Thursday, January 23, 2014

Umur, Masa, Tenaga yang Bermanfaat

Selalu mahu saya ingatkan bahawa perjalanan hidup ini, mencerminkan sesuatu dari dalam diri. Atau sesuatu yang telah kita usahakan selama ini, kemudian terjadi di alam realiti. Beberapa tahun berusaha kemudian kita akan menikmati hasilnya.

Pepatah Inggeris, "you reap what you sow".

Ada misteri dalam kehidupan saya sendiri, bila apa yang berlaku untuk saya lewat dua tahun ini bukan apa yang berada dalam rancangan. Malah tidak pernah termimpi pun.

Tetapi mungkin saya pernah berdoa, dan doa yang satu-satu itu pula diangkat.

Atau lebih misteri, mungkin saya pernah menulis, dan tulisan itu dijelmakan di alam realiti. (satu hari harap saya boleh berkongsi cerita pendek itu.)

Sungguh, benar saya mencemburui kawan-kawan muda yang berada dalam linkungan aneh. Mereka yang masih muda, dalam pencarian, mencari kerjaya, keluarga dan kehidupan stabil, tetapi mereka malah menongkah stereotype anak-anak muda sekeliling mereka. 

Pemikiran mereka jauh lebih dewasa. Saya cuba memerhati dari sudut diri mereka, andai mereka telah faham erti kehidupan ini kerana itu mereka melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan tidak pernah kenal penat dan noktah! Dan ini, sungguh menjentik naluri cemburu saya yang membuak-buak.

Apabila kami berbincang tentang cuaca yang tidak menentu sejak akhir-akhir ini, fikiran kita mula dihasut dengan benda yang bukan-bukan. Takut. Takut ibadat belum banyak yang boleh menjamin syurga sekiranya matahari tiba-tiba mahu berhenti sinarnya. Kata kawan, dunia sejuk kerana matahari sedang berada dalam mode sleeping sun.

Saya mencemburui kawan-kawan dalam lingkungan aneh. Mereka muda, tetapi merekalah yang mengaplikasikan seruan Nabi. Mereka bekerja seolah-olah dunia akan kekal 1000 tahun lagi. Tetapi yang saya cemburukan, mereka bekerja itu adalah dalam kerja-kerja sukarelawan. Di mana mereka tidak dibayar, malah merekalah yang perlu membayar.

Siang hari mereka bekerja atau masuk kuliah. Malam hari mereka di rumah anak yatim membantu adik-adik membuat kerja sekolah. Hujung minggu, mereka habiskan juga di rumah anak-anak ini, membantu mereka memahami matapelajaran, atau benda paling asas, mengajarkan A B C. 

Kita sangka semua anak sekolah akan kenal A B C. Tetapi realitinya, ada yang sudah darjah 4, darjah 5 dan berada di tingkatan masih tidak kenal huruf apatah lagi membaca.

Kalau saya seorang mengenangkan rakan-rakan muda ini, saya akan rasa jauh amat dan tertinggal. Dengan dunia yang semakin sejuk ini, saya tidak tahu bekal apa yang saya ada.

Tetapi saya yakini mereka ini punya banyak bekal untuk di bawa ke syurga.

Saya tidak pernah melihat manusia, yang saya kira umur, masa, tenaga semuanya dimanfaatkan untuk anak-anak yatim. Jauh dari itu, mereka sedang membuat yang lebih besar. Rakan-rakan saya ini mahu memberikan keadilan sosial kepada mereka yang tertinggal dan dipinggirkan. Selalu ada air mata di mata mereka kerana begitu sedih mengenangkan nasib. Tetapi mereka tidak mahu hanya menjadi perenung nasib yang pasif, mereka bergerak. Mereka bertindak. 

Mereka tahu sekiranya mereka melakukan sesuatu, meskipun kecil, mereka telah menjadikan dunia lebih baik.

Dunia tidak syak semakin sejuk. Saya malah perlu memakai sweater ketika berada di luar terutama di waktu malam.

Saya tidak tahu masa, umur, tenaga yang ada sebelum ini dibazirkan ke mana. 

Tetapi yang pastinya, cemburu saya tidak pernah berakhir. Semoga umur yang ada dan tinggal ini, tidak jadi sia-sia. Semoga pintu syurga tidak tertutup kerana kesejukkan hati saya selama ini.



Monday, January 20, 2014

Perjalanan Ini

Ada orang bertanya pelajaran utama yang dapat balik dari Haji?

Kata saya, "Haji itu bergerak. Sentiasa bergerak. Tidak ada syariat Haji yang tidak mensyaratkan kita bergerak."

Ketika tawaf, saei, wukuf, mudzhalifah dan melontar, saya merasakan seluruh tenaga dikerahkan untuk bergerak, terus bergerak dan bergerak. Gerakan itu saya rasakan menyeluruh. Bukan setakat tubuh badan dan anggota, termasuk juga jiwa dan akal fikiran.

Kawan-kawan saya di dalam bilik adalah manusia yang bertemankan buku. Sekiranya mereka tidak tidur kerana kepenatan memberi tenaga, mereka akan mengulit buku. Samada membaca atau menulis, itulah yang dilakukan. Sela masa pembacaan itu, mereka akan bertanya itu dan ini. Tentang syariat, tentang kehidupan, tentang pengalaman, falsafah, tentang apa sahaja.

Dari segi emosi, saya rasa mereka yang berkesempatan berada dalam keadaan spritual yang sangat intense, merasa rasa itu tidak pernah berhenti. Mengalir, penuh keterujaan, rasa begitu rendah dan hina, kecil dan tidak signifikan.

Tetapi itulah, satu perkataan yang boleh saya gambarkan untuk apa yang berlaku ketika Haji.

Perjalanan kehidupan itu adalah: BERGERAK.

Ketika ada anak-anak muda yang mempersoalkan, lepas satu-satu ibadah itu apa? Adakah setakat untuk menenangkan diri atas kewajipan, tetapi tidak perlu membuat apa pun selepas itu.

Walaupun soalan itu soalan yang lantang, tetapi soalan itulah yang menjentik dan menampar untuk setiap apa yang saya lakukan sebelum ini. Selepas itu apa?

Saya mungkin antara manusia yang bertuah, kerana selepas Haji itu Tuhan menentukan takdir yang lain untuk saya. Takdir itu telah menyebabkan saya perlu berada dalam keadaan bergerak setiap masa. Selalu berada dalam keadaan yang begitu menekan, yang mendesak saya mengalirkan air mata. Saya selalu juga sakit-sakit dan jarang merasa selesa. Seluruh kehidupan saya banyak yang berubah. 

Tetapi yang saya pasti, Tuhan telah menyediakan saya platform yang tidak statik, tetapi yang bergerak. Seperti berada di treadmill, jalan yang sedang saya lalui sekarang ini bukan simen yang statik. Tetapi simen yang bergerak. Saya perlu berjalan lebih laju, untuk membolehkan saya lebih ke hadapan. Beat the pace, baharulah saya boleh progress.

Berada di atas treadmill bukan benda yang menjadi minat saya. Saya selalu berasa lelah, lagi pula saya ini bukan manusia fizikal. Waktu sekolah, saya sangat jarang masuk acara sukan. Pernah beberapa kali mengelak untuk menyertai walaupun sukan tara.

 Tetapi perjalanan ini kesimpulannya mudah. 

JALAN itu sendiri menunjukkan perlunya kita sentiasa bergerak.

Bergeraklah, sampai masa itu, kita akan ada jawapan di hadapan Tuhan. InshaaAllah.



Thursday, January 09, 2014

Melepaskan TV


Beberapa tahun yang lalu, saya membuat keputusan untuk melepaskan TV. TV masih ada di rumah, tetapi tidak dipasangkan dan untuk ditonton pada bila-bila masa senggang. Itu keputusan yang dibuat di bulan Ramadhan. Tujuan utamanya adalah untuk memaksimumkan penggunaan masa untuk membuat perkara-perkara yang lebih berfaedah dan menambahkan ilmu + pengalaman.

Ceritanya begini. Kami telah menjadi begitu terikat dengan TV. Waktu sahur TV dipasang. Ada drama Islami pada pagi-pagi buta. Waktu balik kerja dipasang untuk menonton Jejak Rasul. Dipasang sehingga waktu berbuka puasa. Sewaktu berbuka puasa, menonton lagi sambil makan makanan yang dihidang, menonton apa yang dihidangkan.

Sekiranya di teliti, kami hanya memilih untuk menonton perkara-perkara yang baik. Lalu apa salahnya?

Salahnya adalah bentuk keterikatan itu. Saya merasakannya terlalu dekat, lalu saya mengambil keputusan untuk tidak menonton terus Ramadhan itu, untuk membolehkan saya lebih banyak membaca, membuat refleksi diri, menulis, terlibat dalam kerja-kerja bermanfaat dengan komuniti dan sebagainya.

Tidak sangka, saya punya masa sebanyak itu untuk menyelesaikan banyak benda.

Bagi kebanyakkan orang rancangan TV yang baik-baik tidak ada masalah. Malah memberikan kita semua yang saya cari pun. Tambah ilmu. Saya juga tidak ada masalah tentang itu.

Ada satu hal yang saya sedari hanya setelah melepaskan TV. Iaitu iklan di celah-celah program TV. Ada iklan barangan tentunya, da nada iklan promosi untuk rancangan lain. Juga ada promosi untuk jualan murah. Juga ada promosi untuk filem-filem yang ditayangkan di wayang.

Di sinilah letak masalah dalam diri saya. TV pada waktu itu tidak ada kemudahan kawalan jauh. Jadi, setiap kali iklan, saya tidak dapat menukarnya ke siaran yang lain-lain. Jadi saya juga perlu menjamah hidangan-hidangan sisipan ini. Kemudian saya jadi tertarik dengan beberapa barangan yang diiklankan, juga tertarik dengan beberapa rancangan TV yang dipromosikan.

Rupanya, mana-mana rancangan TV memang dirancang untuk memasukkan iklan sisipan. TV itu sendiri adalah produk kapitalis. Kenapa tidak? Kita selalu diiklankan dengan produk. Bahkan sedang kita menonton TV, kita diiklankan dengan jenis TV yang lain. Yang lebih canggih kononnya, yang lebih gerek, yang lebih slim dan fleksibel, yang lebih besar resolusi dan skrin. TV mempromosi TV.

Selepas saya melepaskan TV baru saya sedari semua ini. Antara slot berita di waktu perdana, juga ada iklan-iklan yang mempunyai kuasa modal yang besar. Bukan calang-calang produk boleh disiarkan di waktu perdana. Produk yang mempunyai modal yang cukup banyak akan membeli slot iklan di waktu celah berita.

Selepas saya melepaskan TV baharu saya memerhatikan tentang peranan iklan. Bukan setakat iklan di TV, tetapi iklan di billboard, iklan di dalam suratkhabar, iklan di tiang-tiang jalan di jalanraya dan lebuhraya, iklan di majalah, iklan di bas dan teksi, iklan di badan LRT dan dalam LRT, iklan di escalator dan tangga, iklan di lantai ketika berjalan kaki, iklan di banyak tempat. Kenapa mesti berhabis duit untuk membeli slot iklan? Yang paling baru menarik perhatian saya ialah di lebuhraya menuju ke Kajang, iklan tudung Fareeda.

Lama tahun selepas saya melepaskan TV, saya kemudian diberi faham tentang ilmu kesedaran manusia. Bagaimana mesej ditulis dalam fikiran manusia. Ini adalah ilmu yang lama telah dieksplorasi oleh saintis psikologi manusia. Juga saintis sosial dan tingkah laku manusia.

Ya, orang Barat memang buat kajian ini sejak lama. Setakat yang saya kaji, bermula dari 60-an sudah ada kajian menyeluruh tentang ini. Tentu di Barat.

Apa perlunya mengetahui bagaimana tingkah laku manusia?

Supaya mereka boleh menggunakan kelemahan kita untuk dieksploitasi. Dan kita memang mempunyai kelemahan. Kelemahan yang dikenal oleh para saintis psikologi dan tingkah laku manusia. Manusia memang mudah untuk dipujuk rayu membeli. Manusia memang mudah untuk dipujuk rayu menonton rancangan walau rancangan itu boleh membunuh karakter baik dan akhlak manusia. Manusia memang mudah untuk ditipu dengan tipu daya yang cilik.

Saya berharap lebih ramai ibu bapa memahami tentang ilmu tentang kesedaran manusia. Saya berharap lebih ramai ibu bapa memahami bagaimana mesej tertulis dalam fikiran manusia. Kerana mereka memerlukan ilmu ini untuk memberi mesej yang baik kepada anak-anak. Juga saya berdoa doa yang sama kepada para pendidik.

Kerana jika awak memilih untuk membaca tulisan ini, sudah ada mesej yang tertulis dalam memori kita. Mesej itu boleh dimasukkan ke dalam memori secara sedar atau tidak.

Jika membaca tulisan ini, kita memilih untuk memasukkan mesej secara sedar. Kerana kita secara sedar membaca. Tetapi bagaimana dengan iklan yang bertebaran di sana sini? Berapa kemungkinan yang ada pemandu jalanraya akan betul-betul melihat dan membaca? Padahal pengiklan tahu pemandu sibuk fokus memandu, kereta dipandu laju, jika dalam kereta ada keluarga pemandu sibuk melayani. Begitu sibuk pun tingkah laku manusia, pemodal besar masih tetap menghabiskan duit untuk membeli slot iklan.

Itulah kelemahan kita. Kerana kita tidak ada ilmu kesedaran manusia. Kerana kita tidak ada ilmu bagaimana mesej ditulis dalam memori manusia. Tetapi mereka ada.

Secara tidak sedar pun mesej akan ditulis. Tidak fokus kepada iklan pun, tetapi memadai kita melihat seimbas lalu sudah cukup bagi penjaja produk. Untuk TV pula, iklan akan mesti dibuat dengan ada suara. Kalau kita sedang sibuk makan atau menggosok pakaian, kita tetap masih boleh mendengar meski samar-samar.

Mesej tidak perlu menunggu fokus baru ianya ditulis dalam memori kita. Hanya perlu seimbas dalam keadaan paling lalai pun memadai. Tidak perlu mendengar dengan tepat, memadai dengan memasuki indera telinga kita satu dua perkataan pun sudah cukup.

Begitu tingkah manusia. Begitu kita menyimpannya. Sedar atau tidak ianya berlaku. Kita mampu memilih atau tidak, ia juga berlaku.

Saya melepaskan TV pada mulanya untuk mengoptimakan masa. Tidak sangka pula jihad kecil ini membawa saya kepada penemuan paling berharga. Ilmu tentang bagaimana mesej ditulis, dan bagaimana mesej-mesej ini kemudian akan menjadi pendorong paling kuat untuk kita bertindak.

Kerana itu iklan itu ditulis, disiarkan berulang-ulang tanpa penat. Produk yang sama tetapi mengalami evolusi pengiklanan yang begitu cepat dan pantas. Betapa banyak pun duit dilaburkan di dalam iklan, ia memang sangat berbaloi kerana jumlah jualan yang akan diperolehi berbaloi-baloi.

Meski dalam iklan seringkas diiklankan oleh Mat Sentul. Tanpa ada props dan pengambaran yang canggih. Tidak perlu. Yang perlu ialah ulang dan ulang dan ulang. Sehingga manusia yang menonton menjadi terangsang dan ketagihan untuk memilikinya.

Tidak ada manusia berkecuali. Kerana setiap manusia diberi fitrah seperti itu.

Lepaskan TV lebih-lebih lagi di zaman fitnah ini. Lepaskan.

Tetapi saya masih menonton. Menonton rancangan terpilih di YouTube dan webTV. Itu sahaja.

Dan inshaaAllah, dan doakan saya selalu istiqamah, rancangan yang dipilih adalah untuk kebaikkan diri, mendekatkan diri pada Tuhan, untuk mendapat suntikan kesedaran sosial supaya kita boleh berkhidmat sesama manusia.

 

 

Wednesday, January 08, 2014

Kita semua adalah Ibrahim

Ketika adik mengadu tentang masalah yang dihadapi menyebabkan dia gundah gulana. Kata saya "kita semua adalah Ibrahim."
 
Mata adik berkelip-kelip tidak faham.
 
"Ingat cerita Nabi Ibrahim yang dicampakkan dalam api?"
 
Dia mengangguk.
 
"Dan perintah dibacakan, api jadikan dirimu sejuk dan selamatkanlah Ibrahim."
 
"Itu adalah perlambangan diri kita. Setiap dari kita pun diuji. Ujian itu adalah api. Jika banyak ujiannya, maka keadaan kita seperti Ibrahim yang dicampakkan dalam api. Tetapi selagi mana kita bergantung kepada Allah, memohon pertolonganNya, menggantungkan setiap harapan kepadaNya, Dia akan menjadikan hati kita tenang dan sejuk, seperti apinya Nabi Ibrahim."
 
"Di kala hati menjadi tenang, ujian yang marak menyala di luar sana, Allah akan jadikan sejuk dan bukti kepada kebesaranNya."
 
 

Friday, January 03, 2014

Memahami Adam - 4


Ayat 2: 33 yang sebahagian lagi menyatakan, bahawa malaikat sujud kepada Adam tetapi tidak Iblis, “ia enggan dan takabbur dan ia termasuk dalam golongan orang yang kafir.”

Ada peringatan yang besar dalam ayat ini. Selalu saya diperingatkan bahawa saya boleh terjerumus ke lembah dosa kerana tamak, nafsu, loba, dan keinginan terlalu banyak untuk dunia. Sehinggalah ayat ini menunjuk dengan jelas, kemuliaan kita boleh jatuh kerana ego atau takabbur. Iblis seperti itu, keegoan yang buat Iblis tidak bisa tunduk.

Ayat 34 – 38 adalah ayat-ayat tentang Adam dan Hawa melakukan ‘slip’ kerana makan buah larangan. Kemudian mereka bertaubat dan diterima taubat mereka. Dan kemudian diturunkan ke bumi untuk menyempurnakan tugas mereka yang sejak asal telah ditetapkan. Bumi sebagai tempat tinggal, di mana ada kesenangan dan keindahan. Walaupun mereka dihantar ke sana, Adam dan Hawa tetap menerima petunjuk dari Allah.

Perkataan dalam Quran, kesalahan yang Adam dan Hawa lakukan iaitu makan buah dari pohon larangan adalah ‘slip’. Slip dalam Bahasa Inggeris, terjemahannya ialah ‘kehilangan fokus’. Dengan maksud, Adam mempunyai potensi itu. Dalam banyak keadaan kita hilang fokus. Kerana itu cenderung untuk berbuat silap. Tetapi salah yang ini, Allah ampunkan setelah Adam menerima beberapa kalimah dan kemudian memohon ampun dan bertaubat.

Sebahagian orang berpendapat Adam menjalani hidup dengan sendiri-sendiri. Telah terputus petunjuk Tuhan apabila sampai ke bumi. Tetapi ayat ke 38 terang-terang menyatakan bahawa petunjuk Tuhan itu ada, akan sentiasa ada, dengan syarat Adam mengikut petunjuk yang telah diberikan. Pesan Tuhan agar mengikut petunjukNya. Mereka yang mengikut petunjuk tidak akan ada kerisauan kepada mereka dan tidak pula mereka bersedih hati.

Mungkin anak-anak akan bertanya, bagaimana kita tahu kita dapat petunjuk?

Saya akan jawab, kita ada dua Quran besar yang telah diberikan. Yang pertama, this Book, the Quran, Huda lil Al Muttaqin, petunjuk bagi mereka yang bertaqwa. Bertaqwa di sini bermaksud, God weary, ataupun sentiasa mengingati Tuhan walau apa pun yang berlaku dalam hidup mereka.

“Apa jadi kalau orang yang macam saya, baca Quran tapi tak faham?” Mungkin ada anak yang bertanya begitu.

“Kerana itu anakku, kau mesti selalu perhatikan dunia dan alam sekitar mu. Gunung ganang, bintang-bintang, bulan, haiwan-haiwan yang melata, 7 warna pelangi, kitaran musim dan waktu. Kejadian manusia dan alam sekitarnya. Kejadian diri mu sendiri. Sekitar kamu, adalah tanda-tanda dan peringatan dari Tuhan. Betapa buta diri kamu anakku, jika kamu tidak mampu mengira berapa besar bumi ini, apatah lagi kamu tidak dapat mengira berapa besar Bima Sakti, dan kamu tidak mampu pun menamakan sejumlah besar bintang-bintang di angkasa, dan kamu tidak tahu dimana hujung pangkalnya alam semesta, dan kamu tidak dapat mengaitkan bahawa Tuhan itu wajib ada? Alangkah kamu telah buta dengan petunjuk Tuhan. Jika Dia tidak ada, siapa yang akan mentadbir dan mengekalkan dunia ini dalam keadaan kekal harmoni?”

Kerana hal-hal pertanyaan seperti ini, ayat ke 39 berpesan,

“sesiapa yang mendustakan ayat-ayat Kami, mereka itu penghuni neraka dan kekal di dalamnya.”

Petunjuk Tuhan itu dekat, kerana ego yang akan membuatkan manusia mendustakan.

Kerana itu dalam perjalanan memahami Adam, ayat 30 – 39, disimpulkan bahawa:

1.       Adam itu adalah khalifah, makhluk intelek berkapasiti unlimited.

2.       Adam itu makhluk yang diuji dengan ujian moral. Kekal dalam keadaan perlawanan potensi malaikat Adam yang penuh kelembutan, kasih sayang sentiasa memuji dan membesarkan Tuhan, dengan ego yang dibisikkan syaitan. Dan antara dua bisikan ini, Adam mesti memilih. Kerana itu Adam adalah makhluk yang sentiasa dihadapkan dengan pertembungan moral.

3.       Adam itu sentiasa mendapat petunjuk-petunjuk dari Tuhan. Adam tidak pernah ditinggalkan. PetunjukNya yang terlalu banyak, sehingga tidak boleh terjangkau dari akal fikiran.

Ada yang menyangka Adam itu ditinggal sendiri di dunia, tanpa petunjuk dan kasih sayang Tuhan.

Bahkan, jika mahu membuat perumpamaan, Adam di syurga seperti bayi di alam Rahim. Kita mengalami kehidupan yang indah di sana. Diberi makan, nyenyak nyaman dalam ruang kebebasan yang menyamankan. Perut ibu. Bayi membesar di situ, sehingga Rahim ibu menjadi terlalu kecil untuknya. Lalu bayi dilahirkan ke dunia. Kita menangis kerana takut. Persekitaran yang kita tidak kenal. Kita tidak lagi berada dalam ruang kecil yang nyaman, tetapi ruang asing serba serbi. Kemudian tiba waktu untuk digunting tali pusat. Begitulah yang dibayangkan Adam ketika dihantar ke bumi. Tali pusat diputuskan. Hubungan dengan Tuhan tidak lagi secara langsung.

Tetapi bila kita keluar, lemah, perlukan pelukan ibu dan makan dari susu, kita dikasihi sepenuh jiwa. Ibu kita mengayomi kita sepenuh kasih. Di dalam dunia tiada yang dapat menyaingi kasihnya ibu. Ibu yang sanggup tidak makan selagi anaknya tidak makan. Ibu yang meninggalkan tidur yang lena sehingga anak yang demam kebah semula. Ibu yang mendoakan walau anak ini begitu menyakitkan hatinya. Segala-gala yang ibu boleh lakukan, adalah manifestasi kasih sayang.

Kasih sayang begitu besar dan banyak, yang selalu juga anak-anak tidak nampak dan lupakan. Begitu besar kasih sayang ibu, tetapi begitulah anak-anak. Yang pura-pura tidak nampak, fikirkan, dan kemudian mengasihi ibu semula.

Seperti itulah Adam tiba di bumi. Dengan sepenuh kasih sayang Tuhan. Kita tidak sedar kerana kita bayi yang belum sempurna akal. Kasih sayang Tuhan itu selalu penuh, kita yang tidak menyedari. Tuhan tetap ada di mana-mana, memberikan kita panduan-panduan. Kelemahan kitalah yang tidak dapat melihatnya. Kerana kita tidak berhenti dan memikirkan begitu penuh kasihNya Tuhan.

Dunia ini, bumi ini, adalah tempat yang lebih sesuai untuk Adam. Seperti kita juga yang lahir ke dunia dari Rahim ibu.

Dunia ini tempat yang lebih sesuai untuk Adam. Kalau masih ada lagi anak-anak saya bertanya, kenapa?

Kerana di dunia, kita akan berusaha mengenal diri sendiri. Bila tahu diri kita sendiri begitu kompleks, malah ada organ dalam badan kita sendiri yang tidak mampu kita kendalikan seperti jantung, paru-paru, dan segala macam organ dalam badan yang sedang dikawal terus oleh Yang Maha Memelihara, kita akan tahu bahawa Tuhan itu dekat.

Di dunia ini kita akan dapat mengenal manusia lainnya. Melihat mereka yang lemah, kita akan menggunakan moral kita untuk menyokong mereka berdiri. Apabila melihat mereka yang tidak mampu membaca dan tulis, mereka yang ditekan sehingga ke sudut paling dalam, kita akan menjadi orang yang akan mengajarkan mereka baca tulis dan bersuara tentang kezaliman bagi pihak mereka. Apabila melihat mereka yang tidak ada makanan kerana hidup gelandangan, kitalah yang akan bawa bekal untuk duduk di atas kertas suratkhabar yang sama mereka duduk, dan makan sambil mendengar mereka bercerita tentang keperitan. Supaya Adam yang mengenal kemanusiaan itu adalah belas ihsan sesama manusia, biar apa pun latar belakang bangsa. Yang sanggup berkorban walau itu mengambil sebahagian atau keseluruhan kesenangan diri mereka. Seperti apa yang ditunjukkan Nabi-Nabi yang meninggalkan segala kesenangan diri semata-mata untuk melayani ummah. Dunia di mana Adam boleh mempraktikkan potensi moral mereka. Yang sanggup melepaskan ego, dan berlaku belas untuk kemanusiaan.

Dunia ini tempat yang lebih indah untuk Adam mendapat petunjuk-petunjuk Allah. Sesuai dengan kemampuan intelek mereka yang tidak terbatas. Bila mereka melihat banjaran gunung yang tersusun indah dan berbalam-balam, di mulut mereka ialah Maha Suci Tuhan Yang Menjadikan. Bila Adam melihat pelangi yang 7 warnanya, di mulut mereka ada kekaguman bagaimana warna-warna boleh menghiasi langit begitu indah sekali? Apabila mereka duduk diam di waktu malam, melihat bintang-bintang yang berlainan saiznya, berkelip-kelip selang berselang. Sedang Adam tahu itu adalah cahaya yang datang berjuta-juta tahun lampau, lantas dalam kepalanya terpukau dan mengatakan “siapa yang menjadikan semua ini?”

Dan dengan potensi moral dan kemanusian, potensi intelek yang tidak terbatas, Adam akan tunduk hanya kepada Yang Satu. Dia. Bukan yang lainnya.

Saya tidak tahu, samada saya akan menyambung tulis memahami Adam ini. Tetapi ada soalan dari linkungan aneh saya bertanya, “kenapa Tuhan menciptakan dunia ini begitu luas dan besar, sehingga tidak terjangkau oleh ahli sains untuk mengkaji penghujung alam semesta. Kenapa Tuhan perlu membuat alam semesta seluas itu? Apa perlunya?”

Jawab saya pada dia, dan mungkin anak-anak masa depan yang akan bertanya, “supaya mereka yang tidak menjumpai Quran, akan menjumpai Tuhan dengan memerhati alam semesta.”

Saya sudah merasai rindu dengan Adam. Begitu Adam diciptakan. Walau Malaikat juga bertanya, tetapi Tuhan tetap mempertahan Adam. Dalam diri Adam ada fitrah, dan fitrah ini yang akan membolehkan Adam memanifestasi nama-nama Tuhan Yang Husna.

Mungkin ada kesempatan yang lain, yang akan membawa saya bertemu anak-anak untuk bercerita mengenai Adam.

Sekiranya saya tidak mampu menjawab, jangan putus asa bertanya. Kerana hanya dengan bertanya, kita akan mencari. Dan hanya dengan mencari, kita akan menjumpai. Dan bila menjumpai, kita akan tunduk berserah dengan sepenuh kerelaan dan Cinta.

Entri ini demi Muhammad dan seluruh keluarganya, yang terkandung dalam sulbi Adam.

Thursday, January 02, 2014

Memahami Adam - 3


Malam itu anak-anak sudah berada di katil dengan pakaian pyjama untuk tidur, dengan di poket masing-masing lencana, “I’m A Khalifah of Allah.”

Saya akan memandang sambil senyum dan berkata, “Alhamdulillah.”

Mata mereka tidak mengantuk kerana mahu menunggu cerita, dan cerita itu adalah cerita sambungan tentang peranan kita sebagai Khalifah.

“3 peranan sebagai Khalifah, wakil Tuhan. Bendanya mudah sahaja tetapi kena amalkan hari-hari.”

Anak-anak mula memasang telinga mendengar. Mahu fokus kepada apa yang akan dicakapkan.

“Pertama, jadikan diri sendiri baik. Kedua, bantu kawan-kawan dan adik-beradik untuk jadi baik. Ketiga, jadikan alam sekitar cantik dan bersih. Untuk tiga tugas ini kita lakukan adalah untuk mendapat redha…”

“Allah!” jawapan anak-anak serentak.

Itu tentang Khalifah. Dan memahami Adam pada ayat Al Baqarah : 30. Belum masuk ayat 31 dan seterusnya. Saya tidak tahu perlu tidak untuk meneruskan perihal memahami Adam. Tetapi saya akan teruskan demi catatan. Mana tahu umur saya tidak cukup panjang, sekurang-kurangnya saya telah kongsikan apa yang dapat saya catat ketika saya mengenal Adam.

Ayat 2: 31 menerangkan kelebihan Adam kepada Malaikat yang bertanya, “Dan Dia mengajarkan Adam nama benda-benda seluruhnya, kemudian mengemukakan kepada Malaikat dan bertanya, “Sebutkan nama benda-benda itu jika kamu orang-orang yang benar.”

Dalam keadaan Malaikat mempertikaikan perlantikan Adam, Malaikat diminta untuk menamakan benda-benda yang ditunjukkan. Benda yang sama Adam ditunjukkan. Begitu dalam Al Quran menyebut jawapan Malaikat, “Mereka menjawab, Maha Suci Engkau, tidak ada yang kami ketahui selain dari apa yang Engkau ajarkan kami; sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.”

Ayat seterusnya menunjukkan Adam dapat menyebutkan nama benda-benda yang ditunjukkan. Dan Tuhan menegaskan bahawa pengetahuan Tuhan itu melebihi apa-apa yang dalam sangkaan malaikat, yang mereka sebutkan atau apa-apa yang mereka sembunyikan.

Baik di sini saya akan menyentuh, alat yang Tuhan Yang Maha Penyayang itu berikan kepada Adam. Alat yang melambangkan kemuliaan Adam boleh melebihi kemuliaan malaikat. Tetapi jarang sekali saya mendengarkan dalam syarahan agama dari Ustaz Ustazah yang terpilih.

Ayat 32 – 33 adalah tentang Tuhan yang mengajarkan Adam nama benda-benda seluruhnya. Perkataan Tuhan mengajar itu menunjukkan bahawa, Adam, secara berterusan diajar dan belajar. Belajar itu adalah menunjukkan Adam itu mempunyai kemampuan intelektual yang aktif dan bukan pasif. Dalam ayat juga menunjukkan nama benda-benda seluruhnya, bermaksud Adam berkemampuan untuk memahami apa sahaja yang dihadapkan di hadapan Adam.

Begitu Adam diberi alat kelebihan iaitu akal, intelektual.

Kerana menyedari hakikat Adam ini, saya tidak jadi hairan dengan pertanyaan linkungan aneh saya. Bila tarikh Adam turun ke bumi? Adakah Nabi Adam menjalani kehidupan di gua-gua? Adakah Adam melakukan dosa terbesar dengan makan buah larangan?

Pertanyaan adik-adik saya ini adalah melambang kemampuan intelek mereka yang berkembang. Yang sepanjang masa intelek mereka bertanya dalam senyap atau bising, dalam ramai atau seorang. Tapi di mana silapnya? Silapnya apabila agamawan kita tidak mampu memberi jawapan yang boleh melegakan pencarian mereka.

Soalan ini tidak boleh dijawab dengan jawapan agama semata-mata. Ia mesti disulami dengan jawapan sejarah. Jawapan arkeologi. Jawapan tentang sains kemanusian. Tentang homo sapien, human eractus. Mesti dijawab dengan jawapan falsafah dan teologi. Dijawab dengan jawapan idealis dan sekaligus jawapan realis pragmatik. Jawapan tentang geografi dan sains human psychology.

Hahaha, begitu melalut pula penerangan tentang memahami Adam.

Tidak, saya tidak melalut. Saya mahu menganjurkan hari ini, cabaran untuk tekad 2014. Supaya kita berani menggunakan kemampuan akal, kemampuan intelek kita.

Bila Adam mampu menamakan benda-benda yang tidak mampu dinamakan malaikat, ayat seterusnya menyebut, perintah Tuhan untuk malaikat sujud kepada Adam.

Begitulah Adam dimuliakan. Jika ada sedikit terdetik dalam hati bahawa manusia tidak mampu menyaingi kemuliaan malaikat, ayat tunduk kepada Adam ini telah melenyapkan keraguan saya. Tetapi apa-apa pun, saya tetap faham bahawa kemuliaan ini bersyarat.

Syaratnya adalah apabila Adam menggunakan kemampuannya belajar dan diajar. Apabila Adam menggunakan potensi kebaikkan yang ada dalam diri tetapi tidak disebut Malaikat. Potensi kebaikkan berupa pengorbanan, belas kasihan, pengasih kepada sesama manusia, pengasih kepada alam sekitar, menyantuni mereka yang lemah, memberi perlindungan kepada orang yang susah, mengajarkan kepada manusia lainnya tentang kebenaran, tentang pengharapan, tentang kemuliaan seorang Nabi yang digelar Muhammad.

Ini ujaan dan cabaran dan sekaligus. 2014 ini untuk menyakini bahawa Adam itu diberi kelebihan intelektual untuk kita memahami segala soalan yang kita tanyakan kepada Tuhan, dalam terang atau sendiri.

Berani tidak kita menggunakan alat ini, “Dan Aku ajarkan Adam nama benda-benda SELURUHNYA.”

Saya akan ajarkan kepada anak-anak agar mereka berani bertanya. Sekiranya saya tidak dapat menjawab jawapan mereka semuanya, kerana kekurangan ilmu dan pengalaman yang ada. Saya tetap akan galakkan mereka bertanya. Kerana hanya dengan itu mereka mencari.

Soalan yang saya ada, tidak sama dengan soalan yang anak-anak ada. Alhamdulillah, soalan saya dalam kesempatan mutakhir yang ajaib diberi jawapan. Walau jawapan yang saya dapat dalam situasi yang aneh-aneh. Yang saya pasti kenapa diberi kesempatan ini, kerana saya tidak putus bertanya dan berdoa untuk mendapat jawapan. Dan saya mencarinya setiap hari. Mencari jawapannya dalam kehidupan kecil saya setiap hari. Saya mencari, dan bonusnya, saya menjumpai. Maha Suci Tuhan.

Begitulah saya pesankan kepada anak-anak. Bertanya jangan takut. Tetapi bertanyalah dalam satu jalan sahaja, kerana mahu mencari kebenaran, kerana mahu sampai juga pada jalan Tuhan, bukan untuk yang lain. Jika mereka perlu keluar Negara, malah keluar dari bumi sekalipun, saya akan benarkan.

Kepuasan kepada iman bukan paksaan untuk percaya bulat-bulat apa yang dibacakan. Tetapi membenarkan dengan hati tanpa penentangan, tetapi dengan menyerah dengan rela berserah. Kebesaran dan kebenaran Tuhan itu adalah sesuatu yang anak-anak perlu saksikan sendiri. Itu yang akan saya pesankan kepada anak-anak. Jadilah sang penyaksi, itulah yang dimaksudkan dalam syahadah. Aku rela bersaksi.

Eh dah macam lirik lagu la pula. Baru separuh ayat 33.

Wednesday, January 01, 2014

Memahami Adam - 2

Keesokkan hari, di waktu mahu tidur, anak-anak akan minta saya menyambung kisah Adam. Tentang peranan Adam sebagai khalifah. Khalifah itu apa? Dan bolehkah mereka menjadi Khalifah juga, seperti Adam.

Dalam bilik yang sederhana kecil itu tanpa ada hiasan yang mewah-mewah, kecuali rak buku yang bersusun buku-buku yang anak-anak suka baca, saya akan duduk di hujung katil dan memandang mereka sepenuh kasih. Mereka ialah Adam masa depan, yang tidak perlu melalui kehidupan penuh kejahilan seperti saya.

Saya akan mulai, dengan memperkenalkan makna Khalifah.

Kata saya memulakan cerita, “Perkataan Khalifah ini sungguh hebat ertinya. Khalifah bererti wakil. Kalau dalam Bahasa Inggeris mereka menggunakan dua perkataan, Vicegerant dan juga Representative.”

Bagaimana kita mahu fikir mengenai perkataan ini, amat mudah. Kalau di sekolah kita ada wakil sekolah dalam banyak perkara. Dalam sukan, dalam pertandingan pidato dan debat, dalam menulis karangan dan esei, dalam pertandingan inovasi. Dalam semua perkara ini, cuba anak-anak bayangkan, bagaimana sekolah akan memilih wakil-wakil mereka?

Anak-anak pastinya akan menjawab, “yang paling pandai, berkebolehan, berbakat dan berketrampilan.”

Ayat berketrampilan itu mungkin terlalu berlebih-lebihan. Mungkin anak-anak belum pandai menggunakan ayat itu.

Saya akan jawab, “betul. Memang begitulah cara wakil dipilih. Mereka yang paling baik di antara terbaik. Kadang-kadang berlaku saringan banyak kali untuk memilih yang paling sempurna bakat dan kebolehan mereka.”

Begitulah Tuhan memilih Khalifahnya. Di antara semua makhluk yang diciptakan, Adam yang paling sempurna untuk diturunkan di muka bumi dan menjalankan fungsinya yang utama, sebagai wakil Allah, The Khalifah.

Dan saya akan mula bertanyakan kepada anak-anak, “suka tidak menjadi wakil Tuhan. Mereka yang dipilih antara mereka yang terbaik?”

Anak-anak yang bermata kuyu mahu tidur pastinya akan mempunyai tenaga luar biasa. Mungkin akan melompat-lompat mahu jadi Khalifah. Wakil Allah. MakhlukNya yang terbaik. Menjadi wakil Tuhan di muka bumi.

Melihatkan semangat anak-anak yang begitu luar biasa, saya akan mengeluarkan lencana yang tertulis, “I’m A Khalifah of Allah”. Saya akan menyematkan di baju tidur mereka satu persatu. Yang sudah dipakaikan akan punyai senyuman paling bangga di alam semesta. Yang belum akan menunggu tidak sabar.

Selesai memakai mereka lencana itu, saya akan menunggu. Sehingga keterujaan mereka redha. Dan kemudian meminta saya, ceritalah lagi.

Saya akan menyambung, “soal kita ini sebagai Khalifah ada dalam Al Quran. Dah ditulis sejak 1400 tahun yang lalu tak pernah padam-padam. Tapi kita sahaja yang selalu terlupa. Di kalangan orang dewasa ramai yang lupa. Di kalangan anak-anak pula, ibu bapa tidak pernah ambil masa untuk bercerita. Di kalangan guru sekolah, mereka disibukkan untuk habiskan silibus persekolahan. Itu lebih penting dari mengingatkan anak-anak tugas yang telah disediakan Tuhan untuk kita.”

Anak mungkin akan menjawab, “tugas yang Malaikat rasa Adam tidak mampu buat.”

Anak yang lain pula akan menambah, “tugas yang mana Tuhan sendiri membela manusia, bahawa potensi kebaikkan manusia itu berganda-ganda lebih besar dari potensi mereka untuk buat kerosakkan.”

Saya akan mengusap ubun-ubun anak-anak ini penuh kasih. Jasad anak-anak ini dari tanah liat, tapi ruh mereka, adalah ruh yang dititipkan Allah dari ruhNya. Kerana itu, apa pun yang berlaku, anak-anak ini selayaknya dikasihi. Kerana mereka sedang memegang amanah untuk menjadi Khalifah.

“Tapi Mummy, kalau jadi khalifah, apa yang sepatutnya kita buat?” Ya betul, panggilan Mummy itu tidak sedap. Seperti mumia rasanya. Saya akan ubah.

“Tapi Ummi, kalau jadi khalifah, apa tugas-tugas yang patut saya buat?”

Saya mahu memetik kata-kata orang pandai. Supaya anak-anak ini juga akan rasa saya pandai. Kata orang pandai, “orang bodoh memikirkan mereka mahu mengubah orang, orang pandai memikirkan mereka mahu mengubah dunia, tetapi orang bijak mengatakan mereka mahu mengubah diri sendiri.”

Akhirnya saya tahu, kata-kata orang pandai ni tinggi sangat. Tidak sesuai untuk anak-anak yang hanya mahu mendengar cerita sebelum tidur.

“Ada 3 tugas penting kita sebagai Khalifah. Anak-anak mahu tahu sekarang atau mahu tahu esok malam?”

Saya tahu ada di antara mereka sudah pun tertidur. Jadi lebih baik saya menyambungnya esok malam.