Nama Saya Aken - 1

Nama saya Aken. Saya orang biasa, malah terlalu biasa untuk di kategorikan sebagai biasa. Tetapi saya ada cerita. Tidak mengapalah kalau tidak mahu membaca, bagi mereka yang meneruskan baca juga saya harap awak akan dapat sesuatu. Kalau tidak dapat dimanfaatkan sekalipun, mungkin akan jadi bahan tambahan kepada senarai bacaan awak yang panjang. Saya tahu awak suka membaca.

Memang pelik saya dapat menulis. Selalu tergantung tidak dapat untuk dihabiskan. Mungkin sekarang saya banyak masa, mungkin awak juga seperti saya ada masa terluang, bahan bacaan pula terhad sekarang ini.  

Begini ceritanya.

Beberapa bulan lepas, sebelum kejadian yang kita alami hari ini saya sempat berbalas pesanan dengan pensyarah saya Dr. Azka. Betul, semuanya berlangsung beberapa bulan sebelum talian telekomunikasi putus, bekalan elektrik lumpuh semua dan air tidak dapat lagi diperoleh dari paip bekalan air. Dr. Azka telah meramal tentang perang. Jika ikut turutan nombor rasmi, ini yang ketiga. Jika awak dapat membaca ini bermakna kita adalah serupa. Kita adalah mereka yang terselamat dari bencana perang. Kita hidup selepas perang hebat yang tidak pernah dikenal dalam sejarah dunia.

Kata Dr. Azka dalam tradisi Barat, ianya Amargeddon. Tetapi Dr. Azka suka untuk menyebutnya sebagai Malhamah. Dr. Azka menerangkan, kalau kita menggunakan perkataan Amageddon ianya seperti ilmu yang datang dari Barat, ilmu baru. Sedangkan ribu ratus tahun dahulu Nabi telah berpesan tentang ini dengan menggunakan kata Al Malhamah. Pesannya telah lama, tetapi betul kita tidak mendengar.

Saya ceritakan, jika sudi dengarkanlah.

+ Awak tahu Aken, saya paling suka surah Al Kahfi.

# Kenapa Dr.? Bukankah surah itu panjang dan begitu meletihkan kalau dibaca.

+ Sebab ianya catatan untuk panduan manusia di akhir zaman. Bukan untuk orang Muslim sahaja, untuk semua umat yang mahu ambil peringatan. Mungkin di kalangan umat baik Katolik, Ortodoks, Hindu, Budhha, Agnostik semua agama dunia boleh jadi membaca juga Quran dan ambil peringatan. Siapa tahu? Manusia tidak akan tahu semuanya. Memukul rata orang bukan Islam tidak membaca Al Quran sudah tidak boleh pakai pada zaman ini.

Jangan salah faham. Dr. Azka bukanlah kategori Islamik yang boleh awak bayangkan. Ketika waktu santai, Dr. Azka boleh saja berseluar jeans, berbaju sedikit panjang dan bertudung bawal yang sengaja dilepaskan ke bawah. Tidak diselempangkan ke sisi. Kalau berbual pun, boleh sahaja topik apa sahaja termasuk novel Suamiku Bpmba atau perempuan orang putih berbikini di pantai. Cuma, beberapa bulan sebelum perang meletus Dr. Azka seperti bertukar 180 darjah. Seolah Dr. Azka mahu saya membaca apa yang beredar di kepalanya.

+ Awak percaya hari akhir Aken? End of time orang putih kata.

# Saya percaya. Tapi mungkin lambat lagi. Tidak akan berlaku di zaman kita ini. Maksudnya, Dr. akan sempat mati, saya juga akan mati sebelum semua perkara yang dibayangkan itu terjadi.

+ Kawan-kawan terpelajar saya juga berfikiran yang sama. Tinggal lagi saya tidak fikir begitu. Mungkin kita hanya ada beberapa detik waktu sahaja. Tidak mengapalah, saya ceritakan tentang surah Al Kahf. Ada empat cerita, dan semua cerita ini memang pengajaran yang dekat untuk kita di zaman ini.

# Saya akan cuba memahamkan ke semuanya.

+ Pertama, cerita pemuda Gua. Yang kedua cerita pemilik dua kebun. Yang ketiga cerita Nabi Musa dan Nabi Khidhir, akhir cerita Dhul Qarnayn.

Betul ramai yang telah tahu mengenai empat pengajaran dalam Surah Al Kahf. Tetapi terus terang saya katakan, saya tidak pernah mengambil berat betul-betul kisah yang ada dalam Al Quran, apatah lagi mengambilnya secara serius. Saya muda lagi, masa saya masih panjang untuk menjadi orang masjid. Sebelum ini Dr. Azka tidak pernah mahu menyentuh bab-bab agama. Selalu cerita tentang masa sekarang, ekonomi, politik, sastera dan pendidikan. Entah beberapa bulan lalu, Dr. Azka menukar haluannya. Mungkin ada keperluan Dr. Azka untuk ‘mengisi’ saya sedikit.

+ Tentang pemuda Gua, saya kira awak pun tahu ceritanya. Pegawai istana Raja Diqyanus yang melarikan diri dari kemewahan dan kesenangan istana. Ada yang menyebut 7 orang, tetapi Al Quran sendiri tidak galakkan kita berbantah mengenai berapa ramai sebenarnya kumpulan pemuda Gua. Masuk ke dalam gua, kemudian Tuhan tidurkan mereka lama, 300 tahun lamanya. Sehingga di bangkitkan kembali mengejutkan masyarakat yang ada pada waktu itu. Kata orang kampung, kisah Pemuda Gua ini hanyalah urban legend, tetapi bila Tamlikha salah seorang ahli Ashabul Kahfi membawa duit perak untuk mendapatkan makanan baharulah mereka tahu ianya sebenar kejadian, bukan cerita lagenda turun menurun dari nenek moyang.

# Saya cuma terfikir, apa yang memotivasikan mereka membuat tindakan nekad macam tu. Meninggalkan istana, sedangkan mereka ada kedudukan dan dijanjikan kesenangan. Mereka itu orang kanan Raja, kenapa mengambil tindakan menyimpang arus?

+ Entahlah Aken, susah untuk menjangkakan apa yang berkocak dalam psikologi jiwa mereka. Nekad selalu datang dengan ilmu pengetahuan. Ilmu pengetahuan ini kemudian bertukar menjadi faham. Kemudian menjadi yakin. Yakin ini yang akan mendatangkan nekad. Bila apa yang dipercaya adalah realiti yang lebih berbaloi dikejar, kita semua akan menjadi Ashabul Kahfi.

# Apa maksud Dr. Azka realiti yang lebih berbaloi dikejar?

+ Dalam kes Ashabul Kahfi realiti mereka dalam sistem Raja Diqyanus ialah mereka pegawai. Orang kanan. Kedudukan mereka baik. Masa depan mereka juga baik. Mereka juga muda. Masa mereka masih panjang, pilihan mereka sebenarnya ialah bersenang-senang dan berfoya-foya. Tidak perlu berfikir lebih dari apa yang ada di hadapan mata mereka. Bukankah Raja Diqyanus melayan mereka baik?

# Betul Dr. Jadi dimana letaknya relaiti yang lebih berbaloi dikejar oleh Ashabul Kahfi?

+ Dalam situasi yang lain, mereka selalu berkumpul dan mungkin mengeteh sefaham kita. Tetapi mengeteh mereka bukan di kedai mamak yang dihidangkan dengan layar besar yang menayangkan bolasepak atau maharajalawak. Tidak ada seperti pertandingan Olimpik Rio acara perseorangan akhir Lee Chong Wei dan Cheng Long. Tidak ada. Mengeteh mereka membicarakan tentang apa yang paling dekat dengan fitrah. Yang terdetik di hati kecil mereka ialah mustahil Raja Diqyanus yang selalu mengaku-ngaku Tuhan itu adalah Tuhan yang sebenar. Hati mereka tidak dapat menerima kenyataan yang selalu disebut oleh media massa istana sedangkan jelas Diqyanus juga manusia. Bagaimana boleh manusia mencipta manusia. Atau mencipta alam semesta.

# Saya ingat mereka mesti selalu berbincang sehingga satu saat mereka merasakan realiti sebenar adalah adanya Tuhan Yang Maha Satu yang layak disembah dan realiti ini yang lebih dekat dengan fitrah.

+ Awak betul Aken. Susah juga saya mahu menerangkan. Realiti itu lebih jelas kelihatan dalam jiwa mereka kerana itu mereka sanggup menempuh susah lari ke gua. Pernah awak jumpa kawan yang mereka lebih seronok main game berbanding pergi kuliah dengar syarahan?

# Pernah. Ramai. Dalam komuniti on-line mereka adalah selebriti. Sebab itu mereka tidak mahu keluar dari permainan itu. Hidup di realiti sebenar mereka bukan siapa-siapa, tidak dikenal pun.

+ Macam itulah rasanya Ashabul Kahfi. Realiti untuk mereka mengaku ada Tuhan Yang Maha Esa yang selayaknya disembah itu satu realiti yang mereka tidak boleh nafikan. Tiada satu jalan yang boleh kompromi. Bagaimana mereka boleh kompromi dengan Diqyanus? Bila tidak ada jalan, maka jalan lain yang mereka mesti tempuh untuk menyelamatkan iman mereka. Ini adalah contoh tindakan jihad yang benar Aken.

# Bagaimana kita tahu kita buat tindakan yang benar?

+ Saya tidak tahu bagaimana Ashabul Kahfi mendapat keyakinan mereka. Dalam hal ini, saya salute Ashabul Kahfi dengan dua tabik hormat, kiri dan kanan. Tetapi untuk kita sangat mudah Aken, kembali kepada Al Quran dan petunjuk yang Rasulullah beri. Itu pun dengan syarat besar. Dengan syarat awak percaya 200% dengan isi kandungan yang ada dalam Al Quran.

Ketika saya membaca semua itu, saya berada di tepi pantai. Ya, saya tinggal di pulau, keseluruhan hidup saya adalah pantai dan pasirnya. Serta semua perhiasan yang boleh awak bayangkan tentang pulau. Kata Dr. Azka memang menjentik. Kalau awak berada di tempat saya yang kehidupan seharian dekat dengan alam, kemudian tidak suka menonton TV, jiwa kecil kita akan cepat bertanya tentang siapa yang menciptakan segala keindahan yang tidak tertanding. Pasir putih, haiwan eksotik di taman laut, batu karang, pasang surut, angin monsoon dan sebagainya. Siapakah yang menciptanya? Itulah suara fitrah yang disebut Dr. Azka mungkin. TV dan permainan komputer, nyata-nyata akan menyibukkan manusia kepada perkara yang tidak penting.

               Dan saya telah lama tahu Dr. Azka telah lama tidak mempedulikan TV. Sekali sekala mungkin menonton filem yang baik dan menarik. Itu pun secara muat turun dan ditonton di komputer. Jiwanya disediakan untuk mempersoalkan perkara yang lebih menyangkut kepada fitrah, hal keTuhanan.

# Adakah cerita ini memberi kita pengajaran tentang sesuatu Dr.? Yang berkait dengan zaman saya?

+ Aken, awak mahu akui atau tidak, kita sedang dihadapkan dengan sistem yang akan menyebabkan kita menyembah bukan seratus peratus kepada Allah. Sistem yang ada sekarang, menyebabkan kita mendahulukan pekerjaan dari tuntutan ibadah yang disyariatkan. Sistem zaman sekarang boleh disimpulkan kehidupan yang bergantung kepada bank. Dalam sibuk ulama menganjurkan untuk merobohkan patung helang di Langkawi, saya kira cadangan orang yang mengharap tok mufti memberi fatwa untuk meletupkan bank itu lebih tinggi nilainya. Kata mereka yang mencadangkan, zaman sekarang ramai lagi yang menyebah bank yang jelas syirik dan mungkar.

               Begitu Dr. Azka memukul rata manusia zaman sekarang. Susah untuk saya faham tentang sifat kebanyakkan manusia seperti itu. Saya belum sampai tahap mahu meminjam apa-apa dari bank. Saya gembira dengan apa adanya saya. Kebebasan yang saya rasakan ini mutlak. Lama selepas titik akhir itu Dr. Azka tidak menyambung, sehinggalah dalam hening pagi, jam 3 pagi tidak silap saya, Dr. Azka menyambung tulis.

+ Awak telah menjadi legasi Ashabul Kahfi, Aken. Menolak dari sistem yang normal dipakai oleh setiap orang pada hari ini. Menjadi pemiutang kepada bank. Lari dari sistem yang akan memenjara manusia untuk jadi khadam pekerjaan sehingga pencen. Entah-entah sehingga selepas pencen. Awak adalah antara manusia yang sedikit, yang tidak percaya bank boleh beri kemewahan dan kesenangan. Seperti Raja Diqyanus yang memberikan janjinya kepada Ashabul Kahfi.

Itu permulaan dari empat cerita yang dijanjikan Dr. Azka. Sebelum perang meletus, saya cuma rasakan cerita Dr. Azka ini sebagai mengisi masa lapang. Tetapi realiti itu terserlah sekarang. Dalam keadaan seperti hari ini, sukar untuk saya tidak mengenang Dr. Azka. Cerita-ceritanya adalah benar.

Dr. Azka selanjutnya memberitahu,

+ Kisah ringkas tentang Ashabul Kahfi itu banyak lapis makna yang perlu awak baca, Bukan setakat keberanian untuk lari dari sistem yang tidak membantu untuk awak kekal dalam iman. Cerita itu juga mengajar kita tentang matawang paling ampuh di akhir zaman nanti ialah wang perak dan wang emas. Bila Ashabul Kahfi dibalik-balikan mengikut arahnya matahari, bermakna tenaga solar akan membantu kehidupan. Juga kisah Tamlikha mencari makanan yang baik, juga petunjuk kita harus makan yang baik-baik supaya roh kita mudah respon kepada hal fitrah. Yang halal dan baik. Bukan yang tiruan, bukan GMO, genetic modified organism. Mesti tulen. Kerana hanya yang tulen dapat kita kekalkan fitrah kehambaan yang perlu tunduk kepada Tuhan Yang Maha Esa. 

Langit hari ini biru cerah. Semoga radioaktif kesan dari letupan bom nuklear sana sini tidak tersebar merata. Tidak sampai di pulau ini.

Saya terkenang Dr. Azka. Saya percaya dia selamat di mana-mana. Harap jika sistem komunikasi disambung semula, saya kembali dapat berbual dengan Dr. Azka lama, seperti beberapa bulan sebelum perang.

Benar saya berharap.

Bagaimana saya dapatkan kertas dan pensil ini? Beberapa bulan lalu, sebelum perang, Dr. Azka telah menghantar beberapa dirham perak. Duit itulah yang membantu saya hidup untuk dapatkan makanan asas dan saya beli kertas untuk menulis. 

Doakan kertas dan pensil saya masih ada. Untuk menceritakan lebihan cerita Dr. Azka yang terpahat penuh dalam dada saya. Doakan.


Awak mahu teruskan baca?

Comments

Popular posts from this blog

さくら満開

Bulan Mengambang