Wednesday, December 03, 2014

Jurnal KM - 2

Secara ringkasnya KM tu apa?

Macamana ya?


Ada yang bertanya, "kalau saya belajar KM adakah bila saya mengajar adik A,B,C, dia akan cepat dapat dan lancar membaca?"


Pertama: KM bukan kaedah mengajar subjek, membaca, mengira dan sebagainya. Tetapi KM adalah kaedah untuk buat seorang adik itu akan sedar potensi diri + mahu berusaha (kerana selalu didorong dan diberikan persekitaran positif).


Kedua: KM adalah kaedah untuk membuatkan seorang adik itu sedar tentang pilihan-pilihan, dan mendorong mereka memilih yang terbaik untuk dunia dan akhirat yang seiring.


Seperti Ustaz Hasrizal sebutkan, yang utama dalam KM adalah memberikan faham tentang pandangan dunia (alam) yang tepat, positif dan memotivasikan.


Macam konsep yang abstrak kan, tetapi setelah beberapa lama bersama pengamal KM, saya kira KM itu tidaklah abstrak sangat, malah ada ketikanya begitu objektif.


Sebenarnya KM mendorong kita untuk menyediakan environment positif ke arah perjalanan menuju hakikat.


Sebagai contoh, sekiranya kita ada anak yang mahu disuruh solat, kita boleh berkata begini


"Adi, cepat pergi sembahyang, kalau tak sembahyang Ayah rotan. Kalau lambat sangat Allah marah. Allah marah masuk neraka!"


Tapi untuk KM, pilihan ayatnya mungkin seperti ini,


"Adi jom kita sembahyang, supaya kita sama-sama dapat masuk syurga".


Positif.


Dengan maksud, semuanya positif.


Termasuk kata-kata yang digunakan, bahasa tubuh, perbuatan, persekitaran.


Susah?


Tidak dinafikan, memang susah.

Tuesday, December 02, 2014

Jurnal KM

Ada banyak yang menarik minat saya tentang KM, atau Metod Khalifah (Khalifah Method). Satu perkara yang buat saya terus mahu faham tentang KM, sebab saya percaya kaedahnya boleh memberikan perubahan kepada manusia. Betul-betul beri perubahan. Cumanya, masa yang diperlukan tu kena agak lama. Sebab perubahan yang berlaku itu agak perlahan, tapi inshaaAllah bertahan lama. Oleh kerana saya percaya KM, ada banyak masa juga saya kongsi dengan kawan dan famili.

Sehingga saya jumpa kawan yang sanggup eksperimen KM untuk diamalkan di rumah anak yatim semasa program tuisyen percuma di sana. Kawan saya itu Ain namanya. Saya pula bereksperimen di kelas dengan menggunakan pendekatan yang bersesuaian dengan umur pelajar.

Apa dia KM ya?

Bagi saya KM adalah satu kaedah pendidikan. Walaupun KM adalah kaedah pendidikan, KM tidak semestinya berlaku hanya perlu berlaku di ruang sekolah, malah KM boleh berlaku di mana-mana. Rumah, pejabat, kejiranan, kenalan baru, pendek kata-kata di mana-manalah. Oh di FB juga boleh, di Instagram, blog, media sosial, apa sahaja yang dinamakan sebagai medium dan persekitaran, semuanya boleh mengamalkan KM.

KM juga diperlukan oleh semua orang. Paling penting kanak-kanak, dan setiap orang dewasa juga. Tidak kiralah berapa umur kita, tua, muda, remaja, remaja lanjut, matang atau tidak matang, selagi bernama manusia, kita memerlukan suntikan elemen KM ini.

Yang selalu orang tanya kepada saya, adakah orang yang terlatih dalam perguruan je yang dapat gunakan KM?

Jawapan, tidak semestinya. Malah bukan semua guru pernah dengar KM. Di Malaysia, KM bukan salah satu silibus yang digunapakai untuk melatih guru-guru. Bukan syarat penting pun untuk kita tahu tentang prinsip keguruan, tetapi cukuplah sekadar kita mahu. Mahu belajar, mahu praktis sikit-sikit. Sikit-sikit pun berhasil. Pendek kata, asalkan mahu.

Hari ini saya jadi lebih suka sebab antara orang yang sungguh-sungguh membawa KM ini adalah Ustaz Hasrizal (Saiful Islam). Ustaz Hasrizal pernah menghantar anaknya untuk bersekolah di sekolah yang amalkan KM sepenuhnya dan dia berpuas hati.

Kerana keyakinan itu, Ustaz Hasrizal kemudian ditawarkan pula menjadi Direktor untuk merancang hal ehwal akademik sekolah KM. Jadi di satu segi, KM jadi lebih seronok untuk dibincangkan kerana orang seperti Ustaz Hasrizal mula bercakap dan berkongsi tetang kaedah ini.

Tiada istilah yang tepat untuk KM. Tapi KM bagi saya adalah sekolah karakter. Apa yang boleh kita pelajari dan amalkan tentangnya, saya sambung kemudian (jika Tuhan mengizinkan).

Sementara itu, boleh baca catatan lebih menarik yang diolah tentang KM oleh Ustaz Hasrizal di sini.