Friday, August 26, 2011

Hadiah untuk Ramdan

Saya sedang menghabiskan ayat akhir dari ingatan yang masih berbaki dari syarahan Dr. Noor Rahman, dia memulakan pesan akhir sebelum cuti hari raya Aidilfitri bermula.

“Baiklah, saya sudah selesai menerangkan apa yang perlu kamu tahu dalam semester ini. Semoga penerangan dan perbincangan yang telah kita jalankan dapat memudahkan kamu untuk faham keseluruhan teori, konsep dan aplikasi.”

Ketika itu saya melihat Dr. Noor Rahman senyum.

“Lama sudah saya tidak dapat kumpulan pelajar macam kelas kamu…”

Perhatian saya dijentik. Rata-rata kelas pun begitu. Ada yang tidak berjaya menahan mula menyoal, “seperti mana kami ini Dr.?”

Masing-masing memasang telinga.

“Macam mana ya? Saya pun tidak tahu hendak menerangkan. Tapi seingat saya, enam tahun dahulu ketika saya mula bertugas, saya menerima kumpulan pelajar seperti kamu ini. Saya sangat bersyukur pengalaman pertama, pengalaman manis yang menyuntik semangat. Setiap kali masuk kelas, saya akan berusaha dengan persiapan paling baik supaya saya dapat menyampai dengan berkesan. Dalam kelas itu ada pelajar bernama Ramdan dan Azaa Arna.”

Dr. Noor Rahman melihat jam, “…kita ada beberapa minit lagi, awak hendak dengar cerita Ramdan dan Azaa?”

Semua serentak menjawab ya dengan suara yang kuat. Dalam hati saya juga begitu. Untuk kami yang terpaksa mencerna simbol-simbol Greek yang bermacam bentuk, graf yang bersimpang siur, pengiraan yang panjang berhelai-helai, cerita adalah satu bentuk kelegaan yang ditunggu.

“Ramdan adalah seorang pelajar, bila awak melihat dia senyum awak juga akan turut senyum bersama dia. Kenapa dia begitu dikenali oleh setiap pensyarah? Kerana dia bersanggupan memikul tanggungjawab. Hanya dia sahaja seingat saya yang rasa berbesar hati memikul amanah sebagai wakil kelas. Menyelesaikan semua pesan dari pensyarah dan disampaikan dengan baik kepada pelajar lain. Yang akan membantu tanpa perlu disuruh. Tidak pernah bersungut dengan tugas, dan sentiasa berusaha sehabis baik. Juga ikhlas dengan ilmu. Bila dia hadir, awak akan ada rasa damai.”

“Azaa macamana Dr.?” Seorang pelajar lelaki bertanya.

“Lelaki, macam itulah kamu kan?” Satu kelas ketawa.

“Azaa juga begitu. Pelajar perempuan yang senyum tidak lekang. Bila dia hadir, awak akan ceria kerana keceriaan dia. Sekarang mesti dalam fikiran awak sedang bertanya, apa kaitan Ramdan dan Azaa, kan?”

Masing-masing senyum.

To cut the long story short, mereka berdua telah selamat diijab kabulkan pada bulan April yang lalu.”

Satu kelas bertepuk tangan. Mereka yang digossipkan sedang bercouple senyum memandang antara satu sama lain. Mata saya masih di wajah Dr. Noor Rahman menunggu bicaranya yang lambat-lambat. Dalam cepu banyak benda mahu ditanya. Apa yang menyebab Dr. Noor Rahman begitu mengenang kumpulan senior kami itu? Moga kami dapat mengekalkan apa yang baik dalam kumpulan dan akhir nanti juga turut dikenang Dr. Noor Rahman.

“Tapi…”

Suara Dr. Noor Rahman tertahan.

“Tapi…Ramdan sudah pulang ke rahmatullah pada bulan Julai yang lalu.”

Khali.

“sedang Azaa…, saya difahamkan sedang mengandung anak pertama mereka.”

Ada serbuan aura duka. Pelajar perempuan masing-masing sudah mengalirkan air mata. Dr. Noor Rahman saya lihat bersusah payah menahan rasa.

“Hari itu ketika bekerja, dia berasa sangat penat. Jadi dia mengambil keputusan berehat di dalam bilik di pejabat. Ketika hendak pulang kawan kejut tapi tiada respon. Mereka pun bergegas menghantar Ramdan ke hospital. Sampai di hospital, Doktor mengesahkan segala-galanya telah pun berakhir. Ramdan sudah pergi meninggalkan Azaa, meninggalkan kita, meninggal dunia.”

“Saya mendapat khabar pertama dari Adik. Kemudian dari rakan-rakan Ramdan yang sama batch. Setelah mendapat penjelasan dan pengesahan, baru saya dapat terima bahawa Ramdan, pelajar yang menenangkan mata dan jiwa telah tiada. Al Fatihah.”

Kelas jeda dan masing-masing terkumat kamit mengapungkan doa keselamatan untuk arwah.

“Dia bergraduat lama sudah. Mustahil saya boleh ingat kerana jumlah pelajar terlalu ramai. Enam tahun bukan masa yang singkat. Ketika khabar sampai, ingatan tentang dia datang terus tanpa dipaksa. Saya melihat dia dalam fikiran, kerana saya kenal dia. Bukan. Kerana saya kenal akhlak dia, kerana itu Allah mengizinkan saya kembali ingat. Seorang pelajar yang akhlak menjadi penawar dan harapan pada masa depan yang lebih baik dan harmoni.”

Dr. Noor Rahman berdiri. Memandang kami satu persatu dan kembali menyambung.

“Saya menyampai ucap takziah kepada Azaa dan keluarga, juga kepada seluruh kumpulan pelajar yang sama batch dengan Ramdan yang menyayangi beliau. Terkilan rasa dan sedih mereka juga turut rasa dalam hati.”

Dr. Noor Rahman diam seketika. Dalam dada saya bagai ada benda keras yang menghimpit. Mata juga berat untuk menahan apa yang dikandung.

“Saya menulis dalam pesanan ringkas di telefon, ‘Demikianlah janji Allah. Saya bersaksi bahawa arwah Ramdan seorang yang baik dan sentiasa berusaha ke arah kebaikkan. Doa untuk arwah ditempatkan dikalangan yang bersaksi dan mendapat redhaNya dunia dan akhirat. Moga keluarga, terutama Azaa menerima ketentuan dengan tabah dan redha.”

Di hujung suara Dr. Noor Rahman ada nada sendu. Jari kelingking kanan diletak dihujung mata kanan. Saya rasa Dr. juga sedang menangis.

“Peristiwa ini mengajar saya satu perkara yang sangat penting. Saya juga pernah menjadi pelajar seperti Ramdan, seperti awak. Saya berfikir satu hari nanti saya juga akan mengadap Tuhan. Waktu Ramdan pergi, saya sebagai pensyarah yang pernah mengajar redha pada arwah. Juga bersaksi arwah adalah seorang yang baik. Bukan saya seorang, malah majoriti pensyarah masih mengingati. Semua sepakat mengatakan arwah punya akhlak baik dan menghormati guru.”

“Jika seseorang itu diredhai keluarga, guru, sahabat, insyaAllah Allah juga redha. Jika semua orang menyebut dia seorang yang baik, insyaAllah di sisi Allah arwah pasti juga baik.”

“Saya berfikir jika suatu hari nanti tiba waktu saya pergi, akan ada tidak guru yang redha? Dan pernahkan hadir saya menjadi penawar pada jiwa guru-guru?”

Dr. Noor Rahman mengambil marker dan menulis di papan putih.

Kalbu baina yadi kalb biyadi Allah kullu kalb. Heart in the hand of another heart, and in God’s hand are all hearts.

Ainun tara a aina wa ‘ina Allah taraa’. An eye takes care of another eye, and from God’s eye nothing hide.

Dr. Noor Rahman menadah tangan, “Allahumma…”

Kami semua menurut.

“Allahumma isyfi syifaan la yughadiru saqama, Allahumma isyfi syifaan la yughadiru saqama, Allahumma isyfi syifaan la yughadiru saqama.”

Dr. Noor Rahman sebenarnya sedang memberi hadiah untuk Ramdan kerana ‘kalimatun taiyyibatun sadaqah’. Perkataan yang baik itu sadaqah. Ini kalimah yang baik. Kami menerima, Ramdan juga sedang menerima…di sana.

Prolog:

Saya membaca entri lama blog dan membaca ini. 'Saya agak sukar nak sayang orang. Kalau saya ada rasa sayang pada orang, saya harap rasa sayang saya itu boleh diconvert menjadi doa. Supaya dengan doa yang ikhlas itu akan dapat memberikan kebaikkan pada saya dan tentunya lebih-lebih lagi kepada orang yang saya sayang. Dan dengan doa itu dapat menjadi manfaat pada dia. Tapi entah macamana...anda semua selalu ada dalam doa saya. (Capaian teks penuh)


*perkataan Arab dipetik dari lagu ‘Healing’ Sami Yusuf (credited to Hasrul Nizam who has posted Yusuf’s video at Facebook status.)

**Al Fatihah untuk Ramdan. Takziah untuk Azaa Arna dan seisi keluarga.

Monday, August 15, 2011

Pengaduan

Ini bulan Allah membuka pintu langit seluas-luasnya. Untuk pengampunan, untuk rahmat, untuk pembebasan dari api neraka.


Dari mulut orang yang menahan lapar dan dahaga ikhlas demiNya, yang menahan perit mentari dengan kesabaran bahawa benar sesungguhnya dia sabar dan taqwa pada TuhanNya.


Ini bulan diturunkan Al Quran.


Dalamnya malam kuasa penuh rahsia dan pemakbulan doa.


Bulan yang roh orang-orang maksum diterima langit dengan redha. Yang siang dan malam penuh zikir, pengaduan dan rasa cinta. Mereka tidak mati, bahkan terus hidup menebarkan budi sepanjang zaman, sehingga Allah menutup cerita kita, cerita umat manusia.


Namun yang nyata ia tidak akan dapat mentarbiah semua. Kerana masih ada manusia yang tidak takut. Menafsir mengikut nafsu sendiri-sendiri. Melepaskan tanggungjawab. Yang menyangka bahawa yang diperbuat dalam pekerjaan adalah hal dunia yang tidak menyangkut dengan hal akhirat mereka. Bahawa tiada guna menabur keringat untuk hal dunia, sedang inilah dunia satu-satunya yang mereka ada untuk membawa bekal ke akhirat sana.


Kerana bulan tarbiyyah ini belum tentu dapat mendidik semua. Maka mereka tidak segan berlaku aniaya. Kerana yang malang itu bukan diri mereka, bahkan diri orang lain yang tidak menyangkut dengan kehidupan mereka.


Tetapi mereka lupa, bahawa orang-orang kecil ini punya doa. Yang dirasakan tidak menyangkut kehidupan, mereka inilah yang menyambung kehidupan. Hanya kerana mereka berada di bawah. Sedang tanah yang berada di bawah itulah yang membolehkan manusia berjalan mencari rezeki.


Hati mereka ikhlas sepenuhnya putih untuk Allah. Dan tidak bernafas melainkan Allah di hujung hembusan dan setiap tarikan. Bila melihat, yang muncul hanya keagungan dan kebesaran. Sukma mereka tidak pernah kering, kerana sentiasa meminum air dari basahan zikir kerana cinta padaNya.


Mereka tidak pernah sedar bahawa orang-orang kecil ini punya doa. Dan mereka orang teraniaya. Dan ini bulan Ramadhan yang langit seluas mata dan saujana galaksi yang tidak terjangkau dari pengamatan terbuka luas tanpa hijab.


Ya Allah, saksikanlah Engkau Ya Allah. Tuhan Yang Maha segala, dan ditanganMulah neraca pengadilan yang tidak pernah sedikitpun akan berubah. Pandanglah orang-orang kecil yang dizalami kerana nafsu, ego, dan jiwa zalim mereka yang tidak pernah sepincing pernah kalah. Bersaksilah Ya Allah, Engkau di bulanMu, bahawa kami dizalimi. Adili kami dengan keadilanMu yang sedikit kami tidak pernah ragu.


Ya Allah, kami berdoa. Dan seperti yang Kau janjikan pada kami, "Berdoalah kepadaKu, nescaya dimakbulkan untukmu".


Kamilah umat yang berbaiah denganMu. Tiada kekuasaan lain selain dari kekuasaanMu. Hukumlah mereka yang zalim sesuai dengan sifat dan zatMu.


Ini bulan Ramadhan. Langit-langit tidak pernah tertutup. Dan kepadaMu, tempat segala pengaduan.




Saturday, August 13, 2011

Prof Haron dan Ramadhan 3

Ia cerita lama sudah. Namun saya tetap masih boleh ingat dengan jelas. Setiap kali bertemu rakan lama, topik persamaan kami adalah Prof Haron. Garang, tegas, lucu, banyak cerita, tag line beliau yang diulang saban tahun. Semuanya.

Ia cerita lama. Tetapi semangat dan jasa beliau sangat berbekas dalam diri. Secara tidak langsung Prof buat saya percaya diri. Saya ada potensi dia melihat. Dia dapat melihat di luar apa yang mampu saya lihat dalam diri sendiri, kerana itu Prof menyanggupi menjadi supervisor. Beliau sanggup walau untuk orang seperti saya. Ya, seperti saya.

Ia cerita lama. Saya tidak pernah dapat peluang melakukan khidmat seorang murid pada gurunya. Tapi dia masih dan tetap ada. Saya mahu Prof Haron terus hidup dan mendidik lebih ramai orang seperti saya untuk akhirnya percaya diri. Saya mengabdikan nama Prof Haron dalam cerpen pertama yang mendapat pengiktirafan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Malaysia, sempena Sayembara Mengarang Cerpen 50 Tahun Merdeka. Cerita di rakam dalam Antologi Cerpen Istana Cinta Ayah. Prof Haron dalam cerpen Langit Permulaan (LP) adalah Prof Haron yang saya kenal meski cuma dapat ditulis dalam beberapa fragmen sahaja.


Kata Prof Haron dalam cerpen LP (ms 228), “Apa yang kamu dan rakan-rakan kamu lakukan hari ini, akan memberi isyarat yang sangat bermakna. Pelajar universiti tidak akan lagi menyorok dalam kepompong. Pelajar universiti juga boleh menjadi rama-rama yang mengembangkan sayap dan terbang.” Saya telah punya sayap dan terbang.

Bulan ini bulan Ramadhan. Seperti mana selalunya Ramadhan, ia akan datang bersama Prof Haron. Saya juga telah khatam beberapa kali buku yang diserahkan tanpa kata. Namun kata-kata yang ada dalam dua buku itu punya nilai berganda-ganda.

Moga Allah memanjangkan kebaikkan beliau di tempat pengakhiran dengan redhaNya juga berganda-ganda sehingga infiniti.

Kata Imam Ali Zainal Abidin (sa), “Hak orang yang berbuat baik kepadamu, hendaknya kamu berterima kasih kepadanya, selalu menyebut kebaikannya, menyebarkan sebutan yang baik tentangnya, mendoakannya kepada Allah swt secara ikhlas. Jika semua itu telah kamu lakukan, bererti kamu telah berterima kasih kepadanya baik secara sembunyi mahupun terang-terangan. Jika kamu mampu membalas kebaikkannya, balaslah kebaikkannya setidaknya mempersiapkan sesuatu untuk membalasnya, dan kuatkan tekadmu untuk melaksanakannya.”

Saya tidak sempat menyempurnakan pesan Imam Ali Zainal Abidin yang akhir, moga Allah mengampuni saya kerana tidak menyempurnakan hak seorang murid pada gurunya. Moga Ramadhan selalu menjadi saksi, bahawa Prof Haron hadir dalam setiap doa yang diapungkan ke langit.

Satu hari dalam kelas Prof berkata, “saya tidak minta apa-apa, cukuplah kalau ada orang berdoa untuk saya.”

Allah.

Al Fatihah.

Friday, August 12, 2011

Prof Haron dan Ramadhan 2

Baik, saya tahu, saya masih belum menyentuh kisah Ramadhan dengan Prof Haron. Ia berlaku waktu Ramadhan lama dulu. Meski saya sudah banyak kali mengambil kelas Prof dalam banyak semester, saya tetap gugup kalau bertembung di luar kelas. Selalu dalam mulut bagai ada kaca, dan mata yang akan dilari-larikan ke mana. Jika nampak kelibat dari jauh, saya lebih rela mengambil jalan alternatif supaya tidak bertembung. Betul, saya sangat takut.

Tapi Ramadhan itu Allah menetapkan lain. Saya tidak dapat lari ke tempat lain. Saya terpaksa berselisih jalan dengan beliau. Beliau seperti biasa dengan langkah yang laju, tetap boleh perasan. Yang mampu saya keluarkan hanyalah, “Assalamualaikum Prof.” dan kembali mahu mengambil jarak. Prof hanya memandang, saya tidak tahu dia fikir apa. Tanpa kata. Namun hanya dengan itu saya faham Prof mahu saya berhenti sejeda. Saya berhenti. Masih tanpa kata, Prof menghulur dua makalah untuk saya. Satu “Hari Raya Hari Takbir” dan lagi satu “Laylat Al-Qadar dan Iktikaf.” Saya mengambilnya dengan takzim, masih Prof tidak berkata apa.


Lewat di dalam kelas saya bertanya pada rakan-rakan. Andai mereka mendapat makalah yang sama dari Prof. Hakikat, yang lain tidak dapat. Dan kemudian baru tahu ia untuk diedar di kalangan pensyarah dan kakitangan di pejabat. Bukan untuk pelajar pun. Mungkin sebagai ganti kad raya. Itu cukup menjadikan dada saya kembang macam belon helium.

Penghormatan. Benar ia satu penghormatan untuk saya, namun saya tidak membalas penghormatan itu dengan membaca. Dulu saya menganggap ia hanya kebetulan. Kebetulan saya lalu di situ, kebetulan Prof lalu jalan yang sama, kebetulan di tangan Prof ada makalah itu, kebetulan saya bermuka takut tidak cukup darah, kebetulan Prof kehilangan kata, kebetulan saya memang tiada kata-kata, dan kerana semua-semuanya, Prof breaking the ice dengan memberi.

Tapi dalam kejadian Allah Maha Sempurna, tidak sewajar mengaitkan dengan kebetulan. Ia telah ditentukan. Allah menetapkan peristiwa itu berlaku begitu, supaya saya ingat. Bahawa seorang Prof telah menebarkan kebaikkan yang banyak untuk diri saya. Tanpa bercakap pun, dia meninggalkan impak besar.

Tidak sampai setahun selepas itu kami digemparkan dengan berita Prof kemalangan. Hari itu hari Jumaat. Prof usai solat dan mendapat panggilan. Berita di kampung berita sedih. Prof diberitakan dengan pemergian ayahanda. Kerana panik Prof tergesa-gesa. Dalam berusaha mengeluarkan kereta dari tempat parkir, Prof terlanggar blok konkrit. Sepatutnya ia kemalangan kecil. Namun kata orang, impaknya besar. Luaran Prof nampak utuh, tapi kecederaan dalaman begitu teruk. Prof dimasukkan ke dalam wad kecemasan.

Waktu itu saya baharu sahaja bergraduat dan bekerja. Telefon masuk bertalu memaklumkan keadaan. Rakan saya (yang sama bersupervisor dengan Prof Harun) akan bergerak dari Johor. Kami berjanji akan melawat Prof bersama-sama. Telefon lain masuk. Mereka mengatakan Prof kehilangan darah yang banyak dan Prof sangat perlukan penderma darah. Saya bertanya jenis darah dan Prof mempunyai darah jenis yang sama.

Hari Jumaat saya sudah berada di KL sampai lewat petang dari Pahang. Telefon dari pensyarah lain masuk dan bertanya samada saya sudah tahu atau tidak. Saya kata sudah maklum. Menunggu rakan dari Johor. Dalam hati, saya mahu menderma darah meski itu pengalaman pertama. Hari Sabtu pagi rakan masih belum sampai. Sehinggalah lewat tengahari, telefon lain masuk mengatakan Prof sudah pergi.

Kesal. Ya kerana tidak berkuat untuk pergi sendiri. Saya tidak pernah menyangka keadaan Prof sebenarnya begitu buruk. Yang saya sangka Prof kemalangan seperti orang-orang lain, Prof akan sembuh semula. Tetapi itu hari terakhir Prof, beliau pergi ketika berkhidmat di tempat perjuangannya. Saya jadi tidak kuat untuk menziarah. Sebahagian diri saya hilang hari itu.

Besar. Untuk kami yang mengenali, jabatan kami, intitusi kami, dunia akademik, industri kejuruteraan mengaggap kepulangan Prof sebagai kehilangan paling besar dan tiada galang ganti. Untuk saya, terlalu besar kerana saya tidak sempat untuk benar-benar menyembahkan ucap terima kasih penuh takzim padanya. Kerana mengajar saya dengan sabar, kerana melihat saya sebagai orang muda yang perlu dididik gigih dengan harapan menjadi penerus generasi masa depan, kerana tetap percaya walau dengan kelemahan yang pelbagai. Kerana saya kehilangan peluang untuk mengucapkan terima kasih kerana menanamkan saya nilai, menunjuk jalan faham, memberi contoh mudah dan memudahkan, mendidik dengan ikhlas. Saya terlepas semua itu.


Thursday, August 11, 2011

Prof Haron dan Ramadhan 1

Kata Imam Ali Zainal Abidin (sa), “Hak orang yang berbuat baik kepadamu: hendaknya kamu berterima kasih kepadanya, selalu menyebut kebaikannya, menyebarkan sebutan yang baik tentangnya, mendoakannya kepada Allah swt secara ikhlas. Jika semua itu telah kamu lakukan, bererti kamu telah berterima kasih kepadanya baik secara sembunyi mahupun terang-terangan. Jika kamu mampu membalas kebaikkannya, balaslah kebaikkannya setidaknya mempersiapkan sesuatu untuk membalasnya, dan kuatkan tekadmu untuk melaksanakannya.”

Tidak pernah sekali menyambut Ramadhan tanpa saya mengingati sosok yang begitu berpengaruh dalam hidup, Prof. Haron, setepatnya, almarhum Prof. Haron.

Beliau seorang Prof. paling ajaib dan aneh pernah saya kenal. Dan Allah mempertalikan kami lebih dari hubungan guru dan anak murid. Meski, jika dia masih bernafas di muka bumi ini, saya tetap akan menjadi murid penakut yang selalu segan-segan bila bertemu dengannya.

Baik. Saya telah menulis tanpa pendahuluan yang baik. Saya mulakan sekali lagi. Guru yang mendapat tempat di hati setiap kali wangian Ramadhan menebarkan janji pengampunan pada semua makhluk hamba Allah, ialah Profesor Irseniur (Ir.) Haron bin Haji Ismail. Kami memanggil beliau Prof. sahaja.

Waktu itu hanya dua orang sahaja memegang gelar paling tinggi di jabatan kami namun beliau tidak pernah dilihat memakai gelar itu dengan menongkat langit. Langkahnya laju, namun punya jiwa pendidik tulen. Meletak ilmu sesuai dengan keupayaan kami menerima. Walau beliau merupakan tempat rujukan ulung di tempat kami, mahupun di industri kejuruteraan seantero negara, beliau seperti itulah. Yang bersedia mendidik, menanam nilai, menongkah kelaziman dan banyak cerita.

Beliau dalam ingatan adalah seorang ajaib dan aneh.

Kenapa ajaib? Kerana dia satu-satunya manusia yang saya kenal mendapat gelar Profesor tanpa ada kelayakan Phd. Maksud, dia sangat hebat.

Aneh, kerana dia sangat garang. Setiap kali bertemu saya akan membaca doa pelembut hati Nabi Ibrahim (pembetulan edit pada 20 Mac 2012) betul-betul di depan pintu. Meski begitu menakutkan, Prof tetap ada daya magnet yang akan buat saya kekal berada dalam kelas. Meski banyak kali dimalukan kerana ketidakpandaian saya menterjemah ilmu yang telah diajar dengan penuh kesungguhan. Kerana dia punya cerita yang saya senang sekali mendengar dengan tekun. Cerita-ceritanya meski ironi, tetap punya pengajaran hidup. Cerita-cerita lawaknya diulang-ulang, namun tetap saya akan gelak sepenuh hati. Seolah-olah itu pertama kali mendengar. Namun setiap kali dia membuang pandang pada saya, saya tetap akan menikus tidak tahu untuk berkata apa-apa.

Prof. aneh, kerana walau dia tidak mengajar banyak (sebenarnya saya yang begitu benak tidak dapat menyerap banyak), namun ilmu hidup begitu ringkas yang diajarkan yang paling diingati dan insyaAllah dibawa sampai mati.

Prof banyak mengajar saya prinsip kejuruteraan yang susah-susah. Tapi walau otak dan hati saya dicuci dalam air zam-zam 44 malam pun belum tentu dapat menghadam dengan baik. Tapi beliau tahu kami muda dan tidak tahu. Beliau tahu kami perlu masa. Beliau tahu kami perlu kaedah mudah untuk membolehkan kami melihatnya dengan lebih jelas. Lantas, Prof mengajar kami dengan mengaitkan dengan perkara-perkara seharian yang berlaku dalam rumah, dan persekitaran. Dengan itu kami lebih senang memahami.

Saya masih ingat satu pagi ketika Prof masuk ke dalam studio dengan keadaan termengah-mengah. Seolah keringat telah habis diperah. Namun masih berusaha untuk sampai pada jam 8.00 pagi. Sambil menongkat badan di meja depan melega penat, Prof bercerita, “saya lupa hari ini saya puasa sunat. Pagi tadi bereya saya berkebun.” Saya mahu tergelak besar (gaya dan cara dia menuturkan sesuatu adalah bahan yang sangat humor). Saya gelak juga kerana duduk di barisan belakang dan pasti Prof tidak akan perasankan saya. Meski sebegitu gigih Prof mengajar, saya masih takut.

Lebih memburuk keadaan, beliau adalah supervisor untuk thesis tahun akhir. Bukan saya dipaksa, saya sendiri yang memilih. Dan setepatnya, Allah yang memilih. Itu caturan yang saya tidak dapat faham sehinggalah 10 tahun berlalu. Supervisor pilihan pertama tidak merasakan saya layak berada di bawah pengawasannya (kan saya dah bagitahu saya bukannya pelajar star pun). Prof, supervisor pilihan kedua. Itu pun kerana kawan mengusulkan dan mengajak untuk mencuba nasib.

Entah langit mana terbuka pada hari saya bertemu empat mata memohon kesudian beliau untuk mengambil saya dan rakan sebagai anak murid. Silap, saya rasa langit mungkin terbuka separuh. Kerana kesudian dia bersyarat. Beliau mahukan kami membuat kertas cadangan.

Kali kedua berjumpa, dengan kertas cadangan separuh masak hasil dari kerja tangan saya yang tidak tahu serba serbi, beliau melihatnya dengan tekun. Kemudian bertanya satu dua soalan (dalam cepu sudah berfikir pasti akan ditolak dan saya perlu cari tempat teduh yang lain), Prof menerima dengan mengatakan, “bolehlah.” Saya tidak faham maksud masih lagi meminta kepastian. Kemudian Prof menyatakan dengan jelas, “bolehlah awak jadi supervisee saya.” Saya yang sebegini kekurangan sanggup diterima oleh seorang yang sudah berada di tahap Profesor (mungkin masa itu saya begitu benak kerana tidak faham signifikan tahap Profesor itu - duh, its the highest title on Earth in Highest Learning Institution).

Saya sebenarnya begitu perlahan. Apa sahaja yang saya bawa untuk dinilai beliau selalu ada salah. Sehinggalah dia membawa saya ke rak buku, membuka helaian mukasuratnya, “Jika tidak tahu cuba buka buku, buku teks ke, buku rujukan ke, apa-apa sahaja dan lihat. Buku-buku ini bukan sahaja menawarkan kandungan, tetapi cara letak.”

Seperti biasa ketakutan akan membuatkan saya mempamerkan riak muka yang aneh-aneh. Riak muka orang yang serba tidak tahu.

“Tengok bagaimana gambar diletak. Bagaimana jadual di buat. Lihat bagaimana tajuk di nomborkan. Bagaimana menulis tajuk.”

Prof. kemudian melanjutkan, “jika tidak tahu, tanya orang yang tahu atau lihat contoh dari orang terdahulu.” Sehingga tahap itu Prof mengajar saya. Aneh, itu pelajaran hidup yang paling saya ingat dan dengan bekal itu membolehkan saya berada di banyak tempat.






Saya selalu rasa bersyukur bila dimarah dan ditegur. Perkara paling menakutkan ialah apabila orang sudah tidak lagi peduli. Tidak ditegur bila berbuat salah, jika tidak tahu tiada orang menunjuk jalan. Itu penamat sebenar untuk satu pembelajaran. Bila guru tidak mahu lagi memandang dan ambil peduli. Dan lebih menakutkan, bila telah menjauh redha dari apa yang diajar. Itu, kiamat bagi seorang pelajar.



Saya berjaya menghabiskan thesis tahun akhir. Dengan susah payah. Hanya dengan petunjuk mudah Prof yang tidak berkait langsung dengan teori kejuruteraan, saya dapat mengharung segala dalam masa yang ditetapkan.




Tuesday, August 02, 2011

Kecewa seorang Guru

Saya tidak menyangka akan dipertemukan sekali lagi dengan Cikgu Sulaiman. Seminar ini rupanya menyediakan lebih dari wadah takungan ilmu. Tampang masih segak meski sudah ada garis-garis penanda usia dan rambut memutih yang dapat dilihat dari dekat. Namun rambut hitam yang masih lebat akan membuatkan orang sentiasa salah meneka umur Cikgu Sulaiman yang sebenar.

“Ashikin,” teguran yang diiring senyum ikhlas yang melebar. Ada damai di sebalik manis wajah sehingga masuk menusuk sukma. Saya kagum mendengar, kerana meski sudah sekian lama Cikgu Sulaiman masih ingat.

“Cikgu sihat?” Saya menyambut dengan sebal rasa bersalah. Saya murid yang patut dulu menyapa.

Sambil mengurut perut yang sedikit ke depan, “Awak perli saya Ashikin?”

Ada serbu panas di pipi. Mustahil saya berniat demikian. Saya kehilangan kata, tetapi Cikgu Sulaiman lebih dahulu menenangkan, “Alhamdulillah, semakin sihat. Mari makan bersama saya.”

Saya didorong ke meja orang penting. Langkah hilang daya. Apa kelayakan saya untuk duduk semeja?

“Duduklah, kita semua sama. Awak juga sudah menjadi pendidik sekarang. Secara logik kita rakan seprofesion bukan?”

Saya mengambil tempat di sebelah kiri sambil memperkenal diri pada mereka yang masih tinggal di meja bulat. Cikgu Sulaiman sudah hilang mengambil pencuci mulut. Saya masih ragu dan berfikir macam-macam. Tidak betah duduk di kalangan orang penting, beberapa kali membetulkan letak kaki. Beberapa kali mengalih punggung. Dalam cepu berputar tentang pakaian, beg tangan, bedak di muka, tudung, tentang segala-gala.

“Makanlah puding aiskrim ini sebelum cair.” Sebiji piring berisi pencuci mulut diletak dihadapan.

Pipi saya rasakan makin panas. Bukankah seorang murid yang perlu melakukan khidmat pada gurunya?

“Susahkan Cikgu sahaja. Dari dulu saya suka susahkan Cikgu.”

Tawa memenuhi ruang. Kerusi yang diisi orang sudah beransur kosong. Saya makin selesa membuatkan kami dapat berbicara macam-macam. Terutama mengenai pendidikan.

“Dari dulu sampai sekarang, saya lihat Cikgu memang sangat energetik. Separuh dari tenaga Cikgu pun tidak mampu disaing. Selalu sangat rasa lelah.”

“Orang muda pun boleh lelah?”

“Ya, bila mana kita sudah memberikan yang terbaik, tetapi anak didik kita masih lagi tidak mendengar. Semua yang telah kita gariskan untuk panduan, kebanyakkan tidak diikut. Kadang-kadang lain yang diminta, lain pula yang diberi. Seolah-olah kita tidak pernah menunjuk mereka apa-apa.”

“Awak kecewa Ashikin?”

“Sedikit. Atau sebetulnya amat banyak.” Saya tetap senyum di hujung kata.

“Masa dulu saya ajar awak, awak rasa awak mendengar tidak semua yang saya ajar?”

Huh, ini soalan perangkap. Saya membuat riak muka terkena. “Cikgu lebih tahu. Sejujurnya, saya tahu saya tidak sepenuhnya mendengar. Jika tidak tentu saya akan mendapat gred A++ untuk semua subjek.”

“Habis waktu dulu, masa saya beri nasihat adakah awak rasa saya membebel?”

“Mereka menggelar Cikgu chatterbox, tapi saya tidak bersekongkol pun.”

“Terus terang sahaja Ashikin, saya bukan hendak ambil hati.”

“Saya senang mendengar nasihat Cikgu, saya masih ingat. Kumpul ilmu banyak-banyak tidak rugi. Ia akan menjaga kita sekiranya kita ikhlas menuntut dan beramal. Sebaliknya jika kumpul harta menimbun, kita pula disusahkan untuk sentiasa menjaga.”

“Lagi?”

“Kalau kita tidak tahu, kita tanya orang yang tahu. Pantun Cikgu,
Berburu ke padang datar
Dapat rusa berbelang kaki
Berguru kepalang ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi.”


Cikgu Sulaiman diam dalam fikir. “Awak ingat saya tidak pernah rasa perkara yang sama?”

“Maksud Cikgu, kecewa dengan sikap dan perangai anak didik?”

“Setiap pendidik akan melalui jalan yang sama. Kerana apa Ashikin?”

Saya menggeleng tidak tahu. Pengalaman saya masih lagi cetek belum mendasar.

“Satu sahaja tandanya kalau dia mempunyai perasaan demikian, jika dia benar-benar mendidik. Dicurahkan segala, penuh semangat. Dia mengambil tugas itu sebagai tanggungjawab. Setiap tanggungjawab itu perlu dilunasi. Berdosa sambil lewa, berdosa amanah tidak disampaikan. Berdosa jika dia hanya memberi…separuh jiwa.” Cikgu Sulaiman tenang mengajari pada perkara paling asas sebagai seorang pendidik.

“Ilmu itu dari langit Ashikin. Ini kenyataan yang ramai orang tidak ambil peduli. Bila falsafah Barat mencemari fitrah kejadian ilmu sehingga membawa ramai manusia tersasar dari landasan.”

Piring puding Cikgu Sulaiman sudah kosong. Saya masih leka melayan nikmat yang dirasa lidah, sambil menadah mutiara kata yang menjentik semangat yang lesu.

“Jika ilmu itu dari langit, kita pendidik ini jadi apa?"
"Tinggi betul perumpamaan, biar saya teka, ermm, malaikat perantara?"
Dekah Cikgu Sulaiman kuat. "Kita perantara betul, tapi tidak sampai membolehkan kita menjadi malaikat. Ashikin, Ashikin."



Sambil membetulkan duduk, Cikgu Sulaiman memberi khidmat yang sebati dalam diri, mengajar tanpa jemu. "Guru adalah perantara langit. Bagi pendidik tulen, apa yang ada dalam dada adalah yang diterima dari gurunya, kemudian disampaikan pula untuk generasi selanjutnya. Bagi mereka, ilmu nilai sakral. Tetapi bukan semua pendidik boleh faham, apatah lagi kita harapkan pada anak murid.”



Ilmu nilai sakral. Saya pernah dengar dari Cikgu Sulaiman lama dulu. Itu juga yang saya percaya dan perjuangkan. "Pendidik adalah pemudah cara. Dia lebih dulu melihat kebenaran, kerana itu dia mempunyai rasa dan kewajiban untuk menyampaikan. Kebenaran itu nyata, namun kadang-kadang disamarkan dalam bentuk lain, jadi orang menjauhkan diri. Pendidik yang akan ke depan, menebas laluan yang sudah tinggi dengan semak samun, supaya yang lain nampak terang jalan yang perlu dilalui mereka. Tetapi, kebenaran tidak selalu dapat dilihat dengan kata dan nasihat yang panjang berjela, ia lebih senang dijelmakan diri dengan contoh dan pengamalan. Kerana itu, pendidik kena lebih dahulu memakai apa yang keluar dari mulut, sebelum mengharapkannya dari orang lain. Jika berpeluang menjadi ibu dan bapa pun begitu juga. Ajaran paling didengar adalah contoh dari tingkah laku perbuatan kita. Itulah ajaran yang terpahat dalam minda dan hati."


Kata keramat yang sangat tajam, "memakai apa yang keluar dari mulut." Mungkin itu sebab utama saya boleh ingat Cikgu Sulaiman sampai sekarang.


Lamunan terhenti bila Cikgu Sulaiman melontarkan resah jiwa. “Saya juga pernah kecewa seperti awak Ashikin.”

Ada beban dalam dada. Takut-takut saya juga penyebab kecewa seorang guru.

“Tapi ia akan segera terubat, bila…” Cikgu Sulaiman terbatuk.

“...bila satu hari, kembali bertemu dengan salah seorang murid, melihat kejayaan dan terbukti bahawa mereka telah mendengar dan beramal.”


Saya mengangguk yakin. Tiada kata yang keluar yang pernah meragukan. Moga saya juga mampu melihat hari itu.

Cikgu Sulaiman memandang saya tepat, "lebih-lebih lagi bila dapat menyaksi, nilai perjuangan dan segala yang awak yakini dijelmakan dalam tubuh seorang manusia lain, dan dia juga...mahu syahid dengan keyakinan yang sama.”


Saya pulang dengan cepu yang penuh berisi. Saya melihat pohon rendang lebat di taman permainan. Ramai kanak-kanak bermain di bawah rimbunan bayang dedaun. Cikgu Sulaiman seperti itu, pohon yang memberi teduh.