Beijing: Tuntutlah Ilmu walau ke Negeri China

Salam.


Saya selalu tahu dan yakin, Rasulullah itu super genius. Kata-kata tuntutlah ilmu sampai ke negeri China itu adalah keramat yang selalu saya dengar, tetapi tidak pernah yakin akan sampai ke negara yang menyimpan Tembok Besar paling agam di dunia, dan sejarah bangsa mereka yang panjang dan besar.


China, Negara yang telah dikenal Nabi, tetapi bagi kita ummah Melayu di Malaysia mendengarnya dengan perasaan takut, ragu-ragu dan curiga. Kerana sejarah bangsa kita mencatat pelbagai peristiwa pahit dengan bangsa ini, dan juga curiga dengan kesetiaan dan keikhlasan mereka.


Bagi bangsa Malaysia, kita mempunyai stigma terhadap bangsa, budaya dan malah perkataan atau istilah. Antara perkataan yang akan menggundang mata bulat terbuntang ialah China kerana ia di identitikan dengan aliran faham komunis dan sosialis. Begitu juga perkataan Iran dan Syiah, kerana ia merupakan cabang mazhab yang tidak dikenal dan diasosiasikan dengan sesat dan penganjur revolusi massa.


Namun, dengan apa pun juga stigma yang ada, saya tetap juga sampai di Negara Mao Ze Dong. Pengasas Negara China aliran komunis. Dan saya bersyukur, kerana menyempurna pesan Nabi. Dan kerana saya sampai, saya percaya tuntas bahawa Rasulullah itu super genius.


Jika awak bertanya saya melihat apa di sana? Ya seperti apa yang kita dengar dan lihat melalui kaca TV, kami di bawa untuk menjejak tinggalan sejarah dari Dinasti Ming Great Wall of China,sehingga ke medan revolusi pelajar, Tianan Men. Juga melihat istana besar, Forbidden City yang masih duduk di lokasi paling pusat dan strategik di Beijing (tetapi tidak dimusnahkan pemerintah atas dasar pembangunan) yang membawa saya kembali ke serangkaian cerita epik drama China, Mulan dan Karate Kid.


Namun ada dua perkara yang paling momentus buat saya ialah, pertama berpeluang untuk ke Masjid Nue Jie dan melawat 2 makam kerabat Nabi yang menabur bakti mengajar penduduk tentang Islam dan tauhid kepada Allah swt. Saya membayangkan andai teori kedatangan Islam ke tanah Melayu dari Negara Cina itu benar, maka boleh jadi dua wali Allah ini mempunyai kaitan dengan keIslaman saya sendiri. Subhanallah.


Yang kedua, sebelum saya berangkat, adik saya yang handal sejarah itu berpesan bila sampai nanti, jangan lupa melaungkan azan. Saya menjegilkan mata bagaimana boleh saya melaungkan azan di Negara yang berideologi komunis, yang yakin percaya bahawa agama itu adalah candu pada masyarakat. Kata adik saya, bukan sebaik sampai di airport, tetapi mungkin di tembok besar China atau di Forbidden City.


Saya menyempurnakan pesan adik, ketika berlelah-lelah memanjat tembok besar (memang lelah dan mengerah segenap keringat dan tenaga) saya berhenti. Melihat keindahan alam, banjaran gunung yang berbalam. Agam ciptaan manusia Great Wall of China yang boleh dilihat dari bulan dan saya sedang berdiri di atasnya. Mengenang bagaimana ketaatan rakyat China pada pemerintah, berapa banyak korban yang perlu untuk tembok sempadan China untuk menghalang bangsa Hun (Monggol), tekstur batuan yang dilepa dengan perekat teknologi kuno namun masih kukuh berdiri, pos-pos pengawal yang berjauhan sebagai tempat strategik askar meninjau musuh, saya melaungkan iqamah. Saya melaungkan iqamah (tentu dengan suara perlahan) di Negara Komunis Mao Ze Dong. Di negara yang dipesan Nabi, dan Maha Suci Allah, Dia memang Akhbar dalam makna hakikat dan makrifat.


Tetapi ada satu kesalan saya sehingga sekarang, ialah kami tidak di bawa ke zoo untuk melawat panda. Owh, saya sangat suka Panda kerana ia bear yang comel berwarna hitam dan putih. Sangat pemalas, suka tidur, berjalan lamban dan makan buluh. Binatang yang hanya ada di China, tidak ada ditempat lain. Maksudnya, kena pergi sekali lagi? Jadinya selepas pulang saya menonton Kungfu Panda 2 di layar lebar. Oh betul, panda tidak begitu penting.


Beijing, China kemudian membawa saya kepada satu titik persoalan penting. Jika aliran komunis tegar mempertahan doktrin bahawa agama adalah candu, kenapa kita digalakkan untuk menuntut ilmu ke China?


Bersambung (oh perlukah? Kena betul-betul menimbang masa dan menimbang keyboard :P)




Comments

Anonymous said…
Lor.. ke china rupanya.. X sabar nk tau sambungannya lagi...
ieka said…
As, jadi apa yg berlaku kalau azan di tembok besar? teringin nak tau juga... hehehhe
ASaL said…
x jadi apa-apa pada tembok cina tu, masih tetap utuh berdiri :p

tapi boleh jadi tambah rasa cinta pada Tuhan pada orang yang melakukannya, kerana dapat melihat saujana pemandangan yang berbalam-balam, mensyukuri kebijaksanaan manusia membina keajaiban dunia yang dapat dilihat dari bulan,

...dan menginsafi, di negeri komunis tegar sekalipun, Tuhan masih tetap ada!

Popular posts from this blog

さくら満開

Bulan Mengambang

tanya sama POKOK