Tuesday, November 24, 2015

The Bookseller of Kabul

Sebuah buku tentang kisah survival seorang penjual buku di Aghanistan, Sultan Khan dan keluarganya.

Afghanistan dan percaturan politik yang menyebabkan penduduk terumbang-ambing dan bertukar-tukar dasar pemerintahan dan undang-undang. Selepas Taliban, masyarakat cuba menyesuaikan diri dengan keadaan politik baru. Perempuan tidak lagi diperintah memakai Burqa untuk keluar rumah. Tetapi oleh kerana rejim Taliban telah meletak undang-undang keras sebelum ini, masyarakat takut untuk menukar kebiasaan lama.

Doktrin dan psikologi manusia terhadap doktrin yang dikenakan dalam kehidupan. Bagaimana kebebasan yang ada tetapi disekat dengan mental block disebabkan polisi politik lama.

Lapis strata sosial yang berbeza. Macam-macam ada. Tentang keluarga Sultan yang pelbagai rencam. 

Dalam banyak keadaan, ada timbul simpati, juga kesyukuran. 

Di Malaysia, perempuan tidak disekat kebebasan untuk menuntut ilmu dan mencapai cita-cita. Tetapi di Aghanistan (seperti yang diceritakan melalui buku ini) masih mengamalkan patriacrh yang ketat.

Hakikat yang jelas, setiap negara pun mempunyai kebudayaan berbeza, maka nilai yang diangkat juga berbeza.

Thursday, May 14, 2015

Cat Stevens: Mengapa Saya Masih Memetik Gitar

Dalam dunia gelap-gelita ini
Sang zalim memerintah di kala malam
Namun, di satu sudut dalam bayangan
Ada yang mencari cahaya! (ms 107)

Celah-celah hangat politik tanahair, saya mengulang baca buku Cat Stevens setelah berjam-jam mendengar lagu-lagunya di YouTube. Terkesan dengan penghijrahannya berkali-kali sebelum dan selepas memeluk Islam.

Kehidupannya berkembang dan mengalir, like the flowing river (kata Poalo Coelho).

Kali ini saya membuka juga buku Advencer Si Peniup Ney (Faisal Tehrani) untuk memahami letak duduk hukum muzik dalam kebudayaan Islam.

(siapa kata novel tiada nilai ilmu? Sudah tentu perlu memilih dan menyaring).

Dilema Yusuf barangkali sama dengan ramai orang yang terkesan dengan pandangan bahawa muzik itu haram, menyebabkan Yusuf meninggalkan gitar dan segala berkait dengan muzik di awal Islam pada tahun 1977. Saya juga terkesan, sehingga tidak berani berlatih recoder di rumah. Arwah Ayah saya juga mungkin terkesan, kerana itu dia tidak lagi menggesek biola.

Banyak diperkatakan dalam buku ini. Sebuah biografi yang ditulis semacam ringkas tetapi sangat padat. Jelas untuk menerangkan bahawa usaha Yusuf memetik gitar kembali sebagai saluran komunikasi untuk mereka yang merasa asing terhadap Islam, juga sebagai satu ajakan pencarian diri melalui lirik-lirik lagu ketika beliau adalah Cat Stevens.

Cat Stevens memula langkah pertama mencari jawapan kepada persoalan apakah dia kehidupan selepas kematian melalui buku ajaran Buddha, The Secret Path. Ketika terlantar menghidapi penyakit yang mengundang maut pada waktu itu, tubercolosis (TB). Pencarian mengenai kebenaran, pencarian untuk mengisi jiwanya yang kosong. Al Quran pertama Cat Stevens pula dihadiahkan oleh abangnya David, seorang Kristian.

Tidak mustahil juga ramai orang menjejak jalan yang sama ketika mendengarkan Moonshadow, Morning Have Broken, Peace Train, Wild World dan klasik sepanjang zaman, Father and Son.

Muzik adalah temuan penting umat Islam dan telah digunakan untuk penyembuhan di hospital-hospital. Perintah kelonggaran tentangnya lebih banyak berbanding pengharaman.

Muzik juga melatari irama qawalli yang menghantar manusia ke alam lain.

Setiap satu pun perlu berada di tengah-tengah. Tidak berlebihan sehingga melalaikan, dan tidak juga kering sehingga fitrah manusia yang cintakan kesenian dihalang. Sedangkan Tuhan itu sendiri, As Sani.

Kembali Yusuf memetik gitar adalah usaha mencari damai antara masa lalunya sebagai Cat Stevens dan Yusuf Islam di masa sekarang. Yang pasti, yang kekal dalam senyum Yusuf adalah seorang manusia penyeru kedamaian dan pencari kebenaran, dan di helaian akhir buku Mengapa Saya Masih Memetik Gitar saya pasti, Yusuf Cat Stevens telah menjumpainya!

Tuesday, March 31, 2015

Pulang Petang

Pulang petang. Kita pun seperti kambing masuk kandang. Memastikan lorong yang betul. Tunai, touch and go, smart tag? Lorong yang sesuai dengan status ekonomi kita. Sedangkan di hujung lorong kita tetap akan disembelih oleh algojo yang sama. Kapitalis yang mengira untung sepanjang tahun, tanpa mengira nasib orang biasa.

*****************************************
Kitaran ini akan diwarisi oleh anak cucu masa hadapan, sekiranya tiada yang bertindak hari ini untuk mengubahnya.