Cat Stevens: Mengapa Saya Masih Memetik Gitar
Dalam dunia gelap-gelita ini
Sang zalim memerintah di kala malam
Namun, di satu sudut dalam bayangan
Ada yang mencari cahaya! (ms 107)
Sang zalim memerintah di kala malam
Namun, di satu sudut dalam bayangan
Ada yang mencari cahaya! (ms 107)
Celah-celah hangat politik tanahair, saya mengulang baca buku Cat Stevens setelah berjam-jam mendengar lagu-lagunya di YouTube. Terkesan dengan penghijrahannya berkali-kali sebelum dan selepas memeluk Islam.
Kehidupannya berkembang dan mengalir, like the flowing river (kata Poalo Coelho).
Kali ini saya membuka juga buku Advencer Si Peniup Ney (Faisal Tehrani) untuk memahami letak duduk hukum muzik dalam kebudayaan Islam.
(siapa kata novel tiada nilai ilmu? Sudah tentu perlu memilih dan menyaring).
Dilema Yusuf barangkali sama dengan ramai orang yang terkesan dengan pandangan bahawa muzik itu haram, menyebabkan Yusuf meninggalkan gitar dan segala berkait dengan muzik di awal Islam pada tahun 1977. Saya juga terkesan, sehingga tidak berani berlatih recoder di rumah. Arwah Ayah saya juga mungkin terkesan, kerana itu dia tidak lagi menggesek biola.
Banyak diperkatakan dalam buku ini. Sebuah biografi yang ditulis semacam ringkas tetapi sangat padat. Jelas untuk menerangkan bahawa usaha Yusuf memetik gitar kembali sebagai saluran komunikasi untuk mereka yang merasa asing terhadap Islam, juga sebagai satu ajakan pencarian diri melalui lirik-lirik lagu ketika beliau adalah Cat Stevens.
Cat Stevens memula langkah pertama mencari jawapan kepada persoalan apakah dia kehidupan selepas kematian melalui buku ajaran Buddha, The Secret Path. Ketika terlantar menghidapi penyakit yang mengundang maut pada waktu itu, tubercolosis (TB). Pencarian mengenai kebenaran, pencarian untuk mengisi jiwanya yang kosong. Al Quran pertama Cat Stevens pula dihadiahkan oleh abangnya David, seorang Kristian.
Tidak mustahil juga ramai orang menjejak jalan yang sama ketika mendengarkan Moonshadow, Morning Have Broken, Peace Train, Wild World dan klasik sepanjang zaman, Father and Son.
Muzik adalah temuan penting umat Islam dan telah digunakan untuk penyembuhan di hospital-hospital. Perintah kelonggaran tentangnya lebih banyak berbanding pengharaman.
Muzik juga melatari irama qawalli yang menghantar manusia ke alam lain.
Setiap satu pun perlu berada di tengah-tengah. Tidak berlebihan sehingga melalaikan, dan tidak juga kering sehingga fitrah manusia yang cintakan kesenian dihalang. Sedangkan Tuhan itu sendiri, As Sani.
Kembali Yusuf memetik gitar adalah usaha mencari damai antara masa lalunya sebagai Cat Stevens dan Yusuf Islam di masa sekarang. Yang pasti, yang kekal dalam senyum Yusuf adalah seorang manusia penyeru kedamaian dan pencari kebenaran, dan di helaian akhir buku Mengapa Saya Masih Memetik Gitar saya pasti, Yusuf Cat Stevens telah menjumpainya!
Comments