MRRAZ: Iktikaaf & Mendengar Suara Dari Dalam Diri

Kalau kita mengikut sunnah, selepas habis kerja kita akan segera mempersiapkan diri di masjid untuk beribadat iktikaaf untuk malam-malam 10 terakhir Ramadhan. Tetapi seperti banyak artikel dalam internet, sunnah ini paling tidak dikenal dalam budaya kita. Sementelah, kita lebih terarah untuk menyambut Syawal, dari bersedih mengenang Ramadhan yang bakal meninggalkan.

Ramadhan di Malaysia lebih dikenal sebagai majlis memperkenalkan juadah, bukan bulan mentarbiyyah. Untuk mengasingkan diri sebelum menjelang Syawal, adalah sesuatu yang pelik kerana ketika ini kita sepatutnya sibuk menyiapkan seribu satu macam persiapan untuk Raya. Mengemas rumah, pasang langsir, tukar sarung cushion, pergi pasar, menyediakan bahan untuk juadah pagi raya, mencari buluh untuk masak lemang, menyediakan tenaga yang banyak untuk mengacau dodol. Banyak. Macamana boleh kita duduk mengasing diri beriktikaaf dalam masjid. Macam tidak adil kan untuk orang lain yang akan bersusah payah menyiapkan keperluan raya?

Jangan salah faham, saya juga belum pernah menghidupkan sunnah ini. Meski masjid hanya 30 tapak sahaja dari rumah. Atas segala kesibukkan di atas, saya mempunyai alasan paling ampuh untuk mengelak. Betulkah?

Iktikaaf Ramadhan, apa itu? Pertama kali dengar tahun 2000 ketika arwah Profesor saya melakukan amal jariah mengedarkan 2 buku tentang Ramadhan. Satu tentang takbir Raya, satu lagi tentang iktikaaf. Buku itu adalah untuk pensyarah dan kakitangan Universiti, pelajar macam saya bukan termasuk dalam senarai. Tetapi kuasa Allah yang menggerakkan. Profesor memandang saya dan tanpa sepatah pun kata, kemudian beliau menyerahkan. Bila saya bertanya pada rakan-rakan lain samada mereka dapat atau tidak pemberian dari Profesor, masing-masing membuat muka tanda soal tidak faham apa yang saya katakan. Rupanya, dalam ramai-ramai pelajar Prof, hanya 2 orang pelajar sahaja mendapat hadiah Ramadhan tahun itu. Itu membuat saya sangat gembira dan rasa istimewa. Keistimewaan yang diberi bukan percuma, saya patut faham ini.

Saya baca tetapi tidak begitu ambil peduli kerana saya tidak faham apa-apa pun tentang iktikaaf bulan Ramadhan. Dalam pembelajaran di sekolah dan rumah tidak pernah ada seorang pun maklumkan tentang hal ini. Yang menarik minat saya pun hanyalah buku tentang takbir Raya kerana paling dekat dengan diri dan masyarakat. Lain dari itu nihil, tidak ada rasa penting walaupun sedikit.

Hikmah pemberian Prof. hanya terungkap 10 tahun selepas itu. Setahun selepas beliau memberikan saya buku, pada tahun 2001 Profesor meninggal dunia akibat kemalangan. Beliau mendapat kemalangan ketika sedang bergegas pulang dari solat Jumaat setelah mendengar berita kematian bapanya. Sewaktu beliau mengeluarkan kereta dari parkir, pada waktu itulah kemalangan berlaku. Kerana ada halangan di tempat letak kereta menyebabkan beliau sukar mengeluarkan kereta. Kemalangan itu mengakibatkan semua organ dalaman hancur walaupun jasad masih sempurna. Ayah Prof meninggal dunia hari Jumaat, Prof menyusul keesokkan hari. Pembaca budiman, sahabat-sahabat yang dikasihi, sudilah kiranya sedekahkan al Fatihah untuk Profesor Ir Haron Ismail yang selalu mengajar anak didik lebih dari ilmu kejuruteraan. Al Fatihah.

Sebetulnya beliau selalu mahu saya belajar tentang survival hidup, kemanusiaan dan kehambaan meski bukan semua perlu keluar dari kata-kata. Paling penting adalah akhlak dan amalan. Dalam keadaan paling sukar, beliau selalu menunjuk jalan keluar dengan cara yang dipermudahkan. Walau dalam banyak keadaan, saya selalu bersikap jahil terhadap apa yang beliau ajari. Mudah-mudahan belum terlambat untuk saya membuat sesuatu dengan hadiah Ramadan dari Prof. Mudah-mudahan hikmah tentang sunnah iktikaaf Ramadan, susulan dari apa yang Prof. beri pada saya 10 tahun dahulu dapat dimanfaatkan. InsyaAllah.

Iktikaaf adalah perbuatan mengasingkan diri (total seclusion), memutuskan segala hubungan material melainkan sekadar cukup untuk kehidupan dan tujuannya untuk beribadah kepada Allah. Itu yang saya faham, jika salah tolong betulkan. Kenapa Rasulullah menganjurkannya sebagai sunnah?

Jika dilihat apa yang diamalkan oleh ummat zaman akhir, mustahil untuk kita membuat total seclusion demi semata untuk beribadah. Kecuali bagi mereka yang benar mencintai Rasulullah dan mahu mengikut sunnah. Kita selalu beranggapan selagi kita melakukan kewajipan solat 5 waktu, berpuasa bulan Ramadhan, menunaikan zakat, dan jika mempunyai rezeki lebih menunaikan haji ke Makkah sudah cukup menjamin syurga. Tidak perlu berbuat lebih. Tidak ada ragu tentang itu, InsyaAllah, kita semua akan berjumpa di syurga.

Tetapi cukup rugi kerana disebalik semua kesenangan dan keselesaan yang ada, kita tidak mahu merebut cinta Allah. Bagaimana mahu merebut cinta Allah? Mudah iaitu dengan mengikut Nabi dan ikut Nabi dengan menghidupkan sunnah.

'Katakanlah (Muhammad), "Jika kamu mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mencintaimu dan mengampuni dosa-dosamu." (Ali Imran:31)

Apa ada dengan iktikaaf, total seclusion? Ya kita tidak faham apa-apa kerana tidak tahu dan tidak pernah mahu. Sedang sejarah panjang Nabi menghantar kita tentang apa yang Nabi lakukan sebelum wahyu pertama. Mengasingkan diri dan beruzlah di dalam gua Hira'. Selepas rasmi dilantik sebagai Rasulullah, amalan ini diteruskan di malam terakhir Ramadhan.

Saya tidak nampak signifikasi mengasingkan diri sehinggalah saya menonton YouTube Yusuf Estes menemubual David Rogers (video di atas). David Roger ialah seorang environmentalis yang mengasingkan diri duduk di pergunungan untuk menghayati hidup berhubungan dengan alam. Meski terasing, David tetap tidak mengasingkan diri dalam aktiviti intelektual iaitu membaca, mengkaji dan berbincang secara ilmiah dengan rakan-rakan. Itu telah membawanya menemukan kepada Al Quran, akhirnya kepada Islam.

David mengucapkan syahadah atas keyakinan dari bacaan dari Al Quran, meski beliau belum pernah berjumpa dengan mana-mana orang Islam. Bagi saya pengalaman David cukup hebat. Satu hari telah berlaku kekacauan dalam komuniti pergunungan David. Tidak tahu bagaimana mahu menyelesaikan masalah, David mencadangkan kepada rakan-rakannya untuk mengikut apa sahaja hukum yang ada dalam Al Quran untuk mengekalkan keamanan komuniti tersebut. Dengan kata lain David mahu menegakkan perundangan syariah Islam meski beliau tidak tahu apa-apa pun tentang hal itu. Begitu teguh kepercayaan David Rogers kepada Al Quran.

Dalam video tersebut (ada 2 bahagian di YouTube), David menerangkan bahawa bila kita mula mengasingkan diri dari segala tuntutan material, kita akan mula respon kepada alam. Menghayati bahawa adanya ciptaan dengan bukti disekeliling dan paling penting mula mendengar suara dari dalam hati. Hati akan mengajak kita berbicara dan menemukan jalan pulang kepada Pencipta.

Pada mulanya saya skeptik, takkan begitu mudah kita boleh memperoleh petunjuk? Sehinggalah saya bertemu dengan ayat Al Quran, yang mengesahkan pengalaman David Rogers itu hakikat yang benar,

'Kami akan memperlihatkan kepada mereka, tanda-tanda (kekuasaan) Kami di segenap penjuru dan pada diri mereka sendiri, sehingga jelaslah bagi mereka bahawa Al Quran itu benar' (Fushshilat: 53).

2 pengalaman ini membuatkan bulu roma saya berdiri. Satu ayat surah Al Fushshilat, yang kedua dari pengalaman David Rogers. Ini membuat saya kembali mengenang pesan Profesor tentang iktikaaf yang diambil dari sunnah Nabi. Mashaallah.

Total seclusion bukan tujuannya memutuskan kelazatan, bahkan sebenarnya mengembalikan kepada kelazatan yang hakikat. Menemukan kebenaran, membawa dekat dengan Al Quran, seterusnya menunjuk kepada jalan Taqwa. Bila nanti kita mencapai Taqwa, subhanallah percayalah kita sudah sampai kepada Allah.

Saya juga membuat kesimpulan lain dari observasi ini, sebab itulah juga TV diciptakan. Ia adalah sebagai alat untuk menjauhkan kita jauh dari sunnah ini. Supaya manusia tidak akan dapat memahami apa perlunya mengasingkan diri. Sedang terlalu banyak program TV yang perlu dihadam untuk membolehkan kita berbual dengan orang lain. Tentang rancangan itu dan ini, berita sana sini, tetapi bukan pengalaman spritual diri. Supaya visual dan audio yang keluar dari kaca TV bergaung-gaung dalam fikiran, terimbas depan mata meski tidak menonton. Membuat manusia ketagih, terutama cerita drama. Saban hari menanti untuk mengetahui kesudahan cerita. Setelah selesai, diganti dengan drama baru. Halal dan haram bercampur baur. Sehingga kita tidak lagi nampak garis pemisah yang mana halal, yang mana haram. Ia berlaku setiap hari, setiap bulan, setiap tahun, berganti tahun, sehingga kita tua dengan pemikiran sarat dengan drama yang tidak real pun. Ini perancangan musuh manusia iaitu Iblis dan sekutu bagaimana pun logik kita mahu menafikan ia.

Dangkal? Mungkin juga. Tetapi 5 hari cuti terus menerus saya mencuba. Bereksperimen memutuskan diri dari TV. Kecuali internet kerana kita boleh pilih mana-mana program bermanfaat untuk menyubur jiwa. Atas sebab itu saya dapat mendengar ceramah dan pengalaman Yusuf Estes, juga dari sarjana Islam diseluruh dunia. Indah, ya, ia pengalaman yang indah. Meski masih belum sampai seperti pengalaman sehebat David Rogers.

Yang aneh, seperti kata David Rogers, saya akhirnya dapat mendengar suara dari dalam diri. Ini pengalaman benar. Tidak percaya? Anda juga boleh mencuba.

Saya masih tidak begitu arif lagi tentang iktikaaf. Buku Profesor saya pun jauh di kampung untuk saya kongsikan bersama rakan-rakan. Namun begitu, kenangan itulah mencetus catatan ini. Ia telah mendorong saya tekad membuat eksperimen sendiri di rumah. Betul, saya belum ada kekuatan lagi untuk serius melakukannya di masjid. Iktikaaf mengikut sunnah perlu dilakukan di masjid, itulah yang sebenar.

Berita baik, kita di malam ke 22. Subhanallah, masih ada lagi berbaki 7-8 hari.

Rasulullah mengajak kita melakukan sunnah ini.

Soalan seterusnya, ada berani?

Comments

Cikli said…
salam ramadhan,

hebat sungguh. kelebihan mereka ini suka membaca dan sentiasa membaca. semua bahan dibaca, bukan hanya mainstream atau picisan media.

Popular posts from this blog

Mimpi

Yang dimain-mainkan: Ubat Gigi

Pernah dengar Pulut Himpit?