Posts

Showing posts from March, 2008

Bukankah kamu rakanku?

Image
Bukankah kamu rakanku? Yang tahu tentang mimpi-mimpi. Yang berlari bersama. Dalam hujan, tika kemarau, dalam rintik, dalam nyaman. Waktu dilanda badai, ketika lara. Bukankah kamu yang sudi meminjam telinga, ketika semua orang jadi tuli. Menjadi mataku ketika buta. Bukankah kamu yang melonjakku tinggi, sewaktu aku jatuh. Dan melihat aku terbang, tika gembira.
Kawan, mimpi-mimpiku pecah berserakan. Masih ada, tapi aku telah lupa bagaimana mahu menyusunnya semula. Dalam tidur, aku membawa suluh. Harap-harap keping-keping yang hilang dapat kucari. Kemudian akan ku kumpul. Bangun nanti, aku pasti menyusunnya semula.
Mengapa engkau tiada? Disisiku, seperti selalunya. Menjadi telinga, menjadi mata. Melonjak tinggi, melihatku terbang. Menolongku menyusun mimpi-mimpi. Menasihati agar aku selalu menjadi yang terbaik.
Mimpi-mimpiku masih ada. Disini, disemat dalam dada. Disimpan kukuh dalam kotak mindaku yang kecil, tapi besar harapannya. Dan kawan, aku masih tetap berdoa. Tapi aku mahu bermimpi ya…

Mac yang aneh

Ini Mac yang aneh. Hari-harinya dibasahi. Air dari langit datang mencurah. Kadang-kadang bertanda, selalu turun tiba-tiba. Bukankah sepatutnya langit cerah dengan ketibaan Mac. Bukankah tanah-tanah merekah gersang pada bulan ini. Ini cerita tragis bagi pemilik kebun-kebun getah. Getah tidak dapat ditoreh. Harga getah bukan main. Sudah RM4. Tapi apalah erti jika tidak dapat ditoreh dan diniagakan. Mac ini Mac yang aneh. Hujan turun mencurah. Sepatutnya langit cerah. Matahari memancar gagah. Terik, seteriknya. Sehingga Mei menjemput ruang. Sehinggalah Jun tidak sabar menjelang. Tapi dua tiga tempat telah dinaiki air. Tanda apa yang datang dari langit? Mac kali ini berbicara seperti Disember. Hujan hari-hari. Matahari segan menampakkan diri. Air naik hingga buku lali. Air naik hingga ke lutut. Beberapa daerah sudah digenangi. Mac, anehnya kau ini?

Spaghetti Pagi PRU12

Image
Semalam kebanyakkan kami tidak tidur. Tidur pun berhimpit-himpit di ruang tamu yang sedia kecil dengan sebuah komputer di hadapan TiVi untuk menganalisa sendiri keputusan PRU12. Sedang kami lelah berjalan dari satu kawasan ke kawasan yang lain setelah masing-masing selesai menunaikan tanggungjawab mengundi. Setelah selesai mengusung ibu ke tempat pembuangan undi. Kami adik-beradik kecuali 2 orang mengundi di tempat yang sama. Jadi PRU12 sama seperti hari raya. Hari untuk berkumpul dan makan-makan.
PRU sangat penting pada kami. Pada PRU11 dulu Ayahanda kami pulang ke kampung halaman (rahmatullah) betul-betul pada hari penamaan calon. Seminggu selepas itu, dengan hati yang separuh-separuh kami pergi mengundi sendiri. Selalu, pada pagi mengundi, ayah akan siap berpakaian segera. Sebelum buka sekolah tempat buang undi, dia pasti sudah ada di perkarangan sekolah. Berbaju kemas dan bertongkat. Meski Ayah sudah warga emas dan pasti dapat mengundi awal, dia tetap patriotik, mengajar anak-anakn…

Patriotik - Selamat Mengundi!

Image
Saya patriotik, InsyaAllah saya akan mengundi. Hanya gempa bumi yang menyebabkan jalan raya depan rumah roboh sahaja akan menghalang kaki saya ke sekolah yang ditetapkan untuk saya membuang undi.
Pilihanraya ini saya membayangkan jari akan dicat, sebagai bukti saya mengundi. Jadi saya boleh menayang pada rakan-rakan saya yang tak daftar undi, daftar tapi tak undi, undi tapi buat undi rosak, dan yang sealiran dengannya. Tapi nampaknya, tidak juga. Tidak dapatlah saya menayang.
Saya patriotik, jadi saya akan laksanakan tanggungjawab saya pada negara. Pada anak watan yang meletakkan kepercayaan di bahu saya untuk pimpinan 4 tahun lagi. Untuk Negara Malaysia yang bebas, aman, makmur dan sejahtera. Supaya rakyat Malaysia matang dan menjadi masyarakat sosial yang sempurna sudut spritual, fizikal, rohaniah dan intelektual. Selamat Mengundi Malaysia!

Kawan

Image
Saya kawan, setia pada janji, pada ideal yang dikongsi. Saya kawan yang menyayangi untuk hati putih, untuk membersih. Saya kawan semua pejuang, menghayun pedang. Saya kawan ikhlas, untuk usaha tidak pernah culas. Saya kawan cinta, membara, untuk Cinta. Saya kawan tangis, untuk peristiwa tragis. Saya benar kawan, bagi kawan, yang gembira menghirup kopi bersama. Sekali kawan, tetap kawan. Dalam aturan kosmos, tidak mungkin akan dapat dipadam, meski untuk seribu billion tahun lagi.
Mahukah, berkawan dengan saya?

Aku mahu jadi?

Image
Aku mahu belajar tinggi-tinggi, sampai pandai. Sampai tidak ada kelayakan lain yang lebih tinggi lebih dari sijil yang bakal ku gapai. Kemudian aku mahu jadi calon. Bertanding di bawah bendera di negara yang mengamalkan demokrasi. Yang mengadakan pilihanraya. Untuk itu aku tidak perlu berkira-kira, apakah signifikasinya jika aku adalah seorang polos dari Bangsa Hazara yang mendiami perkampungan sunyi di daerah Bamian. Aku kira mereka tidak akan peduli jika aku bukan kaum Uzbek, Tajiks atau Pashtun. Adakah mereka akan menggali susur galurku dari keturunan Genghis Khan? Mungkin tidak, pada waktu itu aku adalah calon dari parti bekas pemerintah. Jadi undi akan mudah berpihak padaku. Yang pandai itu aku. Kerana mereka tidak mahu ambil tahu selain apa-apa yang ada di media utama. Yang dicetak ikut kemahuan golongan pemodal yang dibayar apa-apa. Apa-apa saja, yang disenangi. Kemudian aku akan janjikan pembangunan. Fizikal yang wajib, jiwa tidak perlu, roh tidak penting, bahasa lebih-lebihla…