Tuesday, October 25, 2016

Contoh yang diwarisi - 2 (Dilema Melayu)

Saya kira dalam pengalaman hidup yang sedikit ada peluang untuk melihat beberapa perkara dalam budaya Melayu. Tentang hak pewarisan atau harta pusaka.

Siapa yang membuat kajian lanjut, akan dapat melihat banyak aset tanah orang Melayu terbiar disebabkan tidak dapat membuat penyelesaian bersama adik-beradik dan saudara mara. Cari di sekeliling dekat pun ada, kalau lebih serius buat kajian akademik pun akan jumpa. Ini dilema sejak berzaman, yang entah bila akan berakhir.

Tetapi saya tidak mahu bersembang hal ini. Tetapi untuk berkongsi apa yang arwah Ayah tunjukkan kepada kami. Ayah bukan anak yang paling tua di kalangan adik-beradik, tetapi cara Ayah berfikir itu beza. Ada banyak keadaan, Ayah bertindak sebagai jurucakap dan perunding cara.

Semasa Ayah hidup lagi, Ayah sudah menjangkakan perkara-perkara hadapan. Luar dari jangkaan kami orang muda yang masih mentah dan pucuk serba-serbi.

Dalam hal pewarisan ada banyak pesan yang arwah Ayah minta kami adik-beradik melepaskan hak menuntut untuk tanah warisan, terutamanya ketika dia telah tiada. Kata Ayah, jika semasa hidupnya dia melepaskan hak warisan anak-anak juga perlu membuat hal yang sama ketika dia sudah tiada.

Pesan Ayah ini melekat di kalangan yang menerima mesej Ayah. Meski pun hanya berbentuk verbal bukan bertulis, kami memegangnya sebagai amanah. Kerana itu dalam banyak keadaan kami mematuhi pesan ini.

Bila Ayah sudah tiada, baharu nampak hikmah yang berlaku. Tindakan Ayah adalah untuk memudahkan dan juga berlaku ikhsan kepada sanak saudara yang lebih memerlukan. Kalau tinggalan harta benda dan kemewahan itu penting, tentu kami dibesarkan dengan kesenangan dan kemewahan. Tetapi Ayah hanya mengajarkan kami bersederhana dan sekiranya perlu berhutang, berhutang dengan mengukur baju, ikut kemampuan dan bukan menjerut diri.

Pelajaran yang Ayah tinggalkan bukan berbentuk kuliah dan wacana. Kadang-kadang saya berangan andai masa Ayah hidup kami mempunyai jadual khusus untuk mendengar kuliah dan perbincangan dari Ayah. Kerana ilmu Ayah itu tersimpan dalam minda dan jasadnya. Yang disimpan berkalang tanah sekarang.

Begitupun, saya mensyukuri, bahawa Ayah meninggalkan contoh yang boleh kami warisi melalui tindakan-tindakan tegas dan tepat dari Ayah. Mungkin benar pepatah, action speak louder than words.

Boleh jadi untuk saya yang terus-terusan belajar ini perlu meyakini, bahawa apa pun yang dilakukan adalah satu bentuk energi (tenaga). Ianya tidak akan mati, terpadam, terhapuskan tetapi akan dipindahkan kepada yang lain. Entah yang lain itu manusia, atau yang lain itu hanyalah sekadar aura keseimbangan dalam dunia. 

Saya berharap akan dapat berbuat seperti arwah Ayah juga. Saya juga berharap semua orang dewasa mempunyai kesedaran yang sama. Terutama mereka yang menjadi Ayah dan Ibu kepada anak-anak yang masih kecil.

Setiap perbuatan itu diperhatikan, mungkin terpahat sebagai memori kekal dalam minda anak-anak sampai mereka mati. Kerana itu, sebagai orang dewasa, biarpun ada anak atau tidak ada, adalah satu tanggungjawab besar untuk membuat sesuatu yang mempunyai nilai baik dan fitrah, kerana sesiapa pun yang melihat akan menjadikannya sebagai contoh yang akan mereka warisi.

Monday, October 24, 2016

Contoh yang diwarisi - 1

Baru ini terbaca dalam FB seorang kawan tentang kebajikan. Ramai yang mempersoalkan dia begitu berani membuat kerja sukarela bersama pelarian Rohingya. Kawan menjelaskan kenapa dia tidak mempunyai perasaan takut dan ragu-ragu, jawapannya ialah dia mecontohi sikap suka membuat kebajikan yang diwarisi dari Nenek dan Ibu.

Dalam statusnya yang panjang, hal-hal membuat kebajikan ini untuk dirinya bukan hal baru. Bermaksud, hal membuat baik kepada orang lain telah dilihat lama dulu dari Nenek. Kemudian Ibunya juga sangat murah memberi, orang dikenal dan tidak dikenal. Bahkan kadang-kadang sengaja membawa gula-gula dalam saku untuk diberikan kepada kanak-kanak atas tujuan untuk memberi, dan juga berkongsi apa yang boleh.

Bila sesuatu itu dilihat sejak dari kecil, contoh itu menjadi satu perbuatan yang akan diikut sehingga dewasa. Apabila dikongsi bersama orang lain, itu bukan tanda untuk menunjuk atau riak. Ia hanya sesuatu aktiviti yang dirasakan baik untuk dikongsi bersama orang lain. 

Rupanya orang selalu membuat baik ini, bila selalu sangat buat, satu masa dia tidak rasa apa-apa pun terhadap perbuatan itu. Ianya seperti satu rutin yang biasa. Seperti manusia biasa makan dan minum. Satu perbuatan semacam automatik. Kadang-kadang tidak sedar pun. 

Kata orang psikologi, sudah menjadi tabiat atau dalam bahasa Inggeris habit.

Saya kira orang pertama yang dicontohi oleh sesiapa pun adalah ibu bapa. Atau mereka yang terdekat berada dalam linkungan pembesarannya dari kecil, kemudian menginjak remaja dan dewasa. Apa yang terlihat dari perbuatan ibu bapa/penjaga itulah yang akan melekat zaman berzaman. 

Ada beberapa kaedah yang akan menyebabkan seorang anak tumbuh menjadi seorang yang prihatin:
1. Melihat secara langsung perbuatan baik yang diamalkan oleh ibu bapa/penjaga.
2. Diajarkan oleh ibu bapa/penjaga
3. Sekiranya ibu bapa/penjaga meninggalkan awal, perbuatan baik ibu bapa itu selalu diceritakan oleh adik beradik saudara mara.
4. Persekitaran yang ada, adalah persekitaran suka memberi dan berceritakan hal-hal yang baik.
5. Terlibat dengan kelab/persatuan yang suka menganjurkan kerja-kerja kebajikan
6. Suka membaca hal-hal kebaikkan yang bersifat memberi dan menyantuni yang lain

Tadi ketika bersembang panjang bersama rakan baik, saya teringat arwah Ayah. Kata saya kepada rakan (Ja), saya kira masa kecil saya selalu diisi oleh imej seorang lelaki walaupun sudah melepasi usia pencen tetap sahaja berlaku baik pada setiap keadaan.

Imej arwah Ayah pada saya adalah orang yang sangat sederhana dalam semua segi, meskipun saya kira ilmu arwah Ayah banyak. Ayah walaubagaimana pun adalah seorang pendiam. Tidak banyak cakap, cuma tindakannya sahaja yang akan nampak di mata anak-anak, itupun jika anak-anak mengambil peluang untuk memerhati.

Masa Selangor mengalami krisis air genting satu masa dahulu, Ayah sudah pun pencen. Yang tinggal di rumah adalah, saya, Ayah dan mak yang bergantung pergerakkan dengan menggunakan kerusi roda (sebab baharu sahaja selesai dari pembedahan).

Sumber air bergantung kepada air hujan dan lori bekalan. Tenaga Ayah sudah amat terhad, tetapi dengan ilmu yang Ayah ada, Ayah mereka sendiri sistem bekalan air dari halaman rumah untuk dipenuhkan ke dalam kolam di bilik air. Kami perlu lenjun dalam hujan lebat semata untuk memastikan air hujan yang masuk ke dalam drainwater downpipe disalurkan ke tangki di halaman rumah. Tangki di laman rumah akan terus menyalurkan air ke dalam kolam di bilik air. Jika ada lori bekalan datang, kami akan beratur untuk ambil air dalam baldi dan tong yang ada. Kegunaan untuk masak dan air minum. 

Saya katakan kepada Ja, saya sungguh sangat bertuah kerana menjadi saksi dengan mata dan bersama-sama Ayah untuk memenuhkan air kolam di bilik air setiap hari. Ini adalah kerana Emak memerlukan air yang banyak untuk mandi dan membersihkan diri. Tetapi untuk adik-beradik yang lain yang sudah duduk jauh dan berasingan, tidak berpeluang melihat contoh yang Ayah lakukan.

Saya katakan kepada Ja, saya kira setiap kebaikkan ibubapa perlu diceritakan sebagai cerita warisan. Sepertimana yang dibuat oleh datuk nenek moyang dahulu yang menggunakan medium cerita sebagai perantara. Oleh kerana saya yang menyaksi, menjadi kewajiban untuk saya yang menceritakan hal ini kepada yang lain. Bukan kerana untuk menunjuk baik, tetapi sebagai contoh yang boleh diwarisi kepada generasi akan datang.

Zaman ini, generasi muda diisi apa yang dihidangkan dalam gajet kerana itu yang dekat dengan mereka. 

Tetapi sukar untuk saya menceritakan hal ini kepada abang-abang kerana jarak umur dan juga saya yang tidak pandai berkomunikasi. Tetapi kata saya pada Ja, yang boleh saya buat adalah menceritakan hal kebaikkan dan nilai yang baik ini kepada adik. 

Adik saya mungkin yang paling kasihan kerana hanya mengenali Ayah sehingga umurnya 17 tahun. Itu pun selepas umur 12 tahun, dia sudah dimasukkan ke asrama. Bermakna kurang 12 tahun dia mengenali susuk seorang lelaki yang paling hebat (mengikut pandangan saya). Sekiranya tidak ada orang menceritakan bagaimana Ayah, sudah tentu adik tidak akan mengenalinya.

Baru tadi saya rasakan penting untuk mewarisi contoh yang baik kepada generasi muda. Sekiranya tidak dapat membuatnya dengan perbuatan, kena buat melalui penceritaan. Mungkin juga dari tulisan yang baik. 

Mungkin betul untuk membuat sesuatu yang baik untuk pertama kali merasa janggal dan malu. Tetapi kalau sudah biasa buat, tidak jadi janggal lagi. Betul pepetah Melayu, alah bisa tegal biasa. 

Walaupun belum tentu contoh baik itu menjadi ikutan, tetapi keberangkalian akan diikut oleh anak-anak itu 50%. Mungkin tidak buat sekarang, tetapi satu waktu apabila kedewasaan dan kematangan anak itu menumbuh, InshaaAllah akan dibuat juga. Kerana benihnya telah ditanam, hanya tunggu masa untuk tumbuh dan memberikan hasil yang baik. 

Kebaikkan itu ibarat menanam benih. Benih yang ditinggalkan pun ada 50% kebarangkalian yang menjadi tanaman yang memberikan manfaat. Kalau tidak memberikan buah sekalipun, tumbuhnya pasti akan memberikan oksigen kepada alam.

Apatah lagi kalau benih itu dirawat dan dijaga setiap hari. Cukup air dan pancaran matahari. Cukup nutrien dari baja dan gemburan tanah. Cukup kasih sayang yang diberikan oleh tuan kebun. InshaaAllah, tumbuhan itu hidup dan memberi manfaat lebih banyak. 

Kata kawan, jika tidak berbuat, jadilah si penyampai cerita. Jika tidak pandai bercerita, jadilah si penyimpan niat yang baik. Kerana dengan niat sudah diganjari, apatah lagi dengan amal dan perbuatan.

Hari ini, akhirnya, saya cuba menulis kembali.