Friday, December 30, 2016

11.
Kawan saya itu luar biasa senyap sekarang. Sebelum ini, saya menunggu kehadiran melalui status yang dikemaskini di Facebook. Tetapi, sekarang, jarang sekali dia muncul.

Satu hari, ketika keluar dengan dia, saya bertanya.

Dia memandang saya tepat ke mata, tetapi masih sepi.

Lima minit kemudian, dia bersuara, “menulis ini sesuatu yang berat aku rasa.”

Saya jadi hairan. Sebelum ini bukan main dia menebarkan bicara hikmah hampir 2-3 kali seminggu. Saya adalah pengikut setia dalam diam.

“Berat? Sebelum ini kau OK.”

“Macamana nak terangkan, aku macam hilang ayat.”

Sepi lagi. Tetapi saya tetap mahu tahu apa sebabnya.

“Aku seperti merasakan setiap perkataan yang ditulis, ada saka yang mengikut.”

Kering darah di muka. Tidak sangka itu yang keluar.

“Biar betul. Perkataan itu makhluk? Dia bertenggek kat mana?” Saya dah bayangkan yang bukan-bukan. Hitam, berbulu, mata merah, bertaring, hisap darah, bertenggek atas bahu. Ikut ke mana sahaja.

“Kat bahu.” Dia menjawab selamba. Tiada riak ketakutan.

Betul sungguh bertenggek di situ. “Serius?”

“Serius. Tapi bukan makhluk seperti yang kau fikir."

Aik, dia nampak apa yang aku nampak?

"Ia seperti rasa berat yang dituntut dalam bentuk pertanggungjawaban. Maksudnya, kalau kau cakap sesuatu, selepas itu kau kena buat. Kalau tak buat, ia macam makhluk tergantung yang akan mengikut kau ke mana-mana. Jika tidak buat sampai ke sudah, akan sesuatu jadi pada kau.”

Saya lega ia bukan makhluk aneh atau spiritual. Sekurang-kurangnya saya tidak perlu takut dekat pada rakan yang seorang ini.

“Kalau fikir balik, ada ayat dalam Quran ingatkan tentang perkara ini.” Dia menyambung. “Dalam Quran dengan maksud lebih kurang, ada satu pertanyaan Tuhan kepada kita semua, kenapa kamu berkata sesuatu yang tidak kamu lakukan?”

Saya berfikir panjang. Mencari ayat-ayat pernah tersimpan dalam kepala dan hati. Kosong. Balik nanti cari.

“Itulah beratnya kalau menulis dan bercakap. Aku rasa jalan terbaik adalah diam, sehinggalah benda itu telah pun dikerjakan.”

“Tapi kau tulis benda baik kot. Tak mustahil ada je orang terkesan.” Dalam hati saya, mengakui bahawa saya sendiri selalu terkesan.


“Waima baik sekali pun, aku rasa aku hadkan dulu apa yang nak ditulis. Esok lusa ada rezeki, aku tulis balik kalau semua saka dah penat tenggek kat bahu.”

Thursday, December 29, 2016

Doa Si Kecil

Petang semalam bawa Abang Asytar dan Askari beli barang sekolah. Abang nak masuk asrama, InshaaAllah.

Memilih pakaian dan barang yang sesuai memang lama, tapi budak dua orang ni akan selalu tanya, kita nak solat mana? Sekarang pukul berapa? Lepas tu bagi cadangan, kat sini ada surau yang dekat. Lepas ni boleh kita singgah.

Mujur Asytar Ada keupayaan spatial yang bagus. Jalan yang ditunjuk tepat, arah yang disebut pun jelas. Kalau ikut Waze mahu berpusing-pusing asyik salah masuk lorong.

Balik rumah tanya Askari, "awak doa ibu tak lepas solat?"

"Doa", dan disebut doanya dalam bahasa Arab. Sudahnya, kita pula dapat belajar doa untuk arwah dari budak darjah 3. Kena ulang 7 kali OK. MJ dah tumpul Arab, lambat sikit mengingat.

Friday, December 02, 2016

Nilai Baik yang boleh Membeli

9.

Tadi, masa makan dengan Adik dan Anak-anak Buah, seorang promoter perempuan datang dekat dan memperkenalkan satu judul buku. Buku yang dijual berkulit keras, kelihatan menarik jika dibuat koleksi. Ya, saya peminat buku.

Sebagaimana promoter yang lain, paling sukar adalah untuk mendapat perhatian pelanggan untuk mendengar apa yang ditawarkan. Pembeli dibiasakan untuk pergi ke kedai atau tawaran atas talian jika mahu sesuatu. Bukan beli dari penjual yang datang.

Saya lihat remaja perempuan ini dengan kagum. Keberanian dan keyakinan untuk memperkenalkan sebuah buku kepada pelanggan yang memikat hati saya. Siapa yang mahu membeli di zaman gawat begini? Jika tugas ini diberikan kepada saya, belum tentu boleh saya laksanakan.

Tidak sampai lima minit, saya sudah bersetuju untuk membeli buku dan juga DVD yang ditawarkan.

Pertama, remaja perempuan itu bertemu dengan orang yang tepat. Buku punya tempat istimewa di hati saya.

Dua, saya ingin membuat kebaikkan kepada remaja tersebut dengan meminjamkan sokongan dan perhatian.

Ketiga, remaja tersebut menjual produk, bukan memohon simpati, sumbangan.

Empat, di hadapan saya dua anak kecil yang belum tahu apa-apa. Saya cuma mahu nyatakan kepada anak-anak kecil ini bahawa melabur buku tidak pernah sia-sia. Boleh dibaca, disimpan, dikongsi dan nanti diwariskan.

Setelah memberikan duit, remaja tersebut mencari sesuatu dalam dompet. Tiada duit baki yang boleh dipulangkan kepada saya. Dia meninggalkan semua barang jualan di kerusi berhampiran, minta izin untuk mencari baki di kedai-kedai.

Adik ipar saya memandang hairan. Macamana dia boleh meninggalkan semua barang, yakin yang kami tidak akan khianat. Tapi bagi saya, adalah lagi hairan lagi kalau dia mengambil duit tanpa memberi jaminan yang dia akan kembali.

Setelah beberapa lama, dia kembali. Dengan wajah berseri. Pulangan RM5 disertai dengan doa-doa kebaikkan, manfaat yang banyak dari buku, dan semoga anak-anak kecil diberikan kebaikkan ilmu.

Saya tidak bersimpati kepada remaja tersebut. Hanya kagum. Yang sedang dibuat sekarang ini adalah membina keyakinan berhadapan dengan orang. Memperkukuhkan hati dengan mendengar dan menerima penolakan. Terbuka dengan orang asing. Amanah terhadap tugas. Melancarkan tutur kata dengan komunikasi berkesan. Belajar menyelesaikan masalah apabila berhadapan dengan kemungkinan tidak dijangka, seperti tidak ada baki di dompet.

Nampak seperti norma (common sense). Sungguhpun norma, tetapi ramai juga tidak dapat menghadapi jika tidak pernah mengalami. Kena ada praktis langsung.

Semua kemahiran yang saya lihat depan mata dalam waktu beberapa detik itu perlu kepada remaja, dan yang paling penting kemahuan diri untuk berdikari.

Ini mengingatkan saya kepada satu cerita.

Satu hari seorang abang membawa adik berjalan di kedai. Satu ketika adik tertinggal di belakang. Adik dengan penuh khusyuk merenung patung mainan di sebuah kedai. Abang tersebut mungkin berumur 9 atau 10 tahun melihat adik dengan penuh prihatin. Kemudian bertanya sekiranya adiknya memerlukan sesuatu.

Adik dengan penuh harapan mengatakan dia suka kepada anak patung tersebut. Si Abang, walaupun masih kecil namun matang membawa adik masuk ke kedai. Adik mengambil anak patung dengan suka hati. Di kejauhan, pemilik kedai yang bermurah hati melihat segala-galanya penuh minat. Di sebelah pemilik adalah pekerjanya.

Si Abang bertanya kepada pemilik kedai berapa harga anak patung tersebut. Pemilik kedai dengan bijak membalas, “berapa yang awak ada untuk membayarnya?”

Si Abang dengan penuh yakin mengeluarkan sesuatu dari poket seluar. Ada 8 buah kulit kerang yang dikutip di pantai diletakkan atas kaunter.

Si Abang bertanya, “Adakah masih kurang jika saya memberikan semua ini?”

Pemilik kedai menjawab, “sebenarnya sudah lebih. Ambil yang semula yang empat ini, saya akan ambil empat sahaja.”

Wajah Abang penuh cahaya. Keluar dari kedai bersama Adik dengan girang.

Pekerja memandang pemilik kedai penuh hairan. “Kenapa Tuan menjualkan anak patung yang mahal dengan kulit kerang?”

“Bagi kebanyakkan kita, ini hanyalah kulit kerang. Tetapi bagi Abang tu, kulit kerang ini adalah benda berharga. Kerana itu dia penuh yakin menyerahkan kepada saya.”

“Tuan sungguh baik hati.”

“Saya mahu menerapkan nilai kebaikkan, itu sahaja. Entah bila lagi saya akan berjumpa dia. Tetapi saya percaya bila Abang besar nanti, dia akan teringat peristiwa ini. Peristiwa yang dia pernah membeli anak patung dengan adiknya dengan kulit kerang atas dasar prihatin seorang pekedai. Dan ini akan mendorongnya untuk menjadi baik. Dan boleh jadi dari Abang akan muncul sumber kebaikkan yang lainnya untuk masyarakat pula. Bukankah sejak mula niat Abang itu baik kerana mahu menggembirakan adiknya?”

Kerang itu bukan nilai patung mainan, tetapi nilainya terletak pada kebaikkan dan perjuangan untuk menggembirakan adik semampu usaha yang boleh dilakukan Abang.

Juga mengingatkan rakan saya di Rumah Warga Prihatin (RWP) Kajang. RWP mengajarkan anak-anak mereka secara praktis semua kemahiran ini, berterusan. Mereka mengajarkan anak-anak bagaimana menyambut tetamu di rumah keraian pengantin, seperti memayungi tetamu dan membesarkan hati mereka dengan senyuman yang ikhlas. Dari gambar, kelihatan mereka tidak canggung, malah gembira tidak selindung.

Kebaikkan tiada nilaian wang.

Dari kebaikkan itu akan datang keberkatan.

Keberkatan datang dalam bentuk misteri dan ghaib.

Boleh jadi kita tidak akan pernah melihat keberkatan muncul dalam bentuk fizikal di depan mata, ia cuma dapat dirasai dengan jiwa, dan buah dari semua itu adalah ketenangan sukma.




AA
Pengumpul batuan dan cerita