Patriotik

Dia hanyalah seorang ahli akademik. Yang namanya tersohor seantero dunia atas kebolehannya membuat penyelidikan. Namanya tersenarai dalam 30 orang terhebat dalam penyelidikan dunia. Geran yang diperolehi bukan calang-calang. Nilainya juta-juta dan syarikat swasta yang menaja adalah syarikat multi nasional dan syarikat-syarikat antarabangsa. Meski bidang kepakarannya fokus kepada satu cabang, tetapi relevannya supra disiplin.
Dia bukan graduan tempatan. Meski pendidikan awalnya tetap pendidikan nasional. Jika mengikut umur, memang dia belajar sains dan matematik dalam bahasa Melayu. Ijazah pertamanya di United Kingom. Ijazah keduanya juga di United Kingdom. Ijazah tertinggi sahaja disempurnakan di universiti tempatan. Meski, dia tetap tahu bahawa dia seorang Melayu. Di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung. Meski bertahun-tahun di rantau, tidak sepincing suara dilenggokkan mengikut budaya Barat.
Dia berkhidmat di universiti tempatan. Bila ditanya, kenapa tidak pergi ke universiti yang dapat menawarkan dia lebih, katanya, “Universiti ini telah banyak menyumbang untuk saya. Ijazah kedua dan tertinggi juga ditaja oleh universiti. Universiti telah menyumbang saya banyak, inilah masanya saya membayar semula apa yang telah diberi”.
Jika dia berceramah, dia akan memerhatikan audien. Jika dia rasa tidak ada audien warga asing, dia lebih gemar menyampai dalam bahasa Melayu. Bagi dia, bahasa adalah sebagai pengantar. Pengantar seharusnya dalam bahasa paling mudah difahami. Jika tidak faham, apa-apa yang disampai juga tidak berguna. Bagi dia, bukan satu proses yang mudah untuk memahami. Kerana selepas faham, orang perlu pula untuk menilai. Setelah menilai baru boleh melaksana, selepas melaksana barulah dapat diperolehi hasil. Kata dia lagi, "Satu ilmu yang baik, perlu orang baik untuk mentafsir, setelah mentafsir perlu orang baik yang melaksana. Jika ada satu dalam rantai ini pincang, pincanglah seluruhnya".
Kerana bakat, kebolehan dan daya intelektual yang tinggi, telah banyak kali syarikat luar menyuntingnya. Suntingan bukan calang-calang. Nilainya puluh-puluh ribu. Kontraknya juta-juta. Tapi dia menolak. Sungguh dia orang yang aneh. Kata syarikat swasta, “kami akan menawarkan gaji apa yang saudara mahu. Kami akan sediakan prasarana apa yang saudara minta. Kami akan sediakan penolong seberapa banyak yang saudara kehendaki. Meski apa, belanjanya tidak perlu saudara bimbang, kerana apa sahaja kami akan sediakan”. Kata dia, dia menolak. Hairan. Kemudian dia memberi tawaran lain. Barangkali dia sudah berubah, sudah dikaburi kesenangan material. Dia mahu meminta lebih? Kata dia, “Saya tidak akan menerima tawaran anda, kecuali begini, segala perbelanjaan yang anda mahu laburkan untuk saya, apa kata anda bawa ke universiti ini. Anda bangunkan fasiliti dengan jumlah perbelanjaan anda di universiti saya. Segala prasarana yang anda janjikan, bina di universiti saya. Dengan bayaran yang anda tawarkan, anda boleh menaja 10 orang pelajar di peringkat ijazah kedua dan tertinggi. Dan sekiranya anda boleh lakukan semua dan anda bersetuju dengan syarat ini, saya akan bekerja untuk anda, secara percuma”.
Dia hanyalah seorang ahli akademik. Dalam dirinya Melayu. Meski berbondong-bondong orang kulit putih menyembah memohon kepakarannya, meski melimpah ruah penghargaan orang terhadap dirinya, dia tetap tahu, dia masih seorang Melayu yang tidak dapat dicuci-cuci. Itu hakikat, dan hakikat tersimpan dalam ruang kosmos, dan ia akan bergema di ruang keabadian.
Universiti mahu memberinya jawatan tinggi. Sebagai penghargaan kepada jasa-jasanya. Kata dia, perlukah jawatan untuk menyumbang. Perlukah kuasa untuk membantu apa yang perlu. Perlukan kerusi untuk membangun bangsa dan Negara. Di mana-mana, tidak kira dalam ruang apa, jika anda mahu, anda tetap boleh juga menyumbang.
Tapi dia bukan sihat sangat. Tapi akal, jiwa dan hatinya sangat sihat. Dalam kepayahan menyedut nafas akibat serangan kanser, dia masih lagi mahu masuk ke hutan. Bersama dia seorang pembantu yang menolong membawa tong gas. Jika ada apa-apa, senang, tong gas dapat mengurangkan beban sakitnya. Orang lain sudah gusar, dia seorang ahli akademik yang fizikal tidak sihat. Jika terjadi apa-apa, mereka yang disekeliling akan menyalahkan pasukan yang membawa dia ke hutan. Bukan mereka tidak melarang, dia sendiri yang mahu sertai. Dia kata, selagi hayat, pelajar-pelajar ini tetap perlukan bimbingan.
Selepas masuk hutan, dia masih tidak berehat. Dia masih mengumpulkan pelajar-pelajar yang minta nasihat. Masih lagi meneliti thesis akhir pelajar. Masih lagi betulkan itu ini. Wajahnya sudah pucat lesu. Nafasnya sudah perlahan-lahan ditarik. Pelajar bimbang menyuruhnya berehat. Rehat yang perlu, esokkan masih ada. Dia memandang, “saya tidak perlukan simpati. Sakit ini cuma sebahagian dari bahagian ujian. Ujian pula adalah sesuatu yang sunnah, sesuatu yang pasti diberi Tuhan. Tiada seorang pun akan terkecuali. Mengapa perlu simpati pada sesuatu yang pasti?”
Dia berkata lagi, “Kalau kamu jadi saya, adakah kamu ingin berakhir di atas katil, atau berakhir ketika menyemak thesis pelajar?”
Dia hanyalah seorang ahli akademik. Dia kata universiti telah memberinya banyak, inilah masa untuk membayarnya kembali. Sebenarnya dia telah membayar lebih, mengapa perlu dia membayar lagi?

Comments

Anonymous said…
tersentuh hati aku baca artikel ko ni...ns49
Anonymous said…
..masih ada lagi ke ahli akademik yg mcm ni...ns49
FAKHZAN MARWAN said…
iyeh, siapakah ahli akademik itu?

judging from your writing, he must be old as he's already sicked....or is he around our age as sickness doesnt know age or gender?
NorziatiMR said…
Hm....nak cuba teka..Prof. Dr. Shaharir Mohd Zain. Betuk tak?

Hehe
ASaL said…
dlm dunia caca merba, utk mempercayai ada ahli akademik sebegini memang agak aneh bukan? Tapi dengan dunia yang caca merba inilah,untuk mempercayai sosok seperti ini ada memang tidak mustahil. Dia ada, hidup disekeliling kita, berbakti utk nusa seperti seorang negarawan sejati. Saya sehingga kini, masih terkagum mendengar kisahnya!

Popular posts from this blog

Mimpi

Yang dimain-mainkan: Ubat Gigi

Pernah dengar Pulut Himpit?