Belajar Secara Efektif

Ramai juga yang bertanya formula belajar yang efektif. Memandangkan jarang sekali waktu belajar saya tidur lewat kecuali ada tugasan yang perlu diselesaikan. Terutama tugasan berkumpulan, kalau individu selalu sahaja selesai awal. Waktu tidur saya tetap, paling lewat adalah jam 12.00 malam. Selalu lebih awal. 

3 benda sahaja yang dibuat:
1. Mendengar
2. Mendapatkan berkat guru 
3. Kenali diri sendiri

1. Mendengar
Mendengar ini bukan setakat menumpukan pelajaran kepada apa yang disampaikan guru atau pensyarah. Saya adalah pendengar yang aktif. Sambil mendengar sambil mencatat. Sambil mendengar sambil cuba memahami. Itu adalah tindakan yang seiring dengan mendengar.

Mendengar aktif juga adalah cuba merakamkan segala yang didapati dalam kelas dalam fikiran. Kadang-kadang saya mampu merakam suara dan nada suara yang disampaikan. Dengan itu kandungan syarahan boleh bertahan lama dalam kotak fikiran. Setengahnya, saya masih boleh recall sampai sekarang (tentu dalam subjek-subjek terpilih).

Satu aspek lain tentang mendengar ialah, setiap kali arahan daripada guru dan pensyarah saya akan dengar. Termasuk pesanan-pesanan yang berbentuk pilihan. Maksudnya boleh buat atau tidak perlu buat. Seperti buat ulangkaji satu jam selepas kelas. Buat ulangkaji 30 minit sebelum kelas bermula. Buat latihan lebih daripada apa yang diminta dalam kelas. Siapkan tugasan lebih awal dari waktu menghantar. Berhati-hati dengan tarikh penghantaran dan hantar on time. Saya mendengar dan patuh.  

2. Mendapatkan berkat guru
Saya bukan pelajar yang cemerlang dari segi komunikasi. Selalu saya berasa rendah diri dengan guru-guru kerana gemilangnya ilmu yang pada mereka. Saya hanya boleh menegur dengan salam dan tidak lebih dari itu. Kerana hormat pada mereka terlalu tinggi, saya lebih sanggup tidak bertembung dijalanan. Takut tersalah cakap dan terkurang budi.

Mendapatkan berkat guru dengan sikap saya yang introvert ini adalah berbalik kepada No. 1 semula. Dengan mendengar dan patuh. Sedaya mungkin akan sampai ke kelas pada waktunya dan jarang sekali ponteng. Kalaupun saya terlalu lewat datang, saya tetap akan masuk juga dan memberi perhatian.

Perkara yang paling takut sekali berlaku, ialah jika cikgu atau pensyarah yang marah. Meski bukan kesilapan sendiri, tetapi kesilapan orang lain tetap menjadikan jiwa bergoncang dengan sangat hebat. 

3. Kenali diri sendiri
Setiap orang diberi kelebihan masing-masing. Itu yang saya percaya. Tidak ada manusia bodoh dan pandai. Yang ada hanya manusia yang berusaha atau yang malas. Berusaha dan malas itu atas pilihan. Untuk menjadi pandai dalam pelajaran adalah perlawanan terbuka dan adil. Masing-masing boleh dapat pada kedudukan tersebut dengan syarat kenali diri sendiri.

Apa maksud dengan mengenal diri sendiri? Jika kita tidak pandai bahasa Inggeris, dan bahasa itu satu-satunya bahasa yang boleh membantu kita untuk faham, maka usaha kita untuk menguasainya perlu ditingkatkan. Boleh jadi dengan banyak membaca novel bahasa Inggeris, membaca kamus, cuba berkomunikasi dengan rakan yang sporting dalam bahasa Inggeris atau menulis diari setiap hari dengan bahasa yang sama. Jika kita tidak pandai matematik, juga perlu diusahakan dengan usaha lebih keras sehingga kita lebih faham. Begitu juga dengan matapelajaran yang lain. Jika masih lagi tidak boleh dengan usaha sendiri, carilah rakan dan mintalah dia menjadi tutor. Dengan itu pembelajaran menjadi lebih mudah.

Kenali diri sendiri, jika kita manusia audio maka fokuslah mendengar. Jika kita manusia visual, siapkanlah nota dalam bentuk visual. Kalau kita manusia berstruktur, buatlah nota minda yang berstruktur. Jika kita kurang untuk memahami dalam kelas, rakamlah suara guru dengan MP3, dengan voice recorder dan ulangilah ketika kita bersenam atau jogging. 

Seribu satu macam cara boleh dilakukan, soalnya adakah kita hanya mahu bersenang lenang dan berpeluk tubuh.

*****
Akhir sekali secret recipe yang mungkin semua orang pun tahu, tapi diulang semula dalam entri ini. Untuk belajar secara efektif ialah dengan mengikhlaskan diri dan tunduk kepada ilmu. Kerana ilmu sifatnya sebagai cahaya, ia hanya akan melekat di dada orang yang ikhlas padanya. Sekali ilmu telah melekat pada tubuh, dia sendiri akan memantulkan cahaya sehingga boleh membantu menerangi jalan orang lain.


p/s: Terbuka untuk kritikan dan tambahan perkongsian ilmu. Apa-apa pun, moga dapat memberi manfaat. Selamat beramal :)

Comments

Popular posts from this blog

さくら満開

Bulan Mengambang