Prof Haron dan Ramadhan 1

Kata Imam Ali Zainal Abidin (sa), “Hak orang yang berbuat baik kepadamu: hendaknya kamu berterima kasih kepadanya, selalu menyebut kebaikannya, menyebarkan sebutan yang baik tentangnya, mendoakannya kepada Allah swt secara ikhlas. Jika semua itu telah kamu lakukan, bererti kamu telah berterima kasih kepadanya baik secara sembunyi mahupun terang-terangan. Jika kamu mampu membalas kebaikkannya, balaslah kebaikkannya setidaknya mempersiapkan sesuatu untuk membalasnya, dan kuatkan tekadmu untuk melaksanakannya.”

Tidak pernah sekali menyambut Ramadhan tanpa saya mengingati sosok yang begitu berpengaruh dalam hidup, Prof. Haron, setepatnya, almarhum Prof. Haron.

Beliau seorang Prof. paling ajaib dan aneh pernah saya kenal. Dan Allah mempertalikan kami lebih dari hubungan guru dan anak murid. Meski, jika dia masih bernafas di muka bumi ini, saya tetap akan menjadi murid penakut yang selalu segan-segan bila bertemu dengannya.

Baik. Saya telah menulis tanpa pendahuluan yang baik. Saya mulakan sekali lagi. Guru yang mendapat tempat di hati setiap kali wangian Ramadhan menebarkan janji pengampunan pada semua makhluk hamba Allah, ialah Profesor Irseniur (Ir.) Haron bin Haji Ismail. Kami memanggil beliau Prof. sahaja.

Waktu itu hanya dua orang sahaja memegang gelar paling tinggi di jabatan kami namun beliau tidak pernah dilihat memakai gelar itu dengan menongkat langit. Langkahnya laju, namun punya jiwa pendidik tulen. Meletak ilmu sesuai dengan keupayaan kami menerima. Walau beliau merupakan tempat rujukan ulung di tempat kami, mahupun di industri kejuruteraan seantero negara, beliau seperti itulah. Yang bersedia mendidik, menanam nilai, menongkah kelaziman dan banyak cerita.

Beliau dalam ingatan adalah seorang ajaib dan aneh.

Kenapa ajaib? Kerana dia satu-satunya manusia yang saya kenal mendapat gelar Profesor tanpa ada kelayakan Phd. Maksud, dia sangat hebat.

Aneh, kerana dia sangat garang. Setiap kali bertemu saya akan membaca doa pelembut hati Nabi Ibrahim (pembetulan edit pada 20 Mac 2012) betul-betul di depan pintu. Meski begitu menakutkan, Prof tetap ada daya magnet yang akan buat saya kekal berada dalam kelas. Meski banyak kali dimalukan kerana ketidakpandaian saya menterjemah ilmu yang telah diajar dengan penuh kesungguhan. Kerana dia punya cerita yang saya senang sekali mendengar dengan tekun. Cerita-ceritanya meski ironi, tetap punya pengajaran hidup. Cerita-cerita lawaknya diulang-ulang, namun tetap saya akan gelak sepenuh hati. Seolah-olah itu pertama kali mendengar. Namun setiap kali dia membuang pandang pada saya, saya tetap akan menikus tidak tahu untuk berkata apa-apa.

Prof. aneh, kerana walau dia tidak mengajar banyak (sebenarnya saya yang begitu benak tidak dapat menyerap banyak), namun ilmu hidup begitu ringkas yang diajarkan yang paling diingati dan insyaAllah dibawa sampai mati.

Prof banyak mengajar saya prinsip kejuruteraan yang susah-susah. Tapi walau otak dan hati saya dicuci dalam air zam-zam 44 malam pun belum tentu dapat menghadam dengan baik. Tapi beliau tahu kami muda dan tidak tahu. Beliau tahu kami perlu masa. Beliau tahu kami perlu kaedah mudah untuk membolehkan kami melihatnya dengan lebih jelas. Lantas, Prof mengajar kami dengan mengaitkan dengan perkara-perkara seharian yang berlaku dalam rumah, dan persekitaran. Dengan itu kami lebih senang memahami.

Saya masih ingat satu pagi ketika Prof masuk ke dalam studio dengan keadaan termengah-mengah. Seolah keringat telah habis diperah. Namun masih berusaha untuk sampai pada jam 8.00 pagi. Sambil menongkat badan di meja depan melega penat, Prof bercerita, “saya lupa hari ini saya puasa sunat. Pagi tadi bereya saya berkebun.” Saya mahu tergelak besar (gaya dan cara dia menuturkan sesuatu adalah bahan yang sangat humor). Saya gelak juga kerana duduk di barisan belakang dan pasti Prof tidak akan perasankan saya. Meski sebegitu gigih Prof mengajar, saya masih takut.

Lebih memburuk keadaan, beliau adalah supervisor untuk thesis tahun akhir. Bukan saya dipaksa, saya sendiri yang memilih. Dan setepatnya, Allah yang memilih. Itu caturan yang saya tidak dapat faham sehinggalah 10 tahun berlalu. Supervisor pilihan pertama tidak merasakan saya layak berada di bawah pengawasannya (kan saya dah bagitahu saya bukannya pelajar star pun). Prof, supervisor pilihan kedua. Itu pun kerana kawan mengusulkan dan mengajak untuk mencuba nasib.

Entah langit mana terbuka pada hari saya bertemu empat mata memohon kesudian beliau untuk mengambil saya dan rakan sebagai anak murid. Silap, saya rasa langit mungkin terbuka separuh. Kerana kesudian dia bersyarat. Beliau mahukan kami membuat kertas cadangan.

Kali kedua berjumpa, dengan kertas cadangan separuh masak hasil dari kerja tangan saya yang tidak tahu serba serbi, beliau melihatnya dengan tekun. Kemudian bertanya satu dua soalan (dalam cepu sudah berfikir pasti akan ditolak dan saya perlu cari tempat teduh yang lain), Prof menerima dengan mengatakan, “bolehlah.” Saya tidak faham maksud masih lagi meminta kepastian. Kemudian Prof menyatakan dengan jelas, “bolehlah awak jadi supervisee saya.” Saya yang sebegini kekurangan sanggup diterima oleh seorang yang sudah berada di tahap Profesor (mungkin masa itu saya begitu benak kerana tidak faham signifikan tahap Profesor itu - duh, its the highest title on Earth in Highest Learning Institution).

Saya sebenarnya begitu perlahan. Apa sahaja yang saya bawa untuk dinilai beliau selalu ada salah. Sehinggalah dia membawa saya ke rak buku, membuka helaian mukasuratnya, “Jika tidak tahu cuba buka buku, buku teks ke, buku rujukan ke, apa-apa sahaja dan lihat. Buku-buku ini bukan sahaja menawarkan kandungan, tetapi cara letak.”

Seperti biasa ketakutan akan membuatkan saya mempamerkan riak muka yang aneh-aneh. Riak muka orang yang serba tidak tahu.

“Tengok bagaimana gambar diletak. Bagaimana jadual di buat. Lihat bagaimana tajuk di nomborkan. Bagaimana menulis tajuk.”

Prof. kemudian melanjutkan, “jika tidak tahu, tanya orang yang tahu atau lihat contoh dari orang terdahulu.” Sehingga tahap itu Prof mengajar saya. Aneh, itu pelajaran hidup yang paling saya ingat dan dengan bekal itu membolehkan saya berada di banyak tempat.






Saya selalu rasa bersyukur bila dimarah dan ditegur. Perkara paling menakutkan ialah apabila orang sudah tidak lagi peduli. Tidak ditegur bila berbuat salah, jika tidak tahu tiada orang menunjuk jalan. Itu penamat sebenar untuk satu pembelajaran. Bila guru tidak mahu lagi memandang dan ambil peduli. Dan lebih menakutkan, bila telah menjauh redha dari apa yang diajar. Itu, kiamat bagi seorang pelajar.



Saya berjaya menghabiskan thesis tahun akhir. Dengan susah payah. Hanya dengan petunjuk mudah Prof yang tidak berkait langsung dengan teori kejuruteraan, saya dapat mengharung segala dalam masa yang ditetapkan.




Comments

Anonymous said…
..teringat kt prof yg pernah mengajar aku research methodology, mmg susah nk faham, nama pun prof kan...

prof jugak pernah mengajar suamiku bagaimana untuk menjadi seorang researcher yang hebat..

prof jugak pernah ajar mcmn utk mdpt doa yg dimakbulkan...

al-fatihah utk prof...

-ns49-
ASaL said…
ns49

yup, susah.

and your husband proven to be a good researcher (kena kongsi tips :)

doa dimakbulkan? juga kena kongsi :) moga kebaikkan Prof dapat dipanjangkan walau dia tiada, namun generasi masa dapat boleh juga mendapat manfaatnya.

Al Fatihah.
zai said…
boleh saya taw pe doa nabi sulaiman yg utk pelembut hati tu ye?
ASaL said…
salam zai.
terima kasih singgah dan tanya.
saya baru sedar saya sudah tersilap tulis.

sepatutnya Doa Nabi Ibrahim bukan Nabi Sulaiman.

Doa tersebut adalah ayat Al Quran yang dibaca ketika Nabi Ibrahim dicampak dalam hati.

Ayat Surah Al Anbiya':69

We said, o fire! Be thou cool and (a source of) inner peace of Abraham.
ASaL said…
*dicampak dalam api

Popular posts from this blog

Mimpi

Yang dimain-mainkan: Ubat Gigi

Pernah dengar Pulut Himpit?