidak sepatutnya terlalu memuji, tetapi itulah realiti. Tidak menghairankan universiti Singapura berada di ranking 10 terbaik dunia. Sebab mereka yang kecil sudah didedahkan dengan kemahiran tahap tinggi, sedang kita di Malaysia baru mahu memperkenalkannya di peringkat universiti.

Usia belajar di universiti sangat singkat, dalam 3-4 tahun. Sedang adik-adik di Singapura didedahkan dengan kemahiran tingkat tinggi, dari darjah 1 sehingga tingkatan 5. 11 tahun mereka dilatih untuk mempunyai kemahiran tinggi. 11 tahun didedahkan dengan proses pembelajaran yang konsisten menyebabkan diakhir pembelajaran, anak-anak muda Singapura akan mempunyai tabiat yang tertanam dalam jiwa mereka. Apa yang saya jangkakan, di masa hadapan, mereka adalah manusia yang terbina keupayaan untuk survival dalam kehidupan, tidak kira di mana pun. Memandangkan keupayaan untuk survival di Singapura sangat tinggi, mereka boleh praktis kemahiran ini juga di mana-mana meski belum tamat sekolah.
Tapi meletakkan Singapura sebagai penanda aras akan menyebabkan kita rasa lebih tercungap untuk menyaingi. Menyebabkan pendidikan masa depan yang saya harapkan akan terbantut juga dari segi pelaksanaannya.
Apa yang saya mahukan dalam pendidikan masa depan?
Iaitu kemahuan setiap dari individu untuk belajar, dan setiap individu mempunyai pemikiran bahawa jika mahukan sesuatu kita perlu berusaha dengan cara yang baik dan jujur. Pendidikan masa depan itu adalah pencarian ilmu untuk mencari kebenaran dan kebahagian, bukan lagi mengejar material, status dan pengaruh.
Adakah perkara ini boleh berlaku?
Tidak mustahil. Yang paling penting ialah kita menyiapkan adik-adik dibangku sekolah dengan kemahiran membaca, mengira dan menulis. Asas ini perlu cukup kuat dan mantap, supaya kemahiran inilah yang menjadi alat untuk mereka belajar sendiri nanti melalui pembacaan, kembara, wacana, dan berkomunikasi. Akhirnya akan merangsang daya fikir dan imaginasi mereka.  
Dunia sekarang untuk mendapat ilmu bukan terhad dalam pagar universiti. Sudah ada universiti terbuka dengan sijil terbuka yang boleh kita ikuti kelas dan pengajian secara online. Yang panting kemahiran asas itu perlu kukuh, baru kita boleh melangkah lebih jauh. 

Saturday, October 12, 2013

Tentang Pelajaran Masa Depan - 1

Saya meneruskan kembara yang ekstrim minggu lepas dengan jadual padat seperti berikut:
·         Singapura 19-21 September
·         Shah Alam 22 – 27 September
·         Annexe Central Market 28 – 29 September
Seolah berada dalam kapsul sekolah masa depan, ketiga-tiga perjalanan luar kawasan itu adalah kembara ilmu dan tentang manusia sejagat. Berada di Singapura kali ini adalah perjalanan termahal, bukan kerana kos perjalanan, tetapi kutipan ilmu yang dapat kami buat disamping bergembira bersama rakan-rakan. Malah saya kira belanja berbag pack ini memang murah, tinggal lagi tuntutan tenaga yang tinggi kerana kita perlu menggunakan kaki di mana-mana kami berjalan.

Tinggal dulu mengenai kembara, saya mahu bercerita mengenai pendidikan masa hadapan. Entri ini saya tulis untuk kenalan saya walau di mana sekalipun, satu rakaman cambahan dan cetusan idea ketika berkelana. Catatan untuk kita yang merasa cukup dengan apa yang ada dan menunggu masa depan apa yang telah ditentukan untuk kita.
Kata kawan, kenapa masa depan itu dirahsiakan? Ada besar hikmahnya. Kerana kita tidak tahu banyak tentang masa depan, maka kita boleh merancang, berusaha dan memberikan yang terbaik. Untuk itu ia perlu bermula pada hari ini, atau setepatnya masa sekarang. Untuk dipemdekkan, masa depan itu sebenarnya adalah hari ini.

Ada ramai pelajar yang sedang berada di IPT merasakan untuk berkembara ke luar Negara itu mahal. Tetapi yang menemani saya kali ink ada 2-3 orang yang masih bergelar pelajar. Keupayaan mereka berjimat dengan duit pinjaman dan elaun yang membolehkan mereka berjalan keluar Negara walau masih belajar. Juga ada yang berkerja separuh masa untuk menabung dan kemudiannya menggunakan untuk tujuan melihat tempat lain. Saya merasakan duit mereka tidak berkurangan sedikit pun kerana ilmu dan pengalaman yang diperoleh lebih mahal dari nilaian wang ringgit.

Hebatnya kami merancang untuk ke Perancis tahun hadapan, tidak lama lagi akan masuk tahun hadapan. Jadi kami mesti mula menabung sekarang, mencari tarikh-tarikh yang sesuai, menunggu bila tiket tambang murah akan ditawarkan dan juga persediaan-persediaan lain. Doakan makbul harapan dan untuk saya, harapnya boleh menjelajah Eropah dan menjejak kaki ke Turki. Ini yang dimaksudkan masa hadapan itu bermula dari hari ini.

**********intermission************

Pendidikan masa hadapan yang saya maksudkan adalah seperti ini. Semua dewasa dan anak muda yang masih dibangku belajar mencari ilmu dengan kembara dan wacana. Kembara memberikan kesegaran kepada segala-galanya, kerana kita mencuba sesuatu yang baru, bernafas di muka bumi yang tidak biasa kita tinggal, wajah-wajah berbeza, bahasa dan budaya yang berlainan, dan seribu macam lagi tawaran langsung untuk mengaktifkan segenap indera. Mata, telinga, pendengaran, sentuhan, rasa dan sebagainya.

Baik, saya beri sedikit apa yang berlaku di Singapura.

Kami belajar bagaimana seorang guru freelance di sekolah menjalankan pusat tuisyen. Kami mendapat pengalaman melihat guru rakan kami itu beraksi untuk kelas composition dan juga rakannya untuk kelas matematik. Dari jam 11 sehingga jam 1.00 pm, satu pengalaman ilmu yang sangat bernilai permata. Guru itu kami panggil Sha, juga sehari sebelum kelas menemani kami makan tengahari dan berjalan-jalan di Singapura sehingga membeli buku di kedai buku Popular. Kami juga berjalan di celah orang ramai di Singapura, di celah kesibukkan pertandingan Formula 1 yang bertembung pada waktu yang sama, berjalanan di celah bangunan. Apa yang ketara kami hadapi ialah escalator mereka di tempat pengangkutan awam lebih laju dari apa yang biasa kita jumpa di Malaysia. Menyebabkan kami hamper tersilap langkah beberapa kali. Juga pintu MRT yang ditutup lebih pantas ketika penumoang mahu keluar dari gerabak.

Baik, boleh sahaja senaraikan tempat-tempat yang dilawati dengan kaki kami, tetapi saya kira ramai sudah mencatat kembara perjalanan seperti itu. Saya akan kongsikan jika berbaki tenaga, kesempatan dan waktu menulis. Untuk masa ini, saya mahu sentuh tentang pendidikan masa hadapan, harapan dan keinginan saya.

Merasai sendiri kelas tuisyen di Singapura, kemudian berkesempatan menilai buku-buku kerja dan latihan murid darjah 5 dan darjah 1, saya berpendapat kita tertinggal jauh 10 tahun kebelakang. Untuk kita berlari mengejar memerlukan usaha yang bukan sedikit, bermula dengan keseriusan pembuat polisi dan pelaksanaannya.

Pemerhatian saya kepada buku latihan darjah 1 subjek matematik menunjukkan, seawal darjah 1 lagi mereka diajar mengenai logic. Logik dengan maksud bukan sebagai satu topic, tetapi yang menyulam dalam topic yang dibincangkan. Contoh, mengenai nombor bulat. Bukan diterangkan mengenai nombor bulat secara langsung, tetapi dengan menggalakkan pelajar melihat nombor bulat sebagai susunan mengikut logik dengan memberikan contoh-contoh situasi. Untuk membolehkan mereka menjawab, adik-adik ini perlu menguasai operasi tambah. Ini latihan untuk darjah 1.

Di muka surat pertama lagi lagi saya sudah tercengang.

Thursday, October 03, 2013

Wanita dan Perjuangan dari Perspektif Fatimah oleh Ali Shariati - 2


Itu sebenarnya persepsi dunia yang kita warisi.

Sebab itu tidak hairan jika ada kes rogol, masyarakat akan beri justifikasi, siapa suruh perempuan tu pakai seksi. Hakikat di tanah Arab yang perempuan berkelubung dalam kelambu pun mencatat rekod kes rogol yang tinggi. Salah siapa lagi? Tetap masyarakat akan salahkan perempuan, kata mereka, siapa suruh wanita keluar rumah.

Baik, kita berhenti dulu bicara soal sentimen.

Soalan seterusnya, ke mana revolusi yang dibawa oleh seorang Fatimah?

Di sinilah peranan besar Fatimah, iaitu untuk merungkai segala tradisi yang berakar umbi dalam masyarakat Arab tentang wanita.

Baik (berapa banyak baik daaa), saya perlu bercerita tentang Fatimah. Dia sebagai anak bongsu dan perempuan Nabi dan Siti Khadijah.

Ada satu lagi sudut historis yang dikupas oleh Ali Shariati yang saya kira menarik. Iaitu dari aspek politik tanah Arab. Sebelum Islam lagi, keluarga Nabi dipandang penuh minat oleh bangsa Quraisy. Ini adalah kerana hak custody (menjaga) Kaabah dan urusan Haji dijaga oleh Bani Hasyim. Ada puak yang sedang menunggu untuk mendapat hak penjagaan seterusnya, sekiranya Bani Hasyim tidak ada waris lelaki.

Di pihak bani Hasyim, dari keturunan Abdul Mutalib, ada anak-anak beliau iaitu:

·         Hamzah – seorang yang bertubuh atletik dan material perang
·         Abu Jahal – yang kurang dipercayai masyarakat
·         Abbas – kurang berkarakter
·         Muhammad – seorang Al Amin

Dalam senarai warisan Bani Hasyim, seluruh harapan bergantung kepada pasangan muda Nabi Muhammad dan Siti Khadijah. Setiap kali Siti Khadijah mengandung, akan ditunggu oleh penuh minat. Berikut adalah kelahiran yang lahir dari pasangan ini: Zaynab, Ummi Kalthum, Ruqayyah, Abdullah dan Qasim.

Tetapi dua anak lelaki Nabi ini meninggal ketika bayi. Siti Khadijah juga sudah meningkat umur. Kemudian mengandung lagi, dan lahirlah Fatimah.

Ketika lahir Fatimah, puak-puak Arab mula mengejek Nabi sebagai abtar (ditulis dalam surah Al Kautsar). Bermaksud buntung pewaris (terpotong pewaris). Kerana yang lahir itu seorang perempuan, seorang Fatimah.

Kenapa begitu?

Dalam mana-mana masyarakat sekalipun, keturunan garis warisan itu tidak bersambung dari anak perempuan. Semuanya dari waris anak lelaki. Malah tradisi Nabi-Nabi terdahulu juga begitu. Yang mewariskan keturunan mereka adalah dari anak mereka yang lelaki, bukan perempuan.

Fatimah lahir memikul amanah untuk menukar tradisi yang berakar umbi sekian lama. Legasi Nabi, diwariskan melalui anak Nabi yang perempuan bernama Fatimah. Fatimah berkahwin dengan Ali bin Abdul Talib, dari mereka lahir anak-anak yang menyambung keturunan Nabi.

Saya lontarkan juga soalan kepada audien, bahawa waris Nabi bertebaran di seluruh pelusuk bumi dan dunia. Mereka yang mengejek Nabi sebagai abtar, mereka-mereka itulah yang terpotong waris kerana walaupun mereka banyak anak lelaki di zaman Nabi, tetapi keturunan mereka tidak ramai di zaman sekarang ini. Jadi, siapakah yang abtar sebenarnya?

Itu satu contoh peranan yang dibawa oleh Fatimah, sebagai penyambung warisan keturunan Nabi, sebagai penukar tradisi yang warisan itu hanya layak melalui anak lelaki.

Kenapa perlu berlaku peristiwa ini?

Kerana dalam banyak perkara, Nabi membawa ajaran dan kehendak agama, bukan dalam bentuk wahyu semata, malah contoh fizikal. Contoh fizikal ini lebih kuat suara dan saranannya, kerana ia adalah sunnah yang ditunjukkan dari peribadi makhluk yang sangat mulia semesta alam, iaitu Nabi Muhammad (selawat dan salam atas junjungan.)

Dalam kuliah 1 jam itu juga saya terangkan dengan tradisi yang lebih indah yang ditunjukkan Nabi. Ditulis dalam hadis cara Nabi melayan Fatimah:

·    Rumah Fatimah adalah bersebelahan dengan rumah Nabi. Setiap pagi Nabi akan pergi ke rumah Fatimah dan mengucapkan salam kepada Fatimah.
·    Sekiranya Nabi berpergian ke luar, perang atau urusan lain, Fatimah adalah orang terakhir yang Nabi jumpa, dan bila pulang Fatimah adalah orang pertama yang Nabi cari.
·       Nabi juga dilihat selalu mencium wajah Fatimah dan mencium tangan Fatimah.

Satu soalan, kenapa Nabi buat semua ini? Adakah kerana Fatimah anak kesayangan?

Saya melihatnya adalah sunnah yang mahu diwariskan Nabi. Tentang perempuan, tentang anak perempuan, tentang kasih sayang dan penghormatan itu perlu diberi seikhlas jiwa dari seorang lelaki kepada seorang anak perempuan. Seterusnya perempuan itu sendiri perlu dilihat sepenuh hormat, harta yang perlu dilindungi, sebagai seorang manusia yang punya ruh dan karakter, seorang hamba Tuhan yang tetap mampu berperanan dalam tugas agama dan melestari ajaran agama. Itulah Saidatina Fatimah, signifikan kedudukan Saidatina di dalam masyarakat sewaktu kedatangan Islam.

Masih ingat lagi tradisi orang Arab yang menanam anak perempuan mereka? Masih ingat lagi wajah bapa yang hitam kerana isterinya melahirkan anak perempuan? Ingat lagi segala penghinaan terhadap wanita, dan Nabi menunjukkan bagaimana semua persepsi jahiliyyah ini boleh diubah melalui Fatimah.

Seorang bapa mencium wajah anak perempuan adalah revolusi. Seorang bapa menundukkan kepalanya untuk mencium tangan anak perempuan adalah tindakan revolusi. Dan untuk saya seorang perempuan, ia adalah gerak tindakan yang mempamerkan kehormatan dan kasih sayang sekaligus. Perempuan tempat selayaknya untuk dia adalah untuk disayangi dan dilindungi.

Ada banyak lagi tentang Fatimah, yang ditulis ini hanyalah sedikit percikan dari sekian banyak isi dari makalah nipis Ali Shariati.

Audien bertanya, karya ini kesimpulannya untuk apa?

Saya ceritakan sedikit lagi, kesimpulan yang saya tidak boleh bawakan dengan hanya beberapa perenggan. Saya perlu ceritakan secara panjang lebar.

Buku ini bermula dengan pertanyaan, siapa aku? Pertanyaan yang perlu ditanya oleh semua wanita.

Wanita-wanita sezaman dengan bonda saya tidak mempunyai konflik identiti dan penerimaan tradisi. Bonda saya menerima dirinya dengan peranan domestic di dalam rumah yang menjaga dengan baik semua keperluan rumahtangga.

Saya pula bagaimana? Saya dibesarkan di rumah tradisi, saya mewariskan peranan perempuan yang ditunjuk contoh oleh bonda saya, tetapi kemudian saya dihantar belajar dan merantau. Di tempat belajar saya menerima tradisi-tradisi moden baru seperti keilmuan, keperluan untuk berkomunikasi dengan berlainan gender tetapi tidak punya talian kekeluargaan, saya digesa untuk mentadbir urus beberapa perkara dan banyak lagi. Saya juga masih lagi perlu menyelesaikan tugasan domestic di rumah sebagai seorang perempuan.

Buku ini menggesa semua orang, tidak tertakluk gender untuk bertanya siapa aku?

Saya juga bertanya.

Soalnya, dalam masyarakat yang berbilang ini, adakah masyarakat mahu menerima definisi siapa aku yang saya sendiri tentukan? Yang takzim mewarisi tradisi dan juga kehadapan menerima realiti yang berlangsung ketika ini.

Bolehkah masyarakat menerima seorang aku yang mereka sendiri definisikan?

Wednesday, October 02, 2013

Wanita dan Perjuangan dari Perspektif Fatimah oleh Ali Shariati - 1


Ada kawan minta sambung cerita Aki, Aku dan Ako. Untuk kali ini saya kena beri laluan untuk perkongsian yang berlaku Sabtu lalu. Warning, artikel ini akan ditulis agak panjang, dan melibatkan isu perempuan (bagi mereka yang masih belum percaya, ya, saya adalah seorang perempuan.)

Saya diberi kesempatan sekali lagi untuk mengupas buku di dalam program Arts for Grab di booth TFTN. Tajuk itu yang diberi kepada saya. Walau sudah beberapa kali baca, saya masih lagi belum tahu dari sudut mana mahu dibaca dan dikupaskan.

Buku Fatimah dari Ali Shariati nipis, tetapi padat. Menyebabkan saya begitu gementar mahu mempersembahkan apa. Tidak seperti buku yang membicarakan tokoh yang lain, buku ini membicarakan dari sudut sosiolog dan humanis seorang Fatimah, dan bagaimana kedudukan Saidatina signifikan dalam perjuangan Rasulullah, malah dalam perjuangan Islam itu sendiri.

Ini adalah karya yang bahaya saya kira, kerana berkemungkinan saya akan masuk di daerah feminis, satu daerah yang asing yang saya tak pernah kaji. Dengan bismillah dan selawat, saya menerima tugasan ini dengan amanah.

(tulisan ini akan ada sedikit sebanyak penambahan dari versi kuliah)

Fatimah untuk Peranan Merevolusi Masyarakat

1.      Saya bermula dengan memberi gambaran kepada hadirin yang hadir Sabtu lalu, saya kira ada dalam 30 orang dipentas kecil di AFG, bahawa Fatimah adalah nama besar dalam Islam. Tetapi Saidatina sendiri tidak dikenali. Begitu ironi tetapi itulah yang berlegar dalam persepsi minda saya selama ini. Saya mengenali Fatimah sebagai penghulu wanita syurga, yang saya terima tanpa ragu dan soal. Tetapi buku Ali Shariati ini menggesa saya menyoal, bagaimana Fatimah boleh menerima kedudukan tertinggi itu. Adakah kerana Saidatina anak kepada Nabi Muhammad, maka selayaknya Saidatina menerima kedudukan itu? Apakah peranan dan sumbangan Saidatina sehinggakan Saidatina yang meninggal dunia muda dapat mendapat kedudukan tertinggi? Bagaimana usia muda boleh meninggalkan jasa yang begitu banyak? Soalan-soalan itu benar berlegar dalam kepala saya sehingga saya selesai membaca buku ini.

2.      Saya hanya mengenali Fatimah melalui sumbangan-sumbangan yang bersifat domestic. Tentang ketaatan terhadap suami, perlayanan kepada anak-anak, kesanggupan Fatimah untuk hidup susah dan sebagainya, tetapi saya gagal menjumpai peranan yang lain sehinggalah saya membaca karya Ali Shariati.

3.      Fatimah adalah takdir Allah (jika saya boleh rumuskan dalam ayat sendiri) untuk memberi contoh tauladan kepada suatu bentuk keadaan yang kita kira susah untuk diubah. Contohnya, stigma masyarakat, tradisi, budaya yang berakar umbi, warisan nenek moyang, malah sistem yang sedia ada.

Baik, macam akan jadi begitu serius pula perbincangan ini. Warning sekali lagi, mungkin akan serius (hahaha).

Apa yang ada sebelum Fatimah?

Ini saya yakin satu soalan yang penting, sebelum dapat meletakkan Fatimah untuk menjadi watak yang merevolusi masyarakat. Persoalannya akan banyak berkisar mengenai perempuan dan dimanakah seharusnya kita meletak mereka. Malah bagaimana kita memandang mereka.

Masyarakat pra Islam adalah masyarakat Arab Jahiliyyah. Kita selalu salah beri maksud kepada jahiliyyah. Selalu kita tafsirkan sebagai bodoh. Sebenarnya kita sudah jauh tersasar.

Dalam konteks semantik, perkataan Jahiliyyah adalah satu konsep yang sangat besar dan luas. Dan hakikatnya sebelum kedatangan Islam, perangai-perangai Jahiliyyah itu adalah bersifat positif. Dengan maksud, ia adalah perangai yang perlu ada bagi setiap lelaki Arab, jika mahu diangkat menjadi lelaki sebenar. The real man.

Apakah ciri-ciri Jahiliyyah itu?

·         Berhidung tinggi (super ego)

·         Menolak cercaan kepada pribadi dan kehormatan

·         Melindungi amanah

Secara ringkasnya sifat jahiliyah adalah kebanggaan seorang lelaki yang akan menolak atau menerima sesuatu yang akan menjatuhkan maruah peribadi, menunjukkan penentangan secara kasar dan garang untuk setiap sesuatu yang akan memalukan dirinya walau dalam keadaan sekecil mana pun.

Kerana sifat-sifat ini diwarisi oleh setiap anggota kabilah atau orang Arab itu sendiri (secara eksplisit), maka sistem yang ada di zaman pre-Islam adalah sistem patriaki. Patriaki atau lelaki sebagai pusat dan segala tindakan, malah perundangan, kelebihan dan segala percaturan.

Di dunia patriaki, perempuan tiada nilai. Bahkan dilihat sebagai benda atau alat, mungkin juga semi-human. Kerana itu di zaman pre-Islam, perempuan itu adalah kasta yang sangat bawah dan hina. Boleh dijual beli, diwarisi, dipergunakan, diperdagangkan malah di suatu ekstrim yang kita tahu, boleh ditanam hidup-hidup meskipun ketika masih bayi.

Baik, ada beberapa lagi persoalan untuk menggambarkan situasi budaya masyarakat Arab sebelum Islam. Tentang perempuan dan penerimaan mereka dalam keluarga.

Diceritakan dalam buku Ali Shariati, sekiranya ada seorang bayi perempuan lahir dalam keluarga, seorang bapa akan memikirkan 3 menantu untuk anak ini. Tetapi selalu juga kita digambarkan bahawa ketika lahir bayi perempuan dalam keluarga, wajah bapa akan jadi hitam kerana malu. Begitu dahsyat sekali hina kedudukan perempuan pada waktu itu.

Mari kita teliti pula 3 menantu ini. Apakah dia?

·         Yang pertama adalah rumah mana yang akan menyorokkan bayi ini.

·         Kedua, lelaki mana yang akan mengambilnya sebagai isteri

·         Ketiga, kuburan mana yang akan menanam bayi ini

Secara tradisi sejarah yang kita baca selalu bapa akan memilih menantu yang ketiga kerana ianya begitu senang dilaksanakan dan penyelesai masalah paling cepat.

Itulah wanita, kedudukannya sebelum kedatangan Islam.

Saya mengajak audien untuk berfikir sejenak, apa nasib yang dirasa perempuan. Layanan sebegitu, maksudnya, perempuan dilihat sebagai kaum tanpa kelas masih lagi bersisa sehingga sekarang. Malah masih terasa di kalangan generasi X, Y, Z dan saya kira, di masa-masa akan datang.

Bukan susah untuk faham perkara ini, kerana merendahkan wanita ada dalam tradisi Bible dalam cerita Adam dan Eve, juga berlaku di kalangan bangsa India (ancient India), juga ada dalam mythology Greek melalui cerita Pandora, dan sebagainya.

Cerita tradisi ini dari jalur agama dan mitos telah melayakkan wanita disalahkan, kerana dosa-dosa yang dilakukan olen lelaki adalah disebabkan oleh wanita.
 
(bersambung...)