Berkat

Saya bukan peminat Manchester United mahupun Chelsea. Yang saya tahu pada perlawanan lalu, antara MU dan Arsenal referee berat sebelah dengan menggenakan hukuman yang tidak munasabah kepada pasukan Arsenal dan mengacau laluan bola ketika pasukan Arsenal sedang membuat gerakan strategi ke gawang musuh. Kerana MU main tanpa keberkatan (dari saya umpamanya), mereka kalah 0-1. Kalau tak mungkin Arsenal menang 2-0, satu penalti sebab handball kat gawang Edwin Van De Sar. Peminat MU, jangan buat-buat tak nampak pulak! (Ya tahu, saya sudah kelewatan. Dan MU menang melawan Chelsea 1-0, dan Barcelona pun sudah menjadi juara).

Hari ini saya ingin bercerita tentang keberkatan.

Siapa sebenarnya tahu tentang makna keberkatan? Saya tidak, sehinggalah baru-baru ini saya membaca Travelog yang dihadiahkan oleh penulis (Mohd Farid Mohd Rashidi) ‘Debu-debu Kota Seribu Menara’. Di saat orang merai pelbagai nilai yang songsang dan tidak mempercayai tentang keberkatan dan maknanya, saya menjumpai mutiara hikmah ini ms 58.

“Makna kata ‘mubarakan’ menurut huraian Tafsir Munir susunan Doktor Qahbah Zuhayli ialah; berkah – kebaikkan yang banyak”

Sekarang orang menghargai apa? Kata saya, orang hanya mementingkan individu (nafsi) atau kata mudahnya diri sendiri. Kepentingan peribadi itu lebih penting daripada memikirkan keharmonian ummah. Itu pegangan manusia hari ini, jika tidak percaya tengok sekeliling. Atau untuk lebih dekat, lihat pada diri. Kerana itu kita akan melihat manusia lebih bermotivasi sekiranya sesuatu tugas itu akan memberi kebaikan pada dirinya. Mereka akan bersungguh sekiranya sesuatu perkara itu akan menguntungkan dirinya. Jika perkara yang sedang dibuat juga menguntungkan orang lain juga, mereka akan merahsiakan sebahagian informasi berguna untuk orang lain. Supaya orang lain itu ketinggalan, dan mereka orang pertama yang akan mengutip hasilnya. Atau mereka memeras keringat orang lain dengan jalan helah, sehingga orang termakan dengan tipu daya. Di akhir mereka teraniaya ini hanya mendapat habuk, satu sen tidak berguna dan sakit hati.

Adakah mereka yang zalim ini akan meminta maaf dan menyesali dengan sesungguhnya? Tidak, jawapannya tidak. Sehingga mereka menyedari apa yang mereka buat itu salah dari segi hukum, budaya dan nilai universal, sehingga mereka sedar mereka sedang berbuat zalim dan menganiaya, sehingga mereka sedar orang yang teraniaya itu makbul mustajab doa-doa. Sehingga mereka meminta maaf dengan sesungguhnya, bertaubat, menyesali menzalimi diri sendiri dengan menjadi zalim.

Ya, saya melihat wajah orang seperti ini di depan mata, dan nauzubillah, saya berdoa agar saya berlepas dari apa yang dikata. Semoga Allah memelihara kita, awak, saya, dan mereka yang merai nilai universal yang baik supaya tidak terjerumus dalam lembah mementingkan diri sendiri sehingga tidak sedar menganiayai orang lain.

Salah satunya kenapa orang tegar menzalimi orang lain mungkin kerana telah luput makna dan penghayatan keberkatan. Mungkin, ini pendapat peribadi.

Berkat itu apa? Melalu frasa dalam buku Farid Rashidi, berkat itu sesuatu yang baik, dan dari yang baik itu berlaku perkara baik yang lain berganda-ganda dan beranak pinak. Kalau orang ekonomi mungkin mereka panggil multiple effect. Entah, orang ekonomi (kawan-kawan yang bijak pandai we need your opinion ;p). Mungkin kawan-kawan ekonomi saya yang hebat-hebat boleh menjelaskan hal ini.

Saya melihat hal keberkatan ini dalam satu perkara nostalgik. Van C20 tua al-marhum Ayahanda saya (Al-Fatihah).

Ketika saya masih kecil benar, sudah bersekolah, ketika itu al-marhum Kakak (Al-Fatihah) sudah bekerja. Mungkin beberapa bulan. Oleh kerana kami hanya mempunyai seekor kereta, iaitu Beatle Wolksvagen (lama) dan keluarga kami besar pula, Kakak mencadangkan untuk Ayah menukarnya dengan Van. Kakak saya bersanggupan untuk membayar muka, dan Ayah saya akan bayar ansuran bulanan. Dengan seekor Beatle, tidak mampu memuatkan kami adik beradik. Jika hari raya, pasti ada sahaja abang-abang yang perlu naik bas untuk pulang ke kampung. Sebab saya masih kecil, saya boleh menumpang Ayah dengan kereta Beatle.

Jadi kami mempunya kenderaan baru, Van Nisan C20. Ya betul, siapa yang mengenal kenderaan ini tahu ia bukan kenderaan untuk pengangkutan domestik yang sesuai. Ia kenderaan untuk mengangkut barang-barang untuk tujuan komersil. Kami sangat seronok mempunya kereta baru. Dan bersamaan dengan itu, adik saya lahir.

Sejak dari itu, C20 ini telah menaburkan jasanya dalam banyak perkara. Menghantar dan menjemput saya berulang ke sekolah pada waktu hujan. Membawa kami balik kampung beramai-ramai. Menidurkan adik ketika dia kesusahan untuk tidur dalam buaian (mengada betul). Membawa saya ke sekolah asrama dua negeri, Selangor dan Perak. Menghantar abang ke asrama. Apa sahaja yang bersangkutan keperluan kami menuntut ilmu, van itu akan berbakti. Mengangkut barang-barang makanan dari pasar. Apa sahaja keperluan domestik yang awak fikirkan, van tua Nisan C20 ini akan memberikan khidmatnya dengan setia.

Dua hari atau sebetulnya satu hari, sebelum Ayah saya jatuh sakit, Ayah saya masih lagi berkeupayaan untuk menghidup dan memanaskan enjinnya supaya ia tidak meragam. Ketika itu saya sedang menyidai kain, dan wajah Ayah saya sayu. Mungkin dia tahu masanya sudah tiba, hanya sanya saya tidak mengerti bahasa spiritual yang dihantar langit untuk saya bersedia. Bersedia melepaskan kepulangan Ayah ke negeri abadi.

Dan van itu telah menjadi begitu sinonim dengan Ayah. Sehingga setelah lama Ayah pergi, kenalan Ayah yang melihat kelibat van kuning itu di mana-mana, mereka akan segera terkenangkan Ayah. Bagi ramai orang, Ayah saya tetap hidup dengan kemunculan van tua kuning itu.

Selepas Ayah saya pergi, van itu masih lagi berfungsi dengan baik. Sehingga saya mendapat kejayaan demi kejayaan di Universiti, van itulah juga yang membantu saya mengangkut sampel tanah dan barang-barang untuk kajian. Van itu juga membantu adik mendapat kejayaan di dua universiti sehingga dia bergelar jurutera.

Van itu sehingga sekarang masih lagi setia memberi khidmat.

Dan Van Nisan C20 tua itulah yang memberi inspirasi kepada saya sehingga terbit cerpen “Langit Permulaan” yang mendapat tempat dalam antologi cerpen “Istana Cinta Ayah” Sempena Menyambut 50 Tahun Kemerdekaan Malaysia. Selagi buku itu masih ada, Ayah saya akan tetap sentiasa ada. Dan judul antologi cerpen itu sangat tepat, sekurang-kurang untuk saya.

Itu yang saya namakan berkat. Satu perkara yang memberikan kebaikan berganda-ganda. Saya tidak dapat melihatnya dulu, tetapi ia jelas di depan mata.

Kerana itu, saya baharu faham tentang cakap-cakap orang, “Orang dahulu yang mencari dengan cara halal dan berkat, dengan gaji kecil, dan ciput mampu berbuat macam-macam. Seorang guru, seorang polis, pekebun kecil, penoreh getah, yang secara relatifnya bergaji dan berpendapatan kecil, mampu menyara 7 orang anak. Pada yang sama memberi perlindungan dan makan pada adik-adik dan saudara mara. Memberi pelajaran pada mereka. Sehingga adik-adik berjaya dan berjawatan besar. Sehingga anak-anak ke universiti. Walau mereka berkenderaan uzur dan tua, walau mereka hanya menaiki basikal untuk berulang alik ke tempat kerja.”

Ya apa jadinya dengan nilai gaji kita yang mencecah sehingga ke lima angka sekarang. Makin dicari makin tidak cukup. Makin dipenuhi, lagi cepat habis. Ya, apa jadinya?

Berkat tidak hadir hanya semata kita menunaikan yang hakiki. Ia hadir bila kita benar ikhlas dan memberi. Bila kita tidak menzalimi yang lain semata untuk mengenyangkan kantung sendiri. Bukan dengan tipu daya dan helah, menekan orang bawahan tanpa belas dan ikhsan. Berkat itu bila kita mencurah lebih dari sepatutnya, dengan harapan rezeki yang dikurnia itu bersih sepenuhnya, insyaAllah.

Saya melihat rakan-rakan yang memahami dan merai erti keberkatan. Kadang-kadang mendengar komen dari orang lain “Kenapa perlu buat kerja-kerja yang merugikan?”

Saya melihat hasil usaha rakan-rakan yang dari kata orang lain rugi, telah beranak pinak kebaikan yang dapat dimanfaatkan dari usaha kecil mereka. Dari kebaikan itu, beranak pinak lagi kebaikan yang lain. Dan orang yang mengata ini juga mendapat nikmat darinya, hanya mungkin mereka tidak begitu menyedari kerana lebih suka mengata yang buruk-buruk dari melihat kebaikan. Dan saya percaya, ia akan tetap melahirkan kebaikan yang lain berganda-ganda di masa hadapan.

Ya, saya menjadi saksi. Saya penerima kebaikan berkat dari hasil kerja mereka yang tidak berkira.

Bak kata Ustaz Saiful Islam, “Erti hidup pada memberi”.

Kadang-kadang orang tidak faham mengapa kita memberi. Tetapi kawan-kawan percayalah, Allah Maha Faham, dan untuk itu, kita serahkanlah segalanya pada Dia.

...kerana yang mengurniakan berkat itu Dia, bukan kita.



Comments

Cikli said…
Keberkatan bergantung pada keikhlasan dan niat.

** kena dapatkan 'istana cinta ayah' dan buku travelog tu.
Nur said…
Salams,

Berkat itu apa? Melalu frasa dalam buku Farid Rashidi, berkat itu sesuatu yang baik, dan dari yang baik itu berlaku perkara baik yang lain berganda-ganda dan beranak pinak. Kalau orang ekonomi mungkin mereka panggil multiple effect


Saya tidak pandai ekonomi, jauh sekali dapat menerangnya dengan sempurna. Tapi saya cubalah ya.

Kalau benda baik beranak pinak, untuk di applykan dalam economy, ada dua effects yang tertera di kepala saya, multiplier effects, dan accelerator effect. Basically kedua2 nyer sama, cuma kalau accelerator itu, kebaikan yang dibalas Tuhan itu cepat in term of time.

Tapi saya lebih suka menggunakan ayat-ayat Tuhan yang lebih kurang sama konsep yang akak ceritakan:

"Bandingan (pemberian) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, sama seperti sebiji benih yang tumbuh mengeluarkan tujuh tangkai, tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melimpat-gandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya."(2)

Beranak pinak sehingga 700 kali ganda, investment mana yang mampu mencapai tahap ini, kan?

SubhanAllah.

Dan kalau orang jawa buat kenduri, kami sentiasa memberi 'berkat' untuk tetamu yang datang - berkat itu berupa nasi lauk biasanya. :)
ASaL said…
Ya cikli: saya tertinggal poin ini, niat dan keikhlasan. Tapi kata kawan saya, dalam dunia ni benda yang paling kita ikhlas buat ialah ketika berada dalam jamban. Sama ada hajat kecil atau besar. Tapi sampai sekarang saya tak boleh nak relate.
ASaL said…
Time kasih nur. Tak pernah dengar lagi tentang accelarator effect. Thanks berkongsi.
Cerita tentang berkat kenduri tu, orang Jawa je paling berkesan kongsi.
Nak berkat satu.

Popular posts from this blog

さくら満開

Bulan Mengambang

tanya sama POKOK