Wednesday, November 27, 2013

Terima kasih!

Terima kasih kerana belum pun saya masuk sekolah, mak dan ayah sudah mengajari saya membaca Al Quran. Dengan itu saya tidak menjadi buta kepada huruf-huruf yang Allah ciptakan sehingga menjadi warkah yang memperkenalkan DiriNya kepada saya. 

Terima kasih kerana menghantarkan saya ke sekolah, untuk saya dapat membaca huruf-huruf Rumi Melayu dan Inggeris, sehingga saya dapat membaca tafsir kalamNya yang saya dapat fahami dan mengambil pengajaran-pengajaran.

Apa yang diusahakan secara bersusah payah oleh mak dan ayah sehingga mengorbankan kesenangan diri adalah untuk menjodohkan saya dengan buku yang dinamakan Al Quran, kata dasarnya Qara'a bermakna recitation ataupun Bacaan.

Semoga Dia menemukan Cinta melalui surat yang diizinkanNya Baca.

Budaya dan Kebenaran (agama) - 2

Masih lagi saya merujuk kepada Dr Jeffrey Lang. (minta maaf minggu ni minggu Dr Jeffrey Lang agaknya. This man inspired me in many ways than I can imagine.)

Persoalan saya di atas sebenarnya diambil dari YouTube yang saya cuba tekuni seminggu dua ini. Dalam satu aspek kita melihat Dr Jeff begitu tenang orangnya, kelakar, sangat intelek, bersemangat dan cintakan agama, tetapi dalam satu aspek kita melihat juga kekecewaannya kerana ramai orang Islam tidak bersikap seperti semestinya orang Islam bersikap. Ini memberikan cabaran kepada Dr Jeff yang bukan sedikit. Kata Dr Jeff (lebih kurang), "saya mesti memberitahu isu-isu ini kepada masyarakat muslim, kerana saya sudah 20 tahun berada dalam agama ini tetapi saya tidak pernah mendengar mana-mana scholars bercakap secara serius tentangnya. Ini meninggalkan saya dalam keadaan tanpa pilihan, saya mengambilnya sebagai tanggungjawab untuk bercakap. Keluhan-keluhan ini memang ada dalam masyarakat, dan bagaimana kita mahu bertindak untuk berkomunikasi mengenai masalah seputar double standard ini." 

Bila Dr Jeff cakap begitu, saya menjadi begitu sayu. Sekiranya Dr Jeff dipanggil Tuhan, siapa yang akan menyambung tugas Dr Jeff untuk menyeru orang Islam untuk kembali kepada tujuan azali agama, iaitu untuk manusia kembali kenal dirinya sebagai hamba dan melihat Tuhan, Satu-satunya Yang Layak Disembah. Kemudian merasa indah setiap satu seruan agama, merasa damai berada dalamnya, dan setiap hari jatuh cinta kerana besarnya Cinta Tuhan kepada makhluk-maklukNya.

Apa yang saya mahu lihat ialah, agama kembali kepada tujuan asalnya, tempat manusia menemui kebenaran, keindahan dan cinta. Tidak dicacatkan dengan amalan budaya, ditempelkan seolah-olah inilah agama. Meletakkan benda yang tidak perlu, sehingga menjauhkan mereka yang benar-benar mencari dan mahu kembali.

Kata Dr Jeff, siapa yang menjauhkan mereka dari mengenal agama Tuhan yang suci ini? Siapa? Siapa? Jika kita tidak dapat mencerminkan yang essence, tangan kita sendirilah yang menjauhkan mereka.

Agama itu adalah melihat manusia dengan potensi yang sama, kata Tuhan dalam Al Quran sebagai khalifah. Kita bernasib baik kerana mempunyai Dr Jeff yang menunjukkan kita jalan faham agama dalam sudut rasional dari kaca mata dulunya seorang atheist. Dengan maksud, agama itu sangat rasional dan logik untuk semua manusia. Wacana yang begitu intelek, sehingga boleh merobohkan keraguan orang-orang yang masih menyombong diri. (siapa ada maklumat di mana saya boleh membeli buku-buku Dr Jeff beritahu eh?)

Persoalannya agama ini sudah tidak menjadi begitu setempat dan lokal. Agama ini sudah sampai di kalangan masyarakat Amerika yang begitu terbuka, rasional dan mahu pendekatan logik. Sudah sampai dari Timur ke Barat. Sudah sampai dari Utara dan Selatan. Masyarakat Amerika tidak akan bertanya masalah-masalah hukum yang kadang-kadang meleret kepada perdebatan antara Ustaz-ustaz, (sehingga menuntut melakukan mubahalah segala bagai). Masyarakat Amerika akan bertanya mengenai soal keadilan, dikriminasi, soal keberdayaan umat, mengenai bagaimana agama boleh membawa peranan yang progresif dan dinamik bukan statik di tempatnya, mengenai wanita, semua persoalan yang akan disoal secara terus terang tanpa berlapik bahasa. Sudah menjadi begitu global sedangkan kita masih selesa berada di tempat yang sama dan berharapkan syurga! 

Sekiranya kita berada di tempat Dr Jeff, dapatkah kita mempertahankan jalan kebenaran ini?

Tempat Dr Jeff mungkin lebih mencabar. Beliau mendapat keluhan dari orang yang baru menerima kebenaran agama dengan keluhan yang kadang-kadang meruntun jiwa kita mendengar. "Ada dua orang yang mendengar kebaikkan agama ini, anak beranak. Ibu dan anak perempuannya. Mereka dengan besar hati mahu lebih tahu mengenainya. Mereka pergi ke tempat (mungkin masjid atau Islamic center). Tiba di pintu, pintu terbuka yang dibuka oleh lelaki muslim. Kemudian pintu itu ditutup di hadapan muka mereka." Dr Jeff bercerita, malangnya tindakan itu sebenarnya dibanggakan. Malah diceritakan dengan bangga kepada kawan-kawan sepejabat.

Satu perkara yang menghairankan Dr Jeff apabila sambutan yang begitu meriah ketika awal-awal beliau masuk Islam dahulu. Sehinggakan beliau merasakan peristiwa itu seolah-olah Malaikat turun dari langit. Maklumlah Dr Jeff berkulit putih, berambut blonde, bermata biru, anglo-saxon, seorang profesor dan sebagainya yang membuatkan orang berbangga. Kemudian Dr Jeff berkata, "kalau sekiranya saya berkulit hitam bagaimana?" Adakah layanan yang diterima juga sama?

Saya merasakan double-standard ini ketika berada di Makkah. Ketika kami menunggu untuk bergerak kembali ke Makkah (dari Arafah), kami dimasukkan dalam tempat berjeriji besi. Seolah-olahnya kami ini kambing yang sedang digembala oleh Pak Arab. Bahasa yang kami terima ialah bahasa herdik walaupun jemaah Malaysia terkenal berdisiplin dan lemah lembut. Ini bukan membuka pekung, tetapi cerminan realiti untuk mengajak manusia berubah. Kami di mata Pak Arab ialah ajam (iaitu non-Arab) yang tiada kemuliaan dari segi letak duduk bangsa. Kerana itu tidak ada masalah untuk melayan seperti kambing pun.

Ya sedikit sedih, bukan, sebenarnya banyak sedih. Saya melihat Pak Arab muda yang menguruskan kami itu memang handsome (oppsss), tidak dinafikan. Tetapi saya tidak pasti sekiranya Rasulullah bersama kami, Baginda akan membenarkan layanan seperti itu. 

Apa yang saya tahu, melalui pembacaan dari Al Quran kita hanya dinilai dengan penilaian takwa. Tidak kiralah kulit kita putih atau hitam, wanita atau lelaki, Arab ataupun Melayu, Amerika, Eropah, Timur, Jawa, Minang, Bugis, Mindanao, Patani, sekian banyak bangsa dalam dunia semuanya sama. Yang akan dinilai adalah level takwa yang ada dalam jiwa kita. 

Ramai orang berkecil hati dengan double standard, standard ketiga, atau standard keempat orang yang memegang autoriti agama. Kerana mereka menyangkakan kebenaran total itu ada di tangan mereka. Ada orang kata tidak perlu beremosi dengan politik terasa. Sedangkan Dr Jeff seorang bangsa Amerika yang terkenal terbuka dan tidak melayan hal-hal terasa merasa penting persepsi dilayan dengan layanan tidak serupa. Kenapa kita sebagai bangsa Timur yang begitu halus budi bahasanya ingin buang ke laut pula.

Saya selalu merasa jalan yang saya yakini adalah jalan kedamaian, ketenangan, keadilan, keindahan, kasih sayang, belas ihsan, pengorbanan, kemanusiaan dan cinta kasih. Jalan yang membawa bahagia walau seribu macam ujian pun yang datang. Tetapi orang-orang yang menyakini perkara yang sama seperti saya, tidak semua berfikir seperti itu. Mereka merasakan jalan itu adalah hukuman dan memandang rendah orang.

Budaya adalah budaya. Budaya yang baik tetap baik tetapi tidak boleh dipaksakan selagi ia bukan mutlak suruhan agama. Agama adalah kebenaran. Kebenarannya bersifat hakiki. Kerana itu baginda Rasulullah menongkah segala budaya yang telah berakar umbi dalam masyarakat Arab, yang mendarah daging, yang sebati, walaupun terpaksa berkorban keringat dan nyawa. It is a fight worth to die for. 




Budaya dan Kebenaran (agama) - 1

Rakan baik saya pernah memberi nasihat, "sekiranya awak mahu mengenali orang (di tempat orang lain), kenalilah budaya mereka dan jadilah seperti mereka. Sekiranya awak mahu memperkenalkan diri awak kepada orang lain, jadilah diri awak sendiri bukan orang lain."

Ada masalah dalam perkara ini sebenarnya. Yang pertama adalah penerimaan kita terhadap budaya semata-mata kita mahu fit in dalam dunia mereka. Tetapi benda ini adalah sangat penting, terutama untuk memulakan perkenalan dan perbualan. Terutama jika kita adalah orang asing yang merantau dan berada di tempat orang. Masalah yang timbul ialah apabila budaya setempat yang tidak ada kaitan dengan tuntutan agama, menjadi seolah-olah perkara wajib dalam agama.

Sebagai contoh tentang penggunaan masjid seolah-olah dikhususkan kepada lelaki sahaja. Ada negara malah tidak membenarkan wanita untuk bersolat pada lantai yang sama dengan lelaki. Mereka diminta untuk berada di tingkat lain sekiranya mahu melakukan solat berjemaah. Di Malaysia pula, ada satu amalan yang tidak membenarkan wanita bersolat Jumaat. Akibat dari larangan ini, wanita Malaysia akan pergi bershopping di hari Jumaat waktu rehat panjang di sebelah tengahari.

Ini menimbulkan sedikit kekeliruan apabila ada pelajar dari Iraq yang datang ke Malaysia. Sudah menjadi kelaziman mereka solat Jumaat, dan untuk diri mereka jika tidak solat rasa begitu berdosa. Saya membayangkan mereka berkeras juga untuk masjid dan bersolat, apakah yang akan berlaku antara mereka dan pihak berkuasa masjid?

Saya jadi terfikir, amalan-amalan ini adakah benar suruhan wajib pada agama atau bentuk budaya yang telah kita warisi sejak zaman ibu ayah nenek moyang dahulu kala.

Baik, macam sedikit berbunyi ekstrim, tetapi sebenarnya adalah ujaan dalam pemikiran. Saya bawakan ini sebagai orang yang sudah kembali dari Makkah, dan melihat bagaimana solat dilakukan ke sana. Sekiranya kita menganggap ajaran sentral agama itu berasal dari bumi Makkah, kenapa keadaan yang sama tidak dilakukan di tempat-tempat lain.

Contoh: orang lelaki dan wanita bersolat di lantai yang sama di Makkah dan Madinah. Orang lelaki dan wanita juga boleh solat Jumaat di hari Jumaat di Makkah dan Madinah. Tetapi tidak berlaku sekurang-kurangnya di Malaysia (sudah lama hidup di Malaysia). 

Apa yang akan berlaku terhadap dua amalan yang dilihat tidak sejalan ini? Di satu tempat yang lain boleh, di satu tempat yang lain tidak boleh? Dan apabila kita meminta penjelasan kukuh mengenai hal ini, barangkali tidak ramai dapat memberikan hujah dari sumber utama yang diterima seluruh umat Islam iaitu dari Al Quran dan tradition (hadith).

Soalnya kecil. Saya kira, kalau saya tanyakan mak dan pakcik makcik tentang perkara ini mereka akan jawab mudah. "Tidak perlulah buat benda yang pelik-pelik yang tidak pernah orang buat. Dari dulu lagi sudah kita amalkan perkara seperti ini." Full stop.

Tapi old habit die hard. Dalam kepala saya akan ada banyak soalan pula selepas itu. Boleh ke kita anggap semuanya selesai just because benda ni dah jadi amalan dalam masyarakat? Atau lebih baik untuk saya mencari kebenaran sesuai dengan fitrah diri saya ini yang selalu mahu tahu?

Kiranya di waktu awal seruan Rasulullah kepada masyarakat, Rasulullah telah menyongsang perkara lazim yang sudah berakar umbi dalam masyarakat. Contoh, masyarakat pre-Islam menyembah idol, tetapi seruan Nabi adalah untuk menyembah The Only One God, Allah. Waktu itu hamba berkulit hitam gelap seperti Bilal tidak mempunyai martabat, tetapi Rasulullah menongkah budaya mengangkat Bilal menjadi orang kepercayaan. Seorang yang mempunyai peranan penting dan sentral dalam agama, iaitu yang memanggil manusia lain ke masjid untuk menunaikan ibadah solat berjemaah. Sewaktu orang Arab bangga dengan kesukuan, kemuliaan tribe dan berpuak-puak, Rasulullah mengangkat Salman dari Parsi dan Miqdad dari Rome menjadi penasihat dalam hal ehwal peperangan dan pentadbiran. Sewaktu orang Arab galak menanam anak-anak perempuan mereka, Rasulullah dilihat mencium wajah Siti Fatimah dan menempatkan Siti Fatimah di kedudukan yang sangat mulia. 

Semua ini adalah perkara menongkah budaya, yang Rasulullah perjuangkan juga walau mendapat tentangan dan halangan yang bukan sedikit. Ada tradition yang selalu kita diperingatkan, bahawa Rasulullah menegur seorang Arab yang mempunyai ramai anak tetapi tidak seorang pun dari anak itu pernah diciumnya. Kerana sudah tentu ia bukan budaya orang Arab yang menunjukkan kasih sayang seperti itu. Juga bukan budaya orang Arab untuk memuliakan perempuan, apatah lagi anak perempuan seperti mana yang Rasulullah tunjukkan.

Tapi akan ada orang komen kepada saya, "apa yang kau nak bising-bisingkan, dan tentu baginda adalah Rasulullah, mestilah senang untuk Baginda menetapkan semua itu kerana hukum dan kebenaran itu ditangan baginda. Kita ini siapa?"

Baik katalah, tidak perlu katalah saya betul-betul bersetuju dengan penyataan itu. "Rasulullah adalah penetap hukum, kerana semua hukum yang diturunkan kepada Rasulullah adalah dari Allah sendiri." Tapi di masyarakat kita juga adalah masyarakat yang menyeru untuk selalu ambil berat dengan sunnah, dan jika benar kita mencintai, maka kita akan ikut juga sunnah-sunnah ini walaupun payah. Namun yang terjadi dalam masyarakat ialah sunnah yang terpilih-pilih. Paling famous adalah sunnah berkahwin empat. Tidak syak lagi semua lelaki dan perempuan tahu mengenai hal ini, malah yang non-muslim pun tahu mengenai hal ini.

Tetapi sunnah seperti memandang setiap orang itu sama pada essensi kemuliaan mereka sebagai manusia, seperti cara Rasulullah memandang Bilal seorang bekas budak yang masih lagi hitam (mustahil pula boleh bertukar warna). Cara Rasulullah menghormati pandangan Salman, seorang non-Arab yang datang dari Farsi untuk masalah strategi ketenteraan, juga terhadap Miqdad. Cara Rasulullah memberi tanggungjawab kepada orang muda seperti Ali, yang tidur di katil sewaktu baginda berhijrah ke Madinah. Dan Fatimah, seorang perempuan malah anak perempuan yang disayangi, dikasihi, dihormati dan dimuliakan tidak pula kita bereya untuk contohi.

Apa yang kecoh-kecoh sangat, benda ini bukan sentral dan perlu didebatkan. 

Ya, itu kata kita, kecil pada pandangan kita yang sudah sebati dengan budaya dan amalan ini. Tetapi agak besar untuk mereka yang baru berjinak-jinak untuk mendekati kebenaran.

Katalah kita punya rakan sepejabat non-muslim yang mahu mendekati Islam. Mereka bertanyakan soalan-soalan seputar ini. Mengenai bagaimana orang Islam sejak dari lahir akan memandang mereka yang baru masuk dalam Islam. Bagaimana layanan terhadap wanita. Bagaimana layanan kepada mereka yang tidak berdarah Arab. Semua ini akan menjurus kepada persoalan adakah benar Islam itu membawa keadilan sejagat, atau hanya termaktub dalam kitab tanpa perlu dipraktikkan dalam masyarakat.

Ini soal mengada-adakan (bukan mengada-ngada), soal mengada-adakan sesuatu yang tidak mempunyai tapak kukuh dalam kebenaran agama. Pada kita nampak kecil, tetapi tidak bagi orang lain. Pada mulanya kita mempunyai potensi untuk mendapat saudara baru yang ramai, tetapi akhirnya mereka tidak jadi untuk terima kebenaran kerana realiti yang mereka lihat dengan mata tidak seperti apa yang ditulis cantik atas kertas.

Tuesday, November 26, 2013

Mencari Bilal

Terima kasih kepada Dr Jeffrey Lang, beliau telah membuka mata saya bagaimana seharusnya saya membaca. Membaca Al Quran, membaca sejarah, membaca alam, membaca kasih sayang keluarga dan rakan-rakan.
 
Bilal adalah tokoh sejarah. Orang mengaitkannya dengan tugas sebagai muezzin Rasulullah. Atau tukang azan di masjid. Tapi sejarah Bilal lebih jauh dari itu.
 
Bilal hanya seorang hamba. Hamba berkulit hitam, yang dipunyai oleh Umayyah. Semasa awal keIslamannya, Bilal diseksa dengan sebegitu buruk dan dahsyat. Tidak ada seorang pun makhluk zaman moden akan menyanggupi pengorbanan Bilal.
 
Itu cerita yang semua orang pernah dengar. Saya memandang dari sudut sejarah, kenapa pada zaman itu semua Tuan-tuan menjadi takut bila hamba mereka masuk dalam Islam. Dari segi tugasan, mereka masih melakukan tugas yang sama. Tidak membantah. Mereka tetap patuh pada tuntutan kerja.
 
Ada seruan lain yang Rasulullah masukkan dalam mengajak orang Makkah ke dalam agama Islam. Seruan ini yang kita pandang sepi dan jarang pedulikan. Iaitu seruan untuk menjadi mereka yang tunduk dan patuh kepada Allah, The Only One God.
 
Yang ditakutkan oleh Tuan-tuan ini adalah ketaatan dan kesetiaan. Mereka mahu mempunyai hamba-hamba ini, bukan setakat kederat mereka, tubuh badan mereka, malah jiwa mereka pun mereka mahu taklukkan.
 
Islam menawarkan mereka pembebasan sebenar, untuk tidak tunduk dalam ketaatan dan iman kecuali hanya pada Allah semata.
 
Adakah hari ini kita tidak melalui hari-hari Bilal? Adakah benar kita bebas dari sebarang penghambaan dan tunduk kepada The Only One? Siapa yang mempunyai tubuh, tenaga, kederat dan jiwa kita hari ini?
 
Semoga kita juga menjumpai jalan untuk dibebaskan, dalam ertikata sebenarnya seperti Bilal.
 

Monday, November 25, 2013

Stop it!

Seorang rakan muda memberitahu, "berhenti meletakkan iman anda di tangan orang lain." Katanya, dia mahu bertanggungjawab dengan iman yang dia yakini, bukan dipaksakan.

Ramai orang akan menganggap seolah-olah itu percakapan orang yang angkuh, tetapi untuk saya, ia adalah percaya diri dan percakapan orang sedar. Sedar fitrah dirinya, yang diciptakan dengan kebebasan memilih. Dan dengan kuasa sebesar itu apa sahaja yang berlaku, dia tidak akan menyalahkan orang lain tetapi dirinya sendiri.

Sejenak cuba kita fikirkan, benar tidak percakapan seperti ini?

Bila kita cukup dewasa, akhirnya kita juga akan menyakini benda yang sama. Bahawa iman itu apa yang kita yakini dalam hati, bukan yang dipaksakan. Soalnya cepat atau lambat.

Katalah kita bakal menjadi seorang ibu atau bapa. Dan tugas kita menjaga mereka hanyalah setakat usia 8 tahun. Kemudian dari itu kita meninggal, harta apa yang kita mahu tinggalkan untuk dia?

Saya akan membekalkan anak saya dengan dua benda:
1. Kemahiran membaca
2. Kesedaran diri bahawa dia makhluk yang mempunyai free will, dan kerana itu dia perlu bertanggungjawab atas pilihan-pilihannya.

Masa bayi kecil ketika sedang membesar, ibu bapa, pakcik makcik selalu memanjakan kita. Kadang-kadang saya fikir terlalu berlebih-lebihan sehingga memberi salah faham kepada bayi tersebut. Contoh, ketika anak kecil 8 bulan cuba berlajar untuk bertatih, kemudian dia terjatuh dengan agak kuat. Anak itu mula menangis kita akan datang dan memujuk. Bagaimana cara kita pujuk mereka? Kita akan katakan, "kesian dia, siapa yang buat adik? Lantai ya, meh mama babab lantai ni." Kemudian kita lakukan gerakan memukul atas lantai, anak jadi diam kerana dipujuk.

Salah kita di sini ialah mengajar anak meletakkan kesalahan dan kesilapan di tempat lain. Bukan pada si pelaku salah atau kecuaian, iaitu anak itu sendiri. Semakin besar, dia dibiasakan untuk menyalahkan orang lain pada kesalahan yang dia sendiri lakukan. Sehingga dalam satu tahap dia tidak rasa bersalah untuk melakukannya berulang-ulang kali kerana bisa sahaja salah itu dipindahkan kepada orang lain. Jika dia tidak mempunyai tempat untuk meletakkan salah itu, dia boleh sahaja menyalahkan persekitaran, latar belakang sejarah hidupnya, salahkan ibu bapa guru, menyalahkan bisikan iblis dan permainan dajal, menyalahkan pembuat polisi, salahkan Amerika dan Israel, salahkan semua kecuali dirinya sendiri.

Jangan salah faham. Saya bukan kata elemen-elemen jahat dalam dunia tidak mempunyai peranan. Mereka tetap memainkan peranan mereka, sebagai contoh syaitan yang ada untuk memperdaya. Syaitan hadir dalam bentuk bisikan, tetapi manusia ada segenap kekuatan untuk menolak ajakan, bahkan menolaknya dengan lemparan batu!

Hakikat fitrahnya kita adalah makhluk freewill. Suka atau tidak, itulah kita. Bahkan dalam surah Al Baqarah ketika kisah Adam dibacakan tentang Adam dan Hawa serta pohon larangan. Kesalahan itu dilakukan oleh Adam dan Hawa sendiri, meskipun diakui ada hasutan dari Syaitan, tetapi pilihan akhir itu tetap ditangan Adam dan Hawa.

Berbalik dengan senario yang saya usulkan tadi, jika kita ada anak dan kita mampu mendidik dia sehingga 8 tahun, apakah bekal yang terbaik untuk kita tinggalkan untuk mereka?

Tiada ibu bapa yang tidak sayangkan anak. Bahkan seluruh kehidupan ibu bapa mungkin berlangsung untuk membesarkan anak-anak, kebaikkan untuk masa depan mereka, kesenangan dan seluruh kebahagiaan yang kita boleh sediakan untuk mereka.

Tetapi kita sering lupa. Anak-anak ini tetap akan membesar dan melalui fasa-fasa kedewasaan. Kita bukan Tuhan yang boleh menjamin akan sentiasa ada untuk mereka, melindungi, memberi semangat, menunjukkan jalan, memberi pesan dan nasihat. Kita tidak mungkin selalu ada.

Dan kerana kita juga sudahbmelalui segala proses ini, secara logiknya kita akan bertanya, apa sebenarnya bekal yang baik untuk meniti kedewasaan? Bila masa dewasa itu muncul? 18 tahun, 28 tahun, atau 68 tahun?

Atau soalan yang lebih baik dari itu, apa makna kedewasaan?

Dewasa bermakna, seorang manusia itu sedar bahawa dia hidup dalam dunia dengan pilihan-pilihan. Pilihan yang ada tidak datang bergolek dan digunakan untuk memenuhkan kehendak semata. Pilihan itu datang dengan tanggungjawab dan akan dipertanggungjawabkan.

Semasa saya melawat Khalifah Model School, anak-anak kecil seawal di tadika dan darjah 1 diperkenalkan dengan konsep ini. Katalah ada anak murid yang secara sengaja membuka dan menutup pintu dengan kuat, dia akan dipanggil guru dan ditanya. Apakah yang dia buat itu betul atau salah? Dia juga akan diminta untuk menjelaskan kenapa berbuat demikian. Dia juga akan ditanya, adakah dia mempunyai pilihan untuk membuat selain dari menutup pintu dan membukanya dengan kuat.

Kita akan segera hairan, kerana anak-anak ini menjawab dengan sepenuh sedar, yang mereka mempunyai freewill untuk berbuat sesuatu. Apabila tersedar, anak ini sendiri akan meminta maaf dengan rela, merelakan hukuman kepada dirinya atas kesalahan yang dilakukan, dan tidak kisah untuk membetulkan kesalahan yang telah mereka buat. Malah mereka sanggup untuk berdiri kembali di hadapan muka pintu, untuk menutupnya dengan keadaan paling baik dan tidak mengganggu orang lain belajar.

Ajari saya bahawa saya bertanggungjawab dengan pilihan yang saya buat. Ajari saya untuk dapat membaca dengan benar dan dengan membaca itu dapat menunjukkan saya jalan kepada kebenaran.

Andai kata ibu dan ayah tidak cukup lama hidup dalam dunia untuk membesarkan saya, saya akan memilih untuk terus membaca supaya perjalanan saya terus terpandu dalam arah yang diredhai Tuhan. Bekalkan saya yang itu ibu dan ayah, kerana jika saya mempunyai keduanya, segala cabaran dalam hidup ini saya akan hadapi inshaa Allah dengan iman yang tidak goyah!

Berhenti untuk memeriksa iman kita di tangan orang lain, mula bertanya diri sendiri sekarang, take full control of it, take action. Kerana kita ditanya dengan apa yang ada pada diri kita, bukan apa yang dibisikkan oleh orang lain.

Sunday, November 24, 2013

Apa yang Kita Hilang - 2

Akhir-akhirnya ada ramai kawan bertanya mengenai banyak benda. Antaranya ialah bagaimana kita menangani perasaan bersalah pada kesalahan kita yang lalu-lalu. Ramai juga yang bertanya, kenapa kita menjadi umat yang tidak berdaya.
 
Saya kira soalan-soalan itu juga menampakkan kita kehilangan banyak benda dengan budaya yang kita ada. Terlalu bergantung kepada jawapan dari orang agama, dan lagi buruk orang-orang yang bukan agama tetapi kita percaya mereka boleh bagi kita jawapan juga sebagai salah satu kehilangan yang kita miliki.
 
Dr Lang telah membuka mata saya bagaimana kita perlu baca Al Quran. Paling tersentuh bila Dr Lang membicarakan tentang ayat 30 surah Al Baqarah. Di situlah soalan Dr Lang sepanjang hidupnya, iaitu tentang Tuhan dan kenapa Tuhan ciptakan dunia penuh kerosakkan. Hanya membaca surah kedua, Dr Lang telah menjumpai jawapan kepada sebab Dr Lang menjadi seorang atheist.
 
Saya mencari apa yang hilang. Apa yang salah dalam proses saya membaca. Di mana silapnya?
 
Setiap kali Dr Lang membaca sebaris ayat, Dr Lang akan berhenti dan berfikir. Bertanya kembali. Mencabar-cabar dan tidak rasa bersalah pula menyalahkan. Bahkan dalam satu keadaan Dr Lang seolah-olah sedang berkomunikasi ataupun berdebat dengan Tuhan. Semua ini berlaku ketika Dr Lang membaca hanya satu baris ayat dalam Quran.
 
Saya kira saya tahu apa yang saya hilang selepas mendengar beberapa klip Dr Lang. Saya tidak membaca dengan kritikal, saya tidak berani kerana saya dibesarkan dalam masyarakat menerima. Program Tanyalah macam-macam dalam TV juga saya kira akan membantutkan kemahiran untuk berani bertanya ini.
 
Apa yang Dr Lang temui dengan cara bacaannya seperti itu?
 
Dr Lang akhirnya menjumpai bahawa buku yang dibaca itu seolah-olah ditujukan untuk dirinya sendiri. Setiap satunya akhirnya mencabar dirinya untuk kembali berfikir secara rasional dan logikal. Yang pada mulanya untuk tahu, akhirnya Dr Lang dicabar untuk kembali berfikir sebagai seorang makhluk yang diciptakan oleh Maha Pencipta.
 
Dr Lang akhirnya menjumpai, Al Quran seperti surat cinta yang ditulis untuknya. Yang berbicara dengan Dr Lang secara aktif, bukan secara pasif.
 
Ini yang saya hilang, ini yang mungkin kita semua hilang. Kita hilang untuk mendapat manfaat langsung daripada Al Quran kerana terlalu bergantung kepada jawapan orang, berbanding dengan jawapan Tuhan yang mahu kita temui dalam ayat-ayatNya.
 
Saya kira hujung minggu ini saya mendapat satu solusi. Bahawa saya tidak perlu takut lagi. Jika ada orang takut-takutkan jika nanti saya tersalah, Al Quran sendiri telah menjamin dalam surah kedua, "Inilah Kitab yang tak ada sebarang keraguan pun dalamnya. Al Quran ini sendiri adalah petunjuk, petunjuk kepada orang-orang bertakwa."
 
Ada beberapa kisah dalam hidup kita yang mungkin terlalu hitam untuk diceritakan pada orang. Tetapi peristiwa ini menekan kita kerana kita akan dibawa rasa bersalah sepanjang hidup. Kerana itu kita rasakan perlu terpanggil untuk bercerita pada orang agama. Harap kita agar mereka dalam memberikan kita nasihat yang baik untuk kita lepas dari rasa bersalah itu.
 
Saya kira, jika peristiwa itu Tuhan rahsiakan kepada orang, bermakna atas belas ikhsanNya ia disembunyikan kerana mahu memelihara kita dari persepsi manusia yang tidak adil. Mungkin juga, Tuhan mahu kita kembali kepadaNya, semata-mata kepadaNya untuk meminta nasihat ini pada Dia.
 
Kerana itu Dia menghadiahkan kita surat-surat Cinta. Dan sebagai kekasih, Dia tidak akan kisah jika kita banyak soalan. Jika sekali-sekala kita bertanya dengan nada provokasi, jika kita bertanya dalam bentuk paling provokatif. Kerana Dia seorang kekasih yang paling memahami, tidak ada satu dalam hidup kita yang luput dari pengetahuan Dia, kerana Dia Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.
 
Saya kira ini juga jawapan yang saya dapat untuk hadiah yang paling baik kita dapat berikan pada anak-anak. Ajari mereka untuk tidak takut untuk bertanya, tetapi ajarilah mereka untuk membaca surat Cinta (Al Quran) dengan segenap kekuatan intelektual yang mereka ada.
 
Kita tidak sedar yang kita mempunyai kemampuan itu kerana kita dibesarkan dalam masyarakat menerima.
 
Dr Lang menjelaskan ayat 31 surah Al Baqarah, "Tuhan mengajarkan Adam nama benda-benda." Ayat ini menunjukkan kita mempunyai kemampuan berfikir, peluang untuk diajarkan, potensi manusia untuk menjadi lebih baik malah lebih tinggi tingkatannya dari malaikat, sekiranyanya kita berada dalam jalanNya. Bahkah kita dilahirkan natural dengan kemampuan intelektual, untuk belajar dan untuk diajari. Kita perlu lebih dahulu sedar bahawa kemampuan ini memang sudah disediakan dalam diri kita sedari awal, sifat fitrah dan semulajadi diri kita.

Kerana itu kita berada dalam keadilan Tuhan yang tidak dapat dipertikaikan. Kita mungkin lahir dalam keluarga Islam, tetapi kita rasa selesa dan tidak perlu mencari. Mereka tidak pernah tahu Islam, tapi kemampuan intelektual mereka akan membuat mereka terdorong untuk tahu dan mencari. Kerana mereka masyarakat membaca, dan mereka membaca dengan cara yang benar dan kritikal. Kerana itu Tuhan Maha Adil dalam segenap keadaan, segenap keindahan
 
Maha Suci Tuhan yang memberikan saya kesedaran ini. Dengan mengemas rumah juga kita mendapat satu bermakna. Sekiranya dalam tugas yang kita lakukan itu, kita niatkan untuk mendapat redha suami/isteri, redha Nabi dan akhirnya mendapat keberkatan dari Tuhan.

Kita mungkin selesa lahir dalam keluarga Islam. Tetapi keadaan itu tidak membawa kita ke mana-mana, malah static di tempatnya. Untuk anak-anak sendiri pun jarang dapat manfaat. Untuk keluarga sendiri pun jarang dapat manfaat.

Tetapi Dr Lang, di tangannya ada 3 buku yang ditulisnya sendiri. Bekal untuk orang lain, bekal untuk penebusan dirinya yang atheist satu masa dahulu, ketika berada di hadapan Tuhan.

Kita?

Kita terlalu banyak kehilangan, sudah sampai masanya untuk kita kembali mencari dan temui yang terbaik Allah sediakan untuk kita.  

Apa yang Kita Hilang - 1

Hujung minggu ini saya mengasingkan diri dalam bilik untuk mengemas dan juga meneroka dunia YouTube. Sangat berbeza dengan apa yang selalu saya buat, membuka TV untuk menonton The Voice. Penat mengemas saya mula mendengar dengan teliti berita dan cerita dalam YouTube.
 
Apa yang bagus dalam YouTube adalah rancangan yang boleh kita pilih. Berbanding TV, kita perlu menunggu apa yang kita mahu tonton, sementara itu kita anak disogokkan dengan banyak iklan.
 
Untuk hujung minggu ini, saya ditemukan dengan Dr Jeffrey Lang. Seorang Profesor Matematik yang menemui kebenaran dari dalam Al Quran.
 
Satu perkara yang selalu saya cemburukan kepada atheist apabila mereka menemukan kebenaran, ialah perjalanan mereka memilih kebenaran itu selalu dalam provokasi menggunakan akal tahap maksima. Berbanding kita yang selesa dengan apa yang sudah sedia untuk kita. Rasa sudah selesa dan tidak pernah berfikir kita juga perlu mencabar kredibiliti intelektual sendiri. Sekurang-kurangnya saya mengenal dua atheist, Prof Al Mahdi dan Prof Jeffrey Lang.
 
Sukar juga untuk kita fikirkan, kenapa orang yang sepandai mereka akhirnya tunduk kepada kebenaran hanya kerana mereka membaca buku sekecil Al Quran. Saya mula fikirkan, apa yang saya hilang berbanding mereka? Kenapa mereka boleh membaca Al Quran dan merasakan setiap inci kehidupan mereka dicabar dan akhirnya terpaksa menjawab soalan, adakah Tuhan itu wujud?
 
Apa yang kita hilang?
 
Mereka ini apabila membuka Al Quran akan ada banyak benda yang berlingkar dalam kepala. Sebahagian besar dari mereka adalah untuk mencari perbezaan dan kontradiksi. Ada yang mencari kesalahan. Ada yang mahu mencari kekurangan berbanding dengan ilmu yang mereka ada. Ada yang memang membuka dan membaca secara objektif. Dan sebahagian besar membuka hanya dengan satu perasaan mahu membuang masa kerana tidak ada buku lain untuk dibaca.
 
Tetapi perkara yang saya dapat simpulkan, mereka membuka Al Quran untuk mencabar, dan mengharap Al Quran sendiri mencabar mereka.
 
Dengan sikap ini, buku tersebut akan dibaca dengan sepenuh teliti. Setiap satu baris itu akan disoal balas. Sudah tentu proses soal balas ini akan berlaku secara personal. Mereka membaca, belum habis faham satu baris, mereka akan soal semula. Mereka akan mempersalahkan Tuhan dalam satu-satu baris ayat yang dibaca, kemudian akhirnya reda semula apabila mendapat jawapan pada baris seterusnya.
 
Ada yang membaca kemudian mempersoal dengan memerhatikan kehidupan yang telah mereka lalui sebelum ini, Seperti Dr Jeffrey Lang, dia mempersoal Tuhan yang menjadikan hidup ini kenapa terlalu banyak kejahatan, kekejaman kerana Dr Lang dibesarkan dalam rumah yang seperti neraka. Kerana bapanya yang begitu kejam, seorang pemabuk alkohol dan melakukan kekejaman dosmetik kepada ibu dan adik-beradiknya yang lain.
 
Perlu diingat, pada ketika Dr Lang membaca Al Quran dia sudahpun menjadi seorang Profesor Matematik.
 
Saya hanya menonton beberapa klip Dr Lang dalam Youtube, itu telah membuat saya mencapai Al Quran tafsir dan cuba merenung apa yang Dr Lang terangkan dalam ceramahnya.
 
Apa yang saya hilang kerana dibesarkan dalam masyarakat ini ialah keupayaan kita membaca secara kritikal. Tidak kiralah baca apa benda pun. Kita dimulakan diajar membaca untuk menyebut, tetapi bukan untuk faham disebalik sebutan tersebut. Katalah kita diajar mengenai perkataan buku, ibu bapa dan guru kita akan rasa sangat gembira bila kita dapat mengeja suku kata dan menyebut bunyinya berulang-ulang.
 
Kita tidak diajar untuk faham buku itu seperti apa. Apa yang boleh ditawarkan dalam buku, Paling tinggi kita diajar menyebut 'buku' kemudian ibu ayah, atau cikgu menunjukkan gambar ataupun menunjukkan apa itu buku.
 
Apa yang lebih malang ialah saya diajar membaca dengan menerima, bukan bersifat kritikal. Kita dibesarkan dengan satu kenyataan bahawa kita telah dibawakan dengan kebenaran, jadi tidak perlu persoalkan lagi.
 
Saya kira saya hilang banyak benda dalam proses ini.
 
Saya jadi takut untuk bertanyak, walaupun saya bertanya itu untuk saya lebih faham. Bukan untuk tujuan lain pun. Apa yang mereka takut tentang soalan, ialah mereka takut tidak menjumpakan jawapan untuk soalan itu.
 
Tetapi apa yang nyata Tuhan tidak pernah rasa tercabar dengan soalan-soalan kita. Ini adalah kerana kita makhluk ciptaan Dia, tidak ada apa yang Dia tidak tahu mengenai kita, termasuk soalan-soalan kita.
 
Saya hilang keberanian bila dididik dalam masyarakat dan budaya yang menerima. Saya takut untuk bertanya soalan walaupun soalan itu akan membuatkan saya lebih faham dan memperkukuhkan peribadi saya. Saya jadi takut untuk mencabar inteektual saya lebih jauh ke hadapan, dan ini sangat bercanggah dengan suruhan Al Quran sendiri yang menyebarkan banyak ayat tentang, "tidakkah kamu berfikir?"

Saturday, November 23, 2013

Mengapa Perlu Iklan



Sekitar saya masih berbicara mengenai Ammar, itu satu perkara yang sangat baik tidak syak lagi. Saya memandang positif perubahan yang berlaku meskipun di masyarakat kita selalu sangat sesuatu berlaku bersifat bermusim.
 
Balik dari perjalanan yang panjang, tersangkut pula dalam kesesakan lalu lintas, saya menikmati masa beku (jem) dengan memandang kiri dan kanan. Ternyata jalan raya kita sangat meriah dengan iklan.
 
Halnya, kenapa perlu iklan?
 
Ada beberapa teori tentang iklan. Kebanyakkan pengiklan adalah penjual, bahasa hormatnya ahli perniagaan, bahasa buruknya kapitalis. Dalam teori iklan, sudah dimasukkan dalam buku teks juga, setiap produk perlu membuat pengenalan tentang dirinya sebanyak 9 kali sebelum benar-benar masuk dalam minda separuh sedar manusia.
 
Iklan yang berulang juga menunjukkan kredibiliti. Semakin kerap diulang, pengguna akan mempunyai persepsi bahawa barang itu sudah tentu sangat baik kerana itu peniaga berani untuk mengulang. Emosi dan motivasi manusia terdorong dengan persepsi. Persepsi terbina dengan kekerapan dia mendengar, melihat dan promosi yang disogokkan kepada mereka.
 
Trend ini bukan sahaja berlaku di billboard jalan raya, malah di tiang-tiang lampu yang mempunyai kecenderungan jem yang begitu tinggi. Jem bermaksud kereta akan bergerak perlahan. Kenderaan perlahan akan membolehkan perhatian dialihkan dari stereng kereta ke persekitaran. Iklan masuk dalam keadaan separuh sedar pengguna yang lelah melayan kesesakan lalu lintas.
 
Di TV ini bukan teori yang asing. Pemodal yang sanggup berbelanja tinggi akan sanggup membayar ruang iklan di waktu perdana. Di celah berita perdana jam 8. Stesen TV akan cuba menaikkan rating stesen TV masing-masing kerana ini memberikan ruang untuk mereka menjana pendapatan dengan menjual slot iklan.
 
Begitu juga di Facebook. Facebook dibuat sedemikian rupa sehingga setiap newsfeed kita dapat dibaca di kalangan rakan-'rakan' yang add sebagai rakan. Mereka yang ramai rakan akan dipujuk untuk menerima pelawaan add friend kerana mendapat ruang untuk mengiklan produk mereka.
 
Ada apa dengan iklan?
 
Iklan memberikan kita persepsi. Semakin selalu diulang, penjual barangan itu membina persepsi kepada pengguna bahawa barangan mereka sangat bagus. Benar bagus atau tidak itu tidak termasuk dalam list semak pengguna. Kita tidak menyiasat produk yang kita guna sampai tahap itu. Seperti ubat gigi yang mengiklankan bahawa fluorida bagus, sudah tersebar di media sosial yang flourida itu satu bahan yang menjejaskan kesihatan. Seperti juga McDonald yang mempromosi makanan enak dan pantas, hakikatnya produk McDonald boleh menjejakan kesihatan manusia jangka panjang.
 
Pengaruh iklan itu nyata dan benar. Jika tidak pemodal tidak akan sanggup berbelanja besar. Menyediakan iklan itu sendiri belanja besar, belum lagi membeli slot di TV dan juga billboard jalanraya. Tujuan iklan paling nyata ialah pengulangan.
 
Saya menjadi kagum sendiri dengan teori ini. Produk yang masih disangsikan kebaikkannya tetap juga diulang-ulang promosinya. Kenapa kita tidak menggunakan teori yang sama untuk mempromosi benda yang benar-benar baik?
 
Contoh menyeru manusia membuat kebaikkan. Bayangkan iklan membantu jiran-jiran kita yang gelandangan itu dibuat sebagai iklan dalam slot TV. Berapa orang akan tergerak untuk melakukannya.
 
Itu juga yang berlaku dalam fenomena Ammar. Viral terjadi kerana berlakunya pengulangan bersifat besar-besaran oleh pengguna media sosial. Ramai yang tersentuh dengan kisah terpencil ini yang berlaku di Turkey, kerana essence (intipati)nya baik, maka itu tidak hairanlah setiap orang yang masih mempunyai hati di jiwanya, akan menekan butang share untuk orang lain mendapat kebaikkan dari kisah 'kepulangannya' yang luarbiasa. 
 
Kebimbangan saya ialah kisah Ammar ini diingat dalam tempoh yang bermusim. Sedangkan Ammar adalah model remaja yang perlu mendapat tempat dihati setiap remaja lainnya. Mendapat tempat di hati ibubapa lainnya. Mendapat tempat di hati setiap orang lainnya bahawa kematian itu dekat dan tidak menunggu sesiapa, tua atau muda.
 
Pengulangan nasihat baik dalam masyarakat kita hanya berlaku di masjid. Mengikut teori iklan, sampai satu waktu orang akan menolak juga produk yang diiklankan, jika kaedah iklannya sama. Tidak ada pembaharuan dalam produk. Tidak mengikut trend keperluan semasa.
 
Nasihat yang baik di masjid-masjid itu kita perlu ubah. Perlu bawa di luar lingkungan masjid, untuk orang lain juga dapat mendengar, sudah tentu approach perlu berbeza kerana audien di luar sana berbeza. Perubahan baik boleh berlaku dengan sebab berbeza, dengan tingkah  laku baik juga menjadi iklan paling ampuh. Dengan kata-kata yang baik juga iklan paling ampuh. Dengan senyum juga iklan yang paling sempurna.
 
Kita sendiri ada akaun Facebook dan Twitter. Sudah sampai masanya kita menjadi ejen iklan kebaikkan dengan cara paling kecil ini. Menyebarkan kebaikkan dengan butang share. Biar newfeeds kita adalah dorongan untuk buat kebaikkan dan kebajikan. Biar newfeeds kita adalah cerita-cerita hebat seperti kisah Ammar.
 
Bila mahu mula? Seperti Youtube Nouman Ali Khan, kita boleh mulakan sekarang. Cakap-cakap sahaja tidak cukup. Nouman Ali menyeru kita bertindak, dan tindakan itu sekarang.
 
Perubahan akan berlaku, Tuhan akan bantu kita berubah, dengan syarat kita mahu mulakan dari dalam diri kita sendiri.
 
Mulakan sekarang, niat sahaja sudah tercatat pahala, apatah lagi tindakan.

Thursday, November 21, 2013

Gerak Dari Langit


Kita menyambut hari kanak-kanak sedunia. Ada rakan yang mendoakan agar kanak-kanak ini tidak segera besar. Kerana hadir mereka membawa bahagia, ketelusan mereka mendamaikan, mereka selalu berjujur dengan apa yang mereka rasa. Bersifat ekspresif ketika gembira, marah, sedih, dan apa-apa sahaja. Kanak-kanak selalu lucu, dan tindakan spontan mereka mendamaikan walau kadang-kadang buat kita geram.

Lain dengan kawan saya, saya selalu mendoakan anak-anak kecil ini akan segera dewasa. Saya doakan mereka punya kebolehan segera untuk dapat membeza yang buruk dan baik. Yang salah dan benar. Dalam dunia hari ini, itu bekal yang paling berharga yang boleh diberikan oleh ibu bapa, guru dan saudara mara terdekat.

Saya jadi terfikir akhir-akhir ini, bila memikirkan apa yang ada dalam masyarakat. Kita mencaci cela dan mengkritik produk drama dalam TV. Sekarang ini ditayangkan cerita drama bersiri Playboy itu Suami Aku yang disiarkan pada waktu Maghrib. Untuk manusia biasa, kita akan berperang untuk menonton atau menyahut seruan untuk beribadat. Siapa kata menonton drama tidak best? Sangat mengundang dan boleh dikatakan kecanduan juga.

Kita tahu kita sedang berperang untuk membuat pilihan. Berada depan skrin TV untuk menonton konflik apa yang berlaku hari ini (minggu ini?), atau menunaikan tanggungjawab sebagai hamba Tuhan?

Bukan setakat kanak-kanak yang menyambut Hari Kanak-kanak Sedunia saya doakan dapat ilmu dan kebolehan untuk membeza yang baik dan buruk, malah saya juga berdoa untuk diri sendiri, dan rakan-rakan di luar sana. Kita tidak punya ini, kerana itu kita tidak dapat memilih. Sekiranya kita ada kekuatan untuk memilih, kita tidak sekali-kali akan membuka TV waktu maghrib atau waktu-waktu yang tidak sepatutnya, to some extreme, kita mungkin akan menolak TV terus walau ada sahaja rancangan yang baik, tetapi rancangan yang tidak baik itu lebih banyak. Rancangan yang akan menghakis nilai kemanusiaan kita, yang akan menggoda kita menjadi manusia materialis, manusia konsumer (pembeli) dan manusia yang ketagihan drama dalam TV. Sedangkan drama banyak di sekeliling kita. 

Kita menangis kisah tragis dalam drama. Kita merasa simpati pada watak yang begitu menderita dan tertekan, sedang mereka hanya pelakon. Di sekitar kita banyak kisah tragis. Mereka yang tidak punya rumah dan tidak tahu hari ini ada tidak rezeki makan dan minum mereka. Mereka bukan pelakon, tetapi tidak pula kita menangis untuk mereka.

Saya rasa Muharram kali ini, tahun 2013 ini banyak mencatat kisah yang penting-penting. Yang menjentik sudut rasa saya paling dalam. Dan saya digerakkan dengan gerakan dari langit untuk mengkisahkan ini. Kisah adik Ahmad Ammar yang menjumpai jalan 'pulangnya' di bumi Turkey.

Jika mahu kenal Ammar, boleh tengok Youtube di atas untuk mengetahui serba sedikit kisahnya. Terus terang, saya tidak kenal Ammar. Saya percaya beribu-ribu orang yang like Youtube Ammar, dan share kisah Ammar di Facebook dan Twitter tidak kenal Ammar. Malah akan bertanya siapa Ammar? Tetapi sungguh janji Tuhan itu benar, bukan manusia yang perlu berusaha untuk menjadi terkenal dan popular. Sekiranya Tuhan berkehendak, manusia ceruk di Hulu Tembeling pun Allah boleh mahsyurkan seantero dunia.

Saya kira Almarhum Ammar mendapat penghormatan ini. Cukuplah untuk melihat apa yang saya lakukan sekarang ini. Saya juga tidak tahu kenapa saya perlu membuat entri khas ini. Berbanding dengan entri-entri sebelum ini, sekurang-kurangnya mereka yang saya ceritakan itu orang terkenal atau yang saya kenal. Tetapi adik Ammar ini, adalah gerak dari langit.

Ammar hanya 20 tahun. Untuk remaja 20 tahun, apa yang mereka boleh buat? Seingat saya, umur 20 tahun itu saya hanya baru berjinak-jinak untuk baca buku sejarah dan agama yang tebal-tebal. Baru hendak bermula. Tetapi Ammar sudah mengkhatamkan Rasail Nur, Said Bediuzzaman An Nursi! Dan kerana kisah Ammar ini saya kembali membuka Rasail Nur. Betapa, kematian arwah itu berkat. Bukan setakat menjentik kesedaran kita yang sudah lama beku, malah orang membaca sejarah anak muda yang singkat ini. Mereka mencatat apa-apa yang diamalkan arwah, mencatat buku-buku yang dibaca arwah, mencari tulisan tangan arwah, menyebarluaskan harapan akhirnya.

Apa kesan dari menyebar luas apa yang Ammar catat, buat dan cita-citakan? Akan ada beratus-ratus ribu lagi anak muda, masyarakat di luar sana akan terpanggil untuk mencontohi jalan Ammar. Seperti saya yang sudah mula membaca buku Letters, Bediuzzaman An Nursi.

Saya tidak dapat memetik apa yang ditulis Arwah Ammar, tetapi apa yang saya faham dari tulisan tersebut (lebih kurang) kata arwah, "untuk meneruskan khidmat dakwah ini, cukup kita mencari redha Allah. Biar semua orang pun berpaling, tetapi jika Allah redha, ia sudah mencukupi. Tidak perlu ada yang lain lagi."

Saya kira kata-katanya itu benar, dengan bukti fenomena Ammar di media sosial.

Lebih dari itu kisah Ammar ini menjentik kesedaran diri saya yang paling dalam. Membayangkan ibu dan bapa yang sudah pun berniat, Ammar ini adalah untuk Allah dan Rasulullah. Apa korban yang sedang dibuat oleh ibu dan ayah untuk niat seperti itu? Ammar ini bahkan anak tunggal lelaki dalam adik-beradiknya yang lain semua perempuan. Dan Ammar, sejak mendapat kesedaran dirinya, yang dia sedar bahawa dia belum buat yang terbaik demi Tuhan dan masyarakat sekelilingnya, merangka kembara untuk menimba ilmu. Untuk membolehkan dia mendapat kesedaran yang hakiki. Dan bagi saya, Ammar sudah lama dilengkapkan dengan kemahiran memilih. Hebat Ammar, Ammar memilih untuk memilih yang hakiki. Yang lain-lain dia sudah tidak peduli lagi.

20 tahun, jasa apa yang boleh dibuat oleh anak muda 20 tahun? Sehingga Ammar mendapat penghormatan terbaik seperti yang ditunjukkan dalam Youtube.

Rakan-rakan saya juga terkesan dengan kisah ini. Sehingga dia bercakap, kita selalu berfikir, merancang, bertindak untuk mengadakan yang terbaik untuk anak-anak. Supaya anak-anak mendapat kehidupan yang baik dan senang. Tetapi kita tidak pernah merancang bagaimana kematian anak-anak kita nanti?

Saya kira soalan itu juga perlu ditanya untuk diri sendiri. Sekian banyak perancangan yang dibuat untuk diri, kesenangan diri, seperti tidak cukup-cukup perancangan kita. Sepertinya kita akan hidup selama-lamanya. Pertanyaan kawan saya itu juga seolah menampar pipi dengan tamparan paling kuat, bila saya akan membuka buka nota untuk merancang bagaimana kematian saya nanti?

Muharram ini, saya kembali menggali sejarah syahid-syahid yang ada dalam sejarah. Jika Ammar anak muda kecil ini begitu mendapat penghormatan, bagaimana pula syahid-syahid yang telah menegakkan kebenaran, membela yang lemah, menegakkan kehormatan diri manusia, yang mempertahan nilai-nilai dan prinsip agama?

Muharram ini saya bertekad menjejak Syahid-syahid ini. Saya mahu hidup seperti mereka, kerana saya mahu mati seperti mereka.

Kawan-kawan yang membaca, saya merayu, aminkan doa ini.

Jazakallahu khair.

Al Fatihah untuk arwah yang pulang di bulan Muharram. Kematian kalian akan kami tangisi, supaya kami tidak lupa kematian yang baik itu bagaimana. Supaya semangat kalian terus-terusan bersemarak dalam dada kami. Supaya boleh kami ajarkan kepada anak-anak masa depan yang menyambut Hari Kanak-kanak Sedunia, bahawa hidup ini tentang pilihan. Pilihan itu sendiri adalah doa. Dan doa-doa, syaratnya pemakbulan dari Tuhan.

Maha Suci Tuhan, yang menggerakkan hati-hati kita di Muharram ini.


Monday, November 18, 2013

Yang dimain-mainkan: Ubat Gigi

Ketika saya bercerita kepada rakan bagaimana strategi pemasaran dan pengiklanan untuk industri ubat gigi dunia, kawan saya memberi maklumat yang sangat mengejutkan,

"Tokki saya sampai ke umur dia 70 tahun lebih, dan dia meninggal, gigi masih lagi elok tersusun sempurna."

"Apa petua Tokki?"

"Dia kerap kali berus gigi."

"Guna kayu sugi?" Seorang rakan lagi mencelah.

"Berus gigi, tapi tanpa ubat gigi."

Sehingga hari ini saya masih tercengang mendengar kenyataan ini. Perkongsian itu telah menyebabkan saya meletakkan berus gigi dalam beg tangan, dan akan memberus di mana ada kesempatan walau tanpa ada ubat gigi.

Rasional kawan saya mudah, dia kata pesan Rasulullah itu benar. Minta kita memberus gigi (bersugi) setiap kali nak pergi solat. Kayu sugi sangat mudah untuk dibawa dan tidak perlu untuk sibuk-sibuk cari bilik air, ubat gigi. Cukuplah kalau ada secawan air kosong (mineral, masak), berus dan bersihkan. "Tapi untuk zaman ini kalau susah mencari kayu sugi, pakai berus gigi biasa pun tidak ada masalah, macam Tokki."

Begitulah pesan kawan kepada kami.

Tetapi sebelum itu, kawan yang sama memberitahu kami satu maklumat sama penting. Dia kata, dia boleh tahu bagaimana hendak mengenalpasti orang yang pandai dan brilliant. Bila kami tanya bagaimana, "cuba tengok gigi dia. Biasanya orang yang pandai itu mempunyai gigi yang putih bersih."

Saya tidak terperanjat tetapi tidak menyangka fakta yang sama disogok kepada saya sekali lagi. Dulu saya pernah mendengar, ketika menganjurkan forum untuk pelajar-pelajar Anugerah Dekan berkongsi tips dan pengalaman mereka. Seorang panel (mendapat Anugerah Dekan setiap semester) mengatakan, dia mengambil pesan ibu supaya kerap menggosok gigi. Pada waktu itu, seluruh dewan gelak kerana tidak menyangka itu adalah petua yang perlu diambil perhatian. Tetapi waktu itu saya ingat, saya memerhatikan gigi beliau. Memang putih bersih yang original, bukan yang mengambil peluntur atau menggunakan ubat pemutih.

Setelah beberapa tahun, fakta yang dikongsikan semula. Memandangkan ia adalah saranan dari Nabi sendiri, boleh jadi kecerdikan berkait langsung dengan gigi yang putih. Tetapi mestilah berkait langsung dengan tabiat suka memberus gigi, tidak kira bila masuk solat, ataupun bila ada masa terluang.

Boleh jadi ini saranan yang bagus, ketika sudah bosan duduk di hadapan skrin dan memerlukan masa untuk berehat sebetar, dari ke kedai kopi bersembang apa kata kita ke tandas dan memberus gigi!

Bagaimana kami boleh berminat tentang berus gigi, gigi putih dan ubat gigi?

Sebenarnya kami cuba mengeluarkan teori bagaimana tabiat seseorang itu boleh berubah. Dan saya memberi usul, bagaimana kita satu dunia mempunyai mentaliti yang sama bila tiba waktu menggosok gigi. 

Apa mentaliti yang sama itu?

Saya pasti 90% daripada kita akan mempunyai tabiat yang automatik ketika memberus gigi. Kita akan mencari berus gigi dan kemudian ubat gigi. Di Malaysia, majoriti rakyat memilih Colgate. Sekiranya sudah biasa guna Colgate, kita akan canggung menggunakan jenama lain seperti Darlie, Pepsodent, Mukmin, Safi, dan lain-lain lagi. 

Tahukah anda bahawa, untuk membolehkan kita membersihkan gigi, kita tidak memerlukan ubat gigi pun. Lebih dari itu, ubat gigi itu pun sebenarnya tidak perlu mempunyai efek seperti buih yang banyak. Tambah lagi, ubat gigi tidak perlu mempunyai rasa berangin atau rasa mint. 

Kita sebenarnya sudah terbiasa. Kerana dalam kepala otak kita telah memberi signal bahawa, gigi kita sudah bersih jika kita rasa berangin dalam mulut. Dan dari masa ke semasa kita sebagai pengguna akan terus dimain-mainkan bila syarikat ubat gigi berlumba-lumba meningkatkan penjualan mereka.

Sekarang ini semakin banyak bahan kimia ditambah dalam ubat gigi seperti flouride dan ekstra yang macam-macam. Ada cengkih, oren, kayu sugi, pudina dan banyak lagi sehinggakan untuk memilih ubat gigi sekarang ini ada banyak pilihan dan sukar untuk memilih juga.

Hakikatnya apa?
Hakikatnya setiap syarikat pengeluar ubat gigi belajar satu teori tentang tabiat manusia. Samada kita sedar atau tidak, kita berada dalam teori ini. Teori ini bukan sekadar teori, tetapi sudah dibuktikan dalam makmal, dan terbukti dengan tabiat kita sebagai pengguna.

Kita cuba try test dulu eh?

Siapa kat sini yang sanggup terima cabaran untuk menggunakan berus gigi sahaja sebagai alat membersihkan gigi? Bukan setakat hari ini, tetapi kita cuba try test selama seminggu. Siapa sanggup angkat tangan dan kita cuba sama-sama.

Sebaik sahaja kita setuju untuk buat, hati kita akan bisik benda macam-macam. Seperti macam tidak percaya gigi itu bersih tanpa ubat gigi.

Bila cuba lagi kita rasa yakin, sebab dalam mulut tidak lagi ada rasa sensasi selepas gosok gigi itu. Tidak ada buih yang terkumpul dalam mulut untuk kita meludah, tidak ada rasa berangin dan rasa mint. Tidak ada. Kerana tidak ada kita mula berfikir adakah bersih gigi kita ini? Adakah mulut kita akan berbau?

Sebelum ubat gigi mempunyai kandungan buih dan rasa berangin, hanya 7% penduduk Amerika menggosok gigi dan meletakkan ubat gigi di peti sinki mereka. Kalau rasa saya merapu, boleh baca The Power of Habit, Why we do what we do and how to change (Charles Duhigg).

Padahal jika kita perhatikan masyarakat Islam dan orang Melayu sendiri sudah mempunyai tabiat menggosok gigi ini dengan menggunakan kayu sugi dan arang kayu.

Sambung kepada cerita orang US tak gosok gigi, Pepsodent memikirkan bagaimana menjual produk mereka sekiranya tabiat gosok gigi itu tidak ada. Pepsodent melakukan iklan yang sangat mudah. Dalam iklan mereka, mereka letakkan perasaan kalau tidak gosok gigi kita akan rasa lapisan (film) di permukaan gigi. Dengan perkataan ini, automatik setiap orang akan mula menggunakan lidah untuk merasa ada tidak lapisan itu dipermukaan gigi. Kemudian iklan Pepsodent menunjukkan dengan menggunakan ubat gigi, gigi mereka akan jadi bersih. Selepas bersih, iklan itu menunjukkan senyum orang yang cantik menawan dan gigi yang putih.

Begitulah yang mereka lakukan. Tetapi pengguna tidak tahu yang Pepsodent telah menggunakan rumusan meletak minyak yang memberi rasa sensasi seperti rasa mint dan mulut berangin, juga menambah bahan yang membuatkan ketika memberus akan mengeluarkan buih. 

Selepas iklan tersebut, 66% penduduk US menggunakan Pepsodent. Kekal menggunakan Pepsodent, kerana itulah satu-satunya ubat gigi yang menggunakan rasa mint dan buih. 

Bila kajian dibuat, kenapa mereka menggunakan Pepsodent, kerana otak mereka telah diprogram untuk hanya rasa bersih dan gigi cantik menawan sekiranya merasakan perasaan berangin tersebut, dan berbuih. Jika diminta untuk ubah, ramai yang menolak kerana telah menjadi tabiat.

Teruk juga kita dimain-mainkan kan?

Dengan iklan, media, pesan yang berulang-ulang kat TV, Billboard dengan iklan yang fancy-fancy dan menarik. Tambah lagi dengan artis dengan gaya bercakap yang mempersona, kita pun meyakini bahawa ada ubat gigi yang memberikan kita kesan lebih baik dan hebat dari lainnya.

Sedangkan hakikat sebenar, seperti pinta Rasulullah, gosok gigi itu mudah dan murah. Hanya perlu kayu sugi dan gosoklah sekerap yang boleh.

Tetapi kita tidak percaya, kita lebih percaya iklan pelakon yang dipakaikan dengan baju kot makmal. Kita lebih percayakan pelakon. Kita percayakan iklan. Dan dibelakang pelakon dan iklan itu, adalah pemodal-pemodal rakus yang menghasut kita untuk memberi barangan.

Selepas bersembang dengan kawan, kami sambung di Whatsapp beberapa artikel mengenai keburukan fluorida di dalam ubat gigi.

Ermmmm, dengan pengetahuan ini, kami sedar mempunyai pilihan.

Satu benda yang saya dapat ialah, menjaga kebersihan itu tidak patut dijadikan modal perniagaan oleh pemodal yang rakus. Kerana mereka mungkin menggunakan taktik pemasaran yang tidak ada kena mengena, tetapi kita percaya. Dan sampai sudah kita akan terus dimain-mainkan.

Simpan berus gigi dalam beg tangan anda, cubalah memberus dengan kerap. Kita akan merasa perasaan gigi bersih yang sama seperti kita menggunakan ubat gigi.

Malah, pada ketika kita mengamalkan ini, kita tahu sedang mengikut suruhan Nabi. Cubalah.

  

Friday, November 08, 2013

Projek Botol Positif: Mula!

Terima kasih kepada Tuhan Yang Maha Pemurah yang memberikan kesempatan untuk saya memulakan projek yang baik ini. Mudah-mudahan boleh berlanjutan dan memberikan kesan yang baik untuk diri sendiri dan juga yang berkait di sekeliling.

Semoga Tuhan memberkati. Boleh kongsikan perubahan baik yang diterima hasil dari eksperimen yang baik ini, InshaAllah.


Baru berniat untuk mula, sudah didatangi berita dan cerita gembira dari pelbagai sudut dan tempat.

Jangan intai apa yang saya tuliskan ya?

Selamat mencuba jaya.

p/s: saya gunakan bekas kuih raya yang diperbuat daripada plastik. Ada botol kaca kecil dan comel, tetapi tulisan dan kertas saya besar, jadi tukar botol yang lebih sesuai.

Mengira Kesyukuran Kita


Ada satu musim, kami menerima banyak botol-botol kecil apabila pulang dari kenduri kahwin. Botol-botol ini saya kumpulkan. Terfikir satu idea untuk menggalakkan adik-adik di rumah anak yatim dan miskin untuk sentiasa berfikir positif.
 
Tentu idea itu tidak datang bergolek. Bermula dari kursus Mendorong Pelajar Corot, kemudian berguru pula dengan teknik Khalifah Metod, dan juga beberapa siri kursus yang lain selepas itu. Rupanya dalam banyak kursus keibu bapaan dan latihan mendidik untuk mendorong perlakuan positif anak-anak kecil, kita sentiasa perlu memasukkan elemen-elemen positif dan baik. Terutama sekali dalam percakapan, dan paling berkesan sekali ialah kita jadikan diri kita sendiri sebagai model dan contoh tauladan.
 
Kenapa macam sekarang ini begitu bercambah sekali kursus parenting sedangkan dahulu seperti tidak ada? Sepertinya kita akan dapat satu trend bahawa ibu bapa jelas sekali menghadapi satu zaman yang mencabar. Di mana untuk membesarkan anak-anak tidak lagi boleh guna pakai (naluri) ibu bapa, tetapi mesti juga dimasukkan ilmu-ilmu dan saranan berguna dari pakar kanak-kanak untuk perkembangan awal anak-anak.
 
Beberapa minggu lepas saya berada di satu koferensi. Rakan saya membawa anaknya yang masih kecil. Masih pelat dalam bercakap. Tetapi jelas, adik itu, namanya Adam mengenal saya. Sepanjang-panjang masa ketika duduk jauh dia memandang dan sambil tersenyum, Kemudian saya melukis beberapa benda untuk Adam datang mendekat dan meneka semua benda yang telah saya lukiskan.
 
Dua tiga hari sebelum berjumpa Adam, saya mendapat ilmu tentang bagaimana untuk menggalakkan anak-anak untuk terus membuat benda-benda baik. Ilmu yang kawan saya kongsikan ialah, dia mengatakan jangan sebut perkataan baik, hebat dan bagus. Sebab dalam minda anak-anak kecil mereka tidak nampak baik, hebat dan bagus ini sebagai apa. Maksudnya, mereka belum dapat betul nilaikan. Kemudian saya bertanya, bagaimana cara yang lebih efektif?
 
Rakan saya mencadangkan, sebut dalam bentuk markah. Contoh, kalau kita tanya, sebutkan makanan yang mempunyai rasa manis. Kalau adik itu menjawab, "Gula." Kita dorong mereka dengan mengatakan, "bagus, adik dapat 1 markah." Kemudian kita dorong lagi, apa lagi yang manis. Kita akan lihat adik-adik ini akan berhenti dan menggunakan akal mereka untuk berfikir. Kemudian kalau dia dapat jawab, sebagai contoh, "Gula-gula kapas." Kita akan puji mereka dan cakap, "baik, 2 markah." Tetapi rakan katakan, jangan berhenti setakat perkara-perkara material. Dia mencadangkan untuk adik-adik ini nampak benda yang ada nilai hakiki.
 
Kemudian saya lihat kawan saya meneruskan pertanyaan kepada adik itu semula, "tahu tak yang lebih manis dari gula dan gula-gula kapas? Kalau dapat jawab, saya akan beri 5 markah." Adik itu jelas tidak tahu dan menanti jawapan. Kemudian kawan jawab, "senyuman awaklah yang lebih manis." Automatik saya lihat adik itu tersenyum. Kemudian dia bercerita kepada kawan-kawan yang lain pula, "tahu tak yang lagi manis dari semua benda, adalah senyuman." Dengan kata-kata itu, dia buat rakan-rakan lain pula tersenyum.
 
Sebenarnya, apa yang berlaku dan diceritakan semula oleh rakan saya ini, saya saksi sendiri. Ketika saya bawa rakan ke rumah anak yatim dan kami menjadi fasilitator kepada anak-anak ini. Masa balik ke rumah di dalam kereta, kawan saya jelaskan semua itu. Tetapi nasihat itu tidak berhenti di situ. Kata kawan, jika ada adik-adik yang menjawab, "sebenarnya yang paling hebat itu ialah Tuhan yang menjadikan rasa manis pada gula dan gula-gula kapas, dan juga senyuman pada wajah setiap orang." Kita akan dorong mereka dengan ayat seperti ini, "bagus, untuk jawapan awak itu saya beri 1000 markah."
 
Benda ini kita kena selalu ulang-ulang, sampai satu tahap mereka akan tahu bahawa setiap kali mereka mengaitkan sesuatu dengan Tuhan, mereka akan mendapat markah berganda-ganda banyaknya.
 
Dengan ilmu yang saya lihat depan mata itulah saya gunakan kaedahnya kepada Adam. Saya memberi satu markah kepada semua benda yang saya lukis dan Adam jawab dengan betul (nasib lukisan saya tidak cukup buruk untuk difahami Adam). Ada 20 benda semuanya, dan saya tulis 20 markah dan bintang untuk Adam. Kemudian, mama Adam beritahu bahawa Adam suka matematik. Adam pula sudah boleh membuat matematik asas tambah.
 
Jadi saya pun mula membuat soalan-soalan untuk Adam. Bagus sekali kerana Adam menjawab soalan dengan betul. Setiap satu set yang berjaya dijawab, saya akan beri markah dorongan. Contoh 3 bintang. Set yang lain pula saya beri 3 gula-gula yang kemudian Adam pesan pada saya, "tak elok makan gula-gula nanti sakit gigi." Dengan ayatnya yang pelat-pelat. Satu set lagi saya beri markah 3 aiskrim. Semua itu reward yang saya beri dalam bentuk gambar. Bukan perlu beli apa-apa pun. Ternyata Adam boleh duduk dengan saya dengan masa yang lama, dan tidak bosan-bosan untuk menjawab soalan yang saya berikan. Sehingga saya sendiri rasa kepenatan.
 
Kemudian baru saya tahu setelah diberitahu Mama Adam, bahawa Adam baharu berumur 4 tahun. Ternganga sekejap saya dengan kemahiran yang Adam ada.
 
Saya membayangkan situasi ini. Betapa anak-anak yang punya ibu bapa yang prihatin akan dapat memberikan mereka kelebihan pendidikan beberapa tahun lebih awal dari mereka yang tidak punya ibu bapa dan penjaga. Terutama mereka yang berada di rumah anak-anak yatim dan miskin. Kerana persekitaran mereka yang tidak dibina untuk mendapat pujian dan dorongan baik. Apatah lagi personal coaching. Juga persekitaran yang mendorong mereka untuk membaca dan memerhati.
 
Itu juga membuat saya banyak berfikir, bagaimana caranya untuk mengekalkan fikiran positif di saat kami tidak berkunjung di rumah anak yatim. Kerana bukan setiap hari kami dapat hadir dan menerapkan perkara ini kepada mereka. Sedang kita tahu manusia, apatah lagi anak-anak, memang cepat lupa dan perlu selalu diingatkan.
 
Apatah lagi mereka terdedah kepada TV yang semua orang pun tahu tidak akan dapat manusia berjiwa, tetapi menjadikan manusia bersifat materialis dan konsumeris.
 
Projek botol positif ini belum dimulakan lagi. Barangkali saya perlu mulakan dulu untuk melihat adakah ia mudah untuk dilakukan atau tidak. Dan untuk melihat kesannya pada diri sendiri. Patut kita boleh beri nama pada projek ni kan?
 
Ketika belajar Khaifah Metod pada bulan Mei yang lepas, penceramah kata otak kita ini seperti kanvas. Setiap hari akan dicalitkan dengan benda buruk dan baik yang akan mencontengkan kanvas pemikiran kita.Sebagai orang dewasa, kita mungkin boleh menapis. Tetapi hakikatnya, bukan semua orang dewasa punya kemahiran menapis. Termasuk juga saya.
 
Kata penceramah juga, kita akan didorong dengan berapa banyak perkara baik yang mendominasi ruang pemikiran kita. Jika banyak benda negatif, itulah juga yang akan mencorakkan tingkah laku kita. Kerana atas sebab yang sama jugalah saya menghadkan diri sendiri menonton TV, dan juga mendengar radio yang tidak membina dari segi kandungan dan isinya.
 
Memasukkan hal-hal positif ini juga saya dengar dari ramai pakar motivasi, seperti Prof Muhaya, Dato Fadzillah Kamsah, dan mereka yang pakar dalam NLP, seperti Dr Ibrahim Elfiky.
 
Dan sebenarnya, hasil dari bengkel dan kursus mendorong dan Metod Khalifah, saya ditunjukkan dengan banyak hadith Rasulullah yang juga turut mengajarkan benda yang sama.
 
Siapa mahu bersama saya untuk memulakan projek yang baik ini? Kata kawan saya Razlina yang mengposkan gambar ini di wall FBnya, the moment kita keluarkan kertas-kertas itu dari botol kita sebenarnya sedang, "count our blessing."
 
Ya, saya tidak boleh buat benda lain, kecuali bersetuju. Ya kita terlalu tersesak dengan ujian yang Allah berikan sehingga kita menjadi orang yang mengeluh-ngeluh, tetapi jarang sekali kita mengira kebaikkan yang Tuhan kurniakan pada kita yang terlalu banyak sehingga tidak boleh dihitung.
 
Untuk projek ini juga, tentunya kita akan terdorong untuk melihat yang baik-baik sahaja berlaku di sekeliling kita, kerana hanya itu yang boleh kita bawa masuk dalam botol. Semoga botol kita akan penuh dengan cepat.
 
Count our Blessing (COB) atau Botol Positif (BP) atau Botol Syukur (BS), namakan apa sahaja, moga esok masih ada untuk saya mulakan dengan didahulukan, Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
 
Jom!
 
 
 

Thursday, November 07, 2013

Timing

Selalu kita berada dalam keadaan tergesa-gesa, mahukan sesuatu berjalan seperti apa yang muncul dalam fikiran. Tentang kehidupan sempurna seperti mana orang lain, seperti majoriti di kalangan kita. Tanpa kita sedari bahawa dunia ini terbina dengan kadar. Bahasa lainnya measure, makna lain perkiraan?
 
Perkiraan itu, kadar itu boleh jadi dari pelbagai segi. Jumlah, bilangan, tempoh (duration), masa. Dengan maksud lain segala itu mencerminkan satu, ada had. Kita berada dalam ruang yang punya sempadan dan punya titik akhirnya.
 
Memahami ini, saya terdetik tentang satu perkara. Iaitu timing, bahasa Melayu mungkin tepat pada masa.
 
Setahun ini perjalanan hidup saya sangat dinamik dan diwarnai oleh orang-orang muda yang begitu hebat sekali cara pemikiran dan usaha mereka. Mereka menolak untuk terus berada dalam acuan yang sama sepertimana yang pernah mereka dengar dari abang-abang dan kakak-kakak. Sebagai contoh, dalam memahami sesuatu mereka tidak hanya mahu mendengar dari dewan kuliah, sebaliknya mereka terus terjun ke masyarakat untuk memerhati realiti sebenar dan apa yang boleh mereka lakukan.
 
Hakikat yang saya tidak pernah sembunyikan dan sering saya ceritakan pada rakan-rakan, betapa saya malu kerana bermula lambat. Berbanding orang-orang muda masa hadapan ini.
 
Ada satu perkara yang mengkagumkan saya, apabila mereka mula bertanya hal-hal di luar silibus. Tentang ekonomi semasa, tentang scenario politik dunia, tentang masa depan kita di mana? Apabila merenung usia mereka yang begitu muda, saya rasakan bahawa timing belum sesuai. Kemungkinan besar mereka sukar memahami penerangan yang cuba disampaikan. Tetapi hakikat yang saya tahu juga, bila mereka bertanya maka masanya telah sampai, dan saya cuma perlu menjadi pemudah cara kepada apa yang mereka tanyakan. Meski ilmu saya juga berkadaran.
 
Dalam banyak kesempatan, saya selalu mahu berkongsi dan menerangkan apa yang saya tahu sebagai ilmu dan pengetahuan. Kecuali bila masa terbatas, saya akan mencadangkan buku-buku yang sesuai untuk dibaca.
 
Saya juga pernah banyak kali mengalami peristiwa bila saya minta untuk sesuatu ilmu itu dikongsikan, tetapi ditolak oleh guru untuk menerangkan. Saya tidak pasti kenapa, sehinggalah saya faham bahawa ilmu itu juga ada timing. Ada berat dan tanggungjawab selepas menerimanya. Malah ada timing juga untuk ia sampai dan untuk faham.

Seperti muzik, setiap nota itu ada tempoh, dan untuk nota yang lain menyusul, perlu menurut tempo seperti dalam gubahan. Hanya dengan itu lagu akan menjadi begitu sedap untuk dinikmati.