Menjadi Khalifah

Siapa yang patut menjadi Khalifah?

Seawal membuka Quran dalam surah kedua, setiap manusia telah diperingatkan tentang tanggungjawab yang satu ini walau tidak selalu diulang sebut dalam mana-mana ceramah agama mahupun motivasi. Mungkin selalu sebut tetapi penghayatannya tidak begitu mengujakan.

Sejak dari Nabi Adam, itulah tugas yang telah dipakaikan kepada manusia. Sejak Nabi Adam berada dalam 'syurga', perintah ini sudah ada. Tidak timbul Nabi Adam didenda (hukum) diturunkan ke dunia kerana telah makan buah khuldi. 

Semakin membaca, semakin menarik pula perbincangan mengenai khalifah. Bermula dari pembacaan dari buku-buku Prof Muhammad Al Mahdi Jenkins, Dr Jeffery Lang, buku sejarah silam, perkataan ini sangat sentral untuk menceritakan tugas dan peranan manusia. Tetapi sayang, manusia jarang diperingatkan apatah lagi ditunjuk bagaimana mahu menjadi seorang khalifah.

Perkataan khalifah ini berputar di banyak tempat. Dalam perbincangan teologi, ketika membicarakan apa yang berlaku di 'atas' sana, perbualan antara Malaikat dan Tuhan, kemudian bagaimana juga jin yang bernama Iblis tidak mahu tunduk kepada perintah Tuhan. Semuanya berpusat kepada pelantikan manusia Adam menjadi khalifah.

Sudah tentu khalifah tidak bermaksud menjadi ketua kepada kaum Nabi Adam sahaja iaitu manusia. Tetapi mencakumi apa yang ada dalam dunia ini dan tercapai di galaksi. Haiwan misal kata, tumbuh-tumbuhan, sumber bumi seperti galian, air, tanah, udara, segala yang tercapai akal. Malah termasuk juga kaum dari alam lain seperti kaum Jin, juga kepada makhluk api seperti syaitan. 

Juga boleh dikatakan ke atas Malaikat, kerana Malaikat juga diminta untuk tunduk kepada Nabi Adam.

Pagi tadi bila berpeluang mengadakan sedikit 'pesan nasihat' (tazkirah?) bersama rakan, kami dapat berbincang mengenai segala apa yang tercipta dalam dunia, malah luar dari dunia, maksud saya galaksi yang luas terbentang ini. Galaksi Bima Sakti misal kata, malah galaksi yang tidak mampu dicerap akan manusia sehingga sampai ke titik hujung itu juga tercipta untuk kemudahan manusia. Boleh dikatakan, segala yang ada di atas langit (petala paling atas) dan bumi diciptakan untuk manusia. Manusia diberi segala kemudahan untuk menggunakan sesuai dengan tugasnya sebagai khalifah di muka bumi.

Malah kami sampai menyimpulkan, bukan sekadar setiap benda yang mampu dicerap, maksudnya benda-benda fizikal yang boleh manusia sentuh, malah benda yang diluar sentuhan fizikal. Hukum-hukum alam yang ada. Sebagai contoh, hukum graviti, hukum magnet, hukum nuklear lemah dan hukum nuklear kuat semuanya telah Tuhan wujudkan untuk kegunaan manusia. Hukum-hukum ini memang tidak mampu dilihat pun tetapi kesannya dapat dirasa.

Sebagai contoh, sekiranya tidak ada hukum graviti, maka manusia tidak dapat berjalan dengan baik. Tanpa graviti manusia akan berjalan terapung dan di awangan. Malah nilai graviti bumi yang dicerap dengan menggunakan nilai 9.81m/s itu adalah nilai yang sedang-sedang elok untuk kita menjalani kehidupan yang selesa seperti yang ada pada hari ini.

Begitulah dunia tercipta. Segala-galanya tunduk kepada manusia. Segala-galanya tidak membantah sekiranya manusia mahu menggunakan mereka. Baik dengan baik atau dengan cara tercela.

Saya sendiri tidak dapat membayangkan berapa luasnya alam dan galaksi ini. Bentuknya juga tidak dapat dijangkau pemikiran sendiri yang serba terhad. Bahkan kalau saya cuba baca buku Einstein, Stephen Hawking sekalipun, belum tentu saya dapat memahami tentang bumi dan astro fizik. Tidak dapat juga membayangkan berapa luas galaksi, berapa banyak bintang dan matahari yang ada di luar sana, berapa juta million galaksi yang bertebaran, sungguh saya tidak dapat membayangkan dan menghitung.

Walau terhad keupayaan saya dalam ilmu astro fizik, tetapi yang pasti saya tahu, segala apa yang tercipta adalah untuk manusia. Kerana akan ada manusia yang berkeupayaan mengira kelajuan cahaya, akan ada manusia yang dapat menggira jarak antara satu galaksi dan galaksi lainnya, akan ada manusia yang mampu untuk mencerap betapa panasnya matahari bumi, dan matahari-matahari yang lebih besar dari matahari bumi, akan ada manusia tahap super cerdik akan berupaya memahaminya dan kemudian memudahkan dalam bentuk persamaan matematik yang boleh digunakan kembali untuk kegunaan manusia.

Begitu alam ini tercipta. Semuanya untuk manusia. 

Dulu ada rakan bertanya, kenapa dalam segala kehebatan yang ada dalam dunia ini, tetap sahaja manusia tidak menjumpai Tuhan dan peranan mereka berada dalam dunia.

Kata saya, Tuhan jadikan dunia ini begitu besar dan hebat adalah kerana 'sekiranya mereka tidak berjumpa Tuhan dalam Al Quran, mereka pasti akan berjumpa Tuhan dengan memerhatikan alam'.

Tetapi hakikat, tidak ramai sekarang yang mahu memerhatikan alam kerana semua telah dikaburi dengan kehidupan sebagai seorang materialis. Sebagai pengguna (consumer) kepada barang ciptaan yang sepertinya memudahkan dan membahagiakan kehidupan sebagai manusia, tetapi sebaliknya menjadikan manusia itu menjalani hidup yang hampa dan berputus asa. Kerana tidak menjumpai tugas mereka yang sebenar, atas dasar apa mereka diciptakan, kenapa diciptakan, kenapa harus hidup dalam dunia, dan kemana pula selepas ini.

Begitu.

10 Ramadan terakhir membuatkan saya terpanggil untuk memahamkan tugas dan rahsia manusia menjadi khalifah? Kenapa perkataan khalifah itu sendiri sangat dicemburui makhluk langit sehingga mempertikaikan perlantikan Adam sebagai makhluk berjawatan khalifah? Bagaimana khalifah itu sendiri bukan tugas yang dipertikaikan semenjak manusia pertama, tetapi terus menjadi bentuk perlawanan manusia dari dulu sehingga sekarang? 

Sekarang dalam keadaan Palestin sekali lagi dan tidak tahu untuk keberapa kalinya lagi, bermandi darah. Percaturan politik Zionis yang tidak manusiawi, sebahagian cerdik pandai mengatakan itu adalah tindakan perlu kerana Zionis Israel mahu menggantikan Amerika menjadi adi kuasa kepada dunia akhir zaman ini.

Khalifah bukan sekadar memahamkan tugas manusia secara mikronya menjadi wakil Tuhan di muka bumi ini. Khalifah juga ada peranan politik yang menjadikan manusia seolahnya tidak pernah menjadi aman dan harmoni. 

Di kala ini, ketika umat Islam berdoa untuk dipercepatkan untuk waktu khalifah pengabisan seperti yang dijanjikan, setiap dari kita diuji untuk ketaatan. Kepada siapa yang kita serahkan taat itu. 

Comments

Popular posts from this blog

さくら満開

Bulan Mengambang