Fiksi Mini

Mengambil inspirasi dari kawan sekolah menulis Nazwan Hafez (Facebook) yang menulis Fiksi Mini. Lama sudah mahu menulis fiksyen, tetapi selalu dihambat waktu (alasan simplistik tidak boleh pakai). Cuba untuk mengasah semula, mudah-mudahan akan datang boleh buat yang penuh 8-12 muka atau novel mungkin.

#1 Tidak Serupa Bikin

Imam Fakhrul menasihati orang ramai, "jauhnya kita dari Allah sebab jemaah tidak khusyuk dalam solat." Ketika Imam Fakhrul mengangkat takbir, jiwa akal ruh ilmu dan nafsu bising bersidang dalam bilik mesyuarat tanpa ruang.

#2 Vice Versa

Beliau memandang sekeliling. Dewan kuliah baru yang serba indah itu sudah kosong. Sebaik sahaja ayat bersurai diumumkan, peserta sudah berbondong-bondong keluar tidak menghiraukan apa-apa. Orang penting seperti beliau tidak ditunggui dan diiring ke mana pergi. Hana menghampiri, satu-satunya peserta yang masih tinggal. "Hanya kau yang sanggup tunggu aku," beliau menyuarakan yang terbuku. Hana senyum dalam hati berkata, "anda tidak tahu, dalam mimpi, andalah yang setia menantiku."

#3 Syukur

Amar mendengar rakan sekelas yang berkongsi cerita tentang ayahnya yang garang. Banyak perkara yang dia tidak puas hati, tentang ketegasan Ayah, disiplin, keras, tidak memahami. Amar senyum, dalam beg berbungkus-bungkus coklat dan gula-gula yang tidak diambil murid-murid lain. Semua itu akan diagih-agihkan kepada adik-adik yang seramai 34 orang, yang tinggal di panti asuhan sama dengan Amar.


Comments

Popular posts from this blog

さくら満開

Bulan Mengambang

17 Ramadan 1435 Hijrah